29 August 2006

Pengembara 10

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Hingga bila kembara ini akan berakhir
Sedang tangan kukuh sudah longlai
Kaki sudah jadi makin kaku
Dan nafas sudah sesak-sesak
Pun kembara masih berjalan
Seiring masa
Tiada perhentian
Dengan namaNya.

Musim cuti sekolah yang lalu, pada 21 Ogos 2006, saya hanya ke negeri yang di dalamnya duduk bersemayam Sultan Azlan Shah dan permaisurinya. Itupun, separuh hari sahaja. Pusing-pusing di keliling Proton City, dan lebih kurang 7 malam, saya sudah berada di Kuala Lumpur semula. Terus solat Maghrib di dalam perjalanan dan kemudian menuju ke kelas pengajaran.

22 Ogos 2006, saya meredahi laluan kelas pengajaran saya tanpa ke pejabat. Cuti yang masih banyak, teringin untuk saya habiskan - sementelah di masa cuti sekolah seperti ini. Pada senjanya, sekali lagi azan dari Masjid Negara menyapa deria dengar saya. Suatu kesayuan yang tidak mampu saya ungkapkan setiap kali azan bersahutan. Panggilan dariNya, untuk saya mengadap Dia.

Pagi 23 Ogos 2006, saya masuk ke pejabat semula dan bercuti semula pada 24 Ogos 2006, meredah semula laluan kelas pengajaran saya untuk mencurah ilmu sebanyak mungkin. Itu jua bekal saya nanti. Jika bekal saya tidak cukup, apa yang hendak saya gunakan di sana nanti agaknya?! Pun, pada 25 Ogos 2006, saya masuk ke pejabat semula. Hmmh!

Pagi 26 Ogos 2006, saya meredah laluan biasa saya, dan di celahan itu, saya teringat pada hari konvokesyen adik saya yang sepatutnya, hari ini! Apabila saya menghubungi abang saya, saya dimaklumkan yang mereka telah bertolak ke UIA. Lalu, kelas di sebelah petang saya batalkan (anak murid-anak murid minta saya datang juga pada esok hari). Usai kelas yang ketiga, saya terus mengambil seorang lagi adik di UIA (yang masih di awal tahun pengajian) dan terus bertemu dengan keluarga saya di sebuah taman di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Usai makan-makan dan sembang-sembang, kami sekeluarga terus bergerak ke Masjid Negara untuk solat Asar.

Di sini ruang kemuskilan di minda saya timbul. Terus terang saya katakan, hampir empat tahun saya berkhidmat di Kuala Lumpur, saya tidak pernah sekalipun bersolat di Masjid Negara! Sementelah saya tidak perlu bersolat Juma'at tentunya, dan masa yang sangat singkat dan terbatas selalunya menyebabkan Rukun ke-2 itu saya sering lunaskan di surau pejabat atau di kelas-kelas pengajaran saya, ataupun di masjid-masjid lain yang berada di laluan perjalanan saya.

Maafkan saya, tapi ruang kemusykilan itu timbul apabila melihat ruang solat wanita yang tidak ada tirai! (saya tidak tahu ada berapa ruang solat wanita di masjid ini, tapi yang ini di tingkat atas agaknya, kerana perlu mendaki tangga berulangkali) Mungkin di bahagian hadapan, memang ada bidai pemisah antara ruang solat lelaki dan wanita. Namun, cermin di bahagian belakang (laluan di luar cermin pula menjadi tempat laluan umum) langsung tidak ditutup. Saya pandang kakak dan saya lihat emak. Kakak, personalitinya membuatkan saya nampak dia tidak selesa dengan keadaan itu. Malah, sama jua dengan saya.

Beberapa orang wanita yang sudah siap bersolat di sisi saya elok saja memperagakan rambut sambil menepek wajah dengan bedak muka, dan kemudiannya barulah memakai tudung. Beberapa orang lelaki di laluan luar pula masih duduk-duduk dan memandang di sekitar, dan tentu saja nampak apa saja aktiviti di ruang solat perempuan kerana ruang itu langsung tidak bertutup. Nampak seperti tiada apa-apa agaknya pada mereka, dan saya dan kakak yang rasa serba salah dan tidak selesa, tanpa menanggalkan tudung terus saja menyarung kain telekung untuk bersolat. Usai solat, saya bincangkan dengan kakak tentang perkara tersebut. Dia hanya menjawab, "seeloknya diletakkan tirai di cermin tersebut" - dan saya pegang gelaran ustazah yang kakak sandang sebagai mempersetujui perkara tersebut. Walaupun langsung tidak menanggalkan tudung, pastinya saya dan kakak amat tidak selesa memikirkan yang orang-orang lelaki di luar sana melihat bukan saja 'aksi' kami bersolat, malah aksi sebilangan yang lain yang 'mungkin' tidak sedar atau buat-buat tidak sedar bahawa orang lain boleh memandang mereka di luar sana.

Remeh temeh saja nampaknya, tapi ia amat meninggalkan bekas di dalam diri saya. Terutama, masjid itu merupakan lambang penganut Islam rakyat Malaysia. Inilah jadinya Islam di Malaysia pada masa ini agaknya, tidak kukuh dan tidak utuh, iman sudah berkeruping di tepi telinga menunggu masa hendak dikupil keluar saja. Kebiasaan yang dilakukan oleh ramai orang itu sudah menjadi biasa, hinggakan kalau tidak mengikut aturan dan prosedur Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW pun, jika sudah jadi kebiasaan pada majoriti, pemikiran yang minoriti ini terbiar dan terabai, walaupun benar.

