Showing posts with label bekal. Show all posts
Showing posts with label bekal. Show all posts

15 October 2016

Indahnya Pagi Yang Hening

Alhamdulillah.

Kadang-kadang kita tak sedar tentang waktu yang kita 'kuat'. Maksudnya, masa yang kita tidak rasa letih, mengantuk, depresi atau terganggu dengan surrounding dan persekitaran (maaflah...bahasa saya...mix up je..).

Untuk saya, masa dari 3pagi hingga ke 7pagi.....atau jika hari Ahad sehingga hampir 9pagi merupakan waktu-waktu yang saya rasa 'kuat'. Kenapa rasa kuat? Sebab di waktu-waktu begini, di saat semua orang sedang lena tidur (atau baru saja tidur), saya sudah bangun tanpa bantuan jam loceng atau 'alarm' dan suasana sekeliling amat sunyi tanpa gangguan.

Waktu yang tenang.
Waktu tanpa gangguan dari sesiapa.
Waktu hanya untuk kita aje.

"I can do anything...".

Malah, pada suatu ketika dulu, di waktu begini saya akan memasukkan beg ke dalam kereta dan akan mula memandu balik ke kampung. Sempat lagi untuk 'breakfast' dengan keluarga di kampung. Kalau dulu-dulu, emak mesti akan tanya, "pukul berapa bertolak ni?" sebaik saja saya tiba di rumah awal pagi.

Dari kecil, inilah habit saya. Akan buat macam-macam di masa 'kuat' ini. Cuma, kurang baiknya...lepas sahaja solat Isya', biasanya mata saya sudah layu. Waima pukul 9.30malam pun pada saya sudah terlalu lewat. Pun, biasanya jika ada apa-apa (terutama jika ada kursus luar pejabat yang menjangkau sehingga 10.30mlm) maka terpaksalah saya tahankan mata.

Kini, masa kuat ini lebih panjang untuk saya sementelah saya tidak perlu mengejar 'punch card' pada tempoh ini. Seronok. Penat rupanya mengejar 'punch card' ni. Penatnya bukan saja di badan, tetapi lebih kepada penat di minda. Mungkin kerana corak kerja yang lebih kepada 24hrs bekerja seperti di pejabat sebelum ini menjadikan pada saya 'punch card' itu tidak perlu.

Masa untuk bekerja, bukan kerana 'punch card', tetapi lebih kerana minat. Kalau tak minat, datang ke pejabat pun hanya untuk punch card saja, tapi masih tidak buat kerja dengan baik. Dan berdasarkan pemerhatian saya, ramai di Malaysia ini hanya datang kerja kerana punch card, bukan kerana minat dengan kerja, bukan niatnya untuk memberikan rezeki halal kepada diri sendiri dan keluarga. Hanya fikirkan untuk mendapat 'duit bulanan' dengan mudah.

Kerja itu, amanah dari Allah.

Jika makan rezeki haram (walaupun gaji bulanan, tapi jika banyak curi tulang semasa kerja dan tidak cuba untuk memberikan hasil terbaik) bukan saja di dunia ini merana, malah di akhirat juga sengsara.

Nak tahu samada kita boleh tahan atau tak dengan api neraka? Kalau dengan api di dunia, hmmm...periuk panas pun kita tak boleh pegang bare hand kan (adoi....my language). Kalau tak tahan dengan api di dunia, apatah lagi api neraka kan?

So, manfaatkan waktu bekerja untuk kumpul 'bekal' bagi perjalanan akhirat yang masih panjang perlu dilalui. Perjalanan menuju Allah. Takkan nak bawa dosa jumpa Allah?

27 November 2013

Bawa Bekal ke Pejabat 6

Rasanya...lama benar saya tidak update entry jenis ini. Membawa bekal ke pejabat. Bukan sebab tak bawa bekal sebab memang hari-hari saya membawa bekal cuma bekal yang sama caranya, nasi putih, sayur dan ikan atau ayam sahaja. Ada juga terkadang mihun atau spaghetti...tapi itu sudah saya ceritakan cara-caranya sebelum ini.

Beras di rumah saya sudah habis. Memandangkan kami sudah biasa membeli beras siam (beras yang dibeli dari Kelantan), apabila stok beras habis...sukar sungguh untuk membeli beras yang dapat menepati citarasa di tempat yang jauh dari negeri Kelantan ini...hehe. Lalu, saya dan suami mencuba membeli beras perang pula. Elok mahu memasak beras, baru saya perasan yang plastik beras tersebut di-vakum - vacuum packaging. 'Simpan beras di dalam peti sejuk selepas dibuka' juga tercatat di atas plastik beras. Adeh deh deh. Tak jadi mahu membuka beras tersebut kerana peti sejuk saya masih 'penuh'. Haha. Kena dikosongkan dulu barulah boleh mengisi 'wholegrain brown rice' seberat 5kg itu ke dalam peti sejuk.

Lalu, mahu bawa bekal apa ke pejabat? Menu berasas nasi...menu wajib untuk suami yang bercitarasa 'melayu'. Lantas teringat kepada 'instant ketupat nasi' yang masih belum disentuh. Malas betul mahu buat yang jenis homemade, walhal mudah juga yang jenis homemade kan. Pun, bekalan jenis ini memang sangat mudah. Boleh bangun lewat pun pagi ini kerana ia sudah disiapkan malam sebelumnya.

Ketupat tersebut direbus pada malamnya, dan kemudian 'dikeraskan'. Memang tabiat ketupat, kalau baru lepas direbus memang sangat lembik kan. Jadi, rebus dan kemudian dikeraskan saja. Saya menggunakan induction cooker, jadi tempoh merebus ketupat hanya mengambil masa dalam 30-45 minit sahaja.

Sambil merebus ketupat, saya membuat perapan untuk ayam (nak masak rendang??? tidak le....hehe...). Ayam yang diperap dengan arabic spices, lada hitam, lada putih, kunyit dan sedikit garam saya masukkan ke dalam oven dan hanya dibakar 'mild' (adeh...bahasaku....) dengan suhu 180'C dalam tempoh 40minit. Pagi tadi, sebelum mandi, barulah ayam-ayam itu dibakar semula pada suhu 200'C selama 20minit.

Jadi, di pagi harinya, hanya membakar semula ayam, memotong ketupat dan kemudian menyelitkan sedikit serunding daging yang sedia ada di rumah sebagai bekal ke pejabat. Untuk bekalan fiber harian untuk badan saya, saya membawa epal dan oren untuk dimakan sebagai kudapan di pejabat.

Alhamdulillah. Ia lebih bersih, dari air tangan kita sendiri. Semoga ada redha Allah. InsyaAllah.

25 April 2013

Bawa Bekal Ke Pejabat 5

Menu bekal hari ini ; nasi mandy dan daging kambing bakar dalam oven bersama sos salata.

Haha. Menu macam marvelllous, walhal pagi tadi bangun tidur seawal 5.50 pagi. Sungguhlah. Dah dengar alarm berbunyi berulang-ulang-ulang, tapi suasana hujan membuatkan 'oh...bestnya dapat tutup mata lagi seminit dua' (yang akhirnya jadi berpuluh-puluh minit).

Bangun je, terus uruskan nasi dulu. Oh lupa nak beritahu. Terdapat 3 ketul kambing yang telah direbus pada hari sebelumnya 'accidentally' (asalnya nak masak nasi ini semalam...) bersama jintan, 7 spices, seinci halia, garam, lada hitam dan air yang bertapis. Sos salata (timun+tomato+cili+buah zaitun+perahan lemon) sebanyak satu tupperware saiz sederhana juga telah dibuat semalam. Cara jimat masa yang suntuk dan singkat di waktu pagi ya. So, pagi ni cuma uruskan nasi dan membakar kambing sahaja.

Beras arab (beli sekilo je dengan harga RM16, tapi dapat masak selama 3 kali...so ni last batch...memang masak pagi ini untuk habiskan stok beras mewah-mahal-panjang-harum-sedap ini...) terus dicuci dengan bacaan Surah Al-Kautsar berlagu di mulut. Rendam seketika dengan air bertapis, dan kemudian uruskan daging kambing dahulu.

Daging kambing yang direbus+lada hitam+7 spices+serbuk ketumbar+garam dan sedikit minyak zaitun dibalut dengan aluminium foil. Biarkan seketika, sambil tu boleh mencapai sebiji bawang merah, dikopek, dibasuh dan dihiris halus. Terus ambil daging kambing, masukkan dalam oven, bakar dengan suhu 200 C dalam tempoh 20 minit. Ambil marjerin dalam setengah sudu sahaja (ehhh...marjerin? kenapa bukan minyak sapi? - ohhh...saya hanya gunakan marjerin - bukan minyak sapi - untuk memberikan aroma kepada bawang dan rempah yang akan ditumis sahaja...dan mengawal penggunaan lemak tepu di dalam masakan saya...), masukkan ke dalam periuk yang akan digunakan untuk memasak nasi, tumis bawang merah, campakkan sedikit buah pelaga, bunga cengkih, bunga lawang dan kulit kayu manis. Masukkan secubit garam. Tumis seketika, kemudian masukkan air rebusan kambing mengikut kuantiti beras. Tos beras yang direndam seketika tadi, masukkan ke dalam periuk. Pastikan beras terendam, kawal kuantiti air dan suhu (oh...saya guna dapur induksi ya...tak guna periuk nasi pun untuk memasak nasi ini...), hanya seketika saja (okey...dalam 7 minit saja...) air pun semakin kering, masukkan sedikit saffron, kacau seketika dengan menggunakan garfu untuk mengelakkan nasi hancur. Tadaa...siap memasak nasi mandy simple-mimple dalam tempoh 10 minit.

Jam sudah menunjukkan ke pukul 6.20 pagi, saya terus mandi dan solat Subuh. Usai solat, kambing pula sudah siap dipanggang, saya terus menyiapkan bekal untuk diisi di dalam bekas. Kudapan buah hari ini, buah tin. Err...wattini wazzaitun... :)

Saya berjaya keluar dari rumah pada pukul 6.55 pagi, dihantar oleh suami ke pejabat dan berjaya tiba di pejabat pada pukul 7.25 pagi untuk masuk ke pejabat sebelum 7.30 pagi.

Alhamdulillah. Semoga ada bantuan dan redha Allah untuk semua perlakuan kita. InsyaAllah.

***beza sungguh apabila menggunakan air rebusan bersama serbuk '7 spices' untuk memasak nasi. sungguh. nasi mandy hasil air tangan saya punya rasa yang lebih menarik hari ini. ohhh...kena beli beras lagi ni...

03 April 2013

Bawa Bekal ke Pejabat 4

Bagaimanakah jika bangun lewat dan tidak sempat memasak tetapi masih mahu membawa bekal ke pejabat? Okey. Masih mahu bawa bekal ya. Sebab 'membeli makanan yang siap dimasak' di luar itu memang jarang saya buat. Terutama untuk 'breakfast'. Sungguh.

Jadi, pagi tadi terbangun 6.15 pagi. Ahaks. Kira lewat ya, sebab selalunya mata sudah terbuka seawal 4.30 atau 5 pagi. Jadi masih sempat masak nasi, godek dapur siap juga ayam masak lemak cili padi dan paling-paling pun, dapat menghiris timun. Tapi, pagi ini, memang tidak sempat. Paling lewat perlu keluar dari rumah untuk mendapat parking 'yang tidak sengsara' di pejabat adalah pada pukul 6.50 pagi.

