27 December 2007

Pengembara 18

Assalamualaikum warahmatullah…

Saya saangaat mengantuk.

Lama saya tidak menulis di sini. Seperti amat lama. Bukan tidak ada idea. bukan saya jadi malas. Bukan saya sudah tidak berminat. Bukan. Bukan. Bukan.

Sebetulnya, saya rindukan laman kehijauan ini. Tetapi tugas yang menghambat sejak Ramadhan lalu menjadikan masa saya ‘ketat’. Sesak dengan tugas hingga akhirnya saya menjadi lupa. Saya lupa pada masa.

Hari ini, saya teringatkan laman kehijauan ini. Di kala mata yang mengantuk dan badan yang letih. Padahal hari ini hari pertama saya di pejabat. Hari pertama selepas cuti Aidil Adha yang saya sambut di kampung di selatan tanahair. Cuti Aidil Adha yang agak panjang. Dari 19 Disember hingga 26 Disember.

Letih. Penat. Mata mahu tertutup. Minda jadi terkunci. Walau cuti amat panjang, hari-hari dan saat-saat saya ‘penuh’. Malam tadi saja saya tiba di rumah seawal 11 malam.

19 Disember, saya mula bangun, mengemas rumah dan memasak bekalan untuk perjalanan. Kembara ini, baru timbul cerita memasak. Sejak ada dapur sendiri, saya sudah rajin ‘bertapa’ di ceruk dapur. Sekarang, dapur sudah jadi tempat saya lepak-lepak. Duduk di celah sinki dan peti sejuk, saya terasa ada ketenangan. Haha. Baru saya tau di mana ceruk dapur yang sering disebut-sebut oleh emak. Jadi, saya memasak. Kemudian mengemas. Kemudian mengangkat barang ke dalam kereta dan mula memandu. Singgah di rumah kosong untuk ambil barang dan mula memandu ke selatan. Aduhai. Saya main lumba-lumba lagi di jalanan. Apa tidaknya, spekulasi tentang banjir membuatkan saya mengambil keputusan menggunakan PLUS sahaja. Selalunya, saya keluar di Alor Gajah dan menyusuri laluan negeri Melaka hinggalah masuk ke negeri Johor. Mengambil udara negeri Melaka dan angin dari jambatan Sungai Muar. Kalau lalu jalan yang 90 km/j saya jadi senang hati sedikit. Menghayati keindahan tepi jalan yang indah. Banyak lampu isyarat. Banyak perubahan tepi jalan. Sayangnya, kalau lalu lebuhraya, saya jadi bosan. Pemandangannya sama. Laluannya terus. Main lumba-lumba pun, masih macam ikan lumba-lumba. Jangan bawa terlalu laju. Saya masih mengekalkan prinsip saya – keselamatan semua orang di jalan raya adalah sangat penting – bukan fikirkan keselamatan diri sendiri sahaja. Nak berlumba pun, berhemah. Peraturan lalu lintas masih dijaga.

Tiba di kampung selepas Azan Zuhur berkumandang. Perjalanan hampir lima jam. Agak cepat sebetulnya, sebab kelajuan pemanduan saya cuma 100-120 km/j. Tiba di rumah, mengejar si kecil yang saya rindui (si kecil lapan bulan ini memang sentiasa ada di kepala saya) dan kemudian saya melepak bersama si kecil. Dia tidur di atas badan saya.

20 Disember, Hari Raya Aidil Adha. Saya duduk-duduk bersama emak dan ayah. Hujan lebat turun. Air naik lagi. Walau rumah saya atas bukit, saya mula memikirkan ramai di luar sana yang menyambut hari raya di pusat pemindahan. Kasihan. Pengorbanan yang tidak ternilai di Hari Raya Korban. Allah sedang mendidik kita dengan sabar dan redha, memupuk diri kita dengan iman dan ihsan.

21-23 Disember, saya mengerjakan game di dalam komputer adik saya. Hmm. Aktiviti tidak sihat. Asyik menyalahkan game yang hanya tahu memihak kepada lawan saya, si komputer. Game tidak adil. Tapi, itu juga yang saya ulit. Menonton kartun di televisyen jua sama (walhal selama di rumah sendiri, saya tidak menonton sedikit pun, malahan mana ada TV di rumah saya yang hanya dipenuhi rak buku sahaja). Bersama sebuah buku Hamka yang tidak sempat habis dibaca, saya menghabiskan cuti rehat saya dengan tidak berhemah. Aduhai. Minda saya letih sebetulnya kerana terlalu tepu digunakan sejak melepasi cuti Aidilfitri yang lalu. Konon, mahu release tension. Cara paling mudah, sebetulnya, ambil tafsir Al-Quran, baca dan hayati.

24 Disember, saya sudah bergerak balik ke sini. Hujan lebat di sepanjang jalan. Lalu kawasan banjir di Batu Pahat, air banjir saya tidak nampak, tapi jalan ditutup. Jalan dari Sri Medan ke Parit Sulong. Saja-saja saya ini suka meredah jalan yang saya tidak tahu. Bila tersesat, saya jadikan ia sebagai ilmu. Dapat kenal tempat orang, dapat tahu rupa jalan yang berselirat atas peta. Satu perkara penting, kalau mahu cuba-cuba sesat pun, pastikan peta dibawa bersama. Masuk ke highway di Alor Gajah dan terus memandu ke BBN. Dari BBN, sempat ke kedai buku dan kemudian barulah saya balik ke rumah. Penat. Letih. Mengapung dalam diri. Tidak makan. Tidak minum. Hanya mandi dan tidur. Aduhai. Letihnya.

25 Disember, saya mengulit Ayat-Ayat Cinta, Bedar Sukma Bisu dan Manikam Kalbu. Sekaligus. Mengujakan, terutama Ayat-Ayat Cinta. Isinya, menginsafkan. Perilaku Fahri membawa saya mengingati diri saya yang tewas kepada pengaruh nafsu. Aduhai nafsu, andai tidak dididik, saya sendiri jadi mengabaikan masa dan terlupa pada sejuta tanggungjawab yang telah diamanahkan. Amanah dari Allah. Saya perlu berterima kasih pada Ayat-Ayat Cinta. Ada persepsi berbeza yang saya terima. Saya kena kekalkan kembali fitrah diri saya untuk menjadi seorang ‘hamba’ yang bertaqwa. Bekal yang baik adalah taqwa. Petang dan malam, saya dengan aktiviti mengajar saya. Balik lewat, buka pintu rumah, salin baju dan tidur. Aduhai badan. Letih sungguh. Dan minda saya teringatkan Fahri semula.

26 Disember, saya dengan tugas yang pelbagai. Paling pasti, selera makan saya hilang. Entah pergi ke mana. Sejak akhir-akhir ini, saya selalu termenung di ceruk dapur. Saya tidak lapar. Dapur hanya jadi tempat lepak untuk menerbitkan rasa lapar. Tapi untuk tempoh singkat ini, rasa itu masih tidak ada. Saya memasak, tapi keinginan makan telah pergi dibawa masa yang beredar. Petang, saya keluar menunaikan amanah sebagai hamba dan terus membuat aktiviti mengajar. Malam, seawal 11 malam baru saya tiba di rumah. Badan saya letih lagi. Lesu. Saya mengulit semula Ayat-Ayat Cinta bersama mata yang tertutup. Buku oh buku. Sejak akhir-akhir ini, saya banyak hidup dalam dunia buku saya.

Saya pandang alat-alat melukis saya yang sudah terbiar sejak dua bulan lepas. Isi warna pastel telah beku agaknya. Lama saya tidak melukis. Lama saya tidak menulis. Bekas air telah lama kering. Kalau bulu berus lukisan saya sudah mula tanggal, saat itu baru saya perlu memikirkan kembali keinginan untuk melukis.

Wahai diri, kembalilah. Kerjakan amanahmu tanpa karenah. Usah dirisau nafsu yang memujuk. Fikirkan, tabahkan diri dan sabarkan hati. Jangan menjadikan nafsu sebagai raja yang dihargai.

Minda saya masih terbayang figura Fahri (sebetulnya, saya terbayang Fahri yang sedang menasihati saya – tugasku jua banyak, masa senggangku tidak ada, aku sampai masuk ke rumah sakit dengan heat stroke dan meningitis kerana terus mengerjakan amanah yang kupikul, sedangkan kau dengan tugas yang terancang, masih banyak ruang senggang, jangan hanya bermalasan hingga tidak ketahuan...).

Walau dia hanya sebuah watak, aku cuba belajar untuk menjadi diriku kembali. Diri yang asal. Walau dahulu, tanpa Fahri. Itupun, hidayah yang hadir, segalanya.....alhamdulillah. Syukurku hanya untukMu, kerana hidayah ini, terbit dan menusuk-nusuk jiwaku untuk kembali semula kepada fitrah diri yang membawa taqwa sebagai ‘bekal’. InsyaAllah.

30 November 2007

Bunga oh Bunga

Mandi bunga?!

Saya terjeda pada permintaan emak.

Jodoh kamu lambat tiba. Emak dulu mandi bunga. Ada juga beberapa cerita yang emak dengar tentang jodoh yang tidak lekat, dari kampung-kampung lain, dari negeri-negeri lain, usahanya juga dengan mandi bunga. Kita berusaha. Berusaha dengan mandi bunga. Supaya ada jodoh.

Saya terjeda amat.

Kamu duduk di rumah itu, seorang diri. Bahaya. Alangkah baik kalau kamu sudah ada jodoh. Ada pelindung. Emak boleh dapat cucu. Ada yang boleh tengokkan kamu.

Ah, emak bagai tidak pernah cukup dengan cucu empat orang itu. Mana tahu rezeki dariNya, bilangan cucu-cucu emak akan bertambah lagi, pastinya. Biar bertambah cucu-cucu emak, kuantiti yang meningkat, kualiti yang kekal soleh dan solehah, walau diterpa arus globalisasi yang mencucuk hidung dan mengharu-birukan gegendang telinga, kala ini, di zaman ini.

Kata Umairah, ada yang cuba merisik kamu, bertanyakan kamu, kamu tolak. Mereka orang di sebelah pantai timur? Kalau begini, kamu memang kena mandi bunga. Kenapa saja kamu menolak jodoh. Banyak jua cerita yang lain emak dengar dari Umairah. Dalam diam kamu, ramai yang merisik, rupanya.

Aduh! Saya terjeda lagi. Dari mana saja emak dengar cerita. Bukan begitu ceritanya. Orang pantai timur itu hanya seorang kawan lama. Kawan di universiti. Saya tidak pernah berperasaan padanya. Menganggap ia sebagai 'hanya persahabatan', walau sudah 10 tahun usia perhubungan. Saya jua tidak pernah berperasaan kepada sesiapa. Pada seumur hidup saya.

Esok lusa sudah masuk ke angka 3 di depan usia kamu. Cuti Hari Raya Aidil Adha nanti, ikut emak mandi bunga.

Emak nak beli bunga di kedai bunga dan letak dalam kolah mandi di kampung?

Jangan berlawak. Emak serius tentang jodoh kamu. Kita cari orang, buat mandi bunga kamu. Lepas mandi bunga, kamu akan dapat jodoh.

Emak. Emak. Sudah serius benar dia kali ini.

Emak, kalau orang gila bermandi bunga untuk berjodoh, dia juga akan dapat jodoh selepas mandi bunga?

Tidak terdengar gelak emak di corong gagang, kali ini. Hanya terdengar keluhannya. Emak mengeluh. Hati tiba-tiba dipagut sayu.

Emak. Emak. Ini kebenarannya. Kebenaran dari pandangan saya. Pendapat saya. Dari nubari saya. Saya diamkan selama ini.

Jodoh itu, bukan hadir dengan mandi bunga. Jodoh itu, ketentuan Allah. Apakah dinamakan usaha itu dengan mandi bunga? Usaha berjodoh hanya dengan mandi bunga? Allah redhakah mandi bunga itu sekiranya berharap benar selepas mandi bunga akan berjodoh? Elok mandi bunga hanya untuk menjadikan diri harum semerbak.

Kembara di bulan Ramadhan lepas, masih berbaki di lautan mata saya. Kata emak sebelum saya melangkah ke perut kapal, berdoa untuk jodoh waktu di hadapan Baitullah nanti. Saya terpana. Bukan niat saya pergi ke sana untuk itu. Pun, saya diamkan permintaan emak, di bawah dasar hati saya.

Kata beberapa jemaah di sisi saya, sepanjang kembara di kota Rasulullah dan kota Mekah, banyakkan berdoa untuk jodoh. Malah, beberapa kawan yang masih solo juga berpesan 'doa jodoh' kepada saya sebelum hari bertolak.

Saya menilik diri. Saya akui, saya mengadu hal ini hanya pada Allah. Di kota Madinah, di Raudhah (Alhamdulillah dapat menjenguk seketika bersama solat walau lautan manusia muslimat terlalu ramai - MasyaAllah!), di sepanjang perjalanan ke Jabal Baidah dan sewaktu berhenti di Bir Ali.

Bukan. Saya tidak pernah menafikan hak sebuah perkahwinan. Perkahwinan tuntutan agama. Emak pun tahu, anak emak ini belajar Munakahat. Tahu syarat dan hukum. Tahu wajib dan harus. Tahu haram dan sunat.

