30 September 2006

9 Ramadhan 1427H / 2 Oktober 2006

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Tarikh keramat untuk saya dan anak-anak murid saya. Tidak ramai. Hanya 4 orang. 3 lelaki dan seorang perempuan. Akan berjuang untuk menjadi pemimpin, insyaAllah. Pada mereka bukan sahaja saya sematkan ilmu, tapi jua pemikiran dan rasa keimanan. Saya tidak mahu mereka terlupa; pada udara yang mereka hirup, pada matahari yang memberi cahaya, pada hujan yang beriringan dengan rahmat, pada bumi yang mereka pijak, pada nikmat malam yang memberi rehat, pada segala-galanya kurniaanNya. Saya tidak mahu mereka melupakan Dia, walau di mana mereka berada selepas ini.

InsyaAllah, kejayaan mereka akan sentiasa didoakan. Semoga segala ilmu yang telah diberikan bukan sahaja untuk kejayaan sebuah peperiksaan, tapi juga untuk masa depan yang lebih bermakna, diiringi iman, islam, ihsan dan redha dariNya. Saya tidak meninggalkan apa-apa untuk mereka. Saya serahkan mereka kepadaNya, kerana saya jua akan dikembalikan kepadaNya.

Tariq, Majid, Izzuddin dan Amalina. Tenang dan Teliti. Ingat pada Allah. Tawakkal. Kita telah berusaha selama setahun ini, semoga segala usaha dan ikhtiar kita akan sentiasa berada di dalam redhaNya. Ilmu yang diberikan itu bukan hanya bertujuan untuk peperiksaan. Ingatlah, masa masih panjang dan laluan di hadapan kamu semua masih sangat jauh. Ingatlah pesanan dan nasihat itu, dan jua yang telah diingatkan kepada kamu semua semasa sesi pembelajaran, semoga kamu semua lebih tabah dan lebih taat padaNya, insyaAllah.

Ya Allah Yang Maha Bijaksana,
Ya Allah Yang Maha Mengetahui,
Ya Allah Yang Maha Berkuasa,
Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang,
PadaMu kuserahkan diri, bersama mereka semua. Bantulah mereka, tenangkan mereka, berikan mereka kekuatan dan keinginan untuk menjadi manusia sempurna yang Engkau redhai, bukan sahaja kejayaan di dunia, tapi jua di akhirat sana. Merekalah perintis kini, untuk generasi Islam di masa akan datang. Amin.

Nota : Jadual Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah memberi kesan kepada anak-anak murid didikan saya. Hari Selasa umpamanya, dua kertas Sains di sebelah petang dan dua kertas Matematik pada Rabu sebelah pagi membuatkan mereka rasa tidak selesa. Paling pasti, hari Khamis dan Juma'at yang agak 'lengang' memberikan pelbagai pandangan yang berbeza. Ditambah lagi pada hari Sabtunya, ada sebilangan yang akan mengambil ujian untuk masuk ke MARA.

Semoga mereka semua termasuk pelajar-pelajar Muslimin dan Muslimat Tingkatan Tiga tahun ini yang akan mengambil peperiksaan akan dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang, teliti dan dipermudahkan Allah dengan hasil kejayaan yang gemilang. Generasi ini di masa akan datang akan menjadi pelapis untuk memimpin ke arah Islam yang diredhai Allah. Semoga mereka semua berjaya, insyaAllah.

25 September 2006

Permata Generasi

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Sabarnya si kecil ini menanti makanan dihidangkan. Baru berusia setahun lebih sedikit, comel sahaja bergaya dengan tudung hijaunya. Dua orang abang yang bijak dan kreatif. Cepat tangkap dan pintar bercakap. Semoga mereka bertiga dan kanak-kanak lainnya akan menjadi pemimpin generasi beriman. InsyaAllah.

~Untuk tatapan adik di bumi Nil.

24 September 2006

Leraian Rindu di Awal Ramadhan

Assalamu'alaikum warahmatullah,

kita berpisah keranaNya
dan ditemukan jua keranaNya
andai ada derita, itu namanya nikmat
andai ada bahagia, itu jua namanya nikmat
nikmat itu ujian, jua peperiksaan
di dalamnya ada hikmah
untuk yang berfikir
pertemuan baru nanti kita pinta
dari Yang Maha Kuasa
dari Yang Maha Kaya
dari Yang Maha Bijaksana
fikirkan diri
hanyalah hamba, menumpang di sini
insyaAllah ada rezeki dan redha
bersua semula diselubungi rahmat
bersama restu dan kasih
darinya Yang Maha Esa.

Lelah. Lebih kurang pukul 11.00 malam, dan saya baru sahaja meletakkan kereta di dalam kawasan pagar rumah. Buru-buru menuju ke komputer untuk menitip salam Ramadhan kepada semua. Hari pertama puasa, meriahnya terasa hanya di hati, kerana laluan saya masih sama. Laluan hujung minggu yang tiada beza. Bezanya, mungkin kerana puasa, kerana berbuka, dan kerana solat malam selepas Isya', jua rasa sayu di hati - Ramadhan, ada umurku bertemumu tahun ini. Ada rezekikah untukku bertemumu pada tahun hadapan?

Pagi tadi. Seawal 7.00 pagi saya sudah keluar. Dalam hujan renyai-renyai. Seperti biasa. Menuju ke kelas pertama. Kemudian ke kelas kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam. Aduh, enam kelas. Termasuk di sebuah surau di Cheras, waktu malamnya. Di mana saya sempat singgah, di situlah solat saya. Kebiasaannya, di hari berlainan, tempatnya jua pasti berbeza. Itu hobi saya sepanjang Ramadhan sejak beberapa tahun lepas ini, mencari pelbagai lokasi surau atau masjid untuk dikunjungi.

Lama saya tidak menitip salam di sini. Pastinya kerana kesibukan, dan kesibukan, dan kesibukan. Sewajarnya, masa itu tidak menjadi masalah seandainya dirancang dengan sempurna. Apapun, saya akur, entah bila lagi saya akan menitip salam di sini. Hanya kerana kesibukan. Itu hanya ujian. Carilah tabah, semat di hati.

15 September 2006 - hari terakhir saya di sana. Tiada indah. Tidak ada kenangan. Pengalaman itu lebih saya kenangkan, yang mengajar saya tentang makna hidup dan makna iman. Mengajar tentang sabar, air mata dan kecewa. Mengajar tentang mencari benar, dan mentaliti minoriti berbanding majoriti. Tentang kualiti dan kuantiti. Amat banyak, mengajar saya, mencari hikmah. Mencari ujian. Mencari markah hidup. Untuk bertemuNya.

18 September 2006 - hari pertama saya di sana. Asing rasa di hati, saya abaikan. Beberapa yang mengenali saya, alhamdulillah. Ini buku baru, walau ada beberapa yang lama. Saya jua perlu membuka kalam yang baru. Tutuplah kalam yang lama. Walau tidak dibuang jauh kalam yang lama, ada yang saya simpan dekat di dasar hati, ada yang saya simpan di luar hati, dan ada jua yang saya simpan jauh di dasar hati. Itu kenangan, dan saya rungkaikan menjadi pengalaman. Mencari hikmah di sebalik sebuah peperiksaan bernama ujian dariNya. Mencari benar yang baru, di sana.

24 September 2006 - 1 Ramadhan. Indah yang saya kenangkan. Hikmah yang saya nantikan. InsyaAllah. Semuanya berhikmah, kerana Dia Maha Berkuasa, dan Dia Maha Kaya, lagi Dia Maha Mengetahui.

Ya Allah Yang Maha Kuasa,

Jadikan Ramadhan kami, tahun ini, tahun sebelumnya dan tahun selepasnya, Engkau rahmati dan Engkau redhai. Jadikan jua Ramadhan ini, pemula yang makruf dan penegah yang mungkar. Kami di sini, sudah terlalu jauh dariMu, dari mengingatiMu, dari taat padaMu. Kami semakin lalai, semakin alpa menghirup rencah di sini yang tiada indah di hujungnya nanti.

Jadikan kami, yang taat pada perintahMu, dan yang patuh pada laranganMu. Hukumlah kami, insafkan kami di sini, dan matikan kami bersama iman padaMu di dalam hati. Jadikan hati-hati kami bercahaya dengan namaMu, lidah-lidah kami basah menyebut namaMu, dan ingatan kami hanya dirafak untuk mengingatiMu.

Ya Allah Yang Maha Kuasa,

Hanya padaMu, kami yang lemah ini berharap. Semoga silap kami di dalam ampunanMu. Jadikan kami lebih sabar, dan lebih tabah, dengan ikhlas dan iman, dan lebih dipermudahkan, mencari redhaMu.

Amin.


11 September 2006

Perubahan

Assalamu'alaikum warahmatullah,
Jika duduk di sini, saya akan nampak kepincangan yang tidak saya ubah. Di luar sana juga ada kepincangan,

tapi



sekurang-kurangnya saya berjaya keluar dari sini dan membuktikan yang saya tidak selesa berada dengan kepincangan di dalam ini.
Di luar sana, nantilah...saya hadapi!


Saat-saat perubahan di dalam hidup saya semakin hampir. Seiring dengan buku amalan yang baru dibuka agaknya, norma hidup itu jua akan berubah. Walaupun bukan semuanya, walaupun bukan sepenuhnya, perubahan itu tetap ada. Apa yang akan di lalui nanti, sedikit sebanyak menggetarkan jua hati saya untuk melaluinya.


Alhamdulillah. Ruang kelas pengajaran saya masih tidak terbatas, untuk tahun ini. Pun, tahun hadapan, apakah reaksinya dengan perubahan ini agaknya. Penggunaan masa juga perlu dititikberatkan. Jika masa menjadi lebih santai dan agak lapang, alhamdulillah. Jika masa menjadi lebih panjang, jua...alhamdulillah. Kedua-duanya saya perlu ambil kira kerana laluan perjalanan yang telah mengalami perubahan.


Keadaan di situ pula nanti, apatah yang akan saya hadapi. Mungkin sama dengan persepsi saya di awal menerima surat tawaran ke bandar ini pada empat tahun yang lalu agaknya. Awalnya, memang tidak ada rasa selesa. Tidak ada rasa gembira. Terbayang pelbagai situasi menjelikkan yang tidak saya gemari. Kesesakan, pemikiran, tindakan, segalanya bersatu memberikan bayangan-bayangan yang negatif. Alhamdulillah, mampu jua diredahi dengan redhaNya.


Mungkin sama jua persepsi ini pada apa yang saya rasakan dahulu. Pilihan ini, Dia yang menjadikannya untuk saya. Dan, ada hikmah untuk semua kejadiannya tanpa disedari. Allah yang Maha Adil, tidak diberatkan hamba-hambaNya dengan apa yang tidak mampu ditanggungi mereka. Walau nampak perit, getir, tapi ianya akan tetap berlalu, seperti yang telah ditakdirNya. Hanya dengan namaNya.


Ya Allah, dalam gentar ini, hanya namaMu di hati. Permudahkan urusan kami, hamba-hambaMu yang lalai dan hina ini. Lapangkanlah diri-diri kami, untuk terus taat dan mengingatiMu. Bantulah diri kami, untuk mengejar redha dan rahmatMu. Jadikanlah kami, hamba-hambaMu yang beriman yang tidak akan lalai dan alpa.
Ya Allah, ampuni kami.


Amin.

29 August 2006

Pengembara 10

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Hingga bila kembara ini akan berakhir
Sedang tangan kukuh sudah longlai
Kaki sudah jadi makin kaku
Dan nafas sudah sesak-sesak
Pun kembara masih berjalan
Seiring masa
Tiada perhentian
Dengan namaNya.

Musim cuti sekolah yang lalu, pada 21 Ogos 2006, saya hanya ke negeri yang di dalamnya duduk bersemayam Sultan Azlan Shah dan permaisurinya. Itupun, separuh hari sahaja. Pusing-pusing di keliling Proton City, dan lebih kurang 7 malam, saya sudah berada di Kuala Lumpur semula. Terus solat Maghrib di dalam perjalanan dan kemudian menuju ke kelas pengajaran.

22 Ogos 2006, saya meredahi laluan kelas pengajaran saya tanpa ke pejabat. Cuti yang masih banyak, teringin untuk saya habiskan - sementelah di masa cuti sekolah seperti ini. Pada senjanya, sekali lagi azan dari Masjid Negara menyapa deria dengar saya. Suatu kesayuan yang tidak mampu saya ungkapkan setiap kali azan bersahutan. Panggilan dariNya, untuk saya mengadap Dia.

Pagi 23 Ogos 2006, saya masuk ke pejabat semula dan bercuti semula pada 24 Ogos 2006, meredah semula laluan kelas pengajaran saya untuk mencurah ilmu sebanyak mungkin. Itu jua bekal saya nanti. Jika bekal saya tidak cukup, apa yang hendak saya gunakan di sana nanti agaknya?! Pun, pada 25 Ogos 2006, saya masuk ke pejabat semula. Hmmh!

