Dunia yang sempurna dengan kebaikan ibarat sebuah ladang yang subur dan dipenuhi tanaman yang bermanfaat dan dapat dituai pada masa yang tepat untuk dibawa pulang sebagai bekal di akhirat yang kekal abadi. Berjihadlah di ladangmu kerana Allah yang Maha Esa.
17 September 2013
Ujub dan Riya'
Riya' = menunjuk-nunjuk (contoh menyatakan saya kaya, saya cantik, saya disukai ramai, saya sentiasa banyak beribadat)
Kedua-duanya dikategorikan syirik kecil.
Allah yang Maha Hebat. Kita hanya hamba yang meminjam segalanya dari Allah, termasuk diri dan hati kita sendiri.
Firman Allah, maksudnya :
"Dan di antara manusia ada yang pembicaraannya tentang kehidupan dunia mengagumkan engkau (Muhammad), dan dia bersaksi kepada Allah mengenai isi hatinya, padahal dia adalah penentang yang paling keras.
Dan apabila dia berpaling (dari engkau), dia berusaha untuk berbuat kerosakan di bumi, serta merosak tanam-tanaman dan ternak, sedang Allah tidak menyukai kerosakan.
Dan apabila dikatakan kepadanya, 'bertakwalah kepada Allah', bangkitlah kesombongannya untuk berbuat dosa. Maka pantaslah baginya neraka Jahanam, dan sungguh (Jahanam itu) tempat tinggal yang terburuk."
Surah Al- Baqarah : 204-206
Semoga Allah sentiasa melindungi kita dari riya' dan ujub. InsyaAllah.
16 September 2012
Asyik Membeli-belah
Ya. Memang banyak aktiviti yang boleh dibuat. Tapi, saya dan suami hanya melepak di rumah saja. Sungguhlah malas, walau mahu keluar ke pasaraya di hadapan rumah. Tiada apa-apa yang mahu dibeli.
Okey. Saya memang suka membeli-belah. Barang-barang yang saya selalu beli dan belah, sebahagiannya adalah seperti berikut :-
bawang merah, bawang putih,
kentang, beras,
ikan, udang, daging kambing (bolehkah...habis je stock dan terus pi mencari lagi...),
serai, tomato, lobak, brokoli, kobis bunga, sawi, bayam, kangkung,
cili padi, cili merah/hijau, capsicum,
spaghetti, fussili, macaroni,
keju, tepung gandum, dan lain-lain.......
Ya. Memasak sendiri di rumah, memang sudah jadi habit. Jadi, stok wajib sentiasa ada dan peti sejuk mesti sentiasa ada ruang untuk menjadi tempat simpanan barang-barang.
Banyak kan yang perlu dibeli? Ya. Agak banyak. Selalunya memang agak panjang juga senarai barang di dalam resit pasaraya, sehingga terkadang (masa awal-awal belajar membeli barang dapur banyak-banyak) sering pula 'tertipu', entahlah samada tertipu atau ditipu dengan sengaja. Oleh siapa?
Ya. Ia memang pengalaman saya sendiri.
Setelah selesai memilih barang-barang, lalu tiba di kaunter pembayaran, biasanya kalau sebelum-sebelum ini, saya jarang benar melihat skrin komputer untuk melihat 'setiap' harga barang yang di-scan, tetapi selepas beberapa kali pengalaman (yang setelah tiba di rumah, membelek resit pembelian....eh! kenapa harga dalam resit ni lain dari harga yang dipamerkan di rak semasa membuat pilihan barang? tapi..yalah...takkanlah nak pergi semula ke pasaraya semata-mata kerana beza harga barang sebanyak 50sen atau seringgit kan?)
Pun, setelah melalui pengalaman yang banyak (yang apabila dihitung-hitung, mungkin saja saya sudah mengalami kerugian menghampiri RM100, atau lebih, apabila ia kerap berulang-ulang dalam tempoh hampir 2 tahun ini, walau berlainan pasaraya yang saya pergi untuk membeli barang-barang dapur...) lalu saya sering bertekad, juga memaklumkan kepada suami, supaya melihat dengan 'sangat-sangat teliti' semasa barang-barang di-scan. Jika ada kesilapan, boleh dimaklumkan segera pada masa itu juga.
Hasilnya, dalam sepuluh kali pergi membeli-belah, pasti ada 3 atau 4 kali berlaku kesilapan 'harga'. Harga yang di-scan selalunya memang lebih dari harga yang terpapar di rak-rak. Lalu selalunya akan membayar lebih, yang jika ia berlaku kepada saya seorang, kesilapan mungkin hanya 50sen...sangat-sangat sedikit, tapi jika berlaku kepada jutaan orang lain, berapakah agaknya 'keuntungan' yang dapat diperolehi dari sedikit 'kesilapan' kita yang jarang benar menjadi teliti ini.
Tapi, itulah. Bila sudah pergi ke pelbagai pasaraya, mengalami pengalaman di bermacam-macam pasaraya, sebilangan besar pasaraya mengakui 'kesilapan' dan membuat 'pembayaran semula' walaupun hanya sekadar 60 sen, tetapi ada juga sebilangan pasaraya yang mempunyai pekerja yang bersikap 'saya tak tahu, ni kerja orang yang meletakkan harga barang'. Bila ada sikap seperti ini, pelanggan seperti saya yang berniat mahu datang semula membeli di situ, sudah tidak jadi mahu membeli pula di masa-masa akan datang.
Sungguh saya akui, 'customer service counter' sangat perlu bagi menjamin kepuasan pelanggan, dalam apa jenis perniagaan, walau di mana pun lokasi perniagaan anda, atau jenis apakah pelanggan yang datang untuk mendapatkan khidmat perniagaan anda.
Please. Don't ever judge a book by it's cover.
Kembali kepada fitrah, bersama rezeki yang lebih diberkati dan diredhai Allah, walau dengan hanya nilai 20sen. Ada satu kisah yang saya pernah terbaca tentang nilai 20sen, lebih kurang begini ceritanya...