Saya sudah berdoa di hadapan Multazam. Saya sudah habis tujuh pusing. Saja mencuba-cuba rapat ke dinding Baitullah. Menyentuh sedikit dinding Baitullah sebelum menuju ke Hijr. MasyaAllah, di tengah lautan manusia yang ramai di bulan Ramadhan, Allah mempermudah urusan saya. Saiz yang kecil bukan halangan. Saya tidak diasak, malah angin semilir yang berpuput lembut di wajah saya menggugat rasa. Sejuk. Tapak kaki jua terasa sejuk, dan kesyahduan itu menabiri hati saya di saat hari yang terik dan mencucurkan peluh itu.

Emak, memang saya berdoa. Saya berdoa di Hijr, di Multazam, di belakang Maqam Ibrahim selepas solat sunat tawaf, malah di atas bukit Safa dan Marwah juga. Tapi 'doa jodoh' itu bukan dibuat dengan sepenuh hati. Niat saya datang dari jauh bertemu Baitullah bukan untuk itu. Hati saya lebih penuh, untuk yang lain, hanya kerana Allah.

Emak, jika ada jodoh saya dalam redha Allah, ia akan hadir. Tidak perlu mengiklankan diri, tidak perlu beraksi lemah gemalai dan bersolek sakan hanya untuk menarik minat orang lain supaya menjadi jodoh saya. Saya akui, kata-kata kakak Umairah banyak kebenarannya. Hati ini saja, kosong untuk itu. Jodoh saya 'belum tiba'.

Saya hanya bawa diri saya dalam hukum Allah. Cukup sekadar-sekadar. Emak sendiri tahu, sejak kecil saya tidak suka bersolek. Saya tidak suka berkebaya atau berbaju ketat menunjuk susuk tubuh. Lebih selesa berkurung labuh dan bertudung saiz besar. Kawan saya sejak kecil, mengaji di masjid, sekolah, buku-buku dan aktiviti bersama ayah dan abang. Usia lapan tahun lagi, kerudung saya sudah kukuh di kepala.

Emak, gerakan hati kita ini milik Allah. Diri saya diadun dengan rasa malu dan rendah diri. Jika ada jodoh untuk saya, ia dari Allah, dan kerana Allah.

Emak, secuit gerakan hati kerana Allah, berjuta redhaNya. Hati saya, bukan milik saya. Ia milik Allah. Hati ini tidak pernah berperasaan kepada sesiapa lagi di sepanjang penghidupan ini.

Emak, maafkan saya. Rasa rendah diri ini kerana tidak patuh pada perintah emak yang satu ini.

Hati ini telah penuh. Isinya, hanya cinta.

29 November 2007

Lepak-lepak Hari Ahad

Setiap hasil tulisan terhasil dari tangan dan minda seorang penulis. Setiap penulis adalah orang yang berfikir, walhal tidak semua yang berfikir akan menulis.

Ada fikiran yang dikongsikan. Ada yang tidak dikongsi. Untuk saya, hasil fikiran lebih banyak menjadi rahsia. Tidak betah menulis setiap masa, walau setiap saat kepala bergelandangan dari hujung dunia ke hujung dunia, menilai diri di sini yang sebentar.

Saya baru menghabiskan Tuhan Manusia. Mula membuka muka surat pertama novel itu seketika selepas masuk waktu Solat Sunat Isyraq dan Dhuha pagi tadi, sekitar jam 8.30 pagi. Pagi hari Ahad, 25 November 2007. Jarang hujung minggu saya ada masa senggang begini. Seingat saya, ini hujung minggu pertama dalam 2007 yang saya lepak-lepak di rumah (satu-satunya novel penulis ini yang saya baca terus tanpa henti, usai baca jam 12.30 tengahari sebelum masuk waktu Solat Sunat Zawal dan Solat Fardhu Zuhur).

Saya tidak berperasaan yang muluk-muluk untuk membaca novel ini, sebelumnya. Sebuah sumber bacaan, saya akan nilai bukan dari gah nama penulis, tetapi lebih kepada intinya (lebih lihat kepada kata-kata, bukan kepada orang yang berkata-kata). Wajar saya katakan, penulis Tuhan Manusia ada peminat tersendiri kerana koleksi tulisannya yang sering menggegar minda, jua emosi. Bukan sahaja Tuhan Manusia, saya akui sejak saya 'mengenali' dan 'menghayati' hasil tulisan serupa ini dari penulis yang sama sejak tujuh tahun dahulu, saya menemui kelainan dari segi sebuah pemikiran (hasil tulisan dari tangan terlahir dari corak berfikir) berbanding penulis lain.

'Bagaimana mulanya... Tuhan Manusia' lebih mengambil tempat di hati saya. Suasana yang digambarkan mengingatkan saya kepada kembara saya di dunia ini. Kembara yang seketika ini akan berakhir tanpa pemberitahuan. Peringatan telah diberi, tetapi saya masih alpa. Kenapa hanya 'saya'? Saya lebih sukakan 'saya' kerana ia mendidik jiwa saya. Asyik menuding hujung jari yang satu kepada orang lain dan alpa pada diri untuk melihat empat jari yang terhala ke arah diri sendiri. Saya, banyak kesilapan di sini yang sebentar. Hanya Dia Maha Mengampuni.

Kisah Tuhan Manusia hanya suatu kisah biasa-biasa yang diolah dengan begitu teliti oleh penulisnya. Suatu kisah biasa-biasa yang menjadi luar biasa dihias pelbagai nasihat, maklumat dan panduan. Kriteria ini, disertai panduan yang cantik, amat kurang. Kembara yang singkat terasa lebih lama, walhal masanya hanya seketika (Ayat 112-114;Surah Al-Mu'minun), dan kita - ini merujuk kepada seluruh dunia - masih dimomok dengan kemewahan dan hidup yang panjang. Momokan ini, sepanjang sesi telahan saya tadi, tidak ada pada isi Tuhan Manusia.

Saya terkesan dengan watak ayah Ali Taqi. Watak sokongan yang bertindak sebagai pendidik, melalui perbuatan, dan sedikit benar melalui kata-kata. Kala ini, di zaman ini, sebilangan besar kita lebih mudah membuai kata-kata yang indah dan bersopan, walhal hati tidak selari dengan kata-kata, apatah lagi perbuatan. Kata-kata tidak jadi didikan, terutama untuk seorang anak kecil seusia dua tahun. Bagaimana mahu mencorak kain putih menjadi batik dengan olahan corak yang cantik dan mengujakan jika cantingnya hanya berdasarkan manual seorang pelukis cat minyak yang lebih arif dalam melukis potret seorang gadis?

Ulul albab - menuntut ilmu, memisahkan haq dan batil (Walaupun Taqi nanti pilihan itu akan membuatkan dirimu keseorangan, anakku. Kerana Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 100 : Katakanlah, tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah hai ulul albab, agar kamu mendapat keberuntungan.), menyampaikan ilmu, membaiki masyarakat, kuat, gagah dan takut kepada Allah, nilai tambahnya ketaqwaan, kesolehan dan rajin memohon pengampunan - ini saya petik sedikit dari Tuhan Manusia.

"Cerita yang tidak tepu nasihat dan ilmu ialah cerita yang sia-sia, Taqi". Ini, bukan kata-kata ayah Ali Taqi, sebetulnya. Ini pendirian penulis ini, pada sangkaan saya. Bermain bahasa menjadi tidak sia-sia, wujud nasihat dan panduan untuk manusia ramai berfikir. Seperti menyusun buah catur di atas gelanggang perlawanan, satu gerakan yang sia-sia akan membenarkan pihak lawan mengatasi kita dengan 15 gerakan yang lebih bermakna. Kita akan kalah, checkmate! Caturan hidup ini apatah lagi. Jangan tersia, walau hanya selangkah.

Ubudiyyah - sangat berkesan paparan konsep ini kepada saya di dalam buku kecil ini, walau ringkas. (Tidak melihat segala yang diberikan sebagai milik sendiri - milik Allah pastinya, sibuk kerana perintah Allah, musibah dunia menjadi ringan kerana segalanya diserah padaNya, merendah diri, tidak takatsur dan tidak takabbur).

"Andai kota itu peradaban, rumah kita adalah budaya, tiang serinya adalah agama."

Tuhan Manusia mendidik dan menelusuri sebetulnya, setiap orang dengan persepsi yang berbeza. Paling pasti, ia ada daya tarikan tersendiri bagi orang yang berfikir, walau tidak menulis.

Sebetulnya, saya jadi terharu. Islam, agama yang syumul. Mana mungkin boleh disatukan dengan agama-agama lain yang tidak mengEsakan Dia?

Allah hanya 1. Esa. Tunggal.
Allah Maha Besar.

22 November 2007

Cinta

Kalau Tuhan mencintai hambaNya, Allah akan membuatkan ia menderita, dan kemudian jika Allah mencintainya, Allah akan menguasainya tanpa keluarga juga tanpa harta. – Kucing Gemuk di Masjid Biru.

Saya teliti kata-kata ini dan dijadikan paparan pada skrin telefon saya, sejak dua hari lepas. Skrin sebesar 2 inci setengah kali 2 inci itu memang cukup. Muat.

Saya sedang menderita, pastinya. Derita di batin saya. Di jiwa saya yang tidak tenang. Timbunan beban yang mengasak minda saya yang menjadikan saya begini. Saya ‘kaku’ dalam dunia saya sendiri.

Penat. Letih. Lesu. Bukan kerana saya perlu jadi buruh binaan yang timbul urat lengan dan kaki kerana tugas. Tidak perlu juga jadi pekerja industri yang perlu mengejar target. Kaki dan tangan kena seiring. Hingga lenguh-lenguh pun, pada masa boleh rehat sahaja boleh berhenti. Saya lelah di kepala. Banyak fikir. Tepu analisa.

Saya penat. Lesu ini membawa ke badan. Kepala saya berpusing. Pasti lebih laju dari Eye on Malaysia. Mudah saja kerjanya. Mengadap timbunan kertas dan dokumen, dan kemudian cerakinkan menjadi isi kepada sehelai kertas kosong. Alangkah mudah. Tapi, kenapa saya mula menjadi buntu.

Aduhai kepala. Lepaskan beban ini. Ambil wudhu’, dan pergilah mengadu kepada Dia. Usah kaku. Usah buntu. Tiba masa munajat. Lama sungguh, rasa ini tidak hadir. Rasa hanya untuk Dia. Cinta. Rindu. Sayu.

Jangan risau. Dia tetap ada di sisi. Pintalah. Ikhlaskan hati. Kukuhkan iman. Kuatkan rasa. Yakinkan diri. Dia tetap ada di sisi. Dia tetap ada di sisi. Dia tetap ada di sisi.

Wahai diri dan minda, jangan lesu lagi. Jangan bimbang lagi. Usir semuanya.

Dia tetap ada di sisi.

16 November 2007

Saya Yang Sering Tersilap

Saya yang sering tersilap
Silap dalam tingkah dan laku
Dari tangan dan kaki
Yang tidak selari
Dengan kehendak duniawi
Dengan kehendak ukhrawi
Hingga ada yang tersungkur
Ada yang berbekas di wajah
Hanya kerana saya
Tidak berhati-hati
Dalam mengatur langkah
Menghayunkan tangan
Melenggokkan badan
Dalam perbuatan.

Saya yang sering tersilap
Silap dalam menutur kata
Membuat hati orang lain tersentuh
Hingga menitiskan air mata
Menyimpan dendam yang membara
Hanya kerana saya
Yang tidak menjaga adab
Tidak menjadi teliti
Tidak berfikir sempurna
Dalam berbicara.

Saya yang sering tersilap
Menutur bicara di hati
Menyimpan hasad dan nista
Menyimpan geram dan iri
Menyimpan marah dan benci
Walau tidak terluah
Tetapi bekasnya tetap ada
Tertitik di hati
Sebagai satu noda
Yang tidak akan terpadam
Tanpa keikhlasan.

Saya yang sering tersilap
Dalam apa jua keadaan
Maafkanlah saya
Kerana kita di sini
Hanya singgah untuk sementara
Untuk menuju ke sana
Dengan bekal yang indah sempurna.

Saya minta maaf
Dan anda semua
Maafkanlah saya
Saya yang sering tersilap.

~zzms 151107:1135-JlnCSLKL~

29 October 2007

Tunggu Teduh Dulu

Assalamu’alaikum warahmatullah…

Buku pertama yang saya baca selepas saja Ramadhan baru berlalu (semasa masih di penghujung Ramadhan, saya berjaya habiskan Cakra Waruga bersama penghayatan - jua cerita yang pada persepsi saya - sangat menarik).


Ramadhan tahun ini yang cukup perit untuk ditinggalkan. Kenangan bertemu Dia yang tak akan pernah hilang. Saya amat merindui kenangan ini. Kenangan dan pengembaraan menuju Dia yang tidak akan terlupakan.


Saya baru habis membaca Tunggu Teduh Dulu, malam tadi. Pukul 12.39 tengah malam.
Asyik membaca hinggakan sudah bermalam-malam, tidur saya seawal 1 pagi.
Menghayati setiap patah yang hadir di isi muka buku berlatar putih.
Buku yang menyuntik nyeri di hati saya.
Saya rasa semakin lalai. Saya rasa semakin teruja.
Tidak betah dengan ujian.

Tidak tabah dengan dugaan.
Tidak sabar dengan pelbagai kemungkinan.
Tidak kukuh kepada Dia.
Maafkan hambaMu, Ya Allah.

Sazli dan Salsabila Fahim.
Dendy dan Teh Sofia.
Shahruzzaman dan Mimi.
Ayah dan makcik.
Saifullah / Lim Pai Hing.
Kamil.

