Showing posts with label sambutan. Show all posts
Showing posts with label sambutan. Show all posts

07 September 2012

Sesudah Ramadhan 1433H

Ramadhan sudah berlalu. Syawal juga sudah hampir tamat. Puasa sunat 6 hari di bulan Syawal saya saja yang masih belum tamat. Sudah terbiasa, menyelesaikan puasa qadha' yang termasuk dalam kategori 'wajib' dahulu, bila sudah diselesaikan, barulah hati terasa 'lega' mahu berpuasa sunat semula. Selagi tidak dilunas, malam pun sukar untuk lena. Sungguh! Bimbang tidak sempat 'dibayar kepada Allah' dalam keadaan saya masih berleka-leka, dan tanpa dijangka, tetiba maut pula sudah menjemput.

Amal sudahlah tidak banyak, akhlak pula bukanlah baik sangat, ikhlas kepada Allah juga masih belum sempurna, jadi jika 'hutang' masih ada...dimanalah agaknya kedudukan saya di sisi Allah? Oh! Sungguh terasa sangat-sangat kerdil mahu meneruskan hidup di dalam dunia ini...jadi, bila sudah diselesaikan (semoga Allah meredhai saya...sentiasa...insyaAllah...) barulah hati terasa lega. Minda terasa lapang. Jiwa sungguh merasa sangat tenang. Kalau tidak sempurna, semoga Allah sempurnakan. InsyaAllah.

Kita kan tak tahu pada waktu bilakah kita akan dikembalikan kepadaNya? Kalau malam ini...kalau saat ini...bagaimana? Jika ada hutang yang masih belum dibayar lagi...dimanakah kita akan diletakkan oleh Allah?

Idul Fitri yang baru berlalu, tahun pertama saya tidak berhari raya di negeri kelahiran saya. Tidak berhari raya bersama emak saya. Tidak berhari raya di rumah yang saya telah membesar bersama-samanya. Tidak duduk di dapur bersama emak di malam raya.

Tahun pertama saya berhari raya di rumah keluarga suami. Ia memang pengalaman yang berbeza. Namun, satu pengalaman indah yang menyeronokkan. Suasana yang berbeza, udara yang berbeza, ruang yang berbeza, juadah yang sedikit berbeza - pun saya seronok melihat suami berselera menikmatinya. Sungguh terasa kelainannya, dan tanpa sedar...ada rasa rindu yang tidak terbendung. Sungguhlah...Idul Fitri memang benar-benar menyuntik rasa hati.

Patutlah rezeki saya semasa membuat ijazah pertama, walau menerima tawaran ke United Kingdom dan Jepun, ia tidak tertunai...kerana Allah tahu lemahnya 'hati' saya yang sering sarat rasa rindu kepada kampung halaman. Bukan sewenangnya boleh pulang ke Malaysia jika sudah ada di luar negara. Alhamdulillah. Terkadang hikmah solat istikharah itu bukan boleh 'ditemui' dalam masa yang singkat, ada yang akan mengambil masa hampir 15 tahun! Allahuakbar!

Perasaan selepas Ramadhan?

Ia suatu rasa 'kosong' yang tidak dapat saya ungkapkan.

Hanya yang didoakan - Ya Allah, temukan saya kepada Ramadhan 1434H. InsyaAllah.

Sungguh....saya sudah mula merindui Ramadhan...walau ia baru beberapa detik berlalu. Masihkah ada Ramadhan untuk saya? Masihkah ada Ramadhan untuk anda semua?

Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Semoga saya, suami, emak, ayah, dan anda semua sentiasa diredhai Allah di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

12 August 2012

Persediaan Menyambut Raya

Rindu. Oh sungguh rindu ingin menaip di sini. Tapi, tempoh masa di depan laptop yang sangat-sangat perlu dikurangkan (terutama untuk menaip) due to my sickness menyebabkan apa yang dibuat hanyalah menyambungkan kabel HDMI dari laptop ke televisyen, sambil memegang wireless mouse, membuka laman web youtube dan bersandar di 'rocking chair'...sambil dengan rasa selesa yang amat di bahagian leher, hanya bersandar sambil jari jemari hanya menekan butang mouse untuk melihat 'isi' di dalam youtube di skrin besar.

