30 August 2008

Datang dan Pergi


Assalamu'alaikum warahmatullah...

Manusia datang dan pergi di sekitar kita. Samada terus meninggalkan dunia ini, atau hanya sekadar berpindah tempat tinggal atau tempat bekerja. Pada saat ini saya dapat merasakan 'manusia yang datang dan pergi' ini.

Semalam, waktu saya pulang ke rumah, di hadapan pintu lif (saya tiba di rumah seawal 11.15 malam) dan bersua dengan 'jiran' merangkap teman yang saya temui semasa berkursus di Shah Alam pada bulan Jun lepas. Saya maklum bahawa keluarganya tinggal di Sabah, dan dia hanya berseorangan di sini ditemani anak perempuannya yang bersekolah agama di Kajang. Memang saya jangkakan dia hanya seketika di sini, dan saat dimaklumkan dia ditukarkan ke Labuan, saya hanya tersenyum. Saat itu barulah saya terfikir tentang 'manusia yang datang dan pergi' dalam hidup saya.

Pada 15 September ini juga, InsyaAllah seorang rakan akrab akan melanjutkan pelajarannya ke luar negara. Memanglah di zaman serba canggih dan penuh teknologi ini, perpisahan bukan masalah kerana maklumat boleh tiba dengan tempoh yang singkat. Tetapi, 'rasa kehilangan' itu tetap ada dan dirasakan walau mungkin hanya akan tersimpan jauh di sudut hati.

Petang tadi pula, sewaktu saya membelek PDA saya, saya menerima satu pesanan ringkas dari 'seseorang yang tidak saya kenali dengan rapat'. Pertemuan hanya sekali sewaktu dia memberikan ceramah di dalam sebuah seminar yang dilaksanakan di pejabat saya. Pelik benar, seminar itu pada September tahun lepas, dan saya tidak pernah membalas setiap pesanan ringkasnya. Bukan apa, saya tidak gemar berpeleser untuk menjawab pesanan yang 'langsung tidak berkaitan dengan saya', tetapi rajin benar pesanan dihantar ke nombor telefon saya, yang pastinya akan sentiasa saya abaikan.

Terkadang, tanpa sedar di tengah kesibukan kehidupan ini, kita tersua pula dengan sahabat lama yang mungkin bertahun-tahun tidak berjumpa. Itulah, manusia datang dan pergi dalam hidup kita. Hargai setiap saat kehidupan bersama insan yang amat kita sayangi, kerana 'datang dan pergi' itu walau dirancang dengan sebaiknya, kuasa Allah jua mengatasi.

*********

Esok, Sambutan Hari Kemerdekaan ke-51. Semoga sambutan kemerdekaan ini tidak melampaui batas dan terhad pada perkara yang hanya diredhai Allah sahaja, terutama semasa menunggu detik 12 malam yang selalunya melibatkan pergaulan bebas lelaki dan wanita di luar kawalan. Wajar kita bergembira untuk sebuah negara yang tidak dijajah selama 51 tahun, tetapi ingatan kepadaNya perlu lebih lagi bagi mewujudkan sebuah negara yang akan sentiasa diredhai dan dirahmati oleh-Nya, insyaAllah.

Jangan jadikan sambutan kemerdekaan ini, 'datang dan pergi' juga dalam hidup kita. Walau tanah kita tidak terjajah, penjajahan minda juga perlu mendapat penelitian yang lebih di dalam memastikan negara 'bebas dari penjajahan', insyaAllah.

13 August 2008

Think


Enjoy the little things, for one day you may look back and realize they were the big things. ~ Robert Brault

Jangan menganggap benda kecil yang remeh adalah tidak penting. Tanpa disangka satu langkah itu yang menjadi permulaan untuk berjuta-juta langkah yang lain.

12 August 2008

Kepada-Nya Kita Kembali

Assalamualaikum warahmatullah...

Dia sudah meninggal dunia. Semalam, di Hospital Kajang. Saya diberitahu melalui telefon oleh salah seorang cucunya. Saya masih ingat pada kali pertama saya bertemu arwah. Lebih kurang empat tahun yang lepas. Saat itu, arwah masih sihat. Dia membuatkan air untuk saya, dan mengajak saya makan dan minum. Setiap kali saya tiba di rumah anaknya, saya akan bersalam dan mencium tangannya yang dipenuhi garis-garis kedut. Waktu itu, usianya sudah menginjak ke angka 86. Arwah banyak bercerita kepada saya dalam dialek Kelantan lama (ini membuatkan cucu-cucunya agak terkejut kerana saya boleh memahami dialek tersebut sedangkan mereka seringkali tidak faham apa yang dikatakan arwah, sementelah saya bukan berasal dari pantai timur).