Antara pelangi dan matahari.
Antara iman dan kekufuran.

Pelbagai ujian yang hadir, ketabahan itu tetap ada pada yang mengingati Dia.

Saya banyak diingatkan semula oleh buku ini. Ingatan positif dan indah.

Tunggu Teduh Dulu, karya Faisal Tehrani.

14 September 2007

Dunia Kecil Kami 3

Kata kawan-kawan, andai rasa rindu, lepaskan biar dirasakan oleh semua orang. Buat pemberitahuan, biar mereka-mereka yang kita rindui akan tahu yang kita sedang merindui mereka. Saya pula, masih di dalam dunia kecil saya. Sekadar duduk-duduk diam, hanya sesekali melepas gelombang rindu di angin lalu.

Bukan saya tidak suka melepaskan rasa rindu yang saya rasakan. Bukan juga saya tidak pernah merasakan kerinduan dan mengingati semua orang. Sejak kecil, semuanya tersimpan di dalam diri saya. Saya tidak pernah meluahkannya. Hinggalah pada umur yang telah melepasi suku abad ini pun, rasa rindu itu masih saya simpan dalam-dalam di dalam diri saya. Sesekali terlepas dari mulut mungkin kerana rasa rindu yang menggunung, hanya kepada ‘kawan jogging’ saya pastinya yang sering saya terlepas cakap tentang kerinduan itu, itupun saya merasakan kerinduan itu sudah jadi bukan sebuah kerinduan. Saya tidak suka melafazkan rindu!

Memang ada rasa rindu. Bukan tidak pernah ada rindu. Pada ibu dan bapa. Pada kakak, abang dan anak-anak mereka. Pada adik-adik. Pada kawan dan sahabat. Pada kenangan lalu. Ya, rasa rindu itu tetap ada di dalam lubuk hati saya. Malah untuk sesiapa sahaja yang pernah berurusan dengan saya sepanjang penghidupan ini, rasa rindu itu tidak pernah surut. Mana mungkin boleh surut andai rindu itu sendiri anugerah dariNya. Rindu kepada sebuah kebaikan. Rindu kepada sebuah ketenangan. Rasa rindu yang memang tidak akan surut dari jiwa saya yang kerdil ini.

Cara saya menganyam rasa rindu pula sangat mudah. Saya tidak akan menghubungi seseorang hanya kerana rasa rindu tersebut. Saya akan duduk diam-diam di dalam dunia kecil saya, walaupun saya sedang merindui. Jika ada rindu, akan ada doa kepada Allah untuk orang yang saya rindui. Usai doa, mungkin sekiranya saya mampu untuk menghantar pesanan ringkas, saat itu saya akan menghantar pesanan ringkas, walau sekadar isinya hanyalah ucapan ‘assalamualaikum’ sahaja. Selebihnya, mungkin saya akan menghubungi mereka melalui telefon. Selalunya, panggilan sebelah pagi sebelum azan Subuh adalah untuk ibu dan ayah saya di kampung sahaja.

Lain dari cara itu, untuk ‘kawan jogging’ saya, pastinya kami akan melepaskan kerinduan dengan berjanji untuk berjumpa selepas kerja. Sekadar bercerita, sambil mengelilingi taman tasik yang besar itu. Bermacam topik akan kami bualkan bersama. Saat ini, saya ada kerinduan untuk ini kerana sudah lama rasanya saya tidak berjumpa sahabat saya itu.

Untuk pertemuan lain walau dipenuhi kerinduan, tidak pernah saya lakukan. Saya lebih selesa bersantai di dalam dunia kecil saya. Walau tidak ada sesiapa, masa yang tidak pernah terluang itu menjadikan saya akur, itulah dunia kecil saya. Di dalamnya ada rindu, ada kegembiraan, ada kelelahan dan ada segala-galanya, yang biarlah saya kongsikan semuanya dengan Yang Maha Esa sahaja. Saya redha dengan masa yang sering mencemburui segala aktiviti saya yang pelbagai.

Itulah rindu saya. Rindu yang tidak pernah terluah. Saya simpan jauh-jauh di dalam lubuk hati saya di dalam dunia kecil saya. Semoga Allah meredhai kehidupan saya, seorang insan yang kerdil dan hina yang bergelandangan di lapangan pengembaraan ini untuk meneguk setitis redhaNya. Alhamdulillah.

13 September 2007

Ramadhan Ini

Assalamualaikum warahmatullah…

Menjelang malam 1 Ramadhan 1428H. Kereta bersimpang siur di sepanjang jalan raya. Saya tidak pasti, mengejar solat Maghrib atau baru pulang dari kerja. Tidak ada suasana yang berbeza.

Melepasi laluan ke Bangi, berhampiran dengan MFI, barulah wujud suasana yang berbeza. Berdedai beberapa anak gadis cuba melintas jalan menuju ke masjid di tepi lebuhraya Utara-Selatan. Saya pula, masih di dalam kereta, bersama badan yang letih dan mata yang hendak tertutup.

Saya terus memandu hingga tiba di sebuah masjid di Bandar Baru Bangi. Alhamdulillah. Masih ada ruang untuk meletak kereta. Jemaah sudah ramai. Saya hanya menyusup di sebalik pintu masuk dan segera duduk berhampiran dinding. Saat-saat menunggu azan Isya’, saya menjadi pemerhati seperti biasa.

Di sisi saya ada dua orang anak kecil. Berusia dalam lingkungan 3 dan 4 tahun agaknya. Si abang berlari di sekitar jemaah, si adik pula baring sambil menghisap botol susu di hadapan saya. Saya hanya tersenyum, segera terbayang anak-anak saudara saya yang tidak sempat saya jumpa pada hari ini.

Di sekitar, nampak wajah-wajah yang ceria menyambut ketibaan Ramadhan. Indahnya Ramadhan. Ruang jemaah wanita juga menjadi semakin penuh, malah ada yang mengambil keputusan untuk bersolat di tingkat atas. Ruang yang penuh itu, mengingatkan saya pada sesuatu.

Ruang di masjid itu. Saya sering ke masjid itu, jika saya tidak pergi berjogging selepas kerja, untuk singgah solat Asar sebelum pulang ke rumah. Ironinya, saya gemar singgah solat di mana-mana masjid. Selain dari menghayati keindahan ruang masjid dan rekabentuknya, masjid sering menjadikan saya ingat. Ingat akan Allah, ingat akan mati. Walau apa pun mesej yang tiba, masjid tetap akan membawa kita untuk mengingati Dia. Walau pun hanya sepicing cuma. Itu salah satu keistimewaan menjadi masjid.

Pun, biasanya, ruang yang penuh itu sentiasa saja kosong, sepanjang tahun. Biasanya, saya berseorangan di dalam masjid itu untuk solat Asar. Kalau nasib sedikit baik, ada dua atau tiga orang jemaah lain yang datang bersolat di situ. Ruang yang sentiasa hening, dan sunyi. Apabila waktu Maghrib menjelang pula, kadang-kadang akan ada lebih kurang setengah saf jemaah wanita yang bersolat di situ. Biasanya, hanya ada lebih kurang tiga, empat, lima orang jemaah wanita sahaja. Jemaah lelaki, tidak pula saya pernah kira.

Alhamdulillah, indahnya Ramadhan dan diberkati olehNya, ruang yang sunyi dan hening itu menjadi sesak pada bulan ini. Bulan puasa. Malah, tingkat atas yang jarang digunakan juga sudah mula digunakan. Walau hanya setahun sekali. Walau hanya di awal Ramadhan. Walau hanya di waktu solat Isya’ di bulan Ramadhan. Walau hanya di 8 rakaat terawal di Solat Terawih. Masjid itu kini berpenghuni. Masjid itu kini sesak, walhal ruang itu selalu saja kosong, sepanjang tahun.

InsyaAllah. Masjid itu akan sesak lagi malam ini. Untuk menghayati dan menilai diri di bulan Ramadhan. Untuk beribadat kepadaNya yang Maha Esa. Untuk bermuhasabah, merenung dan membetulkan diri yang telah menjalani kehidupan di luar bulan Ramadhan.

Ramadhan, mungkinkah bulan-bulan yang lain mencemburuimu?

Selamat Menyambut Ramadhan yang mulia. Semoga kita sentiasa diampunkan olehNya, diredhai olehNya dan dikekalkan dalam iman yang kukuh, walaupun selepas Ramadhan ini.

InsyaAllah.

12 September 2007

Deria rasa

Saya jarang makan yang manis-manis kerana deria rasa saya agak ‘kurang’. Makanan yang saya masak sering terasa ‘tawar’, atau saya akan berangan-angan yang saya ini kuat manis. Kononnya, untuk menyamakan rasa masakan dengan selera orang yang akan makan masakan saya. Walau itu bukan selera saya.

Rasa masin juga kurang dalam hidup saya. Kurang garam, kurang gula.

Tapi, sejak hampir dua minggu ini, deria rasa saya merajuk agaknya. Saya hilang semua rasa. Hanya tinggal rasa pahit dan rasa tawar. Saya makan apa saja samada akan menjadi pahit, atau tawar.

Saya ada juga makan nasi dengan ikan masak kicap, saya boleh rasakan ikan masak kicap tersebut menjadi tawar. Alahai, kicap yang masin juga menjadi tawar. Malah, air suam menjadi rasa pahit. Bila Allah telah mencabut nikmat rasa ini...rasakanlah!

Sudah lama saya tidak menguji deria rasa saya. Saya jadi tidak ada selera makan. Adakah deria rasa saya sudah kembali normal atau tidak, hinggalah ke tengahari semalam.

Tiga sudu milo. Dua sudu susu tepung. Tiga sudu oat. Dua sudu madu. Saya gabungkan kesemuanya dalam satu cawan kecil. Bersama air panas yang menggelegak.

Sudah lama saya tidak makan madu. Sudah lama saya tidak menikmati susu. Kerana itu agaknya deria rasa saya merajuk. Malah, sebatang gigi saya sudah mula hendak bergoyang. Harapnya susu ini nanti akan dapat memberi bekalan kalsium yang mencukupi kepada gigi saya semula. Saya sayangkan gigi-gigi saya.

Saya menghirup bancuhan tersebut dari sudu pertama dengan penuh perasaan. Amat manis. Rasanya manis ini melebihi kemanisan kebanyakan masakan orang Kelate yang sememangnya terkenal amat manis. Saya tidak pernah merasa kemanisan seperti ini di dalam kehidupan saya.

Alhamdulillah. Saya boleh merasa nikmat manisnya madu dan keenakan oat bersama susu tepung dan milo semula. Alhamdulillah.

Hari ini pula, saya sudah boleh merasa nikmat keenakan nasi dagang, dan baru sekejap tadi saya telah makan dua ketul popia dan sepiring bihun goreng.

Deria rasa saya sudah kembali normal. Saya tidak patut meninggalkan amalan susu dan madu saya lagi. Fizikal saya juga perlukan perhatian, seperti rohani saya jua.

Alhamdulillah.

05 September 2007

Bila Mengantuk...

Assalamualaikum warahmatullah...

Saya sedang mengantuk. Bila mengantuk begini, saya akan mula menulis. Idea saya akan sering keluar pada waktu-waktu perasaan saya begini. Perasaan saya yang tidak stabil. Perasaan di alam separa sedar. Dalam Islam sendiri, kita dipastikan tidak solat dalam keadaan mengantuk.

Tapi, inilah saya yang boleh menulis apabila saya sudah mula merasakan yang mengantuk mahu mengganggu-gugat keamanan diri saya yang sedang berada di pejabat. Sebetulnya, saya mahu membuat kerja. Bukan mahu menulis. Tapi saya tidak boleh. Kerja menjadikan minda saya tidak berlari dengan pantas. Kerja hari ini pula sangat remeh. Renyah. Alternatif yang ada untuk menjadikan otak saya berlari supaya badan saya boleh bangun adalah dengan cara ini. Salah satu cara selain dari menyalin pakaian saya sekarang kepada track suit dan t-shirt dan kasut sukan. Tapi itu tidak boleh, kerana ini masa kerja.

Saya bukan suka menulis pun. Tapi saya rasa di dalam ini saja sudah banyak hasil tulisan saya, walau tidak sebanyak orang lain, tapi untuk saya yang jarang menulis, dan jarang ada kesempatan untuk menulis, saya rasa macam sudah banyak. Perasannya saya. Semuanya ditulis dalam keadaan yang tidak stabil, kerana jika saya sedang stabil, saya memang tidak mampu untuk berfikir dan meluahkannya sebagai hasil tulisan. Saya memang begitu.

Saya suka menulis bila saya berasa sedih. Tidak, saya tidak luahkan cerita kesedihan saya, tapi saya akan menulis sesuatu yang membuatkan saya gembira. Tulis tentang Dia membuatkan saya gembira.

Saya suka menulis bila saya terasa hati saya sudah mula hendak marah. Kadang-kadang hal di pejabat terlalu banyak menjadikan kesabaran kadang-kadang tidak terkawal. Tapi, kita tidak boleh marah, apatah lagi menunjukkan rasa marah. Jadi, saya akan duduk dan menulis sambil tersenyum-senyum supaya rasa amarah dapat dikawal. Saya tidak tulis tentang marah juga.

Saya suka menulis bila saya terasa rindu. Apabila saya sedang teringatkan seseorang yang sangat ingin saya hendak jumpa, saya akan mula menulis. Tapi, peliknya, saya tidak akan menulis tentang orang itu. Saya akan bercerita tentang hal-hal di sekitar saya hinggalah rasa rindu itu akhirnya semakin surut dan tidak lagi mengganggu bebola mata saya dari cuba untuk mengeluarkan air.