'Ada seorang ustaz menaiki bas untuk menuju ke suatu lokasi. Duit baki tambang yang dihulur oleh si pemandu bas bukan beragama Islam rupanya terlebih 20sen. Ustaz hanya perasan setelah duduk di dalam bas. Berbolak-balik hatinya samada mahu memulangkan lebihan 20sen itu atau tidak, walaupun hatinya menafikan yang pemandu bas sedar akan hal tersebut. Pun, Allah Maha Berkuasa. Sewaktu mahu turun dari bas setelah tiba di lokasi yang dituju, ustaz tersebut menyerahkan semula 20sen kepada pemandu bas. Lalu kata pemandu bas - wahai ustaz, saya hanya ingin menguji anda. Sengaja saya memberi terlebih 20sen. Jika Islam benar-benar jujur, tentu anda akan memulangkan semula lebihan duit tersebut. Saya bersedia untuk menganut agama Islam kerana Islam benar-benar syumul.
Beristighfar ustaz tersebut di dalam hati. Mahalnya nilai 20sen, yang jarang dipandang orang. Ia mampu mengubah akidah dan kepercayaan, jika benar-benar dikehendaki oleh Allah.'
Sedikit perkongsian untuk hari ini. Semoga kita semua sentiasa diredhai Allah. InsyaAllah.
21 April 2012
Cerita Tentang Hati
Kalau nak di-analogi-kan...dibayang-bayangkan...cuba waktu solat ni dianggapkan macam waktu untuk masuk panggung wayang (contoh la ni kan...). Kalau dapat masuk on time, tepat pada masa, dapat tengok movie dari awal bersiaran hinggalah habis...tentu rasa berbaloi-baloi kan...tapi kalau masuk dalam panggung lagi 10 minit nak habis movie, apa perasaan anda? Tapi...pelik pula...kalau 'terlepas tengok wayang', rasa nak menangis dan rasa rugi tersangat-sangatlah ruginya. Mesti masuk ke dalam pawagam paling awal...
Tapi, kalau terlewat solat, ada tak antara kita semua yang akan menangis? Ada tak antara kita yang rasa rugi? Ada tak yang rasa teramat sedih? Ada tak antara kita semua yang menjadi 'penanti dan penunggu setia' kepada waktu solat, sentiasa menanti-nantikan waktu solat tiba? Hmm...untuk difikir dan direnung-renungkan. Rasanya, anda semua lebih arif dengan jawapan dari hati anda kan? Errm...entah bilalah hati kita ni nak 'improve' ek? Kalaulah esok pagi maut datang menjemput...kalaulah esok pagi terjadinya kiamat? Aduhai...
Usai solat Asar, saya masih duduk di masjid. Menanti waktu solat Maghrib, dan kemudian selepas solat Maghrib berjemaah, memang akan ada Kuliah Maghrib pada setiap malam di masjid ini. Malam itu, Ustaz Khusairi Hamthan membicarakan tentang akidah, akhlak dan hati.
Saya terkesan dengan kuliah yang beliau sampaikan berkenaan tentang kewajipan solat berjemaah. Bagaimana Rasulullah berkeinginan membakar rumah-rumah para sahabat yang tidak menghadirkan diri untuk solat berjemaah. Walhal, kita semua sedia maklum, Rasulullah ini manusia terbaik yang punya ketinggian akhlak, kesempurnaan diri yang dianugerahkan Allah kepada beliau. Beliau kekasih Allah. Jadi, jika kitalah...ya...kita yang tidak maksum ini...kita ini tidak maksum pun...apa kesalahan yang boleh dibuat oleh seseorang kepada kita sehingga menjadi sebab untuk kita membakar rumah seseorang? Apakah jenis kesalahan agaknya....dan ia boleh dibayangkan betapalah 'besarnya' kesalahan orang yang tidak menghadirkan diri dalam solat berjemaah pada setiap waktu solat fardhu sehingga rumahnya boleh dibakar oleh 'Rasulullah yang maksum'. Ya, saya takut. Dari dulu lagi sudah tahu...tapi...seperti biasa, tuntutan waktu kepada 'dunia' sering membataskan diri. Terlebih untuk solat Subuh berjemaah di masjid. Sungguhlah amat payah...Ya Allah...jadikan ia mudah...solat berjemaah ini mudah...untuk saya, keluarga saya, dan semua muslimin dan muslimat...insyaAllah...
Kemudian, ustaz juga menyampaikan tentang 'MUDAHNYA UMAT ISLAM ZAMAN INI MEMPRAKTIKKAN PERKARA-PERKARA YANG SILAP DAN DILARANG OLEH ALLAH'. Lebih mudah jika dikatakan bahawa umat Islam zaman ini 'menjadikan perkara haram sebagai cara hidup'. Contoh yang diberikan oleh ustaz sangat mudah. Ia berkaitan tentang 'menjaga aurat' - saya letakkan perkataan 'menjaga' di sini...kerana perkataan 'menutup' aurat tidak sinonim dengan 'menjaga aurat'. Kata ustaz, Perkara 1. Jangan pakai pakaian jarang hingga menampakkan bentuk badan (ini mengingatkan saya kepada malam sebelumnya sewaktu saya sedang duduk di tempat meletak kereta di hadapan Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah di Bandar Baru Bangi, malam sudah lewat...suasana gelap yang ada hanya cahaya dari Pusat Rawatan Islam tersebut sahaja...tiba-tiba ada 3 orang wanita lalu di hadapan kereta saya menghala ke pusat rawatan tersebut. 2 orang berpakaian 'ketat' dan seorang lagi memakai baju longgar tetapi menjadikan 'saya malu' untuk melihatnya. Ugh!! Saya yang wanita ini pun merasa amat malu untuk melihatnya. Apabila saja wanita itu lalu di hadapan saya, susuk tubuhnya amat jelas dilihat 'dengan bantuan cahaya' dari hujung kaki hingga ke pinggang, mujurlah memakai baju sejuk dan tebal di bahagian atas badan, dengan memakai tudung. Errmmm....nasihat saya kepada para wanita...TOLONG! Sila tolong pakai 'kain di bahagian dalam' pakaian anda, atau pakai seluar panjang yang agak longgar di bahagian dalam pakaian anda jika anda memakai baju kurung atau apa-apa saja pakaian yang nampak 'labuh dan menutup' tetapi sebenarnya ianya jarang...ia TIDAK MEMBOLEHKAN ANDA 'MENJAGA AURAT' ANDA...).
