30 January 2007

Pengembara 11

Assalamualaikum warahmatullah,

Lama saya tidak mengusik catatan pengembaraan saya di sini. Walau apapun, hanya sesekali yang saya ada kelapangan, saya menjenguk jua catatan yang tidak dapat saya tuliskan. Masa yang amat menuntut saya, dan suasana yang membuatkan saya tidak dapat berkongsi hasil catatan saya di sini.

September 2006, saya mula menjejakkan kaki di daerah ini. Mulanya, saya terasa amat asing. Walau tidak terlalu jauh dari tempat sebelumnya, saya mula merasakan kelainan. Wajah-wajah yang berlainan mula menari-nari di hadapan mata saya, seorang demi seorang mula saya kenali. Pun, sikap dan peribadi yang berbeza menjadikan saya sedikit kaku. Kekasaran, tengkingan dan herdikan menjadikan saya kesasar seketika. Saya tidak betah, pastinya. Pun, memikirkan yang positif, saya menganggap itu semua sebagai satu cabaran. Sementelah, bulan Ramadhan yang menjelma menjadikan saya lebih lega.

Oktober 2006, hari raya yang menjelma seperti tiada makna apa-apa kepada saya, sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Kegembiraan suasana itu hanya semasa kecil agaknya. Apabila sudah dewasa sebegini, kedewasaan itu lebih menjadikan saya pemikir dan tidak betah melalui saat-saat penuh kegembiraan seperti dahulu agaknya. Pun, saya balik ke kampung lebih kurang seminggu juga, walau cuti yang sepatutnya lebih panjang telah dikurangkan dengan alasan ada tugas yang lebih penting menanti saya di pejabat.

November 2006, saya lalui di dalam kesibukan yang teramat. Ditambah dengan beban tugas di pejabat yang agak mendesak, dan rupa-rupanya saya masih cuba menyesuaikan diri di tempat baru! Suasana itu masih sama seperti di September yang lalu. Saya masih terasa asing di daerah ini. Penyesuaian itu terlalu lama mungkin kerana keserasian dan sayangkan suasana lama yang sentiasa terpahat di ingatan saya. Entah bila mode ini akan berubah, dan saya hanya mampu berdoa semoga Allah SWT akan memudahkan segala urusan saya di daerah ini. Daerah yang masih asing pada saya.

Disember 2006, hujung tahun yang membawa saya mengingati umur yang kian meningkat. Pelbagai pertanyaan yang mendesak hanya saya abaikan begitu sahaja. Bagaimana mahu memberikan komitmen sedangkan saya tidak terdorong ke arah itu? Bukan saya menolak fitrah semulajadi kehendak manusia itu, tetapi saya sendiri masih mencari pendorong dan pembela kebenaran yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Walau ramai di luar sana, yang mana agaknya dikhaskan untuk saya, dan jawapan ini sebenarnya hanya ada padaNya. Hanya doa yang mampu saya panjatkan semoga segala kesukaran ini tidak akan mengubah rasa taat dan keimanan saya padaNya. Saya hanya ada Dia. Tiada yang lain. Hanya Dia yang Maha Esa.

Awal 2007, saya menunggu-nunggu 20 Januari 2007. Bukan kerana saya tidak meyakini diri dengan tarikh lain, tetapi tarikh itu lebih penting pada saya, kerana pada ketika itulah saya akan terbayang-bayang Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar meredah gelap pekat malam dari Mekah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah. Bagaimanakah kita hendak menjadikan Islam itu kuat sedangkan di ketika ini, diuji sedikit sahaja, kita sudah rebah. Entah apalah nasib manusia seperti saya terutamanya kalau berada di zaman itu? Mahu dengar seruan Islam, atau saya sendiri akan duduk bersama-sama Abu Jahal merancang untuk menghalang seruan yang murni itu?