Hanya sempat mandi, solat...dan kemudian kelam kabut menerjah dapur : buka peti sejuk, ambil oren dua biji, basuh, belah 4, masuk dalam plastik bekal dan kemudian mencapai telur rebus sebiji (memang kebetulan ada stok dalam peti sejuk...jika tidak ada, mungkin bawa oren 3 biji saja...).

Terus buka pintu rumah, dan berjaya menggerakkan kereta dari rumah pada pukul 6.46 pagi.

Cukup ke oren dua biji dan telur rebus sebiji untuk tahan sehingga 5 petang?

Okey. Cukup. InsyaAllah. Paling penting sudah ada 'stok Vita C dan stok protein' untuk hari ini. Ditambah dengan air kosong sebanyak 1.5 liter...ia sudah lebih dari mencukupi. Alhamdulillah.

Setiap hari makan nasi goreng, mee goreng, spaghetti goreng, mihun goreng, donut, nasi lemak, roti canai...apa salahnya kalau sesekali bangun lambat begini, kita buat 'detoks badan'. Jadi, hari ini...tenaga badan akan diambil dari lemak-lemak yang banyak 'menggeleber' dalam badan. InsyaAllah.

Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.

Semoga ada redha Allah untuk kita semua di dunia dan di akhirat, insyaAllah.

26 March 2013

Bawa Bekal Ke Pejabat 3

Assalamualaikum...

Jarang benar mahu update blog sekarang ini. Mungkin tuntutan 'menaip' itu masih belum sebati dengan jari jemari saya yang masih 'letih' dan 'kaku' sekiranya menaip dengan agak banyak, walau sudah banyak berkurang rasa sakitnya. Alhamdulillah. Segala puji hanya untuk Allah. Apapun, hari ini, tiba-tiba ada gerak hati mahu menaip lagi di sini.

Pagi ini, saya bangun sangat awal. Lebih kurang sekitar 4 pagi. Terdengar guruh berdentum-dentam di luar rumah. Bunyi hujan tidak terlalu lebat, tapi mata yang terasa segar memang tidak membolehkan saya menyambung tidur semula. Lalu, rutin 'sepertiga malam yang di penghujung' itu terasa 'sayang' pula untuk tidak dilunaskan. Alhamdulillah. Ya Allah, esok minta 'digerakkan' lagi pada waktu yang sama ya.

Menjelang pukul 5.15 pagi, saya sudah mula masuk ke dapur. Mencapai sebiji bawang merah saiz sederhana, saya mula mengopek kulitnya, membasuh dan kemudian menghiris bawang tersebut dalam hirisan agak kasar. Bekas berisi daun kari 'kering' (oh...memang kurang kick...tapi ini saja yang jadi penyelamat kalau terasa mahu makan kari - bukan selalu ada rasa mahu makan kari pun...) saya capai, mengeluarkan lebih kurang setangkai daun kari (dilurut terlebih dahulu), membasuh di bawah air bersama Surah Al-Kausar dan selawat kepada Rasulullah SAW di bibir (sila tos seketika) dan terus dimasukkan ke dalam periuk berisi setengah sudu minyak bunga matahari (walau menggunapakai minyak bunga matahari, saya jarang guna minyak yang banyak dalam masakan) yang sudah mula panas. Usai 'menggoreng daun kari', saya segera memasukkan hirisan bawang merah tadi ke dalam periuk. Apabila terbit baunya, saya segera memasukkan serbuk buah pelaga, kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang ke dalam periuk. Saya memasukkan sedikit serbuk cili (stok cili kisar habis pula di rumah ini...) dan segera dimasukkan pes kari (tiga sudu serbuk kari dicampur sedikit air dan dikacau), dikacau seketika sebelum dimasukkan sedikit air untuk mengelakkan berkerak (saya menggunakan dapur induksi, jadi masakan lebih cepat masak dan jika tidak dikawal 'ketangkasan memasak' dan suhu dapur, masakan akan mudah berkerak...tetapi ia sangat membantu untuk memasak dalam masa yang singkat..).

Kemudian, saya mula memasukkan asam keping dan sedikit perahan lemon. Selepas seketika, saya memasukkan tauhu pok, tauhu keras, fish ball dan fish cake serta hirisan kobis. Hmmm...sawi tidak ada di rumah ini...jadi memadai dengan apa yang ada saja untuk dijadikan sayur di dalam kuah untuk mi kari saya ini. Malah, kerang juga tidak ada...ermmm...sebenarnya sengaja tidak dibeli kerana mahu mengurangkan jumlah kolesterol dalam badan.

Bekas garam dicapai, saya memasukkan dua sudu kecil garam dan kemudian saya memasukkan bancuhan lima sudu susu Anlene dan air sebagai pengganti santan. Haha. Stail saya memasak. Terlebih memasak secara sihat atau apakah...walhal ada dua kotak santan segera (eh...low fat lagi...) yang sentiasa menjadi stok tetapi sengaja tidak mahu digunakan dalam kuah kari kali ini. Lebih mudah 'menggunting' kotak santan dari membancuh susu kan? Haha.

Saya mengacau seketika (sengaja buat cair sedikit...tidak mahu terlalu pekat kerana kuahnya mahu dihirup penuh nikmat nanti...), mematikan suis dan jam sudah menunjukkan pukul 6 pagi. Wah...di tengah cuaca lembab-lembab di awal pagi, bau kuah kari saya benar-benar menusuk hidung. Alhamdulillah.

Hari ini saya memandu sendiri ke pejabat dan berjaya tiba di pejabat pada pukul 6.55 pagi bersama semangkuk kari (eh...kari je....mana mi nya?). Kes mahu diet la konon-kononnya....lalu mahu mengurangkan kuantiti 'carb' dalam menu harian...mi itu di rumah, hanya untuk suami saya nikmati bersama kuah kari.

Alhamdulillah. Semoga ada redha Allah dalam setiap saat urusan hidup kita di bumi Allah ini. InsyaAllah.

08 January 2013

Bawa Bekal Ke Pejabat 2

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Hari ni bangun awal. 4.45 pagi dah bangun. Belek-belek jam, eh...betul ke ni? Alhamdulillah...memang betul. Then, badan rasa sangat segar. Memang boleh terus bangun tanpa rasa letih/macam tak cukup tidur. Mungkin gara-gara yogurt + hirisan buah-buahan yang dihiris sendiri (epal, strawberi, oren, kurma dll) atau dikisar bersama menjadi jus yoghurt buah-buahan yang sudah saya jadikan amalan (amalan semula...sebelum ni kerap buat, tapi bila sibuk...memang banyak lupa hal-hal kesihatan badan dan makanan segar serta berkhasiat ni..) sejak saya mengalami demam dan diarrhea beberapa minggu sudah, dan masih diamalkan sehingga ke hari ini. InsyaAllah.

Terus masuk ke dapur. Keluarkan 'fishcake' dan 'filament crab'. Letak di sinki - untuk 'dicairkan'. Untuk fishcake atau fishball, saya lebih menggemari jenama AAA, manakala untuk filament crab, saya lebih suka menggunakan jenama 'Kami', tetapi yang saiz paket besar. Dulu, selalunya ada beza rasa antara filament crab jenama ini untuk paket besar dan paket kecil. Jadi, bila dah terbiasa beli paket besar, memang hanya paket besar saja yang jadi pilihan.

Suami pula bangun, terus bersiap untuk solat Subuh di masjid. Saya pun terus mandi, dan bersiap untuk duduk di atas tikar solat. Usai solat Subuh, jam sudah menunjukkan pukul 6.10 pagi. Macam dah lewat kan? Namun, saya terus masuk ke dapur. Spaghetti kering (biasanya jenama San Remo) dimasukkan ke dalam periuk berisi air, terus dipanaskan dan dititikkan beberapa titik minyak carotino. Biasanya, saya memang tidak meletakkan garam di dalam sebarang pasta atau mee yang saya rebus.

Bawang putih dikupas, dihiris, susu anlene disediakan (okey, saya memasak dengan menggunakan apa saja bahan yang ada di dapur...di dapur saya tidak ada susu lemak manis - tidak pernah ada, jadi hanya susu anlene digunakan untuk sebarang masakan yang memerlukan susu) kemudian...selesai saja spaghetti menjadi 'al-dante', terus kuali ditenggekkan di atas dapur induksi. Dua sudu minyak zaitun dimasukkan ke dalam kuali, kemudian memasukkan bawang putih, lada hitam, lada putih, oregano dan paprika. Kemudian terus dimasukkan lebih kurang 200ml susu, kemudian terus memasukkan crab stick dan fishcake yang siap dihiris. Then, sebiji tomato dipotong wedges, juga sedikit kobis dan sedikit brokoli. Garam pula dimasukkan...dan....eh...suami saya pun sudah balik dari masjid. Terus saya memasukkan spaghetti, meminta bantuan suami yang sudah bersiap, menyediakan air dan bekal untuk dibawa ke pejabat.

Selesai memasukkan spaghetti ke dalam bekas sebagai bekal, jam sudah menunjukkan pukul 6.45 pagi. Kami berdua terus menuju ke kereta, dan suami terus menghantar saya ke tempat kerja. Alhamdulillah. punch card masih on time. 7.24 pagi. Tidak lewat. Bersama bekalan yang dimasak sendiri.

Alhamdulillah. Terima kasih Allah.

19 November 2012

Bawa Bekal ke Pejabat

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Hari ini, pasti ramai yang tahu bahawa lebih kurang 200,000 ketul burger percuma akan diberikan oleh McDonald di Malaysia dari pukul 7 hingga ke pukul 10 pagi. Pasti ramai yang akan mengambil peluang untuk 'beratur' di semua restoran-restoran McDonald yang mempunyai 'breakfast service'. Siapa yang tidak mahu makanan percuma kan?

Walau saya tahu saya berkesempatan untuk pergi ke McDonald pun (kerana jarak rumah saya ke McDonald 24 jam, jika berjalan kaki hanya akan mengambil masa kurang lima belas minit, dan jika menaiki kenderaan, tidak sampai lima minit sudah tiba di McDonald)...untuk mendapat burger percuma, namun ia tidak saya lakukan.

Bangun sekitar 5 pagi tadi, saya mula masuk ke dapur dan mengeluarkan satu bekas berisi lima ekor ikan kerisi dari peti sejuk dan diletakkan di sinki. Kemudian, saya mula membersihkan 'bekas beras' saya yang sudah kosong. Setelah siap mengelap bekas beras, saya mula mengeluarkan beras dari plastik (beras ini baru dibeli semalam - Ahad - setelah lebih kurang selama lima hari hanya makan roti, kentang bakar (fries bakar), fish cocktail, spaghetti, fussili, misuah, sup dll (tapi bukan nasi...). Saya dan suami memang jarang makan nasi. Selalunya, jika kerap pun, mungkin tiga kali sahaja dalam seminggu. Selebihnya, western. Eh...western pula...tidaklah western sangat pun sebenarnya, tapi lebih kepada makanan 'rendah karbohidrat' yang akan dibakar atau dikukus sahaja. Yang paling penting, penyediaannya lebih ringkas, malah kos juga jauh lebih murah (sangat-sangat murah) berbanding dengan mencari selera western di restoran-restoran. Jadi, ketuhar dan pengukus (steamer) saya memang kerap digunakan. Malah, jika di hari tidak bekerja, nasi yang dimasak pun selalunya adalah nasi kukus.

