17 July 2008

Sesak Lagi

Assalamualaikum warahmatullah...

Jalan sesak lagi. Pagi ini. Saya tidak dapat merasakan kesesakan pada hari Isnin yang lalu. Tetapi, di saat saya ada mesyuarat penting pagi ini dan beberapa persediaan yang masih belum sempurna untuk mesyuarat tersebut, saya rasa sangat lelah. Saya rasalah, pada pendapat saya yang kerdil ini, kalau sekatan jalan raya nak dibuat, seeloknya diberitahu lebih awal supaya tidak membebankan rakyat, dan sekurang-kurangnya saya boleh keluar lebih awal untuk ke pejabat (hakikatnya pagi ini pun saya keluar awal dari masa biasa saya, awal 25 minit pun dari biasa).

Itulah. kadang-kadang kita asyik leka dengan kuasa yang ada di tangan kita hingga terlupa bahawa dunia itu ibarat roda. Jika sekarang kita di atas, ada masanya kita akan 'tercampak' ke bawah. Jika sekarang kita di bawah, ada 'rezeki' satu masa nanti dari Allah untuk kita berdiri di atas. Pun, jarang benar orang di atas hendak mengingati orang yang di bawah. Itu yang jadi masalah. Masalah sama di seluruh dunia pun.

Apapun, Allah akan membantu hamba-hambaNya yang beriman, insyaAllah.

"Ya Allah, jika mereka semua tidak sedar bahawa Kau Maha BerKuasa, tunjukkanlah kuasaMu kepada mereka yang tidak menyedari bahawa kuasa di tangan mereka hanyalah ibarat setitis air di tengah lautan yang luas.."

16 July 2008

Insaf Diri

Assalamualaikum warahmatullah...

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (QS. Ali Imran, 3:104).

Mudah juga untuk menjadi orang yang beruntung, kerana di dunia masa ini, kumpulan majoriti dan minoriti sangat memainkan peranan. Apapun, hakikatnya Rasulullah SAW dahulu pun hanya berada di dalam suatu kelompok minoriti. Itulah kebesaran dan kekuasaan Allah. Pun, tidak ramai yang mahu menjadi orang yang beruntung di akhirat, atau seimbang untung di dunia dan di akhirat. Kebanyakan dari kita lebih memilih untuk menjadi manusia yang beruntung di dunia sahaja. Kita lebih banyak diam, walau terlalu banyak kesilapan di hadapan mata, di pendengaran telinga dan melalui pembacaan kita yang perlu kita bendung. Saya pernah ditanyakan tentang soalan ini : Antara agama dan negara, manakah yang lebih penting? Saya tidak mahu menjawabnya di dalam entri ini kerana saya dapat merasakan setiap dari kita ada pendapat tersendiri untuk pilihan jawapan yang kita buat. Semoga jawapan yang kita pilih itu adalah jawapan tepat yang diredhai oleh Allah, insyaAllah.

"Dia-lah Allah Yang tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala keagungan, Maha Suci, Allah dari apa yang mereka persekutukan." (QS. Al Hasyr, 59:23)

Kita tidak mempersekutukan apa-apa (jika kita benar-benar menyatakan bahawa Allah itu Esa dan tidak mempersekutukanNya dengan apa pun). Tetapi, kita kadang-kadang terlupa kepada Allah yang Maha BerKuasa, Allah yang Maha Memelihara, Allah yang Memiliki Segala Keagungan dan pelbagai lagi kekuatan yang dimiliki oleh Dia sebagai Pemilik alam ini. Kita terlupa, hingga kita lebih suka menegakkan sesuatu perkara yang salah hanya kerana kita merasakan diri kita memiliki kuasa mutlak. Sedarkah, kuasa yang kita miliki tidak kekal? Sedarkah, kematian akan merenggut diri kita pada bila-bila masa pun? Jika dalam satu hari lagi kita akan mati, apakah perkara terakhir yang akan kita lakukan di dunia ini?

".. Allah mengetahui apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi. Dan Allah maha Kuasa atas segala sesuatu." (Surah Al 'Imran: 29)

Allah Maha Mengetahui dan hanya Dia sahaja yang tahu tentang kebenaran yang hakiki. Kebenaran itu, ada di setiap redha Allah. Jika kita tahu bahawa setiap perbuatan kita tidak disertai dengan redha-Nya, usahlah dilakukan perkara sia-sia yang boleh membuatkan kita terjerumus ke dalam lubang-lubang neraka. Paling pasti, setiap nafas yang kita hirup pun tidak mampu kita kuasai, apatah lagi untuk memiliki segala yang ada di dalam dunia ini.

Sabar. Tenang. Ikhlas. InsyaAllah, redhaNya bersama kita semua.

14 July 2008

Saya Tidak Tahu

Assalamualaikum warahmatullah...

