Dunia yang sempurna dengan kebaikan ibarat sebuah ladang yang subur dan dipenuhi tanaman yang bermanfaat dan dapat dituai pada masa yang tepat untuk dibawa pulang sebagai bekal di akhirat yang kekal abadi. Berjihadlah di ladangmu kerana Allah yang Maha Esa.
14 November 2011
Pembuka Minda
Alhamdulillah. Ia membuka minda saya kepada negara itu.
pertama - teliti dan halus dalam perbuatan berkaitan agama, walau dalam hal remeh temeh.
kedua - kekuatan Islam yang ditunjangi mereka.
ketiga - cara dan praktikaliti mereka membina ukhuwah sesama Muslim.
...dan lain-lain lagi.
Malah, perjuangan belia muda-mudi negara tersebut dalam mengorak perjuangan kepada Islam yang syumul cukup indah. Saya terus berharap, penulis yang saya kenali melalui coretan beliau di Majalah i suatu ketika dahulu, dan sehingga kini masih terus meminati olahan idea beliau, akan terus berkarya dengan karya-karya sebegini.
Ia, hanya diperolehi melalui pengalaman, yang diolah menjadi bahan pembacaan.
Semoga Allah sentiasa meredhai dan memberkati kita semua, insyaAllah.
13 June 2009
Macam-macam
2. Saya mula bertegas dan jadi lebih tegas. Keadaan di pejabat saya agak kritikal. Saya tidak mahu bertanggungjawab kepada kerja yang tidak mematuhi prosedur.
3. Bicara Faisal Tehrani di radio IKIM pada Jumaat, 6.30 - 7 petang. Saya sedang mengajar waktu itu, tapi telinga saya tidak putus mendengar radio. Salah satu yang saya masih ingat : membaca, membaca, membaca, membaca dan menulis.
25 April 2009
Pesta Buku Antarabangsa 2009
Segera naik ke Tingkat 3 (rasanya) dan menuju ke gerai Arah Pendidikan untuk membeli sebuah buku English. Kemudian ke McGraw Hill dan membeli sebuah buku psikologi.
Turun semula dan nampak gerai Ameen Serve...terus saya singgah dan menyambar sebuah Ketupat Cinta. (Saya tidak dapat mengambil gambar Ketupat Cinta dan beberapa buah buku lain yang saya beli hari ini kerana kamera saya tertinggal di pejabat...)

Kata adik di gerai tersebut," Datanglah selepas 3.30 kalau hendak berjumpa dengan Faisal Tehrani...", sambil saya menghulurkan duit merah sekeping dan duit hijau dua keping kepadanya.
Saya hanya tersenyum. "Sampaikan aje salam saya pada dia. Saya tak boleh tunggu kerana ada hal 3.30 petang nanti...". Adik tersebut tersenyum dan menyatakan 'InsyaAllah' mendengar jawapan saya.
Ya, kalau saya tidak ada mesyuarat pada pukul 3 petang pun, saya memang tidak boleh menunggu untuk bertemu pengarang Ketupat Cinta ini (walau di hati teringin untuk menunggu..). Ini kerana saya punya waktu rehat dari pukul 12.15 hingga 2.45 petang sahaja. Bagaimanatah saya wajar menggunakan masa pejabat saya untuk perkara yang bukan hal pejabat semasa waktu pejabat. Di mana amanah yang saya galas? Huh....saya simpan kejap2 dalam hati untuk datang lagi ke Pesta Buku andai ada kesempatan.
Ya, Ketupat Cinta-nya masih belum saya baca. InsyaAllah, usai membacanya, saya akan mengulasnya sedikit di laman ini. InsyaAllah.
30 March 2009
TTD Versi Radio IKIMfm
Usai mengajar, mata saya sudah sangat mengantuk. Namun, saya tahu, saya perlu memandu. Maka, dalam hujan renyai-renyai saya mula memandu dari Puncak Jalil melalui laluan menuju ke Putrajaya di dalam keadaan mata yang kurang cerah.