Seringkali juga dia bercerita tentang kerinduannya kepada kampung halaman dan rumahnya di Kelantan. Dalam kesibukan saya, saya masih juga cuba memenuhi keinginan seorang wanita yang sudah berusia sepertinya dan kerinduannya kepada kampung yang sering ditinggalkan. Pun, saya faham kerana dia keseorangan di sana kerana anak-anaknya semuanya sudah menetap di sini. Mereka semua risau kerana arwah sering sakit-sakit pada masa itu.

Sejak setahun lepas, badannya sering tidak sihat. Dia hanya terlantar, dan ingatannya sudah semakin kurang. Jika dia tidak tidur semasa saya datang, saya akan bersalam dan mencium dua tangannya. Selalunya, dia masih tersenyum kepada saya. Malah, arwah gemar makan roti jala, paling saya ingat apabila arwah meminta cucunya membelikan roti jala, diberikannya duit pada sebelah petang walhal roti jala tersebut hanya boleh dibeli pada keesokan harinya. Saya banyak belajar tentang kehidupan seorang wanita berusia darinya. Kasih sayang cucu-cucu, menantu-menantu dan anak-anaknya sangat banyak untuk dirinya.

Semoga Allah melimpahi rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan rohnya di kalangan roh-roh orang-orang yang beriman, insyaAllah.

10 August 2008

P.D. ke Kajang

Assalamualaikum warahmatullah...

Sudah lama saya tidak menghala ke Port Dickson. Seingat saya, sejak tahun lepas. Menghadiri satu seminar di sana. Jarang pula saya pergi atas urusan tidak rasmi. Dahulu, semasa baru menamatkan pengajian di universiti, rajin juga saya ke sana. Saya suka duduk merenung laut di bawah sebatang pokok di tepi pantai. Tidak pernah berteman, selalunya memang berseorangan sahaja. Hendak mencari laut yang bersih, memang amat payah. Selain PD, saya suka juga ke Morib. Melihat gelagat manusia yang pelbagai. Saya tidak akan mandi-manda, tidak akan membeli apa-apa. Sekadar memarkir kereta dan kemudian duduk 'merenung laut'.

Hari ini, saya baru balik dari PD. Juga bukan atas urusan rasmi. Setelah sekian lama ke PD hanya untuk urusan rasmi. Sekadar tidur semalam di sana. Setelah menghantar seorang kawan satu program ke pintu pagar UKM (anak saudaranya menerima ijazah hari ini), dan kemudian seorang kawan lagi ke bandar Kajang (nama sahaja bandar, tapi bagusnya kereta saya diberhentikan di hadapan sebuah rumah papan dan diletakkan di bawah pohon-pohon rambutan dengan udara kampung yang sangat nyaman - suasana yang sangat saya rindui). Saya dan rakan mengait rambutan dengan diperhatikan neneknya. Itulah masalah saya, nama sahaja anak kampung, tetapi bab mengait rambutan memang saya tidak pernah lulus. Mungkin sebab dari kecil kerja saya hanya memanjat pokok sahaja.

Sudahnya, rambutan hanya sedikit yang diambil. Selebihnya, kawan saya telah memanjat pokok kedondong pula - ini di antara buah kegemaran saya. Mulanya, mahu juga saya memanjat kerana seingat saya semasa saya di zaman matrikulasi dahulu saya masih lagi memanjat pokok ciku dan pelbagai pokok lain (zaman saya nakal-nakal dahulu, memanjat pokok di awal pagi dan berselindung di sebalik daun-daun apabila nampak kereta yang lalu bersama beberapa sahabat yang akan menunggu di bawah pokok), tetapi niat itu terpaksa dibatalkan apabila memikirkan tudung berwarna hijau cerah yang sedang membalut kepala saya. Zaman dahulu pun, kalau mahu memanjat pokok, saya akan pastikan tudung gelap yang saya gunakan. Alahai, masih ada keinginan saya untuk memanjat pokok rupanya!

06 August 2008

Banyak Masa

Assalamualaikum warahmatullah...

Kenderaan pun makin kurang di jalan raya sekarang ni. Kalau dulu, keadaan dan suasana jalan raya yang macam ni cuma masa cuti-cuti sekolah aje. Saya tahu, ramai yang 'tak larat' nak bayar harga minyak yang melambung-lambung. Saya sendiri merasakan keperitannya, dan kalau ada alternatif, memang saya nak guna public transport. Tapi, itulah, saya tak dapat nak gunakan public transport ni sebab ruang masa saya hanya cukup-cukup untuk memandu, parking dan solat sahaja. Sebab itulah saya dapat tiba awal di ofis sekarang ini. Ofis pun masih kosong dan saya selalu jadi orang yang pertama tiba dan orang yang terawal meninggalkan ofis pada waktu petang. Adil la tu kan!