Pagi 26 Ogos 2006, saya meredah laluan biasa saya, dan di celahan itu, saya teringat pada hari konvokesyen adik saya yang sepatutnya, hari ini! Apabila saya menghubungi abang saya, saya dimaklumkan yang mereka telah bertolak ke UIA. Lalu, kelas di sebelah petang saya batalkan (anak murid-anak murid minta saya datang juga pada esok hari). Usai kelas yang ketiga, saya terus mengambil seorang lagi adik di UIA (yang masih di awal tahun pengajian) dan terus bertemu dengan keluarga saya di sebuah taman di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Usai makan-makan dan sembang-sembang, kami sekeluarga terus bergerak ke Masjid Negara untuk solat Asar.

Di sini ruang kemuskilan di minda saya timbul. Terus terang saya katakan, hampir empat tahun saya berkhidmat di Kuala Lumpur, saya tidak pernah sekalipun bersolat di Masjid Negara! Sementelah saya tidak perlu bersolat Juma'at tentunya, dan masa yang sangat singkat dan terbatas selalunya menyebabkan Rukun ke-2 itu saya sering lunaskan di surau pejabat atau di kelas-kelas pengajaran saya, ataupun di masjid-masjid lain yang berada di laluan perjalanan saya.

Maafkan saya, tapi ruang kemusykilan itu timbul apabila melihat ruang solat wanita yang tidak ada tirai! (saya tidak tahu ada berapa ruang solat wanita di masjid ini, tapi yang ini di tingkat atas agaknya, kerana perlu mendaki tangga berulangkali) Mungkin di bahagian hadapan, memang ada bidai pemisah antara ruang solat lelaki dan wanita. Namun, cermin di bahagian belakang (laluan di luar cermin pula menjadi tempat laluan umum) langsung tidak ditutup. Saya pandang kakak dan saya lihat emak. Kakak, personalitinya membuatkan saya nampak dia tidak selesa dengan keadaan itu. Malah, sama jua dengan saya.

Beberapa orang wanita yang sudah siap bersolat di sisi saya elok saja memperagakan rambut sambil menepek wajah dengan bedak muka, dan kemudiannya barulah memakai tudung. Beberapa orang lelaki di laluan luar pula masih duduk-duduk dan memandang di sekitar, dan tentu saja nampak apa saja aktiviti di ruang solat perempuan kerana ruang itu langsung tidak bertutup. Nampak seperti tiada apa-apa agaknya pada mereka, dan saya dan kakak yang rasa serba salah dan tidak selesa, tanpa menanggalkan tudung terus saja menyarung kain telekung untuk bersolat. Usai solat, saya bincangkan dengan kakak tentang perkara tersebut. Dia hanya menjawab, "seeloknya diletakkan tirai di cermin tersebut" - dan saya pegang gelaran ustazah yang kakak sandang sebagai mempersetujui perkara tersebut. Walaupun langsung tidak menanggalkan tudung, pastinya saya dan kakak amat tidak selesa memikirkan yang orang-orang lelaki di luar sana melihat bukan saja 'aksi' kami bersolat, malah aksi sebilangan yang lain yang 'mungkin' tidak sedar atau buat-buat tidak sedar bahawa orang lain boleh memandang mereka di luar sana.

Remeh temeh saja nampaknya, tapi ia amat meninggalkan bekas di dalam diri saya. Terutama, masjid itu merupakan lambang penganut Islam rakyat Malaysia. Inilah jadinya Islam di Malaysia pada masa ini agaknya, tidak kukuh dan tidak utuh, iman sudah berkeruping di tepi telinga menunggu masa hendak dikupil keluar saja. Kebiasaan yang dilakukan oleh ramai orang itu sudah menjadi biasa, hinggakan kalau tidak mengikut aturan dan prosedur Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW pun, jika sudah jadi kebiasaan pada majoriti, pemikiran yang minoriti ini terbiar dan terabai, walaupun benar.

Itulah, kualiti atau sekadar kuantiti, sudah memadai?

Ya Allah, Kau yang Maha Kuasa, Maha Membantu, bantulah kami mengukuhkan iman-iman kami yang asyik goyah ini. Ya Allah, bantulah kami menegakkan Islam dengan namaMu.
Amin.

25 August 2006

Kuantiti atau Kualiti

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Saya diasak dengan dua perkataan ini - kualiti dan kuantiti, sejak akhir-akhir ini. Bukan saja dari segi persekitaran, kerja, dalaman saya sendiri, suasana sekeliling, keadaan semasa, malah juga oleh beberapa tazkirah dan ingatan yang saya dengar di corong-corong media.

Kuantiti.

Sekitar contoh :

- Ada berapa projek yang pernah dibuat sebelum ini?
~Banyak, tak terhitung. Banyak projek yang saya dah buat, dan saya ada banyak pengalaman.

- Dah lama kerja di sini?
~Lama, lama sangat. Lebih dari dua puluh tahun.

-Dah berapa hasil tulisan yang dihasilkan?
~Banyak, amat banyak. Lebih dari 30 buah. Dan dah banyak royalti yang saya terima.

-Berapa orang tentera yang dihantar untuk berperang?
~Banyak. Lebih dari bilangan penduduk negeri tersebut. Yakin, boleh menang. Kerana kita lebih ramai.

-Berapa umur tuan?
~Umur saya, lihat saja rambut saya. Saya sudah lebih 80 tahun. Kamu masih muda.

Sering amat kita dengar tentang kuantiti, tentang berapa kerja yang telah dibuat, tentang bilangan tahun perkhidmatan, malah semuanya dan kebanyakannya di sekeliling kita lebih gemar merujuk kepada kuantiti. Kepada sebilangan golongan yang lebih banyak di dunia ini, jika lebih banyak, maka situasinya lebih selesa. Jika lebih ramai orang buat begitu berbanding begini, maksudnya yang begitu itu lebih betul berbanding yang begini. Cakap orang yang seorang jarang didengar berbanding dengan cakap orang yang dipersetujui ramai.

Hakikatnya, apakah kuantiti merujuk jua kepada kualiti?

Umat Islam di seluruh dunia lebih kurang 2 billion jumlahnya agaknya, tapi berapa ramai agaknya yang benar-benar patuh dan tunduk pada Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW? Berapa ramai jua yang mengaku Islam, tapi saban malam cuba-cuba mengkoreksi diri di pub-pub dan disko-disko sehingga menginjak pagi? Berapa ramai jua yang pada seumur tiga atau empat atau tujuh atau lapan tahun setia di hujung sejadah, tunduk rapat membaca Al-Quran, dengar saja laungan azan terus bertebaran mencari wudhu', tapi apabila usia semakin meningkat, semua itu sudah tidak dijadikan gaya hidup?

Ramai, terlalu ramai, kerana saya jua salah seorang darinya yang keciciran diselaputi udara dunia yang amat indah ini. Saya, mungkin lebih rendah dari kebanyakan orang kerana apatah lagi kualiti, kuantiti itu pun saya tidak pernah hitung. Jarang sangat saya menghitungnya.

Mungkin ramai yang tidak sedar, ataupun sedar tapi masih tidak ada penghayatan, ataupun sudah ada penghayatan dan kesedaran, tapi masih tidak ada pengamalan, ataupun sudah ada penghayatan, kesedaran dan pengamalan, tapi tidak tahu tentang kebenaran. Kebenaran tentang hakikat iman, ihsan, ikhlas dan Islam yang Allah SWT sendiri minta supaya kita pupuk berdasarkan apa-apa warisan yang telah ditinggalkan oleh Rasululah SAW sendiri kepada umat yang amat dikasihinya.

Itulah yang jarang kita hayati. Kualiti. Pada beberapa peperangan besar dalam Islam pun, lebih kepada kualiti berbanding kuantiti, tapi contoh itu juga kita sering alpa. Malah, tidak pernah kita ambil kira.

Itulah kita
Seronok-seronok di dunia
Terlupakan mati
Bakal tiba
Bila-bila masa

Kita yang sering
Alpa.

Ya Allah, jadikan kami sering mengingatiMu, kerana dengan mengingatiMu, ada ketenangan yang tidak terhitung, dan kami akan lebih merasa rindu tentang iman dan taat, hanya padaMu. Keluarkan kami Ya Allah, dari golongan alpa yang sesat, hanya kerana dunia indah ini yang semakin tiba ke penghujung. Ya Allah, ampuni kami yang lalai. Amiin.

Pengembara 9

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Lama tidak menceceh di sini. Jadi rindu, mungkin kerana pelbagai perkara yang telah saya 'terima' dalam kehilangan yang panjang ini. Alhamdulillah. Itu keindahan ujian dan nikmat dariNya. Mana satu, nikmat, atau ujian, sedang nikmat itu sendiri ujian. (benar-benar menceceh..)

14 Ogos 2006 - Saya buntu. Rasa rindu antara 'utara' dan 'selatan'. Di utara, lama sungguh saya tidak singgah. Sejak 1998, rasanya. Di zaman naik pengangkutan awam, masih tidak merasa pegang stereng, membawa haluan sendiri. Selepas dari itu, masih lagi ke utara, tapi tidak singgah bertamu ke rumah dia. Di selatan, memang saban masa saya pulang.

Pun, paginya saya ke pusat servis. Mana saya akan pergi, saya perlu fikirkan kemudian. Sambil-sambil tunggu servis (bawa artikel tentang Lina Joy dan sebuah buku Project Management untuk dibaca - yang sudahnya hanya menjadi alas tangan kerana seorang pekerja di pusat servis 'rancak' bersembang dengan saya - hingga habis masa menunggu..) dan dalam sembang-sembang itulah, saya mula menetapkan, baiklah saya ke 'selatan' saja. Rindu untuk ke selatan jadi lebih membuak.

Pulang ke rumah, saya katakan pada kakak yang saya akan bertolak ke selatan petang itu juga. Tanpa sedar, saya merancang untuk tiba semula ke 'nogori' pada hari Rabu nanti. Kakak, segera menguli tepung, menyiapkan bekal kuih kegemaran saya dan anak-anaknya. Pastinya, si kecil Afiq sudah berlari ke uminya, memastikan yang dia akan dapat ikut saya ke selatan. Si 'Aqil, pun sudah mula masuk ke dalam bilik, mengambil beg untuk memasukkan baju-bajunya. 'Dua peminat kerdil' saya kalau saya mahu ke selatan.

Jadi, saya bertolak petang itu. Pukul 4 petang. Tiga orang dalam satu kereta. Dua orang kanak-kanak bawah umur 5 tahun, dan saya. Ringkas cerita, lebih kurang pukul lapan malam, barulah saya tiba di selatan. Alhamdulillah.

15 Ogos 2006 - Saya buat rutin saya semula bila di selatan bersama si kerdil-si kerdil berdua ini. Mandikan si abang dan si adik. Buatkan susu, dan kemudian bersama abah, kami berempat setuju untuk 'merayau' agaknya, dalam erti kata lain, saya mahu menunai janji untuk abah yang saya sudah buat sejak bulan Disember 2005. Aduh, lamanya. Perlu lebih stabil, itu yang saya beritahu abah saban masa. Alhamdulillah, bila sudah tertunai, hati saya jadi lebih senang. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

16 Ogos 2006 - Saya bercadang mahu pulang awal pagi, tapi kata emak, dia mahu lama sedikit bersama cucu-cucunya. Jadi, saya keluar dari rumah lewat sedikit. Tanpa sedar, saya mula menghubungi pejabat yang sudah hampir tiga hari saya tinggalkan. Dan, saya amat terkejut.

-Ada surat tukar awak, atas meja, dalam sampul surat.
~Saya tak minta pun tukar.

Perbualan amat panjang, dan ini 'hadiah' Allah untuk saya. Sesuatu yang sukar saya ungkapkan dengan kata-kata, tapi inilah bukti janjiNya untuk orang-orang yang berjuang di atas jalanNya. Saya rasa lebih lega, dan rasa terlalu redha. Ini ketentuan yang tidak saya minta, tapi saya amat bersyukur kerana segalanya telah tiba dalam masa yang amat tepat. Penantian saya seolah-olah berakhir. Alhamdulillah, saya telah diselamatkan - ini juga saya petik melalui perbualan saya pagi tadi dengan salah seorang pegawai yang agak berpengalaman di sini.

Lalu, perjalanan pulang saya kali ini seolah-olah satu perjalanan kembali yang membawa panji kemenangan. Mungkin terlalu banyak luka di badan saya, kembali dari sebuah peperangan, tapi panji itu masih utuh, tiada rosak walau secarik pun. Alhamdulillah. Ini jua adalah habuan untuk saya, diperolehi jua dari doa-doa orang di sekeliling saya. Alhamdulillah. Bagaimana mahu saya ungkapkan - ia adalah kejayaan, sebahagian kecil kejayaan yang telah diberikan olehNya, dan masih ada berjuta-juta lagi peperiksaan dariNya yang akan saya hadapi - apakah manusia boleh terus mengaku beriman dan dia tidak akan diuji??

InsyaAllah. Selagi iman di dada ini kukuh, selagi mata saya masih mencerlang gagah dan badan saya tidak tumbang, dengan namaNya saya akan terus melangkah dan bertindak.