Pun, apabila saya mula memandu, selalunya saya memang akan membuka radio. Ayat demi ayat yang didengar melalui radio IKIMfm sekitar 9.30 malam rupa-rupanya membuatkan mata saya menjadi sedikit cerah. Kisah Sazli di tengah ladang betik, dan tanpa disangka-sangka, inilah kali pertama saya mendengar suara pengarang yang hasil tulisannya sudah saya baca sejak tahun 1997 lagi sewaktu saya masih berada di universiti.

Ya, kisah Tunggu Teduh Dulu di dalam Duniaku Buku - salah satu rancangan popular di Radio IKIMfm. Buku yang saya sudah ulang baca sebanyak 5 kali (saya sudah membeli buku ini semasa kulit buku yang pertama lagi) - setiap kali saya membacanya, rasanya masih sama seperti baru kali pertama membaca. Dalam rasa kantuk dan kesejukan yang amat beserta hujan renyai-renyai yang turun membasahi bumi, saya jadi sedikit bertenaga untuk meneruskan pemanduan sehinggalah apabila rancangan tersebut ditamatkan, kereta saya sudah diparkir di tempat meletak kereta di rumah saya. Tahniah kepada penulis buku ini.
27 January 2009
Deru Angin 1430H
Baru bulan pertama di tahun 2009, dunia saya hampir berputar 720 darjah. Di pejabat malah, saya sudah tidak sempat membelek suratkhabar. Hanya kerja, mesyuarat, perbincangan dan mengejar dateline yang tak pernah habis. Usai masa di pejabat, tidak pernah lagi saya boleh bertangguh dan hanya mampu memandu terus menuju ke rumah pelajar-pelajar saya. 11 malam pula, apabila tiba di perkarangan rumah, sekiranya saya terserempak dengan 'kawan-kawan' yang masih bermesyuarat, saya perlu duduk sama untuk mengambil kisah tentang hal-hal rumah dan kejiranan pula. Usai mesyuarat seawal 12 malam, barulah dapat saya membaringkan diri. Esoknya, rutin yang sama berulang semula untuk diri saya.
Dunia saya kini, ibarat dunia seorang robot!
Namun, saya merasa sangat bersyukur. Di dalam menjadi robot, saya tahu ini laluan saya yang telah ditentukan oleh Allah. Di dalam kesibukan ini, terkadang Allah masih memberi ruang-ruang senggang kepada saya untuk menelusuri kehidupan ini dengan cara yang lebih diredhai.
Saya masih dibenarkan bernafas dengan sempurna, dan masih sempat melayan diri menahan sakit kepala yang kadang-kadang hadir apabila kepala sudah tepu dengan pelbagai perkara yang perlu diselesaikan.
Saya juga masih ada naluri kemanusiaan walaupun hanya mampu berfikir dan berdoa sahaja. Usah ditanya kadar kebencian kepada mereka yang tidak berperi kemanusiaan, saya tidak tahu bagaimana saya mahu menetapkan kadarnya - saya hanya mampu menahan kesedihan, dan berdoa supaya orang-orang yang teraniaya dan tidak berdosa akan sentiasa berada dalam perlindungan Allah.
Saya masih sempat membeli dan membaca sebuah dua buku atau majalah yang saya beli sebagai pelengkap maklumat dalam kehidupan walaupun terpaksa tidur lewat sedikit hingga 2 atau 3 pagi untuk menghabiskan sesi membaca.
Salah sebuah novel yang saya sempat baca dan penghayatan mungkin 40% saja yang masuk dari isi novel ini. Pun, kadar pemikiran saya untuk novel ini naik sehingga 85%. Tahniah kepada penulis novel ini...
Saya masih sempat makan, minum, malah memasak juga. Malah, masih sempat membelek pokok-pokok saya 'yang berjaya diselamatkan'. Hmm, saya terlupakan pokok-pokok tersebut sehinggakan 'mereka semua' kekeringan. Kasihan! Cuaca mungkin terlalu panas hinggakan kuantiti air yang biasanya mencukupi menjadi tidak cukup pula. Saya sendiri boleh menjadi 'kering' di dalam cuaca panas begitu, apatah lagi pokok-pokok tersebut.
