22 October 2012

Panggilan Telefon Tidak Dikenali

Assalamualaikumwarahmatullah...

Nak perihalkan satu kisah di petang Sabtu ni. Pernah tak ada orang telefon anda (nombor adalah tidak dikenali dan tidak tercatat di dalam memori telefon anda) dan bertanya begini :

"Ni kat mana ni?" (dengar nada suara macam dibuat-buat seperti tergesa-gesa...errr...seorang lelaki ya...)

Then saya jawab dengan elok, lemah lembut dan sopan santun : Boleh saya tau encik nak bercakap dengan siapa? (selalunya saya memang tidak mahu memberitahu lokasi saya yang tepat, untuk 'menipu' lokasi pula bukan habit saya...errr....menipu pula bukan habit saya...)

Nak tau apa dia jawab : Dengan siapa saya nak bercakap tu saya taulah...tapi saya nak tau ni dekat mana. Kot tersilap nombor... (nada suara dah tinggi sikit...eh! kenapa tiba-tiba nak marah pula ni?)

Ah-ha!! 'Kot tersilap nombor'. Tapi taknak sebut nama orang yang nak dipanggilnya. Kalau tau nak bercakap dengan siapa, sila je la bagitau yang awak tu nak bercakap dengan siapa. Senang dan mudah saya nak bagitau yang memang awak tu tersilap nombor. Kenapa perlu tanya lokasi pula. Then, nak aje saya jawab : saya kat atas dunia lagi ni...belum masuk alam kubur lagi.

Sudahlah nombor telefon yang didail merupakan nombor peribadi saya. Nombor telefon ini cuma suami, emak dan adik beradik saya saja yang ada. Ipar-duai pun tiada nombor peribadi saya ini. Apatah lagi bank, pejabat atau apa-apa saja, jadi bagaimana pula orang yang didailnya (jika disebut nama) boleh saya kenali? Mudah untuk saya jawab : 'maaf anda tersilap nombor'. Tak perlulah beria-ia nak tau lokasi orang yang di-call pula. Banyak kali juga terkena begini. Nombor yang meng-call pula bermacam-macam jenis nombor.

Nombor handphone bukan macam nombor talian tetap yang boleh menentukan lokasi. Kalau talian tetap bolehlah dilihat sebagai 'lokasi berhampiran', contoh kalau di Putrajaya, biasanya nombor talian tetap bermula dengan 03-888xxxxx, tapi jika nombor handphone, tidaklah sama. Sebagai contoh 012-3456789 mungkin dibeli oleh orang yang menetap di Negeri Sembilan, manakala nombor 012-3456788 pula mungkin dibeli oleh orang yang menetap di Kuala Selangor. Ini sekadar contoh sahaja. Jadi, bagaimana timbulnya 'soalan tentang lokasi' agaknya?

Lebih mudah kan, bila membuat panggilan telefon kepada seseorang yang anda tidak tahu betul atau tidak nombornya : Assalamualaikum, boleh saya bercakap dengan xxxxxxxxx? Mudah pula saya jawab : Maaf, encik silap nombor ni.

Tak perlulah jawab pula : saya taulah saya nak bercakap dengan siapa.

Manusia. Manusia. Banyak benar ulah-nya.

Sesungguhnya Allah Maha Besar, Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Hanya kepada-Nya saya berharap dan berserah diri. Semoga ada redha-Nya. InsyaAllah.

19 October 2012

Ingatlah SABAR

Anda hendak mengeluarkan kereta dari kotak parking anda. Laluan anda terhalang oleh sebuah kereta yang meletakkan kereta bukan di tempat yang sepatutnya. Bukanlah terhalang sangat, cuma sukar sedikit mahu mengeluarkan kereta. Sambil memutar-mutar stereng...

1. Apalah parking kat sini. Menyusahkan orang betul. Takkan tak nampak situ takde kotak parking. Mata letak dekat mana agaknya. Kerjanya asyik menyusahkan orang saja. Kalau takde tempat nak parking, pergilah letak tepi jalan sana. Jangan menyusahkan orang...bla...bla...bla...