*********

Seorang pengawal keselamatan dapat ijazah Sarjana dari Universiti Malaya - saya dengar di radio IKIM.fm pagi tadi. Hmm, bagusnya. Sudah berusia dan masih berinisiatif untuk menyambung pelajaran. Sewajarnya hal ini jadi galakan kepada generasi muda sekarang ini yang dilimpahi kemewahan, kemudahan belajar dan ibu dan ayah yang amat menyayangi serta suasana pembelajaran yang sangat selesa untuk berfikir semula tentang usaha-usaha pembelajaran mereka samada sudah tiba ke tahap maksimum ataupun masih belum. Jika masih belum, usaha-usaha itu perlu ditingkatkan lagi. Paling utama, jadikan agama sebagai tonggak di dalam diri supaya diri akan lebih berdisiplin dan sentiasa mempunyai keikhlasan yang tinggi, InsyaAllah.

05 August 2008

3R

Assalamualaikum warahmatullah...

Hari ini, seorang rakan memberitahu saya tentang 3R. Gara-gara diri saya yang terlalu penat. Nampak di mata, nampak di wajah, air muka yang sangat letih - itu katanya. Lagipun, 3R ini dipetik dari inti motivasi Dato' Dr Mohd. Fadzilah Kamsah. 3R - Rehat, Rawat dan Recharge. Saya tahu, saya kurang rehat, tidak cukup dirawat, tapi bab 'recharge' itu, sebenarnya dari segi mental dan hati - baca Al-Quran pun dikira 'recharge'. Rehat itu untuk tubuh, rawat itu pun untuk tubuh, tapi bab 'recharge' itu, saya rasa minda dan mental saya perlu dimantapkan lagi.

Saya sengaja menyibukkan diri supaya saya tidak ada masa hendak memikirkan benda-benda lain. Pun, waktu tidur saya bukannya tidak menentu. Pukul 12.30 malam saja, mata saya akan tertutup, dan seawal 4.00 pagi, mata saya sudah terbuka. Semuanya automatik. Kadang-kadang, saya mahu sambung tidur semula, tetapi ternyata tidak boleh. Apabila sudah penat bergolek-golek, sudahnya saya mencapai 'bear comel' saya dan mula menulis. Ataupun paling-paling, saya akan membaca. Sebelum masuk waktu solat Subuh, saya sudah bertelekung menantikan azan. Terkadang sudah mandi pun.

Tapi, itulah, rutin saya memang automatik. Sudah ada jadualnya yang tersendiri. Keluar dari rumah seawal 6.30 pagi dan balik semula ke rumah seawal 11 malam - ini secara puratanya - kadang-kadang ada juga yang saya balik awal. Saya pernah cuba mengubahnya, tidak ada kesan apa-apa pun. Lebih hebat lagi, badan saya jadi sakit-sakit. Jam biologi tubuh saya sudah tidak boleh diubah. Cuma, terkadang apabila terlalu penat, saya akur juga. Jadi, saya akan batalkan mana-mana aktiviti saya. Ha, saya bukan paksa diri pun, sebenarnya. Saya buat sesuatu dalam kadar kemampuan saya. Kalau saya rasa saya kena ubah supaya dapat disesuaikan dengan kondisi tubuh badan saya, saya akan segera mengubahnya. Kesimpulannya, saya agak 'fleksibel' - saya tidak tahu adakah perkataan ini wujud dalam Bahasa Melayu - harap-harap ada!

Sejak bulan April yang lepas - 16 hari berehat di Walthamstow - sejak itu saya tidak pernah mengambil cuti. Malah, tidak ada hujung minggu yang saya dapat merehatkan diri juga. Ada macam-macam; kursus, seminar, kelas pengajaran dan pelbagai aktiviti lain. Tetapi, kepelbagaian suasana itu menjadikan saya rasa agak selesa. Waktu itu saya berehat agaknya, apabila dapat merasakan keseronokan di dalam setiap aktiviti yang saya lakukan - walau dalam ruang masa yang sangat padat.

Pun, saya tahu, kesibukan ini, ada hikmahnya kepada diri saya. Malah, sudah beberapa kali isi borang untuk bercuti pun, tiba-tiba saja ada hal yang perlu saya lakukan - batal lagi cuti saya. Untuk waktu ini pun, alhamdulillah, saya sudah dapat terasa keselesaan semasa sedang menulis kala ini. Malam nanti, saya ada satu kelas pengajaran lagi. InsyaAllah, semoga Allah Maha Besar akan memudahkan segala urusan saya.

