17 December 2010

Menipu Tetapi Tertipu Dengan Dunia

Lima bulan lepas.

"Cik, kami nak serahkan beberapa dokumen dalam kotak-kotak ni". - Saya memandang dua kotak kertas saiz A3 berwarna kuning di atas troli di hadapan saya.

Saya memandang ruang kerja saya yang agak padat. Mana mahu diletakkan dua kotak sebesar itu, mahu memeriksanya lagi. Sedangkan saya sudah mahu menghadiri mesyuarat penting. Lalu saya ungkapkan : Letak saja kat tepi tu. Ni semua cukup ke? (Ya...dalam kesibukan saya, memang saya sangat mementingkan masa - tidak sempat mahu menyemak dokumen-dokumen dalam kuantiti banyak begitu satu persatu...).

"Belum cukup lagi cik. Ada yang belum hantar lagi pada kami. Tapi kami hantar dulu yang ni....cik tolong sign penerimaan ni dulu...". - Lalu saya menandatangani beberapa surat perakuan penerimaan tersebut.

Hari ini.

Seorang pegawai saya di pejabat menelefon : "Diorang bagitau diorang hantar tujuh kotak dan boss semak all the documents satu demi satu sebelum sign surat perakuan tu...kat atas surat perakuan penerimaan tu ada tulis dokumen diterima dengan lengkap dan sempurna...tak ada lagi yang diorang belum hantar...".

Pada masa bila ia menjadi tujuh kotak?

Pada masa bila ruang bilik saya yang padat dengan pelbagai benda mampu memuatkan tujuh kotak besar-besar begitu? Dua kotak pun sudah sukar mahu diletakkan...

Pada masa bila saya menyemak dokumen-dokumen sebanyak tujuh kotak satu demi satu?

Pada masa bila saya memperakui dokumen diterima lengkap sempurna?

Marahkah saya?

Tidak. Saya tidak marah. Saya kasihan pada orang yang menipu di dunia, kerana mereka masih JAHIL tentang azab di akhirat nanti. Saya rasa sangat kasihan. Saya rasa saya mahu memberikan hadiah terbaik untuk mereka apabila saya bertemu mereka nanti kerana azab di akhirat nanti amat pedih dan tidak tertanggung berbanding derita dunia yang hanya sementara.

Jika orang lain menyatakan mereka betul pun, saya tetap yakin kepada Allah yang Maha Mengetahui. Jika satu dunia menyatakan saya salah pun, saya tetap menanam sepenuh keyakinan kepada Allah yang Maha Berkuasa.

Menanglah di dunia. Di akhirat nanti hanya Allah yang Maha Menolong - jika kita sentiasa menjadi orang yang menuturkan kata-kata yang benar, berperilaku yang benar dan menjalankan tugas yang diamanahkan ikhlas keranaNya sahaja. InsyaAllah.

Saya tetap yakin sepenuhnya kepada Allah Maha Besar.

27 November 2010

Suratkhabar 'online'

Dulu, saya suka membeli suratkhabar. Malah, bukan hanya satu jenis suratkhabar, terkadang sehingga tiga atau empat jenis suratkhabar yang saya akan beli dan baca satu demi satu setiap mukasurat. Saya yang sukakan informasi, membaca menjadikan saya seorang yang bukan saja memiliki pengetahuan tentang kerja saya, tetapi juga pengetahuan tentang isu-isu semasa.

Pun, apabila timbunan suratkhabar semakin menimbun dari sehari ke sehari, dan bersama kesibukan memang tidak sempat untuk melakukan sebarang proses jual suratkhabar lama, lalu saya mula memikirkan alternatif.

Alternatif yang saya temui adalah suratkhabar 'atas talian' atau 'online'. Mudah. Tidak perlu mengeluarkan wang (untuk laluan internet memang perlu, tetapi boleh digunapakai untuk melawat laman web lain juga) dan juga menjimatkan ruang di dalam pondok kecil saya.

Habit pun mula berubah. Tiba saja di pejabat, saya akan mula membuka satu demi satu suratkhabar online. Walaupun kepuasannya berbeza dengan memegang suratkhabar di tangan, perlu menunggu satu-satu tajuk dipaparkan (terutama jika laluan internet tiba-tiba menjadi sangaaattt lembab), namun dalam setiap inci kehidupan kita memang akan dipenuhi dengan pro dan kontra pelaksanaan sesuatu perkara.

Usai membaca suratkhabar, saya akan mula membuka email pula. Rutin harian di pejabar sambil menikmati sarapan pagi di meja kerja. Oh...amat saya merinduinya.

Lalu, apabila saya diarahkan untuk melaksanakan tugas dalam satu jangkamasa lama di tempat yang jauh dari pondok kecil saya, maka saya lebih menghargai kewujudan suratkhabar online.

Ironinya di sini saya tidak akan berjaya menemukan suratkhabar-suratkhabar biasa di awal pagi. Suratkhabar tersebut hanya akan dijual di kedai-kedai seawal 11 pagi. Jika ada pun, hanya suratkhabar yang dikeluarkan oleh negeri ini saja.

Ya, kita yang jarang bersyukur apabila ditempatkan di kawasan sendiri. Pun, apabila ditempatkan di suatu daerah asing yang lain, baru benar-benar mampu merasai nikmat hidup walau dipenuhi kekurangan di kawasan sendiri.

Sesungguhnya saya amat-amat merindui pondok kecil saya. Semoga Allah mengurniakan sepenuh ketabahan kepada saya mengharungi kerinduan ini...insyaAllah.

10 November 2010

10 Hari di KK - 3

Sambung lagi.

7 Nov 2010. Bersama dua orang rakan, kami ke Pasar Gaya. Pasar di tengah Kota Kinabalu, kata sahabat saya sama konsepnya dengan Pasar Tamu. Tidak ada niat untuk membeli apa-apa, kami hanya berjalan-jalan melihat suasana pasar.


Hamster.


Ikan.


Puppy & cat.


Dalam perjalanan balik ke rumah.

8 Nov 2010, pagi saya di KK dan petang sudah berada di tapak di Tuaran. Walau dalam hujan, saya masih cuba melaksanakan tugas sebaiknya.

9 Nov 2010, hanya berada di KK. Pun, pada sebelah pagi sebelum bertolak ke pejabat, saya sudah berjaya check-in untuk balik ke Semenanjung pada 10hb. Pada tengaharinya pula, saya ke Karamunsing, cuba melepaskan ketegangan pelaksanaan kerja - konon2 - sambil cuba melihat keadaan di Karamunsing.

10 Nov 2010, pagi yang menyeronokkan sebetulnya. Alhamdulillah. Penerbangan petang ini akan membawa saya ke Semenanjung, insyaAllah. 10 hari di Sabah...menyaksikan kesabaran saya yang cuba dipraktikkan sepenuhnya. Sungguh, Allah banyak membantu saya melalui 10 hari di sini. Terima kasih, Ya Allah.

08 November 2010

10 Hari di KK - 2

1 November. Saya ke Keningau dan Likas.




Gambar menunjukkan laluan dari Kota Kinabalu ke Keningau ke Kota Kinabalu.

2 November. Saya ke Papar, kemudian terus ke Kota Marudu.

3 November. Berada di Tandek (dekat dengan Pitas), dan kemudian di Tuaran.

4 November. Mesyuarat di Kota Kinabalu.

Petang 4 November, apabila duduk berseorangan kerana teman serumah ke Sandakan, barulah saya mencapai kotak ini.


Saya buka satu persatu dan cuba memasangnya dengan sabar.




5 November, saya masih berusaha memasangnya dari pukul 6 pagi dan hanya berjaya disiapkan pada pukul 11 pagi. Sungguh apabila tidak ada banyak aktiviti yang hendak dilakukan, apa saja aktiviti yang ada mampu menjadi aktiviti yang menyeronokkan (oh..kalau di semenanjung, banyak xtvt yang memberi manfaat kepada orang lain dapat dibuat...).



Alhamdulillah. Siap. Saya suka Son Goku. Dari dulu lagi.


6 November. Pergi ke Api-Api Centre. Menemankan teman serumah (saya rasa kalau dia tiada di KK bersama saya, sudah tentu tiada siapa yang menyedari kewujudan saya yang asyik duduk di rumah saja pada hari cuti...) menguruskan hal-hal peribadinya.

Semoga Allah memudahkan urusan saya, memudahkan semua urusan umat Islam di dunia ini jua. InsyaAllah.

07 November 2010

10 Hari di KK - 1

Saya memulakan perjuangan saya semula apabila mula menaiki penerbangan 3.30 petang menggunakan pesawat MH 0068 yang bertolak dari KLIA ke KKIA pada hari Ahad, 31 Oktober 2010. Agak awal saya tiba di KLIA, lagipun adik saya jua mahu menghantar isterinya balik untuk bertugas pada hari Isnin.

"Cik, gate belum buka lagi. So, belum boleh masuk lagi", itu pesanan petugas di kaunter sewaktu saya meminta boarding pass saya dicetak (habit saya suka check-in di internet - pilih tempat duduk yang disukai - pergi airport dan minta petugas MAS print-kan boarding pass). Saya hanya tersenyum dan mengangguk, menarik dua buah beg saya untuk didaftarkan di kaunter C pula. Selesai memasukkan beg, saya segera menuju ke surau untuk solat jama' Zuhur dan Asar. Sudah tahu penerbangan 3.30 ptg dijangka tiba paling awal pun 6.05 ptg, dan pengalaman semasa di KK sudah memberitahu bahawa waktu Maghrib di sana masuk pada pukul 5.59 ptg. Jadi, paling sesuai solat di KLIA sahaja.

Usai solat, saya mencari sedikit buah tangan untuk kawan-kawan di KK. Apabila jam sudah menunjukkan pukul 2.45 ptg, saya mula mengatur langkah ke pintu B4 seperti yang tercatat di atas boarding pass saya.

"Cik, sekarang penerbangan lain. Untuk ke KK belum buka lagi...minta dengar pengumuman kalau ada pertukaran gate lain ya...".

Aduss! Almost 3 pm, sedangkan masa untuk boarding tercatat pada boarding pass pun pada pukul 3 petang. Saya berjalan ke Jonker Walk, membeli sebotol air mineral dan duduk lepak-lepak sambil melihat petugas MAS menyediakan kelengkapan sebuah pesawat lain.