Ya, saya juga masih sempat menghubungi emak saya setiap hari, masih sempat bersolat, masih sempat membelek-belek diri.
Jadi, sibukkah saya? Itu yang saya selalu fikirkan sebenarnya. Dalam sibuk dan tidak ada ruang senggang itu, Allah masih benarkan saya lakukan banyak perkara lain yang berada dalam redhaNya. Hal terlalu penat dan terasa mahu bermalas-malas itu saja yang tidak boleh saya lakukan, yang pastinya mengundang kemalasan dan membazirkan masa 24 jam yang Allah berikan dalam sehari.
Inilah yang saya fikirkan. Saya tahu, walau nampak jadual saya agak padat dengan masa yang tidak ada ruang senggang, di situlah kasih sayang Allah untuk saya. Malah, saya rasa tidak ada masalah sekiranya saya menambah satu atau dua aktiviti lagi bagi merancakkan 24 jam kehidupan saya.
Sering berfikir itu, bukankah Allah amat meredhainya? Tanpa sedar, saya sendiri menjadi seronok dengan kesibukan ini. Banyak himahnya, banyak redhaNya.
Alhamdulillah.
20 November 2008
Tunggu Teduh Dulu
Sejak adik duduk bersama saya, saya sudah jarang membaca buku, walau saya sering cemburu dengan masa senggang adik yang sangat banyak. Saya rasa, buku-buku di rak saya sudah banyak yang dibacanya, sementelah saya pula yang kurang membaca.
Pun, bila saya serahkan 'Tunggu Teduh Dulu' kepada adik untuk dibaca, saya tahu saya teringin mahu mengulang semula baca novel tersebut. Ada daya tarikan tersendiri pada novel tersebut yang membuat saya mahu membacanya semula buat kali kedua. Saya masih ingat, 'Tunggu Teduh Dulu' saya baca selepas saya pulang dari Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah pada tahun lepas. Momen kenangan itu masih terlekat erat di minda saya.
Sudahnya, malam tadi saya mengulang semula membaca 'Tunggu Teduh Dulu'. Saya mula terbayang kulit baru novel ini yang berwarna biru - untuk elakkan pembaziran kerana saya sudah memiliki 'kulit yang lama', walau teruja apabila bertemu 'Tunggu Teduh Dulu' berwarna biru di kedai buku beberapa bulan lepas, saya menahan diri dari membelinya. Paling penting isinya, bukan kulit jadi keutamaan - saya sedang memujuk hati.
Usai mengajar, mandi dan solat, saya mula membuka novel tersebut. Hingga santak mata saya, sambil melayan sms seorang sahabat yang ingin bertanyakan tentang harga rumah-rumah di kawasan Bandar Baru Bangi, saya berjaya membaca sehingga ke tahap Salsabila Fahim bertemu Saifullah di sebuah hotel. Tiba ke tahap itu, jam di paparan telefon saya sudah menunjukkan pukul 12 malam. Esok kerja, dan saya bergegas menutup lampu dan terus membaca doa tidur.
Benar, saya teruja membacanya semula. Novel itu dibuat dengan hati, bukan dengan minda. Hasilnya meresap ke hati saya, dan bila saya membacanya buat kali kedua, saya tahu saya harus setabah Salsabila di dalam mengharungi kehidupan ini. Hubungan rapat dengan Yang Maha Esa (ini saya kurang pasti kerana saya tahu, jarak saya dan Dia sangat jauh - akhlak saya tidak syumul....aduhai!) dan solat malam yang sukar ditinggalkan oleh Salsabila - ini juga bukan saya - walau saya sering juga bangun malam dan suka melihat bintang, bulan dan.....kereta saya di luar rumah seawal 3 pagi. Hmm, saya jarang lena dalam tidur. Wahai hati, tahajjud dan tahajjud dan tahajjud lah. Hati, degilnya hati saya....semoga Allah memudahkan urusan hati saya menuju Dia, insyaAllah..
Itulah. 'Tunggu Teduh Dulu' bukan sekadar sebuah novel biasa - baca dan panduan darinya meresap ke dalam jiwa. Wahai jiwa, berubahlah...kerana Dia sentiasa menanti kita merintih padaNya...