30 September 2008

Istimewa Untuk Rakan di Perantauan

Asyik dengan kerja dan deadline yang banyak menyebabkan saya terpaksa menyisihkan seketika rasa sedih pemergian salah seorang sahabat saya ke Surrey, UK untuk menyambung pengajiannya pada 20 September 2008 yang lalu.

Di malam hari raya begini, saya mula teringat kepadanya. Mujurlah ada orang tersayang bersama-sama dengannya. Kalau tidak, sudah tentu berendam air mata sahaja menghadapi Hari Raya di perantauan berseorangan. Dia sahabat saya sejak di universiti, sama pula di satu tempat kerja sebelum mengambil keputusan bercuti belajar.

Saya ucapkan selamat padanya, dan jika ada rezeki, saya akan bertemu dengannya tahun hadapan di Surrey juga, insyaAllah. Semoga sahabat saya berjaya meneruskan cita-citanya dan dipermudahkan Allah di dalam segala urusan, berkaitan dunia wal akhirat.

Walau tidak sempat menghubungi, membaca blognya saja saya sudah menyaksikan kesibukannya dengan pengajiannya di perantauan. Ayu, bridge engineering tu one of my favourite subject...tapi buku yang ada kat saya ni pun belum habis baca lagi la...

Ayu, Selamat Belajar dan tabahlah! Semoga berjaya dengan keputusan yang paling cemerlang! InsyaAllah. Semoga sentiasa diredhaiNya, semoga sentiasa dilindungNya, semoga sentiasa dipermudahkanNya. Saya akan sentiasa mendoakan...

1 Syawal 1429H

Assalamualaikum warahmatullah...

Ramadhan sudah berlalu. Genap 30 hari kita berpuasa. Alhamdulillah, Ramadhan tahun ini dapat dilalui dengan penuh ketenangan.

Malam ini, sudah masuk 1 Syawal. Di saat saya sedang menaip ini, dentuman mercun di sekitar rumah keluarga saya bagai tidak dapat dikawal. Saya terasa seperti berada di dalam novel Zahrah de Tigris terbitan Jemari Seni, walaupun lokasinya berbeza.

Sewajarnya, Syawal ini disambut dengan penuh kesederhanaan, kerana Ramadhan penghulu segala bulan telah berlalu meninggalkan kita. Wahai Ramadhan, adakah saya akan bertemumu di tahun hadapan? InsyaAllah.

Selamat menyambut bulan Syawal. Semoga segala amalan kita di Ramadhan yang telah berlalu akan sentiasa diredhai-Nya. InsyaAllah.

23 September 2008

Cinta Kepada Rasulullah SAW

Assalamualaikum warahmatullah...

Saya tertarik pada Kuliah Tafsir Ustaz Zahazan di Radio IKIM pada 22 September 2008 (semalam). Kuliah yang membahaskan rasa cinta kepada Rasulullah SAW juga membicarakan tentang serendah-rendah iman dan setinggi-tinggi iman. Pun, yang saya hendak sebutkan di sini adalah serendah-rendah tahap keimanan itu ditunjukkan dengan membuang/mengelakkan halangan di jalanan.

Selalunya, saya cuma mampu membayangkan ada pokok yang tumbang di jalanan dan sesiapa yang berhenti dan membuang pokok/kayu tersebut ke tepi dan memudahkan perjalanan orang lain telah menunjukkan tahap keimanan tersebut. Bagaimanapun, rupa-rupanya pemikiran saya sangat cetek. Bukan sahaja apabila ada halangan di jalanan dan kita membuang halangan tersebut, tapi sebaiknya 'kita ini jangan mewujudkan halangan di jalanan'.

Jadi, Ustaz Zahazan menyebut tentang membuang sampah di jalanan yang sering diamalkan oleh mana-mana pemandu di Malaysia (macam dah jadi trend rakyat Malaysia pula) - walaupun sekadar sehelai plastik/sebotol air mineral yang sudah kosong/satu tin minuman yang sudah kosong - sebenarnya trend ini telah menunjukkan bahawa kita sebenarnya telah mewujudkan halangan di jalanan, sedangkan serendah-rendah iman itu membuang halangan di jalanan.

21 September 2008

10 Malam Terakhir

Assalamualaikum warahmatullah...

Malam 21 telah dilepasi. Malam ini sudah malam ke-22 pula. Rasa sekejap benar Ramadhan tahun ini. Menanti tibanya Ramadhan serasa terlalu lama dan kehadirannya serasa terlalu sebentar.

Semoga malam-malam terakhir di Ramadhan ini dapat mengukuhkan ibadat dan tahap keimanan kita kepadaNya. Sering pula terjadi, malam-malam terakhir ini yang kita abaikan dan kebanyakan masa dilambakkan untuk pergi ber-shopping. Shopping, nikmatnya sebentar dan manfaatnya hanya seketika. Siapkan bekal. Siapkan bekal. Siapkan bekal yang ikhlas. Masa kita sudah hampir tiba dan kita tidak akan menongkat hidup di dunia ini.

Semoga Ramadhan tahun ini lebih indah dari tahun-tahun sebelumnya, insyaAllah.

01 September 2008

1 Ramadhan 1429H

Assalamualaikum warahmatullah...

Selamat menyambut bulan Ramadhan yang penuh berkat...
Semoga amalan kita semua akan diredhai oleh-Nya di bulan yang penuh berkat ini.

____________________________

Setahun sudah saya menetap di rumah yang menjadi syurga saya tika ini - masih dalam ingatan imbasan kenangan 1 Ramadhan tahun sudah. Apakah saya berpeluang bertemu Ramadhan di tahun-tahun mendatang...InsyaAllah.