Haha. My new hobby. Nampak sangat pelbagai DVDs yang dibeli itu sudah merencatkan minda saya, menjadikan saya bosan untuk menonton movies.

Apa yang dibuat di youtube? Saya tengok pelbagai dokumentari. Macam-macam ada. Klik sahaja. Secara tak langsung, ia menambah ilmu dan menjana minda saya yang serasa beku. Okey. Saya sangat tidak suka minda saya beku. Jadi, walau dalam peluang 'cuti sakit yang panjang', saya bukan jenis yang hanya duduk diam dan hanya membiarkan minda saya sepi tidak bergerak. Saya sangat sayangkan anugerah Allah kepada saya.

Sudah hari ke-23 Ramadhan. Ramadhan tahun ini sangat pantas. Walau saya sangaaaattt banyak duduk di rumah saja pun di Ramadhan ini...tetapi terasa benar pantasnya masa berlalu.

Hujung minggu terakhir sebelum semua umat Islam akan menyambut Idul Fitri pada minggu hadapan. Hujung minggu yang sesak (mungkin mana-mana pusat membeli-belah pun sesak agaknya...saya memang tidak keluar membeli-belah pun...tidak ada keperluan apa pun untuk dibeli rasanya...walau suami berulangkali - sangat tidak jemu - mengajak saya membeli baju raya saya....haha...sungguhlah saya ini, suami saban hari mengajak saya membeli 'baju raya saya' pun, saya tidak ada keinginan mahu keluar membeli-belah...), sangat terasa terutama apabila melihat lebuhraya di hadapan rumah saya yang tidak sunyi dengan bunyi kenderaan yang sangat banyak.

Biskut raya? Sudah ada 3 jenis di rumah saya...ditambah dengan sebalang kuih raya lagi (pemberian boss suami saya), jadi sudah ada 4 jenis kuih raya di rumah saya. Biskut samperit dahlia, biskut kelapa, biskut cip coklat a.k.a 'chipsmore' (kata suami rasanya lebih sedap dari chipsmore pun) hasil air tangan saya sendiri. Dibuat semasa suami mengambil cuti dua hari di bulan Ramadhan, lalu peluang itu saya gunakan sepenuhnya mengajak suami membantu membuat biskut raya. Kos lebih rendah, kuantiti lebih banyak, malah penggunaan minyak pula bukan menggunakan minyak biasa, sebaliknya minyak carotino yang dibeli dengan harga lebih kurang RM10 untuk kuantiti sebanyak 1 liter. Biskut rendah lemak, kurang gula, bahan-bahan terbaik yang dipilih, dan sihat. InsyaAllah. Dan paling penting, ia mengukuhkan kasih sayang antara suami isteri. Sila cuba kalau tak percaya...;)

Langsir rumah, masih belum koyak. Langsir sejak tahun 2007, semasa kali pertama saya menetap di rumah ini. Masih nampak cantik. Masih elok mata memandang. Jadi, tidak perlu ditukar.

Perabot juga masih kelihatan baru. Rak buku yang patah (entri sebelum sebelum ini) sudah selamat diletakkan dan dikukuhkan (malah masih digunakan pun) di dalam bilik membaca a.k.a stor besar saya. Jadi, hanya perlu mengelap perabot dengan 'pengilat perabot', selebihnya hanya mengemop lantai dan membersihkan rumah - sudah dilaksanakan oleh suami saya kesemuanya. Terima kasih my loving inche' suami yang sangat baik hati dan rajin dan sangat menjaga saya semasa saya sakit.