(bila terserempak pula dengan tuan punya kereta...dengan muka masam mencuka...menghambur kata-kata kesat kepada tuan punya kereta)

atau

2. Alhamdulillah. Ujian hati ni. Allah nak tengok sabar atau tak. Mungkin orang tu parking sekejap je. Mungkin dia berkejar nak ke tandas agaknya, atau mungkin ada barang-barang berat yang nak diangkat. Kalau letak kereta jauh, susahlah dia nak angkat barang. Takpelah. Alhamdulillah.

Mana satu pilihan anda? Pada ketika ini, saya pasti...ramai akan memilih pilihan yang ke-2, namun hakikatnya apabila situasi itu dialami sendiri, tanpa kita sedar, pilihan pertama yang akan menjadi pilihan kita.

Apabila sudah membuat pilihan yang ke-2 pula (sambil di dalam hati memuji-muji diri sendiri kerana kebaikan diri sendiri - sebenarnya segala pujian hanya untuk Allah...), kemudiannya di lokasi yang berbeza dalam situasi yang berbeza, kita juga ada desakan-desakan tertentu yang membuatkan kita 'terpaksa'....ya, kita TERPAKSA menghalang sedikit laluan kenderaan orang lain. Orang tidak akan faham situasi orang lain melainkan diberitahu...tetapi takkanlah setiap perkara mahu memberitahu orang lain...lalu, apabila ada orang menegur anda tentang perlakuan anda menghalang kenderaan orang lain...

1. Saya bukan halang pun kereta awak. Boleh keluar tu kan. Lagipun urusan saya kat sini sekejap je. Susahlah nak parking jauh-jauh. Lagipun mana saya tahu awak nak keluar-masuk masa ni. Lain kali letak la pemberitahuan masa awak nak keluar dan masuk. Awak yang menyusahkan saya tau tak...

atau

2. Saya minta maaf. Anak saya sakit tadi. Nak cepat, tu yang parking kat sini. Minta maaf banyak-banyak sebab saya susahkan awak...minta maaf ya... (sambil senyum sebanyak-banyaknya)

Mana satu pilihan kita?

Hakikatnya, dalam setiap apa pun tindakan kita, kita kena ada SABAR. Samada kita menghalang kenderaan orang lain, atau orang lain menghalang kenderaan kita (ini sebagai contoh situasi-situasi dalam kehidupan kita sahaja...banyak lagi contoh lain seperti potong queue, mengambil dan menggunapakai hak orang lain tanpa izin, memotong di jalanraya tanpa memberikan lampu signal dll), tidak ada pihak yang betul dan tidak ada pihak yang salah.

Setiap orang ada kesulitannya yang kita tidak tahu. Oleh sebab itu, belajar untuk menerima apa saja, kerana apa saja kejadian Allah, ada hikmah di sebaliknya yang di luar pengetahuan kita. Kita hanya hamba-Nya yang lemah. Hanya kepada Allah kita berharap dan berserah diri.

Semoga ada redha Allah untuk kita semua. InsyaAllah.


16 October 2012

Oreo oh Oreo oh Oreo

Banyaknya oreooooo!!!

Sapalah yang mahu adun satu demi satu guna home-mixer dan bakar satu demi satu dalam oven kecil. Ini lebih pantas. Hasil lebih juta-jutaaaaan biskut setiap hari...

Sila menikmati video ini ya...:)


dan juga yang ini...


dan tidak dilupakan yang ini...


menarik tak?

12 October 2012

Muslimin di hari Jumaat

Seorang lelaki keluar dari tempat kerjanya pada pukul 1.15 tengahari di hari Jumaat, memasuki keretanya dan mula bergerak menuju ke masjid yang lebih kurang 4km dari tempat kerjanya. Azan Zuhur sudah berkumandang agak lama, lalu lelaki ini bergegas bagi memastikan beliau mampu untuk menikmati khutbah Jumaat yang akan disampaikan oleh imam bertugas nanti. Malah, bukan sengaja mahu pergi ke masjid lewat, hanya masa itu yang diperuntukkan oleh tempat dia bertugas.