Jadi, saya mula menganggarkan kuantiti beras untuk dimasak. Setelah menghidupkan periuk nasi, saya terus mandi. Mandi, siap berpakaian dan bersolat Subuh, barulah saya masuk ke dapur semula. Jam sudah menunjukkan pukul 6.10 pagi.

Ikan kerisi yang sudah mula 'mencair', saya gaulkan dengan kunyit dan garam (ini keinginan suami, mahu makan kerisi goreng yang disalut dengan kunyit yang agak banyak - kunyit boleh banyak, garam sedikit saja ya...). Saya biarkan seketika. Bekas beras yang hampir kering, saya lap sehingga kering, dan kemudian memasukkan beras yang baru dibeli semalam. Suami pula yang sudah usai mandi dan solat, mula masuk ke dapur, mengangkat bekas beras yang sudah penuh untuk diletakkan di tempat yang sepatutnya.

Kemudian, saya mula mencapai dua tangkai pucuk ubi di dalam peti sejuk. Membuang batang-batang yang keras. Membasuh pucuk ubi. Mencapai pula sebiji bawang merah (saiz kecil) dan mula menghiris halus bawang setelah dikopek dan dibasuh.

Meletakkan periuk kecil di atas dapur induksi (thats why saya kena masak nasi dulu...saya hanya menggunakan elektrik untuk memasak...di rumah saya tidak ada dapur gas), memasukkan secawan air 'filter' - kualiti air yang digunakan untuk memasak sangat penting kerana ia akan masuk ke dalam badan kita, mencampak bawang yang telah dihiris, memasukkan sedikit serbuk ikan bilis dan secubit garam. Setelah mendidih (dapur induksi sangat cepat...kurang dari seminit sudah mendidih), saya mula memasukkan pucuk ubi dan menuangkan sedikit santan (hanya dalam dua sudu besar) dan kemudian selebihnya adalah air - kurang kolesterol lebih baik kan - dan saya biarkan mendidih. Tidak sampai dua minit, pucuk ubi masak lemak saya sudah siap dimasak.

Saya mengangkat 'non-stick pan' pula, memasukkan minyak 'carotino' - minyak rendah lemak juga - memanaskan minyak seketika, dan kemudian memasukkan tiga ekor ikan kerisi ke dalam kuali untuk digoreng.

Sambil ikan dimasak, saya mula bersiap memakai tudung, stokin, mengambil satu bekas polisterina dan mula memasukkan nasi dan sayur pucuk ubi ke dalam bekas polisterina tersebut. Sambil-sambil itu juga, saya membalik-balikkan ikan, sementelah suami menyiapkan keperluan barang-barang dan bekalan air saya untuk ke pejabat.

Siap saja ikan digoreng, saya mengambil seekor untuk dimasukkan ke dalam bekas polisterina untuk bekalan saya. Selebihnya dimasukkan ke dalam pinggan beralas 'kitchen tissue', ditinggalkan untuk suami makan. Jam sudah menunjukkan pukul 6.55 pagi. Saya dan suami segera keluar dari rumah. Suami akan menghantar saya ke pejabat yang lebih kurang 20minit perjalanan menaiki kenderaan dari rumah saya. Saya tidak terlewat, punch-card saya pada pukul 7.25 pagi hari ini. (okey...ini musim cuti sekolah...jika di hari biasa, saya akan limitkan supaya saya dapat siap memasak paling lewat pun pada pukul 6.35 pagi...)

- sekadar hiasan -

Walau bekalan saya nampak mudah, hanya nasi putih, ikan kerisi goreng dan sayur pucuk ubi, namun ia menimbulkan rasa puas hati. Puas hati kerana 'di dalamnya ada doa kepada Allah', puas hati kerana ia dari air tangan saya sendiri, puas hati kerana saya tahu sumber-sumber di dalam makanan yang saya makan. Minyak yang saya gunakan, air yang saya gunakan.

InsyaAllah di masa akan datang saya akan berkongsi menu lain pula di awal pagi.

Semoga ada redha Allah untuk kita semua, insyaAllah.

Semoga Allah memudahkan urusan dan melindungi semua kaum muslimin dan muslimat yang sedang berjuang di Palestin, di dunia dan di akhirat, insyaAllah.

07 June 2012

Roti Tortilla

Pernah makan roti tortilla? Tau apa itu roti tortilla?

Tortilla - gambar ihsan Yahoo Search

Saya akui saya belum pernah makan roti tortilla, tapi saya hanya mengenali rupa roti tortilla. Roti ala-ala lempeng nipis tetapi kenyal dan boleh dijadikan 'wrap'...errr....agaknya lebih kurang rupanya macam 'twister' kat KFC tu kot. Rasanya memang saya tak tau. Tak pernah rasa. Twister kat KFC tu pun pernah rasa sekali je. Tupun 5 tahun yang lalu kot. Haha.

gambar ihsan Yahoo Search

Beriya-iya dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini mencari roti tortilla untuk dibeli, atau mencari resepi roti tortilla. Ya. Sungguh susah. Salah satu blog masakan Australia yang selalu saya lawati itu juga tidak mempunyai resepi roti tortilla.

Roti, pada saya...jenis-jenisnya...membuatnya mudah dan tak payah, tetapi untuk me'naik'kannya dan menggebukannya...memang proses menguli tu sangat penting. Sangat-sangat penting, bersama jenis yis yang hendak digunakan. Tapi kalau tengok roti tortilla, tak nampak macam guna yis pun. Dah terang-terang nampak kenipisannya. Kata suami, ni salah satu specialty saya...tengok je makanan...walau belum rasa pun, dah tau secara kasar tentang bahan-bahan yang digunakan. Alhamdulillah.

Okey. Jalan punya jalan. Belek punya belek. In detail saya membelek. Selama beberapa bulan (saya jarang putus asa dalam bab masak-memasak ni...atau dalam bab apa pun - lalu teringat pokok pandan depan rumah yang dah 2 hari tak bersiram..oh! janganlah cuba-cuba nak mati pulak ya...insyaAllah...) Akhirnya saya menemui bungkusan 8 keping roti tortilla di sebuah pasaraya. Biasanya jenis-jenis makanan macam ni ada kat tempat sejuk beku ya...di mana anda boleh jumpa pastry puff...dan juga keju...dan juga benda-benda lain...rambang je mata kalau tiba kat area ni...tapi takdela membeli makanan sejuk beku macam karipap atau pau atau popia atau samosa atau roti canai pun...ada tak ada akan beli keju, pastry puff, whip cream...sebab bab karipap beku, popia beku, samosa beku...hatta croquette beku (sejenis masakan Jepun berasaskan kentang)...semuanya memang saya buat sendiri di rumah dan saya bekukan selebihnya untuk makan di masa akan datang.

Teruja sungguh nak membeli, tetiba...suami yang pergi untuk memeriksa harga di mesin pengimbas harga, menghala ke arah saya dengan muka yang sungguh teruja. Perlahan saja dia berbisik ke arah saya, RM 18.90 katanya. HAHHH!!! paling-paling kalau sebungkus 8 keping itu harganya dalam RM10...nak juga saya membelinya. Jadi...tidak membeli...walau teringin. Memanglah mahal. Roti dalam paket tu roti import dari 'over the sea'. Haha.

Sungguhlah.

Baru-baru ini, saya terjumpa resepinya. Allah seperti tahu semua keinginan saya. Alhamdulillah. Cuma belum berkesempatan membuatnya. Menantikan suami ada di rumah, untuk bantu menguli (yalah...tangan saya masih belum kuat...kudrat masih agak lemah...alhamdulillah suami rajin masuk ke dapur setiap kali waktu memasak - walaupun waktu awal pagi, lebih kurang 5.45 atau 6 pagi, untuk saya bawa bekal ke tempat kerja). Sungguh, di rumah saya tidak ada 'bread maker'. Sengaja tidak dibeli, sebab mahu membuat roti 'air tangan sendiri'. Walau roti bun sekalipun. Atau roti sandwich, walau kadang-kadang bila dah lama tak jumpa roti...tersinggah juga Petronas membeli roti Gardenia. Haha. Bukan guna duit pun. Guna kad Mesra je. Redeem points.

Ya. Tortilla roti yang agak mudah. Bahan asasnya cumalah tepung, baking powder (seperti yang saya sudah jangka sewaktu melihat gambarnya yang nampak seperti ada berlubang-lubang kecil), garam, air suam dan shortening (ni pun salah satu misi nak habiskan shortening yang ada kat rumah tu juga sebelum expire...). So boleh faham kan kenapa saya taknak beli 8 keping dengan harga RM18.90?

Alhamdulillah.

Lepas ni...akan ada tortilla sejuk beku di rumah saya. InsyaAllah. Dan bolehlah dipelbagaikan isi/intinya. Baru semalam membeli salad sebanyak 3 pokok...

gambar ihsan Yahoo Search

Semoga ada redha Allah untuk usaha saya dan suami memastikan makanan yang masuk ke perut kami sekeluarga adalah bersih, halal, seimbang, berkualiti dan berkhasiat. InsyaAllah.

13 May 2012

Tidak Boleh Marah. Kalau Marah, Anda Kena Jual?

Marah. Suatu ciri negatif yang menyukarkan sebahagian besar diri dan emosi kita. Marah juga, salah satu pintu masuk syaitan. Marah, perlu diatasi dengan S.A.B.A.R.

Pun, Jumaat yang baru berlalu, 11 Mei 2012, menyaksikan 'kemarahan saya' yang amat. Ya. Saya sangat marah. Walau 'anger management' atau pengurusan marah sering cuba untuk dipraktikkan dalam sebarang situasi, cuba melembutkan hati sedalam-dalamnya apabila rasa negatif itu cuba menguasai saya, tapi hati saya tetap tercalar dengan insiden yang berlaku. Amat-amat tercalar, sehingga saya 'mengisytiharkan perang' kepada insan tersebut kerana kejadian itu. Ya. Saya marah kepada seorang manusia, kerana perlakuan dan tindakannya. Bukan kerana rupa fizikal yang telah Allah jadikan dengan begitu indah. Semua kejadian Allah memang indah, kita manusia ini yang bersifat nafsu serakah dan menerima hasutan syaitan yang sering memburukkan kejadian Allah yang sangat indah.

Mengapa saya marah?

Anda semua pasti tahu bahawa hari Jumaat, semua yang bergelar lelaki beragama Islam diWAJIBkan mengerjakan solat Jumaat (WAJIB - jika dibuat dapat pahala, jika tidak dibuat akan berdosa). Jika ada yang diberi rukhsah (kemudahan) oleh Allah pun, hanya kerana ada sebab-sebab yang diwajarkan dan diberi kelonggaran.