Itulah, kualiti atau sekadar kuantiti, sudah memadai?

Ya Allah, Kau yang Maha Kuasa, Maha Membantu, bantulah kami mengukuhkan iman-iman kami yang asyik goyah ini. Ya Allah, bantulah kami menegakkan Islam dengan namaMu.
Amin.

25 August 2006

Kuantiti atau Kualiti

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Saya diasak dengan dua perkataan ini - kualiti dan kuantiti, sejak akhir-akhir ini. Bukan saja dari segi persekitaran, kerja, dalaman saya sendiri, suasana sekeliling, keadaan semasa, malah juga oleh beberapa tazkirah dan ingatan yang saya dengar di corong-corong media.

Kuantiti.

Sekitar contoh :

- Ada berapa projek yang pernah dibuat sebelum ini?
~Banyak, tak terhitung. Banyak projek yang saya dah buat, dan saya ada banyak pengalaman.

- Dah lama kerja di sini?
~Lama, lama sangat. Lebih dari dua puluh tahun.

-Dah berapa hasil tulisan yang dihasilkan?
~Banyak, amat banyak. Lebih dari 30 buah. Dan dah banyak royalti yang saya terima.

-Berapa orang tentera yang dihantar untuk berperang?
~Banyak. Lebih dari bilangan penduduk negeri tersebut. Yakin, boleh menang. Kerana kita lebih ramai.

-Berapa umur tuan?
~Umur saya, lihat saja rambut saya. Saya sudah lebih 80 tahun. Kamu masih muda.

Sering amat kita dengar tentang kuantiti, tentang berapa kerja yang telah dibuat, tentang bilangan tahun perkhidmatan, malah semuanya dan kebanyakannya di sekeliling kita lebih gemar merujuk kepada kuantiti. Kepada sebilangan golongan yang lebih banyak di dunia ini, jika lebih banyak, maka situasinya lebih selesa. Jika lebih ramai orang buat begitu berbanding begini, maksudnya yang begitu itu lebih betul berbanding yang begini. Cakap orang yang seorang jarang didengar berbanding dengan cakap orang yang dipersetujui ramai.

Hakikatnya, apakah kuantiti merujuk jua kepada kualiti?

Umat Islam di seluruh dunia lebih kurang 2 billion jumlahnya agaknya, tapi berapa ramai agaknya yang benar-benar patuh dan tunduk pada Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW? Berapa ramai jua yang mengaku Islam, tapi saban malam cuba-cuba mengkoreksi diri di pub-pub dan disko-disko sehingga menginjak pagi? Berapa ramai jua yang pada seumur tiga atau empat atau tujuh atau lapan tahun setia di hujung sejadah, tunduk rapat membaca Al-Quran, dengar saja laungan azan terus bertebaran mencari wudhu', tapi apabila usia semakin meningkat, semua itu sudah tidak dijadikan gaya hidup?

Ramai, terlalu ramai, kerana saya jua salah seorang darinya yang keciciran diselaputi udara dunia yang amat indah ini. Saya, mungkin lebih rendah dari kebanyakan orang kerana apatah lagi kualiti, kuantiti itu pun saya tidak pernah hitung. Jarang sangat saya menghitungnya.

Mungkin ramai yang tidak sedar, ataupun sedar tapi masih tidak ada penghayatan, ataupun sudah ada penghayatan dan kesedaran, tapi masih tidak ada pengamalan, ataupun sudah ada penghayatan, kesedaran dan pengamalan, tapi tidak tahu tentang kebenaran. Kebenaran tentang hakikat iman, ihsan, ikhlas dan Islam yang Allah SWT sendiri minta supaya kita pupuk berdasarkan apa-apa warisan yang telah ditinggalkan oleh Rasululah SAW sendiri kepada umat yang amat dikasihinya.

Itulah yang jarang kita hayati. Kualiti. Pada beberapa peperangan besar dalam Islam pun, lebih kepada kualiti berbanding kuantiti, tapi contoh itu juga kita sering alpa. Malah, tidak pernah kita ambil kira.

Itulah kita
Seronok-seronok di dunia
Terlupakan mati
Bakal tiba
Bila-bila masa

Kita yang sering
Alpa.

Ya Allah, jadikan kami sering mengingatiMu, kerana dengan mengingatiMu, ada ketenangan yang tidak terhitung, dan kami akan lebih merasa rindu tentang iman dan taat, hanya padaMu. Keluarkan kami Ya Allah, dari golongan alpa yang sesat, hanya kerana dunia indah ini yang semakin tiba ke penghujung. Ya Allah, ampuni kami yang lalai. Amiin.

Pengembara 9

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Lama tidak menceceh di sini. Jadi rindu, mungkin kerana pelbagai perkara yang telah saya 'terima' dalam kehilangan yang panjang ini. Alhamdulillah. Itu keindahan ujian dan nikmat dariNya. Mana satu, nikmat, atau ujian, sedang nikmat itu sendiri ujian. (benar-benar menceceh..)

14 Ogos 2006 - Saya buntu. Rasa rindu antara 'utara' dan 'selatan'. Di utara, lama sungguh saya tidak singgah. Sejak 1998, rasanya. Di zaman naik pengangkutan awam, masih tidak merasa pegang stereng, membawa haluan sendiri. Selepas dari itu, masih lagi ke utara, tapi tidak singgah bertamu ke rumah dia. Di selatan, memang saban masa saya pulang.

