30 November 2007

Bunga oh Bunga

Mandi bunga?!

Saya terjeda pada permintaan emak.

Jodoh kamu lambat tiba. Emak dulu mandi bunga. Ada juga beberapa cerita yang emak dengar tentang jodoh yang tidak lekat, dari kampung-kampung lain, dari negeri-negeri lain, usahanya juga dengan mandi bunga. Kita berusaha. Berusaha dengan mandi bunga. Supaya ada jodoh.

Saya terjeda amat.

Kamu duduk di rumah itu, seorang diri. Bahaya. Alangkah baik kalau kamu sudah ada jodoh. Ada pelindung. Emak boleh dapat cucu. Ada yang boleh tengokkan kamu.

Ah, emak bagai tidak pernah cukup dengan cucu empat orang itu. Mana tahu rezeki dariNya, bilangan cucu-cucu emak akan bertambah lagi, pastinya. Biar bertambah cucu-cucu emak, kuantiti yang meningkat, kualiti yang kekal soleh dan solehah, walau diterpa arus globalisasi yang mencucuk hidung dan mengharu-birukan gegendang telinga, kala ini, di zaman ini.

Kata Umairah, ada yang cuba merisik kamu, bertanyakan kamu, kamu tolak. Mereka orang di sebelah pantai timur? Kalau begini, kamu memang kena mandi bunga. Kenapa saja kamu menolak jodoh. Banyak jua cerita yang lain emak dengar dari Umairah. Dalam diam kamu, ramai yang merisik, rupanya.

Aduh! Saya terjeda lagi. Dari mana saja emak dengar cerita. Bukan begitu ceritanya. Orang pantai timur itu hanya seorang kawan lama. Kawan di universiti. Saya tidak pernah berperasaan padanya. Menganggap ia sebagai 'hanya persahabatan', walau sudah 10 tahun usia perhubungan. Saya jua tidak pernah berperasaan kepada sesiapa. Pada seumur hidup saya.

Esok lusa sudah masuk ke angka 3 di depan usia kamu. Cuti Hari Raya Aidil Adha nanti, ikut emak mandi bunga.

Emak nak beli bunga di kedai bunga dan letak dalam kolah mandi di kampung?

Jangan berlawak. Emak serius tentang jodoh kamu. Kita cari orang, buat mandi bunga kamu. Lepas mandi bunga, kamu akan dapat jodoh.

Emak. Emak. Sudah serius benar dia kali ini.

Emak, kalau orang gila bermandi bunga untuk berjodoh, dia juga akan dapat jodoh selepas mandi bunga?

Tidak terdengar gelak emak di corong gagang, kali ini. Hanya terdengar keluhannya. Emak mengeluh. Hati tiba-tiba dipagut sayu.

Emak. Emak. Ini kebenarannya. Kebenaran dari pandangan saya. Pendapat saya. Dari nubari saya. Saya diamkan selama ini.

Jodoh itu, bukan hadir dengan mandi bunga. Jodoh itu, ketentuan Allah. Apakah dinamakan usaha itu dengan mandi bunga? Usaha berjodoh hanya dengan mandi bunga? Allah redhakah mandi bunga itu sekiranya berharap benar selepas mandi bunga akan berjodoh? Elok mandi bunga hanya untuk menjadikan diri harum semerbak.

Kembara di bulan Ramadhan lepas, masih berbaki di lautan mata saya. Kata emak sebelum saya melangkah ke perut kapal, berdoa untuk jodoh waktu di hadapan Baitullah nanti. Saya terpana. Bukan niat saya pergi ke sana untuk itu. Pun, saya diamkan permintaan emak, di bawah dasar hati saya.

Kata beberapa jemaah di sisi saya, sepanjang kembara di kota Rasulullah dan kota Mekah, banyakkan berdoa untuk jodoh. Malah, beberapa kawan yang masih solo juga berpesan 'doa jodoh' kepada saya sebelum hari bertolak.

Saya menilik diri. Saya akui, saya mengadu hal ini hanya pada Allah. Di kota Madinah, di Raudhah (Alhamdulillah dapat menjenguk seketika bersama solat walau lautan manusia muslimat terlalu ramai - MasyaAllah!), di sepanjang perjalanan ke Jabal Baidah dan sewaktu berhenti di Bir Ali.

Bukan. Saya tidak pernah menafikan hak sebuah perkahwinan. Perkahwinan tuntutan agama. Emak pun tahu, anak emak ini belajar Munakahat. Tahu syarat dan hukum. Tahu wajib dan harus. Tahu haram dan sunat.

Saya sudah berdoa di hadapan Multazam. Saya sudah habis tujuh pusing. Saja mencuba-cuba rapat ke dinding Baitullah. Menyentuh sedikit dinding Baitullah sebelum menuju ke Hijr. MasyaAllah, di tengah lautan manusia yang ramai di bulan Ramadhan, Allah mempermudah urusan saya. Saiz yang kecil bukan halangan. Saya tidak diasak, malah angin semilir yang berpuput lembut di wajah saya menggugat rasa. Sejuk. Tapak kaki jua terasa sejuk, dan kesyahduan itu menabiri hati saya di saat hari yang terik dan mencucurkan peluh itu.

Emak, memang saya berdoa. Saya berdoa di Hijr, di Multazam, di belakang Maqam Ibrahim selepas solat sunat tawaf, malah di atas bukit Safa dan Marwah juga. Tapi 'doa jodoh' itu bukan dibuat dengan sepenuh hati. Niat saya datang dari jauh bertemu Baitullah bukan untuk itu. Hati saya lebih penuh, untuk yang lain, hanya kerana Allah.

Emak, jika ada jodoh saya dalam redha Allah, ia akan hadir. Tidak perlu mengiklankan diri, tidak perlu beraksi lemah gemalai dan bersolek sakan hanya untuk menarik minat orang lain supaya menjadi jodoh saya. Saya akui, kata-kata kakak Umairah banyak kebenarannya. Hati ini saja, kosong untuk itu. Jodoh saya 'belum tiba'.

Saya hanya bawa diri saya dalam hukum Allah. Cukup sekadar-sekadar. Emak sendiri tahu, sejak kecil saya tidak suka bersolek. Saya tidak suka berkebaya atau berbaju ketat menunjuk susuk tubuh. Lebih selesa berkurung labuh dan bertudung saiz besar. Kawan saya sejak kecil, mengaji di masjid, sekolah, buku-buku dan aktiviti bersama ayah dan abang. Usia lapan tahun lagi, kerudung saya sudah kukuh di kepala.

Emak, gerakan hati kita ini milik Allah. Diri saya diadun dengan rasa malu dan rendah diri. Jika ada jodoh untuk saya, ia dari Allah, dan kerana Allah.

Emak, secuit gerakan hati kerana Allah, berjuta redhaNya. Hati saya, bukan milik saya. Ia milik Allah. Hati ini tidak pernah berperasaan kepada sesiapa lagi di sepanjang penghidupan ini.

Emak, maafkan saya. Rasa rendah diri ini kerana tidak patuh pada perintah emak yang satu ini.

Hati ini telah penuh. Isinya, hanya cinta.

29 November 2007

Lepak-lepak Hari Ahad

Setiap hasil tulisan terhasil dari tangan dan minda seorang penulis. Setiap penulis adalah orang yang berfikir, walhal tidak semua yang berfikir akan menulis.

Ada fikiran yang dikongsikan. Ada yang tidak dikongsi. Untuk saya, hasil fikiran lebih banyak menjadi rahsia. Tidak betah menulis setiap masa, walau setiap saat kepala bergelandangan dari hujung dunia ke hujung dunia, menilai diri di sini yang sebentar.

Saya baru menghabiskan Tuhan Manusia. Mula membuka muka surat pertama novel itu seketika selepas masuk waktu Solat Sunat Isyraq dan Dhuha pagi tadi, sekitar jam 8.30 pagi. Pagi hari Ahad, 25 November 2007. Jarang hujung minggu saya ada masa senggang begini. Seingat saya, ini hujung minggu pertama dalam 2007 yang saya lepak-lepak di rumah (satu-satunya novel penulis ini yang saya baca terus tanpa henti, usai baca jam 12.30 tengahari sebelum masuk waktu Solat Sunat Zawal dan Solat Fardhu Zuhur).