Insan ini, beragama Islam. Berada dalam suatu majlis yang beliau kawal (maksudnya beliau ada 'power' untuk meneruskan/memberhentikan majlis). Di dalam majlis itu, selain dari penyampainya lelaki bukan Islam, yang lainnya - majoriti lelaki - adalah beragama Islam. Jadi, saya menanti-nanti majlis tersebut tamat. Memerhatikan jam berulangkali. Dari pukul 12 membawa ke 12.30 hinggalah ke pukul 1 tengahari di hari Jumaat, masih tidak ada tanda-tanda majlis akan tamat. Cuba juga berulangkali memastikan 'tiada masjid' di hadapan pintu masuk ke majlis/tempat tersebut (ini ayat sindiran...jika pintu masjid di hadapan pintu tempat tersebut, sudah tentu majlis 'keduniaan' itu sudah ditamatkan seawal 12 tengahari...kerana apa...kerana malu kepada manusia....sungguhlah...bilalah kita semua akan belajar 'rasa malu kepada Allah'? Tidak adakah sekelumit rasa pun untuk 'malu kepada Allah'?).

Akhirnya, majlis tamat. Pada pukul 1.15 tengahari. Tahu bukan, kalau ada masjid yang agak dekat pun di kawasan tersebut, ia adalah suatu 'waktu yang mustahil' untuk berada di masjid sebelum imam memulakan khutbah Jumaat? Tahu bukan waktu solat Zuhur masuk pada pukul berapa? Tahu bukan, pada masa bila 'malaikat pencatat' bertugas menulis nama-nama umat Islam yang masuk ke masjid di hari Jumaat sebelum imam naik untuk membacakan khutbah? Tahu bukan...perkara-perkara sunat di hari Jumaat sebelum bergerak ke masjid yang juga dapat memberi kesan kepada emosi? Tahu bukan...ia hari Jumaat. Bukan hari-hari biasa yang boleh membawa kepada solat Zuhur dilunaskan seawal 4 petang, atau terus terlepas langsung...terus diabaikan. Terus dilupakan. Tanpa rasa bersalah kepada Allah yang telah membenarkan anda semua hidup sehingga ke hari ini. Langsung tidak mahu mengikut suruhan Allah. Tidak mahu meninggalkan larangan Allah.

Jadi, kalau tahu...kenapa tidak bertindak 'menjadi seorang Islam yang baik'??? Sanggup 'membelakangkan Allah' hanya kerana hal dunia (majlis yang saya katakan di atas tidak ada kaitan langsung dengan majlis-majlis keagamaan).

Jika sikap buruk yang ditunjukkan kepada saya, hanya merujuk kepada saya, atau hanya merujuk kepada 'manusia' sahaja....saya masih boleh mengabaikannya. Walau bersikap buruk itu juga merupakan sikap yang tidak diredhai Allah. Tapi, jika 'membelakangkan Allah' hanya kerana hal-hal dunia....ia menjadikan hati saya tercalar...lukanya amat dalam! Saya akui saya menangis melihat perlakuan seperti yang baru saya alami pada Jumaat yang lepas.

Sejujurnya...hari ini...saya terjumpa ini...dari Ustaz Hasrizal Abdul Jamil...

Daripada 'Amr bin Syuaib, daripada ayahnya, daripada bapa saudaranya (Abdullah bin Amr bin al-'ash), dia berkata: Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam keluar untuk menemui para sahabatnya yang di saat itu sedang berselisih tentang persoalan qadar, maka Baginda marah sehingga seakan-akan sebuah delima keluar daripada wajah Baginda kerana kemarahannya. Lalu Baginda berkata: INIKAH YANG TELAH DIPERINTAHKAN KE ATAS KALIAN DAN UNTUK INIKAH KALIAN DICIPTAKAN? KALIAN TELAH MELEMPARKAN SEBAHAGIANNYA AL-QURAN DENGAN SEBAHAGIAN YANG LAIN. HAL SEPERTI INILAH YANG TELAH MENGHANCURKAN UMAT-UMAT SEBELUM KAMU"

Lalu Abdullah bin 'Amr berkata: Aku tidak memandang baik terhadap perbuatan diriku di suatu majlis di mana di situ Rasulullah sangat marah lantaran para sahabatnya membahaskan sesuatu yang sedikit pun tidak memberi manfaat kepada mereka.

Ya...untuk apa memandang dunia terlalu lama, memikirkan dunia sahaja....sehingga terlupa bahawa dunia ini adalah 'ladang' untuk akhirat kita. Jika baik 'benih' dan 'tanaman' kita di dunia ini, maka eloklah juga hasil tuaian yang akan kita bawa sebagai 'bekal' di akhirat nanti. Pun....jika di dunia ini 'benih yang kita tabur adalah benih yang buruk, terlebih benih yang tidak diredhai Allah'...jadi apakah 'bekalan' kita di akhirat nanti?

Sungguh malang.

Kejarlah redha Allah di dunia agar Allah akan meredhai kita di saat harta benda, anak-pinak, saudara-mara dan kawan-taulan tidak lagi dapat membantu kita. Itulah 'akhirat'. Hanya Allah yang dapat membantu, dan hanya rahmat dan kasih sayang Allah yang memberikan 'kebahagiaan hakiki' di akhirat nanti. Dunia ini hanya sementara, sangat seketika tempohnya.

Kejar-kejar dunia, untuk akhiratmu. Jangan mengejar dunia, hanya mengikut nafsumu.

Semoga ada redha Allah untuk entri saya kali ini. Semoga Allah sentiasa mengurniakan hidayah kepada kita semua, semoga Allah meredhai kita semua. InsyaAllah.

21 April 2012

Cerita Tentang Hati

Semalam, saya mengambil peluang menunaikan solat Asar di masjid berdekatan dengan rumah saya. Sudah lewat, pun cuba untuk dicepat-cepatkan. Oh! Ruginya solat yang terlewat...

Kalau nak di-analogi-kan...dibayang-bayangkan...cuba waktu solat ni dianggapkan macam waktu untuk masuk panggung wayang (contoh la ni kan...). Kalau dapat masuk on time, tepat pada masa, dapat tengok movie dari awal bersiaran hinggalah habis...tentu rasa berbaloi-baloi kan...tapi kalau masuk dalam panggung lagi 10 minit nak habis movie, apa perasaan anda? Tapi...pelik pula...kalau 'terlepas tengok wayang', rasa nak menangis dan rasa rugi tersangat-sangatlah ruginya. Mesti masuk ke dalam pawagam paling awal...

Tapi, kalau terlewat solat, ada tak antara kita semua yang akan menangis? Ada tak antara kita yang rasa rugi? Ada tak yang rasa teramat sedih? Ada tak antara kita semua yang menjadi 'penanti dan penunggu setia' kepada waktu solat, sentiasa menanti-nantikan waktu solat tiba? Hmm...untuk difikir dan direnung-renungkan. Rasanya, anda semua lebih arif dengan jawapan dari hati anda kan? Errm...entah bilalah hati kita ni nak 'improve' ek? Kalaulah esok pagi maut datang menjemput...kalaulah esok pagi terjadinya kiamat? Aduhai...

Usai solat Asar, saya masih duduk di masjid. Menanti waktu solat Maghrib, dan kemudian selepas solat Maghrib berjemaah, memang akan ada Kuliah Maghrib pada setiap malam di masjid ini. Malam itu, Ustaz Khusairi Hamthan membicarakan tentang akidah, akhlak dan hati.

Saya terkesan dengan kuliah yang beliau sampaikan berkenaan tentang kewajipan solat berjemaah. Bagaimana Rasulullah berkeinginan membakar rumah-rumah para sahabat yang tidak menghadirkan diri untuk solat berjemaah. Walhal, kita semua sedia maklum, Rasulullah ini manusia terbaik yang punya ketinggian akhlak, kesempurnaan diri yang dianugerahkan Allah kepada beliau. Beliau kekasih Allah. Jadi, jika kitalah...ya...kita yang tidak maksum ini...kita ini tidak maksum pun...apa kesalahan yang boleh dibuat oleh seseorang kepada kita sehingga menjadi sebab untuk kita membakar rumah seseorang? Apakah jenis kesalahan agaknya....dan ia boleh dibayangkan betapalah 'besarnya' kesalahan orang yang tidak menghadirkan diri dalam solat berjemaah pada setiap waktu solat fardhu sehingga rumahnya boleh dibakar oleh 'Rasulullah yang maksum'. Ya, saya takut. Dari dulu lagi sudah tahu...tapi...seperti biasa, tuntutan waktu kepada 'dunia' sering membataskan diri. Terlebih untuk solat Subuh berjemaah di masjid. Sungguhlah amat payah...Ya Allah...jadikan ia mudah...solat berjemaah ini mudah...untuk saya, keluarga saya, dan semua muslimin dan muslimat...insyaAllah...

Kemudian, ustaz juga menyampaikan tentang 'MUDAHNYA UMAT ISLAM ZAMAN INI MEMPRAKTIKKAN PERKARA-PERKARA YANG SILAP DAN DILARANG OLEH ALLAH'. Lebih mudah jika dikatakan bahawa umat Islam zaman ini 'menjadikan perkara haram sebagai cara hidup'. Contoh yang diberikan oleh ustaz sangat mudah. Ia berkaitan tentang 'menjaga aurat' - saya letakkan perkataan 'menjaga' di sini...kerana perkataan 'menutup' aurat tidak sinonim dengan 'menjaga aurat'. Kata ustaz, Perkara 1. Jangan pakai pakaian jarang hingga menampakkan bentuk badan (ini mengingatkan saya kepada malam sebelumnya sewaktu saya sedang duduk di tempat meletak kereta di hadapan Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah di Bandar Baru Bangi, malam sudah lewat...suasana gelap yang ada hanya cahaya dari Pusat Rawatan Islam tersebut sahaja...tiba-tiba ada 3 orang wanita lalu di hadapan kereta saya menghala ke pusat rawatan tersebut. 2 orang berpakaian 'ketat' dan seorang lagi memakai baju longgar tetapi menjadikan 'saya malu' untuk melihatnya. Ugh!! Saya yang wanita ini pun merasa amat malu untuk melihatnya. Apabila saja wanita itu lalu di hadapan saya, susuk tubuhnya amat jelas dilihat 'dengan bantuan cahaya' dari hujung kaki hingga ke pinggang, mujurlah memakai baju sejuk dan tebal di bahagian atas badan, dengan memakai tudung. Errmmm....nasihat saya kepada para wanita...TOLONG! Sila tolong pakai 'kain di bahagian dalam' pakaian anda, atau pakai seluar panjang yang agak longgar di bahagian dalam pakaian anda jika anda memakai baju kurung atau apa-apa saja pakaian yang nampak 'labuh dan menutup' tetapi sebenarnya ianya jarang...ia TIDAK MEMBOLEHKAN ANDA 'MENJAGA AURAT' ANDA...).