Tapi, rindu kali ini sangat pelik. Saya tidak tahu kepada siapa yang saya rindu. Saya cuma tahu saya sedang rindu kerana tiba-tiba saja deria rasa di lidah saya tidak berfungsi. Saya jadi tidak ada selera kerana makanan yang saya makan cuma ada dua rasa, tawar dan pahit sahaja. Ada yang menyatakan saya sedang rindukan seseorang, jadi kerana itu saya menyatakan saya sedang rindukan seseorang agaknya. Tapi, kenapa saya tidak merasakan apa-apa. Siapalah yang saya sedang rindukan saat ini agaknya. Saya sedang berfikir, sambil menulis, sambil membuat kerja. Saya masih tidak tahu siapa yang saya sedang rindukan.

Saya suka menulis bila saya berasa sayu. Saya rasa sayu dan sedih bukan dua perkataan yang sama maksudnya. Saya rasa sedih apabila saya terasa yang saya hendak menangis. Saya berasa sayu kerana....saya sering teringat kenangan-kenangan lama bersama kawan-kawan saya, semasa kecil, semasa di sekolah, semasa di universiti, semasa berjumpa kawan-kawan, banyak sangat kenangan apabila saya merindui semula suasana-suasana lama. Kadang-kadang kesayuan ini boleh saya luahkan dalam tulisan saya.

Saya suka menulis bila saya mengantuk. Nah, sekarang saya sudah buktikan yang mata saya sudah menjadi segar semula dan saya perlu menyambung kerja semula. Menulis, menjadikan saya lebih bertenaga dan lebih banyak berfikir. Alhamdulillah.

04 September 2007

Dunia Kecil Kami 2

Jika manusia hanya dinilai melalui pakaiannya, jenis kain yang membuat pakaiannya, mahalkah, murahkah, warnanya, cara pemakaiannya, terdedahkah, bergayakah, menutup auratkah, jika hanya semudah itu manusia dinilai melalui pakaiannya, dan tidak dinilai melalui hal-hal lain.

Jika manusia hanya dinilai melalui perhiasan di tubuh badannya, mahalkah, murahkah, cantikkah, dibeli dari luar negerikah, dari negeri yang glamourkah (hingga sekarang saya tidak tahu kepopularan untuk apa dalam hidup) coraknya, bentuknya, warnanya. Apatah pula orang yang langsung tidak memakai apa-apa perhiasan di tubuh badannya. Jika tidak minat, walau sudah ada bergudang duit dan harta pun, tidak akan dibeli apa jua perhiasan yang memang tidak diminatinya.

Jika manusia dinilai melalui hartanya. Aduhai, saya jadi penat memikirkan kita yang sering menilai orang melalui pandangan kasar. Mata kasar yang tidak jelas dan buta itulah yang sering kita jadikan panduan untuk menarik nafsu dan diri kita supaya menilai dan meletakkan tahap seseorang manusia.

Jika manusia dinilai melalui hatinya. Memang kita tidak akan pernah nampak apa yang ada di dalam hati manusia, habis mahu dinilai dengan apa jika yang di dalam hati itu kita tidak akan pernah tahu. Jadilah lebih jernih supaya akan nampak apa yang ada di sebalik tabir. insyaAllah. Bila sudah jernih, yang di dalam hati itu akan nampak mungkin samar-samar, mungkin jelas, mungkin benar, mungkin tidak benar. Usaha, dan berserahlah.

Saya nanar memikirkan hal diri saya lagi. Kenapa agaknya hanya hal diri saya? Bagaimana mahu bercerita tentang hal yang lain sedangkan hal diri saya sendiri masih banyak yang tidak betul. Hal diri yang sering lalai pada Allah, tapi sedap-sedap sahaja mahu menempelak orang lain. Belum tahu mana satu rahmat Allah yang akan tiba pada kita di akhirat nanti. Belum tahu mana satu rahmat Allah yang melimpah untuk kita di dunia ini.

Kita yang sering tidak nampak. Saya di dalam dunia kecil saya (takut hendak melihat dunia besar yang agam sedangkan di dalamnya ada pelbagai rencah kehidupan yang takut untuk saya terjah). Dunia kecil saya lagi yang di dalamnya tidak ada apa-apa. Dunia yang tidak kosong, tidak pula penuh. Sekadar mencakupi keperluan kehidupan saya yang seperti mayat (aduhai mayat pula yang disebut saya ini). Ingatkan mati yang lebih dekat dari urat leher.

Diam-diam di dalam dunia kecil, saya yang terlalu letih kini sering terlupa untuk memuhasabah diri. Apa yang dibuat, di dalam dunia kecil itulah saya melepas lelah keseorangan. Macam kata dunia luar, senyum tu senyum juga, hati di dalam siapa yang tahu. Walau letih dan lelah, laluan-laluan yang panjang itu harus saya redahi. Untuk apa dilahirkan ke dunia jika hanya mahu bergelandangan tanpa memberi manfaat kepada orang lain di sekitar.

Memang. Dari menyusahkan orang lain, lebih baik duduk diam-diam sahaja. Tapi, dari duduk diam-diam, bukankah lebih baik cuba menyebarkan manfaat dan faedah dari diri kita supaya boleh diberikan kepada orang lain. Terpulang, ikhlas atau tidak ikhlas itu ada di dalam hati. Kalau tidak ikhlas, kita dapat imbalan baik di dunia. Mahsyur, glamour, kaya raya, terkenal dan banyak harta dan kenalan kerana kita dilabel baik. Kalau ikhlas, simpan diam-diam di dalam hati saja. Simpan di dalam dunia kecil kita yang masih kosong dari kisah-kisah yang indah bersama Allah.

Kenangan bersama Allah yang tidak pernah tersimpan di minda kita. Ke hulu dan kehilir, jika saya ini, asyik dihurung dengan kenangan yang membunuh! Aduhai, sebut saja kenangan yang membunuh, teringat saya kepada laluan saya menuju ke sebuah masjid di Gombak beberapa hari lepas. Laluan itu baru saya redahi beberapa bulan lepas semasa menuju ke UIA, tapi itu dengan beberapa teman sepejabat. Keharuannya tidak seperti yang baru-baru ini. Beberapa hari lepas, di saat saya berseorangan, kenangan yang membunuh itu hadir satu demi satu bertamu di layar minda saya. Alahai....semoga Allah memudahkan saya, dan memudahkan semua muslimin wal muslimat di dunia ini. Biarlah kenangan membunuh itu tidak menghantui saya lagi!

22 August 2007

Dunia Kecil Kami 1

Kanak-kanak berlarian di tepi bangunan tadika di suatu petang sewaktu saya sedang berhenti di sebuah lampu isyarat di Bandar Baru Bangi. Saya tersenyum sendiri. Indahnya menjadi kanak-kanak. Pada usia itu, mereka masih tidak memikirkan apa-apa di minda mereka. Hanya memikirkan ibu, ayah dan diri sendiri sahaja. Indahnya menjadi kanak-kanak.

Pun, zaman itu memang akan ditinggalkan. Tidak selamanya kita menjadi bayi yang comel dan dibelai oleh semua orang. Di luar sana, ada cabaran lain yang menanti kita. Peningkatan umur menjadikan peningkatan kepada tanggungjawab, masalah, ujian, nikmat, rezeki dan pelbagai lagi kemelut yang akan menghiasi keseluruhan kehidupan kita.

Hidup ini, kita yang melaluinya dan kita akan merasainya. Apa yang tidak kita lalui, mungkin akan kita perolehi melalui pemerhatian, pemberitahuan, pembacaan ataupun pelbagai lagi sumber yang lain. Pun, itu semua cuma akan menjadi satu ilmu yang tidak akan kita rasai sehinggalah kita pernah mengalaminya sendiri. Kita boleh nampak air mata yang mengalir, tapi kita tak akan dapat merasakan keperitan setitis air mata yang mengalir tanpa paksaan sehinggalah bahu kita turut menanggung segala kemelut itu.

Pengalaman dan perasaan menghadapi pengalaman yang akan mendewasakan kita. Pelbagai perasaan akan wujud, dan saat itu barulah kita belajar apakah manisnya rasa sedih, apakah pahitnya rasa gembira, apakah indahnya rasa diabaikan dan apakah makna sepi walaupun dikelilingi oleh ramai orang di sekitar kita.

Itulah dunia kita. Dunia yang di dalamnya ada pelbagai rasa. Perasaan itu hanya kita yang pernah merasainya akan tahu, dan akan faham.

Andai bercinta, keindahan di alam percintaan itu hanya dirasakan bagi yang pernah merasakannya. Kemelut di dalam percintaan, jua pada yang pernah merasakannya. Putus cinta, jua pada yang pernah merasakannya. Tidak ada istilah faham dan tahu melainkan pada yang pernah merasakannya.

Sesekali saya cuba menyelami rasa hati teman-teman yang bercinta dan putus cinta, pun kata teman-teman, pedihnya masih belum sampai ke ulu hatimu sehinggalah kau mengalami dan merasakannya sendiri. Keindahan masa bercinta jua, saya memang tidak pernah merasakannya. Indah itu pada saya hanya ada pada sebuah rindu yang telah saya simpulkan dengan erat, hanya pada yang satu. Tidak ada yang lain.

Sesekali hal ini mengusik benak dan minda saya. Minda saya yang beku dari menilai perasaan untuk seorang manusia. Pada saya, semua orang adalah sahabat. Semua orang adalah teman. Tidak ada yang istimewa, kerana semuanya adalah istimewa. Persahabatan dan silaturrahim yang terjalin itu sendiri telah sedia istimewa, sebuah hubungan istimewa antara sesama manusia, rasa istimewa yang dihadirkan di hati hanya kerana Dia.

Saya tidak mahu mengusik rasa istimewa yang telah wujud sejak dulu. Tiada manusia yang berbeza kerana kita telah dicipta sebegitu rupa dengan sangat adil. Bezanya jua, hanya pada taqwa, yang kita sendiri tidak mampu menilainya dengan mata kasar kita, kerana rasa yang satu itu hadir dari hati, yang kita tidak ada kekuatan dan kemampuan untuk menilai semua itu. Itulah rasa istimewa di dalam diri saya, kesemuanya istimewa kerana rasa syukur itu perlu diwujudkan pada setiap inci di dalam kehidupan kita. Rasa syukur yang sangat istimewa untuk Dia yang terlalu istimewa. Tidak ada yang lain.

Sebuah rasa yang istimewa. Perit, pedih dan duka jua adalah rasa yang istimewa. Pengalaman hidup yang menerbitkan rasa insaf, kerdil dan ingat kepada yang lebih berkuasa. Rasa kehambaan yang akan wujud hanya bila kesusahan melanda perlu dikikis jauh-jauh, kerana diri kita adalah hamba pada setiap masa dan ketika, bukan hanya pada masa duka, dan tidak jua pada masa suka. Wajarnya, syukur dan taqwa itu kita simpulkan di hati agar hati kita akan menjadi hati-hati yang bercahaya. Hati yang tidak lalai, dan sentiasa mengingati Dia.

08 August 2007

Rumput dan Padi

Assalamualaikum warahmatullah..

Pagi Rabu yang indah. 24 Rejab 1428H. Semoga keindahan pagi ini akan disebarkan ke seluruh alam.

Alhamdulillah. Saya semakin sihat. 4 orang kanak-kanak di rumah juga semakin sihat. Kakak saya juga semakin sihat. Alhamdulillah.

Seorang sahabat telah bercerita kepada saya pada hari ini. Sebuah kisah yang mudah difahami, namun huraiannya sangat menarik untuk saya catatkan di sini dan dijadikan panduan untuk kita semua. InsyaAllah.

Seorang guru telah mengajar anak muridnya tentang padi dan rumput.

“Lebih elok menanam padi, dan di celah-celahnya akan tumbuh rumput, tapi hasilnya masih boleh kita perolehi, daripada langsung tidak menanam padi, dan hasilnya tidak akan kita perolehi langsung, hanya kerana kita tidak mahu melihat rumput di celah-celah padi kita..”

Secebis kisah ini terlalu luas huraiannya.

Rumput, akan tumbuh di mana-mana. Jika tidak ditanamkan padi, rumput yang akan berleluasa. Rumput tidak perlukan baja. Rumput tidak perlukan benih yang perlu dijaga rapi. Bak kata Dr. HM Tuah Iskandar di dalam salah satu bukunya Jangan Main-Main, rumput di Kanada juga sama dengan rumput yang tumbuh di tepi jalan di Malaysia.

Padi perlu dijaga rapi. Padi memerlukan benih yang perlu disemai dan dipindahkan dari petak kecil ke petak besar. Padi memerlukan air yang optimum. Padi tidak boleh tumbuh di Alaska, tidak boleh tumbuh di Kutub Utara, di Kutub Selatan atau di Banjaran Himalaya. Padi boleh tumbuh dalam rumah kaca.

Antara rumput dan padi.

Saya mengandaikan rumput dan padi di dalam kehidupan seharian. Padi, menguntungkan. Rumput, merugikan? Tidak juga, kerana semua kejadian Allah berhikmah.

Ibarat rumput adalah risiko, dan padi adalah tindakan. Wajarkah kita hanya memikirkan risiko tanpa mengambil apa-apa tindakan hanya kerana memikirkan risiko yang bakal kita terima dan akan merugikan kita.