Sejak Khamis lepas, saya di'penjara' dari berita-berita sensasi di Malaysia. Jadual yang perlu saya hadapi sangat padat sehingga tidak ada ruang senggang sedikit pun dalam tempoh lima hari itu. Lagi pula, saya ini 'tamak masa'. Mana-mana masa yang ada, saya akan cuba 'tangkap' dengan sesungguh hati supaya setiap saat dalam kehidupan saya dapat dimanfaatkan dengan lebih baik. Pun, paling pasti, saya telah di'penjara' di sebuah tempat yang saya tidak tahu dari mana saya boleh dapat sumber maklumat. Jadi, saya redha. Kisah lima hari ini, saya akan cuba cari dan dapatkan. Malah, dengarnya, macam-macam yang jadi. Walau saya sudah 'tidak ada mood' untuk menatap kisah-kisah ini, lima hari ini sangat-sangat mengajar saya. Macam-macam. Saya mula menjadi 'penganalisa tidak bergaji' semula, walau saya terasa seperti sudah mahu 'pencen' lima hari yang lepas.

*********

Manusia ada macam-macam ragam dan gaya. Tetapi, percayalah, yang paling bahaya bagi seorang manusia itu ialah 'daya pengaruh' yang dibawanya. Dalam konteks ini, daya pengaruh ini bukan hanya melibatkan wajah yang cantik dan kata-kata yang manis, tetapi daya pengaruh ini adalah bergantung kepada kelemahan manusia yang akan dipengaruhinya. Setiap manusia punya kelemahan, termasuk diri saya. Pun, sekiranya kita boleh memastikan 'perkara penting dan tidak penting' dalam hidup kita, saya rasa kes daya pengaruh ini akan dapat diatasi oleh setiap individu.

Kadang-kadang, daya pengaruh ini tanpa sedar tertanam di dalam diri manusia tanpa disedari, kerana pengaruh itu bukan hanya berdasarkan perbuatan dan percakapan, tetapi ia juga melibatkan 'pandangan' dalam konteks, walaupun tidak terlibat secara langsung, pengaruh seseorang itu sangat hebat sehingga mampu merubah minda, jiwa dan pendapat di dalam diri seseorang.

"Ya Allah, bantulah kami untuk melindungi diri dari daya pengaruh buruk dan anasir jahat yang tidak Engkau redhai...."

05 July 2008

Realiti

Assalamualaikum warahmatullah...

Realitinya, sehebat mana pun kuasa seorang manusia di dunia, sewajarnya dia perlu mengingati Yang Maha BerKuasa, kerana Yang Maha BerKuasa itulah yang boleh menaikkan dia ke atas, dan menurunkan dia ke bawah, walau sehebat mana perancangannya, walau sebijak mana pemikirannya, kerana semua hal pada dirinya, adalah pinjaman dari Yang Maha BerKuasa.

*********

Komuter pun sudah sesak. Saya menaikinya pada waktu petang, sekitar 4.30 petang, untuk berjumpa seorang sahabat di Mid Valley - bersama dua sahabat lain. Macam-macam orang, macam-macam ragam. Saya cuma jaga diri yang terasa tidak selesa - saya tidak suka tubuh badan saya 'tersentuh-sentuh' dengan orang lain - Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan saya dan melindungi diri saya dari kejahatan dunia, pada hari itu. Saya rasa, perkhidmatan seumpama ini perlu dinaik taraf. Sudah tidak boleh pada takuk lama. Memang mengaut untung, tapi penumpang tidak ada keselesaan langsung. Malah, keselamatan juga belum tentu terjamin. Kawan mencuit bahu saya (hari-hari dia naik komuter) - 'jangan letak beg sandang di bahagian belakang badan'- saya pula bukan jenis suka bawa 'beg tangan' macam orang perempuan lain. Beg besar berisi nota, kain untuk solat dan barang-barang penting lain itu saya peluk di bahagian hadapan badan saya. Alhamdulillah. Malamnya, saya ambil kereta di pejabat dan balik ke rumah dengan kereta.

*********

Semakin banyak basikal digunakan pada hari Ahad. Di saat 'burung pun belum bangun', banyak penunggang basikal yang sudah menghalakan diri ke Tasik Cempaka - sebelum kenaikan harga minyak, memang saya tidak nampak basikal sebanyak ini, dan bila saya usai mengajar kelas pertama saya, banyak basikal pula yang saya nampak menghala keluar dari Tasik Cempaka. Saya jadi cemburu, pada masa yang sering tidak ada ruang senggang. Basikal itu, saya menjadi ingat di zaman usia saya 3 tahun - basikal besar dengan palang tinggi - saya selalu kejar waktu malam apabila pulang dari mengaji di hujung kampung.

*********

Realitinya, kenapa menyukarkan sesuatu yang mudah. Setiap kehidupan ada penghujung yang memang pasti - kematian. Untuk apa dikejar-kejar sesuatu yang akan ditinggalkan di dunia - dengan cara melakukan perkara yang boleh menempah tiket ke neraka. Alangkah indahnya kehidupan yang baik di dunia sebagai bekal di dalam perjalanan di bumi akhirat. Alangkah seronoknya bertemu Rasulullah SAW yang tersenyum kerana kita berjaya menjadi salah seorang umat yang akan bersama-sama baginda. Alangkah hebatnya rahmat Allah yang akan mengiringi perjalanan seorang hamba yang beriman. Teruskanlah hidup, kerana Allah.

*********

Semoga Allah menyelamatkan dan melindungi semua umat Islam yang beriman, semasa di dunia, dan semasa di akhirat. InsyaAllah.