Perkara 2 yang disebut oleh ustaz pula adalah tentang pemakaian 'ketat' dan 'sendat' yang memang berleluasa sekarang. Ini, saya tidak perlu ulas. Semua sudah sedia maklum bagaimana sendatnya pakaian zaman ini hingga menampakkan apa saja bentuk tubuh, samada seseorang wanita itu mempunyai susuk badan yang 'berisi' ataupun tidak. Malah, pakaian-pakaian seumpama ini dijual dengan berleluasa. Sangat banyak. Apa yang saya mahu nyatakan, ia sungguh benar DILARANG OLEH ALLAH...walaupun majoriti...ya, walaupun memang ramai wanita di zaman ini yang berpakaian sebegini. Ya...kerana ia dibuat oleh 'majoriti'...ia jadi seperti satu 'kebiasaan yang dibolehkan'...kenapa kita tak rujuk semula kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW apabila ada keraguan di hati kita? Kita di zaman ini....suka benar 'mengikut rentak dan gaya orang lain'...tidak belek-belek pun samada ada redha Allah atau tidak dalam apa yang kita lakukan. Redha Allah, atau redha manusia? Kata suami saya...kalau di zaman ini, 'tidak berpakaian' itu menjadi satu fesyen...maka semua orang pun akan menganggap 'tidak berpakaian' itu sebagai satu perkara normal kerana ia dibuat oleh 'majoriti'...

Malah, ustaz juga membicarakan dan menegur tentang 'tudung ranting pokok'. Haha. Mungkin ia cuma istilah saya, tapi kata ustaz, majoriti wanita zaman ini memakai tudung yang 'menyangkut' menutup rambut dan kepala saja, sama seperti kain yang menyangkut di ranting pokok...tidak ikut konsep tudung yang telah disebut oleh Allah di dalam Al-Quran...

Apapun, ia berkait dengan hati. Jika buntu, hati yang mengingati Allah akan mencari penyelesaian melalui jalan yang diredhai Allah. Jika sedih, Allah jua tempat kita merafaq kasih, menagih simpati. Jika gembira, Alhamdulillah...segala puji bagi Allah sekelian alam. Semunya dari Allah, dan kepada Allah kita akan dikembalikan...hanya kepada Dia...

Jadi, tepuk dada, tanya hati, belek iman. Semoga ada redha Allah dalam entri saya kali ini. InsyaAllah.

08 January 2012

Yang Saya Tahu : Saya Bayar Dulu Sebelum Guna...

"Saya bayar guna duit la....apa pulak nak guna kad....", dan terus mengeluarkan duit sebanyak RM 100 untuk membayar deposit barang yang mahu dibelinya (yang kemudiannya dia berniat untuk membatalkan pembeliannya dengan alasan barang yang dibelinya lambat tiba...)

Lebih kurang begitulah isi percakapan seorang lelaki. Pada hari ini (err..bukan hari ini...ini entri dua hari yang lalu...hehe....tak larat nak menaip terus banyak-banyak...). Di sebuah lokasi yang dirahsiakan (dirahsiakan sebab...bukannya saya nak cerita perihal dia....tapi saya mahu cerita perihal kad...)

Kad kredit. Atau kad debit. Apapun, saya kurang faham fungsi kad debit. Jadi, di sini, saya cuma akan bercerita tentang kad kredit sahaja.

Kad kredit. Mesti ada kredit limit (had kredit). Boleh guna di mana-mana saja yang mempunyai perkhidmatan ini, dengan 'sesuka hati' anda saja. Tanpa melebihi had kredit yang telah ditetapkan oleh bank. Kalau lebih, memang nahas!

Okey. Di bawah ini ada beberapa saranan/cadangan saya. Kepada pengguna kad kredit. Dan kepada yang berniat mahu menggunakan kad kredit. Atau sekadar info untuk disampaikan kepada orang lain.

SATU

Jangan 'benarkan' pihak bank charge (kenakan sebarang bayaran) untuk interest penggunaan kad kredit tersebut. Biasanya bank akan charge sebanyak 11%, 13.5% atau ada juga untuk pengguna tegar yang selalu lambat bayar walaupun amaun paling minimum akan dikenakan charge interest sebanyak 17.5%. Banyak kan? Kalau guna sebanyak RM1000....dah terang-terang kena bagi kat bank sebanyak RM175. Kalau pi makan kat Secret Recipe...lumayan sungguh RM175 tu....Bagaimana caranya untuk mengelakkan dikenakan interest ini?

Sebagai contoh, jika anda gunakan sebanyak RM2000 untuk satu-satu bulan dengan menggunakan kad kredit, sila bayar semula kepada bank sebanyak RM2000 sebelum melepasi 'tarikh akhir' bayaran patut dibuat. Memang tidak akan dikenakan sebarang 'denda'....

Atau

Anda boleh merekodkan perbelanjaan harian anda yang menggunakan kad kredit, dan bajet untuk bayaran kad kredit anda kepada pihak bank. Sebagai contoh, jika bil perbelanjaan pada penyata kad kredit anda tamat pada 19hb setiap bulan, dan akan dihantar kepada anda pada 24 atau 25hb setiap bulan, dan anda diwajibkan melunaskan semua bayaran sebelum 8hb pada bulan yang berikutnya. Dah tentu selepas 19hb hingga ke 8hb bulan yang berikutnya pun anda masih berbelanja dengan menggunakan kad kredit kan? So...walau penyata yang tiba bertulis RM2,580.00 untuk pembayaran yang perlu dibuat...dan mungkin ada beli baju dan tudung dan beg tangan sebanyak RM1000.00 pada 1hb bulan berikutnya....baik bayar je sebanyak RM3,580....jadi pada bil bulan hadapannya....anda dah 'selamat' RM1000 di situ....atau lagi mudah, bayar je RM4000.....boleh save RM420 di situ.

Okey.....maksudnya.....saya bayar dulu.....baru guna! Takde hutang, best kan?

Malah....boleh jadikan penyata kad kredit anda bernilai 'negatif'.....enjoy sungguh kalau dalam dua tiga bulan nampak penyata bernilai negatif ni.....hehe....rasa macam banyak pulak dapat dijimatkan...

DUA

Jangan gunakan kad kredit melebihi gaji bulanan anda.

Contohnya, gaji bulanan anda sebanyak RM5000 sebulan. Had kredit pada kad kredit anda pula RM7000 sebulan. Anda perlu bayar kereta RM1000, rumah RM900, bil telefon RM200.....so baki boleh guna dari duit gaji cuma RM2900 (okey...jangan lupa makan minum...bagi mak ayah....untuk simpanan di masa kecemasan dan di masa tidak kecemasan plak ek...) tup-tup pi shopping, boleh pulak beli baju ke, tudung ke, beg tangan ke...atau handphone baru ke....tab baru ke....dengan menggunakan kad kredit sebanyak RM4000 plak.....dan kemudian beranggapan plak...."okey...aku ada RM3000 lagi untuk digunakan ni..."

Adoi!!! Tokey balak pun boleh rabak kalau macam ni....

Jadi.....sila berbelanja ikut keperluan ya....jangan berbelanja ikut nafsu! Kalau nak diikutkan nafsu ni....saya rasalah saya nak je beli sebuah jet peribadi untuk diri sendiri...hehe...kalau ikut nafsu la kan....walau memang tak mampu pun nak beli jet peribadi tu!!! (uhuk...ini gara-gara kes merindukan kampung halaman la ni...sudah hampir 6 bulan tidak balik ke kampung kerana - saya allergic perjalanan jauh dengan menaiki kenderaan beroda 4...apatah lagi yang beroda 6 atau beroda 8 atau beroda 24...hehe....)

TIGA

Kalau lebih guna, boleh dapat lebih point. Kalau dapat point yang cukup, boleh redeem apa-apa saja yang ditawarkan oleh pihak bank. Dengan syarat, penggunaan adalah sangat-sangat mematuhi perkara 1 dan 2 yang saya sebutkan di atas.

Sebagai contoh, jika anda ke pasaraya. Beli kentang, serai, cili, buah-buahan dan barang-barang lain....amaun yang dikenakan cumalah RM33.40. Di kaunter, anda diberitahu bahawa pembayaran menggunakan kad kredit adalah dibenarkan untuk pembelian melebihi RM30 ke atas sahaja.

So...apalagi? Guna je la kad kredit tu....boleh dapat lebih point....boleh redeem macam-macam. Terutama kalau pi isi minyak....kat Shell ke (ada BonusLink)....kat Petronas ke (ada Kad Mesra)....wah...dengan point kad kredit dan dengan point kad-kad lain (contoh BonusLink dan Kad Mesra atau Real Reward ke)....memang dapat bonus berganda-ganda!!!

Apapun....anda memang mesti isi minyak kereta dan mesti makan roti....eh eh....(itu yang saya ceritakan tentang perbandingan antara keperluan dan kenafsuan...ho ho....)

Hehe....dah lama tak membeli roti di Petronas dengan menggunakan duit tunai. Selalunya inche' suami saya akan bawa Kad Mesra, masuk ke dalam Petronas....capai roti sebungkus dan bayar guna Kad Mesra saja....kalau dikira-kirakan....dah banyak puluhan ringgit juga point Kad Mesra itu di-redeem dengan cara membeli roti!!! Hehe......nak redeem pun kena redeem ikut keperluan ya....bukan ikut nafsu!!!

Ok...back to 'point' kad kredit plak...

Setiap tahun, biasanya bank memang akan charge untuk 'amaun wajib dibayar - atau annual fee' untuk penggunaan kad kredit. Biasanya RM60, RM70, RM120 dll....ada macam-macam amaun....

So jika anda redeem (terutamanya voucher-voucher pasaraya seperti Jusco, Parkson, Tesco...) - yang biasanya ditawarkan sebanyak RM100....so dapatlah 'cover' balik annual fee tu. Seolah-olah...anda guna kad kredit.....anda tak perlu bawa duit tunai banyak-banyak (woooooo....bahaya tau bawak tunai banyak-banyak ni....), anda dapat point....redeem point....ada lebihan lagi yang dapat menguntungkan anda...tidakkah ia memberikan anda keuntungan berganda-ganda?

Okey....cukuplah dulu saranan saya tentang tatacara penggunaan kad kredit. Tangan saya sudah mahu tercabut bila dah menaip banyak-banyak ni... Stop dulu. Nanti-nanti masa lain....kita sambung lagi. InsyaAllah.

Apapun...saranan saya...berbelanjalah secara berhemah....samada menggunakan duit tunai....atau menggunakan kad kredit.

Sesungguhnya syaitan sangat sukakan pembaziran....dan Allah Yang Maha Besar tidak pernah menggalakkan kita membuat walau sedikit pun pembaziran.

Sebarang kesilapan penulisan di dalam entri ini....sila maafkan saya....saya ini manusia yang tidak sempurna....sama saja seperti anda semua....

Semoga ada redha Allah kepada kita semua. InsyaAllah.

# Saya bukan pegawai bank dan tidak pernah dikenakan 'interest' kad kredit walau sesen pun selama saya menggunakan kad kredit....ALHAMDULILLAH...

14 November 2011

Pembuka Minda

Baru menghabiskan karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Secangkir Teh Pengubat Letih, salah satu pemberian suami kepada saya untuk hantaran perkahwinan kami.

Alhamdulillah. Ia membuka minda saya kepada negara itu.

pertama - teliti dan halus dalam perbuatan berkaitan agama, walau dalam hal remeh temeh.
kedua - kekuatan Islam yang ditunjangi mereka.
ketiga - cara dan praktikaliti mereka membina ukhuwah sesama Muslim.

...dan lain-lain lagi.