Tidak habis perjuangan seorang hamba di dunia ini, selagi Dia masih di sisi. InsyaAllah.

Ya Allah, terima kasih atas anugerahMu. Di dalam yang duka itu, akan Kau selitkan bahagia dan di dalam bahagia itu jua, akan Kau selitkan duka. Kerana kasihMu, Kau tidak mahu kami, hambaMu, alpa. Kukuhkan iman-iman kami, dan lorongkan kami di jalan lurus, jalan yang Engkau redhai. Amiin.

11 August 2006

Wahai dunia 1

Assalamu'alaikum warahmatullah,
Salam di hujung usia
Tinta yang kian rapuh
Bersama penantian -
dan kembara sepi
Seorang insan.

Wahai abah
mula kalam ini untukmu
dalam debar dan sendu
dalam rindu dan sayu
walau kaki ini jauh melangkah
wajah ayah mencerlang megah
di tubir mata seorang kerdil
yang dahulunya
kau pimpin.

Wahai abah
Dahulu si kecil ini
di kandung bersama debar
telah memeluk dirimu
kala mata belum celik
dan dunia belum tersentuh
telah mahu erti rasa
walau belum ketemu.

Wahai abah
Lahirku punya cerita
dan abah masih tabah
beriku baca
beriku ilmu
berikan segalanya
bersama kudratmu yang kian lusuh
bersama hari yang kau bawa.

Wahai abah
Cabang rasa itu masih kutunjangi
di sisimu seorang anak
walau pulangku bersambut
bersama sayumu yang memagut
di hujung usia
tambah lanjut bersama masa.

Wahai abah
debar rasa ini
ku sisipkan setiap kali -
wajahmu memecah sinar wajahku
dan hati jadi rindu
pada sekujurmu
tetap kuingati
walau mata yang jauh
memandang hati yang berbicara.

Wahai abah
kalamku ini tidak putus untukmu
kerana kau
seorang abah di sisiku
yang dikurniai-Nya
buat bimbing dan usap
di sini.

(catatan : untuk abah - 11 Ogos 2006 - 12.35 tengahari)

10 August 2006

Itu Cuma Mimpi

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Langkah yang saya redah,
Bersama mereka,
Di hujung laluan resah,
Di sebuah meja bulat,
Tepinya keretapi lalu,
Yang tanpa bunyi dan gegar,
Hanya nyata tika menajam fikir,
Dengan mata hati,
Terkadang kabur tanpa undang,
Resah yang tertutup,
Tanpa iman.

Ulit meja bulat,
Bukan ulah tanpa tuju,
Banyak pincang yang lolos,
Yang mata hati seiring,
Kelabu, suram dan kelam,
Kosong tiada isi,
Tanpa syukur.

Enam semua,
Tapi satu yang derita,
Pergi - jangan kembali,
Keputusan ini pasti,
Sepuluh biji memandang,
Ke arah yang kelam,
Dengan air mata,
Tiada - ada tenang dan tabah,
Lalu ditinggalkan,
Tanpa penjelasan.

Kasihan,
Lalu satu itu yang memandang - menghulur
milo ais pembasah tekak,
Kenapa ada tiga ais sahaja?
Tiada jawapan,
Cangkir yang hampir tumbang,
Tepi meja bulat yang pipih,
Digapai pantas,
Walau diusir,
Hati masih keras,
Tindakan masih kukuh,
Dan yang satu itu masih ada,
Padu meraih sokong,
Tanpa kuasa.

Hakikat ini,
Yang sering terlupa,
Kerana padaNya-sering
Alpa.
Tempat kembali - hanya satu,
Tanpa dua.


(catatan mimpi : 7 Ogos 2006 - 4.45 pagi)

09 August 2006

Miskin di SINI

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Tadi, semasa baru datang, saya 'dikejutkan' dengan senikata ini :

Mereka miskin di dunia
Tidak meminta-minta
Hanya Tuhan segala...

Senikata dari sebuah lagu yang sering saya dengar sebelum ini, tetapi mungkin 'nur' itu tidak dapat saya perolehi di masa-masa yang lain sebelum ini.

Dalam konteks lagu tersebut (maksudnya mungkin amat luas berbanding anggapan yang akan saya paparkan nanti agaknya) mungkin lebih merujuk kepada benda dan harta - mungkin dari segi duit, rumah, kereta, kekayaan, kesenangan dan lain-lain perkara yang melibatkan kepada konsep sebilangan kita sekarang ini - tak ada duit, tak boleh hidup.

Tapi, tadinya, saya terkejut kerana saya 'diingatkan' tentang perkara lain. Bukan setakat harta dan benda, tapi juga tentang cinta dan kasih sayang, tentang tenang dan sabar, tentang redha dan restu, tentang kehendak dan maksud, dan pelbagai lagi. Amat luas konteks senikata itu - saya tidak pernah fikirkan sebelum ini!

Melihat dari segi ruang lingkup yang agak tertutup, apa yang akan kita pandang dari senikata itu adalah orang-orang miskin yang melarat, pengemis-pengemis yang banyak berjejeran di kaki lima-kaki lima, yang masih tinggal di bawah jambatan, di 'dalam kotak' dan sebagainya yang sama-sama kita fahami kedudukan mereka.

Tapi, kita terlupa pada golongan-golongan yang lain, contohnya; orang-orang 'berada' yang tandus cinta dan kasih sayang, yang tandus tenang dan redha, tandus kehendak dan maksud, malah mungkin juga tandus qanaah dan syukur. Kita sering terlupa, kerana yang 'material' itu telah mengaburkan kita. Kita terlupa, walau kita mungkin nampak 'berada' dan 'mewah' tapi hakikatnya kita bukan sahaja 'miskin perasaan' sahaja 'di sini', tapi kita juga akan merasa makna 'miskin' apabila di sana nanti, kerana perasaan itu yang jarang-jarang sangat kita ambil kira dan tekankan. Bukan hanya perasaan kita pastinya (ini orang-orang selfish), tapi juga perasaan makhluk satu dunia (waima benda bercakap mahupun benda tidak bercakap)!

Merujuk kepada perasaan itu sendiri, carilah di mana-mana di dunia ini, tidak ada kedai yang menjual rasa tenang, tidak ada pasaraya yang menawarkan jualan murah rasa syukur, tidak ada juga mana-mana gedung membeli belah yang akan cuba-cuba meletakkan tawadhu' di celah-celah barangan jualan mereka. Kalau ada, pasti saja saya akan segera menjadi pembeli yang pertama, kerana saya sendiri 'miskin', tidak ada apa-apa di dunia ini.

Agaknya, inilah yang sering kita lupakan, 'perasaan' yang menjadikan kita 'miskin' itu, bukan saja berdasarkan harta, tapi yang pastinya yang lainnya itu 'lebih tidak boleh dijual beli', kerana rasa itu ada di dalam diri kita sendiri, yang telah Allah anugerahi - kalau tiada, cepat-cepat pohon dari Allah kerana Allah lebih suka kepada hamba-hambaNya yang meminta padaNya - ini amat jelas. Lebih sensitif kita, maka kita akan menjadi manusia yang lembut tutur dan sabar, berperilaku dalam hidup, tidak mencari amarah orang lain, hidup bertunjangkan hanya Al Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Belek-belek diri - saya juga amat kurang - semoga 'nur' ini tersebar ke seluruh alam dan memberi hikmah kepada semua yang berfikir - berfikir lagi, juga ada di dalam Al Quran. InsyaAllah.

Ya Allah, lembutkan hati kami agar nurMu menyinari seluruh kehidupan kami, dan jua kehidupan semua hamba-hambaMu.

07 August 2006

Pengembara 8

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Alhamdulillah. Masih panjang usia saya untuk menulis di sini lagi. Menaip, sebenarnya.

Minggu lepas, 4 Ogos 2006 - Juma'at. Usai mesyuarat pada pukul 5.15 petang, saya masih ada di pejabat. Amat lega apabila tempoh masa selama seminggu telah saya lalui di pejabat ini. (Dahulu, saya tidak ada perasaan seperti ini. Perasaan ini, sejak akhir-akhir ini saja..)

Petangnya, saya masih mengajar seperti biasa. Di hujung kelas pengajaran saya, adik saya menelefon saya. Pelbagai perkara - ada beberapa perkara yang kami bualkan di dalam sepuluh minit itu. Pastinya, saya dan keluarga mendoakan semoga dia akan segera dapat menamatkan pengajiannya dengan cemerlang dan dapat segera kembali ke sisi kami, insyaAllah. (Andai ada rezeki, nanti di sini akan saya sisipkan beberapa keping foto untuk tatapannya..insyaAllah)

Usai kelas mengajar dan solat Maghrib, saya segera bergerak 'pulang'. Perjalanan di tengah bandaraya Kuala Lumpur, di hari Juma'at, di kala jam sudah menginjak ke pukul 8.30 mlm. Malam masih muda, agaknya untuk sebilangan orang, terutama untuk yang seperti saya, yang sering lewat untuk tidur. Walau terdetik jua di hati, ini ketentuanNya untuk saya, dan saya redha, kerana di tengah keriuhan dan traffic-jam yang masih wujud, saya hanya 'berseorangan' sahaja. Meredah dunia ini, dengan segala daya yang telah Dia pinjamkan kepada saya.

Tiba di sebuah stesen minyak, saya mengisi minyak, membeli dua botol air bateri dan sebungkus biskut - biskut itu buat bekal untuk 'anak-anak' supaya nanti mereka tidak merasa hampa melihat saya yang sudah lama tidak pulang ke rumah tapi dengan tangan yang hanya kosong. Lalu, perjalanan pulang saya teruskan.

Hampir menginjak ke 9.30 malam, barulah saya tiba di rumah. 'Anak-anak', amat girang. hampir seminggu saya tidak balik ke rumah, sebenarnya. Seorang demi seorang saya cium dan saya peluk, meluah rindu yang saya tahan berhari-hari juga, sekiranya tidak balik ke rumah. Usai semuanya, saya sambung berbual dengan kakak saya pula. Seminggu, pelbagai hal yang amat menyesakkan itu, sedikit sebanyak sampai jua untuk pengetahuannya. Dia, walau tiada darah serupanya di tubuh saya, kasih sayang saya padanya amat banyak. Dan saya hanya nyatakan kasih sayang itu, pada 'anak-anak' yang di dalamnya mengalir bersama darah serupa saya, dan darah serupa dia, di tubuh mereka.

Lewat juga saya tidur, malamnya. Lebih kurang pukul 1.00 pagi. Dan, apabila terjaga dalam pukul 4.00 pagi, saya terus tidak lena. Sempat juga saya menghantar satu demi satu SMS - saya tangguhkan lagi kelas pengajaran saya kerana kesihatan saya yang tidak mengizinkan. Janji saya, esok (Ahad), saya akan datang seperti biasa.

Jadi, Sabtu itu, kakak, 'anak-anak' dan saya, kami berehat sahaja di rumah. Hampir tengahari barulah kami ke pasaraya. Badan yang agak panas, saya gagahkan jua memandu kerana ada beberapa keperluan yang perlu dibeli. Kalau tidak penting, jarang kakak ikut sama. Itupun, kakak ambil kira ayat saya - mahu balik sebelum pukul 2 petang (ada rezeki saya agaknya untuk melihat tayangan tersebut, walau sebelumnya saya amat pasti, kelas pengajaran saya yang amat banyak tidak memungkinkan saya untuk melihat cerita tersebut di televisyen - saya memang amat jarang melihat TV, sebenarnya). Alhamdulillah, tiba jua di rumah seawal 2.10 petang. Duduk di hadapan televisyen dalam pukul 2.40 petang. Memang 'terlambat' sedikit, tapi yang pastinya, jalan cerita itu masih saya boleh ikuti - sempat lagi mencari-cari siaran kerana siaran RTM 1 amat tidak jelas.

03 August 2006

Warna

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Saya, yang 'kosong'. Bukan sepi, tapi masih keliru. Sedang cuba untuk 'menegakkan' diri, di mana kaki hendak berpijak. Dunia, dan warna saya, sudah berubah agaknya (dalam-dalam saya tarik nafas, saya sebut namaNya berulang kali - bukan 'ini' yang saya cari di sini!!)

Dahulu, semasa zaman anak-anak, saya amat sukakan warna merah. Bukan sebarang merah, warna merah jambu. Walau tidak ada koleksi barang-barang atau pakaian berwarna merah jambu, saya amat sukakan warna tersebut.

Apabila menginjak ke sekolah rendah, saya mula bermain dengan pensil warna dan water colour. Mula melukis. Saat itu, warna yang paling saya suka adalah warna oren. Ceria! Oren yang agak terang, warna matahari. Malah, saya suka jua melukis pokok-pokok dengan daun berwarna oren, macam musim luruh agaknya.

Sama jua semasa naik ke sekolah menengah. Saya masih dengan kesukaan saya, sukakan warna oren ataupun kuning yang agak terang. Mungkin masing-masing akan berfikir, pastinya saya seorang yang benar-benar ceria di zaman persekolahan kerana saya sukakan warna-warna yang ceria. Hakikatnya, saya seorang 'budak pendiam' yang hanya akan menjawab apabila ditanya, dan kadang-kadang tidak menjawab langsung pun!! (smile!)

