30 November 2009

TQ I Love You



Kebiasaannya apabila kita tulis terima kasih, dalam emel atau teks, kita akan Inggeriskan dan pendekkan perkataan Terima Kasih itu. Kita akan tulis 'thx' atau 'TQ'. Rupa-rupanya dalam bahasa lain, 'TQ' itu bermaksud yang lain. Dalam bahasa Sepanyol, 'TQ' adalah 'Te Quiero' yang bermaksud 'I love you'. Justeru itu kalau kamu mahu menulis terima kasih kepada senior atau senorita Sepanyol, saya cadangkan kamu tulis 'Gracias' sajalah. Tidaklah pula nanti mereka mengendeng-ngendeng kamu kerana disangkakan menaruh perasaan kepada mereka. Kamu pula yang tertanya-tanya nanti.

- saya cuplik kata-kata ini dari sebuah blog yang saya jumpa semasa merayau-rayau.

29 November 2009

Saya Rasa Saya Kurang Tazkirah

Kenapa?

- Sudah seminggu tafsir Al-Quran saya tersadai di atas buku-buku di tepi laptop dan tidak dibuka. Walhal, tafsir itu peneman saya setiap Subuh dan Maghrib, malah sesekali Isya' (kerana Zuhur dan Asar saya di pejabat...lalu usai Zuhur dan Asar, biasanya hanya diisi dengan Ayat 1, 5 dan 7 sahaja...)

- Saya ada rasa malas untuk ambil wudhu' bila waktu sepertiga malam tiba, walhal saya sudah membuka mata. Kukuh betul buhul-buhul ikatan syaithon yang merantai kaki dan tangan saya, menekan-nekan alis mata saya supaya tertutup rapat. Terlupa bahawa buhul-buhul ikatan itu bukannya boleh terurai dengan bahasa lembut dan hati yang lemah. Perlu paksa diri untuk tunjuk kasih pada Allah.

- Solat di waktu bekerja menjadi sangat lambat. Terlalu sangat dengan urusan kerja dan keduniaan. Walhal panggilan Allah lebih utama dari panggilan boss.

- Makan bila lapar. Bila sudah kenyang, sambung kerja semula. Seolah terlupa makan kerana Allah, minum kerana Allah. Hidup kerana Allah. Kurang benar bersyukur.

- Saya tidak berusaha keluar awal dari rumah setiap pagi supaya dapat dengar tazkirah Ustaz Zahazan di Radio IKIM dari Isnin hingga Khamis.

- Asyik berbicara hal orang lain, walhal sudah sering diingatkan pada diri bahawa diam itu lebih baik dari berbicara perkara-perkara yang melalaikan.

- Rasa kurang sabar, kurang ikhlas, kurang tenang dan kurang bersyukur. Hati yang kurang tenang, alpa pada maksud ayat 28, Surah Ar-Raadu.

Lalu, paling terasa bila baca beberapa laman blog Islamik yang menerbitkan rasa insaf di hati. Ya Allah, saya terasa seperti jauh benar saya dari Dia. Saya rasa saya semakin jauh, dan semakin jauh.

Alhamdulillah. Dia tidak pernah melupakan saya. Walau saya berkali-kali terlupakan Dia.

Wajarkah, kita hanya ingatkan Dia semasa kita bersolat sahaja? Semasa kita sedih dan putus asa sahaja? Semasa kita dalam kesusahan sahaja? Semasa kita sedang sakit sahaja?

Bukankah, Dia paling penting dalam hidup kita dan perlu diingati setiap saat dalam kehidupan kita.

26 November 2009

Bukan di Tempat Yang Sama

Dalam perjalanan panjang yang melelahkan, kadang-kadang kita tersadung dan kita tersungkur. Ada yang boleh bangkit segera dan menyambung perjalanan semula juga dengan segera. Ada juga yang perlu ambil masa untuk bangkit, lalu menyambung semula mungkin dengan kelajuan yang sudah berkurang. Paling dibimbangkan, tersadung jatuh dan tidak bangun semula. Lalu, mana satu pilihan kita?