Apa lagi ya? Duit raya untuk anak-anak saudara juga sudah tersedia. Baju raya suami sudah ada. Biskut raya sudah ada. Lagi? Lagi? Lagi? Rasa macam sudah tidak ada apa-apa untuk dibeli. Kalau ada pun, mungkin sehari sebelum kami bertolak balik ke kampung, barulah saya akan keluar bersama suami untuk membeli 'hadiah' untuk emak dan ayah kami. Itu saja. Jangan ditanya tentang 'baju baru' saya. Selain persediaan perkahwinan - baju untuk akad nikah dan majlis kahwin - seingat saya, sudah hampir lima tahun saya tidak membeli baju baru.

Walau tiada baju baru, pilihlah pakaian paling cantik, paling elok, tidak 'menonjolkan' aurat walaupun nampak seperti 'tertutup', di pagi Syawal nanti, serta memakai wangi-wangian, tetapi jangan terlalu banyak sehingga bauannya boleh dihidu terutama oleh lelaki yang bukan mahram bagi kamu (khusus untuk wanita). Salah satu sunnah Rasulullah S.A.W. Sangat rugi jika berbaju baru, cantik, mahal, tetapi 'aurat' tertonjol di sana sini, hingga hilanglah 'gemilang'nya kejayaan menamatkan Ramadhan untuk kembali kepada fitrah.

Paling penting, semoga kita dikeluarkan dari Ramadhan ini dalam keadaan bersih untuk kembali kepada fitrah - hamba kepada Allah, Tuhan sekelian alam - dan sentiasa berada dalam keadaan fitrah, hinggalah ditemukan semula di Ramadhan tahun akan datang. InsyaAllah.

Semoga kita semua dilindungi Allah dalam perjalanan, dalam kehidupan, dalam pertuturan, dalam perbuatan. Semoga sentiasa ada redha Allah untuk kita semua di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

p/s : Manfaatkan di penghujung Ramadhan ini untuk lebih meningkatkan amalan yang baik dan lebih meng-istiqamah-kan ibadat kita. Hidup ini hanya untuk Allah, dan di hujung usia kita nanti (kematian), kita hanya akan membawa amalan dan perlakuan kita untuk dihisab di hadapan Allah...dikembalikan kepada Allah...

28 March 2012

Ulang Tahun Pertama : 1st Anniversary

Okey...ada hati mahu taip entry walau jam sudah 9.05 malam. Hehe. Biasanya time ni saya sudah lari-lari keluar dari lif menuju ke kereta (Ehhh....kaki dah baik ke? Anda sudah sihat ke? Eh...bila baik ni? Ehh....sakit punya 'makan tahun'....tup-tup....sila citer....sila citer - okey...kena abaikan dulu ya....hehe...fokus pada entry ini dulu...)

Saya tidak terlupa kepada 1st anniversary kami. Sayangnya...tiada entry di sini kerana kami berdua 'memadu kasih' - wink!!! - ke utara tanahair. As usual, bila buat long journey....memang 'no internet'. I'm busy...hehe....internet cuma guna untuk tengok GPS je....sebabnya....bila jalan-jalan jauh-jauh ni, lebih baik dimanfaatkan untuk berjalan dengan bersungguh-sungguh. Terlebih pula, sudah hampir setahun saya tidak dapat menikmati momen-momen berjalan-jalan seumpama ini...alhamdulillah.

Sungguh, menikmati kehidupan selama setahun (kini setahun seminggu dan dua hari sudah...) bersama seorang suami yang sangat penyayang, sangat romantis, sangat rajin, sangat baik hati....okey! cukup dulu ek...yang lain-lain saya nak rahsiakan sebab banyak keistimewaan suami yang saya tak nak...okey, TAK NAK kongsi dengan orang lain...haha...membuatkan saya sering berfikir yang saya baru je berkahwin semalam (erkk....semalam ek? ya....tapi itulah yang saya fikir setiap hari sepanjang melalui kehidupan perkahwinan saya...tidak terasa masa berlalu...) dan ia sangat-sangat membahagiakan. Thanks a lot my loving inche' suami....