Ibarat rumput adalah masalah, dan padi adalah perkara yang menguntungkan. Jagalah padi kita dengan elok, setiap rumput yang muncul kita cabut satu demi satu supaya ia tidak menjadi banyak dan akan membebankan kita untuk mencabut kesemua rumput sekaligus.

Ibarat rumput adalah nikmat, dan padi adalah ujian. Jauh di sudut hati, padi juga yang kita pilih walau ujiannya lebih hebat. Nikmat itu sesekali kita perlu singkirkan supaya kita tidak terus alpa dengan kenikmatan yang dirasai sehingga melalaikan kita.

Pilihlah antara padi, rumput dan padi, dan rumput sahaja. Pilihan di tangan kita, kita yang memilihnya.

Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum hingga suatu kaum itu berusaha untuk mengubah nasibnya sendiri.

Antara konsep tawakkal, wasatiyah, redha, doa dan berserah.

Semoga Allah menjadikan kita berfikir dengan tepat untuk kekal di laluan-Nya yang lurus,menuju pada-Nya dalam keadaan beriman, diredhai dan dirahmati oleh-Nya.

InsyaAllah.

Hujan Petang

Assalamualaikum warahmatullah…

Kisah di suatu petang Selasa yang indah.

Gelap. Kuala Lumpur dilanda hujan lagi. Dalam gelap, masih ada keindahan. Di sebalik hujan yang turun, berjuta-juta rahmat yang dialirkan bersama titisan yang turun dari langit itu. Rahmat dariNya. Alhamdulillah.

Saya masih ingat saat saya kecil-kecil. Pada waktu hujan sedang turun.

Saya akan duduk di tepi tingkap rumah, melihat titisan air hujan yang turun membasahi cermin tingkap, satu demi satu. Titisnya yang menerbitkan irama muzik yang sangat indah. Saya sangat sukakan hujan. Pada saya, hujan menerbitkan suatu ketenangan. Pun, kisah masa kecil, setiap kali melihat cermin tingkap yang dibasahi air, akan mewujudkan suatu rasa tenang, dan gundah.

Dari jauh, saya akan melihat seorang wanita berbaju biru (biru air laut) dan berpayung biru (juga biru air laut) menuju ke arah saya setiap kali titis-titis hujan turun membasahi tingkap. Wanita yang sama setiap masa, wajah yang penuh kelembutan, berbicara dengan saya di dalam hujan yang lebat menggila. Memujuk-mujuk dengan suara lemak merdunya, mengajak saya mengikut dia.

Anehnya, walau kisah itu sudah saya alami sejak usia 4 tahun…hinggalah saya menginjak dewasa (kini wanita itu telah tiada – tapi muncul dalam mimpi saya pula!), saya tetap akan sentiasa menggeleng-gelengkan kepala pada permintaannya. Dan dia akan berlalu dengan wajah yang sedih, dan akan muncul semula setiap kali hujan turun membasahi cermin tingkap.

Siapa dia?

Saya sendiri tidak pernah mengenali dia, kerana pertanyaannya – atau lebih kepada permintaannya : mari ikut..kita pergi berjalan-jalan… (dan saya tetap akan menggelengkan kepala pada permintaannya).

Semoga Allah menunjukkan jalan yang lurus yang wajar saya pilih, walau dalam situasi apa jua, kerana saya hanya mahu mengingati Dia, merindui Dia, mencintai Dia.

Tiada yang lain. Hanya Dia di hati saya. InsyaAllah.

* Setiap kali hujan turun juga, ingatan saya akan terus mengingati seorang sahabat. Semoga dia sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah. InsyaAllah.

01 August 2007

Biarlah musim-musim ini berlalu bersama Dia...

Assalamualaikum warahmatullah…

Setelah mendapat cuti sakit untuk dua hari mengikut kata doktor (yang kemudiannya menjadi hanya sehari kerana kesilapan saya sendiri yang tidak melihat slip tersebut sebelum keluar dari klinik dan hanya menyedarinya bila saya tiba di rumah – yang saya tidak terdaya untuk memikirkannya kerana badan yang terlalu lesu – yang kemudiannya saya tahu ada hikmahNya untuk setiap kejadian yang berlaku – yang kemudiannya saya merasa amat bersyukur), walau tidak terasa betul-betul sembuh, sekurang-kurangnya kesihatan saya diperbaiki sedikit.

Tiada kepanasan yang menggila, walau belum kembali ke suhu normal manusia sihat, tapi reda sedikit. Untuk hari ini. Pagi ini. Tengahari dan petang ini, saya perlu tunggu dan lihat. Hanya selesema dan batuk yang semakin teruk tika ini (boleh dikategorikan lebih teruk dari sebelum saya berjumpa doktor – pergi ke dua buah klinik yang berbeza dalam sela masa 3 jam sahaja tidak pernah saya lakukan seumur hidup saya) yang menjadi peneman saya.

Pun. Alhamdulillah. Allah tidak akan pernah menyukarkan hamba-hambaNya di luar kemampuan mereka. Allah terlalu sayangkan hamba-hambaNya, dan inilah bukti kasih sayangNya.

Nikmat ujian. Nikmat rahmat. Pilihan ini bukan di tangan kita. Hanya setelah kita berusaha. Tapi, itu semua adalah nikmat. Orang kaya yang sihat dan makan dari sudu dan pinggan emas juga adalah ujian. Ujian rahmat. Orang miskin yang sakit, melarat dan hidup berbumbungkan langit dan berlantaikan tanah, itu jua nikmat. Nikmat ujian. Hala tuju itu tetap satu.

Biarlah musim-musim ini berlalu bersama Dia.

Saya yang terlalu lalai. Sering alpa padaNya. Jadi, biarlah musim-musim ini saya redahi bersama Dia. Segala lelah, sedih, perit dan segala macam rasa yang negatif (di dalam keadaan luar sedar, terkadang minda tidak mampu berfikir 99 peratus sempurna – maka wujudlah pelbagai rasa yang tidak selesa – ampunkan kami, Ya Allah…) dan segala macam rasa yang gembira, menyeronokkan, mengujakan dan yang indah-indah (terlebih-lebih rasa suka jua kadangkala menjadikan minda lemah dan tidak berfungsi dengan sempurna), saya hanya mahu redahi bersama Dia.

Apa saja yang datang, saya akan terima dengan redha, InsyaAllah. Semoga Allah membantu dan memberikan saya kekuatan. Untuk apa yang tiada, saya tidak mahu memikirkan apa-apa. Semoga Allah mengampunkan saya, meredhai saya dan meletakkan saya di kalangan hamba-hamba yang tidak lalai dan sentiasa mentaatiNya.

Biarlah musim-musim ini berlalu bersama Dia.

Hanya Dia. Tiada yang lain. Kerana saya amat merinduiNya.

Ini jua nikmat.

30 July 2007

Pengembara 17

Assalamualaikum warahmatullah…

Lama benar saya tidak mengusik catatan pengembaraan saya. Catatan yang sudah lama terhenti kerana rutin harian yang hampir sama setiap hari, jua bukan itu sebabnya. Banyak yang saya perlu fikirkan, lunaskan, habiskan, selesaikan.

Bulan ini, banyak benar peristiwa yang bersejarah, kepada saya saja tentunya. Dapat balik ke kampung pada awal bulan. Dapat rezeki dari Allah pada pertengahan bulan (rezeki ada setiap masa, setiap saat, tapi ini adalah salah satu anugerahNya yang saya cuba-cuba sematkan di hati kerana ia terlalu istimewa kepada saya…)…dan di hujung bulan ini, saya menerima nikmat lagi. Nikmat demam.

Demam. Satu frasa yang memang jika dikaitkan dengan saya, pasti saja amat rapat. Sentiasa demam, samada demam teruk atau tidak, badan tetap saja lesu tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Pun, kerana nakal, semuanya saya langgar saja.

Malam Selasa pada minggu yang lepas, saja-saja balik ke rumah kakak. Melihat 4 orang kanak-kanak yang demam, dan saya yang masih di dalam keadaan yang sihat, sepanjang malam memeluk si abang sulung yang meracau-racau. Esok paginya, aura yang saya terima dari si abang sulung masuk ke dalam diri saya pula.

Antibodi yang lemah. Itu sebabnya. Badan yang panas dan sejuk mendadak, mulut yang kering, muka, bibir dan pipi yang merah (lebih elok dari pakai blusher…atau pakai lipstick…sementelah saya memang tidak menggunakan sebarang alat solek di wajah…sekadar bedak bayi jenama Anakku yang sering menjadi penghias wajah saya..heh!) dan badan yang lesu. Pun, memandangkan suasana masih tidak kritikal, saya gagahkan diri melakukan segala rutin.

Saya memang nakal. Tidak betah dengan anugerah rehat yang boleh saya dapat, saya masih tidak mahu jua merehatkan badan. Kerana terlalu nakal, akibatnya saya terima pada hari Jumaat. Badan saya amat lesu, terlalu lesu menyebabkan pagi Sabtu saya menjadi hari yang agak murung.

Murung untuk saya. Walau bangun tidur awal dan menunaikan solat Subuh sebaik sahaja azan berkumandang, dan menyambung baring semula selepas itu, saya tetap masih mahu melakukan aktiviti yang telah saya rancangkan. Lambat juga, janji pada diri hendak keluar dari rumah pada pukul 9 pagi berlarutan hingga ke 11 pagi. Badan rasa tidak boleh bergerak, pun stereng kereta tetap kejap di tangan saya.

Menuju ke rumah kakak, dan kemudian menguruskan hal saya. Balik semula ke rumah kakak (sudah tidak larat mahu memandu barulah saya membatalkan semua kelas pengajaran saya di sebelah petang) dan kemudian balik ke rumah pula.

Sebelah malamnya, suhu badan menjadi lebih teruk. Saya tidak sangka langsung. Pun, dengan kata-kata seorang sahabat, saya paksa diri untuk tidur walaupun mata saya tidak menuntut lena pada waktu itu. Hmm. Tengah malamnya, saya sendiri merasakan kepanasan yang mendadak, dan tanpa sedar batuk dan selsema yang sudah lama tidak hadir, menerjah ke dalam diri saya. Suara saya saja sudah jadi seperti penyanyi rock yang tidak cukup latihan menyanyi, badan terasa seperti sesekali dipanggang di atas api, dan sesekali pula di hantar ke kutub utara, dan sesekali jua kelesuan badan seperti saya sudah dilanyak dengan lori tangki…alhamdulillah.

After each difficulty, there’s a relief. Berganti-ganti ingatan dari Surah Al-Insyirah mengasak benak saya. Demam ini hanya sementara, dan saya perlu tabah. Tanpa sedar, air mata saya mengalir setitis demi setitis. Ya Allah, terima kasih kerana mengingatkan hambaMu yang sering terlupa ini.

Pagi Ahad saya cuba lalui dengan segala macam ketabahan. Rupanya, ketabahan itu tidak lama. Petangnya, saya sudah lembik semula. Menuju ke rumah kakak untuk melegakan diri, dan kemudian barulah balik ke rumah. Sama seperti malam sebelumnya, badan saya seperti dilanyak keretapi laju di Jepun saja layaknya. Mencucuk-cucuk dengan kepanasan yang menggila. Agaknya bilik tidur saya sudah jadi microwave dengan suhu 220oC. Dan saya asyik terjaga di sepanjang malam.

Pagi ini, saya bangun dengan semangat yang tiada. Hmm. Memikirkan pelbagai kebarangkalian, saya akur saya perlu berada di pejabat juga, sekurang-kurangnya pada sebelah pagi. Telah disimpul niat, petang ini saya mahu ke klinik. Dan jika sepanjang minggu ini pun saya masih tidak sihat lagi, saya redha. Saya telah diingatkan Allah, dan saya amat bersyukur dengan anugerah ini.

Ya Allah, ampunkan hambaMu yang sesekali merasa ngilu dengan demam yang mencucuk-cucuk seluruh badan ini.

Aku merinduiMu.

27 July 2007

Jumaat ini...

Assalamualaikum warahmatullah…
6 jalan syaitan :-

1. Marah (paling glamour jalan ni…)
2. Tamak (cemburu dengan apa yang jadi hak orang lain dll)
3. Melayan nafsu (keduniaan, kekenyangan, keseronokan dll)
4. Tergopoh gapah (tidak tenang dll)
5. Bakhil (tidak mahu berkongsi kesusahan orang lain dll)
6. Taksub (underestimate dan memperlekehkan orang lain dll)

Ustaz Zahazan – 26 Julai 2007 – IKIM

Hari Jumaat yang indah. Alhamdulillah.

Saya bangun tidur dengan tenang, solat dengan tenang, bertolak ke tempat kerja dengan tenang, breakfast dengan tenang, mengadap kerja dengan tenang, dan menerima ujian kali ini dengan tenang. InsyaAllah.

Ya Allah, hambaMu yang lemah ini diuji lagi. Alhamdulillah.
Ya Allah, hambaMu yang hina ini diuji lagi, Alhamdulillah.
Ya Allah, hambaMu yang kekurangan ini diuji lagi, Alhamdulillah.

Terasa menyerbu rasa ketidakselesaan yang melampau, tapi bila memikirkan Jumaat yang sangat indah dan Allah yang Maha Penyayang, saya jadi akur dan redha pada ujian ini. InsyaAllah, berkat hari Jumaat ini, ujian ini tiba lagi.