Perkara 2 yang disebut oleh ustaz pula adalah tentang pemakaian 'ketat' dan 'sendat' yang memang berleluasa sekarang. Ini, saya tidak perlu ulas. Semua sudah sedia maklum bagaimana sendatnya pakaian zaman ini hingga menampakkan apa saja bentuk tubuh, samada seseorang wanita itu mempunyai susuk badan yang 'berisi' ataupun tidak. Malah, pakaian-pakaian seumpama ini dijual dengan berleluasa. Sangat banyak. Apa yang saya mahu nyatakan, ia sungguh benar DILARANG OLEH ALLAH...walaupun majoriti...ya, walaupun memang ramai wanita di zaman ini yang berpakaian sebegini. Ya...kerana ia dibuat oleh 'majoriti'...ia jadi seperti satu 'kebiasaan yang dibolehkan'...kenapa kita tak rujuk semula kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW apabila ada keraguan di hati kita? Kita di zaman ini....suka benar 'mengikut rentak dan gaya orang lain'...tidak belek-belek pun samada ada redha Allah atau tidak dalam apa yang kita lakukan. Redha Allah, atau redha manusia? Kata suami saya...kalau di zaman ini, 'tidak berpakaian' itu menjadi satu fesyen...maka semua orang pun akan menganggap 'tidak berpakaian' itu sebagai satu perkara normal kerana ia dibuat oleh 'majoriti'...
Malah, ustaz juga membicarakan dan menegur tentang 'tudung ranting pokok'. Haha. Mungkin ia cuma istilah saya, tapi kata ustaz, majoriti wanita zaman ini memakai tudung yang 'menyangkut' menutup rambut dan kepala saja, sama seperti kain yang menyangkut di ranting pokok...tidak ikut konsep tudung yang telah disebut oleh Allah di dalam Al-Quran...
Apapun, ia berkait dengan hati. Jika buntu, hati yang mengingati Allah akan mencari penyelesaian melalui jalan yang diredhai Allah. Jika sedih, Allah jua tempat kita merafaq kasih, menagih simpati. Jika gembira, Alhamdulillah...segala puji bagi Allah sekelian alam. Semunya dari Allah, dan kepada Allah kita akan dikembalikan...hanya kepada Dia...
Jadi, tepuk dada, tanya hati, belek iman. Semoga ada redha Allah dalam entri saya kali ini. InsyaAllah.
11 February 2012
Adakah Rezeki Serupa Ini Rezeki Yang Halal? Part 2
Jom...nak sambung lagi entry yang dah laaaamaaaa rasanya tak disambung...
KISAH 2
Ada sebuah kedai makan...saya katakan ia kedai makan, tapi papan tandanya menyatakan ia bertaraf sebuah restoran. Kedai makan ni terletak di sisi beberapa buah kedai lain. Kedai yang terdekat dengannya biasanya akan menutup perniagaan antara pukul 9.30 ke 10.30 malam. Okey. Nak dijadikan cerita, kedai yang bukan kedai makan tu memasang lampu yang cukup cerah hingga kecerahannya sampai ke bahagian 'bertar' di hadapan kedainya. Bahagian bertar tu biasanya memang laluan kereta pun. Ditutup separuh, so laluan tu jadi agak sempit la...
Jadi, apa yang dibuat oleh kedai makan ni...dalam pukul 3 atau 4 petang je...pekerja dah mula susun kerusi-kerusi dan meja-meja sampailah ke kawasan bertar di hadapan kedai yang bukan kedai makan tu. Kiranya memang laluan nak masuk ke kedai yang bukan kedai makan tu sebahagian besarnya dah ditutup dek kerusi dan meja-meja tu. Kadang-kadang, siap kedai makan akan letak kerusi sebuah dulu...'booking' supaya takde kereta boleh parking depan kedai yang bukan kedai makan tu...boleh pulak 'booking' depan kedai orang lain? Then, bila malam...orang yang datang makan di kedai tu akan makan di meja yang ada di kawasan bertar tu, tapi menikmati kelazatan makanan dengan menggunakan 'cahaya lampu kedai yang bukan kedai makan' tu...
Okey. Orang dah tak boleh nak masuk kedai bukan kedai makan tu untuk membeli apa-apa walaupun kedai bukan kedai makan tu tutup around pukul 10 malam pun. Macam tutup laluan rezeki orang lain ke? Laluan dah very limited...ya, memang masih ada pelanggan...tapi jika tiada 'halangan' di hadapan kedai itu...insyaAllah pelanggannya lebih lagi. Cahaya lampu pula diambil oleh peniaga kedai makan, dan kedai makan tu pulak memperoleh bayaran dari cahaya yang diambil tu bila orang yang datang, makan dan membayar di kedainya. Nak tanya ni...kalau gelap-gulita terus...bolehkah anda makan? So...boleh faham kan tentang 'penggunaan cahaya' tu kan...
Then, paling sedih...bila ada family yang mempunyai anak-anak kecil sekitar umur 2,3 atau 4 tahun...diorang makan di meja dan kerusi di kawasan bertar tu (yalah...dah diletak meja kerusi kat situ...so orang akan duduk dan makan je la kan...), tak jauh pun dalam setengah kaki je...sebab kawasan bertar tu memang laluan kereta dua hala pun...pernah juga saya ternampak seorang budak kecil hampir dilanggar kereta sewaktu ibu dan bapanya sedang makan pada waktu malam hari...salah siapa agaknya kalau budak kecil itu dilanggar? Biasalah...budak-budak kan suka main-main...memang tabiat budak-budak pun...dia tak tau pun kawasan tu very2 limited untuk dia bermain...jadi, salah pemandu kereta yang melanggar, atau salah ibu bapa kerana memilih meja di kawasan itu, atau memilih kedai itu untuk makan...atau salah siapakah sekiranya kanak-kanak itu menemui ajalnya di situ? Hmm...