Perjalanan agak lancar (kereta yang dinaiki berada di lorong kiri di jalan dua lorong) sehinggalah bertemu dengan sebuah lori kontena di hadapannya (di lorong kiri) yang agak perlahan. Beliau mahu masuk ke lorong kanan, bagaimanapun terdapat sebuah kereta Kancil pula yang juga dipandu dengan sangat perlahan (kelihatan seperti seorang wanita yang nampaknya tidak fokus pada pemanduan) yang tidak mengambil kisah situasi di sekitarnya, masih kekal di lorong kanan dengan perlahan walaupun tiada sebarang kenderaan di laluan dihadapannya lebih kurang sepanjang 1km.

Okey...kisah di hari Jumaat. Di tengahari hari Jumaat.

Jika anda wanita, apa yang anda rasa?
Jika anda lelaki, apa yang anda rasa?

Dulu, sebelum saya menjadi seorang isteri, setiap kali hari Jumaat tiba, tempat saya adalah di pejabat. Memanfaatkan masa rehat yang agak panjang untuk menghabiskan kerja yang agak bertimbun, rehat sebentar, dan untuk bersolat. Jarang keluar, kerana mahu memberi 'laluan luas' kepada para muslimin yang mahu mengerjakan solat Jumaat, makan sebelum solat Jumaat dan juga untuk mereka mendengar khutbah. Selebihnya, saya lebih suka dapat menunaikan solat Zuhur tanpa gangguan di pejabat. Sebabnya, pejabat sangaaaattt sunyi. Boleh muhasabah diri lagi. Alhamdulillah.

Bila sudah bergelar isteri pula, tempat saya di waktu solat Jumaat berlangsung, adalah di rumah. Menyiapkan bekalan suami, bersolat Zuhur, dan kemudian bergerak semula ke pejabat. Bergerak semula ke pejabat pun berlaku sekitar 2.15pm ke atas...jadi, solat Jumaat biasanya sudah usai, sudah tidak memberi gangguan kepada muslimin mahu bersolat Jumaat dengan tenang.

Ulasan saya :-

1. Solat Jumaat adalah satu ibadah wajib untuk semua muslimin. Rasa hormat kepada hari Jumaat, dan menghormati orang yang mahu menghadiri solat Jumaat, jua adalah satu kewajipan semua muslimat. Boleh untuk keluar dari pejabat pada masa yang sama dengan muslimin keluar, tetapi sila mengutamakan laluan kepada muslimin yang mahu menghadiri solat Jumaat, yang mahu mendengar khutbah Jumaat.

2. Ini pula bab pemanduan. Jika anda memandu dengan kadar yang saaaangaaaattt perlahan, tidak kiralah di hari Jumaat ataupun tidak, sila JANGAN memandu di laluan kanan. Sila masuk ke lorong kiri supaya anda tidak menyebabkan rasa amarah orang lain. Jika mahu menggunakan handphone atau bermake-up, sila berhentikan kenderaan anda. Ia sangat bahaya bukan saja kepada anda, tetapi juga kepada kenderaan-kenderaan berhampiran anda.

3. Jadilah muslimat yang sentiasa diredhai Allah. Memudahkan diri sendiri, keluarga, juga masyarakat di sekitarnya untuk perkara-perkara berkaitan Islam dan kehidupan yang diredhai Allah. Sila jangan mendabik dada untuk sesuatu yang tidak pernah dimiliki oleh diri anda. Sesungguhnya, diri kita ini pun hakmilik Allah, apalah agaknya yang kita miliki di dunia ini untuk dibanggakan?

Semoga ada redha Allah. InsyaAllah.