Apabila melepasi sekolah menengah, barulah saya sukakan warna yang amat saya gemari sekarang. Hijau. Pelbagai hijau, tidak juga. Saya sukakan warna hijau yang agak cair, tidak mahu terlalu pekat (macam blog saya ni, latarnya agaknya hijau, tapi kalau boleh 'cair' sedikit, lebih saya suka agaknya), tapi bukan juga yang terlalu terang. Saya sukakan yang suram, yang kelabu. Hijau, dan kelabu. Agaknyalah begitu jika ia boleh didefinisikan. Hijau yang suram!

Selain hijau, saya juga sukakan putih. Acapkali, rakan-rakan di sekeliling saya, dan orang-orang yang baru mengenali saya sering menyebut perkataan 'budak sekolah' - kerana melihat tudung putih saya agaknya. Sering memakai tudung putih yang agak labuh seperti tudung budak sekolah, walhal di pasaran ada banyak tudung pelbagai warna dan corak yang sewajarnya boleh saya gayakan.

Tapi, saya ini agaknya. Tidak mahu bergaya. Si kolot yang hanya sukakan warna hijau dan putih sahaja! Si kolot ketinggalan zaman yang masih kekal dengan gaya begitu sahaja.

Pastinya, saya amat bersyukur kerana Allah menjadikan saya begini!
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Terima kasih padaMu.

Dari Surah Asy-Syu'araa' (ayat 221-227)

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Dari Surah Asy-Syu'araa' (ayat 221-227) :-

[221] Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun?

[222] Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa,

[223] Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.

[224] Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat tidak berketentuan hala.

[225] Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)?

[226] Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya?

[227] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu) dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.


02 August 2006

Rencana - Qana Berdarah Lagi


Oleh Maszlee Malik
(Utusan Malaysia - 1 Ogos 2006)

PADA tahun 1996, bandar Qana yang terletak di selatan Lebanon, 16 kilometer dari bandar Tyre telah menempatkan dirinya ke dalam peta dunia. Bukanlah sebelum tahun tersebut ia tidak wujud, tetapi kewujudannya hanya dirasakan selepas tahun tersebut.

Mengapa? Kerana bandar yang serba daif itu telah dibedil oleh tentera rejim Zionis. Wanita dan kanak-kanak merupakan mangsa yang teramai dalam keganasan tersebut. Lebih daripada 100 orang awam telah mati dibedil ketika mereka sedang berlindung di pusat perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Mereka terpaksa berlindung kerana tentera rejim Zionis pada waktu itu masih lagi menjajah selatan Lebanon dan menggila membunuh, menangkap dan menyeksa penduduk di situ.

Pada 30 Julai 2006, Qana sekali lagi mendapat perhatian dunia setelah 10 tahun dilupakan. Sekali lagi rakyat awam daripada masyarakat Lebanon menjadi mangsa jenayah keganasan rejim Zionis. Perang yang telah meletus semenjak 12 Julai 2006 dijadikan alasan untuk rejim Zionis untuk menghalalkan darah rakyat awam Lebanon.

Pihak tentera Zionis (IDF) telah menuduh para pejuang Hizbullah menjadikan kampung di Qana sebagai tapak melancarkan roket untuk menyerang bandar-bandar Zionis. Sehingga kini, lebih 60 rakyat (dan hampir 40 kanak-kanak) menjadi korban keganasan mereka. Rumah-rumah hancur dan menjadi debu kerana serangan bom yang telah digugurkan oleh pesawat perang Zionis pada jam satu pagi hari tersebut. Seluruh dunia telah bangkit mengutuk dan mengecam jenayah tersebut.

Malangnya, Dan Gillerman, wakil rejim Zionis di PBB meletakkan tanggungjawab kematian rakyat di Qana di atas bahu Hizbullah. Dalam mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB pada hari yang sama, beliau dengan bangganya tidak mahu mengaku bersalah di atas jenayah berkenaan.

Menurut beliau dan juga lain-lain pemimpin Zionis, termasuk Ehud Olmert, Hizbullah telah menjadikan orang awam sebagai perisai manusia mereka. Demi menghalalkan tindakan tersebut, mereka sanggup mengatakan bahawa Hizbullah telah menyimpan senjata di rumah-rumah masyarakat awam. Di atas premis tersebut, mereka ingin mencuci tangan di atas apa yang berlaku di Qana dan melonggokkan kesalahan di atas bahu Hizbullah.

Menariknya, semua pemimpin rejim mempunyai nada dan rentak yang sama dalam mengeluarkan kenyataan. Suara Menteri Pertahanan Ehud Olmert, Menteri Luar, Emir Perez mahupun wakil mereka di PBB, hatta rakyat awam sekalipun mempunyai nada yang sama. Jawapan mereka amat mudah. Rejim Zionis berperang dengan Hizbullah, Hizbullah merupakan pengganas yang perlu dihapuskan.

Segala tindakan tentera Zionis menurut mereka adalah untuk merealisasikan resolusi 1559 PBB dan juga resolusi 1680. Kedua-dua resolusi tersebut dengan jelas telah memaksa Hizbullah untuk melucutkan senjata. Sesudah 600 rakyat Lebanon dikorbankan manakala ribuan yang lain tercedera dan 700,000 orang pula terpaksa meninggalkan rumah-rumah mereka, rejim Zionis tetap bertegas mereka hanya menyerang Hizbullah dan bukannya rakyat Lebanon. Bagi mereka, dunia sepatutnya menerima tindakan rejim Zionis sebagai usaha untuk mempertahankan diri.

Rejim Zionis juga seperti biasa akan mengatakan bahawa mereka tidak pernah menyasarkan orang awam. Mereka hanyalah menyerang para pengganas dan kebetulan masyarakat awam dijadikan perisai oleh para pengganas. Agak lucu, kerana perisai yang mereka dengan tidak sengaja membunuhnya itu jumlahnya sudah meningkat beribu orang, bukan hanya di Lebanon, malah di Palestin (Gaza dan Tebing Barat).

Rejim Zionis juga berusaha untuk menyalahkan Iran dan Syria yang mereka dakwa sebagai penyebab utama peperangan dan penaja keganasan. Iran dan Syria dilabel sebagai penaja keganasan kerana telah membiayai Hizbullah. Mudah sahaja sifir mereka. Apa sahaja yang dilakukan oleh rakyat Palestin ataupun Lebanon ialah keganasan, dan apa sahaja yang mereka lakukan adalah usaha membanteras keganasan. Resolusi 1559 dan 1680 dijadikan alasan utama mereka untuk bertindak, walhal mereka bukanlah wakil PBB untuk tujuan tersebut.

Rejim Zionis menggesa Lebanon untuk melaksanakan kedua-dua resolusi tersebut, seolah-olah mereka adalah entiti yang begitu berpegang dengan segala resolusi PBB. Bagaimana pula dengan resolusi 194 (memaksa rejim membenarkan rakyat Palestin pulang ke tanah air mereka) dan 242 (rejim wajib berundur dari Gaza dan Tebing Barat) yang tidak pernah dipatuhi oleh rejim Zionis? Bagaimana pula dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai 2004 yang menyuruh pihak rejim merobohkan tembok pemisah (Aparteid) mereka? Bagaimana pula dengan resolusi 425 yang memaksa mereka meninggalkan Lebanon dengan segera pada tahun 1978 dan tidak pernah mereka patuhi?

Jika mereka menuduh Hizbullah dan juga Hamas sebagai pengganas, tidakkah mereka melihat siapakah yang mencipta para pengganas ini? Tidakkah juga mereka melihat apakah yang menyebabkan mereka mengganas? Lebih parah lagi, tidakkah mereka melihat apa yang telah dilakukan oleh pihak rejim semenjak tahun 1917 lagi adalah 100 kali ganda ganas daripada apa yang dilakukan oleh Hamas dan Hizbullah? Apakah mereka sudah lupa bahawa IDF itu sendiri terbina di atas gabungan kumpulan pengganas Yahudi seperti Irgun, Stern, Haganah dan lain-lain lagi? Apakah orang yang menjajah itu adalah lebih mulia daripada mereka yang menentang penjajahan? Malangnya masyarakat dunia sering ditipu dengan propaganda Zionis di seluruh dunia.

Walau apa pun kesimpulan yang kita buat, yang pasti Rejim Zionis akan terus mengganas. Jika tidak di Lebanon, mereka akan mengganas di Gaza, jika tidak di Gaza, mereka akan mengganas di Tebing Barat, jika tidak di Tebing Barat, mereka akan menyerang Syria dan juga lain-lain tempat di rantau berkenaan. Apakah yang kita hendak harapkan kepada sebuah negara yang mempunyai lebih 200 peluru nuklear, tidak pernah mematuhi segala keputusan PBB, sentiasa disokong oleh AS dengan veto-veto di Majlis Keselamatan PBB, dibiayai setiap tahun oleh AS terutamanya di dalam bidang persenjataan dan juga tidak pernah dikenakan apa-apa tindakan di atas keganasan yang mereka lakukan semenjak tertubuhnya negara haram bernama ‘Israel’ pada 15 Mei 1948 ?

Jika anda masih lagi berharap, dan masih lagi berbaik sangka untuk mendapatkan kedamaian dengan rejim Zionis, maka anda bukanlah seorang yang mempunyai akal waras!!!

-------------------------------------

* Saya tertarik dengan artikel ini. Mencuit hati saya untuk memaparkannya di sini untuk tatapan kita semua. InsyaAllah, ada rahmat Allah untuk semua penduduk Qana yang perlu berjuang dengan darah dan air mata. Ya Allah, hanya Engkau yang Maha Membantu.

Kadar itu Antara Terendah Di Dunia

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Saya amat tertarik untuk berbincang tentang isu kenaikan harga pelbagai perkara - contohnya minyak dan tambang pengangkutan awam - dan juga tentang 'kekurangan' pelbagai benda di dalam pasaran hingga menyukarkan kita semua.

Jawapannya tetap sama - kadar itu antara terendah di dunia - kadar itu antara terendah di dunia - kadar itu antara terendah di dunia - perkara yang saya rasa saya sendiri sudah mual untuk menatap dan mendengarnya kerana kenaikan harga-harga itu tetap berlaku - kesannya amat banyak kepada orang-orang yang tidak berkemampuan - dan kadarnya masih sama, ANTARA KADAR TERENDAH DI DUNIA.

01 August 2006

Generasi Berbeza dan Peranan Berbeza - Tujuan Masih Sama.

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Satu-dua-tiga hari yang agak 'kosong' (dah kira macam tak ada seri la pulak, sedangkan matahari masih lagi timbul tenggelam), sebenarnya tak ada la kosong sangat pun...masih ada isi, selagi ada Dia di sisi. InsyaAllah.

Sabtu, dan Ahad. Seperti biasa, mengusung buku pelajaran untuk mengajar. Singgah di rumah seorang pelajar;

Kakak, Tuk ada di hospital Serdang. - Segera terbayang figura atuknya yang berusia lebih kurang 80 tahun (sudah amat berumur) dan rambut putih-putih sudah banyak menghiasi kepalanya, jalan tertunduk-tunduk dengan baju kurung dan kain batik pelbagai warna, mudah tersenyum, terutama setiap kali saya bersalam dan mencium tangannya yang sudah dipenuhi urat-urat timbul - wanita ini saya kenali lebih kurang dua tahun lepas sewaktu dia masih kukuh untuk bergerak - agak rapat dengannya walau puas juga cucu-cucunya (saya mengajar beberapa orang cucunya) bertanya apa yang sering saya bualkan dengan atuk ini kerana mereka nampak yang atuk amat rapat dengan saya - walhal, loghat Kelantan yang amat pekat itu, mereka sendiri tidak faham!

Tuk dah tak nak makan dan minum. - Saya terbayang lagi figuranya menghidang minuman dan makanan kepada saya. Di tolak perlahan dulang hidangan di hadapan saya, dengan harapan supaya saya segera makan kerana dia tahu waktu makan saya yang sering tidak menentu. Saat itu, cucu-cucunya akan berpandangan satu sama lain - kakak, tuk jarang hidangkan untuk kami - Terkadang semasa mengajar, nampak dia memandang dan merenung saya dari jauh. Dan, masih terbayang jua figuranya merajuk dengan cucu-cucunya, dan dia akan bercerita kepada saya. Pelbagai, menerbitkan rasa rindu tiba-tiba, padanya.

Saya memanjatkan doa untuknya - kepadaNya. Semoga dia cepat sembuh, dan semoga dia akan mengusap semula tangan saya seperti selalu setiap kali saya bersalaman dan mencium tangannya. Dunianya, banyak benar yang saya pasti, telah dia lalui. Deritanya, dari air mukanya yang suram, dia sahaja yang tahu tentang suka dan duka, dalam hidupnya. Air matanya, tentu sahaja telah banyak tumpah, dari dahulu hingga sekarang. Pelbagai, yang saya tahu ada dalam hidupnya.