Oleh kerana itu, walau tersadung dan jatuh berkali-kali, biarlah kita jatuh di tempat yang berbeza-beza. Sematkan di hati bahawa kita tidak akan jatuh di tempat yang sama untuk kali kedua. Apabila jatuh dan jatuh, belajarlah kerana pengalaman merupakan seorang guru yang tidak jemu menjadi penunjuk arah dalam menentukan perjalanan kita agar kita tidak akan memilih laluan yang salah untuk tersadung dan jatuh lagi.

22 November 2009

Untuk Kali Pertama Ia Hadir Dalam Hidup Saya

Usai sudah exam saya. Satu minggu tidak ada di pejabat. Lebih tepat, empat hari.

Tanpa disangka-sangka, saya dikejutkan dengan satu berita lain pula. Sungguhlah. Allah Maha Pengasih. Allah Maha Penyayang.

Pun, tiba-tiba....ada rasa sedih di hati.

Sukar untuk diungkapkan, namun jauh di sudut hati saya, saya tahu....ada rasa sayu yang teramat yang tidak terluah.

Semoga Allah memudahkan urusan saya, untuk urusan dunia mahupun urusan akhirat, InsyaAllah.

14 November 2009

Alam Semulajadi Yang Indah

Saya memang sukakan alam semulajadi. Malah, mungkin sukakan sesuatu yang sangat lasak dan mencabar.

Dari kecil, kehidupan kampung menjadikan saya seorang anak kecil yang lasak. Pada usia 2 tahun, saya sudah berlari mengikut abang dan seorang anak jiran pergi mengaji di hujung kampung pada waktu malam. Malah, saya sudah cuba-cuba untuk memanjat palang basikal tua yang tinggi dan besar.

Pada usia 3 tahun pula, saya sudah pernah disengat tebuan tanah sewaktu mengikut arwah abah saya membakar sampah bagi menerangkan kawasan. Semua orang risau. Emak juga. Tapi, saya buat muka selamba sambil 'suka' melihat muka saya yang bengkak-bengkak. Seminggu baru hilang bengkak.

Apabila masuk usia 4 tahun, saya sudah boleh mengenal huruf dan pada usia 5 tahun, saya sudah boleh membaca tulisan rumi. Abang rajin mengajar saya, dan saya amat rapat dengan abang saya. Pada usia 7 tahun pula, saya sudah lancar membaca tulisan jawi. Pada usia 8 tahun, saya sudah boleh menaiki basikal walaupun berulang-kali jatuh hingga berdarah-darah pun, semangat saya tidak pernah pudar.

Hasilnya, zaman kanak-kanak saya dipenuhi dengan bermain senapang terung pipit, memanjat pokok, bermain dan membuat ran (tau apa itu ran? sila rujuk Kamus Dewan...) malah masuk ke sungai, berenang dan menangkap ikan, mengikut arwah abah memasang jerat ayam hutan dan burung wak-wak, masuk ke kebun kelapa sawit, mengikut arwah abah mencari buluh dan rotan, masuk ke hutan, memancing, bermain bola sepak bersama kawan-kawan abang, memanjat stor baja (ini paling saya ingat sebab bangunan setinggi 5 meter itu saya boleh panjat bare-hand...nakalnya zaman kecil-kecil dulu...) dan tidak ada langsung masa saya yang penuh di rumah pada hari tidak bersekolah.

Uniknya, pada usia 7 tahun saya sudah bertudung. Pada usia 8 tahun, saya sudah bersekolah di Sekolah Agama Kerajaan Johor di sebelah petang (sebenarnya boleh masuk sekolah ini pada usia 9 tahun...tapi sebab saya sudah lancar membaca jawi, jadi saya dibenarkan masuk oleh cikgu sekolah tersebut...) di samping sudah tahu menguruskan rumah - basuh pinggan dan jaga adik saya yang masih bayi kerana emak saya bekerja. Paling best, saya selalu lambat ke sekolah sebelah petang. Kelas yang bermula pada 3.30 petang, saya perlu tunggu arwah abah saya balik dahulu sebab takde sapa nak jaga adik dan....hehe....part paling best adalah bila nampak aje motor arwah abah saya pada 3.25 petang, saya yang sudah siap berkasut sekolah di depan pintu terus capai beg dan berlari....ya...berlari di belakang rumah-rumah jiran ke sekolah yang jaraknya lebih kurang 1.2km dari rumah saya. Saya akan tiba dalam masa kurang dari 4 minit.