Pun, paginya saya ke pusat servis. Mana saya akan pergi, saya perlu fikirkan kemudian. Sambil-sambil tunggu servis (bawa artikel tentang Lina Joy dan sebuah buku Project Management untuk dibaca - yang sudahnya hanya menjadi alas tangan kerana seorang pekerja di pusat servis 'rancak' bersembang dengan saya - hingga habis masa menunggu..) dan dalam sembang-sembang itulah, saya mula menetapkan, baiklah saya ke 'selatan' saja. Rindu untuk ke selatan jadi lebih membuak.

Pulang ke rumah, saya katakan pada kakak yang saya akan bertolak ke selatan petang itu juga. Tanpa sedar, saya merancang untuk tiba semula ke 'nogori' pada hari Rabu nanti. Kakak, segera menguli tepung, menyiapkan bekal kuih kegemaran saya dan anak-anaknya. Pastinya, si kecil Afiq sudah berlari ke uminya, memastikan yang dia akan dapat ikut saya ke selatan. Si 'Aqil, pun sudah mula masuk ke dalam bilik, mengambil beg untuk memasukkan baju-bajunya. 'Dua peminat kerdil' saya kalau saya mahu ke selatan.

Jadi, saya bertolak petang itu. Pukul 4 petang. Tiga orang dalam satu kereta. Dua orang kanak-kanak bawah umur 5 tahun, dan saya. Ringkas cerita, lebih kurang pukul lapan malam, barulah saya tiba di selatan. Alhamdulillah.

15 Ogos 2006 - Saya buat rutin saya semula bila di selatan bersama si kerdil-si kerdil berdua ini. Mandikan si abang dan si adik. Buatkan susu, dan kemudian bersama abah, kami berempat setuju untuk 'merayau' agaknya, dalam erti kata lain, saya mahu menunai janji untuk abah yang saya sudah buat sejak bulan Disember 2005. Aduh, lamanya. Perlu lebih stabil, itu yang saya beritahu abah saban masa. Alhamdulillah, bila sudah tertunai, hati saya jadi lebih senang. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

16 Ogos 2006 - Saya bercadang mahu pulang awal pagi, tapi kata emak, dia mahu lama sedikit bersama cucu-cucunya. Jadi, saya keluar dari rumah lewat sedikit. Tanpa sedar, saya mula menghubungi pejabat yang sudah hampir tiga hari saya tinggalkan. Dan, saya amat terkejut.

-Ada surat tukar awak, atas meja, dalam sampul surat.
~Saya tak minta pun tukar.

Perbualan amat panjang, dan ini 'hadiah' Allah untuk saya. Sesuatu yang sukar saya ungkapkan dengan kata-kata, tapi inilah bukti janjiNya untuk orang-orang yang berjuang di atas jalanNya. Saya rasa lebih lega, dan rasa terlalu redha. Ini ketentuan yang tidak saya minta, tapi saya amat bersyukur kerana segalanya telah tiba dalam masa yang amat tepat. Penantian saya seolah-olah berakhir. Alhamdulillah, saya telah diselamatkan - ini juga saya petik melalui perbualan saya pagi tadi dengan salah seorang pegawai yang agak berpengalaman di sini.

Lalu, perjalanan pulang saya kali ini seolah-olah satu perjalanan kembali yang membawa panji kemenangan. Mungkin terlalu banyak luka di badan saya, kembali dari sebuah peperangan, tapi panji itu masih utuh, tiada rosak walau secarik pun. Alhamdulillah. Ini jua adalah habuan untuk saya, diperolehi jua dari doa-doa orang di sekeliling saya. Alhamdulillah. Bagaimana mahu saya ungkapkan - ia adalah kejayaan, sebahagian kecil kejayaan yang telah diberikan olehNya, dan masih ada berjuta-juta lagi peperiksaan dariNya yang akan saya hadapi - apakah manusia boleh terus mengaku beriman dan dia tidak akan diuji??

InsyaAllah. Selagi iman di dada ini kukuh, selagi mata saya masih mencerlang gagah dan badan saya tidak tumbang, dengan namaNya saya akan terus melangkah dan bertindak.

Tidak habis perjuangan seorang hamba di dunia ini, selagi Dia masih di sisi. InsyaAllah.

Ya Allah, terima kasih atas anugerahMu. Di dalam yang duka itu, akan Kau selitkan bahagia dan di dalam bahagia itu jua, akan Kau selitkan duka. Kerana kasihMu, Kau tidak mahu kami, hambaMu, alpa. Kukuhkan iman-iman kami, dan lorongkan kami di jalan lurus, jalan yang Engkau redhai. Amiin.

11 August 2006

Wahai dunia 1

Assalamu'alaikum warahmatullah,
Salam di hujung usia
Tinta yang kian rapuh
Bersama penantian -
dan kembara sepi
Seorang insan.

Wahai abah
mula kalam ini untukmu
dalam debar dan sendu
dalam rindu dan sayu
walau kaki ini jauh melangkah
wajah ayah mencerlang megah
di tubir mata seorang kerdil
yang dahulunya
kau pimpin.

Wahai abah
Dahulu si kecil ini
di kandung bersama debar
telah memeluk dirimu
kala mata belum celik
dan dunia belum tersentuh
telah mahu erti rasa
walau belum ketemu.

Wahai abah
Lahirku punya cerita
dan abah masih tabah
beriku baca
beriku ilmu
berikan segalanya
bersama kudratmu yang kian lusuh
bersama hari yang kau bawa.

Wahai abah
Cabang rasa itu masih kutunjangi
di sisimu seorang anak
walau pulangku bersambut
bersama sayumu yang memagut
di hujung usia
tambah lanjut bersama masa.

Wahai abah
debar rasa ini
ku sisipkan setiap kali -
wajahmu memecah sinar wajahku
dan hati jadi rindu
pada sekujurmu
tetap kuingati
walau mata yang jauh
memandang hati yang berbicara.