Sangat jelas pula...di waktu pagi hari apabila kedai yang bukan kedai makan itu mahu memulakan perniagaannya lebih kurang 10.30 pagi...pemilik kedai makan 'membiarkan' meja-meja dan kerusi-kerusi serta pinggan dan gelas-gelas kotor betul-betul di hadapan pintu kedai bukan kedai makan. Jadi...pekerja yang bukan kedai makan ni terpaksalah 'menjemput' pekerja kedai makan untuk mengambil meja dan kerusi diorang...walau dah tahu masa perniagaan kedai di sebelahnya pun...depa akan buat sambil lewa je...
Okey...ini yang saya perhatikan sendiri almost 1 year (walau sebutir nasi dari kedai makan itu tidak pernah pun masuk ke perut saya...err saya hanya gemar memerhati dan menganalisa..). Kedai-kedai lain...minta maaflah...tak banyak kedai makan yang saya pi...sebab 'kurang rajin' makan di luar pun...tapi ada beberapa kedai seperti restoran Arab, Cina Muslim dan beberapa restoran lain yang saya pernah pi, termasuk sebuah restoran makanan Kelantan yang best, walau ia hanya sebuah restoran biasa-biasa je - biasa yang saya katakan di sini sebab harga makanan tengahari untuk dua orang sekitar RM6 atau RM7 sahaja....tapi trend-nya tidak seperti itu. Kerusi meja diletak di dalam kawasan premis dan tidak mengganggu laluan pejalan kaki pun...apatah lagi laluan kenderaan. Ini kerana perilaku seperti di atas bukan saja boleh mengganggu dan menghalang laluan, tapi boleh membawa kemudaratan kepada pelanggan yang makan di kedai tersebut juga...tanpa kita sedar...
Ia hanya sebuah perkongsian. Untuk direnung-renungkan....bersesuaian dengan 'tajuk entri' ini. Kalau nak cerita bab bahaya...lagi panjang pula ceritanya. Boleh masuk bab 'kebenaran Majlis Daerah' dan lain-lain lagi. Jadi...jom sama-sama kita renung-renungkan...perbincangan dan berfikir untuk hal ini menurut hukum Allah ya...bukan hukum ketetapan manusia...
NOTA :- Ia situasi biasa. Tapi kadang-kadang kita tidak menyedarinya. Rezeki yang tidak halal...ia menjadi darah daging, ia membentuk permasalahan sosial yang semakin berleluasa. Ia membentuk minda-minda Muslimin dan Muslimat masa kini yang tidak mengamalkan Islam 'sepenuhnya'. Ia membentuk hati kita, iman kita dan ketaqwaan kita kepada Allah.
Pernahkah kita terfikir apabila mahu melakukan sesuatu - ada redha Allah-kah untuk apa yang akan aku lakukan ini??? Jika tiada redha-Nya...adakah kita akan meneruskan juga perlakuan-perlakuan yang tidak diredhai itu?
Entri ini akan disambung lagi.
Semoga ada redha Allah untuk entri saya kali ini. InsyaAllah.
*Saya tiada kaitan dengan kedai makan itu...jua dengan kedai bukan kedai makan itu. Ia cuma suatu pemerhatian...
28 January 2012
Adakah Rezeki Serupa Ini Rezeki Yang Halal? Part 1
Sungguhlah...muka saya sudah jadi muka MC...dan itu salah satu penyebab rasa 'malu' saya untuk pergi ke klinik yang sudah hampir 7 tahun saya menjadi pengunjung setianya. Saya 'malu' sebab nanti mesti doktor akan bagi MC...dan - "asyik-asyik dapat MC je".....hehe...walaupun 'MEMANG PATUT' pun dapat MC...awok tu bukannya sihat sangat....uhuks!! Ujian sungguh...bulan ini saja saya sudah menerima 6 hari MC dari klinik tersebut....itupun sebab 'weekends' dan cuti Tahun Baru Cina merupakan hari-hari tidak bekerja....so, boleh kiralah berapa hari saja yang saya pergi ke pejabat dalam bulan Januari ini...
Sudah dua hari juga, tangan kanan yang saya sangkakan SEMAKIN SEMBUH dan mempunyai sedikit tenaga untuk digerakkan seolah-olah cemburu dengan kaki kanan yang dilayan bak raja...perghh!!! Tangan kanan 'bertambah lemah' semula...hmmm....so, memang ambil masa sangat-sangat nak mem-blog. Ambil masa semula untuk bergerak....merasakan semula kesakitan melampau...and my loving hubby dah bagitau : no more driving!!! I'll send you wherever you want to go...uhuks!!! back to 2011....back to 2011....
Okey. Itu cuma sedutan secebis kisah saya di Januari 2012 ini.
Di sini, saya hendak memaparkan beberapa 'kisah benar' yang sentiasa berada di benak dan minda saya. Okey! Ia memang kisah benar, bukan pengalaman saya...tapi pemerhatian dengan mata dan kepala saya sendiri...hehe...(just nak berkongsi kisah dan pendapat anda semua - seperti yang kamu semua sudah sedia maklum la....saya bukannya ustazah...pengajian Islam pun sangat cetek dan berada di tahap-tahap biasa saja...) So...I just want to share it with all of you...untuk sama-sama direnungkan...
KISAH 1
Terdapat seorang pekerja yang bekerja di sebuah pejabat (pejabat kerajaan atau tak...tu tak kisah la kan...yang penting ada system kat tempat kerja tu...). So, dia masuk kerja pukul 8 pagi dan balik pukul 5 petang (waktu kerja yang saya berikan ni cuma contoh...). Diberikan waktu rehat dari pukul 1-2 petang. Setiap bulan, beliau akan menerima gaji sebanyak RM3500 (okey...contoh lagi ni...). Apa yang biasa dibuatnya setiap hari...dia akan punch-card lebih kurang 2 minit sebelum 8 pagi...then dia akan meletakkan helmet di ruang kerjanya (contoh lagi ni...) dan kemudian dia akan pi kantin untuk membeli makanan. Dia akan masuk semula ke pejabat, sembang-sembang dengan kawan-kawan...sampai 10.30 pagi baru dia akan MULA buat kerja.
