25 May 2006

Tukar pejabat

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Bukan tak selesa di sini. Bukan tak suka duduk di sini. Tapi, kadang-kadang hati ni terasa nak ubah angin sedikit. Mungkin sebab dah lama merasakan angin di sini, teringin nak rasa angin di tempat lain pula.

Itulah hakikat kerja. Kenyataannya, tak suka pun untuk tukar dan keluar dari sini. Tapi bila prestasi yang dah mula nak menurun, niat untuk bertukar semakin berkobar-kobar. Sementelah kawan-kawan lama ramai pulak yang offer supaya join diorang di pejabat diorang sendiri.

Tengoklah, ada rezeki di sini, masih di sinilah saya. Kalau ditakdirkan bertukar, bertukarlah saya. Semuanya perlu diredhai, barulah Allah akan meredhai kita semua. InsyaAllah.

Ya Allah...bantulah hambaMu ini supaya dipermudahkan dalam semua urusannya, insyaAllah.

Jalan di Malaysia 1

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Di waktu ayam belum berkokok, di pagi hari-hari bekerja, kebanyakan rakyat Malaysia sudah membuka mata, terutama yang bekerja di bandar-bandar utama di seluruh Malaysia, dan yang paling rajin sekali adalah penduduk-penduduk Malaysia yang bekerja di Kuala Lumpur agaknya. Jika di waktu cuti dari bekerja, sebahagian penduduk Malaysia mungkin mengabaikan solat Subuh, tapi berbeza dengan hari-hari bekerja. Seawalnya, kalau boleh mahu bangun awal supaya tidak bersesak-sesak di dalam traffic jam. Sebelum muazzin mengumandangkan azan Subuh lagi, kebanyakannya sudah berteleku di atas sejadah. Dengar sahaja azan, terus kumat kamit mulut sambil mengangkat takbir. Sebahagiannya, laju sahaja solat Subuhnya. Hilang kebanyakan rukun dalam solat, dan yang sering kebanyakan manusia alpa dalam solat mungkin dari segi toma'ninahnya. Sebab nak kejar masa. Takut punch-card warna merah. Tiga kali merah dah boleh dianggap tidak beretika dalam bekerja. Solat berkali-kali tak khusyuk dan 'laju', tidak kena apa-apa agaknya.

Sebahagiannya pula, masih khusyuk dalam solat. Tak apalah lambat sedikit tiba di pejabat, insyaAllah akan dapat jua tiba tepat pada masa punch-card. Semoga dipermudahkan Allah urusan di perjalanan nanti.

Keluar sahaja dari rumah, ada yang terus menuju ke stesen minyak untuk mengisi minyak kenderaan. Ada pula yang terus menghala ke sekolah menghantar anak-anak, menghala ke pejabat isteri atau suami, malah ada juga yang sudah singgah di gerai-gerai tepi jalan untuk membeli juadah sarapan pagi kerana tidak sempat hendak memasak sebelum ke pejabat. Masing-masing dengan agenda tersendiri. Kemudiannya, barulah masing-masing sudah berada di atas jalan raya.

Laluannya, kalau laluan di jalan kampung, kebiasaannya mungkin tidak banyak kenderaan di awal pagi. Kalau ada pun mungkin ternampak pakcik-pakcik tua yang berkopiah putih samada berjalan kaki atau mengayuh basikal, mungkin baru balik dari solat Subuh di masjid atau surau agaknya. Tapi, lubang-lubang dan lopak-lopak di jalan-jalan kampung, terkadang usah dikira. Kalau semasa musim panas, mungkin setakat debu-debu merah sudah menjadi lali kepada para penduduk. Lebih bermasalah apabila musim hujan tiba, lopak-lopak yang dipenuhi air amat berbahaya.

Kalau biasanya, di jalan kampung yang dijadikan jalan utama, lihat saja kawasan-kawasan Labis, Cha'ah, Mersing, Kuala Rompin, Olak Lempit, Jugra, Jitra, Sungai Petani dan kawasan-kawasan lain yang terdapat di seluruh Semenanjung Malaysia, belum termasuk di Sabah dan Sarawak lagi, seperti di Batu Niah atau di Limbang, pengguna kenderaan kebanyakannya bukan orang tempatan di kawasan-kawasan tersebut. Laju sahaja memandu, jika ada lopak-lopak air dan ada pejalan kaki atau penunggang motosikal di bahu jalan, kebasahan mereka dengan air selut berwarna kemerahan. Itu belum lagi dikira dengan najis yang mungkin terdapat di dalam air tersebut, siapa sangka jika ada najis binatang yang lebih haram, harus disamak pula setiap kali terkena lopak air. Tabahlah wahai para penghuni kampung yang mempunyai jalan berlopak, setiap ujian itu ada hikmahnya yang tersembunyi.

Kalau di bandar-bandar pula, keadaannya sedikit berbeza. Seawal pagi, terkadang belum pun pukul tujuh pagi, sudah sedia disajikan dengan pesta 'lampu brek'. Kesesakan jalan bukannya seketika. Jaraknya sahaja, mungkin mencapai sehingga sepuluh kilometer. Biasa bagi pengguna kereta di zaman 60-an dan 70-an dahulu, mungkin sepuluh kilometer perjalanan memerlukan masa lebih kurang dalam lima belas minit dengan menggunakan kereta. Berbeza pula keadaan di tahun 2000-an ini, sepuluh kilometer perjalanan di awal pagi hari bekerja mungkin memerlukan masa lebih kurang satu jam atau lebih walau teknologi kini sudah mampu menghasilkan kenderaan-kenderaan yang berkali-kali lebih canggih dari kenderaan-kenderaan pada 30 atau 40 tahun lepas.

Keadaannya akan jadi lebih buruk lagi pula apabila musim-musim perayaan serentak menjelma, ataupun semasa cuti-cuti persekolahan atau cuti umum yang agak lama. Keindahan untuk bertemu keluarga di kampung seperti sudah terbiasa dengan menghadapi jalan sesak sehingga berjam-jam lamanya. Boleh pula terdengar cerita, jalan yang sesak bukanlah pula jalan yang tidak berbayar sebaliknya jalan berbayar yang dikatakan dapat menjimatkan masa dan memberi keselesaan di dalam perjalanan.

Entahlah. Jalan di Malaysia. Jalan di Kuala Lumpur. Bilakah akan pulih. Bilakah akan diubati kemelut masalah seumpama ini. Tabahnya rakyat Malaysia yang sudah berpuluh tahun terlibat dalam kesesakan jalan raya, masih mampu tersenyum walaupun apabila timbul kesesakan jalan, sesekali rasa macam hendak 'terbangkan' kereta sahaja supaya cepat tiba.

Senyumlah. Kita sekarang berada di Malaysia.