Wahai abah
kalamku ini tidak putus untukmu
kerana kau
seorang abah di sisiku
yang dikurniai-Nya
buat bimbing dan usap
di sini.

(catatan : untuk abah - 11 Ogos 2006 - 12.35 tengahari)

10 August 2006

Itu Cuma Mimpi

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Langkah yang saya redah,
Bersama mereka,
Di hujung laluan resah,
Di sebuah meja bulat,
Tepinya keretapi lalu,
Yang tanpa bunyi dan gegar,
Hanya nyata tika menajam fikir,
Dengan mata hati,
Terkadang kabur tanpa undang,
Resah yang tertutup,
Tanpa iman.

Ulit meja bulat,
Bukan ulah tanpa tuju,
Banyak pincang yang lolos,
Yang mata hati seiring,
Kelabu, suram dan kelam,
Kosong tiada isi,
Tanpa syukur.

Enam semua,
Tapi satu yang derita,
Pergi - jangan kembali,
Keputusan ini pasti,
Sepuluh biji memandang,
Ke arah yang kelam,
Dengan air mata,
Tiada - ada tenang dan tabah,
Lalu ditinggalkan,
Tanpa penjelasan.

Kasihan,
Lalu satu itu yang memandang - menghulur
milo ais pembasah tekak,
Kenapa ada tiga ais sahaja?
Tiada jawapan,
Cangkir yang hampir tumbang,
Tepi meja bulat yang pipih,
Digapai pantas,
Walau diusir,
Hati masih keras,
Tindakan masih kukuh,
Dan yang satu itu masih ada,
Padu meraih sokong,
Tanpa kuasa.

Hakikat ini,
Yang sering terlupa,
Kerana padaNya-sering
Alpa.
Tempat kembali - hanya satu,
Tanpa dua.


(catatan mimpi : 7 Ogos 2006 - 4.45 pagi)

09 August 2006

Miskin di SINI

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Tadi, semasa baru datang, saya 'dikejutkan' dengan senikata ini :

Mereka miskin di dunia
Tidak meminta-minta
Hanya Tuhan segala...

Senikata dari sebuah lagu yang sering saya dengar sebelum ini, tetapi mungkin 'nur' itu tidak dapat saya perolehi di masa-masa yang lain sebelum ini.

Dalam konteks lagu tersebut (maksudnya mungkin amat luas berbanding anggapan yang akan saya paparkan nanti agaknya) mungkin lebih merujuk kepada benda dan harta - mungkin dari segi duit, rumah, kereta, kekayaan, kesenangan dan lain-lain perkara yang melibatkan kepada konsep sebilangan kita sekarang ini - tak ada duit, tak boleh hidup.

Tapi, tadinya, saya terkejut kerana saya 'diingatkan' tentang perkara lain. Bukan setakat harta dan benda, tapi juga tentang cinta dan kasih sayang, tentang tenang dan sabar, tentang redha dan restu, tentang kehendak dan maksud, dan pelbagai lagi. Amat luas konteks senikata itu - saya tidak pernah fikirkan sebelum ini!

Melihat dari segi ruang lingkup yang agak tertutup, apa yang akan kita pandang dari senikata itu adalah orang-orang miskin yang melarat, pengemis-pengemis yang banyak berjejeran di kaki lima-kaki lima, yang masih tinggal di bawah jambatan, di 'dalam kotak' dan sebagainya yang sama-sama kita fahami kedudukan mereka.

Tapi, kita terlupa pada golongan-golongan yang lain, contohnya; orang-orang 'berada' yang tandus cinta dan kasih sayang, yang tandus tenang dan redha, tandus kehendak dan maksud, malah mungkin juga tandus qanaah dan syukur. Kita sering terlupa, kerana yang 'material' itu telah mengaburkan kita. Kita terlupa, walau kita mungkin nampak 'berada' dan 'mewah' tapi hakikatnya kita bukan sahaja 'miskin perasaan' sahaja 'di sini', tapi kita juga akan merasa makna 'miskin' apabila di sana nanti, kerana perasaan itu yang jarang-jarang sangat kita ambil kira dan tekankan. Bukan hanya perasaan kita pastinya (ini orang-orang selfish), tapi juga perasaan makhluk satu dunia (waima benda bercakap mahupun benda tidak bercakap)!

Merujuk kepada perasaan itu sendiri, carilah di mana-mana di dunia ini, tidak ada kedai yang menjual rasa tenang, tidak ada pasaraya yang menawarkan jualan murah rasa syukur, tidak ada juga mana-mana gedung membeli belah yang akan cuba-cuba meletakkan tawadhu' di celah-celah barangan jualan mereka. Kalau ada, pasti saja saya akan segera menjadi pembeli yang pertama, kerana saya sendiri 'miskin', tidak ada apa-apa di dunia ini.

Agaknya, inilah yang sering kita lupakan, 'perasaan' yang menjadikan kita 'miskin' itu, bukan saja berdasarkan harta, tapi yang pastinya yang lainnya itu 'lebih tidak boleh dijual beli', kerana rasa itu ada di dalam diri kita sendiri, yang telah Allah anugerahi - kalau tiada, cepat-cepat pohon dari Allah kerana Allah lebih suka kepada hamba-hambaNya yang meminta padaNya - ini amat jelas. Lebih sensitif kita, maka kita akan menjadi manusia yang lembut tutur dan sabar, berperilaku dalam hidup, tidak mencari amarah orang lain, hidup bertunjangkan hanya Al Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Belek-belek diri - saya juga amat kurang - semoga 'nur' ini tersebar ke seluruh alam dan memberi hikmah kepada semua yang berfikir - berfikir lagi, juga ada di dalam Al Quran. InsyaAllah.