Malamnya, saya sudah menuju ke ibu negeri Selangor pula. Adik kecil berusia sepuluh tahun, saya mengajar dia seperti biasa. Keletahnya, membuat saya lebih banyak berfikir (mungkin diri saya sendiri yang sering asyik berfikir seminggu dua ini) dengan apa yang dikatakannya. Mungkin padanya itu hanyalah lelucon untuk seorang 'guru' yang dianggapnya seperti kakaknya sendiri :

Kenapa mesti gunakan haiwan ataupun pokok sebagai bahan eksperimen? Kenapa tak gunakan manusia sahaja? Kasihan haiwan tu, cuba cikgu yang ajar eksperimen ni jadi bahan ujikaji, kepala dia kena tutup dengan kain hitam dan biarkan selama 4 hari, tahan ke dia? Kalau dia tak tahan, haiwan tu pun tak tahan! - Ini realiti di hadapan mata seorang anak-anak kecil. Sekecil dia, boleh berfikir. Tentang apa yang haiwan rasa. Tentang apa yang cikgunya perlu buat - kerana rasa kasihnya. Kenapa agaknya sebesar kita ini, sedewasa kita ini, jarang benar berfikir - kalau kita sendiri tidak suka diperlakukan begitu, jangan lakukan hal yang sama kepada orang lain! (terutama di waktu perang yang sedang berleluasa ini - kenapa kita jarang belajar dari apa yang kita fikirkan?)

Kakak, apa makna agama yang syumul? - Dia sering bertanyakan saya soalan ini, tidak pernah lelah, kerana jawapan saya sering tidak sempurna agaknya - maklumlah, pendidikan agama saya agak cetek - belajar agama di sekolah agama di kampung dahulu sahaja - bila besar, saya mendalami bidang lain pula dan hanya lebih kepada pelbagai bentuk pembacaan langsung ataupun tidak langsung, praktikal saya sendiri pun amat kurang jika hendak dibandingkan dengan orang lain - masa untuk yang sunat sering terlalai, cuma ada rasa berharap semoga Allah menerima bahawa 'setiap saat saya dalam ibadah' - itu sahaja. Pastinya, saya amat 'miskin' dengan jawapan hingga dia sering mengulang soal pertanyaan yang sama. Dan, hasil jawapan saya pula, sering berbeza. Semoga Allah menganugerahkan faham kepadanya hasil dari jawapan yang diberikan oleh 'orang miskin' seperti saya. InsyaAllah. Jadikan dia wanita solehah yang darinya akan lahir generasi Islam yang lebih terdidik dengan ilmu dan sering memenuhi masa dengan amal - hanya untuk redhaNya.

Dua generasi berbeza, dua pendekatan yang tidak serupa, tapi dengan dua tujuan yang sama. Ummah, yang ada di sekeliling saya, membuatkan saya meneliti, hidup yang sementara ini hanyalah sementara bagi orang yang sementara. Kita tidak pernah merasa kekal, andai kita tidak pernah merasa erti 'kebal'.

Rendah diri, dan qanaah. Jarang kita padukan bersama.

Ya Allah, hanya Engkau yang Maha Mengetahui.

31 July 2006

Pengembara 7

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Hari Jumaat (28 Julai 2006), saya tidak buru-buru ke pejabat. Pun, tiba awal juga. 7.20 pagi sudah ada di hadapan meja. Pusing-pusing di dalam pejabat, tanpa sedar - handset ada di dalam poket baju kurung - betul agaknya boleh guna perkataan 'poket' - ada yang menghubungi saya saat itu. Jadi, tanpa tangguh, saya membuat panggilan ke Pantai Timur tersebut. Inti perbualan lebih kurang seperti berikut :

- Nak minta tolong supaya cover drain pecah tu dipasang yang baru.
(Saya dengar kata-kata ini, tapi saya hanya senyap. Entah kenapa, sebak menghurung di hati saya, tiba-tiba. Air mata yang mahu menghambur keluar, saya cuba tahan.)
Saya dah tak involve projek tu. Saya dah dikeluarkan.
- Kenapa orang yang buat kerja dengan elok disingkirkan sedangkan orang yang dah tahu rekodnya agak teruk jadi pengganti? (Nada suara ini amat marah kerana hampir dua tahun saya mengenalinya, dan semua orang mengenalinya, dia amat lembut.)
Saya tak tahu. Tapi, mereka berkepentingan. (Kepentingan-kepentingan itu, dia pun tahu, dan dia sendiri menyebutnya satu demi satu di dalam inti perbualan kami berdua.)
- Selama ni, kami kat sini nampak macamana cara awak bekerja. Awak lain dari mereka. Kami puas hati dengan cara awak.
Apa boleh saya katakan, saya telah disingkirkan dengan cara yang agak kasar. Tolong doakan ya. Saya pun berdoa hanya kepadaNya, kerana 'mereka' ada kuasa. 'Mereka' terlupa Allah yang lebih berKuasa.
- InsyaAllah.

Inti perbualan kami agak panjang. Pelbagai perkara yang disampaikan. Nada suaranya amat marah walau dia sedikit terkejut apabila tahu saya disingkirkan. Kebanyakannya tahu (ada beberapa sahabat seangkatan juga yang menghubungi saya selain dia), bagaimana komitmen saya kepada 'keadilan' dan 'kebenaran' sebelum ini. Mereka jadi keliru kenapa insan yang mencari benar disingkirkan, dan gantinya - mereka sendiri lebih maklum siapa pengganti saya, kerana itu mereka tidak bersetuju.

Tapi, apa yang saya boleh lakukan? Banyak, sebenarnya, yang saya boleh lakukan, kerana produktiviti saya sebagai manusia di bumi Allah ini akan jatuh andai saya hanya berdiam diri dengan 'kuasa' dan 'pangkat' dan 'harta' yang telah menyingkirkan saya, kini. InsyaAllah, selagi nafas belum sampai ke rengkungan, masih ada doa yang boleh dipanjatkan kepadaNya dan masih ada iltizam yang perlu dikukuhkan untuk sebuah perjuangan. Kita semua adalah hamba, dan tidak ada yang lebih antara yang lainnya kecuali dengan taqwa, iman dan ilmu.

InsyaAllah.

Ya Allah, bantulah semua hamba-hambaMu, walau di mana mereka berada, terutama untuk hamba-hambaMu yang sedang berjuang dengan darah dan air mata, dengan keringat dan derita, dengan kelaparan dan dahaga. Ya Allah, Engkaulah yang Maha Kuasa dan Engkaulah yang Maha Membantu. Bantulah hamba-hambaMu ini, kerana Engkaulah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

InsyaAllah.

27 July 2006

Pengembara 6

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Alhamdulillah. Seminggu yang agak penuh dengan aktiviti. Malah sehingga hari ini, masih ada mesyuarat yang perlu dihadiri, dan dikoordinasi.

Isnin, 27 Julai 2006, awal pagi lagi saya sudah perlu menghadiri mesyuarat. Hingga tengahari. Usai Solat Zohor, saya sudah berteleku di hadapan boss yang menuntut beberapa tugasan untuk disiapkan. Saya akur, dan sehabis waktu pejabat, saya sambung rutin kelas pengajaran saya semula. Kata anak murid saya, atuknya masih di dalam bilik pembedahan. Sudah hampir 5 jam. Sayu rasa hati tiba-tiba, teringatkan atuknya yang saya pernah jumpa sekali. Umurnya dalam lingkungan 70 tahun. Tapi, pendengarannya masih jelas. Kata-katanya bernas. Ucapannya padat. Saya agak terkejut semasa berjumpanya pada Khamis lepas. Dia membicarakan tentang berita semasa, tentang Palestin dan Hizbullah, menegur cucu-cucunya yang tidak mengambil peluang belajar bersungguh-sungguh, bercerita tentang duit suku sen dan setengah sen - malah tentang duit gambar daun pisang juga - saya memang sukakan cerita lama dari orang lama. Ada juga dihitung bilangan anak, cucu, dan juga cicit-cicitnya - dia banyak tersenyum semasa bercerita, walau lembut tapi butir katanya cukup jelas dan kemudian bila sahut bersahut azan Maghrib dari Masjid Negara, perlahan dia memusingkan kerusi rodanya untuk masuk ke bilik...

Hari Selasa pula (mungkin ini ingatan yang sukar dilupakan) - saya menerima 'memo pertukaran' - ini politik di pejabat ini, hanya kerana saya masih hijau dan masih patuh pada prosedur dan tidak gemarkan rasuah pastinya - pernah jua merasa disogok sekali oleh salah sebuah syarikat yang bangunannya gah berdiri berpuluh tingkat di tengah ibu kota - saya abaikan sogokan itu hingga wajah merah padam itu perlahan-lahan memasukkan semula tangan yang dihulur kepada saya tadi ke dalam koceknya semula - saya diarahkan bertukar. Masih di dalam pejabat yang sama, dan dengan tugas yang sama, cuma dengan projek yang berbeza - perlu menangani projek yang lebih besar dari sebelumnya.

Saya akur, sabarkan diri dan hadir mesyuarat pada pagi itu seperti biasa. Walau hati masih jua tidak tenang, dan memo itu saya selit-selitkan di dalam buku nota saya, tidak saya tinggalkan di mana-mana - dan saya masih tersenyum, itu kata boss saya seolah-olah saya tidak ada apa-apa. Petangnya, usai Solat Zohor, saya duduk-duduk sambil pandang komputer saya. Cuba membelek diri jika ada kesilapan yang saya lakukan. Saya tidak nampak, atau saya masih tidak mahir membelek diri agaknya.


Pun, bila saya bertanya dengan boss yang faham dengan prosedur kerja dan tugas yang saya lakukan sebelum ini, hanya beberapa patah yang disebutnya : awak ok, tak ada masalah pun, kerja awak pun ok - saya tidak keliru kerana, insyaAllah, laluan yang LURUS itu masih belum pernah bengkok lagi. Cuba juga saya tanyakan pada 'keluarga-keluarga angkat' di tempat saya mengajar, jawapannya masih sama. Mereka rupanya telah nyata benar dengan 'laluan' saya dan tidak keliru dengan 'memo pertukaran' yang di sebaliknya bertunjang sejuta macam cerita-cerita 'orang berkepentingan' di sekeliling saya. Saya akur. Inilah dunia. Kebenaran sering benar tumpas, dan hanya padaNya saya berserah.

Ya Allah, inilah rasa juang yang cuba disematkan. Andai ada benar dalam tindakan ini, hanya padaMu Ya Allah kuserahkan diri, seluruhnya. Bantulah hambaMu yang lemah ini...

Hari Rabu, saya outstation lagi (walau sepatutnya saya sudah tidak perlu hadir sama, tapi dengan arahan boss yang amat memahami saya, saya akur juga). Alhamdulillah. Itu kurnianNya. Memang amat indah. Kerosakan di tempat-tempat yang baru sahaja dibina (di bawah seliaan 'orang-orang yang berkepentingan' itu) membuatkan saya berulangkali mengucap syukur. Pihak pengguna lebih faham, dan mereka tetap dengan reaksi sama pada saya. Malah, bila saya ajukan yang ini mungkin kali terakhir saya berada di situ, mereka menunjukkan reaksi berbeza. Kenapa? - itu persoalan yang diajukan kepada saya. Apa yang saya perlu katakan lagi kerana gerak hati yang Allah berikan ini jarang tersasar.

Hari Khamis, saya mengatur langkah, membawa 'memo pertukaran' menuju ke pejabat 'ketua'. Bersama boss saya, saya cuba menilai setiap butir kata 'ketua', dan saya sedikit pun tidak terkejut kerana segala tindakannya memang sudah saya jangka. Sudahnya, saya hanya mengatur langkah perlahan ke meja saya, memikirkan pelan tindakan B yang sudah saya rancangkan. InsyaAllah, yang benar itu masih ada imbuhan dari Allah, kerana saya dilahirkan ke dunia untuk ini : mencari benar, dan menegaknya - untuk redhaNya. Paling utama, saya perlu berusaha dan selebihnya saya perlu berdoa memohon padaNya : ini tawakkal saya.

Allah yang sering mengingatkan, Allah yang tidak pernah melupakan, Allah yang Maha Penyayang....dan saya perlu akur...hanya padaNya saya berserah... - di mana pun saya diletakkan, insyaAllah, yang benar di sisi Allah itu akan sentiasa benar di sisi saya, kerana saya hanya seorang hamba!

18 July 2006

Yang itu dunia, yang ini akhirat.

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Pagi semalam (17 Julai 2006) - baru saya sedar, entri saya asyik tidak menepati tarikh. Hari ini, saya ungkapkan yang semalam. Yang semalam, saya ungkapkan untuk minggu lepas. Agaknya saya ini tidak pandai mengurus masa - ayat negatif lagi! (dan saya tersenyum sendiri)

Buru-buru juga saya ke pejabat kerana sedikit terlewat. Kerana mesyuarat yang perlu dihadiri, dan kerana saya sendiri yang mengkoordinasi mesyuarat tersebut, saya perlu akur untuk hadir - rasa dahi dan terasa panas, aduh...saya demam lagi! Itu dunia, dan yang itu untuk tinggal di dunia, dan dengan iman, ikhlas dan ihsan, insyaAllah 'yang dunia' itu akan jadi ibadat. Ibadat itu untukNya, dan bukan untuk saya, kerana saya tinggal 'percuma' di sini - memetik sedikit ucapan Ustaz Zawawi pagi tadi.