Telinga pula sentiasa cuba mendengar pengumuman penerbangan oleh petugas di KLIA, namun MH 0068 tidak disebut langsung. Apabila tidak disebut, secara automatiknya memang tidak ada pertukaran gate.


Lantas, saya bangun dan segera menuju ke gate B4. Rupanya memang tidak ada pertukaran gate, dan penerbangan ke KK sudah boleh masuk. Masuk saja, saya terus nampak boss saya duduk seorang diri. Lalu, saya mengucapkan salam dan terus duduk di hadapannya.

"Oh...balik ke sana hari ni juga?".

Saya hanya mengangguk. Dia ke KK untuk outstation, tapi perkataan 'balik' itu membuatkan hati saya sedikit tersentuh. Saya pun outstation juga, cuma outstation saya lama sedikit....(hanya mampu diucap dalam hati). Perbualan bersama yang sudah jarang dibuat kerana saya sering tiada di pejabat, malah boss saya yang juga sibuk dengan rutinnya, disambung di situ. Ya, dia punya banyak cerita. Usia sudah di awal 50-an, nasihatnya dari segi kerja amat banyak kepada saya. Pun, apabila seorang boss lain (juga usia di awal 50-an) menghampiri kami, dia menukar topik lebih kepada perbualan santai. Tidak mahu nampak 'tegang' berbicara tentang hal kerja.

Tidak lama selepas itu, pengumuman untuk menaiki kapal terbang dibuat, dan hati saya yang sudah sayu menjadi bertambah sayu. Memang sudah set (jika ada izin Allah) saya mahu balik ke semenanjung semula pada 10hb Nov, tapi pada saat itu masa balik yang belum ditetapkan membuatkan saya tidak dapat meneka tempoh perjuangan saya kali ini.

Kapal terbang yang bergerak pada kelajuan 850km/j membolehkan saya bersama dua orang boss dan dua orang pegawai lain tiba di KKIA pada pukul 6.15 petang (nampak cerah di semenanjung, bumi KK sudah gelap gelita pada 6.15 petang). Selesai ambil beg, dua orang sahabat saya di KK yang menjemput saya bersama dua sahabat lain (kami berlima semuanya) menuju ke Jesselton Point.


Kedai Nasi Padang yang best (tidak banyak kedai makan yang dapat disesuaikan dengan selera saya di bumi KK ini - niat mahu memasak jua entah bila kerana asyik pergi balik semenanjung saja) jua tidak dapat menghilangkan kesayuan saya apabila saya hanya makan sup tulang sahaja. Sup tulang itu mengingatkan saya kepada sup tulang yang best yang saya makan di bumi Semenanjung sehari sebelumnya, walau rupa dan rasanya sangat lain.


Selesai makan, kami terus balik ke rumah - bukan hotel. Saya penat, tambahan pada hari esoknya sudah menanti pelbagai tugasan yang menuntut pelbagai rasa. Hanya mampu berdoa, semoga dipermudahkan Allah dan semoga sentiasa dilindungi dan diredhai Allah. InsyaAllah.

30 October 2010

Beg Plastik RM 0.20

Hari ini hari Sabtu. Untuk yang biasa membeli-belah, tentu tahu 'trademark' hari ini. Untuk yang tidak biasa, sesekali masuk ke pasaraya pasti akan sedikit terkejut. Terutama jika membeli barang-barang dalam kuantiti yang banyak.

Sejak kempen Hari Tanpa Beg Plastik diperkenalkan pada setiap hari Sabtu, di dalam beg saya akan sentiasa diletakkan satu beg kain 'folded' (boleh dilipat hingga menjadi sebesar sapu tangan) dan akan dibawa sepanjang masa walaupun bukan pada hari Sabtu. Terkadang, pada hari lain pun saya tidak pernah meminta beg plastik dan lebih suka menggunakan 'beg kain' saya.

Selalunya, saya akan akur saja pada Hari Tanpa Beg Plastik, walaupun terselit sedikit rasa terkilan tidak puas hati dengan beg plastik yang masih boleh digunapakai pada hari Sabtu dengan bayaran RM 0.20 untuk satu beg plastik. Ya, nilainya terlalu rendah, dan pada saya ia tidak menyumbang sedikit pun kepada kempen Hari Tanpa Beg Plastik dan untuk menyelamatkan alam sekitar.

Mengapa?

Dua minggu lepas saya telah pergi ke sebuah pasaraya pada hari Sabtu. Apabila membeli beberapa barang yang agak besar, beg kain saya tidak muat. Lalu, saya 'membeli' sebuah beg plastik dengan harga RM 0.20 di kaunter pembayaran. Jurujual di kaunter memberikan beg plastik yang agak besar. Lalu, ruang kosong yang masih berbaki itu menyebabkan saya berjalan ke ruangan-ruangan lain untuk membeli pelbagai barangan dengan diisikan ke dalam beg plastik yang besar itu. Untuk nilai RM 0.20, saya boleh membeli pelbagai barangan lain, dan saya masih menyumbang kepada masalah pencemaran alam sekitar.

Jika harga beg plastik ditinggikan lagi, saya rasa saya tidak akan berusaha membawa 1 'folded bag', malah mungkin dua atau tiga 'folded bag' untuk mengelakkan saya 'terpaksa membeli' beg plastik di kaunter pembayaran. Lalu, Hari Tanpa Beg Plastik akan menjadi lebih bermakna. Bukan saja kepada saya, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia.


Petang tadi, saya pergi ke sebuah kedai runcit. Beg saya agak besar hari ini, lalu empat barang-barang yang saya beli saya letakkan di dalam beg saya. Selepas itu, saya ke kedai lain pula. Saya membeli sebotol 'shower cream' 1 liter beserta refill 600ml. Pekedai di kedai tersebut meletakkan barang belian saya di dalam sebuah beg plastik dan tidak dikenakan caj 20 sen. Saya yang sering bertanya, terus saja bertanya kepada pekedai tersebut.

"Eh...hari ni Sabtu, kedai ni takde kempen Hari Tanpa Beg Plastik?"
(Sebenarnya, saya lebih suka tidak diberikan beg plastik dan memasukkan belian saya ke dalam beg tapi saya juga mahu menyelami perasaan pekedai itu yang sengaja tidak mengambil 20 sen bagi setiap beg plastik yang diberikannya..)

"Dik...kedai ni tak ikut. Bukannya apa, nak charge 20 sen untuk sekeping beg plastik, tak berbaloi langsung. Ramai orang masih guna beg plastik pada hari Sabtu. Tak menyumbang pada alam sekitar pun. Kalau nak charge, baik charge mahal terus dan orang akan lebih berhati-hati nak membeli barang dan diisi dalam beg plastik. Lagipun, cuba adik fikir kalau di pasaraya besar-besar, kalau satu beg plastik di-charge 20 sen dan setiap orang secara purata membeli satu beg plastik pada hari Sabtu, kalau yang pergi pasaraya tu 50 ribu orang, satu minggu je diorang dah dapat 10 ribu ringgit...4 minggu tu satu bulan, senang-senang je dapat 40 ribu ringgit untung dengan jual beg plastik je. Itu baru satu pasaraya, kalau ada 500 pasaraya, nampak keuntungan yang merugikan rakyat Malaysia kan...tapi rakyat Malaysia tak nampak sebab kita selalu nampak apa yang kita hulur je mungkin 20 sen, 60 sen...tak nampak yang kalau semua orang buat macam kita buat, memang keuntungan pasaraya jual beg plastik je dah sangat banyak...dan alam sekitar pun masih macam tu juga. Dahlah alam sekitar tercemar juga, dan rakyat Malaysia menghulurkan duit pula untuk mencemarkan alam sekitar...jadi kedai ni tak nak buat macam tu...mintak maaflah dik...akak ni cakap banyak pulak...".

Saya tersenyum, menyatakan tidak kisah dengan luahannya, mengucapkan terima kasih dan kemudian saya keluar dari kedai tersebut sambil berfikir panjang.

Ya, benar kata-katanya.

Alam sekitar masih tercemar. Dan rakyat Malaysia terus menghulurkan duit dan menyumbang kepada pencemaran tersebut. Lalu, apa akan terjadi kepada alam sekitar? Apa akan terjadi kepada rakyat Malaysia? Apa akan jadi pada beg plastik?

Bolehkah dikuatkuasakan terus supaya 'TIADA BEG PLASTIK' pada hari Sabtu dan jika perlu buat pelaksanaan kempen-kempen seumpama ini dua atau tiga kali dalam seminggu. Kemudian, baru akan nampak keberkesanan kempen yang dilaksanakan, insyaAllah...

Tujuan pelaksanaan kempen adalah untuk menjaga alam sekitar. Bukan untuk menjaga kepentingan lain.

# sekadar cadangan dan memaparkan luahan hati seorang pekedai pada hari Sabtu...

27 October 2010

Hati Putih Bersih Milik Semua

Hati putih bersih. Tiada noda hitam. Tiada apa-apa. Polos.

Ingin benar jadi begitu.

Tiada syak wasangka. Tiada sangka buruk. Tiada niat jahat. Tiada rasa dengki dan iri hati. Hanya sekeping hati putih bersih yang mengharapkan redha Allah dalam amalan dan perlakuan seharian. Tiada rasa ingin mengambil kepentingan duniawi. Tiada rasa ingin mengharap balasan keduniaan. Tiada rasa keji. Tiada rasa sakit hati. Tiada rasa pedih apabila disakiti.

Oh...hati putih bersih yang sangat baik dan hanya mengingatiNya sahaja. Bilakah saya akan mendapatkannya? Saya teringin memiliki hati putih bersih yang hanya ada Allah di dalamnya dan hanya ada Allah kerananya...insyaAllah...
*Jika semua manusia di dalam dunia ini memiliki sekeping hati putih bersih yang polos dan suci serta dipenuhi ikhlas keranaNya sahaja...alangkah indahnya dunia ini dan alangkah berserinya akhirat kita di sana...dipenuhi dengan rahmat dan redhaNya...insyaAllah...

Bermula Perjuangan Saya

Lama saya tidak menulis di sini. Kekangan masa dan tugas. Sangat sibuk. Pun saya tetap mencuba mencari ruang untuk menulis, seperti saat ini, walau sebentar lagi saya perlu ke beberapa lokasi untuk menguruskan kehidupan saya.

Baru saja tiba dari Sabah semalam. Flight 5.30ptg dari Kota Kinabalu dan tiba di KLIA seawal 8.15 malam. Solat jama' takhir Maghrib dan Isya' di masjid KLIA yang sentiasa lengang sebelum bertolak pulang ke rumah. Ya, sejak 21 Oktober, kehidupan saya totally berubah. Semenanjung bakal jadi tempat persinggahan saja sementelah masa saya yang lebih banyak di Sabah.

Oh...sungguh homesick!!! (luahan hati paling dalam yang sangat sayu...)

Saya masih mencari ruang hikmah arahan pelaksanaan tugas untuk diri saya di Sabah. Sungguh, hikmahnya banyak, dan redha Allah jua ada bersama saya. Lalu, masih terngiang-ngiang cerita sahabat saya : satu negeri yang diberikan kepada saya sama saja seperti berlaku kepada seorang pemimpin yang sabar dan menerima banyak tentangan dan cabaran, pun beliau masih menelusuri kehidupannya sama seperti sebelum dia menjadi seorang pemimpin.

Jadi, Sabah itu...perlu saya lalui seperti biasa, sebelum saya diarahkan ke sana, seperti itu jualah pelaksanaan tugas saya di sana. Usah berubah ke arah usaha untuk memuaskan kepentingan orang lain, tetapi lebih kepada mencari keredhaan Allah dengan menjaga amanah dariNya yang telah ditetapkan untuk berada di bawah tanggungjawab saya. Semoga Allah membantu saya, kerana Allah Maha Membantu.

Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu - 23 Okt 2010

Sama jua seperti sebelum ini. Saya hanya meminjam kekuatan dan ketabahan untuk melalui kehidupan ini dari Allah Yang Maha Berkuasa. Tidak ada selainnya, kerana hanya Dia yang mampu mengubah apa saja yang kita usahakan, dengan syarat ia dilaksanakan dengan ikhlas hanya keranaNya. InsyaAllah.

Lalu, perjalanan perjuangan saya untuk pelaksanaan tugas-tugas di negeri Sabah akan bermula hari ini. Semoga Allah mengurniakan ikhlas, lembut, qana'ah, sabar, senyum, tawadhu' dan tenang dalam setiap perlakuan harian saya. Semoga Allah membantu saya, hambaNya yang lemah ini. InsyaAllah. Amiinn.

Rindu melampau setiap kali lalu di sini - 24 Okt 2010

21 September 2010

6 Hari Di Syawal Ini

Salam Syawal...masih Syawal ya...

Sudah puasa 6 hari di bulan Syawal?
Apabila ditanyakan ada yang menjawab :-

1. InsyaAllah esok
2. Lagi dua hari la...masih belum puas makan tengahari di pejabat...
3. Minggu depan la...ada masa lagi...
4. Jawapan paling best : tahun depan la....

Ohh...andai bertemu lagi dengan Ramadhan dan Syawal tahun hadapan....
Andai tidak bertemu? Hanya Allah yang merahmati keseluruhan kehidupan kita...insyaAllah...

" Dan barang siapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka akan mendapatkan di bumi ini tempat hijrah yang luas dan (rezeki) yang banyak. Barang siapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kerana Allah dan Rasul-nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh, pahalanya telah ditetapkan di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang " : An Nisa' - 100

16 September 2010

Sila Tutup Pintu Surau Wanita

Assalamu'alaikum warahmatullah...Salam Idul Fitri (ya...perlu ucap lagi kerana baru Syawal yang ke-7 kan? Oh sekejapnya sudah Syawal yang ke 7...)

Saya belum mahu cerita tentang sambutan Hari Raya tahun ini. Nanti-nanti dahulu. Ada lebih penting yang lama sudah saya pendamkan dan belum sempat untuk dimasukkan di sini.

Sebelum saya meneruskan tulisan saya, ingin saya nyatakan di sini bahawa saya hanyalah seorang insan biasa yang tidak ada apa-apa kepentingan di mana-mana. Menjalani kehidupan sebagai seorang muslim biasa, pun sering melakukan perjalanan-perjalanan di dalam Malaysia. Terlalu banyak perjalanan sehinggakan ruang solat saya tidak terbatas. Di mana boleh bersolat, di situ saya akan berhenti. Samada di jama', di qasar, atau melakukan solat-solat biasa dalam waktu-waktu yang telah ditentukan.

Ruang solat saya yang biasanya tentulah di surau-surau R&R di lebuhraya, atau di lapangan terbang, atau di mana-mana masjid kampung atau bandar yang dapat saya singgah. Malah, selalu juga saya solat di surau-surau stesen-stesen minyak. Pendek kata, paling penting solatnya dan pakaian serta ruang yang bersih.

Baru-baru ini, saya membuat perjalanan selepas hari raya sebetulnya. Suatu peristiwa yang amat memberi kesan kepada diri saya. Sehingga ingin saya ungkapkan di sini. Kisah ruang solat saya. Yang banyak berlaku pun sebelum ini dalam perjalanan-perjalanan saya.

Dari Gerik, jam sudah menunjukkan pukul 5 petang. Mengejar masa, ditambah dari pagi tidak berhenti menguruskan perkahwinan adik saya, terus melepasi tol Kuala Kangsar tanpa sedar lebuhraya sesak teruk. Lalu, saya minta adik saya berhenti di R&R Sungai Perak untuk solat. Sudah tentu bila lebuhraya sesak, ditambah pula dalam keadaan hujan, ruang rehat juga sesak. Lalu saya mencari surau di stesen minyak untuk bersolat.

Saya masuk ke dalam ruang solat yang kosong. Pintu sudah saya tutup kemas. Langsir sudah saya tarik. Di luar memang sangat bising. Surau yang dekat benar dengan tandas menyaksikan beratus-ratus manusia yang beratur dan mahu menggunakan tandas. Elok saya menyarung telekung, pintu surau ditolak oleh seorang lelaki muslim. Apabila dia nampak saya di dalam surau, dia terus beredar (makluman : sesetengah surau di stesen minyak tidak ada 'gender'). Pintu yang terbuka, saya tutup semula dan saya segera menunaikan solat seperti biasa. Hati tidak memberontak, saya cuba bersabar.

Selesai solat, saya lihat pintu surau terbuka lagi. Di hadapan pintu, seorang gadis bertudung saya kira kerana nampak wajah kebudak-budakan berdiri rapat-rapat dengan seorang lelaki yang sedang merokok sambil bergelak ketawa. Mereka bersandar di railing di hadapan surau yang memisahkan dengan laluan ke tempat meletak kenderaan. Apabila saya bangun hendak menutup pintu semula, seorang lelaki dan wanita berbangsa Cina lalu di laluan tersebut dan melihat ke arah saya yang masih dalam telekung. Saya hanya tersenyum dan terus menutup pintu. Selepas melipat telekung, saya segera keluar dari surau dan berdiri di hadapan surau menunggu adik saya. Oh, ramainya manusia. Terutama yang berbangsa Cina. Saya pun tidak tahu semasa saya bersolat ramaikah yang melihat saya semasa di dalam surau kerana saya tidak sedar pada masa bila pintu surau dibuka dan tidak ditutup semula.

Kejadian biasa di mana-mana surau yang saya pergi. Kadang-kadang dapat saya lihat wanita-wanita yang keluar dan masuk dari surau (sudah tentu wanita muslim) juga tidak gemar menutup pintu surau walau laluan di hadapan pintu adalah laluan umum lelaki dan perempuan. Pernah saya bersolat di sebuah surau di R&R, saya terpaksa menutup pintu surau sebanyak enam kali berulang-ulang kerana wanita-wanita yang keluar dan masuk membiarkan pintu surau terbuka lebar tanpa ditutup semula. Peliknya, ramai wanita lain di dalam surau yang berada dalam keadaan tidak bertudung (ada yang sedang bersolek selepas solat) tetapi tidak mengendahkan hal tersebut walaupun kemudiannya mereka akan keluar dari surau dalam keadaan bertudung.


Sekadar ingatan, seorang wanita muslim adalah wanita yang punya sifat malu dan rasa rendah diri yang teramat. Bukan saja malu kepada manusia, tetapi yang lebih utama adalah malu kepada Allah. Auratnya sekadar muka dan dua tapak tangan yang boleh ditunjukkan kepada orang lain yang bukan mahramnya. Pintu surau / tabir pula disediakan supaya boleh ditutup apabila mahu masuk dan keluar dari surau supaya aurat dan perlakuan wanita muslim di dalam surau, ruang solat wanita atau masjid terjaga. Manfaatkanlah apa yang ada untuk menjaga apa yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.

Perlakuan biasa di surau-surau ini menyebabkan saya sudah tidak pernah membuka tudung saya walau di dalam surau. Malah, apabila mengambil wudhu', saya akan mencari ruang tersembunyi yang memang tidak akan dilihat oleh orang lain di luar surau sekiranya pintu surau yang dibuka tidak ditutup. Namun, ingin diingatkan sekali lagi, jadilah hambaNya yang diredhai walau dalam sekecil-kecil hal, kerana Allah melihat segala-galanya. Hal yang nampak remeh terkadang apabila dihimpun berulang kali akan menjadi hal besar yang menutup pintu hati.

Paling utama dalam kehidupan kita hamba yang lemah ini adalah keredhaan Allah. Semoga Allah sentiasa memberi petunjukNya kepada kita semua. Semoga Allah mengampunkan kita semua. Semoga Allah sentiasa meredhai kita hambaNya yang lemah ini di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

***sila tutup semua pintu surau / tabir selepas ini - terima kasih***

10 September 2010

Salam Idul Fitri 1431H

Semoga Ramadhan yang telah berlalu membawa kembali diri kita kepada fitrah kejadian manusia : menjadi khalifah dan mentadbir alam ini menurut apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah larang.

Semoga kita menjadi hamba yang bersyukur yang sentiasa mengingati Allah dan diredhai Allah.

Semoga kita tidak akan pernah melupakan kebaikan dan niat suci di Ramadhan yang telah ditinggalkan dan berharap akan berjumpa semula Ramadhan tahun-tahun akan datang.

Semoga kita sentiasa bersama rahmat dan redha Allah dalam setiap perlakuan dan perbuatan kita.

Semoga kita dimatikan dalam keadaan beriman kepadaNya dan dimasukkan ke dalam syurga-syurgaNya.

InsyaAllah.

Salam Idul Fitri 1431H. Maaf Zahir dan Batin.

05 September 2010

Satu Hari di Ramadhan 1431H

Saya melunjur kaki. Lenguh. Usai satu juzuk. Serta maknanya. Harap-harap dapat diingati, dapat dimanfaatkan, dapat disimpan di hati, dapat dijadikan amalan. Malam masih kelam, yang sebetulnya sudah pagi. Pagi yang masih awal. Kalau di kampung, sudah dengar kokokan ayam jantan tua di belakang rumah. Sunyi sepi. Saya suka waktu semacam ini. Waktu bersama Allah. Waktu bersama diri. Sendiri.

Sudah malam 25 Ramadhan. Esok cuti. Walau sebetulnya dalam kehidupan saya tidak akan pernah ada makna 'hari cuti'. Jika cuti dari kerja, saya ada beberapa kelas mengajar dari pagi hingga ke malam. Jika cuti mengajar, saya akan segera mengambil peluang memandu pulang ke kampung, yang sebetulnya 'cuti mengajar' cuma akan diperolehi jika saya membatalkan beberapa kelas-kelas saya. Selalunya sekali dalam tempoh dua bulan. Atau bila melampau rasa rindu, sekali dalam tempoh sebulan.

Kadang-kadang ada juga kelas dibatalkan kerana saya demam. Demam yang sudah tidak larat bangun. Lalu konon-konon berehat di rumah. Tapi dalam tidak larat memandu, masih mengangkat bebanan kain baju dimasukkan ke dalam mesin basuh, masih leka menekan hujung mop mengilatkan lantai walau kemudian akan berhabuk semula, masih suka menekun diri mengadap buku-buku yang banyak untuk dibaca, masih alpa diri apabila sesekali dapat menyentuh berus dan warna atau saja-saja duduk di ceruk dapur mencampak apa yang ada untuk menjadi makanan yang kemudian akan dibawa ke rumah kakak ipar. Leka dengan majalah masakan, deru lagu-lagu nasyid atau bacaan Al-Quran dari cd yang sengaja dipasang memenuhi ruang rumah, lalu sebetulnya saya tidak sukakan ruang senggang yang diisi kosong. Tanpa makna. Walau tidak larat.

Usai qiam a.k.a late night party. Usai tafsir Al-Quran. Sendiri. Lipat kain solat dan saya menuju ke dapur. Sahur mudah. 3 butir tamar Ajwa saya basuh dan masukkan ke dalam piring kecil. Jus mangga dalam mug kecil serta air suam sebotol. Kadang-kadang ada air soya atau susu kambing suam segelas. Bawa ke meja di ruang tamu dan mula membuka Tasauf Moden karya HAMKA. Sudah lama membacanya, namun masih tidak mampu menghabiskannya. Mahu difahamkan, mahu dihayati, mahu dikaji. Jam sudah hampir 5.30 pagi. Perlahan, sahur saya dilunaskan. Di saat azan Subuh berkumandang, saya sudah ada di tikar solat semula. Sayu. Subuh sentiasa membawa kesayuan kepada saya. Sayu, jika ini Subuh terakhir saya. Jika ini Ramadhan terakhir saya. Bekal saya masih sangat sedikit. Amal sudahlah sangat kurang, dosa yang dihimpun pula sangat banyak. Ditolak tambah, apalah yang saya mahu bawa untuk berjumpa Allah. Hanya ada rasa harap, semoga saya diampunkan Allah. Sentiasa.

Usai solat, saya sambung satu 'ain. Kemudian mandi. Bersiap untuk ke kelas. Hanya ada dua kelas hari ini. Beberapa pelajar lain sudah ambil cuti balik ke kampung. Sebetulnya, kelas saya fleksibel. Tidak tertakluk pada cuti sekolah. Selalunya lebih banyak kelas semasa cuti sekolah. Ada beberapa pelajar yang belajar di sekolah berasrama akan 'mem-booking" saya sepanjang cuti sekolah. Selalunya pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5. Tapi tidak pada cuti ini. Cuti raya. Saya juga mahu cuti. Bersama emak di kampung. Emak yang sering saya rindui. Kampung yang sering saya ingati.

Jam 7.30 pagi, saya menghampar tikar solat semula. Rindu kepada Dia. Menghampar rasa syukur kepadaNya. Usai solat, saya terus keluar dari rumah. Kelas pukul 8 pagi dan kemudian satu kelas lagi pada pukul 11 pagi. Habis dua kelas pada 1.15 tengahari, saya terus bersolat Zuhur di rumah pelajar yang kedua. Lalu saya menuju ke pejabat. Oh, bukan saja-saja. Sejak 31 Ogos, saya masih belum berpeluang ke pejabat. Tugas luar kawasan yang banyak. Isnin depan pun masih tidak berpeluang ke pejabat. Ahad sudah bertolak ke pantai timur lagi. Selasa, insyaAllah di pejabat. Terakhir sebelum cuti.

Pejabat kosong. Tiada sesiapa. Sunyi. Saya mengambil surat-surat di pigeon-hole untuk diminitkan. Usai minit semua surat-surat dan diagihkan terus ke meja-meja pasukan kerja saya, kemudian mengambil dua bekas kuih yang saya tempah melalui rakan sepejabat yang sudah diletakkan di atas meja kerja saya. Kuih raya untuk emak saya. Terus balik ke rumah. Badan tiba-tiba seram sejuk, dan kemudian bersin berulangkali hadir. Oh...minggu ini saya belum berehat lagi. Saya mengemas rumah dahulu dan kemudian menghantar mesej kepada keluarga yang bakal saya berbuka puasa hari ini. Buka puasa bersama terpaksa dibatalkan. Badan saya terlalu panas. Maaf. Tahun ini puasa saya yang lebih banyak sendiri. Urusan amanah yang banyak yang perlu diselesaikan. Amanah Allah kepada saya. Amanah yang perlu dilunaskan seikhlasnya supaya tidak kaku bila ditanya Allah di akhirat nanti.

Sambil menunggu Asar, saya baring seketika merehatkan diri. Benar saya sangat penat. Badan jua sudah menggigil. Panas di badan tambah ketara. Lena saya hanya terjaga sekitar pukul 5.30 petang. Lega sedikit. Baki tenaga hanya cukup untuk masuk ke dapur dan mengeluarkan rempah sup beku dari peti sejuk untuk dinyah-beku.

Selesai wudhu', saya hampar tikar solat untuk solat Asar. Leka saya bersama Dia tanpa sedar jam yang sudah membawa ke pukul 7.10 malam. 5 butir tamar Ajwa saya cuci dan dimasukkan ke dalam piring kecil. Bersama secawan jus mangga dan air suam, saya berbuka puasa dengan ringkas apabila mendengar azan Maghrib sayup-sayup dari masjid berhampiran. Sebetulnya, buka puasa sebegini memang rutin saya. Rutin jika berseorangan, kerana apabila berbuka puasa bersama keluarga lain, atau di rumah saya di kampung, pasti ada pelbagai juadah yang akan saya cicip jua sekadarnya saja. Bawalah saya berbuka puasa di mana saja, di lokasi mana saja, saya makan tetap sekadarnya. Jika terlalu penuh, selalunya akan lena hingga lalai pada solat malam. Dialpakan dengan makanan. Oleh itu, saya kawal keinginan, yang akhirnya sudah jadi rutin pada diri. Bazar Ramadhan jua sudah bertahun-tahun tidak saya pergi. Bukan tidak ada keinginan pada makanan-makanan lain, tapi biarlah sekadarnya saja, atau seringkali pula saya lebih suka melayan keinginan saya dengan masak sendiri di rumah, kemudian di bawa ke rumah kakak ipar, untuk dikongsi makan bersama anak-anak saudara saya. Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.

Selesai solat Maghrib dan satu a'in, baru saya masuk ke dapur. Masak mee sup mudah. Mee dengan sayur dan sedikit daging. Hanya 1 mangkuk. Siap dalam tempoh 10 minit. Siap cepat kerana dagingnya sudah direbus lebih awal. Sup panas dan mee soba buat ubat untuk demam yang sudah semakin teruk. Usai makan, saya sambung duduk di atas tikar solat. Walau dalam lesu, saya mahu bersama Dia di saat semua orang jua sedang bersama Dia di masjid-masjid. Walau berseorangan. Bersama selesema dan badan yang panas. Bersama tenaga yang kurang. Pun masih saya mahu bersama Dia. Terutama di Ramadhan ini.

Usai solat, saya mula mengukur diri sebelum mata terpejam. Amalan yang saya terlalai pada hari ini. Mutaba'ah amal saya yang mungkin terkurang. Akhlak saya yang mungkin tidak menyenangkan Allah. Tidak diredhai Allah. Semoga Allah mengampunkan saya di Ramadhan ini. Nantinya, biarlah saya 'lahir' sesuai fitrah kejadian seorang manusia. Di Aidil Fitri. Dengan niat dan hasrat mahu bangun qiam dan doa tidur serta tiga Qul dan Ayatul Qursi, saya mula menutup mata. Selimut saya tarik rapat ke badan. Badan saya masih panas, namun hati saya tenang. Alhamdulillah. Semoga Allah meredhai kehidupan saya dalam sehari di Ramadhan ini, dan jua di hari-hari lain. InsyaAllah.

17 August 2010

Perancangan Yang Tidak Menjadi


Perancangan tidak menjadi. Jangan bersedih.

Sungguh ada hikmah yang sangat besar di sebaliknya yang jarang kita nampak. Kenapa kita jarang nampak hikmah itu? Dah tentu kerana kita adalah makhluk lemah dan kerdil ciptaan Allah dan sering melihat ke arah sisi-sisi negatif apabila perancangan tidak menjadi seperti apa yang kita harapkan.

Ya...saya benar-benar terpegun dan terpesona dengan hikmah yang diberikan dalam sebuah perancangan saya yang tidak menjadi.

Pagi tadi (oh...boleh ke dikategorikan pagi tadi - atau setepatnya pagi Isnin 6 Ramadhan 1431H bersamaan dengan 16 Ogos 2010) saya perlu menaiki kapal terbang dari KLIA menuju ke Kota Bharu untuk suatu urusan rasmi. Kalau ikut jadual, kapal terbang saya akan bertolak pada 7.50 pagi.

Jadi, pada hari Jumaat sebelumnya lagi (sebaik saya menerima e-ticket saya...) saya sudah memaklumkan kepada adik saya untuk mengambil saya usai solat Subuh untuk ke KLIA. Masa seperti biasa, kata saya (ayat 'seperti biasa' kerana saya rasa pintu masuk KLIA pun sudah kenal muka saya yang asyik ulang alik KLIA je sejak akhir-akhir ini...) kepada adik saya. Alhamdulillah. Adik saya bersetuju. Memang seorang adik yang sangat baik.

Lalu pagi tadi saya menunggu adik saya hinggalah jam di tangan saya sudah pukul 7 pagi. Adik saya tidak datang. Call saya sejak 6.20 pagi tidak dijawab langsung. Lalu saya capai kunci kereta dan segera memandu ke rumah abang saya...dalam hati : oh...saya akan tertinggal kapal terbang ni - pun...allahumma rabbi yassir wa la tu 'assir...saya yakin Allah akan membantu jika niat saya masih tidak terpesong - niat saya : mahu ke KB untuk mencari redha Allah dalam pelaksanaan tugas yang telah diamanahkan - untuk dunia wal akhirat...insyaAllah...

Hikmah 1.

Alhamdulillah abang saya ada di rumah. Kebetulan dan ketentuan Allah. Biasa dia offshore. Sempat saya cium pipi anak saudara saya yang ke-5 berulang-ulang sebelum masuk ke dalam kereta abang saya dan abang saya memecut 'dalam keadaan tenang' menuju ke KLIA. Sungguh dia sangat tenang. Saya jarang melihat kegelisahan di wajah dia. Sejak saya menjadi adik dia. Sejak saya membesar bersama dia. Maksudnya...sejak saya lahir ke dunia ini...hehe...

Dalam perjalanan, dia mengungkap kegelisahan di wajah saya dalam tenang lembut kata-katanya : Tak perlu stress sangat sebab ini adalah suatu tugasan yang dimanahkan Allah. Kalau Allah redha dengan apa yang kita buat, tentu Allah akan mudahkan urusan kita. Belum 7.30 pun lagi. InsyaAllah akan sempat. Lagipun, ini cuma kerja. Kerja cuma sebahagian kecil dari diri kita yang diamanahkan oleh Allah. Yang akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti. Kalau sebelum ni memang dapat tiba awal di KLIA...dan sekali ni je baru lewat...ada hikmah dariNya yang kita sendiri takkan tahu kalau kita tak cari hikmah tu...tak semestinya semua flight kita on time dan semua sempurna...kalau kena ambil flight pukul 10 pun ada hikmah dariNya...kan kita dah rancang dengan elok...tiba-tiba pagi ni jadi macam ni...lainlah kalau memang kita sengaja buat-buat lambat dan tak ada perancangan langsung...orang yang tak pernah ada rasa nak berusaha dalam diri dia memang Allah tak akan tolong...tapi bila kita dah berusaha...insyaAllah Allah akan sentiasa membantu kita...ini kan kerja Allah...ketentuan Allah...

Sambungnya lagi : dia bawa laju pun...kalau dia kena saman...dia akan bayar...duit boleh dicari...dan kalau duit tu memang diinfaqkan untuk mendapatkan redha Allah...segunung emas pun dia akan infaqkan tanpa ada rasa kesal sedikit pun...semuanya memang telah ditentukan Allah...dan ada hikmah disebalik semua ketentuan Allah...insyaAllah...

Perjalanan almost 20 minutes bersama abang saya itu tidak lama. Tapi, hikmahnya amat banyak. Seolah-olah 'tersuntik' hati saya dengan kata-kata abang saya di pagi 6 Ramadhan (memang dia begitu, bukan saja bersama kata-katanya malah akhlaknya jua banyak memotivasikan diri saya yang lemah ini..seorang lelaki yang amat saya kagumi sejak dulu...wali saya tika ini...). Sungguh, surut stress saya walau setibanya di KLIA saya terpaksa 'berlari' menuju ke pintu A9 bersama 'tazkirah' abang saya yang masih terngiang-ngiang di kepala saya. Ya...memang sempat. Saya berjaya naik kapal terbang 7.50 pagi itu walau hanya tiba di KLIA seawal 7.31 pagi. Dan, dalam kapal terbang itu...saya masih memikir-mikirkan kata-kata abang saya...hinggalah tiba di KB...semasa di KB...dan hinggalah saat ini...

Hikmah 2.

Balik dari KLIA, saya dijemput adik saya. Berulang-kali dia meminta maaf kerana tertidur pagi tadi. Saya tidak kisah. Memang dia tidak bersalah sedikit pun. Orang yang tertidur dan terlambat menunaikan solat pun diampunkan Allah. Dengan syarat terus bersolat sebaik saja bangun tidur. Orang yang tertidur adalah orang yang tidak sedar...lalu saya ucapkan terima kasih kerana menjemput saya dan menghulurkan sebahagian besar penganan yang saya bawa balik dari KB. Untuk dia dan kawan-kawan serumahnya. Rezeki mereka. Saya memang makan sedikit saja. Alhamdulillah.

Masuk saja ke dalam kereta saya yang diparkir di hadapan rumah abang saya, setitis demi setitis hujan mulai turun. Lalu, tiba-tiba saya ternampak seorang kakak jiran kepada abang dan kakak ipar saya. Lama saya tidak jumpa kakak itu. Saya bersama kesibukan saya, jarang dapat menziarahi 'buah hati-buah hati' saya di rumah abang saya, lalu jarang dapat berjumpa dia. Dia sedang menghidupkan enjin keretanya, dan dalam titis-titis hujan dia menuju ke arah kereta saya.

Eh...dah balik? Sangkanya saya pergi ke KB dan akan bermalam semalam dua di sana. Lalu, saya nyatakan itulah sedikit kelelahan membina sekolah dan tempat belajar untuk anak-anak bangsa. Mengejar flight di awal pagi dan kemudian balik petang atau malamnya sudah jadi perkara biasa sejak akhir-akhir ini. Untuk menjimatkan masa. Hanya mampu memanjatkan doa di dalam hati supaya sekolah dan tempat belajar yang dapat disiapkan akan digunakan sebaiknya untuk menjadi suatu tempat menimba ilmu dan pengetahuan bersama redha Allah yang tidak terhingga...insyaAllah.

Tulah...sekarang banyak student yang dah 'berisi'. Kat sekolah akak je ada 4 orang. Tunggu masa bersalin je. Kakak jiran itu seorang guru Matematik. Innalillah...kata hati saya. Produk sekolah zaman sekarang. Sikap remaja zaman kini. Saya jadi lesu, tiba-tiba. Kemudian dia menjemput saya berbuka puasa bersamanya. "Ustaz tak ada hari ini", sambungnya lagi - merujuk kepada suaminya. Abang dan kakak saya jua belum balik. Mereka ke Alamanda. Saya terpaksa menolak. Untuk hari ini. InsyaAllah ada rezeki saya akan berbuka puasa bersamanya. Seperti tahun-tahun lepas juga. Hari ini saya benar-benar amat letih. Saya mahu pulang, kata saya.

Ulasan saya : Yang diuar-uarkan di akhbar dan media untuk kes-kes pelajar 'berisi' tidak banyak seperti kenyataan yang berlaku sebenarnya. Kalau satu sekolah ada 4 orang secara purata...dan ada jua 16 orang seperti sebuah sekolah lain yang dinyatakan oleh kakak jiran itu...boleh dihitung dengan bilangan sekolah-sekolah di seluruh Malaysia...oh...berapa ramai anak-anak gadis dan pelajar zaman kini di Malaysia yang sudah memegang status ibu walau tidak pernah menerima sebarang ijab dan kabul...nauzubillah...malah, saya sayu dan sangat-sangat sedih apabila melihat zuriat yang lahir dibunuh dan dibuang merata-rata...tahukah mereka nilai 1 nyawa? Di zaman jahiliah dulu pun, hanya anak perempuan yang dibunuh...

Doa saya : Semoga Allah melindungi semua umat Islam dari segala keburukan di dunia wal akhirat. Semoga Allah memantapkan iman semua umat Islam di dunia ini. Semoga Allah mengampunkan dan menginsafkan dan mewujudkan rasa taubat nasuha bagi semua umat Islam yang telah melakukan kesalahan dan dosa di dunia ini. Semoga Allah mematikan semua umat Islam dalam keadaan beriman kepadaNya. Semoga wujud rasa di dalam diri semua umat Islam bahawa Islam adalah agama yang syumul, meliputi semua aspek kehidupan. Semoga semua umat Islam berada dalam redha Allah, dan sentiasa memikirkan dan mengingati Allah dalam semua aspek kehidupan mereka.

Semoga Allah menerima doa saya...InsyaAllah.

Saya hanya hamba yang kerdil. Meminta melalui hati. Tidak dengan kata-kata. Tidak dengan tangan dan kaki. Hanya di sini mampu saya sebarkan : Allah Maha Besar, lagi Maha Berkuasa, lagi Maha Mengetahui. Allah jua Maha Pengasih, jua Maha Penyayang. Allah Maha Pengampun.

* Jika adik saya mengambil saya di rumah sesuai perancangan awal, semua perkara di atas tidak akan berlaku. Antara perancangan manusia dan perancangan Allah, Allah jua Maha Sempurna. Masya Allah.

15 August 2010

Catatan Hati Nik Nur Madihah

Benarlah bulan Ramadhan penuh keberkatan. Penuh petunjuk dari Allah. Kepada sesiapa yang mahu mencari, yang mahu memperolehi, yang mahu mengamalkan, yang mahu disematkan di hati, lalu di bawa hingga ke akhir hayat.

Lewat petang tadi (sebetulnya saya malas mahu keluar kerana tahu di bulan Ramadhan ini, jalan sibuk benar antara pukul 4 dan 6 petang - sementelah sudah bertahun tahun saya tidak menjejak kaki ke mana mana bazar Ramadhan - tapi memikirkan jaging-jagung yang saya beli di Cameron Highland minggu lepas - sudah buat jagung bakar bermentega tapi masih berbaki - cadang mahu buat puding kastad hari ini tapi tiada santan di rumah saya..) saya keluar juga menuju ke pasaraya terdekat.

Usai beli santan, saya terpaku sejenak di tepi susunan buku-buku agama yang dijual oleh seorang kakak. Nampak air muka kakak itu letih - saya pandang jam di tangan sudah 6.55 petang, lalu saya capai dua buah buku. Ringkasan Ihya' Ulumuddin - tiba tiba teringat sahabat saya yang akan menyambut hari lahir 17 Ogos ini - dan Rahmat di Sebalik Dugaan. Belum sempat membayar, mata saya tertancap pada sebuah buku yang sudah lama saya cuba dapatkan.

Catatan Hati Nik Nur Madihah.


Hingga kini, ayat pertama adik ini yang pernah saya baca dalam buku terdahulunya seingat saya dua tahun lepas dan masih kekal tersemat di hati saya dan menjadi motivasi diri saya apabila ada masa-masa yang lambat dan bertangguh menunaikan solat : "solat sumber cinta" (sudah tentu cinta kepada Allah).

Lalu saya capai buku itu. Berjalan ke depan sedikit, mencapai CD Maher Zain juga.


Lalu, malam tadi jua, lebih kurang 10.30 malam - sambil ditemani CD Maher Zain...saya cuba menghabiskan 'urusan hati' saya bersama adik Nik Nur Madihah. Membaca Catatan Hati Nik Nur Madihah membuatkan saya terkesima. Ya...terpegun. Dia punya karisma tersendiri, dan yang paling utama, cintanya kepada Allah...dan kepada ummi-nya.

Setiap malam, Dia membangunkan diriku untuk bermuhasabah dan merayu padaNya. Jika aku telah melakukan kesilapan, maka ku minta Allah membetulkan diriku. Tubuh dan otakku hanyalah satu alat yang dipinjamkan Allah, yang mana bila-bila masa sahaja akan diambil Allah.


Sungguh, saya merasa terlalu kerdil melihat 'hatinya'. Dia bukan gadis biasa-biasa. Kejayaannya jua bukan kejayaan biasa-biasa. Hatinya, iltizamnya, kemantapan dirinya saya kagumi. Sungguh, dia perantara petunjuk Allah bagi sesiapa yang mahu berfikir.

Semoga saya jua akan punya hati semantap anak gadis itu, punya kecekalan seperti adik itu, punya kesabaran dan ketenangan setabah Nik Nur Madihah...punya rasa cinta kepada Allah jua yang tidak terhingga. Ya Allah, diri ini terasa kerdil, dan terasa jauh darimu. Ampunkan hambaMu ini...Ya Allah. InsyaAllah.

Lagu Maher Zain masih berkumandang...dan minda saya masih berjalan...memikirkan diri yang serba kekurangan dan masih banyak yang perlu dibaiki...Ya Allah, hanya Engkau Yang Maha Membantu. InsyaAllah.

08 August 2010

Ramadhan


Sekadar gambar hiasan

Sedar tak sedar, dah nak masuk bulan Ramadhan. Hari ni, esok dan lusa je dengan suasana tidak berpuasa. Kemudian tulat...insyaAllah...kita akan berpuasa. Bulan yang paling saya suka. Kenapa?

1. Ramai orang akan bangun awal dan balik awal ke rumah di bulan ni. Bangun awal untuk makan sahur walau di bulan tidak puasa akan bangun pada pukul 8 pagi...

2. Orang yang jarang pi masjid, at least 10 malam yang pertama akan memenuhkan ruang masjid.

3. Tadarus Al Quran sangat banyak dibuat.

4. Yang tidak bertudung akan mula untuk menyarung tudung...walau selepas bulan Ramadhan berlalu tudung2 tu akan ditanggalkan.

5. Ramai orang akan jadi lebih baik dalam bulan ni.

Part tak best plak (pros and cons right...?)

1. Macam-macam makanan ada....then ramai orang ikut nafsu kelaparan dan beli makanan banyak-banyak untuk berbuka untuk cover 3x makan waktu siang hari...then the result is....bburrpp and then dah tak larat nak bangun hatta untuk solat Maghrib pun...

2. 10 malam pertama ada kat masjid...selepasnya dah mula fikir pasal baju raya dan kuih raya dan dah mula shopping2...

3. Masih ada orang Islam yang kena tangkap makan di siang hari...aduyai...adakah kalau tak makan dari terbit fajar hingga terbenam matahari boleh mati ke? Zaman Rasulullah dahulu...Rasulullah berperang di bulan puasa walau berbuka hanya dengan sepotong kurma dan seteguk air saja...

4. Ramadhan yang berlalu tanpa penghayatan sepenuhnya sedangkan Idul Fitri itu bermaksud kembali kepada fitrah....apa fitrah kita dijadikan ke dunia ini agaknya?

Fadhilat puasa sangat banyak sebenarnya. Antara yang paling mudah : memberi rehat kepada sistem penghadaman kita. Dah 11 bulan dok makan sepanjang masa...1 bulan ni la kita nak overhaul balik esofagus, perut, duodenum dan segala macam benda yang ada dalam sistem penghadaman kita...bagi rehat...baiki sikit mana-mana yang rosak...nak perbaik badan sendiri pun ramai yang tak suka rupanya...

Paling utama, carilah redha Allah di dunia ini. Mati nanti takde apa yang akan kekal mengiringi kita kecuali kain putih dan amalan je. Kita tak bawa duit, harta, keluarga dan apa saja yang menjadi milik kita di dunia ini ke dalam kubur, ke alam akhirat. So...fikir-fikirkanlah...apa persediaan kita kalau hari ini adalah hari terakhir kita di dunia ini...???

Jadikanlah Ramadhan tahun ini sebagai Ramadhan perubahan...dan kekal berubah untuk menuju kematian yang lebih diredhai...insyaAllah...

23 July 2010

Mumblings of an Engineer

get this from my friend's blog...a very good article...especially for a civil & structure engineer....


Mumblings of an Engineer

Oh...hari ini macam-macam perasaan ada...kecik ati ada...rasa nak marah pon ada...rasa down pon ada rasa demoralised pon ade...sabar ..sabar Ir. Ayu..

It seems that our team always being the easy target of blame...the guilty one by default ..

As I still have about 20++ years to work so if I get myself into trouble, I'm the one who's gonna face it for the next 20++ years..

If anything does go wrong...I dun want to be blamed... So better follows the rules by the books...There's no such thing as 'short cut' in achieving something especially when it involves safety...That's mean no compromise in matters of safety.

It seems that people never learn from past mistakes...

Quoting from a recent structural disaster's causes of failures as widely published in the media:-

1. Bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi spesifikasi;

2. Faktor reka bentuk yang tidak memadai;

3. Bumbung yang tidak dibina dengan sempurna;

4. Kawalan kualiti yang tidak dilaksanakan di tapak projek;

5. Pengawasan yang agak kurang ketika kerja-kerja pembinaan; selain

6. Kerja dilakukan secara tergesa-gesa turut menjejaskan kualiti s*******.

I especially dun like reason no.6 - kerja dilakukan secara tergesa-gesa ..bla bla..it seems to be going on and on and on and nobody cares...failure to plan is planning to fail as some says...

We are just doing our job...It is not easy doing the checking and all ...the headache is even more if doing the design and not many people want to be involved in this design stuff as it is very demanding and ties you down with liabilities. We always welcome people with great expertise to join us. Sadly not many people would like to take up this challenge as it is less glamorous and less powerful - why do you want to do complicated works and get blamed all the time when u can do a much easier job elsewhere with the same pay - as some says.

One of my lecturer used to say 'an engineer can become a manager but a manager cannot necessarily become an engineer'. I am proud to be an engineer and will always be...and I believe that an engineer should be an engineer first before anything else..

the truth is....value of 1 life is not just a life....strenghthen the structures due to safety for others...that is our job...make sure the safety of others....although it is not glamour...although it is not popular....there's only Allah that will pay our sincerity....insyaAllah...

21 July 2010

Sihat Cara Orang Korea

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN afzan.kasiman@kosmo.com.my

PADA usia 76 tahun. Dr. Muhammad Kim masih aktif melakukan rutin senaman pagi dengan berjoging sekurang-kurangnya dua kilometer setiap hari.

Selesai beriadah, Muhammad bersiap-siap untuk ke pusat perawatan tradisional miliknya yang terletak di Kelab Golf Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur untuk memenuhi temu janji dengan pesakit-pesakitnya.

Sebelah malam pula, adakalanya bekas pegawai tentera berpangkat kolonel dari Seoul, Korea Selatan ini perlu menghadiri majlis rasmi melibatkan ekspatriat Korea.

Padat dengan jadual seharian, lelaki bertubuh kecil tetapi bertenaga ini tidak lokek berkongsi tiga rahsia untuk memiliki kesihatan yang sejahtera.

“Saya bersenam, mengambil herba ginseng dan makan kimchi hampir setiap hari, itu rahsia kecergasan saya,” ujarnya ketika ditemui Jurnal di pusat rawatannya baru-baru ini.

Muhammad menjelaskan beliau sangat sukakan aktiviti yang mengeluarkan peluh terutama joging.

“Setiap pagi saya akan berjoging selama sejam. Sekiranya hujan, saya tidak menolak untuk keluar bersenam.

“Saya akan berjalan kaki dengan memegang sekaki payung,” katanya.

Mengagumi khasiat ginseng yang dianggap sebagai penyumbang kesihatan dan awet mudanya, Muhammad bagaimanapun mengamalkan rutin mengambil serbuk ginseng secara tidak berlebihan.

“Saya ambil sedikit demi sedikit selang beberapa hari untuk membantu peredaran darah yang lebih baik,” akuinya.

Di Korea, ginseng lebih terkenal sebagai ubat untuk menjaga kesihatan, mencegah penyakit dan meningkatkan sistem imunisasi tubuh.

Terdapat lima negara yang memiliki ginseng iaitu Korea, China, Jepun, Kanada dan Amerika Syarikat namun penghasilan ginseng secara komersial di Korea menjadikan ginseng dari negara tersebut sebagai yang terbaik.

Bahkan, para pengkaji menyifatkan ginseng Korea adalah lebih berkhasiat kerana ia tidak pernah dipalsukan seperti ginseng China.

“Sejak dahulu lagi, budaya masyarakat Korea dan ginseng sangat rapat malah setiap hari rakyat Korea akan mengambil ginseng. Tidak hairanlah, Korea mendapat jolokan ‘Negara Ginseng.’

“Tradisi ini turut diamalkan sehingga hari ini. Bahkan bagi sesetengah orang, ginseng adalah ramuan wajib dalam masakan Korea supaya makanan lebih berkhasiat, contohnya sup ginseng dan telur goreng,” kata Muhammad.

Tambahnya, belum ada kajian yang menyatakan khasiat ginseng sebagai penambahan ghairah seks lelaki.

Sebaliknya amalan mengambil ginseng sama ada dalam bentuk pati, serbuk, teh dan lain-lain bertujuan untuk menjaga kesihatan.

“Dalam satu kajian oleh para doktor antarabangsa, pengambilan ginseng secara konsisten mampu mengurangkan risiko Alzheimer, menangani kencing manis, mengatasi masalah tekanan darah tinggi dan menguatkan sistem imunisasi badan.

“Malah, ginseng juga banyak digunakan untuk meningkatkan daya ketahanan fizikal dan mental, memberi tenaga, menstabilkan fisiologi badan, merendahkan paras kolesterol dan mencegah penyakit kanser,” jelasnya yang mempunyai lebih 50 tahun pengalaman menggunakan ginseng.

Mendapat jolokan ‘Herba Ajaib Dari Timur’, pengkaji Rusia berpendapat tumbuhan yang dianggap sempurna ini boleh menormalkan tekanan di saluran arteri dan berkesan dalam mengubati tekanan darah tinggi mahupun darah rendah.

“Ginseng adalah alternatif terbaik untuk melancarkan peredaran darah sekali gus meneutralkan asid dalam darah,” ujar Muhammad yang merupakan pakar akupuntur dan gingseng bertauliah.

Tidak hanya diambil sebagai makanan kesihatan, pemilik nama saintifik Panax yang bermaksud tubuh manusia itu turut dijadikan sumber kajian di Institut Kajian Universiti Nasional Seoul dan berfungsi sebagai agen penyembuh kanser serta diabetes di Hospital Pusat Kanser Korea.

Selain mengambil herba ginseng, Muhammad turut mengamalkan memakan makanan tradisional Korea iaitu kimchi yang disifatkan makanan terbaik di dunia.

“Saya selalu percaya pada prinsip makan sedikit dan berjoging sejam setiap hari.

“Saya juga memastikan makanan yang diambil perlu memiliki lima elemen penting iaitu manis, masam, masin, pahit dan pedas.

“Sebab itu, rakyat Korea amat menggemari kimchi dan memakannya setiap hari dalam saiz sederhana,” ujarnya yang mengelak untuk mengambil nasi lemak dan roti canai.

*Artikel yang memberi manfaat - dipetik dari KOSMO Online bertarikh 20 Julai 2010.

16 July 2010

Kasihnya Ibu...

Hari ini, saya baca berita yang agak mengejutkan di Harian Metro online yang boleh dikatakan saya baca hari-hari juga. Tapi, berita hari ini ingin saya kongsikan kerana tiba-tiba saya ada idea untuk diluahkan di sini.

Seorang ibu di Tokyo memutarkan anaknya di dalam mesin basuh.

Oh! Sungguh tidak ada rasa kasih dan sayang seorang ibu. Sangat sangat zalim. Walhal kasih ibu dan anak adalah kasih antara manusia yang tidak akan pernah terputus. Kenapa?

Okey...cuba lihat di sini :-

1. Kasih antara kekasih : walau berkongsi makan pun, tapi tidak 'berkongsi diri' selama 9 bulan 10 hari.
2. Kasih antara kawan : walau berkongsi bantal pun, tapi tidak 'berkongsi diri' selama 9 bulan 10 hari.
3. Kasih antara adik-beradik : walau berkongsi ibu pun, tapi tidak 'berkongsi diri' selama 9 bulan 10 hari.
4. Kasih antara anak dan ayah : jua tidak 'berkongsi diri' selama 9 bulan 10 hari.

Jadi, kasih antara anak dan ibu adalah kasih yang telah 'berkongsi' badan walau tanpa luahan perasaan antara anak dan ibu sewaktu dari seketul darah yang menjadi daging lalu menjadi tulang lalu tulang dibalut daging-daging - oh...walau saya hanya punya 5 anak saudara yang tidak pernah berada di dalam perut saya pun, saya amat-amat sayangkan mereka berlima. Tidakkah ibu-ibu terasa kasih sayang kepada anak-anak mereka? Atau mereka telah menerima hasutan anasir luar hingga sanggup membuat penderaan kepada anak-anak mereka sendiri, atau membiarkan anak-anak mereka didera, atau ada jua yang sengaja melakukan perbuatan maksiat hingga melahirkan anak luar nikah dan meninggalkan serta membunuh mereka sesuka hati?

Pada pendapat saya, orang yang sudah tidak ada rasa belas dan kasihan kepada insan lain (terutama anak sendiri) adalah orang yang sewajarnya membelek semula diri mereka yang telah bergelumang dosa dan noda dan sentiasa tidak ada rasa bersalah dengan kesalahan yang telah mereka lakukan.

Saya sukakan 5 perkara ini : tenang, tenang, tenang, tenang dan sabar. Sabar itu separuh dari iman. Jika ada iman, tidak begini dunia kita.

27 June 2010

Percaya Pada Hati

Terasa lama benar saya tidak menulis. Kekangan masa menyebabkan segala idea yang ada terpaksa dibekukan di dalam kepala saja. Jadi pendiam, dan terlupa bahawa idea yang tidak dikongsikan membunuh peluang orang lain di sekitar saya untuk sama-sama belajar, sama-sama merasakan apa yang orang lain rasai dan alami untuk dijadikan tauladan dan sempadan.

Sebetulnya, saya sangat penat. Masa yang sedikit untuk rehat saya sering tidak mencukupi. Saya sering kelelahan, dan kepenatan melampau itu menjadikan diri saya kurang stabil. Bukan sedikit, tapi sangat banyak. Alhamdulillah, di saat-saat begini, hanya Allah yang ada di sisi saya, menemani perjalanan dunia saya yang dipenuhi pelbagai onak dan cabaran. Hati saya, hanya untuk Allah. Lelah ini, juga menzahirkan diri saya sebagai khalifah di dunia ini.

Ya...cerita tentang hati.

Dari dulu, saya sukar percaya pada hati. Hati manusia adalah hati yang mudah berbolak-balik (mudah berpaling - hari ini lain, esok pula sudah menjadi lain, lusa dan tulat apatah lagi). Lalu, teraju utama diri saya yang menjadikan pengalaman orang lain di sekitar saya sebagai suatu tauladan menjadikan saya melihat pelbagai 'kesan hati'. Sejak akhir-akhir ini, di kala saya cuba memantapkan hati, hati saya juga mudah dibolak-balik. Lalu saya akur, percaya pada hati datangnya dari Dia. Jika dibolak-balik pun, wajib percaya bahawa hanya rasa keimanan kepada kekuasaan Allah saja yang menjadi panduan kita. Walau dibolak-balik berulang kali, namun ketetapan yang satu tentang keesaan Allah tidak boleh dinafikan.

Kala ini, hidup saya seperti sedang menzahirkan apa yang ada di dalam novel-novel dan filem-filem sebagai suatu realiti. Bukan realiti kehidupan saya pastinya, tetapi orang-orang di sekitar saya yang saya temui. Walau tidak saban hari, tetapi masih saya temui. Walau tidak saya temui, namun tetap terlahir di dalam hati saya rasa sayang antara sesama manusia ciptaan Allah yang saya akui sebagai saudara seagama.

Oh...hati. Kalau dulu kata sayang, kini tidak lagi. Kalau dulu kata benci, kini rasa sayang pula yang timbul. Dan, uniknya elemen 'jodoh' orang-orang di sekitar saya menjadikan saya lebih percaya kaitan antara hati dengan qada' dan qadar ketentuan Allah. Ada yang berpisah berpuluh tahun dan kemudian ditemukan semula untuk ber'jodoh'. Ada juga yang tidak pernah suka, namun terikat dengan sebuah ikatan perkahwinan yang bahagia. Ada juga yang berubah hati, berubah rasa kerana konflik dalaman, lalu kerukunan rumah tangga itu goyah...yang mana sebelum ini semuanya saya lalui lewat novel, buku cerita atau filem-filem sahaja.

Hati kita ini mudah dibolak-balik...tapi percayalah pada hati. Yang berbolak-balik kepada yang tidak elok itu, datangnya dari syaitan. Jika terasa hati semakin jauh dan sering berbolak-balik cenderung ke arah keburukan, mintalah pertolongan Allah. Dekatkan semula hati, cenderung kepada Dia Yang Maha Esa.

Sungguh benar...percayalah pada hati yang percaya kepada Allah. InsyaAllah, Allah akan sentiasa melindungi dan memudahkan urusan kita semua...di dunia wal akhirat.

Sekadar gambar hiasan...

13 June 2010

1 Rejab 1431H

Salam.

Selamat Menyambut 1 Rejab 1431H.

Sudah dekat benar dengan Ramadhan tahun ini.....MasyaAllah...

01 June 2010

Dia Maha Mengetahui


Di kala ALLAH berikan kita matahari, kita mahukan hujan,

Di kala ALLAH berikan hujan, kita pula mahukan matahari.


Di kala ALLAH berikan kita ketakutan, kita mahukan ketenangan.

Di dalam tenang, kita berkata tidak seronok pula tidak ada masalah.


Di kala ALLAH berikan teman, kita pilih berseorangan.

Di kala tiada teman, kita mengeluh kerana merasa kesunyian.


Di kala ALLAH berikan kita kekuatan dan keberanian, kita pilih ketakutan dan kesangsian.

Apabila sudah ada rasa takut dan sangsi, kita pula yang rasa tidak selesa.


Di kala ALLAH berikan kita kemewahan, kita sering terlupa diri.

Dalam kesukaran, baru kita teringat pada ALLAH.


Sungguh, antara ALLAH dan harta, mana yang kita pilih?

Mengapa kita selalu tak pernah puas hati dan tidak bersyukur?


Jika kita bersyukur dengan ikhlas....ALLAH akan tambah lagi. Tapi, dengan ikhlas! ALLAH akan tambah atau tidak, itu usah dihitung kerana dalam keikhlasan tidak patut ada pengharapan kepada balasan.


Jadilah seorang insan yang sentiasa bersyukur dalam keikhlasan. Hanya kerana ALLAH.

25 May 2010

Selamat Pergi dan Kembali

"Kenapa lama tak update blog?", Nas bertanya kepada saya semalam di Yahoo Messenger (yang juga lama sudah saya tidak buka) mengingatkan blog saya yang sudah lama tidak dikemaskini.

Benar. Sungguh sibuk. Tiap-tiap minggu outstation dan jika ada di pejabat pula ada mesyuarat yang sangat banyak sehingga terkadang lima mesyuarat yang perlu saya hadiri dalam sehari.

Hari ini pun ada mesyuarat hingga petang. Tapi, saya tidak mahu menghampakan Nas. Saya ambil peluang update blog ini walau dengan beberapa patah perkataan. Doakan akak ya Nas. Semoga rahmat dan redha Allah mengiringi akak dunia wal akhirat.

Esok dan lusa, outstation lagi.

24 April 2010

Suka 'Lompat' Masalah

Walau sibuk saya masih membawa bekal ke pejabat. Masih memasak di rumah. Terkadang yang mudah. Terkadang yang ikut selera dan ikut bahan-bahan untuk memasak yang memang ada di rumah. Pun, paling mudah pun adalah mee segera yang dipotongkan bawang, dimasukkan sayur dan diletakkan beberapa hirisan daging ayam. Simple. Paling sukar, ada juga la sesekali buat biskut, roti dan masak nasi tomato yang kemudiannya dibungkus dan dibawa ke rumah kakak ipar saya.

Walau sibuk saya masih juga mengajar (walau sudah banyak kali juga pembatalan kelas dibuat kerana selalunya mesyuarat yang saya hadiri habis lewat dan timbunan kerja yang banyak memaksa saya tiba di pejabat 7.06 pagi dan keluar dari pejabat pada 7.06 malam - oh...tanpa rehat langsung di pejabat walau seminit pun kecuali semasa waktu solat saja - jika dilihat pada timbunan surat-surat dan segala macam tindakan segera yang perlu dilaksanakan serta pelbagai mesyuarat yang perlu dihadiri - ya, jadual saya sudah penuh sehingga bulan Jun pun....untuk 'mendapatkan saya' pun, ramai yang perlu buat temujanji awal di mana saya memang sukar untuk ditemui jika tidak dirancang dengan betul...dan saya sendiri merasakan saya sudah hilang 'kehidupan' saya termasuk sering merasakan yang badan saya perlu dipotong lapan belas supaya boleh melaksanakan lapan belas kerja dalam masa yang sama).

Walau sibuk, saya masih suka memberikan motivasi. Saya masih cuba mengemaskini blog (walau tidak kerap) dan saya masih cuba menjadikan hidup saya seronok. Saya percaya peluang yang ada sebanyak setengah minit pun sangat berharga jika dimanfaatkan dengan betul. Sungguh, dalam senggang masa yang sedikit, saya cuba menghargai kehidupan saya di samping menetapkan dan mengingatkan diri yang setiap tindakan dan perlakuan saya samada dalam kerja atau kehidupan peribadi adalah satu ibadah. Setiap saat adalah ibadah.

Semalam, saya terkesan perlakuan pelajar saya. Sikap suka 'lompat soalan yang susah'. Oh, karakter seperti ini saya sudah kaji selama hampir enam tahun. Hasilnya, pelajar yang suka 'lompat soalan yang susah' tidak akan pernah belajar untuk berfikir. Kenapa?

1. Sentiasa rasa dalam zon selesa. Tak perlu fikir perkara yang susah. Hanya buat soalan yang mudah saja.

2. Semua soalan akan dirasakan susah kerana apabila baca saja soalan, cepat merasakan sesuatu soalan adalah sukar untuk dijawab dan terus berpindah kepada soalan lain. Soalan yang lain pun akan dirasakan susah dan hasilnya pelajar saya ini hanya menjawab 5 soalan dari 90 soalan (ini sangat menyukarkan....)

3. Tidak ada inisiatif berdikari dan cuba menjadi penyelesai masalah.

4. Sentiasa bergantung kepada orang lain untuk berfikir menyelesaikan masalahnya (walhal semasa peperiksaan hanya ada dirinya sendiri saja berseorangan di dalam dewan peperiksaan).

Jangan salah konsep. Saya kata 'jangan lompat soalan sukar' semasa membuat latihan biasa kerana sesi latihan biasa tidak terikat dengan masa tetapi sesi peperiksaan terikat dengan masa.

Bila kita sentiasa berfikir, baru kita belajar.

Sama juga dalam kehidupan kita sebagai orang yang sudah dewasa. Fikir-fikirkan.

01 April 2010

Suka Buat dan Tak Suka Buat


Sungguh situasi di pejabat baru menjadikan saya sibuk. Amat sibuk. Walau masih saya curi masa untuk :-

* melihat anak-anak saudara bila rasa rindu dan asyik teringat-ingat sahaja...terutama yang paling kecil yang baru berusia lima bulan dan selalu menangis kalau nampak saya mahu balik....oh, saat ini pun saya masih merindui mereka berlima...
* bersalaman dengan abang saya yang baru balik dari umrah...alhamdulillah
* call emak saya hari-hari setiap pagi
* memasak dan bawa bekal ke pejabat (walau bukan setiap hari...)
* mengajar beberapa kelas pengajaran saya walaupun dalam keadaan letih yang melampau
* membaca beberapa buah buku...tapi tidak sempat pun ke pesta buku antarabangsa tahun ini...

Walaupun begitu, badan saya terasa amat letih. Pun, saya masih bangun seawal 4 pagi...aturan jadual hidup tubuh badan saya sudah begitu agaknya.

Ya, ramai dari kita selalu suka buat apa yang kita tidak wajib buat, dan tidak ramai yang suka buat apa yang kita wajib buat.

Kita suka buat benda yang tidak wajib, contohnya :-

* buang masa (kasihan pada orang seperti saya yang kurang masa walhal masa tersebut banyak dibazirkan oleh orang lain)
* tidak melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan...

oh...saya tidak mahu komen banyak-banyak. Saya cuma mahu beritahu beberapa contoh sahaja. Untuk apa yang kita tidak suka tapi wajib buat :-

* solat (saya sekadar memerhati, kalau saya silap, minta dibetulkan - namun, saya rasa sekarang ini ramai yang sudah tidak cukup 5 waktu sehari semalam)
* menolong orang lain
* berfikir (ini pun berdasarkan pemerhatian saya, sedangkan ini yang sering diingatkan oleh Allah di dalam Al-Quran)
* bersedekah kepada fakir miskin (banyak rumah anak-anak yatim dan kita tidak pernah terfikir untuk pergi menziarahi mereka)
* senyum (paling mudah pun tak ramai orang buat kan)
* ikhlas (ini ada dalam hati, tak tau pun ada atau tak pada sesetengah orang di sekitar kita...tapi saya rasa ini paling penting dalam kehidupan kita)
* taqwa kepada Allah (lebih kepada takut kepada Allah, lebih kepada takut melakukan perkara yang Allah larang dan sering ada keinginan melakukan perkara yang Allah suruh...)

banyak lagi contoh lain yang anda semua boleh fikirkan (walau ramai yang tak gemar berfikir), tapi fikir-fikirkanlah dan renung-renungkanlah.....kerana walau berapa pun usia kita sekarang, kita tetap akan melalui zaman tua dan melalui proses kematian.....dan bila kita mati, apa yang kita bawa? fikirkanlah...

14 March 2010

Perjalanan ke Pos Balar

Balik dari Hulu Terengganu pada 3 Februari 2010. Masih pergi ke pejabat setiap hari dan melaksanakan tugas di pejabat yang semakin bertimbun-timbun. Saya kurang suka bila perlu kerja luar daerah yang sangat banyak. Fikiran jadi sesak dan timbunan kerja berganda-ganda.

Apapun, pada pagi 6 Februari 2010 (pagi Sabtu), boss saya menghubungi saya meminta saya menghadiri satu lagi lawatan dan mesyuarat penting. Walhal saya sudah mengisi borang cuti untuk bercuti pada 8 dan 9 Februari (yang terpaksa cuti tersebut dibatalkan) dan saya pun bergerak semula untuk keluar kawasan pada pagi 7 Februari 2010 (hari Ahad).

Saya meminta salah seorang kakitangan menemani saya dan kami bertolak berdua di keheningan pagi Ahad. Uh...bestnya bagi orang yang tidak bekerja 7 hari seminggu. Pagi Ahad boleh memasak macam-macam...hari Ahad boleh melepak-lepak. Ya...itu semua sudah tidak ada dalam kamus hidup saya. Sangat kurang saat ini.








Perjalanan selama 3 jam (bukan dari Kuala Lumpur...tetapi dari pekan Gua Musang) meredah laluan yang mencabar menuju ke tengah Banjaran Titiwangsa. Tak tau berapa sungai yang diredah dan turun naik gunung yang berulang kali (gambar2 yang tak jelas tu mungkin disebabkan kamera terlompat-lompat sama seperti badan dan kepala yang terlompat-lompat di dalam perjalanan...)


Selepas perjalanan 3 jam...




Menanti ketibaan. Saya dan staff saya tiba antara yang terawal....jadi kami lepak2 dulu bersama kanak2 sekolah yang ada kat situ....unik....sangat unik....


So....dah tiba.....masa ni dah pukul 6.30 petang...




Malam....ada sidang akhbar dan ada persembahan dari penduduk orang asli di situ....hmmm....tido pun pukul 1.30 pagi....then untuk balik ke Gua Musang keesokannya, kami singgah di beberapa sekolah (which is I have to give a few suggestion for technical part) dan kemudian pada keesokan harinya saya perlu hadir ke satu mesyuarat pembinaan....huhu....sangat2 meletihkan....but gave me a lot of experiences....

Selepas meng-update blog ini pun....saya mahu ke pejabat sebantar dan petang ini akan membuat perjalanan ke Kelantan lagi....haha.....macam dekat je pulak Kelantan tu sekarang......