Allah....sudah 9.15....saya kena log out dulu....hehe....tiada entry sambungan ya...

Saya bersyukur. Saya bahagia. Alhamdulillah. Terima kasih kepada Allah kerana mengurniakan keindahan hidup ini kepada saya dan suami. Ya Allah, hambaMu yang lemah ini memohon semoga saya dan suami sentiasa dilindungi, dimudahkan, dikurniakan hidayah, dirahmati dan diredhai di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

Semoga dikekalkan kasih sayang kami berdua hingga ke syurga. InsyaAllah.

p/s : kami berdua TIDAK PERNAH dating sebelum kahwin. Kali pertama saya berjumpa suami adalah lebih kurang setengah jam sebelum kami dinikahkan...indah kan?

29 February 2012

Leap Year a.k.a Tahun Lompat

Hari ini...tarikh hari ini...tarikh yang jarang ada. Wujud setiap 4 tahun sekali. Yup....this year is a leap year a.k.a tahun lompat. Sesiapa yang dilahirkan pada  hari ini...bagaimana ya? Susah juga nak jumpa kawan-kawan yang lahir pada 29 Februari ni...nak juga tanya perasaan mereka...

Apa itu tahun lompat? Tahun lompat hanya wujud sekali dalam 4 tahun. Macamana nak tau itu adalah tahun lompat? Ambil tahun tu, contoh 2012....then dibahagikan dengaan 4....kalau takde baki/remainder untuk proses pembahagian tu, jadi ia adalah tahun lompat. Kalau ada baki...maka ia adalah bukan tahun lompat. Tahun lompat mempunyai 29 hari di dalam bulan Februarinya dan mempunyai 366 hari dalam setahun, manakala tahun bukan tahun lompat pula mempunyai 28 hari di dalam bulan Februari dan mempunyai 365 hari dalam setahun...menarik kan? Sebenarnya...jika diikut pada sejarah kalendar Gregorian ini....setiap tahun sebenarnya mempunyai 365 dan 1/4 (one quarter) hari...tapi untuk memudahkan pengiraan hari...jadi 1/4 hari itu digabungkan selama 4 tahun dan diwujudkan sebagai '1 hari' sahaja dalam tempoh 4 tahun tersebut....kalau 1/4 hari tu wujud sampai hari ni....agaknya tahun baru setiap tahun akan disambut pada pukul 6 pagi untuk tahun pertama, then pada tahun kedua plak pada pukul 12 tengahari, pada tahun ketiga plak pada pukul 6 petang....okey2...saya sudah melalut2...

Eh...hari ini saya perlu ke hospital rupanya. Kena pi ambil ubat. Bagus kan....walau dapat MC lama-lama pun...masih ada 'ubat wajib' yang memang tak boleh overdose dan perlu ambil di hospital setiap bulan...walau bagus macamana pun ubat tu, still....1 paket yang ada 6 keping plaster tu jugak la yang dia akan bagi ambil untuk sekali ambil....dan untuk kegunaan 1 bulan. So, apalagi...memang ubat tu bagus. Nak tak nak, saya kena gunting kecil-kecil, dan tampal di mana-mana part badan saya yang sakit. Untuk 1 keping, kadang-kadang boleh diguna untuk banyak hari. Walhal sekeping tu pun, saiznya lebih kurang anggaran 1/8 dari saiz kertas A4 sahaja....itulah salah satu 'ubat tahan sakit' saya yang banyak membantu...dan apabila pergi ke mana-mana farmasi, apabila diperiksa harganya....aduhai! Mahalnya...dan mulut saya pun akan melagukan 'alhamdulillah'...kerana saya diberikan satu paket ubat itu secara percuma sahaja untuk kegunaan setiap bulan....terima kasih Allah!

Alhamdulillah. Terima kasih Allah kerana masih memberi saya udara untuk bernafas pada hari ini. Alhamdulillah. Syukurku hanya pada-Mu Ya Allah.