Sangat kelakar....sebab saya berlari dengan baju kurung dan bertudung lengkap. Yalah...pergi ke sekolah agama. Masuk saja ke kelas dan terus angkat tangan, baca doa memulakan kelas. Cikgu selalunya faham keadaan saya, dan cikgu tidak risau kerana walaupun saya yang paling muda dalam kelas tersebut (style Sekolah Agama Kerajaan Johor di zaman saya dulu - sekiranya ambil peperiksaan dan tidak lulus keseluruhan, atau tidak lulus subjek wajib seperti Ibadat dan Tauhid, jadi tidak boleh naik darjah - jadi waktu saya di Darjah 3 pada usia saya 10 tahun, di dalam kelas tersebut ramai abang-abang dan kakak-kakak yang ada sebahagiannya sudah pun berusia 15 dan 16 tahun) tapi saya selalunya score...eceh, perasan hebat la pulak...

Jadi, saya membesar dalam suasana yang sering berlari di dalam kawasan kampung. Masa sangat suntuk bagi saya, masa bila mahu bermain (tentulah...sebab masih anak-anak kan?), mahu basuh pinggan, masak (pada usia 10 tahun, saya sudah mula memasak...yalah, anak perempuan sulung dalam keluarga..), baca buku, baca kitab, pergi mengaji, jaga adik...jadi masa sangat berharga dalam kehidupan saya.

Bila saya semakin membesar, naluri saya yang sukakan alam seakan-akan terpinggir. Saya sudah masuk ke sekolah berasrama pada usia 13 tahun lagi. Jadi, suasana bandar mula memenuhi persekitaran saya dan menjadikan saya 'kaku'.

Pun, semasa di sekolah menengah, saya berpeluang memanjat Bukit Pelindung di Kuantan sebanyak dua kali (sekali saja yang meredah hutan dari sebelah Laut China Selatan...sekali lagi meredah laluan jalan tar dari bahagian depan) dan semasa di universiti, saya juga pernah memanjat sebuah bukit di Perak.

Waktu mula bekerja dan ditempatkan di jabatan yang menguruskan hal-hal air....saya berpeluang menyusur Sungai Perak dan Sungai Selangor dengan menaiki bot. Malah, saya dapat masuk ke kawasan empangan yang berada di tengah-tengah hutan. Huhu. Sungguh best.

Malah, pada masa-masa ini juga, saya merancang aktiviti bersama seorang sahabat pada hari cuti memanjat Gunung Nuang. Ya, berjaya sampai ke puncak dalam tempoh 3 jam sahaja.

Kemudian, apabila sudah ditempatkan di jabatan sekarang ini, aktiviti-aktiviti alam semulajadi saya seperti sudah berkubur. Hanya sekali, pernah meredah Pulau Redang di Terengganu dan membuat pelbagai aktiviti laut bersama kawan-kawan. Selain dari itu, pernah juga meredah Kota London dan Kota Paris (aktiviti yang dibuat juga bersama kawan-kawan sekadar untuk mendapatkan maklumat tentang suasana kota-kota tersebut yang langsung tidak ada kaitan dengan alam sekitar...) dan pernah menziarah kota kelahiran dan kewafatan Rasulullah SAW.

Jadi, itu baru intro saya untuk entri kali ini. Hehe....panjangnya intro.

Jadi....bila saya sudah 'ditinggalkan tanpa sengaja' dalam satu aktiviti memanjat Gunung Kinabalu yang dibuat pada 7 November lepas kerana kesilapan teknikal...saya rasa amat frust.

Tapi, takpe. Semalam, kawan saya sudah datang ke rumah dan membawa 2 helai t-shirt Kinabalu, dua keping kek lapis beserta gambar-gambar yang membuatkan saya rasa sangat cemburu! Lalu, katanya kepada saya - takpe, kalau nak pi nanti, tak kisah pun nak pi sekali lagi untuk temankan. Tapi kali ni kita ikut trail rock climb ya...rupanya ada dua jalan naik ke puncak - satu, menggunakan tangga (huhu...dah siap laluan, cuma pastikan ada kekuatan kaki dan lutut sahaja untuk memanjat) - dan satu lagi lebih mencabar. Anda semua sendiri boleh tau saya akan memilih trail/laluan yang mana...hehe.... (sebab tu saya sendiri takut dengan aura nakal saya...).