Malah, perjuangan belia muda-mudi negara tersebut dalam mengorak perjuangan kepada Islam yang syumul cukup indah. Saya terus berharap, penulis yang saya kenali melalui coretan beliau di Majalah i suatu ketika dahulu, dan sehingga kini masih terus meminati olahan idea beliau, akan terus berkarya dengan karya-karya sebegini.

Ia, hanya diperolehi melalui pengalaman, yang diolah menjadi bahan pembacaan.

Semoga Allah sentiasa meredhai dan memberkati kita semua, insyaAllah.

01 October 2011

Masak Sendiri VS Beli

Cerita tentang makanan! Yahuuu!

Sejak berkahwin dan mempunyai suami yang tidak cerewet tentang apa saja masakan, saya merasa sangat bersyukur. Terima kasih!! Arigato!! Syukran jazilan!! Alhamdulillah....


Walaupun kami jarang menikmati makanan di luar (membeli atau makan di luar memang sangat jarang dan boleh dikira dengan jari), namun dalam tempoh 6 bulan usia perkahwinan ini (rasa masih baru berkahwin meskipun sudah mencapai usia setengah tahun ---- insyaAllah sampai bila-bila ada rasa begini....kan inche' suami?? Hehe...), namun kami ada juga pergi ke beberapa restoran ataupun makan di luar dari rumah. Antaranya :-

1. Mc Donalds (hmmm....jangan tak percaya, saya sangat sukakan set Happy Mealsnya...errr....dengan permainan yang menarik....bunyinya macam 'budak kecil' kan....tapi suami sentiasa menurut selera 'nakal' saya ini)

2. Dominos Pizza (suka pergi bila ada 'value for money' promotion...hehe...)

3. Kedai burger tanpa nama di Bandar Baru Bangi (burger special yang sangat9x best....terkini dengan harga serendah RM3.00 untuk seketul....dan saya sudah menikmati burger ini dari kedai yang sama sejak di universiti....since almost 10-15 years ago....sejak harga burger specialnya hanya RM 1.80...)

4. Kenny Rogers (baru pergi sekali je...)

5. Secret Recipe (baru pergi sekali je...)

6. Kentucky Fried Chicken (baru pergi sekali je...)

7. Restoran Cina Muslim Mohd Chan Abdullah (baru pergi sekali...tapi mungkin pergi lagi....insyaAllah...sebab kata suami - dan saya juga....err...dim sum ayamnya sedap dengan harga RM3.80 untuk tiga ketul...)

8. Pappa Rich (baru pergi sekali je....)

9. Gerai makanan tepi jalan yang pernah saya pergi semasa zaman belajar dahulu (baru pergi sekali...err amazing juga bila makan kuetiau sup, nasi goreng kampung dan air durian belanda panas it goes to RM14.20....memang itukah value makanan sekarang???)

10. Gerai nasi kerabu berdekatan Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi - pagi je ya (ermmm....sebenarnya gerai ni ada jual nasi dagang, nasi lemak dan nasi putih juga...) tapi kami suka beli nasi kerabu je...dengan harga RM 4 dah boleh dapat complete set nasi kerabu beserta ayam ataupun daging atau lauk2 lain....

Selain dari itu, kami selalu makan di taman rekreasi....memasak dari rumah dan membawa bekal....ber track-suit dan berkasut sukan.....usai makan kami akan pusing2 taman berjalan kaki sambil berpimpin tangan berdua-duaan.....haha.....merangkap sesi 'dating' kerana kami tidak pernah bersua walau sekali pun secara berdua-duaan sebelum kami berdua diijabkabulkan....so selepas diijabkabulkan.....hari-hari macam sesi 'dating' je.....;)


Rasanya itu sahaja tempat-tempat yang kami pernah pergi untuk makan. Malah, semasa Ramadhan yang baru berlalu pun....hanya sekali saja kami berdua ke bazaar Ramadhan untuk mencari air tebu dan air lai chi kang. So, terbeli juga sebungkus nasi kerabu...tapi hanya sekali saja ya kami pergi....untuk tempoh puasa selama 30 hari....

Malah, restoran-restoran ataupun 'sesi makan luar' yang kami lakukan hanyalah untuk membuat perbandingan antara 'masakan isteri' di rumah dan rasa masakan di luar - ni kata suami sayalah - which end up 'sedap lagi isteri abang masak'.....so rasanya 'sesi makan luar' kami berdua pun almost ditamatkan...yang masih belum test pun hanyalah Sushi King...


Apakah keseronokan dan keberkatan memasak sendiri?

Errmmmm.....ikut priority ya....

1. Kerana Allah Taala....pernah terbaca email pada zaman dulu2 bahawa 'air kencing anjing hitam' lebih baik dari 'air tangan wanita yang tidak menjaga aurat'....so kalau makan kat luar, boleh ke nak dipastikan bahawa masakan kat luar tu dimasak oleh 'wanita yang menjaga aurat'? Errr....yang menjaga auratnya ya.....bukan yang 'menutup' auratnya.....jenis yang pakai baju ketat dan singkat serta seluar ketat dan juga masih boleh nampak bentuk badan tu termasuk kategori 'menutup' aurat sahaja....

2. Kebersihan makanan terjaga....dari pemilihan bahan mentah hinggalah kepada persediaan bahan masakan, alatan yang digunakan dan kaedah memasak yang digunapakai...such as basuh telur dan kulit2nya sebelum masak....baca doa semasa memasak...mendoakan makanan menjadi rezeki yang diberkati Allah....bersih makanan bukan saja dari segi lahiriahnya tetapi juga dari segi batiniahnya....ermmm...yang ni mungkin masih tak boleh nak dipastikan kalau makan atau membeli makanan di luar...

3. Kualiti makanan berbanding kos...hehe.....such as kalau buat pizza di rumah....dengan kos serendah RM 5.00 dah boleh dapat pizza saiz regular (ermm....bahan ikut suka boleh letak....kalau suka more crabstick...letak banyak sikit....) yang biasanya dijual paling kurang pun RM 25.00 untuk satu pizza regular....jadi makanan yang dimasak ikut selera kita....bahan yang kita suka letak lebih....then boleh balance-kan due to 'pengoptimunan penggunaan bahan makanan mengikut piramid makanan'....so takdelah kes beli nasi dan ayam goreng serta telur goreng saja tapi tak nak beli sayur sebab sayur tak best....dah layu.....or harga sayur tak padan dengan kualiti sayur yang dimasak...so badan kurang serat....end up lama2 jadi tak sihat....

4. Tiada MSG...hoho....ni part paling best sebab sesi Chef Sabri di IKIM Jumaat lepas baru bagitau hal ni....makan di luar mesti guna MSG...kadang2 bergenggam2 MSG yang digunakan untuk menyedapkan makanan....hehe.....almost 5 tahun masak sendiri.....kat rumah saya masih belum pernah sekali pun membeli Pak 'Aji' ya....sebungkus garam halus harga RM 0.50 pun hanya akan habis selalunya selepas 8 bulan.....atau kadang-kadang hingga setahun....bukan sebab jarang masak, tapi sebab kawal penggunaan garam, gula dalam masakan or minuman....

5. Tambah ilmu.....sebab bila memasak....kita akan kenal sangaaaaattt banyak bahan masakan yang tidak dikenali sebelum ini.....so macam-macam kita boleh tau fungsinya, rupanya dan kaedah penggunaannya....hehe....then barulah boleh jadi chef di dapur sendiri - bak kata suami saya la.....dengan macam-macam makanan pelbagai rasa dan rupa yang boleh direka walaupun tanpa resepi....ilmu penyediaan pelbagai masakan pun ada juga....such as buat mi kuning, kuetiau dan laksa sendiri....

6. Untuk sihat. Sediakan buah sebelum makan....dan air kosong.....then makan dalam satu dulang dengan suami - boleh eratkan kasih sayang ni - untuk para suami isteri bolehlah cuba....banyakkan sayur dan kurangkan makan ayam, daging, telur......kalau boleh lebihkan makan ikan....cara masak lebih elok kukus, rebus dan bakar.....such as jika anda kukus sekeping daging burger....tanpa letak apa-apa bahan lain....boleh dapat minyak almost satu cawan....kalau goreng memanglah sedap.....tapi kuantiti minyak dalam makanan memang akan melampau2 banyaknya....masuk dalam badan, tu yang boleh jadi kolesterol dan tersekat pada arteri....

7. Eratkan kasih sayang suami isteri dan anak-anak.....air tangan isteri tak sama dengan air tangan mamak ya....

Errmmm....banyak lagi nak cerita. Tapi stop kat sini dulu. Suami pun asyik bertanya-tanya bila nak post entry ni....nak post entry ni dah ambil masa almost satu minggu lebih...


Next time kita sambung lagi kisah tentang makan di luar dan masak sendiri di rumah ni ya....

Semoga redha, rahmat, berkat dan kasih sayang serta perlindungan Allah sentiasa bersama kita semua di dunia dan di akhirat....insyaAllah...:)

13 July 2011

Kita Selalu Lupa dan Lalai

Assalamualaikum warahmatullah...

Terdetik di minda hari ini.
Melihat dunia dan isinya.
Masing-masing menunjukkan belang...
Masing-masing menunjukkan kuasa.

Masing-masing telah terlupa...
siapa yang paling berkuasa...

terlupa kepada Yang Maha Kuasa.

Ya....tanpa kita sedar, setiap detik...setiap saat...sebenarnya kita berada di bawah kawalan dan kekuasaan Allah Taala...

Kita dapat berjalan kerana Allah Yang Maha Berkuasa memberikan kita kaki. Ada juga yang tiada kaki, namun masih diberikan peluang...menggunakan idea dari Allah jua untuk memiliki kaki palsu....atau kerusi roda...

Kita dapat makan kerana Allah Yang Maha Kuasa memberikan kita mulut, lidah dan gigi. Ada juga yang tiada gigi...pun Allah memberikan idea kepada manusia untuk mencipta gigi palsu...

Kita dapat memegang kerana Allah Yang Maha Kuasa memberikan kita tangan...

Kita dapat berfikir kerana Allah Yang Maha Kuasa memberikan kita akal...

Kita dapat bernafas kerana Allah Yang Maha Kuasa memberikan kita oksigen dan hidung...

Dan tidak sekali-kali Allah menarik kesemua pemberian itu dalam sekelip mata walaupun hati kita sudah hitam berselaput dosa-dosa yang banyak....

Kerana Allah Yang Maha Kuasa jua Maha Pengampun....Dia memberikan kita peluang untuk bertaubat pula...sebelum kematian menjemput kita....

Tapi kita jarang sedar. Kita selalu fikir kita akan hidup lama, tapi kita tidak ingat yang kematian sangat hampir kepada kita...siapa boleh tahu yang pada tarikh 1 Januari 2012 kita masih hidup lagi? Masih bernyawa lagi? Duduk di dalam kubah besi bersimenkan konkrit pun, jika Allah Yang Maha Kuasa telah memutuskan kematian seorang hambaNya pada masa yang tertentu....maka hambaNya itu tetap akan mati...

Kita sering lalai....

Kita sering lupa...

Kita sering alpa...

Bila kita mahu sedar? Mati nanti aset kita cuma kain kapan dan papan lahat sahaja....kalau mahu bawa amalan yang baik dan diredhai Allah, kenapa masih tidak berubah...ikut Al Quran dan sunnah?