Ujian. Saban hari dilatari pelbagai ujian, saya terasa diri yang lebih disayangi Allah. Walau jauh di sudut hati saya menangis, saya tahu saya perlu terus tenang, tabah, sabar dan cekal menghadapi kemelut sebuah kehidupan.

Terasa diri disayangi.

Alhamdulillah. Semoga ujian kali ini, sama jua seperti ujian-ujian lain…(wahai hamba, fahamlah bahawa masalah yang hadir hanya seketika, kita diuji dan diuji silih berganti, merasa nikmat kesukaran yang berbeza, tenang, sabar dan tabahlah…) ….yang akan pergi apabila masanya telah tiba.

Ya Allah, hanya padaMu ku berserah, dan hanya kepadaMu hambaMu yang lemah ini berharap.

Hanya Kau yang amat memahami dan mengerti perasaan yang tersemat jauh di lubuk hatiku ini. Hanya Engkau, Ya Allah.

Aku amat merinduiMu.

23 July 2007

Jangan Dilayan...

Assalamualaikum warahmatullah…

Jangan dilayan rasa hati yang sedih.

Untuk menghadapi sebuah ujian peperiksaan, meneguk pahit maung di dalam ujian yang panjang, menghirup manis madu ujian yang berjaya dilalui, bukannya mudah. Ada kesabaran yang perlu dikukuhkan, ada keimanan yang menjadi benteng yang kuat, ada keikhlasan sebagai hamba yang masih berjuang.

Tidak mudah.

Jangan dilayan rasa hati yang sedih.

Untuk menjadi seorang hamba Allah yang beriman, ujian-ujian itu perlu dilalui dengan cara apa pun. Itu tanda Dia mengingati kita. Itu tanda Dia menyayangi kita. Itu tanda kita diingatkan oleh Dia.

Jangan dilayan rasa hati yang sedih.

Kesedihan itu terkadang tidak perlu diungkapkan menjadi lebih nyata. Hadapi dengan tabah. Hadapi dengan sabar. Hadapi dengan tenang.

Manisnya meresap hingga ke sum-sum tulang.

InsyaAllah.


Tiga tanda orang yang lalai :

1. Terlalu memikirkan tentang duit (hal keduniaan)
2. Menjauhi berbuat kebaikan
3. Menjauhi / tidak menghadiri majlis ilmu

(dipetik dari kata-kata Ustaz Zahazan Mohamed pagi ini di IKIM)

20 July 2007

Fikir dan Fikirkan

Assalamualaikum warahmatullah...

Wahai hari Jumaat yang indah!

Kadang-kadang kita perlu menyepikan diri untuk mencari sebuah makna kehidupan. Jarang kita berfikir tentang sebuah makna kehidupan yang paling ikhlas. Ada apa dengan ikhlas? Alangkah indahnya sebuah dunia yang dipenuhi dengan keikhlasan, setiap dari kita semua melakukan segala sesuatu perkara hanya kerana Allah. Hanya kerana Dia.

Tetapi, Allah menjadikan kita semua perlu berfikir untuk berada di dunia ini. Tidak semua keikhlasan akan wujud kerana Allah telah menjadikan manusia berbeza-beza. Tidak sama. Setiap dari kita mempunyai keistimewaan dan kelemahan yang tersendiri.

Termenung. Merenung.

Bila jari terasa kaku untuk menaip, dan minda beku untuk berfikir, manakala mata yang sudah tidak lagi fokus pada sesuatu untuk diperhatikan. Maka, minda dijadikan alat untuk terus menelusuri minda, memecahkan kebekuan yang cuba mendindingi diri dari menjadi seorang manusia yang normal. Berfikir dan terus berfikir lagi. Walau tanpa perlakuan, minda masih berjalan, cuba menerobos dinding, alam, lautan untuk merealisasikan sebuah minda yang positif. Kaku, bila beku tanpa apa-apa yang boleh dilakukan. Tapi hati yang mengingati Allah tetap akan sentiasa hidup. Hati yang tidak pernah mati kerana masalah dunia yang tidak pernah tamat. Tamat hanya bila jasad sudah tidak bernyawa, dan saat itu segala amalan dahulu menjadi hitungan di mizan.

Berfikir lagi.

Minda yang dianugerahkan Allah. Berfikir untuk apa? Manusia yang sering dilingkungi pelbagai masalah (ujian dari Allah) dan sentiasa diingatkan Dia tentang hakikat sebuah kehidupan yang sementara. Hidup yang tidak kekal abadi yang dikejar, atau sebaliknya. Berfikir dan berfikir lagi. Hingga minda ini telah beku dari fikir.

Ya Allah, jadikanlah pemikiran ini sentiasa positif dan Engkau redhai.

Ya Allah, kurniakanlah tahap fikir supaya hati ini akan sentiasa taat kepadaMu.

Ya Allah, janganlah pesongkan hati-hati kami setelah Engkau mengurniakan petunjuk kepada kami.

Kami adalah manusia yang sering lalai dan menzalimi diri kami sendiri.

Ya Allah, hanya Engkaulah Tuhan yang Maha Agung.

16 July 2007

Selamat Menyambut Bulan Rejab

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Bagaimana rasa sedih itu perlu diluahkan, andai selama ini tangisan itu hanya tersisa di hati, tidak pernah terlampias di mata kasar, kerana inilah insan yang tidak tahu apakah erti sebuah kesedihan yang perlu ditunjukkan di hadapan nyata.

Hipokritkah pada sebuah kehidupan yang sangat melelahkan sedangkan kegembiraan ada di mana-mana. Lelahkah pada sebuah kehidupan yang dipenuhi dengan pelbagai laluan-laluan sukar andai itu hanya secubit cuma dari intipati sebuah kisah perjalanan.

Jadilah seorang pengembara, berkelana di sini mencari sesusur umbai rahmat yang dihirup dari gelung-gelung emas bertatah kalungan rantai bergemerlapan, pun cahayanya tidak akan tiba andai tiada keikhlasan jauh di sudut hati.

Jadilah seorang pengembara, berkelana di sini mencari sejalur rasa suci yang terungkap di celah dedaunan kering dan terik mentari yang tidak pernah surut, sedang warnanya tidak pernah berubah kerana hujan yang turun sering berusaha menerobos jauh ke dalam diri mencari kasih sejati yang tidak pernah pudar.

Jadilah seorang pengembara, berkelana di sini hanya sementara, mencari jalan pulang yang benar setelah puas tersesat bergelumang dengan segala macam onak dan duri yang bergelimpangan merintangi jalan, dan itu adalah secebis kisah seorang insan yang bergelandangan di sini.

Jadilah apa pun. Apa pun yang dimahukan tetap akan jadi seorang pengembara yang mencari sebuah tujuan kehidupan yang tidak pernah berubah. Andai tahu, sedar dan insaf, yang satu itu tujuan kita.

Jadilah apa pun. Biar Dia tetap bersama di hati kita, insyaAllah.

*Selamat menyambut bulan Rejab.

13 July 2007

Lost

Assalamualaikum warahmatullah…

Nice day, good breath. Still, deep in my heart, everything is not right. What is not right? I am thinking of something…something that is not exist at all. Never exist. I lost a thing that I never have. Badly, I don’t know what I had lost.

I am lost. Lost in what? Lost in my journey, I think so. I know I’m not in a good condition. But still I have a lot of faith for Allah. Allah is everything to me, yet….why I feel lost? Is there something that I can’t understand? Something that is not relate to me, but it is relate to me, isn’t it?

Yup! I had lost something. Something that I don’t know…

Last Friday I am going to work. Bird, rain, vehicles, papers, pens, pencils and peoples around me. I still feel lonely. Not lonely at all, but deep inside my heart, I could tell myself that something is missing. I had missed that thing on Friday, I think so. The thing had been lost in Friday, but, what it is? Can’t figure it out, right? And that thing is nagging in my head….

Watched Transformers on Saturday night. Hell…the movie is damn good. Spontaneous, love (I like the word…yet I like the meaning…I like to be loved….but I don’t like modern love…I think prince charming and happily ever after is modern love…), and the effect of the robot – autobots actually ( still the memory of my 4 autobots – from Form 1 until Form 5 – can imagine something better than to see a girl wear baju kurung with her 4 autobots and doing her Add Maths…) – turn into vehicles. I like Bumblebee, more than Optimus Prime. But then, I like all the ‘heroes’. I always dream if I can create a robot that can turn into Lotus Elise….I think so…..just a dream of a dreamer. Never bother about it, never make it serious….never think to realize it….just a fantasy of a small girl…at that moment..a forgotten memory…

Teached a student on Sunday (sun-day – why I have to hate the sun-day…it is better Sunday rather than sun-day), fetched my younger sister and going back to my hometown. What a concidence….I am back! After 3 months….and the feeling inside me…hmmmh…. me also…I also can’t interprete what I am thinking…..I just feel not comfortable…I can’t sit properly, can’t sleep properly, can’t eat properly…. I feel something inside me that I can’t mention to anyone…..why I have this feeling? Why I am not feel comfort at all?

Read a book on Monday. About other religions, Zionis, Jesus, Maria Magdalena…hell, what I am doing here just sitting and reading a book without doing anything to change ‘ours’? I feel tense in my nerve, I want to yell but it was blocked in my heart. I want to tell the world…to tell the Muslims…we must be very-very careful. Can you all the Muslims hear what I’m babbling about? I hope so…I hope all of you can analyse something better…something that can create another something…based from Al-Quran and sunnah…insyaAllah…I think, this is the thing that I had lost….I lost the ‘time’…

Went back to KL on Tuesday. Went to Cyberjaya. Doing something important on Wednesday (thanks to a good friend that had cherished my day…thank you..). Went back to Cyberjaya in the evening. Feel uncomfortable again…what had happen to me actually? I don’t know….

Nice air, good breath. I hope it will always there. Hope. Faith. Sincerity. Love. InsyaAllah.

* Manusia sering melampaui batas. Sesekali diterpa ujian sebuah kehilangan yang kosong, barulah dia mengerti. Ujian itu datang tanpa diduga, menjenguk seketika rasa bahagia kerana masih diingati Dia. Masih diingatkan oleh Dia. Alhamdulillah.

06 July 2007

Jumaat yang indah 6 Julai 2007

Assalamualaikum warahmatullah...

Alhamdulillah. Hari Juma'at tiba lagi, Juma'at yang sangat indah.
Setitis air yang gugur
di hiliran pada halus lembut si kulit
melarik jiwa dalam sebuah sepi
dan air gugur lagi
bersama kesayuan yang sirna.

Alhamdulillah. Terkadang saya alpa pada Juma'at yang indah, pada burung-burung yang bertenggek di tubir tingkap bilik saya ( bilangannya semakin bertambah dari sehari ke sehari - mungkin kerana saya rajin 'melayan' agaknya ), pada angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, pada kapal terbang dan helikopter yang sering menemani perjalanan tugas saya di sini, pada LRT yang setiap laluannya memang dapat saya dengari dengan jelas, pada hujan yang turun mencurah-curah (saya lebih sukakan hujan dari kepanasan yang membahang) - pun tetap ada hikmah pada hujan dan panas.

Hikmah. Hari Juma'at yang penuh berhikmah. Setiap kejadian yang berhikmah yang tidak mampu saya ungkapkan. Paling nyata, luluskah saya dalam ujian peperiksaan ini? Soalannya sudah jelas, cara menjawabnya saja yang masih kabur..semoga skema jawapan itu walau tidak saya perolehi dengan lebih mudah, paling pasti saya akan dapat melalui ujian peperiksaan ini dengan lebih tabah. Dengan kesabaran yang lebih kukuh. InsyaAllah.

Ya Allah, hanya padaMu ku berserah. Ujian yang panjang ini adalah nikmat kurniaanMu. Nikmat yang sering ku abaikan kerana rasa pahitnya yang menikam jiwa dan memanah hati. HambaMu ini hampir kecundang, namun Kau kuatkan jiwa hambaMu yang lemah ini dengan redha dan rahmatMu.

Ya Allah, hanya padaMu ku berserah. Ampunilah hambaMu yang sering terlalai pada sebuah nikmat yang terselindung.

Amin.

08 June 2007

Hati Yang Penuh

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Selamat hari Juma'at yang indah. Hari yang tenang. Hari yang sejuk. Hari yang mendamaikan jiwa. Hari yang menenangkan minda. Hari di mana rahmat Allah melimpah seluasnya kepada sesiapa yang berdoa, insyaAllah.

Hati.

Dari segi fizikal, hati merupakan organ homeostasis yang memainkan peranan penting dalam proses metabolisma dalam manusia dan haiwan. Hati mempunyai pelbagai fungsi termasuk menyimpan glikogen, mensintesis protein plasma, dan menyahtoksik darah. Ia menghasilkan hempedu yang penting bagi penghadaman. Ia melaksana dan mengawal pelbagai fungsi biokimia jumlah besar yang memerlukan tisu khas. Istilah perubatan yang berkaitan dengan hati sering kali bermula dari perkataan Greek bagi hati iaitu hepar, menjadi hepato- atau hepatic. Hati berwarna perang kemerahan dan terletak di bawah diafragma iaitu di dalam rongga abdomen. Hati menerima makanan terlarut dalam darah apabila makanan ini tercerna dan diserap di usus.

Hati manusia dewasa biasanya seberat antara 1.3 - 3.0 kilogram, dan ia adalah organ lembut, perang-kemerah jambu berbentuk "bumerang". Ia adalah organ kedua terbesar manusia (organ terbesar adalah kulit) dan kelenjar terbesar dalam tubuh manusia.