Saya tidak berperasaan yang muluk-muluk untuk membaca novel ini, sebelumnya. Sebuah sumber bacaan, saya akan nilai bukan dari gah nama penulis, tetapi lebih kepada intinya (lebih lihat kepada kata-kata, bukan kepada orang yang berkata-kata). Wajar saya katakan, penulis Tuhan Manusia ada peminat tersendiri kerana koleksi tulisannya yang sering menggegar minda, jua emosi. Bukan sahaja Tuhan Manusia, saya akui sejak saya 'mengenali' dan 'menghayati' hasil tulisan serupa ini dari penulis yang sama sejak tujuh tahun dahulu, saya menemui kelainan dari segi sebuah pemikiran (hasil tulisan dari tangan terlahir dari corak berfikir) berbanding penulis lain.

'Bagaimana mulanya... Tuhan Manusia' lebih mengambil tempat di hati saya. Suasana yang digambarkan mengingatkan saya kepada kembara saya di dunia ini. Kembara yang seketika ini akan berakhir tanpa pemberitahuan. Peringatan telah diberi, tetapi saya masih alpa. Kenapa hanya 'saya'? Saya lebih sukakan 'saya' kerana ia mendidik jiwa saya. Asyik menuding hujung jari yang satu kepada orang lain dan alpa pada diri untuk melihat empat jari yang terhala ke arah diri sendiri. Saya, banyak kesilapan di sini yang sebentar. Hanya Dia Maha Mengampuni.

Kisah Tuhan Manusia hanya suatu kisah biasa-biasa yang diolah dengan begitu teliti oleh penulisnya. Suatu kisah biasa-biasa yang menjadi luar biasa dihias pelbagai nasihat, maklumat dan panduan. Kriteria ini, disertai panduan yang cantik, amat kurang. Kembara yang singkat terasa lebih lama, walhal masanya hanya seketika (Ayat 112-114;Surah Al-Mu'minun), dan kita - ini merujuk kepada seluruh dunia - masih dimomok dengan kemewahan dan hidup yang panjang. Momokan ini, sepanjang sesi telahan saya tadi, tidak ada pada isi Tuhan Manusia.

Saya terkesan dengan watak ayah Ali Taqi. Watak sokongan yang bertindak sebagai pendidik, melalui perbuatan, dan sedikit benar melalui kata-kata. Kala ini, di zaman ini, sebilangan besar kita lebih mudah membuai kata-kata yang indah dan bersopan, walhal hati tidak selari dengan kata-kata, apatah lagi perbuatan. Kata-kata tidak jadi didikan, terutama untuk seorang anak kecil seusia dua tahun. Bagaimana mahu mencorak kain putih menjadi batik dengan olahan corak yang cantik dan mengujakan jika cantingnya hanya berdasarkan manual seorang pelukis cat minyak yang lebih arif dalam melukis potret seorang gadis?

Ulul albab - menuntut ilmu, memisahkan haq dan batil (Walaupun Taqi nanti pilihan itu akan membuatkan dirimu keseorangan, anakku. Kerana Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 100 : Katakanlah, tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah hai ulul albab, agar kamu mendapat keberuntungan.), menyampaikan ilmu, membaiki masyarakat, kuat, gagah dan takut kepada Allah, nilai tambahnya ketaqwaan, kesolehan dan rajin memohon pengampunan - ini saya petik sedikit dari Tuhan Manusia.

"Cerita yang tidak tepu nasihat dan ilmu ialah cerita yang sia-sia, Taqi". Ini, bukan kata-kata ayah Ali Taqi, sebetulnya. Ini pendirian penulis ini, pada sangkaan saya. Bermain bahasa menjadi tidak sia-sia, wujud nasihat dan panduan untuk manusia ramai berfikir. Seperti menyusun buah catur di atas gelanggang perlawanan, satu gerakan yang sia-sia akan membenarkan pihak lawan mengatasi kita dengan 15 gerakan yang lebih bermakna. Kita akan kalah, checkmate! Caturan hidup ini apatah lagi. Jangan tersia, walau hanya selangkah.

Ubudiyyah - sangat berkesan paparan konsep ini kepada saya di dalam buku kecil ini, walau ringkas. (Tidak melihat segala yang diberikan sebagai milik sendiri - milik Allah pastinya, sibuk kerana perintah Allah, musibah dunia menjadi ringan kerana segalanya diserah padaNya, merendah diri, tidak takatsur dan tidak takabbur).