Kita saja suka-suka meletakkan diri kita dalam kelalaian...kan?

17 December 2010

Menipu Tetapi Tertipu Dengan Dunia

Lima bulan lepas.

"Cik, kami nak serahkan beberapa dokumen dalam kotak-kotak ni". - Saya memandang dua kotak kertas saiz A3 berwarna kuning di atas troli di hadapan saya.

Saya memandang ruang kerja saya yang agak padat. Mana mahu diletakkan dua kotak sebesar itu, mahu memeriksanya lagi. Sedangkan saya sudah mahu menghadiri mesyuarat penting. Lalu saya ungkapkan : Letak saja kat tepi tu. Ni semua cukup ke? (Ya...dalam kesibukan saya, memang saya sangat mementingkan masa - tidak sempat mahu menyemak dokumen-dokumen dalam kuantiti banyak begitu satu persatu...).

"Belum cukup lagi cik. Ada yang belum hantar lagi pada kami. Tapi kami hantar dulu yang ni....cik tolong sign penerimaan ni dulu...". - Lalu saya menandatangani beberapa surat perakuan penerimaan tersebut.

Hari ini.

Seorang pegawai saya di pejabat menelefon : "Diorang bagitau diorang hantar tujuh kotak dan boss semak all the documents satu demi satu sebelum sign surat perakuan tu...kat atas surat perakuan penerimaan tu ada tulis dokumen diterima dengan lengkap dan sempurna...tak ada lagi yang diorang belum hantar...".

Pada masa bila ia menjadi tujuh kotak?

Pada masa bila ruang bilik saya yang padat dengan pelbagai benda mampu memuatkan tujuh kotak besar-besar begitu? Dua kotak pun sudah sukar mahu diletakkan...

Pada masa bila saya menyemak dokumen-dokumen sebanyak tujuh kotak satu demi satu?

Pada masa bila saya memperakui dokumen diterima lengkap sempurna?

Marahkah saya?

Tidak. Saya tidak marah. Saya kasihan pada orang yang menipu di dunia, kerana mereka masih JAHIL tentang azab di akhirat nanti. Saya rasa sangat kasihan. Saya rasa saya mahu memberikan hadiah terbaik untuk mereka apabila saya bertemu mereka nanti kerana azab di akhirat nanti amat pedih dan tidak tertanggung berbanding derita dunia yang hanya sementara.

Jika orang lain menyatakan mereka betul pun, saya tetap yakin kepada Allah yang Maha Mengetahui. Jika satu dunia menyatakan saya salah pun, saya tetap menanam sepenuh keyakinan kepada Allah yang Maha Berkuasa.

Menanglah di dunia. Di akhirat nanti hanya Allah yang Maha Menolong - jika kita sentiasa menjadi orang yang menuturkan kata-kata yang benar, berperilaku yang benar dan menjalankan tugas yang diamanahkan ikhlas keranaNya sahaja. InsyaAllah.

Saya tetap yakin sepenuhnya kepada Allah Maha Besar.

21 September 2010

6 Hari Di Syawal Ini

Salam Syawal...masih Syawal ya...

Sudah puasa 6 hari di bulan Syawal?
Apabila ditanyakan ada yang menjawab :-

1. InsyaAllah esok
2. Lagi dua hari la...masih belum puas makan tengahari di pejabat...
3. Minggu depan la...ada masa lagi...
4. Jawapan paling best : tahun depan la....

Ohh...andai bertemu lagi dengan Ramadhan dan Syawal tahun hadapan....
Andai tidak bertemu? Hanya Allah yang merahmati keseluruhan kehidupan kita...insyaAllah...

" Dan barang siapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka akan mendapatkan di bumi ini tempat hijrah yang luas dan (rezeki) yang banyak. Barang siapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kerana Allah dan Rasul-nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh, pahalanya telah ditetapkan di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang " : An Nisa' - 100

05 September 2010

Satu Hari di Ramadhan 1431H

Saya melunjur kaki. Lenguh. Usai satu juzuk. Serta maknanya. Harap-harap dapat diingati, dapat dimanfaatkan, dapat disimpan di hati, dapat dijadikan amalan. Malam masih kelam, yang sebetulnya sudah pagi. Pagi yang masih awal. Kalau di kampung, sudah dengar kokokan ayam jantan tua di belakang rumah. Sunyi sepi. Saya suka waktu semacam ini. Waktu bersama Allah. Waktu bersama diri. Sendiri.

Sudah malam 25 Ramadhan. Esok cuti. Walau sebetulnya dalam kehidupan saya tidak akan pernah ada makna 'hari cuti'. Jika cuti dari kerja, saya ada beberapa kelas mengajar dari pagi hingga ke malam. Jika cuti mengajar, saya akan segera mengambil peluang memandu pulang ke kampung, yang sebetulnya 'cuti mengajar' cuma akan diperolehi jika saya membatalkan beberapa kelas-kelas saya. Selalunya sekali dalam tempoh dua bulan. Atau bila melampau rasa rindu, sekali dalam tempoh sebulan.

Kadang-kadang ada juga kelas dibatalkan kerana saya demam. Demam yang sudah tidak larat bangun. Lalu konon-konon berehat di rumah. Tapi dalam tidak larat memandu, masih mengangkat bebanan kain baju dimasukkan ke dalam mesin basuh, masih leka menekan hujung mop mengilatkan lantai walau kemudian akan berhabuk semula, masih suka menekun diri mengadap buku-buku yang banyak untuk dibaca, masih alpa diri apabila sesekali dapat menyentuh berus dan warna atau saja-saja duduk di ceruk dapur mencampak apa yang ada untuk menjadi makanan yang kemudian akan dibawa ke rumah kakak ipar. Leka dengan majalah masakan, deru lagu-lagu nasyid atau bacaan Al-Quran dari cd yang sengaja dipasang memenuhi ruang rumah, lalu sebetulnya saya tidak sukakan ruang senggang yang diisi kosong. Tanpa makna. Walau tidak larat.

Usai qiam a.k.a late night party. Usai tafsir Al-Quran. Sendiri. Lipat kain solat dan saya menuju ke dapur. Sahur mudah. 3 butir tamar Ajwa saya basuh dan masukkan ke dalam piring kecil. Jus mangga dalam mug kecil serta air suam sebotol. Kadang-kadang ada air soya atau susu kambing suam segelas. Bawa ke meja di ruang tamu dan mula membuka Tasauf Moden karya HAMKA. Sudah lama membacanya, namun masih tidak mampu menghabiskannya. Mahu difahamkan, mahu dihayati, mahu dikaji. Jam sudah hampir 5.30 pagi. Perlahan, sahur saya dilunaskan. Di saat azan Subuh berkumandang, saya sudah ada di tikar solat semula. Sayu. Subuh sentiasa membawa kesayuan kepada saya. Sayu, jika ini Subuh terakhir saya. Jika ini Ramadhan terakhir saya. Bekal saya masih sangat sedikit. Amal sudahlah sangat kurang, dosa yang dihimpun pula sangat banyak. Ditolak tambah, apalah yang saya mahu bawa untuk berjumpa Allah. Hanya ada rasa harap, semoga saya diampunkan Allah. Sentiasa.

Usai solat, saya sambung satu 'ain. Kemudian mandi. Bersiap untuk ke kelas. Hanya ada dua kelas hari ini. Beberapa pelajar lain sudah ambil cuti balik ke kampung. Sebetulnya, kelas saya fleksibel. Tidak tertakluk pada cuti sekolah. Selalunya lebih banyak kelas semasa cuti sekolah. Ada beberapa pelajar yang belajar di sekolah berasrama akan 'mem-booking" saya sepanjang cuti sekolah. Selalunya pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5. Tapi tidak pada cuti ini. Cuti raya. Saya juga mahu cuti. Bersama emak di kampung. Emak yang sering saya rindui. Kampung yang sering saya ingati.

Jam 7.30 pagi, saya menghampar tikar solat semula. Rindu kepada Dia. Menghampar rasa syukur kepadaNya. Usai solat, saya terus keluar dari rumah. Kelas pukul 8 pagi dan kemudian satu kelas lagi pada pukul 11 pagi. Habis dua kelas pada 1.15 tengahari, saya terus bersolat Zuhur di rumah pelajar yang kedua. Lalu saya menuju ke pejabat. Oh, bukan saja-saja. Sejak 31 Ogos, saya masih belum berpeluang ke pejabat. Tugas luar kawasan yang banyak. Isnin depan pun masih tidak berpeluang ke pejabat. Ahad sudah bertolak ke pantai timur lagi. Selasa, insyaAllah di pejabat. Terakhir sebelum cuti.

Pejabat kosong. Tiada sesiapa. Sunyi. Saya mengambil surat-surat di pigeon-hole untuk diminitkan. Usai minit semua surat-surat dan diagihkan terus ke meja-meja pasukan kerja saya, kemudian mengambil dua bekas kuih yang saya tempah melalui rakan sepejabat yang sudah diletakkan di atas meja kerja saya. Kuih raya untuk emak saya. Terus balik ke rumah. Badan tiba-tiba seram sejuk, dan kemudian bersin berulangkali hadir. Oh...minggu ini saya belum berehat lagi. Saya mengemas rumah dahulu dan kemudian menghantar mesej kepada keluarga yang bakal saya berbuka puasa hari ini. Buka puasa bersama terpaksa dibatalkan. Badan saya terlalu panas. Maaf. Tahun ini puasa saya yang lebih banyak sendiri. Urusan amanah yang banyak yang perlu diselesaikan. Amanah Allah kepada saya. Amanah yang perlu dilunaskan seikhlasnya supaya tidak kaku bila ditanya Allah di akhirat nanti.

Sambil menunggu Asar, saya baring seketika merehatkan diri. Benar saya sangat penat. Badan jua sudah menggigil. Panas di badan tambah ketara. Lena saya hanya terjaga sekitar pukul 5.30 petang. Lega sedikit. Baki tenaga hanya cukup untuk masuk ke dapur dan mengeluarkan rempah sup beku dari peti sejuk untuk dinyah-beku.

Selesai wudhu', saya hampar tikar solat untuk solat Asar. Leka saya bersama Dia tanpa sedar jam yang sudah membawa ke pukul 7.10 malam. 5 butir tamar Ajwa saya cuci dan dimasukkan ke dalam piring kecil. Bersama secawan jus mangga dan air suam, saya berbuka puasa dengan ringkas apabila mendengar azan Maghrib sayup-sayup dari masjid berhampiran. Sebetulnya, buka puasa sebegini memang rutin saya. Rutin jika berseorangan, kerana apabila berbuka puasa bersama keluarga lain, atau di rumah saya di kampung, pasti ada pelbagai juadah yang akan saya cicip jua sekadarnya saja. Bawalah saya berbuka puasa di mana saja, di lokasi mana saja, saya makan tetap sekadarnya. Jika terlalu penuh, selalunya akan lena hingga lalai pada solat malam. Dialpakan dengan makanan. Oleh itu, saya kawal keinginan, yang akhirnya sudah jadi rutin pada diri. Bazar Ramadhan jua sudah bertahun-tahun tidak saya pergi. Bukan tidak ada keinginan pada makanan-makanan lain, tapi biarlah sekadarnya saja, atau seringkali pula saya lebih suka melayan keinginan saya dengan masak sendiri di rumah, kemudian di bawa ke rumah kakak ipar, untuk dikongsi makan bersama anak-anak saudara saya. Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.