Ia terletak di bahagian kanan badan manusia. Hati terletak pada bahagian kanan perut dan menjadi alas bagi kantung hempedu (yang menyimpan hempedu).

Hati terdiri daripada koleksi unit-unit lobul hati. Cabang vena akan melalui bahagian pusat setiap lobus (sel-sel hati) ini. Salur arteri hati dan salur vena portal hepar akan disambungkan ke sinusoid darah (dalam hati) ke cabang vena hati.

Hati menerima darah melalui arteri hati dan vena portal hepar. Manakala, darah keluar dari hati melalui vena hati. Terdapat juga, salur/duktus (hempedu) yang mengalirkan hempedu dari hati ke pundi hempedu, dan dari pundi hempedu terdapat duktus hempedu yang mengalirkan hempedu keluar daripada pundi hempedu.

Sebanyak 20% darah daripada keseluruhan jumlah darah yang disalurkan ke hati ini mengalir melalui salur arteri hati. Darah daripada arteri hati ini mempunyai oksigen. Manakala, darah daripada vena hati merupakan darah ternyahoksigen (kandungan oksigen rendah) kerana telah melalui salur limfa. Darah daripada vena hati membekal bekalan zat makanan dan bahan-bahan yang diserap daripada salur makanan.

Hati dengan pelbagai fungsi fizikal.

Hati yang penuh.

Dahulu, semasa saya masih kecil, saya tidak pernah tahu kewujudan hati dari segi fizikal. Pada saya, hati itu hanyalah perasaan di dalam diri yang akan timbul apabila sesuatu perkara berlaku, samada sedih, gembira atau pelbagai lagi perasaan yang tidak terungkap dan disimpan dan dipendamkan di dalam hati.

Sakit hati, suka hati, sampai hati....semuanya berkait rapat dengan hati.


Saya juga diajar tentang sifat dan perlakuan manusia yang baik-baik ; sabar, qana'ah, redha, tawakkal, wasatiyah....dan pelbagai lagi yang segalanya berkait rapat dengan hati. Rasa yang wujud dan lahir dari hati kerana seketul hati yang baik akan memberikan kehidupan rohani dan keindahan ibadat. Setiap saat adalah ibadat, jua dari hati. Sesuatu yang terdetik di hati.

Hanya apabila saya mempelajari struktur anatomi tubuh manusia di dalam subjek Sains (Menengah Rendah) dan subjek Biologi (Menengah Atas), barulah saya lebih jelas tentang kewujudan dan fungsi seketul hati, dari segi fizikal. Baru jua saya sedar, saya mengenali hati yang 'halus' dahulu dan barulah mengerti tentang kewujudan hati yang 'kasar'.

Dalam sahih Bukhari dan Muslim disebutkan bahwa Nabi SAW bersabda:

"Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal darah, apabila dia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, dan apabila dia rosak, maka rosaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah bahawa segumpal darah itu ialah hati."
(Muttafaqun `Alaihi, dari Nu`man bin Basyir).


Bukan sahaja dari segi fizikal kesihatan manusia akan terjejas sekiranya hati menjadi rosak, malah dari segi rohani jua kesihatan rohani akan terjejas sekiranya hati menjadi rosak. Hati seolah-olah sebuah pusat, menjana kesihatan minda, rohani dan jasmani di dalam satu fungsi yang sangat kompleks, ciptaan Allah yang Maha Esa.

Hati yang penuh.

Saya cuba mengungkap pernyataan ini dengan lebih jelas, sekadar di dalam ruang lingkup kemampuan dan pemahaman saya yang kerdil dan tidak seberapa ini.

Sepenuh hati - saya suka mengintai maksud pernyataan ini juga. Contohnya : "Saya mencintai awak dengan sepenuh hati saya." Adakah hati tidak mempunyai peratusan yang tetap? Andai sudah mencintai seorang manusia sepenuh hati, di mana ruang peratusan dari hati yang akan mencintai Dia yang Maha Esa? Adakah masih ada, atau ruang itu telah penuh dengan hanya kecintaan sepenuh hati kepada seorang manusia di dunia.

Hati yang penuh.

Saya sering membayangkan hati saya seperti sebuah gelas yang kosong. Ini sebuah hati yang masih kosong dan tidak ada apa-apa isi. Apabila gelas itu diisikan air mengikut kadar-kadarnya, lama kelamaan gelas itu akan penuh. Apabila gelas itu sudah penuh, adakah mampu gelas itu menanggung pertambahan air yang lain lagi? Sudah tentu air itu akan tumpah dan fungsinya sebagai gelas akan terjejas - hati yang tidak terkawal. Jadi, air itu perlu dihirup sedikit demi sedikit. Jika air itu tidak dihirup, air yang diisi memang akan melimpah keluar dari gelas tersebut. Hati jua akan terjejas kerana apa yang diisi tidak digunakan ke jalan yang tepat.

Hati yang penuh, dan amalan yang istiqamah. Hati yang penuh dengan iman, atau amalan yang dibuat diiringi dengan maksiat. Air yang manis, atau air yang pahit. Air yang penuh itu ibarat iman, atau ibarat cinta kepada dunia. Pilihan ini, kita yang memilihnya. Diri yang kita sendiri miliki bersama sebuah gelas yang kosong, isinya hanya kita yang menentukan. Apabila sudah penuh, air itu tetap perlu diminum supaya perlu ditambah air lain yang lebih manis rasanya.

Hati yang penuh dan amalan mulia yang istiqamah.

Saya juga sering menggambar hati saya seperti sekeping kertas putih yang kosong. Tentunya kertas itu putih dan kosong saat saya baru dilahirkan dahulu. Andai dapat digambarkan pada umur yang sekarang ini, dosa dan kelalaian yang dilakukan setiap hari dititikkan di atas kertas itu sebagai satu titik hitam yang kecil, adakah sesiapa lagi di antara kita yang masih memiliki sehelai kertas yang putih kosong sesudah suku abad, atau setengah abad, atau tiga suku abad lebih dilalui dalam kehidupannya? Pastinya kertas putih saya sendiri saat ini sudah hitam pekat kerana terlalu banyak titik hitam yang memenuhi diari kehidupan saya.

Hati yang dipenuhi titik-titik hitam. Hati yang amat menakutkan. Adakah redha Allah untuk seketul hati yang hitam?

Semoga Allah mengampuni saya, dan mengampuni semua umat Islam di dunia ini seluruhnya.

Ya Allah, jadikan kertas putih kami kekal putih kerana sesungguhnya Kau Maha Pengampun, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Jadikan kami sentiasa taat kepada perintahMu dan menjauhi segala laranganMu. Kekalkan kami di dalam keadaan beriman hanya untukMu, Allah yang Maha Esa.

Ya Allah, rahmatMu lebih besar dari murkaMu..

Ampunilah kami yang sering terlalai ini.

InsyaAllah.

Amiin.

07 June 2007

Pengembara 16

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Catatan perjalanan saya di sini, di dunia yang penuh liku. Laluan yang tidak pernah sunyi dari air mata, dari tawa gembira, tidak lelah dari keletihan yang panjang. Laluan yang sukar (ujian ini tidak sukar, kerana Allah yang Maha Pengasih memberi kita dalam kadar yang mampu kita menanggungnya, tapi kesukaran itu ternilai mengikut persepsi masing-masing - jangan putus asa dan jangan mengeluh pada ujian yang seketika cuma) untuk mendapat redhaNya, insyaAllah.

Bulan Mei 2007 yang baru berlalu.

Saya redah tanpa catatan pengembaraan ini. Kenapa? Saat melarik rindu begini padanya, redhalah saya dengan hanya berdiam diri memeluk tubuh merenung seorang saya yang masih jua tidak patuh pada pesanannya. Pesanan seorang yang mulia, yang masih kekal namanya hingga kini di sudut hati saya, dan akan kekal sampai bila-bila, kerana dia kekasih Allah yang Maha Esa.

Muslimin dan muslimat mana yang tidak mengenali dia. Saban pagi, nama yang sering mengasak minda saya, mendengar namanya berkumandang bersama udara pagi yang sebetulnya cukup segar, tapi apabila melepasi tol Sungai Besi saja, tiada lagi udara segar seperti di kampung sewaktu kecil-kecil dulu.

Indahnya zaman dulu, zaman kanak-kanak, setiap kali menghabiskan cuti di kampung sewaktu cuti persekolahan. Usai solat Subuh, usai mengaji, usai mengejutkan adik-adik yang amat liat bangun untuk bersolat kerana diulit kesejukan dinginnya suasana pagi di kampung, usai segalanya dan dapatlah dihirup udara pagi yang amat segar. Kini, apabila pulang ke tempat yang sama, suasana itu masih sama, walau perasaannya berbeza. Saya kini sudah dewasa, bukan lagi seperti anak-anak kecil yang patut bermanja (itu sahaja bezanya, walau sudah dewasa, ibu dan ayah tetap beraja di hati seorang anak - tetap rasa ingin dimanjakan, walau caranya kini sudah berbeza).

Itulah juga dia, yang sering beraja di hati saya sejak dulu, saat mula saya mengenalinya seawal usia dua tahun. Hingga kini tidak pernah lupa dalam ingatan, tapi saya lupa dalam perlakuan. Saya jarang akur untuk mengiyakan, sunnahnya perlu dipatuhi. Pesanannya harus diingati dan diamalkan. Hanya Dia yang Maha Mengetahui, saya ini terlalu lalai dan alpa. Dia, jarang saya ingati. Tapi dia, amat menyayangi saya. Dia yang tidak pernah melupakan umatnya.

Ya Allah, andai ini hidayah dariMu untuk hambaMu yang hina ini pada ketika ini, kekalkan hambaMu ini di dalam keadaan beribadah kepadaMu, setiap saat dan waktu...kerana hambaMu ini sangat lemah dan sering alpa, sering tersasar dari laluan yang patut dan benar.

Ya Allah, dia kekasihMu. Dekatkan ku pada kebaikan dan jauhkanku dari kejahatan seperti yang didoakan dia. Ya Allah, jadikan hambaMu ini sering mengingatiMu, dan mengingati dia, dan mengamal ajaran yang dibawanya.

Ya Allah, kukuhkan iman-iman kami, dan jangan tinggalkan kami tanpa petunjuk dan nurMu, walau kami terlalai berjuta-juta kali...hanya kerana Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Engkaulah Allah, Tuhan yang Maha Pengampun.

Amiin.

27 April 2007

Kelahiran ke-4 pada 24.04.2007

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Selamat sudah kelahiran cahayamata ke-4 pada 24 April 2007 (Selasa) bersamaan 6 Rabiul Akhir 1428H. pada pukul 1.22 tengahari di Pusat Rawatan Islam di Bandar Baru Bangi berhadapan dengan Masjid Al-Hasanah di Seksyen 9.

Seawal 12.00 tengahari sewaktu abang menelefon saya di pejabat, buru-buru saya meredah laluan tol Sungai Besi menuju ke selatan.

Alhamdulillah.

Cahayamata perempuan setinggi 47cm dan mempunyai lilitan kepala 34cm dengan berat 2.65kg telah dilahirkan secara pembedahan (songsang, sama seperti Mak Ngahnya). Matanya benar-benar bulat dan bercahaya dengan rambut yang agak lebat. Pipinya yang montel dengan kulit yang kemerah-merahan.

Namanya?
Masih tiada nama. Si abang, Aqil dan Afiq dan si kakak, Ameerah semuanya bermula dengan huruf 'A'. Masih tidak terfikir lagi apakah nama yang baik yang bermula dengan huruf 'A' untuk si bayi yang comel itu.

Saat ini, saya sudah menjadi rindu padanya. Hari ini agaknya dia akan balik ke rumah bersama umi dan abinya, insyaAllah.

Semoga baby kecil itu akan menjadi anak yang solehah dan menjadi penyambung generasi Islam yang akan berjuang untuk Allah, Rasulullah dan agama Islam yang benar dan lurus.

InsyaAllah.

Ya Allah, berkatilah anak kecil itu dan semua kaum muslimin dan muslimat di dunia ini. Amiin.

20 April 2007

Analisa 4 April 2007

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Analisa ini perlu dibuat, perlu ditulis dan perlu dirakam. Analisa ini, ada kasih sayang Dia. Ada ambil kisah Dia pada hambaNya yang lalai ini. Kepada saya yang sering benar alpa kepada Dia. Ya Allah, hambaMu ini terlalu jauh dariMu. Namun, kasih sayangMu tetap utuh. Alhamdulillah.


Analisa 1, saya terjaga. Mereka terkejut. Dia yang menggerakkan saya. Saya memang tidak pernah betah, kerana Dia sering melindungi saya. Saya dapat merasakan kasih sayangNya, cuma saya selalu lalai dan saya sering terlupa dalam saat-saat keindahan yang sewajarnya hanya kesyukuran perlu dipanjatkan untukNya.

Analisa 2, saya tidak dapat mengejar mereka. Mereka besenjata dua bilah pisau. Entah ada senjata yang lain lagi, pun saya tidak tahu. Dia jua melindungi saya. Sekiranya keluar gerak saya, pasti saya jua tidak selamat. Andai saya selamat, jua hanya keranaNya. Semuanya hanya keranaNya, kerana kita ini, saya ini, hanyalah hambaNya yang sangat-sangat lemah.