31 December 2011

Bye-Bye 2011

Selamat tinggal 2011.

Tahun penuh memori. Memori suka duka yang penuh berhikmah.

Tahun saya pulang ke Semenanjung Malaysia. Hehe. Macam jauh je Negeri Di Bawah Bayu tu.
Tahun saya bertukar status menjadi seorang isteri. Status yang sangat indah. Terima kasih my inche' suami yang sangat-sangat disayangi. I love you...:)
Tahun saya mewarnakan hidup saya dengan menjadi pengunjung setia hospital dan menjadi terlalu banyak berfikir tentang kehidupan. Ia benar-benar mengubah minda saya. Terima kasih Allah.

Ya. Tahun yang penuh keindahan. Tahun yang penuh ujian. Tahun yang berhikmah. Hikmah dan hidayah yang indah dari Allah. Nikmat yang tidak terhitung. Alhamdulillah.

Apapun, sudahkah anda semua menunaikan Rukun Islam yang keempat? (atau masih dok fikir....Rukun Islam ada berapa ya....hehe...)

Hujung tahun yang sama, walau cukai pendapatan telah ditolak dari gaji bulanan saya, namun saya tetap akan membayar zakat. Kewajipan yang diwajibkan Allah.

Okey...nilainya tidak banyak pun. Hanya 2.5% sahaja dari BAKI PENDAPATAN kita.....kenapa saya katakan baki?

Okey....contohnya begini ya....

Jika gaji anda sebulan (jika makan gaji): RM 4000
Jadi gaji setahun : RM 48000

Tolak sara diri setahun (untuk solo) : RM 8200
Tolakan lain : KWSP, Tabung Haji dan institusi lain yang membayar zakat untuk anda : RM 5000
Tanggungan lain (mungkin ibu bapa, isteri atau anak2 - 'by person' ya) : anggaran saja RM 15000

Jadi : RM 48000 - (RM8200 + RM5000 + RM15000) = RM 19800

Jadi, zakat wajib dibayar adalah sebanyak : RM 19800 x 2.5% = RM 495 sahaja

Sikit saja kan...RM 495 sahaja. Walhal keberkatan dan rahmat Allah sangat-sangat banyak di dalam nilai yang sedikit itu. Kalau dilebihkan sedikit pun tidak apa, kerana ia milik Allah yang dipinjamkan kepada kita. Jadi, serahkan saja kepada Allah supaya Allah yang akan membalas segala keikhlasan hati kita. Okey....nak bayar zakat kena ikhlas ya...

Firman Allah SWT yang bermaksud :-

Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk).
Maksud sebahagian ayat Surah at-Taubah : 103

For your info, zakat yang dibayar sebelum 31 Disember 2011 berhak mendapat rebat cukai pendapatan untuk tahun 2011 yang biasanya perlu diselesaikan sebelum 30 April tahun selepasnya, iaitu 2012.

Nota : Tolong pastikan tidak ramai 'anak-anak luar nikah' terhasil malam ini, atau subuh esok. Semoga sikap yang buruk dan tidak disukai Allah dapat dijauhkan dari dalam hati dan diri kita semua. Semoga redha Allah sentiasa bersama kita semua. InsyaAllah.

24 August 2011

Persediaan Pra Raya

Kurang dari satu minggu, semua umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Idul Fitri, atau Hari Raya Puasa. Suatu sambutan kegembiraan bagi semua umat Islam, walaupun ada yang puasa tidak cukup sebulan, solat terawihnya cerlam-cerlum...dan yang paling utama mungkin masih belum pergi membayar zakat fitrah (sungguh menarik apabila dapat bersama-sama suami pergi membayar zakat fitrah bagi tahun ini....yang biasanya zakat fitrah untuk diri saya akan dilunaskan oleh emak, setelah arwah abah meninggalkan kami pada 2009...hati terasa sangat-sangat berbunga indah....sudah tahu ada orang yang lebih bertanggungjawab kepada diri ini...)

