30 July 2009

Kuarantin Jujur dan Telus


Keratan gambar dari http://www.kosmo.com.my/ bertarikh 30 Julai 2009.
Sahlah semakin bahaya. Sudah 4 kematian di Malaysia. Malah, saya sendiri menerima nasib dikuarantin selama seminggu di rumah (dari 30 Julai hingga 5 Ogos - sekiranya sakit saya berlanjutan semula selepas 3 hari mulai hari ini, saya perlu segera berjumpa doktor semula). Kata Dr. Saadiah yang merawat saya dan memeriksa pemeriksaan darah, X-ray dan pemeriksaan laporan kesihatan saya, kuarantin di rumah ini memerlukan ketelusan dan kejujuran yang tinggi (sebenarnya tekanan darah, suhu badan dan X-ray gambar dada saya sangat ok...tapi saya suka langkah berjaga-jaga yang dibuat untuk saya walau saya tahu saya akan bosan duduk di rumah tanpa membuat apa-apa - saya sedang berfikir tentang aktiviti berfaedah yang boleh saya lakukan di rumah dalam tempoh 7 hari ini...).
Sungguh! Tidak ada siapa yang mengawal, saya tahu saya bebas ke mana-mana dalam 7 hari ini. Untuk menghilangkan bosan, saya boleh keluar tanpa topeng muka (Dr. Saadiah membekalkan 7 keping topeng muka untuk dipakai jika benar-benar perlu saya keluar dari rumah) dan boleh melepak di mana-mana yang saya mahu. Tapi, saya tahu. Saya perlu jujur. Walau bukan positif H1N1 pun (InsyaAllah saya memang bukan positif H1N1), saya akan menanti hingga tamat tempoh 7 hari ini sebelum meneruskan kehidupan normal semula.
Saya pasti benar, kepada sesiapa yang benar-benar dikuarantin di rumah dan tidak keluar membuta tuli tanpa topeng muka serta tidak sesuka hati melaksanakan aktiviti di luar rumah, sudah pasti H1N1 ini sukar merebak. Malah, amat saya sarankan semua lapangan terbang mewajibkan pemakaian topeng muka. Saya bebas H1N1 di Arab Saudi. Saya pasti, jika benar saya positif H1N1 (InsyaAllah, Allah menjauhkan saya dari penyakit berjangkit yang merbahaya), virus di dalam badan saya pasti berasal dari lapangan terbang di Malaysia.

26 July 2009

Cuti Cuti Malaysia

Cuti, memang untuk berehat. Sementelah saya baru mengharungi satu perjalanan panjang. Malah, ditambah dengan badan yang tidak sihat, sewajarnya saya hanya duduk melepak di rumah saja.

Pun, rupanya kesibukan itu sudah sebati di dalam diri saya kerana pada waktu-waktu biasa, saya akan beroperasi dengan pelbagai aktiviti 24/7. Saya jadi resah dan rasa seolah-olah membuang masa, walau macam-macam saya sudah buat di dalam rumah. Saya rasalah, kalau Microsoft Word di dalam laptop saya boleh beroperasi, rasa-rasanya sudah siap dua tiga biji novel agaknya.

Hendak keluar saja-saja, memang saya tidak gemar. Terutama kalau melakukan aktiviti window shopping. Paling kritikal, saya akan cari mana-mana kedai buku dan lepak-lepak dua tiga jam dan kemudian keluar dari kedai dengan berpuluh-puluh buah buku di tangan dan duit di dalam poket yang akan melayang sehingga hampir RM300.

Tapi, badan saya tidak sihat. Hendak bawa badan pun payah. Lesu, lembik, dengan demam dan selesema yang menyerang. Syukurlah ada 2 sudu beras di dalam bekas beras saya, maka siaplah resepi makanan saya hari ini. Nama resepi saya ; Bubur Nasi Pucuk Paku Johor. Huh, mana saya dapat namanya pun saya tak tahu. Paling pasti, pucuk paku itu dibekalkan emak saya sewaktu saya menghantar emak balik ke kampung dua hari lepas. Rasa bubur saya - sangat sedap kerana langsung tidak ada bahan pengawet dan bahan kimia berbahaya.
Bahan - bahannya ; 2 sudu beras (kerana 2 sudu la saya jadikan bubur, agaknya kalau masak jadi nasi, jadilah dua suap nasi), dua biji kentang saiz kecil, seikat pucuk paku dan sedikit garam. Bahan tambahan ; ikan kering sepat yang digoreng.
Inilah makanan saya hari ini (semalam saya makan nugget dan ayam goreng saja - digoreng sendiri juga).

25 July 2009

Tapak Bina


Nampak tak besi yang digunakan di dalam pembinaan salah satu hotel di Makkah ini? Dalam sehari, lebih kurang 5 kali saya lalu di tempat pembinaan ini dan saya tidak dapat mengesan sebarang karat pada semua reinforcement tersebut. Spacing yang sangat rapat dengan bilangan besi yang sangat banyak serta keseragaman yang sangat jelas.

Sudah jadi habit saya, apabila pergi ke luar negara di mana-mana saja pun, cara pembinaan dan kebersihan sesuatu tapak binaan memang akan menjadi perhatian saya.