Ya Allah, lembutkan hati kami agar nurMu menyinari seluruh kehidupan kami, dan jua kehidupan semua hamba-hambaMu.

07 August 2006

Pengembara 8

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Alhamdulillah. Masih panjang usia saya untuk menulis di sini lagi. Menaip, sebenarnya.

Minggu lepas, 4 Ogos 2006 - Juma'at. Usai mesyuarat pada pukul 5.15 petang, saya masih ada di pejabat. Amat lega apabila tempoh masa selama seminggu telah saya lalui di pejabat ini. (Dahulu, saya tidak ada perasaan seperti ini. Perasaan ini, sejak akhir-akhir ini saja..)

Petangnya, saya masih mengajar seperti biasa. Di hujung kelas pengajaran saya, adik saya menelefon saya. Pelbagai perkara - ada beberapa perkara yang kami bualkan di dalam sepuluh minit itu. Pastinya, saya dan keluarga mendoakan semoga dia akan segera dapat menamatkan pengajiannya dengan cemerlang dan dapat segera kembali ke sisi kami, insyaAllah. (Andai ada rezeki, nanti di sini akan saya sisipkan beberapa keping foto untuk tatapannya..insyaAllah)

Usai kelas mengajar dan solat Maghrib, saya segera bergerak 'pulang'. Perjalanan di tengah bandaraya Kuala Lumpur, di hari Juma'at, di kala jam sudah menginjak ke pukul 8.30 mlm. Malam masih muda, agaknya untuk sebilangan orang, terutama untuk yang seperti saya, yang sering lewat untuk tidur. Walau terdetik jua di hati, ini ketentuanNya untuk saya, dan saya redha, kerana di tengah keriuhan dan traffic-jam yang masih wujud, saya hanya 'berseorangan' sahaja. Meredah dunia ini, dengan segala daya yang telah Dia pinjamkan kepada saya.

Tiba di sebuah stesen minyak, saya mengisi minyak, membeli dua botol air bateri dan sebungkus biskut - biskut itu buat bekal untuk 'anak-anak' supaya nanti mereka tidak merasa hampa melihat saya yang sudah lama tidak pulang ke rumah tapi dengan tangan yang hanya kosong. Lalu, perjalanan pulang saya teruskan.

Hampir menginjak ke 9.30 malam, barulah saya tiba di rumah. 'Anak-anak', amat girang. hampir seminggu saya tidak balik ke rumah, sebenarnya. Seorang demi seorang saya cium dan saya peluk, meluah rindu yang saya tahan berhari-hari juga, sekiranya tidak balik ke rumah. Usai semuanya, saya sambung berbual dengan kakak saya pula. Seminggu, pelbagai hal yang amat menyesakkan itu, sedikit sebanyak sampai jua untuk pengetahuannya. Dia, walau tiada darah serupanya di tubuh saya, kasih sayang saya padanya amat banyak. Dan saya hanya nyatakan kasih sayang itu, pada 'anak-anak' yang di dalamnya mengalir bersama darah serupa saya, dan darah serupa dia, di tubuh mereka.

Lewat juga saya tidur, malamnya. Lebih kurang pukul 1.00 pagi. Dan, apabila terjaga dalam pukul 4.00 pagi, saya terus tidak lena. Sempat juga saya menghantar satu demi satu SMS - saya tangguhkan lagi kelas pengajaran saya kerana kesihatan saya yang tidak mengizinkan. Janji saya, esok (Ahad), saya akan datang seperti biasa.

Jadi, Sabtu itu, kakak, 'anak-anak' dan saya, kami berehat sahaja di rumah. Hampir tengahari barulah kami ke pasaraya. Badan yang agak panas, saya gagahkan jua memandu kerana ada beberapa keperluan yang perlu dibeli. Kalau tidak penting, jarang kakak ikut sama. Itupun, kakak ambil kira ayat saya - mahu balik sebelum pukul 2 petang (ada rezeki saya agaknya untuk melihat tayangan tersebut, walau sebelumnya saya amat pasti, kelas pengajaran saya yang amat banyak tidak memungkinkan saya untuk melihat cerita tersebut di televisyen - saya memang amat jarang melihat TV, sebenarnya). Alhamdulillah, tiba jua di rumah seawal 2.10 petang. Duduk di hadapan televisyen dalam pukul 2.40 petang. Memang 'terlambat' sedikit, tapi yang pastinya, jalan cerita itu masih saya boleh ikuti - sempat lagi mencari-cari siaran kerana siaran RTM 1 amat tidak jelas.

03 August 2006

Warna

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Saya, yang 'kosong'. Bukan sepi, tapi masih keliru. Sedang cuba untuk 'menegakkan' diri, di mana kaki hendak berpijak. Dunia, dan warna saya, sudah berubah agaknya (dalam-dalam saya tarik nafas, saya sebut namaNya berulang kali - bukan 'ini' yang saya cari di sini!!)

Dahulu, semasa zaman anak-anak, saya amat sukakan warna merah. Bukan sebarang merah, warna merah jambu. Walau tidak ada koleksi barang-barang atau pakaian berwarna merah jambu, saya amat sukakan warna tersebut.

Apabila menginjak ke sekolah rendah, saya mula bermain dengan pensil warna dan water colour. Mula melukis. Saat itu, warna yang paling saya suka adalah warna oren. Ceria! Oren yang agak terang, warna matahari. Malah, saya suka jua melukis pokok-pokok dengan daun berwarna oren, macam musim luruh agaknya.