Entahlah. Apa yang pasti, semoga Allah menggolongkan saya dan semua umat Muslimin dan Muslimat di dunia ini di dalam kelompok orang-orang yang beriman, InsyaAllah.

Ya Allah, permudahkan sakaratul-maut bagi kami yang lemah ini.
Ya Allah, bantulah kami untuk menjaga iman-iman kami.
Ya Allah, lindungilah kami dari gejala negatif dan lorongkan kami di jalan yang Engkau redhai.
Ya Allah, ampunkan kami, hamba-hambaMu yang lemah lagi hina ini.

Amin.

Wahai dunia 2

Assalamualaikum warahmatullah,

Wahai abah
Ku sambung tulis lamunan ini
Kenangan silam yang sudah pergi
Tiada aku kecapi
Kini dan di saat ini
Walau kau masih
Ada di sisi.

Wahai abah
Duniaku tiada indah
Terus terpanjat syukur
Walau diterpa kelam
Walau sering kealpaan
Kerana aku yang malang
Hanya mahu menumpang
Kasih seorang usang
Yang jauh tiada batasan.

Wahai abah
Hati ini kian rapuh
Ingatan itu tetap jua utuh
Tiada yang jatuh
Dalam kalam ini
Aku masih menanti
Kasih dan janji
Yang tidak pasti.

Wahai abah
Lamunan ini masih tidak putus
Kerana banyak kenangan
Antara abah
Dan aku yang masih mentah.

29 January 2007

10 Muharram 1428H / 29 Januari 2007

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Selamat Tahun Baru Hijrah kepada semua muslimin dan muslimat di seluruh dunia. Telah 1428 tahun berlalu dan pelbagai penghijrahan telah dibuat sejak di zaman Rasulullah SAW hinggalah ke saat ini. Tapi, apakah penghijrahan kita ini sama seperti hijrah penganut awal Islam di zaman jahiliah dahulu semasa bergerak menuju ke Habsyah, atau apakah sama dengan hijrah Rasulullah SAW ke Madinah? Paling pasti, untuk kita sekarang ini bukanlah ancaman dan ketakutan kerana penderitaan fizikal, tetapi rohani dan hati kita yang telah dijajah oleh pemikiran yang songsang.

Lama benar saya tidak menulis di sini. Masa yang saya cemburui, atau masa yang mencemburui saya, pilihlah salah satu antaranya. Pelbagai kejadian dan peristiwa yang tidak dapat dielakkan menjadikan saya benar-benar di dalam kesuntukan. Pun, masa itu bukan masalah. Masalah itu timbul hanya kerana perancangan yang masih belum dapat dipraktikkan sepenuhnya. Sekadar merancang belum tentu akan membuahkan hasil sekiranya tiada iltizam yang kukuh dan padu untuk membuat perubahan. Ini jua Hijrah. Jika ada perubahan ke arah yang lebih baik dan lebih diredhaiNya.

Mode saya hari ini, mahu lebih bertenaga dan mahu menjadi perancang yang lebih sempurna. Hakikatnya, Maha Sempurna Dia yang tidak boleh dipertikaikan. Semoga urusan saya dipermudahkanNya untuk hari ini dan hari-hari seterusnya, insyaAllah.

Ya Allah, andai kematian untukku pada hari ini, matikanlah hambaMu ini di dalam keadaan beriman padaMu, dan jua untuk semua muslimin dan muslimat di dunia ini. Hidayah dariMu Ya Allah, pada sepertiga malam yang tadi, walau tanpa solat, membuatkan hambaMu ini tertunduk sayu. Apakah dunia ini masih mengheret hambaMu ini ya Allah.

Ya Allah, bantulah hambaMu yang lemah ini ya Allah, untuk perkara dunia dan perkara akhirat. Redhailah hambaMu ini. Hanya petunjukMu dan nur dariMu yang dapat menerangi kehidupan ini. Semoga hambaMu ini sentiasa di dalam lindunganMu. InsyaAllah.