Yang 'percuma' itu yang sering kita tidak sedar.

Mungkin agaknya kalau begini, sekali 'dosa kecil' kita buat, Dia ambil satu jari kelingking kita. Sekali 'dosa besar' pula, Dia ambil satu tangan kita. Dan setiap kali 'dosa kecil' dan 'besar' berulang-ulang kita lakukan, akhirnya kita tidak tinggal apa-apa pada badan. Mata sudah tiada, tangan, kaki, telinga, mulut, hidung, organ dalaman badan, semuanya tiada. Baru kita tahu betapa selama ini rahmat Allah amat besar.

Tak sedar, mana dunia, mana akhirat. Tak sedar, yang dunia itu untuk akhirat. Tak sedar, yang untuk akhirat, ada jua imbuhannya dari Allah semasa di dunia. Tak sedar, kalau nyawa sudah sampai di rengkungan, tiada taubat yang mampu dipanjatkan padaNya.

Sering kita tidak sedar, di penghujung dunia, tiada apa-apa, tapi di penghujung kehidupan, kain kapan putih itu sajalah yang kita akan bawa. Tiada selainnya. Jika dunia kita hanya dunia, dan akhirat...kita alpa.

Untung-untung hanya di dunia.

17 July 2006

Dedah, perlukah?

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Saya keletihan. Dua hari saya mengusung buku pengajaran. Di mana ada singgahan, di situ saya lena, walau sekejapan. Hingga ke kemuncaknya, petang semalam (16 Julai 2006). Saya longlai, akhirnya. Pun saya gagahkan, menabur ilmu sesempurna yang dipinjamkan Allah kepada saya, insyaAllah. Alhamdulillah.

Pun, di saat 'anak sulung' saya menelefon meminta saya balik ke rumah abang - bulan ini saja baru dua kali saya berjumpa dia sebenarnya kerana dia dan adik-adiknya duduk di kampung hampir dua minggu bersama uminya - malam tadi, saya terus membatalkan satu kelas. Syarat pertama saya membatalkan kelas, saya sudah longlai - demam dan mengantuk - bila saat memandu pun tidak mampu membuka mata, mahu buat apa lagi? Syarat kedua, saya sendiri rindukan bantal dan katil di rumah. Rindukan buku-buku saya, dan yang paling utama, saya rindukan ketukan keyboard laptop saya yang sengaja saya tinggalkan di rumah kerana kesibukan saya. Syarat ketiga, pastinya kerana saya rindukan 'anak-anak'. Lihat 'anak-anak', saya tahu, dan saya boleh rasakan, tercampak jauh segala keletihan yang tertanggung.

Jadi, saya balik malam tadi. Sebelum bertolak balik, adik kepada anak murid saya - si kecil berusia dua tahun lebih - rapat duduknya di atas riba saya. Walau mama-nya dan dua orang kakaknya cuba mengambil dia kerana saya hendak balik, dia tidak mahu. Yang lebih comel, dia melambai tangan kepada mama dan dua orang kakaknya seolah-olah dia memang mahu mengikut saya. Suka benar dia dengan saya, walau berulang jua mamanya menyebut yang si kecil Adam itu bukan suka dengan orang lain walaupun ibu atau bapa saudaranya sendiri, tapi kalau jumpa saya, pelbagai ragamnya. Hendak ikut balik pun sudah berulangkali!

Tiba di rumah, 'anak-anak' sudah melompat di hadapan pintu : Ye ye....mak ngah balik....
dan saya hanya tersenyum, mencium dan memeluk seorang demi seorang dan berbual dengan kakak. Abang, pastinya bekerja. Lebih kurang pukul 11 malam, saya segera minta diri untuk tidur. Letih amat. Kerinduan pada bantal dan bilik pun terluah. Malah pada laptop jua. Ada saja oceh saya walau dalam letih. Sedikit saja, memadai untuk meluah rindu.

Pagi tadi, saya bangun agak awal. Di dalam perjalanan, sambil-sambil mendengar radio IKIM, saya terkesima. Sudah terDEDAH? sudah diPUTUS? jadi, saya perhati lagi dan perhatikan, mungkin dari pelbagai aspek, kerana saya juga orang awam dan ada tugas-tugas yang telah diamanahkan oleh Allah kepada saya.

Oklah. Ini saya. Rahsia perlu disimpan, sebenarnya. Memang rakyat mahukan maklumat, kerana dalam dunia ini, maklumat itulah nadi kepada sesuatu perkara. Tanpa maklumat, pincanglah sesuatu perkara itu. Tapi, dalam sesetengah keadaan, memang rahsia-rahsia yang memang rahsia itu perlu disimpan. Itu sudah namanya rahsia, kalau sudah didedah kepada satu dunia, apakah sehingga ke tahap ini satu-satu pentadbiran harus didedahkan? Apakah langkah-langkah dan segala dasar-dasar atau peraturan perlu dibuka semuanya? Biar seantero dunia tahu, agaknya. Sudahnya, kita tidak kebal. Kita jadi malap, dan lama kelamaan, semua kita akan padam bersama terpadamnya sebuah kekukuhan.

Mulanya, saya perlu maklumkan dulu, memang saya tidak terlibat langsung dengan mana-mana cerita pincang yang sedang 'popular' sekarang. Saya hanya orang biasa, masih hijau dan mentah. Semangat pada diri saya hanya semangat jihad yang saya diberi pinjam olehNya. Selain itu, saya tidak ada apa-apa. Saya orang miskin yang terlalu miskin, menumpang di dunia ini hanya untuk berjihad dan mencari redhaNya.

Saya sering mengibaratkan saya seperti pengembara sementara yang menumpang di sini, di dunia ini. Ada pohon rendang untuk saya berteduh dari terik suria, alhamdulillah. Ada sebiji buah di atas pokok rendang tersebut untuk saya jamah sedikit, alhamdulillah. Ada seteguk air dari hujan yang turun sesekali, alhamdulillah. Tiada apa yang mahu saya kutip dan jadikan harta di pohon itu. Nanti berjalan lagi, jumpa pohon lagi, jua...alhamdulillah. Dapat menghirup oksigen, jua alhamdulillah. Banyak yang Allah telah berikan, dari perjalanan awal saya hinggalah nanti bila saya sudah tiba ke penghujung jalan. Semuanya....alhamdulillah.

Jadi, saya sendiri rasa, usahlah dasar dibuka-buka. Rahsia dihebah-hebah. Itu semua tidak perlu kerana kita semua bukannya nak tahu sangat pun, yang penting pelakunya. Amanahkah dia? Jujurkah dia? Teluskah dia? Berlandaskan hukum yang hak-kah setiap tindakannya? Itu yang dikatakan bahawa pemimpin yang adil itu, jika sentiasa adil, walau tanpa bukti pun, rakyat tidak akan mencela. Rakyat tidak menghina, rakyat tidak menduga. Kerana hadirnya seperti permata, mengalirnya seperti air, kebaikannya tertabur seperti apa yang dikehendaki olehNya. Semuanya berlandas padaNya.

Pincang? Banyak perkara memang pincang, tapi berapa ramai yang sedar? Jika dihitung yang pincang itu, memang tidak terhitung. Saat ini, cukuplah. Tolehlah kanan dan kiri pun, kita memang sudah nampak banyak kepincangan di sekeliling kita. Sedarkah kita akan setiap kepincangan itu? Apakah dengan membuka rahsia dan pentadbiran, kita akan lebih kukuh di masa hadapan.

Usahlah terlalu memomokkan diri dengan angan-angan andai diri kita masih tidak mampu bertunjangkan peninggalan Rasulullah itu. Pusatkan diri, tanamkan di dalam diri kita, bukan diri orang sekeliling kita, yang kita ini selaras dengan semuanya - kehendak Yang Maha Esa, kehendak masyarakat dan kehendak diri. Belek-beleklah diri, kita bukan sempurna, jadi..fikirlah. Sebagai pemimpin, apa imbuhan kita kepada rakyat dan negara?

13 July 2006

Pengembara 5

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Semalam, hari apa agaknya (tertanya-tanya tentang hari lagi...nampak yang saya masih tidak fokus dalam minggu ini). Hari Rabu. 12 Julai 2006. Mulanya, saya rasa saya bangun agak lewat. Jam di paparan telefon saya sudah menunjukkan 6.05 pagi (walau waktu sebenar masih belum pukul 6 pagi pun) di saat saya mula membuka mata. Letih agaknya, tidak sedar alarm yang berbunyi pada pukul 5.15 pagi, waktu saya biasa bangun dan mandi di hari yang lain. 5.15 pagi (paparan di telefon sahaja) sedangkan waktu sebenar baru pukul 5.00 pagi sebenarnya.

Usai mandi dan solat Subuh, saya menarik buku Kemuliaan Para Wali yang terletak di hujung sujud. Selalu tertangguh membacanya, hinggakan walau diusung ke hulu dan ke hilir, mundar mandir, saya masih tidak upaya menghabiskan satu bab seluruhnya. Dapat baca satu atau dua hadis, saya sudah tutup buku tersebut dan berkemas hendak menuju ke tempat kerja. InsyaAllah, bacaan yang sedikit itu yang saya mahu fikirkan, lagipun kalau baca saja banyak, isi yang masuk tidak dapat dijadikan pengajaran, apa gunanya - ayat ini sekadar menyedapkan hati yang rusuh kerana terkadang agak tertekan dengan masa pembacaan yang singkat sedangkan hobi saya memang membaca!!

Masuk saja ke kereta, saya mula meraih tenang seperti yang tercatit dalam hadis tadi - latihkan diri walau selalu cuba meraih tenang, yang ini lebih mudah agaknya kerana disandarkan pada Rasulullah SAW - insyaAllah. Alhamdulillah. Tersekat dalam kesesakan jalan raya di hadapan padang TUDM pun, saya masih boleh tersenyum. Mungkin jua kerana paparan jam tangan menunjukkan jam baru pukul 6.55 pagi. Saya terasa masih 'lega' walau saya tahu saya tidak perlu 'punch card' untuk hari ini. Bukan tergesa-gesa, cuma saya tidak mahu ada yang perlu menanti saya sedangkan saya lebih suka menjadi orang yang menanti...

Tiba sahaja di pejabat utama, saya terus ke tempat meletak kereta. Hati saya makin resah.

"Apa yang nak dicakapkan agaknya? Mahukah terima alasan saya berjumpanya?"

"Perlukah saya jelaskan saja apa yang saya nak hasilkan dari perbincangan ini?"

"Adakah dia akan menjadi negatif atau positif? Setahu saya, orangnya positif.."

Bermacam ulasan dan pertanyaan berpusing-pusing di dalam kepala saya. Almaklum, orang yang saya hendak jumpa bukan kenalan lama, bukan pula kawan sepejabat, malah bukan kenalan seangkatan dengan saya pun. Kalau saya masih 'hijau' dan masih mentah, ibarat anak ikan yang baru lahir semalam dan mula hendak meredah lautan luas, dia agaknya sudah jadi ikan paus tua, sudah banyak perjalanan jauh dan lautan yang diredahnya. Cetek benar pengalaman saya dalam bidang yang hendak saya bincangkan dengan dia ini.

Pun, perjumpaan itu berlangsung jua. Melihat roman wajahnya, saya tahu, dia masih sama seperti kali pertama saya berjumpa dengannya di dalam satu mesyuarat. Kali kedua pula saya bertemu dengannya di dalam satu seminar yang saya hadiri di mana dia menjadi perasminya. Dia jua menegur saya pada waktu itu. Kali ini, kali ketiga dalam tempoh awal saya bekerja di sini, dan saya berjumpa lagi dengannya.

Kawan di sebelah saya (staff dia sendiri) terus bertanya pada dia,

"Tuan Haji kenal kawan saya ni?"

-"Kenal" - dan dia tersenyum sedikit...sahih...dia masih mengingati saya, walau air mukanya agak serius juga. Melihat anggukannya yang berulang-ulang, timbul satu rasa 'selamat' di hati saya.

Perbincangan itu berjalan jua, dan maklumat yang diberinya, sama jua seperti apa yang pernah disebutnya di dalam mesyuarat di mana saya berjumpa dia buat kali pertama. Alhamdulillah. Asam garam 'kerja' itu saya maklumi jua. Kehidupan seperti roda itu, saya jua turut faham tentangnya. Biasalah, sudah alah dengan pelbagai masalah, saya hanya mahu belajar dan belajar dan terus belajar. Selama ini pun, hanya padaNya masalah itu saya adukan. Dan, usai perbincangan itu, saya jadi lebih yakin. Amanatnya kepada saya : Tukarkan beg lama itu dengan beg baru dan simpan dahulu beg lama itu. Penuhkan dahulu beg yang baru untuk kegunaan sekarang....jangan dipermainkan lagi...pastikan ada basis....dan proof.... - dan saya belajar lagi. Alhamdulillah. PadaNya saya panjatkan rasa syukur yang tidak terhingga.