Sama jua semasa naik ke sekolah menengah. Saya masih dengan kesukaan saya, sukakan warna oren ataupun kuning yang agak terang. Mungkin masing-masing akan berfikir, pastinya saya seorang yang benar-benar ceria di zaman persekolahan kerana saya sukakan warna-warna yang ceria. Hakikatnya, saya seorang 'budak pendiam' yang hanya akan menjawab apabila ditanya, dan kadang-kadang tidak menjawab langsung pun!! (smile!)

Apabila melepasi sekolah menengah, barulah saya sukakan warna yang amat saya gemari sekarang. Hijau. Pelbagai hijau, tidak juga. Saya sukakan warna hijau yang agak cair, tidak mahu terlalu pekat (macam blog saya ni, latarnya agaknya hijau, tapi kalau boleh 'cair' sedikit, lebih saya suka agaknya), tapi bukan juga yang terlalu terang. Saya sukakan yang suram, yang kelabu. Hijau, dan kelabu. Agaknyalah begitu jika ia boleh didefinisikan. Hijau yang suram!

Selain hijau, saya juga sukakan putih. Acapkali, rakan-rakan di sekeliling saya, dan orang-orang yang baru mengenali saya sering menyebut perkataan 'budak sekolah' - kerana melihat tudung putih saya agaknya. Sering memakai tudung putih yang agak labuh seperti tudung budak sekolah, walhal di pasaran ada banyak tudung pelbagai warna dan corak yang sewajarnya boleh saya gayakan.

Tapi, saya ini agaknya. Tidak mahu bergaya. Si kolot yang hanya sukakan warna hijau dan putih sahaja! Si kolot ketinggalan zaman yang masih kekal dengan gaya begitu sahaja.

Pastinya, saya amat bersyukur kerana Allah menjadikan saya begini!
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Terima kasih padaMu.

Dari Surah Asy-Syu'araa' (ayat 221-227)

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Dari Surah Asy-Syu'araa' (ayat 221-227) :-

[221] Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun?

[222] Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa,

[223] Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.

[224] Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat tidak berketentuan hala.

[225] Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)?

[226] Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya?

[227] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu) dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.


02 August 2006

Rencana - Qana Berdarah Lagi


Oleh Maszlee Malik
(Utusan Malaysia - 1 Ogos 2006)

PADA tahun 1996, bandar Qana yang terletak di selatan Lebanon, 16 kilometer dari bandar Tyre telah menempatkan dirinya ke dalam peta dunia. Bukanlah sebelum tahun tersebut ia tidak wujud, tetapi kewujudannya hanya dirasakan selepas tahun tersebut.

Mengapa? Kerana bandar yang serba daif itu telah dibedil oleh tentera rejim Zionis. Wanita dan kanak-kanak merupakan mangsa yang teramai dalam keganasan tersebut. Lebih daripada 100 orang awam telah mati dibedil ketika mereka sedang berlindung di pusat perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Mereka terpaksa berlindung kerana tentera rejim Zionis pada waktu itu masih lagi menjajah selatan Lebanon dan menggila membunuh, menangkap dan menyeksa penduduk di situ.

Pada 30 Julai 2006, Qana sekali lagi mendapat perhatian dunia setelah 10 tahun dilupakan. Sekali lagi rakyat awam daripada masyarakat Lebanon menjadi mangsa jenayah keganasan rejim Zionis. Perang yang telah meletus semenjak 12 Julai 2006 dijadikan alasan untuk rejim Zionis untuk menghalalkan darah rakyat awam Lebanon.

Pihak tentera Zionis (IDF) telah menuduh para pejuang Hizbullah menjadikan kampung di Qana sebagai tapak melancarkan roket untuk menyerang bandar-bandar Zionis. Sehingga kini, lebih 60 rakyat (dan hampir 40 kanak-kanak) menjadi korban keganasan mereka. Rumah-rumah hancur dan menjadi debu kerana serangan bom yang telah digugurkan oleh pesawat perang Zionis pada jam satu pagi hari tersebut. Seluruh dunia telah bangkit mengutuk dan mengecam jenayah tersebut.

Malangnya, Dan Gillerman, wakil rejim Zionis di PBB meletakkan tanggungjawab kematian rakyat di Qana di atas bahu Hizbullah. Dalam mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB pada hari yang sama, beliau dengan bangganya tidak mahu mengaku bersalah di atas jenayah berkenaan.

Menurut beliau dan juga lain-lain pemimpin Zionis, termasuk Ehud Olmert, Hizbullah telah menjadikan orang awam sebagai perisai manusia mereka. Demi menghalalkan tindakan tersebut, mereka sanggup mengatakan bahawa Hizbullah telah menyimpan senjata di rumah-rumah masyarakat awam. Di atas premis tersebut, mereka ingin mencuci tangan di atas apa yang berlaku di Qana dan melonggokkan kesalahan di atas bahu Hizbullah.

Menariknya, semua pemimpin rejim mempunyai nada dan rentak yang sama dalam mengeluarkan kenyataan. Suara Menteri Pertahanan Ehud Olmert, Menteri Luar, Emir Perez mahupun wakil mereka di PBB, hatta rakyat awam sekalipun mempunyai nada yang sama. Jawapan mereka amat mudah. Rejim Zionis berperang dengan Hizbullah, Hizbullah merupakan pengganas yang perlu dihapuskan.