Then...pukul 12, dia akan keluar pi mencari makanan tengahari pulak. Dia akan siap makan dalam pukul 12.45 - okey, biasa la kan...lelaki biasanya makan agak cepat...then balik ke pejabat, mengadap komputernya untuk bermain game. Kata dia, itu waktu rehat. So, 'tak boleh' buat kerja dan kena layan game atau facebook je. Azan Zuhur pun berkumandang pada pukul 1.20 tengahari...dan dia masih leka dengan game-nya hinggalah 2.30 petang. Then, dia pun menyarung selipar untuk mengambil wudhu'. Dalam perjalanan untuk mengambil wudhu', dia singgah di meja kawan-kawan dan bersembang. Then, wudhu' berjaya diambil pada pukul 3.15 petang.
Selesai wudhu', dia singgah lagi meja kawan-kawan dan sembang. Dia berjaya tiba di surau pada pukul 4 petang (okey...waktu Ashar plak masuk pada pukul 4.25 petang..). Selesai solat Zuhur pada pukul 4.08, dia lalu di meja kawan-kawan dan bersembang lagi. Then, tetiba dia tengok jam kat tangan. Eh!!! Lagi 5minit pukul 5 la....aku nak kena balik nak ambil orang rumah aku....dan dia pun meluru ke punch-card dan punch-card tepat pada pukul 5 petang, dan dia terus balik...
Maklumat tambahan : tugasan yang diberikan kepadanya banyak yang terbengkalai atau dibuat dengan sambil lewa. Bukan tidak pernah diingatkan..malah sudah berulangkali diingatkan oleh boss atasannya - yang paling utama tentulah 'jangan melewatkan solat'..pun dia masih begitu juga. Dan, dia tidak pernah meng-qada' masa kerjanya dan menyiapkan kerja on-time tanpa bayaran overtime. Kalau nak minta dia siapkan kerja di luar masa yang sepatutnya, mesti ada bayaran over-time. Walaupun dalam masa kerja yang dia dibayar untuknya, dia tidak melaksanakan kerja dengan baik.
Jadi...persoalannya di sini...adakah patut RM3500 yang terdapat pada slip gajinya itu diterima sepenuhnya oleh beliau? Perbincangan dan berfikir untuk hal ini menurut hukum Allah ya...bukan hukum ketetapan manusia...
NOTA : Ia situasi biasa. Tanpa sedar, mungkin perlakuan kita pun serupa ini. dan tanpa sedar juga...kita 'ter'bawa balik 'rezeki yang tak halal' untuk anak-anak dan isteri kita. Ia menjadi darah daging, ia membentuk permasalahan sosial yang semakin berleluasa. Ia membentuk minda-minda Muslimin dan Muslimat masa kini yang tidak mengamalkan Islam 'sepenuhnya'. Ia membentuk hati kita, iman kita dan ketaqwaan kita kepada Allah.
Pernahkah kita terfikir apabila mahu melakukan sesuatu - ada redha Allah - kah untuk apa yang akan aku lakukan ini??? Jika tiada redha-Nya...adakah kita akan meneruskan juga perlakuan-perlakuan yang tidak diredhai itu?
Entri ini akan disambung lagi.
Semoga ada redha Allah untuk entri saya kali ini. InsyaAllah.
08 August 2011
Ugutan Kanak-Kanak?
Ya, kanak-kanak lelaki itu, saya terpaksa memaksanya keluar di tingkat 1 (rumahnya) walaupun semasa mula-mula masuk ke dalam lif, kanak-kanak perempuan itu menutup button nombor 1 dengan tapak tangannya dari ditekan oleh kanak-kanak lelaki tersebut, yang kemudiannya saya yang menekan button nombor 1 itu.
Sejujurnya, ia suatu keberanian seorang kanak-kanak 'mempengaruhi' kanak-kanak seusianya. Saya mendengarnya pun hanya sepintas lalu, namun tanpa saya sangka ia mempunyai impak besar kepada saya. Rasa mahu melindungi, rasa mahu membetulkan, rasa mahu mendidik, rasa mahu berdoa....semuanya bersatu dalam diri saya. Termasuk juga rasa sedih. Dia, mereka, kanak-kanak zaman ini merupakan generasi selepas saya. Pelapis Islam.
Tiba sahaja di hadapan lif, saya segera menekan butang 'naik' dan menunggu, kerana lif masih berada di tingkat 7. Mulanya saya tidak menghiraukan bualan 2 orang kanak-kanak di sisi saya yang sama-sama menunggu lif, tapi kemudiannya saya mula tertarik...
Kanak-kanak lelaki : Nanti emak aku marah, ayah aku pun marah....emak aku tak bagi...
Kanak-kanak perempuan : Alahhh.....emak kau bukannya tahu. Jangan bagitau dia....
Kanak-kanak lelaki : Mana boleh macam tu...tak bolehlah macam tu...
Kanak-kanak perempuan : Kalau engkau taknak, nanti aku bagitau cikgu....
Kanak-kanak lelaki : Bagitau apa?
Kanak-kanak perempuan : Errmmm...jangan bagi engkau jajan lagi....coklat....gula-gula....kalau cikgu bagi pun, semuanya aku nak....
Kanak-kanak lelaki terdiam dan berjalan hingga ke balik dinding. Kanak-kanak perempuan mengikutnya dengan 'wajah penuh yakin'.
Pintu lif pun terbuka.
Saya segera memanggil mereka berdua : Jom....dah....dah....masuk....
Setelah kedua-duanya masuk, selepas isnsiden 'button lift' yang saya ceritakan di atas, kepada kedua-duanya saya tanyakan, samada emak mereka ada di rumah atau tidak. Alhamdulillah, emak mereka berdua tidak bekerja. Lalu saya bertanyakan umur, dan puasa mereka.