Ini bukan kawan saya. Sekadar gambar trail sahaja. Tak susah nak naik gunung kalau ada yang macam ni...

Tapi...cantik dan menenangkan betul. Cuba tengok gambar-gambar kat bawah ni...





dan gambar yang membuatkan saya sangat jealous...



Untuk pengetahuan anda semua, puncak Kinabalu merupakan puncak tertinggi di Asia Tenggara.

InsyaAllah, ada rezeki saya...saya akan berpeluang juga memanjat gunung ini. InsyaAllah.

12 November 2009

Entri 212 Yang Gembira

Assalamualaikum warahmatullah...

Sungguh ianya mudah. Saya sudah mendapat 'diri' saya semula. Kalau mahu katakan ianya seperti :-

kekuatan
semangat baru
ketenangan
ketabahan
rahmat
hidayah
redha-Nya

pun ianya mungkin disusun dan terpamer dalam satu kategori yang sama.

Saya mungkin terlupa lagi. Satu perkara lagi. Senyum. Ini kan trademark saya. Haha.

Sebenarnya walau saya duduk dalam 'gua' saya lama-lama pun, saya masih jua tersenyum. Tapi, kalau orang lain tidak merasakan pahit dan kelatnya senyum plastik saya itu, diri saya sendiri yang mempamerkan senyum plastik itu dapat merasakan pahit dan kelatnya - sungguh tidak best. Saya kan selalu senyum dengan seikhlas hati. Sebelum duduk di dalam gua. Ok. Selepas ini tiada lagi senyum plastik. InsyaAllah.

Saya akui, lama benar tempoh saya menginap di dalam 'gua' saya kali ini hingga saya terlupakan kehadiran 'diri' saya yang satu lagi. Berapa lama agaknya? Ya...memang benar-benar lama kerana seingat saya dalam tempoh lebih dari satu bulan. Sebab, selalunya 'gua' saya tu macam ala-ala hotel je....saya outstation dua tiga hari dan kemudian saya keluar balik. Tapi kali ini? Lama pula outstation saya kali ini.

Alhamdulillah. Saya sudah check-out dari 'gua' saya. Semalam sebelum pukul 12 tengahari. 11.11.2009. Nasib baik dapat keluar segera mengikut masa yang ditetapkan sebelum dihambat oleh pak pertapa gua yang sudah tentu akan charge saya lebih kalau saya duduk lebih masa.

OK. Selamat tinggal 'gua'.

Isnin 9.11.2009, saya balik ke rumah seawal 9 malam. Dari Putrajaya.
Selasa 10.11.2009, saya balik ke rumah seawal 6 petang. Dari pejabat.
Rabu semalam, saya balik ke rumah seawal 8.30 malam. Dari rumah kakak ipar saya.

Apa yang seronoknya dengan hari Rabu? Kalau berjumpa dengan anak-anak-anak-anak-anak saudara saya (sudah 5 orang sekarang ini) memang saya rasa amat seronok. Penghilang keresahan hati bila dapat tengok budak-budak yang comey-comey ni.

Si abang sulung, usianya 7 tahun, kalau jumpa saya, selepas dia salam dan cium tangan saya, masih cium saya di tiga tempat. Pipi kanan. Pipi kiri. Dahi. Saya jua akan cium dia di tiga tempat. Pipi kanan. Pipi kiri. Dahi. Kemudian saya akan peluk dia. Kemudian kami akan main guling-guling sebab saya akan menggeletek dia. (Attention : sejak dia baby hinggalah dia sudah besar begini, memang rutin itu tidak berubah malah sudah terjangkit kepada keempat-empat adik-adiknya). Jadi semalam bila saya mahu peluk dia, dia berulang-ulang pesan - Mak Ngah jangan geletek ya. Saya rasa sebab dia baru lepas makan mi sup. Roti canai. Perut dia masih penuh. Jadi saya tidak geletek dia. Saya memang pegang pada janji. Lagi satu, muka dia memang sebiji muka saya. Ada beberapa kawan-kawan saya kata, macam tampal muka dia tu dan letak atas muka saya. Eh, sama ke agaknya? Maknanya muka saya comey macam budak 7 tahun la? Haha. Perasan.