Segala tindakan tentera Zionis menurut mereka adalah untuk merealisasikan resolusi 1559 PBB dan juga resolusi 1680. Kedua-dua resolusi tersebut dengan jelas telah memaksa Hizbullah untuk melucutkan senjata. Sesudah 600 rakyat Lebanon dikorbankan manakala ribuan yang lain tercedera dan 700,000 orang pula terpaksa meninggalkan rumah-rumah mereka, rejim Zionis tetap bertegas mereka hanya menyerang Hizbullah dan bukannya rakyat Lebanon. Bagi mereka, dunia sepatutnya menerima tindakan rejim Zionis sebagai usaha untuk mempertahankan diri.

Rejim Zionis juga seperti biasa akan mengatakan bahawa mereka tidak pernah menyasarkan orang awam. Mereka hanyalah menyerang para pengganas dan kebetulan masyarakat awam dijadikan perisai oleh para pengganas. Agak lucu, kerana perisai yang mereka dengan tidak sengaja membunuhnya itu jumlahnya sudah meningkat beribu orang, bukan hanya di Lebanon, malah di Palestin (Gaza dan Tebing Barat).

Rejim Zionis juga berusaha untuk menyalahkan Iran dan Syria yang mereka dakwa sebagai penyebab utama peperangan dan penaja keganasan. Iran dan Syria dilabel sebagai penaja keganasan kerana telah membiayai Hizbullah. Mudah sahaja sifir mereka. Apa sahaja yang dilakukan oleh rakyat Palestin ataupun Lebanon ialah keganasan, dan apa sahaja yang mereka lakukan adalah usaha membanteras keganasan. Resolusi 1559 dan 1680 dijadikan alasan utama mereka untuk bertindak, walhal mereka bukanlah wakil PBB untuk tujuan tersebut.

Rejim Zionis menggesa Lebanon untuk melaksanakan kedua-dua resolusi tersebut, seolah-olah mereka adalah entiti yang begitu berpegang dengan segala resolusi PBB. Bagaimana pula dengan resolusi 194 (memaksa rejim membenarkan rakyat Palestin pulang ke tanah air mereka) dan 242 (rejim wajib berundur dari Gaza dan Tebing Barat) yang tidak pernah dipatuhi oleh rejim Zionis? Bagaimana pula dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai 2004 yang menyuruh pihak rejim merobohkan tembok pemisah (Aparteid) mereka? Bagaimana pula dengan resolusi 425 yang memaksa mereka meninggalkan Lebanon dengan segera pada tahun 1978 dan tidak pernah mereka patuhi?

Jika mereka menuduh Hizbullah dan juga Hamas sebagai pengganas, tidakkah mereka melihat siapakah yang mencipta para pengganas ini? Tidakkah juga mereka melihat apakah yang menyebabkan mereka mengganas? Lebih parah lagi, tidakkah mereka melihat apa yang telah dilakukan oleh pihak rejim semenjak tahun 1917 lagi adalah 100 kali ganda ganas daripada apa yang dilakukan oleh Hamas dan Hizbullah? Apakah mereka sudah lupa bahawa IDF itu sendiri terbina di atas gabungan kumpulan pengganas Yahudi seperti Irgun, Stern, Haganah dan lain-lain lagi? Apakah orang yang menjajah itu adalah lebih mulia daripada mereka yang menentang penjajahan? Malangnya masyarakat dunia sering ditipu dengan propaganda Zionis di seluruh dunia.

Walau apa pun kesimpulan yang kita buat, yang pasti Rejim Zionis akan terus mengganas. Jika tidak di Lebanon, mereka akan mengganas di Gaza, jika tidak di Gaza, mereka akan mengganas di Tebing Barat, jika tidak di Tebing Barat, mereka akan menyerang Syria dan juga lain-lain tempat di rantau berkenaan. Apakah yang kita hendak harapkan kepada sebuah negara yang mempunyai lebih 200 peluru nuklear, tidak pernah mematuhi segala keputusan PBB, sentiasa disokong oleh AS dengan veto-veto di Majlis Keselamatan PBB, dibiayai setiap tahun oleh AS terutamanya di dalam bidang persenjataan dan juga tidak pernah dikenakan apa-apa tindakan di atas keganasan yang mereka lakukan semenjak tertubuhnya negara haram bernama ‘Israel’ pada 15 Mei 1948 ?

Jika anda masih lagi berharap, dan masih lagi berbaik sangka untuk mendapatkan kedamaian dengan rejim Zionis, maka anda bukanlah seorang yang mempunyai akal waras!!!

-------------------------------------

* Saya tertarik dengan artikel ini. Mencuit hati saya untuk memaparkannya di sini untuk tatapan kita semua. InsyaAllah, ada rahmat Allah untuk semua penduduk Qana yang perlu berjuang dengan darah dan air mata. Ya Allah, hanya Engkau yang Maha Membantu.

Kadar itu Antara Terendah Di Dunia

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Saya amat tertarik untuk berbincang tentang isu kenaikan harga pelbagai perkara - contohnya minyak dan tambang pengangkutan awam - dan juga tentang 'kekurangan' pelbagai benda di dalam pasaran hingga menyukarkan kita semua.

Jawapannya tetap sama - kadar itu antara terendah di dunia - kadar itu antara terendah di dunia - kadar itu antara terendah di dunia - perkara yang saya rasa saya sendiri sudah mual untuk menatap dan mendengarnya kerana kenaikan harga-harga itu tetap berlaku - kesannya amat banyak kepada orang-orang yang tidak berkemampuan - dan kadarnya masih sama, ANTARA KADAR TERENDAH DI DUNIA.

01 August 2006

Generasi Berbeza dan Peranan Berbeza - Tujuan Masih Sama.

