30 April 2008

Benar Kembali


Assalamualaikum…

Walaupun telah menjejakkan kaki di pintu C26, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7.25 pagi hari Jumaat, 25 April 2008 dengan menaiki penerbangan MH003 yang bertolak dari Terminal 3, Heathrow pada 12 tengahari (waktu London) pada 24 April 2008, namun masih tak sempat lagi untuk mengemaskini catatan kembara perjalanan yang telah dibuat sewaktu 16 hari di tengah musafir.

Hanya Alhamdulillah yang mampu lahir di hati dan kemudian diluahkan perlahan apabila dapat menghidu udara Malaysia yang sangat menyelesakan. Perjalanan ini, sangat berbeza dengan perjalanan-perjalanan yang pernah dibuat sebelum ini. Tempoh masa hampir 13 jam di dalam penerbangan menjadikan saya merasa sangat lega apabila dapat melepaskan diri dari perut pesawat. Pagi hari Jumaat di bumi Malaysia sangat cerah dengan matahari yang memancar, seolah-olah menyambut kepulangan saya.

Selepas menyelesaikan urusan imigresen dan mengambil beg, saya disambut dengan huluran bunga ros berwarna merah (7 kuntum) oleh seorang kanak-kanak berusia 10 tahun. Ada kad bertulis, welcome back di celahan kuntuman ros merah tersebut. (sebenarnya, saya bukanlah seorang wanita yang sukakan bunga dan ini adalah kali pertama saya menerima kuntuman-kuntuman ros seperti ini – saya gemar melihat bunga-bunga di taman bunga, atau di kedai bunga, tetapi menerima kuntuman bunga adalah perkara yang saya tidak suka – apapun, saya amat berterima kasih kepada orang yang telah memberikan kuntuman-kuntuman ros merah itu buat kali pertama kepada saya dan saya masih menyimpannya sehingga hari ini).


Bunga tulip berwarna ungu.

Hari Sabtu dan Ahad, saya diuntai jet-lag yang menyebalkan. Bangun lewat tengahari dan kemudian pergi ke rumah kakak dan abang. Hari Isnin, Selasa dan Rabu pula, saya dipenuhi dengan urusan pejabat yang pelbagai. Memang banyak yang perlu diselesaikan, sementelah hampir 3 minggu saya tidak ada di pejabat.

Sudahnya, urusan berkaitan gambar-gambar dan catatan perjalanan yang hendak dikemaskini hanya ditinggalkan sebagai satu tugasan yang masih tidak mampu dilunaskan. Dengan jet-lag yang masih mengganggu minda saya, hingga sakit-sakit kepala kerana saya memaksa kepala saya menerima bahawa saya kini sudah berada di bumi Malaysia, perlu pergi ke pejabat, membuat pelbagai urusan dan melaksanakan pelbagai tugasan. Paling perit, apabila memandu dan rasa kantuk melampau yang tiba-tiba menyerang.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Semoga Allah membantu saya di dalam menghadapi ujian kepulangan ini, insyaAllah.

24 April 2008

Kembali ke Tanah Melayu

Assalamualaikum warahmatullah...

Hari terakhir saya di sini, di Walthamstow...jauh dari Tanah Melayu dengan jarak berpuluh ribu kilometer.
Antara kenangan terindah selama hampir 16 hari di sini, menghentikan minda dari berfikir tentang kerja dan pelbagai beban tugas dan tanggungjawab yang meletihkan.

Namun, keletihan itu, saya amat merindukannya pada saat ini. Masa yang berlalu dan kenangan yang pelbagai di Tanah Melayu menjadikan saya merindui semuanya...pun, kenangan di sini tidak akan dilupakan. Kenangan di 2008 yang sangat manis untuk diingati, insyaAllah.

Kereta, rumah, pejabat, udara yang menyelesakan (saya berbalut baju 5 lapis setiap hari di sini walaupun musim sudah hendak bertukar ke musim bunga) hanya ada di Tanah Melayu.

InsyaAllah, saya akan kembali lagi ke bumi ini. Mengembara di bumi Allah yang Maha Kaya...hanya dengan satu tujuan - menelusuri sebuah kehidupan bersama Allah.

Alhamdulillah.

08 April 2008

Pesta Buku 2008

Assalamualaikum warahmatullah….

Saya tidak dapat ke pesta buku pada tahun ini. Seingat saya, sejak pesta buku dilancarkan saban tahun di tanah air ini, saya hanya dapat pergi pada tahun lepas, bersama sahabat karib saya. Itupun, kami pergi pada awal pagi, dan makan di The Mall selepas itu, kemudian balik. Saya dapat membeli tujuh buah buku di pesta buku pada tahun lepas.

Sengaja pergi awal pagi sebaik sahaja pesta buku dibuka kerana tidak mahu bersesak-sesak dengan orang yang terlalu ramai. Tempat meletak kereta di bangunan bersebelahan PWTC juga masih agak lapang pada masa itu.

Hakikatnya, tahun ini saya mendambakan keinginan yang sama, tetapi tarikh pesta buku diadakan telah menolak saya jauh-jauh dari PWTC. Saya sangat sibuk sejak 4 April, dan walaupun pesta buku akan berakhir pada 13 April, saya sudah tidak ada di tanah Malaysia mulai 10 pagi esok, insyaAllah.

Saya berharap semoga tahun depan, saya akan berpeluang untuk ‘menziarahi’ ke pesta buku lagi, insyaAllah.

*********

Saya tidak bertujuan apa-apa untuk perjalanan kali ini. 8 tahun dengan tugasan yang tidak pernah putus, dan ruang masa yang sering mengejar saya dengan pelbagai tanggungjawab, saya rasa mahu ‘lari’ seketika dari bebanan yang menghimpit.

Minda sudah tepu, pada perasaan saya. Harapan saya semoga minda saya akan berehat dalam tempoh yang agak lama ini dan kembali semula untuk melunaskan tanggungjawab dengan minda yang lebih lapang, insyaAllah.

Percutian ini, dari Allah, untuk kembali saya merenung ke dalam diri. Itu tujuan saya. InsyaAllah.

*********

Saya pernah terfikir bahawa kesakitan dalam minda boleh ‘dibetulkan’ dengan semangat yang kuat. Semangat yang kuat untuk melaksanakan sesuatu perkara yang akan memberi faedah kepada diri sendiri, orang sekeliling dan agama.

Saya rasa, semangat kuat itu masih tidak kuat dalam diri saya. Saya perlu melatih minda saya supaya berusaha dengan lebih gigih lagi supaya segala tindakan luaran dapat dibentuk dengan minda yang lebih bersemangat.

InsyaAllah.

01 April 2008

Akidah dan Akal Bijak

Assalamu’alaikum warahmatullah…

Minda saya diusik pagi ini.

Antara kebijaksanaan dan akidah, mana lebih penting?

Akidah membentuk sikap. Kebijaksanaan membentuk minda.

Fikiran saya menyasarkan, memang kedua-duanya penting. Akidah boleh membentuk kebijaksanaan, kebijaksanaan juga boleh membentuk akidah. Tetapi, kadar peratusannya berbeza. Peratusan akidah boleh membentuk kebijaksanaan adalah sebanyak 85%, tetapi peratusan kebijaksanaan boleh membentuk akidah mungkin hanya 10% sahaja.

Antara orang yang berfikir, dengan orang yang tidak berfikir.

Antara orang yang berakhlak, dengan orang yang tidak berakhlak.

Saya bukan cikgu, tetapi beberapa orang pelajar saya memanggil saya dengan gelaran ‘cikgu’. Selalunya, pendekatan yang saya berikan untuk kali pertama kepada pelajar-pelajar saya ialah pembentukan sikap.

Tahun ini, saya ada 14 orang pelajar. Tahun sebelumnya 12 orang. Tahun sebelumnya 15 orang. Tahun sebelumnya 13 orang. Bilangan ‘belas-belas’ dengan tempoh masa hampir 8 tahun saya mengajar, dan dengan beban kerja di pejabat yang setimbun-setimbun di atas bahu saya, hujung minggu saya memang penuh. Hari bekerja pun, saya sudah balik seawal 11 malam. Dengan kadar masa yang terhad ini, saya perlu memastikan setiap pelajar saya akan mendapat pendekatan yang sama supaya mereka boleh ‘melaksanakan sikap yang betul’ semasa ketiadaan saya. Maksudnya, mereka perlu belajar berfikir dan menimba ilmu dengan sikap dan akhlak yang betul pada waktu-waktu saya tidak ada di sisi mereka.

Bandingan tempoh masa ini adalah seperti berikut :-

1 minggu = 7 hari = 168 jam

2 jam dalam sehari, 2 hari dalam seminggu = 4 jam

Beza antara 168 jam dan 4 jam memberikan 164 jam. Selama 164 jam ini, mereka tidak akan bersama saya. Anggaran saya, setelah bertanya :-

7 jam sehari x 5 = 35 jam di sekolah
1 jam sehari x 7 = 7 jam untuk solat
1 jam sehari x 7 = 7 jam untuk mandi
2 jam sehari x 7 = 14 jam untuk makan
7 jam sehari x 7 = 49 jam untuk tidur
2 jam sehari x 5 = 10 jam untuk bermain
4 jam sehari x 2 = 8 jam untuk bermain


Jumlah keseluruhan tempoh masa ini selama seminggu memberikan jumlah berikut = 130 jam.

Kita kaji semula,

Jumlah jam seminggu = 168 jam
Jumlah digunakan sendiri = 130 jam
Jumlah saya mengajar = 4 jam
Baki = 34 jam

34 jam ini, jika dibahagi dengan 7 akan memberikan 4.86 jam sehari bagi masa yang masih tidak digunakan.

Jadi, apa yang mereka (pelajar-pelajar di Malaysia) lakukan untuk tempoh masa ini?

Ia bukannya satu tempoh masa yang singkat, malah hampir 5 jam sehari yang telah dibazirkan tanpa apa-apa aktiviti. Malah, dengan akidah yang tidak sihat dan kebijaksanaan yang melampau, saya pasti aktiviti di masa-masa yang terbazir ini sebahagian besarnya akan diisi dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Oleh yang demikian, tanpa pembentukan sikap yang diredhai berdasarkan sumber yang dirahmati, belajarlah setinggi mana dan menjadi sebijak mana pun, pasti akan membawa kemusnahan bukan sahaja kepada diri sendiri, malah juga kepada agama, bangsa dan negara.

Cuba kaji pula penggunaan masa dalam kehidupan kita seharian. Belek-belek diri, fikir cara untuk memanfaatkan masa yang tidak boleh dibeli. Sikap kita akan menentukan tindakan kita. Akal kita pula akan menentukan tahap tindakan kita.

*********

Manusia yang menambah umur semakin merasakan dirinya ‘dewasa’ dan lebih matang. Mampu berfikir dengan lebih hebat, dan bijak merencana keputusan-keputusan besar bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk masyarakat di sekitarnya.

Benarlah kata pepatah : hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Pun, rebung yang dilentur perlulah dilenturkan dengan sesungguh hati. Apabila rasa bosan dan dilepaskan, rebung itu tetap akan menjadi buluh yang sudah tidak boleh dilentur. Ini ada kaitan pula dengan ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’.

Hmm, saya terasa seperti sudah jadi macam Karam Singh Walia pula. (smile!)