OK. Si abang nombor dua pula. Usianya 5 tahun. Best. Dia tunjuk robot singa dia yang abi dia (abang saya la...) baru beli sebab dia dapat nombor 1 peperiksaan lepas. Anak nombor dua (sama macam saya) jadi, ikut mood dia mahu peluk-peluk saya. Tapi kalau sudah peluk, susah mahu lepas. Saya faham. Kami yang nombor dua ni (siapa lagi nombor dua? sila angkat tangan....) memang anak nombor dua sukar menunjukkan kasih sayang. Mereka sangat manja, ada rasa sangat sayang pada semua orang di dalam hati, tapi sudah tentu akan dipendam-pendamkan dengan sangat lama, dan kadang-kadang akan terus menyiksa diri. Jadi, saya faham karakter anak saudara saya ini. Lagi satu, tentulah suka mengusik. Sebabnya, dia suka mengusik saya kalau dia nampak saya sedang baring-baring ke, hingga saya pun akan bangun dan akan kejar dia dan usik dia sampai menangis-nangis. Best kan? Haha. (Kadang-kadang, saya amat takut dengan 'aura nakal' saya yang terkadang melebihi had laju lebuhraya di Malaysia...)

Si kakak nombor tiga. Usianya 4 tahun. Huhu. Sangat manja. Tapi sebab saya bukan anak nombor tiga, saya tidak dapat menyelami sesungguh hati perasaan anak nombor tiga ini. Pun yang saya dapat perhatikan, kalau dia kata A, A lah. Kalau B, B lah. Saya juga mendapati dia sukakan perhatian. Kalau saya lebihkan perhatian itu untuk dia, tidak apa. Badannya kecil, jadi dia suka main guling-guling dan berbuai-buai bila saya peluk dia. Sebab saya buat juga untuk adik dia yang nombor 4. Jadi, dia pun mahu main buai-buai. Sungguh seronok.

Si kakak nombor 4, usianya 2 tahun. Ini, usah kira manjanya dengan saya. Saya rasa dengan saya saja. Kalau sudah lama tidak jumpa, dia akan peluk saya dan kepalanya didaratkan di atas bahu saya dengan sangat lama. Sehingga lebih setengah jam. Usia baru dua tahun, tapi sudah boleh ikut saya balik ke kampung dan duduk di kampung sehingga 3-4 hari walau umi dan abinya tidak ada. Paling penting, mak ngah ada. Haha.

Adik nombor 5. Usianya genap 2 bulan hari ini. 12.09.2009 dia dilahirkan. Hari ini sudah 12.11.2009. Saya masih belum tahu karakternya. Tapi seperti biasa saya memang sukakan baby dan budak-budak kecil, jadi bila saya jumpa dia saya akan cium dia puas-puas.

Wah...tiba-tiba saya ada rasa rindu, walau baru semalam saya berjumpa dengan mereka berlima.


Kakak nombor 3 dan nombor 4.


Adik nombor 5.

08 November 2009

Rehat dan Rawat

Saya rasa macam mahu berhenti sebentar.

Berhenti.

Berhenti bernafas.

Berhenti dari menarik nafas.

Saya mahu menahan nafas saya hanya di sini.

Nanti-nanti saya sambung semula kehidupan ini.

Saya lelah.

Menarik nafas ini, buat saya benar-benar penat.

Letih dan lesu.

Teramat.

Saya mahu berhenti sebentar dari menarik nafas.

Saya mahu kutip kekuatan semula.

Kekuatan yang sudah semakin hilang.












Bolehkah tunjukkan saya di manakah kekuatan itu boleh diperolehi?

03 November 2009

Atas IzinMu



Bersendirian tak bermakna keseorangan...
Allah sentiasa bersama-samamu...
InsyaAllah...