Kanak-kanak perempuan : (angguk) saya puasa penuh
Kanak-kanak lelaki : tipu...semalam dia tak puasa....dia ada makan semalam...
Saya : Jadi, adik puasa penuh tak?
Kanak-kanak lelaki : (angguk) mak cakap puasa sampai petang....semua penuh...
Kanak-kanak perempuan. Tidak ada riak di wajah bersalahnya. Tidak ada perubahan air muka walau sekelumit. Dimanakah rasa malunya? Sedangkan setahu saya, anak-anak 6 tahun zaman kini sudah boleh merasa dan memikir dengan baik.
Button yang ditekannya 'nombor 7'. Sebelum keluar dari lif, saya berpesan : Puasa tau lepas ni. Kena puasa penuh. Bukan sebab raya, tapi sebab taknak Allah marah.
Cukuplah untuk hari ini...
17 August 2010
Perancangan Yang Tidak Menjadi
Sungguh ada hikmah yang sangat besar di sebaliknya yang jarang kita nampak. Kenapa kita jarang nampak hikmah itu? Dah tentu kerana kita adalah makhluk lemah dan kerdil ciptaan Allah dan sering melihat ke arah sisi-sisi negatif apabila perancangan tidak menjadi seperti apa yang kita harapkan.
Ya...saya benar-benar terpegun dan terpesona dengan hikmah yang diberikan dalam sebuah perancangan saya yang tidak menjadi.
Pagi tadi (oh...boleh ke dikategorikan pagi tadi - atau setepatnya pagi Isnin 6 Ramadhan 1431H bersamaan dengan 16 Ogos 2010) saya perlu menaiki kapal terbang dari KLIA menuju ke Kota Bharu untuk suatu urusan rasmi. Kalau ikut jadual, kapal terbang saya akan bertolak pada 7.50 pagi.
Jadi, pada hari Jumaat sebelumnya lagi (sebaik saya menerima e-ticket saya...) saya sudah memaklumkan kepada adik saya untuk mengambil saya usai solat Subuh untuk ke KLIA. Masa seperti biasa, kata saya (ayat 'seperti biasa' kerana saya rasa pintu masuk KLIA pun sudah kenal muka saya yang asyik ulang alik KLIA je sejak akhir-akhir ini...) kepada adik saya. Alhamdulillah. Adik saya bersetuju. Memang seorang adik yang sangat baik.
Lalu pagi tadi saya menunggu adik saya hinggalah jam di tangan saya sudah pukul 7 pagi. Adik saya tidak datang. Call saya sejak 6.20 pagi tidak dijawab langsung. Lalu saya capai kunci kereta dan segera memandu ke rumah abang saya...dalam hati : oh...saya akan tertinggal kapal terbang ni - pun...allahumma rabbi yassir wa la tu 'assir...saya yakin Allah akan membantu jika niat saya masih tidak terpesong - niat saya : mahu ke KB untuk mencari redha Allah dalam pelaksanaan tugas yang telah diamanahkan - untuk dunia wal akhirat...insyaAllah...
Hikmah 1.
Alhamdulillah abang saya ada di rumah. Kebetulan dan ketentuan Allah. Biasa dia offshore. Sempat saya cium pipi anak saudara saya yang ke-5 berulang-ulang sebelum masuk ke dalam kereta abang saya dan abang saya memecut 'dalam keadaan tenang' menuju ke KLIA. Sungguh dia sangat tenang. Saya jarang melihat kegelisahan di wajah dia. Sejak saya menjadi adik dia. Sejak saya membesar bersama dia. Maksudnya...sejak saya lahir ke dunia ini...hehe...
Dalam perjalanan, dia mengungkap kegelisahan di wajah saya dalam tenang lembut kata-katanya : Tak perlu stress sangat sebab ini adalah suatu tugasan yang dimanahkan Allah. Kalau Allah redha dengan apa yang kita buat, tentu Allah akan mudahkan urusan kita. Belum 7.30 pun lagi. InsyaAllah akan sempat. Lagipun, ini cuma kerja. Kerja cuma sebahagian kecil dari diri kita yang diamanahkan oleh Allah. Yang akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti. Kalau sebelum ni memang dapat tiba awal di KLIA...dan sekali ni je baru lewat...ada hikmah dariNya yang kita sendiri takkan tahu kalau kita tak cari hikmah tu...tak semestinya semua flight kita on time dan semua sempurna...kalau kena ambil flight pukul 10 pun ada hikmah dariNya...kan kita dah rancang dengan elok...tiba-tiba pagi ni jadi macam ni...lainlah kalau memang kita sengaja buat-buat lambat dan tak ada perancangan langsung...orang yang tak pernah ada rasa nak berusaha dalam diri dia memang Allah tak akan tolong...tapi bila kita dah berusaha...insyaAllah Allah akan sentiasa membantu kita...ini kan kerja Allah...ketentuan Allah...
Sambungnya lagi : dia bawa laju pun...kalau dia kena saman...dia akan bayar...duit boleh dicari...dan kalau duit tu memang diinfaqkan untuk mendapatkan redha Allah...segunung emas pun dia akan infaqkan tanpa ada rasa kesal sedikit pun...semuanya memang telah ditentukan Allah...dan ada hikmah disebalik semua ketentuan Allah...insyaAllah...
Perjalanan almost 20 minutes bersama abang saya itu tidak lama. Tapi, hikmahnya amat banyak. Seolah-olah 'tersuntik' hati saya dengan kata-kata abang saya di pagi 6 Ramadhan (memang dia begitu, bukan saja bersama kata-katanya malah akhlaknya jua banyak memotivasikan diri saya yang lemah ini..seorang lelaki yang amat saya kagumi sejak dulu...wali saya tika ini...). Sungguh, surut stress saya walau setibanya di KLIA saya terpaksa 'berlari' menuju ke pintu A9 bersama 'tazkirah' abang saya yang masih terngiang-ngiang di kepala saya. Ya...memang sempat. Saya berjaya naik kapal terbang 7.50 pagi itu walau hanya tiba di KLIA seawal 7.31 pagi. Dan, dalam kapal terbang itu...saya masih memikir-mikirkan kata-kata abang saya...hinggalah tiba di KB...semasa di KB...dan hinggalah saat ini...