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Satu-dua-tiga hari yang agak 'kosong' (dah kira macam tak ada seri la pulak, sedangkan matahari masih lagi timbul tenggelam), sebenarnya tak ada la kosong sangat pun...masih ada isi, selagi ada Dia di sisi. InsyaAllah.

Sabtu, dan Ahad. Seperti biasa, mengusung buku pelajaran untuk mengajar. Singgah di rumah seorang pelajar;

Kakak, Tuk ada di hospital Serdang. - Segera terbayang figura atuknya yang berusia lebih kurang 80 tahun (sudah amat berumur) dan rambut putih-putih sudah banyak menghiasi kepalanya, jalan tertunduk-tunduk dengan baju kurung dan kain batik pelbagai warna, mudah tersenyum, terutama setiap kali saya bersalam dan mencium tangannya yang sudah dipenuhi urat-urat timbul - wanita ini saya kenali lebih kurang dua tahun lepas sewaktu dia masih kukuh untuk bergerak - agak rapat dengannya walau puas juga cucu-cucunya (saya mengajar beberapa orang cucunya) bertanya apa yang sering saya bualkan dengan atuk ini kerana mereka nampak yang atuk amat rapat dengan saya - walhal, loghat Kelantan yang amat pekat itu, mereka sendiri tidak faham!

Tuk dah tak nak makan dan minum. - Saya terbayang lagi figuranya menghidang minuman dan makanan kepada saya. Di tolak perlahan dulang hidangan di hadapan saya, dengan harapan supaya saya segera makan kerana dia tahu waktu makan saya yang sering tidak menentu. Saat itu, cucu-cucunya akan berpandangan satu sama lain - kakak, tuk jarang hidangkan untuk kami - Terkadang semasa mengajar, nampak dia memandang dan merenung saya dari jauh. Dan, masih terbayang jua figuranya merajuk dengan cucu-cucunya, dan dia akan bercerita kepada saya. Pelbagai, menerbitkan rasa rindu tiba-tiba, padanya.

Saya memanjatkan doa untuknya - kepadaNya. Semoga dia cepat sembuh, dan semoga dia akan mengusap semula tangan saya seperti selalu setiap kali saya bersalaman dan mencium tangannya. Dunianya, banyak benar yang saya pasti, telah dia lalui. Deritanya, dari air mukanya yang suram, dia sahaja yang tahu tentang suka dan duka, dalam hidupnya. Air matanya, tentu sahaja telah banyak tumpah, dari dahulu hingga sekarang. Pelbagai, yang saya tahu ada dalam hidupnya.

Malamnya, saya sudah menuju ke ibu negeri Selangor pula. Adik kecil berusia sepuluh tahun, saya mengajar dia seperti biasa. Keletahnya, membuat saya lebih banyak berfikir (mungkin diri saya sendiri yang sering asyik berfikir seminggu dua ini) dengan apa yang dikatakannya. Mungkin padanya itu hanyalah lelucon untuk seorang 'guru' yang dianggapnya seperti kakaknya sendiri :

Kenapa mesti gunakan haiwan ataupun pokok sebagai bahan eksperimen? Kenapa tak gunakan manusia sahaja? Kasihan haiwan tu, cuba cikgu yang ajar eksperimen ni jadi bahan ujikaji, kepala dia kena tutup dengan kain hitam dan biarkan selama 4 hari, tahan ke dia? Kalau dia tak tahan, haiwan tu pun tak tahan! - Ini realiti di hadapan mata seorang anak-anak kecil. Sekecil dia, boleh berfikir. Tentang apa yang haiwan rasa. Tentang apa yang cikgunya perlu buat - kerana rasa kasihnya. Kenapa agaknya sebesar kita ini, sedewasa kita ini, jarang benar berfikir - kalau kita sendiri tidak suka diperlakukan begitu, jangan lakukan hal yang sama kepada orang lain! (terutama di waktu perang yang sedang berleluasa ini - kenapa kita jarang belajar dari apa yang kita fikirkan?)

Kakak, apa makna agama yang syumul? - Dia sering bertanyakan saya soalan ini, tidak pernah lelah, kerana jawapan saya sering tidak sempurna agaknya - maklumlah, pendidikan agama saya agak cetek - belajar agama di sekolah agama di kampung dahulu sahaja - bila besar, saya mendalami bidang lain pula dan hanya lebih kepada pelbagai bentuk pembacaan langsung ataupun tidak langsung, praktikal saya sendiri pun amat kurang jika hendak dibandingkan dengan orang lain - masa untuk yang sunat sering terlalai, cuma ada rasa berharap semoga Allah menerima bahawa 'setiap saat saya dalam ibadah' - itu sahaja. Pastinya, saya amat 'miskin' dengan jawapan hingga dia sering mengulang soal pertanyaan yang sama. Dan, hasil jawapan saya pula, sering berbeza. Semoga Allah menganugerahkan faham kepadanya hasil dari jawapan yang diberikan oleh 'orang miskin' seperti saya. InsyaAllah. Jadikan dia wanita solehah yang darinya akan lahir generasi Islam yang lebih terdidik dengan ilmu dan sering memenuhi masa dengan amal - hanya untuk redhaNya.

Dua generasi berbeza, dua pendekatan yang tidak serupa, tapi dengan dua tujuan yang sama. Ummah, yang ada di sekeliling saya, membuatkan saya meneliti, hidup yang sementara ini hanyalah sementara bagi orang yang sementara. Kita tidak pernah merasa kekal, andai kita tidak pernah merasa erti 'kebal'.

Rendah diri, dan qanaah. Jarang kita padukan bersama.

Ya Allah, hanya Engkau yang Maha Mengetahui.