"Andai kota itu peradaban, rumah kita adalah budaya, tiang serinya adalah agama."

Tuhan Manusia mendidik dan menelusuri sebetulnya, setiap orang dengan persepsi yang berbeza. Paling pasti, ia ada daya tarikan tersendiri bagi orang yang berfikir, walau tidak menulis.

Sebetulnya, saya jadi terharu. Islam, agama yang syumul. Mana mungkin boleh disatukan dengan agama-agama lain yang tidak mengEsakan Dia?

Allah hanya 1. Esa. Tunggal.
Allah Maha Besar.

22 November 2007

Cinta

Kalau Tuhan mencintai hambaNya, Allah akan membuatkan ia menderita, dan kemudian jika Allah mencintainya, Allah akan menguasainya tanpa keluarga juga tanpa harta. – Kucing Gemuk di Masjid Biru.

Saya teliti kata-kata ini dan dijadikan paparan pada skrin telefon saya, sejak dua hari lepas. Skrin sebesar 2 inci setengah kali 2 inci itu memang cukup. Muat.

Saya sedang menderita, pastinya. Derita di batin saya. Di jiwa saya yang tidak tenang. Timbunan beban yang mengasak minda saya yang menjadikan saya begini. Saya ‘kaku’ dalam dunia saya sendiri.

Penat. Letih. Lesu. Bukan kerana saya perlu jadi buruh binaan yang timbul urat lengan dan kaki kerana tugas. Tidak perlu juga jadi pekerja industri yang perlu mengejar target. Kaki dan tangan kena seiring. Hingga lenguh-lenguh pun, pada masa boleh rehat sahaja boleh berhenti. Saya lelah di kepala. Banyak fikir. Tepu analisa.

Saya penat. Lesu ini membawa ke badan. Kepala saya berpusing. Pasti lebih laju dari Eye on Malaysia. Mudah saja kerjanya. Mengadap timbunan kertas dan dokumen, dan kemudian cerakinkan menjadi isi kepada sehelai kertas kosong. Alangkah mudah. Tapi, kenapa saya mula menjadi buntu.

Aduhai kepala. Lepaskan beban ini. Ambil wudhu’, dan pergilah mengadu kepada Dia. Usah kaku. Usah buntu. Tiba masa munajat. Lama sungguh, rasa ini tidak hadir. Rasa hanya untuk Dia. Cinta. Rindu. Sayu.

Jangan risau. Dia tetap ada di sisi. Pintalah. Ikhlaskan hati. Kukuhkan iman. Kuatkan rasa. Yakinkan diri. Dia tetap ada di sisi. Dia tetap ada di sisi. Dia tetap ada di sisi.

Wahai diri dan minda, jangan lesu lagi. Jangan bimbang lagi. Usir semuanya.

Dia tetap ada di sisi.

16 November 2007

Saya Yang Sering Tersilap

Saya yang sering tersilap
Silap dalam tingkah dan laku
Dari tangan dan kaki
Yang tidak selari
Dengan kehendak duniawi
Dengan kehendak ukhrawi
Hingga ada yang tersungkur
Ada yang berbekas di wajah
Hanya kerana saya
Tidak berhati-hati
Dalam mengatur langkah
Menghayunkan tangan
Melenggokkan badan
Dalam perbuatan.

Saya yang sering tersilap
Silap dalam menutur kata
Membuat hati orang lain tersentuh
Hingga menitiskan air mata
Menyimpan dendam yang membara
Hanya kerana saya
Yang tidak menjaga adab
Tidak menjadi teliti
Tidak berfikir sempurna
Dalam berbicara.

Saya yang sering tersilap
Menutur bicara di hati
Menyimpan hasad dan nista
Menyimpan geram dan iri
Menyimpan marah dan benci
Walau tidak terluah
Tetapi bekasnya tetap ada
Tertitik di hati
Sebagai satu noda
Yang tidak akan terpadam
Tanpa keikhlasan.

Saya yang sering tersilap
Dalam apa jua keadaan
Maafkanlah saya
Kerana kita di sini
Hanya singgah untuk sementara
Untuk menuju ke sana
Dengan bekal yang indah sempurna.

Saya minta maaf
Dan anda semua
Maafkanlah saya
Saya yang sering tersilap.

~zzms 151107:1135-JlnCSLKL~