Sehebat mana atau seteruk mana pun puasa kita, biasanya sambutan dan persediaan untuk Hari Raya lebih hebat lagi. Kain langsir ditukar baru, alas kusyen ditukar baru, ada juga yang bertukar perabot baru, malah ada yang membeli rumah baru, kereta baru, kasut baru, baju baru, tudung baru....hmmm....segala serba serbi baru. Terus terang, jarang benar saya menyambut ketibaan hari raya seperti itu (membeli semua keperluan-keperluan baru) kerana keperluan sediada masih banyak dan boleh digunakan dengan elok. Saya tidak mahu memenuhkan almari saya dengan pakaian-pakaian yang banyak dan tidak digunapakai sepenuhnya. Suatu kiraan mudah yang biasa bagi pembelian pakaian dan keperluan kasut serta beg tangan seorang wanita :-

Kiraan untuk tempoh setahun :----

Sambutan hari raya idul fitri : 4 pasang baju baru
Sambutan hari raya idul adha : 2 pasang baju baru
Menghadiri kenduri kahwin (purata 10 kenduri kahwin setahun) : 10 pasang baju baru
Pakaian mengandung : 10 pasang baju baru
Majlis makan malam (purata 10 majlis makan malam setahun) : 10 pasang baju baru
Blouse untuk berjalan dan shopping dan bersantai : beli ikut suka, purata pembelian sebulan 2 helai...sudah 24 helai setahun
Tudung (ikut kiraan pembelian baju mengikut tema dan warna) : Purata 10 helai sebulan...err...setahu saya macam lebih pula apabila melihat trend kawan-kawan di pejabat membeli tudung...
Pembelian kasut : Selalunya ikut tema baju atau tudung (purata 2 pasang kasut sebulan) - 24 pasang
Pembelian beg tangan : Purata 1 beg tangan sebulan - 12 buah beg tangan

Ini cuma anggaran saya dari segi kuantiti mengikut kebiasaan yang saya lihat pada cara membeli seorang wanita normal zaman ini (saya akui saya memang sedikit tidak normal apabila masuk bab pembelian kasut dan pakaian dan beg tangan - contohnya : kasut ke pejabat saya dan kasut pergi berjalan-jalan saya hanya sepasang, yang seingat saya berharga dalam RM 195, jenama Alain Delon berwarna hitam dan saya beli pada tahun 2004 - sehingga kini masih saya gunakan setiap hari dan saya masih tidak membeli sebarang kasut baru untuk menggantikannya kerana kualitinya masih sangat elok...alah membeli, menang memakai...)

Hanya tentang kasut, saya rasa saya sudah banyak buat penjimatan. Saya tak perlu berbelanja purata RM 60 sebulan untuk membeli sepasang kasut baru setiap bulan, yang jika dikira setahun, saya akan berbelanja RM 720 ringgit hanya untuk kasut sahaja. Paling terbaik, rak kasut di rumah saya kecil sahaja...rak kasut yang dibeli pada tahun 2007 dengan harga RM 5.90...dan saya tidak memerlukan ruang banyak untuk menyimpan kasut-kasut saya. Penggunaan sangat optimum, dan saya merasa puas kerana tidak membazir dari segi keperluan yang boleh diminimumkan penggunaannya.

Sungguh, saya rasa jika ada pereka fesyen dan pereka kasut baca post saya kali ini, sudah tentu mereka akan menunjukkan rasa tidak puas hati dengan cara hidup saya. Tapi, itulah saya. Bukan tidak mampu, tapi saya lebih suka bersederhana.

