30 September 2017

Kembara Pun Bermula

Walau hati terasa berdebar-debar kerana serasa sudah lama benar tidak meninggalkan Malaysia dan menjejakkan kaki ke luar negara, pun memikirkan semuanya sudah disiapkan, malah sudah dibayar, lalu apa lagi yang perlu ditunggu? Maka perjalanan kembara pun bermula pada 12 Julai 2017.

Mudah benar di zaman ini apabila tidak perlu menunggu teksi untuk ke mana-mana, atau perlu meminta sesiapa menghantar ke lapangan terbang. Jika dulu, abang saya akan menjadi mangsa yang paling kerap untuk saya pergi ke lapangan terbang. Kini, dengan hanya mengaplikasikan uber atau grab car, ia sudah tersedia di hadapan kita dalam tempoh kurang dari 10 minit untuk kita bertolak ke mana-mana lokasi. Sejujurnya, saya sangat sukakan perkhidmatan ini selagi ia masih dilaksanakan dan bayarannya juga tidaklah mahal.

Tiba saja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, saya dan suami terus menuju ke Balai Berlepas Antarabangsa. Urusan sangat mudah, kerana untuk kali ini, saya dan suami menggunakan Business Class. Dari urusan check-in sehinggalah ke urusan imigresen, ia dapat dilaksanakan dalam tempoh yang sangat singkat kerana penumpang Business Class mempunyai laluan khas untuk hal-hal tersebut. Usai segala urusan pelepasan, saya dan suami menuju ke Malaysia Airlines International Lounge pula di Satellite Building. Maka, melepaklah saya dan suami menunggu waktu penerbangan sambil makan dan minum dengan selesa. Dalam tempoh sama, kami berdua juga menunaikan solat Asar sebelum berlepas dan surau juga turut disediakan di dalam lounge tersebut.

Alhamdulillah. Semoga Allah memudahkan dan melindungi urusan kembara ini.

20 September 2017

Apabila Sudah Lama Tidak Merayau

Sepanjang sakit yang teruk, saya lebih banyak diam di rumah. Samada semasa mendapat cuti sakit, atau sepanjang bekerja dalam keadaan berkerusi roda. Pun, apabila semakin sembuh, hobi berkelana ke pelbagai lokasi tetap tidak boleh dilupakan.

Lalu, misi dimulakan dengan memperbaharui pasport saya. Sudah lebih 5 tahun sakit, maka selama 5 tahun jugalah pasport saya kekal berkubur tidak digunakan. Bezanya, kali ini saya akan bekelana bersama suami. Alhamdulillah, urusan pasport sangat dimudahkan Allah. Tempoh satu jam dari tiba di pejabat imigresen hinggalah menerima pasport di tangan merupakan satu tempoh yang sangat singkat. Sementelah, sudah lama saya tidak ke pejabat imigresen.

Setelah memiliki pasport, seolah-olah satu kaki sudah masuk ke dalam kapal terbang. Tanpa bertangguh, saya mula mencari-cari lokasi yang hendak ditakluk. Haha. Masih tidak ada idea, dan untuk makluman, saya bukanlah suka melancong dengan menggunakan pakej dari agensi pelancongan. Semua saya redah sendiri, samada mahu mencari tempat menginap, tiket kapal tebang, visa, transportation, makan dan minum ataupun tempat-tempat yang mahu dilawat. Paling utama, saya mahukan lawatan yang selesa dan santai serta tidak terkejar-kejar, dapat memerhati keadaan persekitaran di luar negara dari kacamata seorang pengembara, dan tidak terhad kepada tempat-tempat menarik bagi kaki pelancong sahaja.

Setelah puas membelek internet, maka saya pun membeli tiket penerbangan 4 hari selepas saya memperbaharui pasport. Hotel juga dapat diselesaikan pada malam yang sama saya membeli tiket penerbangan. Malah, pada keesokan harinya, saya menyelesaikan pula urusan imigresen ke negara yang ingin saya lawati bersama suami. Urusan dokumen-dokumen seperti itu mampu diselesaikan dalam tempoh 24 jam sahaja, dengan bantuan internet. Cuma, paling penting kena pastikan laman web yang kita gunakan adalah laman web yang sahih, kerana dalam semua urusan akan melibatkan transaksi secara online. Jadi, saya namakan kaedah saya ini, redah berhemah. Redah-redah juga, tapi pastikan semuanya tepat.

Tipsnya, perlu rajin dan pantas membuat pelbagai pembacaan dari pelbagai sumber, serta memastikan semua perkara telah diambilkira dengan baik. Samada sebelum membeli tiket kapal terbang dan hotel, sebelum terbang, semasa terbang, setelah tiba di lokasi, semasa hendak terbang pulang, dan semasa tiba semula di Malaysia. Semua perlu direkodkan dengan sempurna. Seumpama sebuah senarai semak, bagaimanapun untuk mengelak mengambil masa dalam hidup yang banyak, ianya perlu dilakukan dengan pantas. Barulah kita dapat mengembara dengan selesa, dan halal haram jua turut dijaga. InsyaAllah.

04 January 2017

3 Subjek Lagi...

Apabila sudah lama tidak menghadapi peperiksaan, maka bilangan peperiksaan sangat 'mengujakan'. Masih ada 3 subjek lagi yang belum habis untuk tempoh ini, dan satu lagi adalah pada esok hari.

Sudah gaya apa menaip di blog jika mahu menghadapi peperiksaan. Makanya, jika anak-anak anda menghadapi peperiksaan, jangan dibebankan sangat dia dengan pelbagai perkara.

Stress lagi dari nak presentation ni...

Hanya Allah yang tahu apa ada di hati ini.
Hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk kita.

Semoga Allah memudahkan urusan kembara ilmu ini dan memberikan kejayaan cemerlang bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat. InsyaAllah.