Analisa 3, kunci kereta saya yang dijumpai di bawah meja. Saya tiada kekuatan tika itu, dan Dia Maha Mengetahui sekadar mana tanggungan kekuatan di hati saya. Itu, Dia tinggalkan untuk saya. Ini hikmah yang saya rasa paling indah dalam kisah 4 April ini. Tanpa air mata, saya raih jubah dan tudung dan terus meredah gelap pekat malam bersama abah menuju ke balai polis. Tanpa rasa kecewa jua, saya meyakinkan diri saya berulangkali, ada hikmah dariNya yang terlindung untuk saya dari semua yang berlaku ini.

Analisa 4, ramai orang menolong saya. Malah, yang saya tidak pernah kenal pun. Ini jua keranaNya, dan sekali lagi, saya memanjatkan kesyukuran padaNya. Walau dalam keperitan, saya cuba lalui sebuah kehilangan dengan rasa ketabahan.

Analisa 5, saya diuji lagi pada 8 April 2007. Dan hikmah dariNya lebih indah. Untuk ini, saya benar-benar faham tentang erti syukur. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.


Ya Allah, andai ini anugerahMu, redhalah hambaMu ini. HambaMu ini pasrah dan berserah, kerana tiada manusia yang tidak engkau kasihi akan diuji untuk diingatkan tentang kehidupan, tentang kematian, tentang derita, air mata dan kesabaran.

Ya Allah, andai ini hadiahMu pada hambaMu ini, bersyukurlah hambaMu ini. Hadiah dariMu ini benar membawa sejuta rahmat, dan hanya dapat dilalui dengan segala ketabahan, kesabaran, kecekalan dan keimanan yang Engkau pinjamkan kepada hambaMu yang lemah ini. Ya Allah, kekalkan segala kekuatan itu untukku, semoga hambaMu ini dapat meneguk sinar keindahan kebesaranMu dan disertai taat, khusyuk dan tawakkal yang lebih dari sebelumnya.

Ya Allah, andai ini nur hidayah dariMu untuk menyinari seluruh kehidupanku yang sementara di sini, sayu benar hati ini. KasihMu terlalu luas, dan hidupku masih bergelumang dosa tanpa mengingatiMu Yang Maha Pengampun, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ampuni hambaMu ini, hanya kerana dariMu aku diwujudkan, dan kepadaMu aku akan dikembalikan. HambaMu ini masih alpa, dan Kau tidak pernah lupa untuk mengingatkan.

Ya Allah, terima kasih. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Segala puji hanya untukMu, Tuhan sekelian alam. Ya Allah, ada debar dan rindu di sudut kalbuku, hanya untukMu.


Alhamdulillah.

06 April 2007

Pengembara 15

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Terlalu banyaknya dugaan dan ujian yang perlu dihadapi, dan semua ujian dan dugaan itu kerana kesilapan kita jua. Kita adalah hamba.

2 April 2007, pagi masih awal dan saya sudah bangun dari tidur. Walaupun tidak bekerja, tetapi saya kuatkan tangan dan kaki untuk mengemas bilik yang sudah lama tidak dihiraukan. Kesibukan dengan tugasan harian menyebabkan bilik saya hanya menjadi tempat tidur dan tempat mendapatkan ilham sahaja. Alhamdulillah. Usai mengemas bilik, saya segera bergerak menuju ke bengkel kereta pula. Sebentar saja sebelum bergerak semula balik ke rumah untuk mengambil emak dan abah. Apabila azan Zuhur berkumandang, kami sudah tiba di Alor Gajah.

Singgah sebentar bersolat di Melaka sebelum meneruskan perjalanan ke selatan. Alhamdulillah. Tiba di selatan lebih kurang pada pukul 6 petang.

3 April 2007, saya bangun agak terlewat kerana keletihan yang amat agaknya. Seharian dihabiskan dengan hanya membuang masa melihat filem dari Korea. Laptop yang sengaja saya angkut bersama-sama pulang ke kampung saya gunakan dengan sepenuhnya. Sambil mengisi masa yang sepatutnya dengan solat, sambil-sambil membelek juga beberapa hasil tulisan saya, saya tertidur dengan lena di sebelah malamnya.

4 April 2007, hari ini hari sebuah ujian yang tidak pernah saya jangkakan. Suatu ujian kehidupan yang amat perit, namun....alhamdulillah. Allah telah banyak membantu saya, dan hikmah kejadian ciptaanNya amat nyata. Saya teruja, Dia amat mengasihi dan menyayangi kita semua. Walau kita hambaNya yang lemah, kasih sayangNya tidak terbeza. Alhamdulillah. Dengan bantuanNya, saya masih melalui proses untuk menghadapi musibah ini dengan rasa lebih redha dan lebih pasrah.

Ya Allah, ku lalui hari ke-200 selepas 16 September 2006 dengan hati yang tabah di atas ujian yang dilalui. Semoga laluan ini jua diredhai olehMu. Janganlah rasa ini wujud disertai riya' dan ujub. Sesungguhnya hanya padaMu kuserahkan diri dan hanya kepadaMu hambaMu yang lemah ini bermohon.

Bantulah hambaMu ini, dan semua muslimin dan muslimat seluruhnya.

Tragis lagi kehidupan Nabi Ayub a.s, dan ujian ini amat kecil untuk dibanding dengan ujian dunia yang menimpa Nabi Ayub a.s. Tetapi, hambaMu ini sudah hampir tersungkur menangis hanya kerana ujian yang sedikit. Ampunilah hambaMu ini, Ya Allah.

DemiMu Ya Allah, bantuan dan doronganMu melalui hidayah dan hikmah amat dihargai. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Semoga hati ini akan lebih cekal melalui hari yang akan menjelang, dan rasa trauma itu jua dapat dihilangkan.

Ya Allah, hanya padaMu kuserahkan diri yang hina ini.

Amin.

29 March 2007

Pengembara 14

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Alhamdulillah. Pagi ini hujan lagi, dan saya tersekat dalam kesesakan jalan raya seperti biasa. Ermm, macam dah lama pula tak tersekat dalam kesesakan jalan raya. Mungkin sebab sehari sibuk dengan pelbagai mesyuarat dan dua hari saya menghadiri kursus. Baru hari ini hendak memulakan tugas seperti biasa semula. InsyaAllah.

Satu kursus yang bagus, dan sangat memberangsangkan.

Itu yang saya boleh simpulkan untuk kursus yang baru saya hadiri semalam dan kelmarin. Kursus yang tidak pernah saya hadiri selama saya menjadi manusia. Ha ha ha. Memang pun. Saya tak pernah menghadiri kursus seperti ini.

Hakikatnya, selama ini saya hanya 'rajin' menghadiri kursus berbentuk teknikal, pengurusan dan komputer. Tidak ada langsung kursus seperti ini yang saya hadiri. Walau saya sedar, saya tidak tahu yang perkara seperti ini masih boleh diwujudkan dalam bentuk kursus. Walhal saya rajin membaca majalah Rapi, majalah Health, majalah Nur dan Keluarga, malah rajin juga membelek Newsweek dan Readers Digest, tidak lupa Traverama dan Business Traveller...he he he.....sebenarnya saya memang suka membaca pelbagai bahan bacaan, sekarang sedang membaca 'Jangan Main-Main' - buah tangan Dr HM Tuah Iskandar. Belum habis lagi, so belum boleh komen apa-apa...

Jadi, modul kursus saya pada hari pertama adalah berkaitan merokok dan pemilihan makanan. Ada Klinik Berhenti Merokok rupanya di Kuala Lumpur ini. Jadi, saya pun nak mewar-warkan bersama apa yang saya telah terima di dalam kursus tersebut :-

"Sekiranya anda semua bercadang untuk mengurangkan bilangan kadar rokok yang dihisap sehari demi sehari, anda memang tidak akan dapat berhenti merokok sampai bila-bila pun. Apa yang perlu dibuat adalah, campakkan lighter dan rokok dan terus katakan yang anda mahu berhenti merokok. Terus boleh dapatkan rawatan berhenti merokok."
Klinik Berhenti Merokok ni diadakan pada hari Rabu (2.00-4.00 petang) dan hari Jumaat (9.00 pagi - 4.00 petang). Dekat sahaja. Siapa yang pernah makan nasi lemak di Tanglin, tentu tahu Klinik Tanglin kan? Dekat dengan Masjid Negara, dengan Lake Garden. So, rawatan untuk 'pesakit rokok' ni adalah di Klinik Tanglin sahaja pada waktu seperti yang telah disebutkan.

Selain daripada merokok, ada juga pemilihan makanan dan penjagaan berat badan di dalam modul kursus yang telah saya hadiri. Pelbagai perkara tentang makanan dan penjagaan badan yang dinyatakan pada hari pertama kursus tersebut.

Namun, saya lebih teruja dengan modul kursus pada hari kedua. Awal pagi lagi, telah dijalankan pemeriksaan kesihatan percuma. Alhamdulillah, no diabetes (kandungan gula dalam darah saya sangat okeyyy) dan no cholesterol (kandungan LDL dalam darah saya juga sangat okeyyy). Alhamdulillah. Saya dah lama sangat ambil masa nak tahu tentang perkara ni untuk badan saya, dan bila saya tahu yang saya negatif untuk diabetes and cholesterol, saya sudah boleh tersenyum. Alhamdulillah. Praktikkan dengan senaman, jogging dan kawalan makanan yang saya buat selama ini rupanya tepat dan elok untuk kesihatan saya. Plus, amalkan air masak atau air suam more than 1 litre per day.

Namun, saya lebih teruja dengan modul latihan yang dipraktikkan. Apa latihan yang diperlukan untuk badan, bagaimana membuat latihan senaman mudah dan saya paling teruja...bagaimana mahu menyeronokkan aktiviti yang dilaksanakan, terutama jogging. Ha ha ha. Saya yang rajin berjogging dalam 30 minit sehari pun tidak tahu bagaimana mahu menyeronokkan aktiviti jogging. So, banyak pengetahuan yang saya dapat dan saya amat menghargai ilmu yang telah saya terima. Thank you coach.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Pagi ini juga, mendengar suara Ustaz Zahazan sudah membuatkan saya berfikir. Kasih sayangMu, Ya Allah, tidak akan saya persiakan.

Ada tugas saya di sini. Tugas yang hanya ikhlas keranaMu.

Bantulah hambaMu ini, ya Allah.

Amin.

22 March 2007

Pengembara 13

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Dari tingkap bilik pejabat, saya lihat air hujan menderu-deru turun lagi hari ini. Semalam petang jua begini, hinggakan rutin harian saya setiap petang berlari-lari anak di taman bersama seorang teman tidak dapat saya lakukan. Pun, alhamdulillah. Ada hikmahnya.

Berlari, saya berlari juga. Tapi bila membuat satu atau dua pusingan, diri hampir lelah. Aduhai, stamina saya sudah tidak kuat seperti dahulu. Petanda usia yang semakin meningkat, ataupun saya yang sudah tidak semakin aktif? Tidak seperti dahulu. Saya rasa, alasan kedua lebih kuat kerana pada petang Selasa yang lalu, saya dan teman ditegur oleh seorang lelaki Cina yang sudah agak berusia.

Paling pasti, dia lebih pantas dari kami. Dia sudah satu pusingan penuh, kami baru setengah pusingan. Dia sudah menginjak ke tiga pusingan, kami baru satu setengah pusingan. Dia berjalan dengan agak laju dengan tangan yang terhayun juga laju, kami berjalan ala-ala anak dara sunti yang tidak pernah keluar rumah. Tapi, kami berdua mempositifkan minda. Badan mana boleh dipaksa. Lelaki itu pastinya sudah biasa beraktiviti begitu. Kami, baru saja hendak mula-mulakan diri semula. Baru saja hendak melatih badan supaya aktif semula. InsyaAllah, dengan harapan semoga selepas satu atau dua bulan, badan biasa untuk aktif semula.

- Orang muda mana boleh berjalan. (Sambil tersenyum, dia menegur)
+ Dah tak larat berlari... (ini jawab teman saya)

Usia bukan penghalang, tapi stamina yang tidak dapat dikekalkan. Itu yang saya simpulkan.

Pelbagai gelagat di taman. Pelbagai fesyen pakaian juga. Pelbagai aksi yang terkadang mencuit hati. Tapi...

- Rasanya masa jogging ni, orang pelik tengok kau...
+ Kenapa?
- Orang berlari dengan muka serius dan termengah-mengah keletihan.
+ Saya?
- Banyak sangat senyum. Macam tak penat apa-apa pula...
+ Sebenarnya, rasa macam kaki dah nak tercabut ni. Kat lutut pun sakit. Tahan je... (sambil tersenyum lagi, saya menjeling kepada teman yang berjalan di sisi saya)
- La...iya ke...tapi masih senyum ya....

Dan, saya senyum lagi. Saya tidak sangka, dalam asyik saya melihat aksi dan perlakuan orang lain, teman di sebelah asyik membelek diri saya. Saya tahu, saya tidak boleh menunjukkan muka yang serius. Saya tidak betah. Memang saya begitu. Walau dimarah, saya masih senyum.

Jogging partner saya, rindunya pada dia.

InsyaAllah, semoga kasih sayang dan persahabatan antara kami berkekalan di dunia dan di akhirat. Dia, teman dan sahabat saya. Teman ke ceramah agama, teman jogging, dan teman meluah perasaan yang berkecamuk kerana tindakan orang lain jantina. Alahai. Kasihan dia. Semoga dia akan sentiasa di bantu oleh Allah.

Semoga kami dan semua muslimin dan muslimat akan sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah, InsyaAllah
.