Hikmah 2.
Balik dari KLIA, saya dijemput adik saya. Berulang-kali dia meminta maaf kerana tertidur pagi tadi. Saya tidak kisah. Memang dia tidak bersalah sedikit pun. Orang yang tertidur dan terlambat menunaikan solat pun diampunkan Allah. Dengan syarat terus bersolat sebaik saja bangun tidur. Orang yang tertidur adalah orang yang tidak sedar...lalu saya ucapkan terima kasih kerana menjemput saya dan menghulurkan sebahagian besar penganan yang saya bawa balik dari KB. Untuk dia dan kawan-kawan serumahnya. Rezeki mereka. Saya memang makan sedikit saja. Alhamdulillah.
Masuk saja ke dalam kereta saya yang diparkir di hadapan rumah abang saya, setitis demi setitis hujan mulai turun. Lalu, tiba-tiba saya ternampak seorang kakak jiran kepada abang dan kakak ipar saya. Lama saya tidak jumpa kakak itu. Saya bersama kesibukan saya, jarang dapat menziarahi 'buah hati-buah hati' saya di rumah abang saya, lalu jarang dapat berjumpa dia. Dia sedang menghidupkan enjin keretanya, dan dalam titis-titis hujan dia menuju ke arah kereta saya.
Eh...dah balik? Sangkanya saya pergi ke KB dan akan bermalam semalam dua di sana. Lalu, saya nyatakan itulah sedikit kelelahan membina sekolah dan tempat belajar untuk anak-anak bangsa. Mengejar flight di awal pagi dan kemudian balik petang atau malamnya sudah jadi perkara biasa sejak akhir-akhir ini. Untuk menjimatkan masa. Hanya mampu memanjatkan doa di dalam hati supaya sekolah dan tempat belajar yang dapat disiapkan akan digunakan sebaiknya untuk menjadi suatu tempat menimba ilmu dan pengetahuan bersama redha Allah yang tidak terhingga...insyaAllah.
Tulah...sekarang banyak student yang dah 'berisi'. Kat sekolah akak je ada 4 orang. Tunggu masa bersalin je. Kakak jiran itu seorang guru Matematik. Innalillah...kata hati saya. Produk sekolah zaman sekarang. Sikap remaja zaman kini. Saya jadi lesu, tiba-tiba. Kemudian dia menjemput saya berbuka puasa bersamanya. "Ustaz tak ada hari ini", sambungnya lagi - merujuk kepada suaminya. Abang dan kakak saya jua belum balik. Mereka ke Alamanda. Saya terpaksa menolak. Untuk hari ini. InsyaAllah ada rezeki saya akan berbuka puasa bersamanya. Seperti tahun-tahun lepas juga. Hari ini saya benar-benar amat letih. Saya mahu pulang, kata saya.
Ulasan saya : Yang diuar-uarkan di akhbar dan media untuk kes-kes pelajar 'berisi' tidak banyak seperti kenyataan yang berlaku sebenarnya. Kalau satu sekolah ada 4 orang secara purata...dan ada jua 16 orang seperti sebuah sekolah lain yang dinyatakan oleh kakak jiran itu...boleh dihitung dengan bilangan sekolah-sekolah di seluruh Malaysia...oh...berapa ramai anak-anak gadis dan pelajar zaman kini di Malaysia yang sudah memegang status ibu walau tidak pernah menerima sebarang ijab dan kabul...nauzubillah...malah, saya sayu dan sangat-sangat sedih apabila melihat zuriat yang lahir dibunuh dan dibuang merata-rata...tahukah mereka nilai 1 nyawa? Di zaman jahiliah dulu pun, hanya anak perempuan yang dibunuh...
Doa saya : Semoga Allah melindungi semua umat Islam dari segala keburukan di dunia wal akhirat. Semoga Allah memantapkan iman semua umat Islam di dunia ini. Semoga Allah mengampunkan dan menginsafkan dan mewujudkan rasa taubat nasuha bagi semua umat Islam yang telah melakukan kesalahan dan dosa di dunia ini. Semoga Allah mematikan semua umat Islam dalam keadaan beriman kepadaNya. Semoga wujud rasa di dalam diri semua umat Islam bahawa Islam adalah agama yang syumul, meliputi semua aspek kehidupan. Semoga semua umat Islam berada dalam redha Allah, dan sentiasa memikirkan dan mengingati Allah dalam semua aspek kehidupan mereka.
Semoga Allah menerima doa saya...InsyaAllah.
Saya hanya hamba yang kerdil. Meminta melalui hati. Tidak dengan kata-kata. Tidak dengan tangan dan kaki. Hanya di sini mampu saya sebarkan : Allah Maha Besar, lagi Maha Berkuasa, lagi Maha Mengetahui. Allah jua Maha Pengasih, jua Maha Penyayang. Allah Maha Pengampun.
* Jika adik saya mengambil saya di rumah sesuai perancangan awal, semua perkara di atas tidak akan berlaku. Antara perancangan manusia dan perancangan Allah, Allah jua Maha Sempurna. Masya Allah.
05 August 2009
Teladan Rasulullah SAW
Abu Salman bin Abdul Rahman bertanya kepada ulama Abu Said al-Khudri : "Apakah pendapat tuan mengenai pakaian, makanan, minuman dan kenderaan yang dimiliki manusia?"
Abu Said berkata :"Hai anak saudaraku, makanlah kerana Allah, minumlah kerana Allah dan berpakaianlah kerana Allah. Setiap perkara itu yang diresapi sikap ujub, bangga, riak atau megah, maka ia jadi maksiat yang berlebih-lebihan. Di rumahmu, lakukanlah kerja rumah seperti yang Rasulullah lakukan.
Baginda memberikan untanya makan, mengikat unta, membersihkan rumah, memerah susu kambing, membaiki kasut, menjahit baju yang koyak, makan bersama pembantu rumahnya, menumbuk tepung, menggantikan kerja pembantu sekiranya mereka terlalu penat dan membeli barang di pasar.