Selesai solat Maghrib dan satu a'in, baru saya masuk ke dapur. Masak mee sup mudah. Mee dengan sayur dan sedikit daging. Hanya 1 mangkuk. Siap dalam tempoh 10 minit. Siap cepat kerana dagingnya sudah direbus lebih awal. Sup panas dan mee soba buat ubat untuk demam yang sudah semakin teruk. Usai makan, saya sambung duduk di atas tikar solat. Walau dalam lesu, saya mahu bersama Dia di saat semua orang jua sedang bersama Dia di masjid-masjid. Walau berseorangan. Bersama selesema dan badan yang panas. Bersama tenaga yang kurang. Pun masih saya mahu bersama Dia. Terutama di Ramadhan ini.

Usai solat, saya mula mengukur diri sebelum mata terpejam. Amalan yang saya terlalai pada hari ini. Mutaba'ah amal saya yang mungkin terkurang. Akhlak saya yang mungkin tidak menyenangkan Allah. Tidak diredhai Allah. Semoga Allah mengampunkan saya di Ramadhan ini. Nantinya, biarlah saya 'lahir' sesuai fitrah kejadian seorang manusia. Di Aidil Fitri. Dengan niat dan hasrat mahu bangun qiam dan doa tidur serta tiga Qul dan Ayatul Qursi, saya mula menutup mata. Selimut saya tarik rapat ke badan. Badan saya masih panas, namun hati saya tenang. Alhamdulillah. Semoga Allah meredhai kehidupan saya dalam sehari di Ramadhan ini, dan jua di hari-hari lain. InsyaAllah.

08 August 2010

Ramadhan


Sekadar gambar hiasan

Sedar tak sedar, dah nak masuk bulan Ramadhan. Hari ni, esok dan lusa je dengan suasana tidak berpuasa. Kemudian tulat...insyaAllah...kita akan berpuasa. Bulan yang paling saya suka. Kenapa?

1. Ramai orang akan bangun awal dan balik awal ke rumah di bulan ni. Bangun awal untuk makan sahur walau di bulan tidak puasa akan bangun pada pukul 8 pagi...

2. Orang yang jarang pi masjid, at least 10 malam yang pertama akan memenuhkan ruang masjid.

3. Tadarus Al Quran sangat banyak dibuat.

4. Yang tidak bertudung akan mula untuk menyarung tudung...walau selepas bulan Ramadhan berlalu tudung2 tu akan ditanggalkan.

5. Ramai orang akan jadi lebih baik dalam bulan ni.

Part tak best plak (pros and cons right...?)

1. Macam-macam makanan ada....then ramai orang ikut nafsu kelaparan dan beli makanan banyak-banyak untuk berbuka untuk cover 3x makan waktu siang hari...then the result is....bburrpp and then dah tak larat nak bangun hatta untuk solat Maghrib pun...

2. 10 malam pertama ada kat masjid...selepasnya dah mula fikir pasal baju raya dan kuih raya dan dah mula shopping2...

3. Masih ada orang Islam yang kena tangkap makan di siang hari...aduyai...adakah kalau tak makan dari terbit fajar hingga terbenam matahari boleh mati ke? Zaman Rasulullah dahulu...Rasulullah berperang di bulan puasa walau berbuka hanya dengan sepotong kurma dan seteguk air saja...

4. Ramadhan yang berlalu tanpa penghayatan sepenuhnya sedangkan Idul Fitri itu bermaksud kembali kepada fitrah....apa fitrah kita dijadikan ke dunia ini agaknya?

Fadhilat puasa sangat banyak sebenarnya. Antara yang paling mudah : memberi rehat kepada sistem penghadaman kita. Dah 11 bulan dok makan sepanjang masa...1 bulan ni la kita nak overhaul balik esofagus, perut, duodenum dan segala macam benda yang ada dalam sistem penghadaman kita...bagi rehat...baiki sikit mana-mana yang rosak...nak perbaik badan sendiri pun ramai yang tak suka rupanya...

Paling utama, carilah redha Allah di dunia ini. Mati nanti takde apa yang akan kekal mengiringi kita kecuali kain putih dan amalan je. Kita tak bawa duit, harta, keluarga dan apa saja yang menjadi milik kita di dunia ini ke dalam kubur, ke alam akhirat. So...fikir-fikirkanlah...apa persediaan kita kalau hari ini adalah hari terakhir kita di dunia ini...???

Jadikanlah Ramadhan tahun ini sebagai Ramadhan perubahan...dan kekal berubah untuk menuju kematian yang lebih diredhai...insyaAllah...

13 December 2009

Syukur Kepada Dia



Lama tidak punya sebarang entri. Saya sibuk, dan keletihan agaknya.

Majlis kahwin sangat banyak. Tapi, yang paling penting untuk tahun ini adalah majlis kahwin adik saya. Majlis di rumah kami pada 5 Disember 2009, manakala di sebelah adik ipar saya pula pada 12 Disember 2009. Dua negeri yang berbeza, bersatu di dalam sebuah perkahwinan.

Alhamdulillah.

Sudah selesai urusan perkahwinan. Sudah selamat semuanya.



Walau punya pelbagai halangan dan ujian (ujian untuk saya la kerana masa yang langsung tidak mencukupi..) kerana di saat yang sama saya akan ditukarkan ke pejabat baru, mana masa mahu menitipkan amanat untuk kerja-kerja yang ditinggalkan, mana masa mahu mengemas barang-barang di pejabat (barang-barang peribadi saya tidak banyak, yang banyak hanyalah nota-nota yang perlu diusung dalam membantu tugas-tugas seharian...nota-nota rujukan penting...) ditambah lagi pelbagai urusan keluarga dan kawan-kawan, pelajar-pelajar saya di bulan Disember ini, dan itu baru urusan-urusan berbentuk fizikal. Saya keletihan tanpa sebarang cuti, dan sudah 'terpengsan' juga dua tiga kali di dalam beberapa minggu ini - demam dan letih yang tidak surut. Badan jadi sangat lemah dan lesu, walhal tenaga dan tulang empat kerat saya masih terus digunakan dan terus digunakan.

Dari segi mental, ya....saya jarang ada masalah dari segi mental. Sudah disetkan, di mana pun saya ditempatkan, saya akan dapat peluang untuk menimba pengalaman dan belajar perkara-perkara baru pula di tempat baru. Mungkin dalam suasana yang berbeza, rakan-rakan baru yang berbeza, di awal-awalnya tentulah akan ada rasa kelainan...tapi apabila sudah banyak berlaku pertukaran dalam kerjaya saya, saya sudah akur bahawa situasi sama akan saya hadapi setiap kali bertukar. Hanya perlu bersiap sedia supaya lebih banyak rasa sabar, tenang dan ikhlas di dalam hati. Itu sahaja. Ujiannya kan pelbagai. Tidak perlu cepat melenting, kan?

Dari segi hati...sebelum-sebelum ini, pertukaran saya tidak pernah dikaitkan dengan urusan hati. Saya kebal, tidak pernah berperasaan kepada sesiapa jua di sepanjang kehidupan saya. Walau ke mana saya pergi, di mana saya berada, sudah disetkan berulangkali, hanya Allah yang sentiasa ada di hati. Tapi, entah kenapa agaknya, pertukaran saya kali ini mengundang rasa sayu dan sedih yang bukan pula sedikit. Jauh di sudut hati, saya rasa seperti tidak mahu wujudnya sebarang perpisahan dengan sesiapa jua pun. Mungkinkah, Allah memberikan saya peluang pada kali ini untuk mendidik diri saya tentang hati pula? Ujian ke atas hati saya, dan saya akui...semuanya kali ini, saya sandarkan hanya kepada Dia.

Ujian hati ini, saya redha menempuhnya. Untuk kali yang pertama. Terima kasih kepada Dia, yang menjadikan saya tabah dan kukuh, walau pelbagai ujian datang melanda.

Mungkin, kita yang tidak pernah sedar. Ujian itu jua adalah nikmat, kerana dengan pelbagai ujian yang datang, kita dapat belajar dan dapat meneruskan hidup ini di dalam suatu situasi yang lebih indah. Jika tidak ada ujian, tidak ada masalah, hidup kita sangat hambar kerana semuanya berlaku mengikut kehendak kita, pun kita rasa tidak selesa juga kan? Manusia ini, sukar benar bersyukur kepada Dia.

Ya Allah, jadikan hambaMu ini sebagai hamba yang sentiasa bersyukur kepadaMu. Amiin.

29 November 2009

Saya Rasa Saya Kurang Tazkirah

Kenapa?

- Sudah seminggu tafsir Al-Quran saya tersadai di atas buku-buku di tepi laptop dan tidak dibuka. Walhal, tafsir itu peneman saya setiap Subuh dan Maghrib, malah sesekali Isya' (kerana Zuhur dan Asar saya di pejabat...lalu usai Zuhur dan Asar, biasanya hanya diisi dengan Ayat 1, 5 dan 7 sahaja...)

- Saya ada rasa malas untuk ambil wudhu' bila waktu sepertiga malam tiba, walhal saya sudah membuka mata. Kukuh betul buhul-buhul ikatan syaithon yang merantai kaki dan tangan saya, menekan-nekan alis mata saya supaya tertutup rapat. Terlupa bahawa buhul-buhul ikatan itu bukannya boleh terurai dengan bahasa lembut dan hati yang lemah. Perlu paksa diri untuk tunjuk kasih pada Allah.

- Solat di waktu bekerja menjadi sangat lambat. Terlalu sangat dengan urusan kerja dan keduniaan. Walhal panggilan Allah lebih utama dari panggilan boss.

- Makan bila lapar. Bila sudah kenyang, sambung kerja semula. Seolah terlupa makan kerana Allah, minum kerana Allah. Hidup kerana Allah. Kurang benar bersyukur.

- Saya tidak berusaha keluar awal dari rumah setiap pagi supaya dapat dengar tazkirah Ustaz Zahazan di Radio IKIM dari Isnin hingga Khamis.

- Asyik berbicara hal orang lain, walhal sudah sering diingatkan pada diri bahawa diam itu lebih baik dari berbicara perkara-perkara yang melalaikan.

- Rasa kurang sabar, kurang ikhlas, kurang tenang dan kurang bersyukur. Hati yang kurang tenang, alpa pada maksud ayat 28, Surah Ar-Raadu.

Lalu, paling terasa bila baca beberapa laman blog Islamik yang menerbitkan rasa insaf di hati. Ya Allah, saya terasa seperti jauh benar saya dari Dia. Saya rasa saya semakin jauh, dan semakin jauh.

Alhamdulillah. Dia tidak pernah melupakan saya. Walau saya berkali-kali terlupakan Dia.

Wajarkah, kita hanya ingatkan Dia semasa kita bersolat sahaja? Semasa kita sedih dan putus asa sahaja? Semasa kita dalam kesusahan sahaja? Semasa kita sedang sakit sahaja?

Bukankah, Dia paling penting dalam hidup kita dan perlu diingati setiap saat dalam kehidupan kita.