* Sudah masuk bulan Syaa'ban yang semakin menghampiri Ramadhan. Semoga rahmat Allah akan mengiringi kita semua, InsyaAllah.

02 August 2008

Konvokesyen

Assalamualaikum warahmatullah...

Saya berhenti di lampu isyarat di hadapan pintu pagar Universiti Kebangsaan Malaysia, pagi tadi. Nampak beberapa mahasiswa yang berjubah mengambil gambar berlatarkan pintu masuk yang terpampang nama universiti. Tanpa sedar, saya tersenyum sambil memegang stereng. Kenangan lapan tahun lepas di universiti yang sama mula mengusik minda. Sayangnya, saya hanya simpan sekeping gambar dengan jubah berwarna kecoklatan itu. Itupun hanya gambar bersama abang saya di hadapan pagar rumah sewa, di hari saya naik ke pentas menerima ijazah. Saya tidak ada gambar berlatarkan pemandangan universiti bersama jubah saya. Paling pasti, di zaman itu, saya tidak suka gambar saya diambil. Hmm, kenangan di zaman belajar. Indahnya untuk diungkap.

01 August 2008

Pilihan Tepat


Assalamu'alaikum warahmatullah...

Terlalu banyak pilihan yang perlu dibuat menjadikan diri nanar dan gelisah. Sering kita risau sekiranya pilihan kita tidak menepati apa yang kita mahukan. Saya sering terfikir, apa yang kita mahukan? Di dalam kehidupan ini, membuat pilihan merupakan tempoh-tempoh yang sukar yang perlu kita hadapi, boleh dikatakan setiap waktu. Ada pilihan yang perlu dilakukan dengan pantas (contohnya, memotong dan memintas kenderaan lain di jalan raya - sekiranya teragak-agak dan kurang yakin, boleh mengundang maut), ada juga pilihan yang memberikan masa yang lama untuk kita memikirkannya.

Saya masih ingat sewaktu saya di Tingkatan 5. Saat ini, saya perlu membuat pilihan (pilihan yang agak besar, saya kira), di mana saya perlu memilih untuk duduk menelaah menjelang peperiksaan percubaan SPM, atau saya menerima tawaran mewakili negeri ke peringkat kebangsaan di dalam satu pertandingan. Terkesan dengan pilihan yang perlu dibuat, ramai yang memberikan pendapat dan sudah tentulah ramai yang menyarankan supaya saya tidak menyertai pertandingan tersebut. Walhal, cita-cita untuk menyertai pertandingan tersebut sudah 'sebati' di dalam diri saya sejak usia saya 14 tahun lagi. Jadi, apa yang saya lakukan, saya ambil keputusan untuk melaksanakan solat istikharah. Alhamdulillah. Hasilnya memang di luar jangka. Saya menyertai pertandingan tersebut, dan hanya balik semula ke asrama sehari sebelum peperiksaan percubaan SPM. Hidayah dari-Nya sungguh indah. Pilihan itu sedikit pun tidak memberi kesan yang menyedihkan kepada keputusan peperiksaan yang saya hadapi, malah ia memberi kesan yang agak besar kepada masa depan saya juga. Kesan jangka panjang yang dianugerahkan oleh-Nya. Alhamdulillah.

Sejak itu, saya tidak mahu mengalah setiap kali pilihan perlu dibuat. Maka, solat istikharah itu sudah jadi satu kebiasaan di dalam diri saya sekiranya saya perlu membuat pilihan-pilihan yang sering menyesakkan kepala saya untuk memikirkannya. Saya tahu, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Sehebat mana pun perancangan kita, Allah sudah menentukan semuanya. Usaha dan doa - tawakkal - adalah hadiah Allah kepada kita di dalam mengharungi kehidupan ini. Terapkan keindahan hadiah ini di hati kita supaya kita dapat senyum dan sentiasa tenang di dalam melaksanakan apa sahaja, kerana sesungguhnya Dia sentiasa ada untuk membantu kita.

Jadikan Solat Istikharah itu suatu hubungan antara kita dan Dia, Solat Tahajjud itu jejambatnya, Solat Hajat itu nadinya dan Solat Taubat itu penghapus kepada kesilapan yang kita lakukan, di dalam sedar ataupun tidak.

Paling pasti, solat itulah penghubung kita dan Allah, tanda syukur kita kepada Allah, tanda cinta kita kepada Dia. InsyaAllah, semoga solat-solat kita menjadi benteng di antara yang hak dan yang batil, kerana hasutan-hasutan kepada kejahatan itu sentiasa ada di mana-mana.

Salam Isra' Mikraj, dan salam di petang Jumaat yang indah. Semoga kita semua diredhaiNya, insyaAllah.