Usai perbincangan, saya menghala ke pejabat saya. Kalau pagi tadi saya di dalam perjalanan, saya dihidangkan dengan lampu hijau yang asyik menyala di setiap persimpangan yang saya lalui, perjalanan yang kurang sesak jika dibandingkan hari biasa dan kereta-kereta yang tidak banyak, cahaya matahari terbit yang sangat indah dan menusuk jauh ke dalam diri saya, sama jua dengan perjalanan ke pejabat selepas perbincangan. Jalannya amat lengang, dan saya seperti tidak terasa yang saya sedang memandu di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur!

Ketua saya asyik bertanya dan mengkaji gerak cerita yang saya paparkan kepadanya di sepanjang perbincangan tadi. Saya hanya bercerita seadanya dan mula mengambil pilihan untuk bertindak seperti yang telah dinyatakan kepada saya. Saya jadi diam, tenang dan lebih tabah, walau jauh di sudut hati saya sendiri tahu, bukan mudah untuk menegakkan kebenaran, dan inilah yang mahu saya lakukan. Saya mahu perjuangkan yang benar itu walau pahitnya saya telan dalam-dalam. Saya tidak ada kuasa apa-apa, tapi saya hanya mahu meminta dariNya yang Maha Berkuasa. Adakah Yang Maha Kuasa akan menghampakan saya andai saya jujur dan ikhlas? Memang sukar, kerana siapalah saya, tapi insyaAllah...sabar dan istiqamah yang disuruh pupuk olehNya, dan saya perlu menunggu....cuma....jangan 'jatuh merudum' hanya kerana tidak sabar dan lelah mencuba mencari benar!

Petangnya, saya mengajar seperti biasa. Sama jua malamnya. Jihad ini, andai saya mahu teruskan, hanya Dia saksinya...kerana tiada persaksian yang lebih besar dari persaksianNya....dan saya hanyalah hambaNya yang amat lemah.

Ya Allah...bantulah hambaMu ini mencari benar dan menegakkan yang benar...hanya padaMu hambaMu ini berserah...kerana miskinnya hambaMu ini, setitik air pun tidak dimiliki di dunia ini...yang telah Kau pinjamkan, itu sajalah yang ada....Kau Yang Maha Berkuasa...

11 July 2006

Pengembara 4

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Kembara lagi...

Lama benar rasanya tidak menulis di sini. Masalah dengan komputer dan networking dan kesibukan yang tidak terungkap membuatkan saya lebih suka memilih untuk 'mendiamkan diri' sahaja.

Macam minggu lepas, Isnin dan Selasa saya berada di Kuantan. Rabu pula, saya diarahkan bertugas di Parlimen. Isu apa Rabu lepas semasa di Parlimen, saya disogokkan dengan pendedahan tentang pelbagai isu yang membuatkan saya 'mencelikkan mata' bahawa bukan semua yang saya sangka elok dan baik itu indah dan sempurna dan bukan semua yang buruk dan hodoh itu langsung tidak sempurna.

Khamis pula, saya diarahkan pula ke Tanjung Malim. Satu lagi projek yang perlu disiapkan - ditambah masuk ke dalam akaun saya - terfikir lagi, mampukah saya tunaikan amanah ini? Hanya Allah yang Maha Memahami dan hanya Dia yang Maha Membantu. Semoga saya dipermudahkanNya...insyaAllah.

Pun, Khamis malam saya sudah berada di rumah atas urusan keluarga. Saya cuba selesaikan sebaiknya dengan hati yang penuh iltizam. Saya tahu saya tidak mampu, tapi saya cuba juga berusaha. Sikap tidak putus asa yang ada dalam diri saya ini agaknya yang menjadikan saya cukup 'kukuh'. Ermm..terima kasih padaNya yang telah meminjamkan dan melebihkan sifat tidak mengalah ini di dalam diri saya. Tidak berputus asa walau pelbagai dugaan yang menimpa...InsyaAllah.

Pagi Jumaat lepas, saya terlewat bangun. Mungkin kerana fikiran yang langsung tidak 'rehat', saya jadi penat walau dalam tidur. Janji dengan sahabat di pejabat, saya tangguhkan. Sudahnya, saya tiba di pejabat seawal 8.35 pagi. Buru-buru saya masuk ke kereta dan bergerak semula ke Pahang. Outstation lagi. Minggu ini saja, sekali pun saya tidak masuk ke ofis lagi. Semua urusan dibuat dalam 'panggilan telefon'. Mujur sahaja bahan berteknologi itu sudah diaplikasikan dengan agak meluas pada masa ini, kalau tidak, cuba bayangkan kalau saya berada di zaman 100 tahun dahulu agaknya...tentu saja saya tidak dapat menulis seperti ini, pastinya.

Pulang dari Pahang, saya terus mengajar. Petangnya, dan juga malamnya. Kalau boleh tidak mahu terlepas lagi kerana anak-anak murid sudah hampir benar dengan waktu peperiksaan. Saya tahu saya lemah, tapi selagi kaki boleh melangkah dan tulang belakang boleh tegak, ada amanahNya yang perlu saya lunaskan di sini....sebelum saya berhijrah ke sana pula....inilah amanahNya, dan semoga ada redha dan rahmat anugerahNya untuk saya.

Saya buntu, tapi saya cuba lakukan yang terbaik asal saja ia mampu membahagiakan sekurang-kurang 100 peratus manusia di sekeliling saya. Walaupun mungkin tidak pernah mencapai target yang saya mahukan, sekurang-kurangnya saya telah berusaha, dan semoga usaha saya diredhaiNya.

Ya Allah, bantulah hambaMu yang buntu ini.

13 June 2006

Pengembara 3

Assalamu'alaikum warahmatullah...

7 Jun 2006. Saya ke Setapak pula. Pelbagai timbunan tugasan yang harus saya lunaskan. Pun, saya jadi kuat. Bangkit bersama sebuah semangat, senyuman, ketabahan, walau hakikatnya apa yang ada di dalam hati, apa yang tidak saya luahkan dalam kata-kata saya, dalam air mata yang tidak nyata dizahirkan, kesedihan yang tidak terungkap, saya simpan semuanya sendiri. Hanya kerana Dia, hanya kerana Dia masih ada di sisi saya, sentiasa ada tidak berganjak, hanya kerana Dia yang Maha Kuasa, saya jadi setabah ini. Setelah derita yang hebat ini saya tempuhi. Saya tahu, saya amat tersiksa. Saya tahu, saya amat derita. Tapi, saya kena sabar. Kerana dunia ini hanya sementara. Saya kena tabah, kerana Dia sentiasa ada. Tempat saya mengadu harap.

Saya tahu, dan saya dapat rasakan, saya diingatkan berulangkali, ada rahmat, ada hikmah, yang saya tak akan pernah tahu waktu ini hinggalah saya melaluinya kelak. InsyaAllah. Dia, dan janjiNya pada manusia-manusia yang sabar, pada hambaNya yang lemah dan hina seperti saya. Dia yang Maha Tepat, dan kerana itu saya bertahan. Kuatkah saya? Tidak juga, kerana kekuatan ini adalah pinjamanNya, anugerahNya. Saya minta, dan Dia berikan. Alhamdulillah. Jika tidak diberikan pun, alhamdulillah. Selagi saya masih bernafas, nikmat oksigen yang masuk ke dalam setiap rengkung nafas saya itu saja sudah cukup menyatakan betapa Maha Pengasih dan Penyayangnya Dia. Dia yang tidak pernah melupakan saya, tapi saya yang sering melupakan Dia.

8 Jun 2006. Saya lelah lagi. Kepenatan. Harus tersenyum, hanya kerana senyuman saja yang menyebabkan saya jadi selesa. Jadi tidak merasa amarah beraja di hati saya. Walau setiap kali menginjak ke dalam kereta, ada air mata yang tidak tertahan. Saya akui, saya menangis dengan hebatnya. Setiap kali masuk ke kereta saya. Berulang-ulang jua saya sebut namaNya. Saya tidak tertahan, dan saya cuma ada Dia. Tiada yang lain, kini. Memang saya kembara, keseorangan di sini.

9 Jun 2006. Rupanya, ketabahan itu terlepas jua. Maafkan saya, hanya sekali, dan saya tidak mahu rasa bersalah ini mengorek setiap inci tidur saya dan meragut lena saya yang bersulam kepenatan. Cukuplah saya luahkan, walau hanya pada dinding batu yang kaku dan sepi setiap kali mata saya hampir tertutup. Saya cuba tabahkan hati sebaiknya, walau sesekali saya kalah. Ya Allah, dalam kepiluan ini, hanya kasihMu dan ampunanMu kuharapkan. HambaMu ini amat lemah, dan telah berdosa kepadaMu. Ampunilah hambaMu yang hina ini.

10 Jun 2006. Saya meredah semula laluan biasa saya. Mencurahkan ilmu sebanyak mungkin. Nyata, kesihatan tidak mengizinkan saya. Setiap kelas yang habis, masuk saja ke kereta, pada kereta saya yang masih kukuh, saya luahkan rasa sedih, penat, sakit, sayu dan rindu saya. Di dalam kereta jua, saya mengalirkan air mata berjuraian. Nyata, saya amat rindu. Hendak meluah rasa penat dan sakit yang tidak tertahan. Tidak tertahan, rasa sayang membuak-buak yang saya bajai dengan nama Allah yang Maha Esa. Hanya Dia yang Maha Mengetahui rindu saya ini. Hakikatnya, inilah rindu saya. Saya terasa amat rindu. Rindu amat. Rindu saya yang tidak terluah.

11 Jun 2006. Saya batalkan semua 'kelas pengajaran' saya. Emak, abah dan adik sudah tiba di rumah malam tadi. Lebih kurang pukul 8 pagi, saya sudah 'terpacak' di hadapan rumah di Negeri Sembilan. Rasa letih teramat sangat, saya terasa kesihatan yang semakin merudum jatuh. Pun, bila perlu menghantar emak dan abah, saya gagahkan juga diri. Pukul 10 pagi, saya sudah keluar semula. Mulanya, saya menjenguk kedai ubat mencari air Musoffa dahulu. Buat ubat untuk abah. Kasihan abah. Kakinya sakit. Dan saya melayan abah sebaiknya. Emak jua. Dan,bukan setakat air Musoffa, abah dan emak saya bekalkan sepasang pakaian lengkap. Sepasang kasut juga. Baju baru, kata emak, dan abah hanya tersenyum. Terima kasih, kata abah pula.

Tidak pernah lagi saya rasa sebahagia ini. Ibarat duit yang mengalir keluar dari dompet saya tidak terasa. Saya amat selesa kerana mampu menambah rasa bahagia di jiwa mereka. Walau saya bukanlah anak yang baik, tapi inilah rasa hati saya. Saya bahagia kerana mampu membahagiakan mereka berdua.

Dan, setelah menghantar emak dan abah ke stesen bas (kalau tidak kerana kerja pada esok hari dan ada mesyuarat yang perlu dihadiri, pagi itu juga saya sudah memandu pulang ke kampung untuk menghantar mereka berdua), barulah saya balik ke rumah. Hilang jua sedikit letih sebelum petangnya saya menghantar pula adik saya balik ke asrama. Setelah melayan 'anak-anak', barulah saya merebahkan diri untuk berehat. Rasa sakit, penat dan letih bersulam menjadi satu di dalam lena saya yang tidak tetap. Saya asyik terjaga, terlalu penat dan rasa sakit silih berganti. Dan, namaNya saya sebut berulangkali. Kini, Dialah segalanya. Telah saya serahkan diri, hanya padaNya. Tentukanlah hambaMu ini ya Allah, dengan ketentuan yang baik, dan jauhkanlah hambaMu ini ya Allah, dari ketentuan yang tidak baik. Ampunilah hambaMu yang berdosa ini.

Alhamdulillah.

Pengembara 2

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Menulis lagi saya di sini. Alhamdulillah. Kesibukan dengan tugasan dan pelbagai perkara menyebabkan masa yang suntuk untuk menulis di sini.

4 Jun 2006, saya bertolak semula balik ke rumah di Negeri Sembilan. Adik yang bongsu ditinggalkan di kampung, yang ada di dalam kereta cuma dua orang 'anak-anak' dan adik keempat saya. Ada juga kelapa parut, dua tandan pisang, tebu dan beberapa buah tangan kiriman emak dan abah kepada kami sekeluarga yang diletakkan di dalam bonet kereta.

Tiba sahaja di rumah (dalam pukul 2.00 petang), si kecil Ameerah tersenyum lebar. Gembira sungguh lagaknya. Mana taknya, dia dan uminya sahaja yang 'tertinggal' di rumah. Selepas itu, saya terus terlena. Memandu dengan jarak yang agak jauh, saya jadi lelah. Pun, kegembiraan 'anak-anak' dan emak dan abah apabila melihat saya pulang, menghadiahkan sejuta keindahan kepada saya yang keseorangan 'mengembara' di sini.