Malah, kawasan pembinaan yang ini pula merupakan laluan berjuta-juta (bukan sepuluh atau dua puluh orang ya...) hamba-hamba Allah menuju ke Masjidil Haram setiap masa. Jika di Malaysia, bagaimanakah kebersihan kawasan pembinaan dari habuk dapat dikawal?

Malah, saya rasa kawalan pembinaannya amat jelas. Semua pekerja memiliki kemahiran pembinaan yang tinggi walau di kepala masih tersangkut serban yang akan digantikan dengan topi keselamatan apabila masuk ke tapak bina dan masih bersolat apabila tiba waktunya. Saya rasa Islam bukan hanya setakat dipraktikkan di Makkah atau Madinah, tapi Islam perlu dikekalkan dan dikukuhkan di dalam diri kita walau di mana saja kita berada.

Tidak perlu jadi ulama atau pak imam, barulah hendak mendaki tangga masjid. Islam...ada di dalam diri semua penganut agama Islam. Tidak kira apa title yang dibawanya.




Nampak kesan karat tak pada besi-besi dalam gambar ni? Di Makkah, saya tidak menjumpai sebarang kesan karat pada besi. Tapi, di Malaysia, saya sukar untuk berjumpa besi yang tidak ada kesan karat. Paling dikesalkan, prosedur pada spesifikasi tidak dipatuhi yang menghendaki karat-karat tersebut digosok (dibuang dahulu) sebelum dipasang di tapak bina.

24 July 2009

Kembali

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Alhamdulillah. Hanya lafaz itu yang mampu saya ucapkan usai kaki saya menjejakkan kaki di KLIA pada hari Rabu 22 Julai 2009, lebih kurang pada pukul 1.45 tengahari dengan menaiki penerbangan SV 0832.
Seni keindahan nama Allah di dinding muzium.

Laluan ulang alik hotel - masjid.

Ya, saya kembali. Sama seperti perjalanan-perjalanan kembara sebelum ini, saya pergi, dan saya kembali. Alhamdulillah.

Bermulanya kawasan Tanah Haram.

Jumaat 10 Julai 2009, pukul 2.45 petang waktu Malaysia saya mula meninggalkan bumi Malaysia. Bersama dengan emak saya, kapalterbang yang dinaiki terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Oman kerana terdapat kakitangan kapal terbang yang tidak sihat dan memerlukan rawatan segera. Saat tiba di Jeddah, jam di tangan saya sudah menunjukkan ke angka 9.30 malam waktu Arab Saudi (+5 jam untuk waktu Malaysia ~ 2.30 pagi) - sepatutnya boleh tiba pada pukul 6.30 petang waktu Arab Saudi. Dalam ihram, selepas hampir 3 jam dengan urusan imigresen di Jeddah, terus bertolak ke Makkah dan tiba di Makkah seawal pukul 2.00 pagi waktu Arab Saudi (waktu Malaysia tentu saja sudah pukul 7 pagi). Dalam lemah lesu dan longlai, perlahan saya tarik tangan emak menuju ke Masjidil Haram.

Hamba-hamba Allah seangkatan. Nampak saya?

Belum pun usai saie, azan Subuh sudah berkumandang. Waktu Subuh masuk pada pukul 4.15 pagi. Memang kelaziman suasana di Masjidil Haram, waktu malamnya lebih meriah dari waktu siang. Usai solat Subuh dan tahallul, barulah saya bawa emak balik ke hotel untuk bersarapan dan berehat. Ya, perjalanan yang sangat panjang. 24 jam tanpa rehat. Pun, alhamdulillah. Allah memudahkan urusan-urusan hamba-hambaNya, alhamdulillah.


Kedai buku yang sering saya kunjungi di Makkah.


Hospital Jabal Rahmah. Tahun ini, saya tidak panjat sampai ke atas bukit.

Pernah minum susu unta?

05 July 2009

Rezeki Ulat Tupai Burung


"Banyak buah kat kebun. Berlambak-lambak. Tak sempat nak pungut kat tanah. Yang kat rumah ni pun dah tak termakan. Ada juga mak beri pada jiran..."
Cerita emak saya tentang buah-buah di kebun yang benar-benar menjadi. Manggis, durian dan ciku. Ada juga duku langsat dan rambutan. Dulu, masa ada Allahyarham abah saya, ada saja yang dibuatnya dengan buah-buahan pelbagai jenis itu. Yalah, masa yang macam tu dah berlalu. Rasa kehilangan yang saya rasa tidak akan saya lupakan.
"Takpelah mak. Rezeki ulat. Kalau tak, kasihan pulak kat ulat sebab tak ada makanan. Paling penting, semoga pahala memberi makan ulat-ulat itu untuk arwah abah..."

"Yalah..rezeki ulat, tupai dan burung. Semoga semuanya mendoakan arwah abah...insyaAllah."

"Sedekah yang bersambung....yang hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui...."

03 July 2009

Mengapa Solat Awal?

Saya menerima email ini dari seorang sahabat...

Subject: Kajian Mengapa Perlu Solat Awal Waktu

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak aid ?


Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .