16 September 2012

Asyik Membeli-belah

Cuti 3 hari, bagi kakitangan kerajaan dan para eksekutif syarikat-syarikat swasta. Cuti untuk membeli-belah, atau saja keluar makan-makan, atau menziarahi kawan-kawan sahabat handai dan saudara-mara.

Ya. Memang banyak aktiviti yang boleh dibuat. Tapi, saya dan suami hanya melepak di rumah saja. Sungguhlah malas, walau mahu keluar ke pasaraya di hadapan rumah. Tiada apa-apa yang mahu dibeli.

Okey. Saya memang suka membeli-belah. Barang-barang yang saya selalu beli dan belah, sebahagiannya adalah seperti berikut :-

bawang merah, bawang putih,
kentang, beras,
ikan, udang, daging kambing (bolehkah...habis je stock dan terus pi mencari lagi...),
serai, tomato, lobak, brokoli, kobis bunga, sawi, bayam, kangkung,
cili padi, cili merah/hijau, capsicum,
spaghetti, fussili, macaroni,
keju, tepung gandum, dan lain-lain.......

Ya. Memasak sendiri di rumah, memang sudah jadi habit. Jadi, stok wajib sentiasa ada dan peti sejuk mesti sentiasa ada ruang untuk menjadi tempat simpanan barang-barang.

Banyak kan yang perlu dibeli? Ya. Agak banyak. Selalunya memang agak panjang juga senarai barang di dalam resit pasaraya, sehingga terkadang (masa awal-awal belajar membeli barang dapur banyak-banyak) sering pula 'tertipu', entahlah samada tertipu atau ditipu dengan sengaja. Oleh siapa?

Ya. Ia memang pengalaman saya sendiri.

Setelah selesai memilih barang-barang, lalu tiba di kaunter pembayaran, biasanya kalau sebelum-sebelum ini, saya jarang benar melihat skrin komputer untuk melihat 'setiap' harga barang yang di-scan, tetapi selepas beberapa kali pengalaman (yang setelah tiba di rumah, membelek resit pembelian....eh! kenapa harga dalam resit ni lain dari harga yang dipamerkan di rak semasa membuat pilihan barang? tapi..yalah...takkanlah nak pergi semula ke pasaraya semata-mata kerana beza harga barang sebanyak 50sen atau seringgit kan?)

Pun, setelah melalui pengalaman yang banyak (yang apabila dihitung-hitung, mungkin saja saya sudah mengalami kerugian menghampiri RM100, atau lebih, apabila ia kerap berulang-ulang dalam tempoh hampir 2 tahun ini, walau berlainan pasaraya yang saya pergi untuk membeli barang-barang dapur...) lalu saya sering bertekad, juga memaklumkan kepada suami, supaya melihat dengan 'sangat-sangat teliti' semasa barang-barang di-scan. Jika ada kesilapan, boleh dimaklumkan segera pada masa itu juga.

Hasilnya, dalam sepuluh kali pergi membeli-belah, pasti ada 3 atau 4 kali berlaku kesilapan 'harga'. Harga yang di-scan selalunya memang lebih dari harga yang terpapar di rak-rak. Lalu selalunya akan membayar lebih, yang jika ia berlaku kepada saya seorang, kesilapan mungkin hanya 50sen...sangat-sangat sedikit, tapi jika berlaku kepada jutaan orang lain, berapakah agaknya 'keuntungan' yang dapat diperolehi dari sedikit 'kesilapan' kita yang jarang benar menjadi teliti ini.

Tapi, itulah. Bila sudah pergi ke pelbagai pasaraya, mengalami pengalaman di bermacam-macam pasaraya, sebilangan besar pasaraya mengakui 'kesilapan' dan membuat 'pembayaran semula' walaupun hanya sekadar 60 sen, tetapi ada juga sebilangan pasaraya yang mempunyai pekerja yang bersikap 'saya tak tahu, ni kerja orang yang meletakkan harga barang'. Bila ada sikap seperti ini, pelanggan seperti saya yang berniat mahu datang semula membeli di situ, sudah tidak jadi mahu membeli pula di masa-masa akan datang.

Sungguh saya akui, 'customer service counter' sangat perlu bagi menjamin kepuasan pelanggan, dalam apa jenis perniagaan, walau di mana pun lokasi perniagaan anda, atau jenis apakah pelanggan yang datang untuk mendapatkan khidmat perniagaan anda.

Please. Don't ever judge a book by it's cover.

Kembali kepada fitrah, bersama rezeki yang lebih diberkati dan diredhai Allah, walau dengan hanya nilai 20sen. Ada satu kisah yang saya pernah terbaca tentang nilai 20sen, lebih kurang begini ceritanya...

'Ada seorang ustaz menaiki bas untuk menuju ke suatu lokasi. Duit baki tambang yang dihulur oleh si pemandu bas bukan beragama Islam rupanya terlebih 20sen. Ustaz hanya perasan setelah duduk di dalam bas. Berbolak-balik hatinya samada mahu memulangkan lebihan 20sen itu atau tidak, walaupun hatinya menafikan yang pemandu bas sedar akan hal tersebut. Pun, Allah Maha Berkuasa. Sewaktu mahu turun dari bas setelah tiba di lokasi yang dituju, ustaz tersebut menyerahkan semula 20sen kepada pemandu bas. Lalu kata pemandu bas - wahai ustaz, saya hanya ingin menguji anda. Sengaja saya memberi terlebih 20sen. Jika Islam benar-benar jujur, tentu anda akan memulangkan semula lebihan duit tersebut. Saya bersedia untuk menganut agama Islam kerana Islam benar-benar syumul.

Beristighfar ustaz tersebut di dalam hati. Mahalnya nilai 20sen, yang jarang dipandang orang. Ia mampu mengubah akidah dan kepercayaan, jika benar-benar dikehendaki oleh Allah.'

Sedikit perkongsian untuk hari ini. Semoga kita semua sentiasa diredhai Allah. InsyaAllah.

07 September 2012

Sesudah Ramadhan 1433H

Ramadhan sudah berlalu. Syawal juga sudah hampir tamat. Puasa sunat 6 hari di bulan Syawal saya saja yang masih belum tamat. Sudah terbiasa, menyelesaikan puasa qadha' yang termasuk dalam kategori 'wajib' dahulu, bila sudah diselesaikan, barulah hati terasa 'lega' mahu berpuasa sunat semula. Selagi tidak dilunas, malam pun sukar untuk lena. Sungguh! Bimbang tidak sempat 'dibayar kepada Allah' dalam keadaan saya masih berleka-leka, dan tanpa dijangka, tetiba maut pula sudah menjemput.

Amal sudahlah tidak banyak, akhlak pula bukanlah baik sangat, ikhlas kepada Allah juga masih belum sempurna, jadi jika 'hutang' masih ada...dimanalah agaknya kedudukan saya di sisi Allah? Oh! Sungguh terasa sangat-sangat kerdil mahu meneruskan hidup di dalam dunia ini...jadi, bila sudah diselesaikan (semoga Allah meredhai saya...sentiasa...insyaAllah...) barulah hati terasa lega. Minda terasa lapang. Jiwa sungguh merasa sangat tenang. Kalau tidak sempurna, semoga Allah sempurnakan. InsyaAllah.

Kita kan tak tahu pada waktu bilakah kita akan dikembalikan kepadaNya? Kalau malam ini...kalau saat ini...bagaimana? Jika ada hutang yang masih belum dibayar lagi...dimanakah kita akan diletakkan oleh Allah?

Idul Fitri yang baru berlalu, tahun pertama saya tidak berhari raya di negeri kelahiran saya. Tidak berhari raya bersama emak saya. Tidak berhari raya di rumah yang saya telah membesar bersama-samanya. Tidak duduk di dapur bersama emak di malam raya.

Tahun pertama saya berhari raya di rumah keluarga suami. Ia memang pengalaman yang berbeza. Namun, satu pengalaman indah yang menyeronokkan. Suasana yang berbeza, udara yang berbeza, ruang yang berbeza, juadah yang sedikit berbeza - pun saya seronok melihat suami berselera menikmatinya. Sungguh terasa kelainannya, dan tanpa sedar...ada rasa rindu yang tidak terbendung. Sungguhlah...Idul Fitri memang benar-benar menyuntik rasa hati.

Patutlah rezeki saya semasa membuat ijazah pertama, walau menerima tawaran ke United Kingdom dan Jepun, ia tidak tertunai...kerana Allah tahu lemahnya 'hati' saya yang sering sarat rasa rindu kepada kampung halaman. Bukan sewenangnya boleh pulang ke Malaysia jika sudah ada di luar negara. Alhamdulillah. Terkadang hikmah solat istikharah itu bukan boleh 'ditemui' dalam masa yang singkat, ada yang akan mengambil masa hampir 15 tahun! Allahuakbar!

Perasaan selepas Ramadhan?

Ia suatu rasa 'kosong' yang tidak dapat saya ungkapkan.

Hanya yang didoakan - Ya Allah, temukan saya kepada Ramadhan 1434H. InsyaAllah.

Sungguh....saya sudah mula merindui Ramadhan...walau ia baru beberapa detik berlalu. Masihkah ada Ramadhan untuk saya? Masihkah ada Ramadhan untuk anda semua?

Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Semoga saya, suami, emak, ayah, dan anda semua sentiasa diredhai Allah di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.