5 Jun 2006, saya sudah mengemas beg dan bertolak ke Pantai Timur pula. Hari Isnin, rutin berpuasa seperti sudah tidak tertinggal. Entah mengapa pula, apabila tiba di tapak projek, duduk di tengah panas berlindung di bawah sepohon pokok (lihat kerja kontraktor), saya jadi pusing. Kepala saya pening, sakit tidak tertahan. Pun, saya masih tersenyum-senyum di hadapan orang, cuba tidak menyukarkan orang lain. Alhamdulillah, bila semuanya sudah pergi dan saya tertinggal seorang di bawah pokok, barulah keluar isi perut saya. Ya Allah, itu saja terdetik di hati saya. Kepenatan, panas dan kesihatan yang amat lemah agaknya menyebabkan semua isi perut saya keluar waktu itu. Alhamdulillah.

Pun, saya terus menuju ke surau untuk bersolat. Badan pula terasa amat lemah. Puasa, saya gagahkan diri. Ini ujianNya, dan saya kena terus bersabar. Tiba di surau, air untuk wudhu' pula tiada. Hampir tumbang saya sewaktu cuba mencempung air di dalam baldi untuk dibuat wudhu'. Badan saya semakin tak stabil, dan saya hanya mampu menyebut nama Allah berulangkali. Usai solat, saya terus berjalan ke kereta. Badan memang terasa amat tidak selesa, rasa lemah dan hanya terbayang bilik hotel sahaja. Cuba jua saya gagahkan diri dan senyum di hadapan rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah, bukan saya yang memandu. Agaknya, kalau saya yang memandu, tak tiba di hotel agaknya hari ini.

Saya hanya meneguk air sejuk sewaktu berbuka puasa. Malamnya, barulah saya dan rakan-rakan menyusur tepian pantai, melihat gerai-gerai makanan laut. Duduk-duduk dan makan lala, ikan, sotong goreng tepung, sayur campur, tomyam, telur dadar bersama kawan-kawan membuatkan saya lebih segar sedikit. Entah bila lagi saya akan makan begini bersama kawan-kawan, selera semakin tumpul hari ke hari, dan kegembiraan semasa makan agaknya yang menyebabkan saya makan agak banyak. Rasa gembira yang tidak terungkap dan hanya saya tunjukkan dengan gaya makan saya agaknya...

6 Jun 2006, entahlah, hati saya cepat tersentuh agaknya. Pun, saya rasa lebih tenang (malah rasa bersalah sebenarnya menghantui saya), dan usai mesyuarat dan setelah semua keputusan dibuat, saya sudah semakin lega. Lega sangat. Usai tugasan saya dan mesyuarat yang dihadiri, saya dan rakan-rakan bertolak balik ke Kuala Lumpur. Jalan yang sesak dan hujan yang turun menyebabkan saya cuma mengajar pada sebelah malam. 4 orang anak murid. Usai mengajar, saya balik ke rumah. Tiba di rumah lebih kurang pukul 12.00 malam. Amat letih. Terus lena tanpa sedarkan apa-apa.

07 June 2006

Pengembara 1

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Ermmm...sejak balik dari Pantai Timur pada 31 Mei 2006, saya agak sibuk. Pada 1 Jun, sudah ada mesyuarat bersama kontraktor menunggu. Walaupun terbangun agak lewat pada 1 Jun (pada saya, kalau 6.15 pagi baru bangun, sudah lewat terutama jika hari bekerja kerana hendak berhadapan dengan kesesakan jalan sebelum masuk ke bandar Kuala Lumpur), jadi, tiba di pejabat lewat dalam sepuluh minit. Belumpun pukul lapan pagi, tapi kebiasaan masuk awal ke pejabat menyebabkan saya amat terasa dengan kelewatan tersebut.

Sehabis menyelesaikan tugasan pada 1 Jun, alhamdulillah...kesemua berjalan dengan agak elok. Sesekali 'bengkok' sedikit, ada juga yang membetulkan. Apabila petang tiba, saya terus pergi mengajar. Dua orang anak murid. Sehabis mengajar, sudah menginjak ke waktu Maghrib dan saya harus berbuka puasa segera. Sementelah, anak-anak murid tahu yang saya berpuasa. Alhamdulillah, berbuka puasa yang agak simple, tapi pada saya sudah memadai. Saya yang jarang untuk memilih makanan sekarang, hanya makan 'sekadar untuk menegakkan tulang belakang' agar tidak 'bengkok' ketika mengerjakan solat, insyaAllah..

Sehabis berbuka puasa dan bersolat, saya terus menuju pulang ke rumah. Singgah sebentar di kedai buku untuk membeli beberapa buah buku. Membeli beberapa buah buku sebelum bertolak balik ke rumah, memang sudah jadi kebiasaan saya. Di rumah, 'anak-anak' yang tidak ditemui hampir empat hari sudah menunggu. Tiga orang; dua orang lelaki dan seorang perempuan, masing-masing melampiaskan rindu yang tak sudah kepada saya. Alhamdulillah, mereka ibarat nyawa, penghibur saya yang 'keseorangan' mengembara di dunia ini.

Setelah melepaskan rindu, saya melepaskan pula kepenatan bekerja. Terus masuk tidur seawal mungkin setelah usai solat Isya'. Dan apabila pagi 2 Jun 2006 menjelma, saya sudah lebih segar. Alhamdulillahillazi ahyana ba'dama amatana wa ilaihinnusyur.

2 Jun 2006

Lebih kurang pukul 10 pagi, saya sudah keluar bersama 'Aqil dan Afiq. Mencari kedai untuk menukar tayar. Jenuh juga, harga yang ditawarkan agak mahal, RM165 untuk sebuah tayar Goodyear-Ducaro. Kalau dua tayar, sudah jadi RM 330, campur lagi dengan aligment dan balancing, saya tidak jadi. Terus ubah fikiran dan mencari beberapa kedai lain. Akhirnya terjumpa sebuah kedai di celahan kedai-kedai menjual besi buruk. InsyaAllah, dan saya terus halakan kereta ke arah kedai tersebut. Mungkin yang paling murah untuk harga bagi dua buah tayar (jenis Silverstone) bersama aligment dan balancing agaknya...RM280.

InsyaAllah ok, dan kemudiannya saya memandu semula pulang ke rumah untuk mengambil pelan ke Pondok Bustanul Ariffin. Di mana, saya pun tidak pernah tahu. Tapi, amanat abang saya untuk mengambil adik bongsu yang dihantar ke sana selama seminggu menyebabkan saya meredah panas terik matahari di Juma'at yang mulia untuk mengambil adik saya. Alhamdulillah, tersesat juga meredah jalan tanah merah dan batu kerikil yang agak jauh. Tapi, apabila terlihat kawasan Pondok tersebut beserta deretan kereta para ibu dan bapa peserta, saya jadi lebih 'segar'.

Mulanya, saya diajak sama menjamu selera. Tapi, memikirkan dua orang 'anak' yang ada bersama saya (masih kecil dan gemar meragam di tengah terik mentari), saya abaikan saja. Pun, mereka di Pondok menghulurkan dua cawan air kepada saya dan 'anak-anak'. Nampak sahaja adik bongsu saya, dia terus mengangkat barang ke dalam kereta dan saya terus memandu pulang ke rumah.

Usai solat Asar, ada lagi kembara saya untuk hari ini. Kami (saya, adik nombor 4 saya dan yang bongsu dan 2 orang 'anak-anak' saya - si kecil Ameerah ditinggalkan bersama uminya), meneruskan perjalanan pulang ke kampung pula. Saat cuti sekolah, kesesakan jalan ada di mana-mana. Terus meredah 'jalan dalam' dan hanya keluar semula ke lebuhraya apabila azan Maghrib sudah berkumandang. Melepasi Tol Ayer Keroh dan menuju ke selatan.

Berehat sebentar di hentian Pagoh yang masih dalam pembinaan. Tadinya, di dalam hati, hanya meniatkan akan menjama'kan solat di kampung nanti memandangkan hari sudah menginjak ke malam. Dengan dua orang si kecil, ditambah kesesakan, risau juga. Pun, dipanjatkan doa supaya semuanya di dalam lindungan Allah. Usai makan, jam sudah menunjukkan hampir pukul 9.00 malam. Setelah menelefon emak di kampung dan menyatakan akan tiba lebih kurang dalam pukul 11.00 malam, perjalanan diteruskan semula.

Melepasi tol Air Hitam (memberi pilihan pada 'Aqil samada mahu masuk ke Tol Air Hitam atau tol Yong Peng - tapi sudah malam benar untuk meredah jalan dari Yong Peng ke Air Hitam pun), alhamdulillah, dapat jua tiba di rumah dalam pukul 10.45 malam. Badan rasa amat letih, pun si kecil Aqil dan Afiq lebih selesa mengerkot di sisi mak ngahnya. Apa lagi, sambil mata yang hampir terpejam-pejam, menepuk-nepuk badan Aqil dan Afiq sambil mulut mengalunkan tahmid, akhirnya saya terlena jua.

01 June 2006

Outstation 2

Assalamu'alaikum warahmatullah

Hari kedua. 30 Mei 2006. Terbangun agak awal. Sayup-sayup, dengar azan Subuh dari masjid besar sebuah bandar di Pantai Timur. Saya terus mandi dan bersolat. Tengok matahari yang sedang naik nun jauh di hujung kuala, MasyaAllah...cantiknya...

Lebih kurang dalam pukul 8 pagi, saya terus turun ke kaunter untuk bertanya tentang kupon breakfast di hotel tersebut untuk 'teman' saya. Saya yang memang jarang mengambil sarapan terus bergegas ke tapak kerja. Nampak tapak kerja yang kosong dan lengang. Saya jadi sayu. Terasa keseorangan, satu perasaan yang sering hadir menerjah diri saya sejak akhir-akhir ini. Terasa hidup yang sudah tamat walau jasad masih berpijak di bumi nyata. Tanpa sedar, air mata menitis lagi. Ini saja masa yang saya ada, di tengah padang yang luas, di tengah terik mentari, tanpa sesiapa di sisi, untuk menitiskan air mata saya. Hujan di hati lebih hebat, tapi saya cuba abaikan. Sudah lama ia begini, sudah tersurat ia memang begini, dan dari hari ke hari, hanya air mata yang menemankan saya.

Perlahan, kaki saya hayun. Tapak kerja saya lewati. Nampak tompokan hitam. Tapi saya tidak mahu menghubungi sesiapa. Bukannya apa, rasa pilu itu akan menerjah lagi. Rasa sayu teramat sangat, walau sering saya tutup dengan senyuman semanis yang boleh. Lalu saya langkahkan kaki ke bawah bebayang sepohon pokok. Air mata, berhentilah. Hati, tabahlah. Akal, berfungsilah. Allah, bantulah hambaMu ini. Dan, perlahan, tangan saya menekan butang-butang halus di tapak tangan saya. Sejurus terdengar suara, saya terus melebarkan senyum. Tidak mahu diprasangka apa-apa, saya cuba berlagak biasa. Seperti tidak pernah menjadi sedih dan sayu. Seperti tidak pernah diamuk resah. Seolah-olah, tiada apa-apa berlaku pada saya dalam sehari dua ini. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Setelah hal kerja saya khabarkan, saya segera menuju ke bangunan pentadbiran di tapak kerja. Usai sudah bebanan di minda. Saya tolak ke tepi, sekuat yang saya mampu. Berbicara pula hal tentang diri, masa depan dan 'sikap' bersama beberapa pegawai di bangunan pentadbiran. Setelah melewati waktu tengahari, saya masih tidak makan. Tadinya, saya cuma melayan hati. Duduk-duduk keseorangan, melayan air mata kerinduan yang mahu mengalir. Kenapa agaknya jadi begini? Kenapa saya masih tidak cukup kekuatan? Sekali lagi...padaNya saya panjatkan....ya Allah...bantulah hambaMu ini.....hambaMu ini amat lemah....dan rasa rindu ini masih hadir....dan senyum saya masih di wajah. Sama jua. Seolah-olah tiada apa-apa kesedihan merajai hati saya.

Usai segala kerja, jam sudah menunjukkan angka 5.30 petang. Saya segera memandu pulang ke hotel. Sampai di hotel, tiada 'teman' saya di bilik. Mulanya saya tidak tahu. Habis merah tapak tangan kerana mengetuk pintu. Terlupakan handset, namun bila teringat, melihat tapak tangan pula yang sudah menjadi merah. Dan, bila 'teman' saya sudah balik dan kami masuk ke bilik hotel, barulah saya sedar. Seharian, tiada apa yang saya makan atau saya minum. Saya terlupa, hanya kerana rindu saya...kerana kasih yang tak pernah hilang....

Malamnya, saya dan 'teman' melewati lagi tepian sungai untuk menikmati makan malam. Nikmatnya sudah tiada, walau perut kosong tidak berisi. Hati, tabahlah. Semua ini kehendakNya. Ya Allah...bantulah hambaMu ini supaya lebih kuat...hambaMu ini amat lemah....terlalu lemah....hanya kerana kerinduan ini....