Kerja itu dilakukan tanpa rasa malu. Dia letakkan dengan tangannya atau di tepi kainnya. Baginda juga melayani keluarganya, berjabat tangan dengan orang miskin dan orang kaya.
Baginda memberi salam dengan mendahuluinya kepada orang yang ditemui, baik orang kecil atau orang besar, orang hitam atau orang merah, orang merdeka mahupun hamba dari kalangan orang yang mengerjakan solat.
Baginda tiada pakaian khas untuk dipakai di luar rumah atau di dalam rumah. Baginda berkenan menerima undangan walaupun yang mengundang itu rambutnya kusut dan berdebu serta tiada apa-apa melainkan kurma buruk. Baginda tidak meninggalkan makanan siang untuk makanan malam dan tidak meninggalkan makanan malam untuk makanan siang.
Baginda mudah perbelanjaannya, lembut akhlaknya, mulia tabiatnya, luas pergaulannya, bersih wajahnya, tersenyum tanpa ketawa, bimbang tanpa duka, keras tanpa kekasaran, tawaduk tanpa menghina, pemurah tanpa berlebihan, pengasih kepada setiap keluarga dan orang Islam, suci hatinya, selalu menundukkan kepala, tidak pernah kenyang perutnya dan tidak rakus."
Abu Salman bin Abdul Rahman berkunjung pula ke kediaman Saidatina Aisyah untuk bertanya sendiri kesahihan cerita Abu Said.
Kata Aisyah :"Tidak salah apa yang dikatakan Abu Said. Beliau telah meringkaskannya kerana tidak menceritakan bahawa Rasulullah tidak pernah sekali kenyang dan tidak mengadu halnya kepada seorangpun. Sesungguhnya baginda lebih menyukai kemiskinan berbanding kesenangan walau baginda selalu lapar semalam-malaman sehingga pagi. Begitu pun, itu tidak menghalangnya daripada berpuasa siangnya. Sekiranya baginda meminta daripada Allah, tentulah akan dikurniakan bergudang-gudang kekayaan.
Kadangkala aku menangis kerana kasihan Rasulullah yang kelaparan. Maka aku sapu perutnya dengan tanganku lalu berkata, Nyawaku tebusan bagi engkau. Jika engkau dicukupkan dengan dunia sekadar menjadi makanan engkau dan mencegah engkau daripada lapar.
Jawab Rasulullah padaku, Hai Aisyah, saudara-saudaraku dari Nabi Ulul Azmi telah bersabar menanggung situasi yang lebih berat daripada ini. Mereka tetap dengan keadaan mereka. Mereka datang kepada Tuhan, lalu Allah muliakannya kembali dan membanyakkan pahala mereka.
Maka aku malu jika aku bermewah-mewah dengan hidupku, maka Allah memandang aku sebagai manusia cuai, sedangkan Nabi Ulul Azmi itu tidak. Oleh itu bersabar selama beberapa baik lebih baik daripada tidak beroleh keuntungan hari akhirat. Tiada yang aku sukai melainkan untuk menyusul saudara-saudaraku itu."
06 April 2009
Cikgu Dah Kahwin?
Usai mengajar malam ini, pelajar saya bercerita tentang pertanyaan kakaknya melalui telefon (bekas anak murid saya yang kini sedang di dalam jurusan perubatan di Universiti Al-Azhar di Mesir - bekas pelajar Maahad Hamidiah di Kajang) - pertanyaan kakaknya : cikgu dah kahwin? (mungkin merasakan yang cikgunya ini akan berkahwin sepanjang dia di Mesir agaknya...kalau nak kahwin, siapa calonnya?) - dan gelaran cikgu yang diraih secara tidak langsung tanpa sebarang kelulusan dalam bidang pendidikan itu membuatkan saya sedikit gementar.
Saya tergelak mendengar cerita pelajar saya yang akan mengambil peperiksaan PMR tahun ini.
Abangnya (anak kedua di dalam keluarga - kakak di Mesir anak pertama) juga bercerita kepada saya bahawa keputusan untuk menyambung pengajian bagi lepasan SPM di Jepun di dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal telah berjaya. Usah ditanya tentang temuduga JPA untuk ke luar negara, katanya. Mendapat 9A1 dan 1A2 di dalam SPM 2008 yang lalu. Setakat ini, anak muda ini mengambil tempat teratas sebagai pelajar saya yang paling rajin sepanjang pengalaman mengajar saya - rajin belajar dan rajin ke surau di taman perumahannya untuk solat berjemaah.
Keluarga ini, setakat ini sudah lima orang anak-anaknya menjadi pelajar saya. Mempunyai tujuh adik beradik dengan yang paling kecil baru berusia setahun. Anak-anaknya berjaya dengan cara yang tersendiri - saya hanya menunjuk ajar yang mana mereka teralpa sahaja - dan ianya tidak banyak. Alhamdulillah.
Semoga Allah memudahkan lorong-lorong kehidupan dan pembelajaran setiap pelajar saya dan semoga mereka semua akan dikurniakan kejayaan cemerlang di dunia dan di akhirat, insyaAllah.
01 February 2009
Cara Baru
+Akak tak tau la macam mana dia belajar...tak boleh kena paksa.
-Saya tengah guna 'reverse psychology' ni. InsyaAllah.
+Apa tu?
-Berlepas tangan dan berlapang dada. Hakikatnya pegangan saya lebih erat dari sebelumnya.
Wajah kakak itu memandang saya dengan pandangan yang sangat menggusarkan. Saya tidak tahu dia faham ataupun tidak kata-kata saya, tapi ini cara saya mendidik pelajar-pelajar saya. 'Tolak' bukan bermakna benci, 'ambil' bukan bermakna suka, 'faham' bukan bermakna mengerti dan 'banyak bercakap' bukan bermaksud ada manfaat.
Saya sedang mencuba kaedah baru, kerana kaedah pengajaran saya berbeza untuk individu yang berbeza. InsyaAllah, kali ini saya dapat mengubahnya.