Masih saya ingat pada hari raya tahun lepas, sewaktu menggosok baju kurung yang biasa saya pakai untuk pergi bekerja...err...almost sudah 2 tahun saya gunakan baju kurung tersebut....makcik saya yang ada di sisi saya ketika itu menegur : cantiknya warna baju raya ni....nampak timbul je...(mudah bukan...bila kita lebih teliti dalam penjagaan pakaian dan barang-barang kita, yang lama pun akan nampak baru dan cantik)

Allah sendiri tidak menggalakkan kita membazir. Paling utama, membazir itu amalan syaitan. Saya suka membeli barang yang berkualiti (bukan berjenama ya...) walau terpaksa membayar lebih sedikit dan dapat digunakan lebih lama. Ruang jimat, masa jimat, duit pun jimat...dan yang paling utama....kita tak ikut amalan syaitan. Sudahlah di bulan puasa, kita sangat 'rajin' memenuhkan meja makan dengan makanan dari bazar-bazar Ramadhan yang kemudiannya lebih banyak yang dibuang dari dimakan...selepas Ramadhan berlalu pun, kita masih tidak kembali kepada fitrah....kepada Al Quran dan sunnah Rasulullah SAW...walau itu yang sepatutnya menjadi produk utama setelah Ramadhan berlalu...

Kembalilah kepada fitrah...dan tinggalkanlah Ramadhan yang akan berlalu bersama sikap-sikap yang lebih baik dan lebih diredhai Allah...semoga kita sentiasa diredhai Allah dan dimasukkan ke dalam syurga-syurgaNya...insyaAllah...

**Tiga perkara yang saya mahu ingatkan kepada pemandu-pemandu jalan raya :-

1. Sila beri signal dalam jarak 50 meter dari simpang yang hendak kita masuki / keluar. Kebanyakan kenderaan di Malaysia sukar memberikan signal/isyarat kepada pemandu-pemandu lain.

2. Sila beri keutamaan kepada kenderaan di sebelah kanan anda, walaupun ia hanya sebuah motosikal kapcai. Undang-undang memandu di Malaysia yang selalu dilupakan, kenderaan di sebelah kanan anda lebih berhak jalan dulu dan anda yang duduk di sebelah kiri adalah perlu menunggu.

3. Kerap saya nampak, kenderaan yang dibawa di laluan kanan highway yang berhad laju 110km/j, atau laluan tengah akan membawa kenderaan dengan kelajuan yang sangat perlahan. Pernah saya jumpa, ada yang bawa 40km/j pun. Dalam kereta, penuh dengan ahli keluarga si pemandu. Tolong faham, jika anda sangat perlahan, sila duduk di laluan paling kiri. Jika tidak, anda boleh menyebabkan traffic jammed di belakang anda.....dan selalunya anda juga akan menjadi penyebab kepada kemalangan dan meragut nyawa orang lain, tanpa anda sedari.


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN

21 December 2009

Cuti Yang Best!

Kata abang saya : London dan Paris yang jauh berpuluh ribu kilometer boleh pergi, pantai yang dekat dengan rumah di kampung pun tidak pernah saya jejaki.



Letih, tetapi bulan Disember tahun ini, benar-benar saya punya banyak aktiviti bersama keluarga, dan semuanya menyeronokkan.



Sepanjang tahun yang saya sentiasa sibuk bersama tugas-tugas saya - bekerja, mengajar, aktiviti di masjid, usrah, halaqah Al-Quran, kelas-kelas bahasa Arab, kelas tafsir dan mengaji - jadi, bila bulan Disember tahun ini saya dapat meluangkan hampir sepenuh masa bersama keluarga, ianya benar-benar menyeronokkan. Sementelah, keluarga saya menambah seorang ahli baru tahun ini - adik ipar saya yang pertama.



Lalu, pada 18 Disember 2009 bersamaan 1 Muharram 1431H, pukul 8.30 pagi, adik lelaki saya sudah mengambil saya di rumah. Kami berdua menghala ke selatan dan singgah untuk mengambil seorang lagi adik lelaki saya. Perjalanan diteruskan, dan tiba di kampung 15 minit sebelum waktu solat Zuhur (untuk waktu solat Jumaat). Selesai urusan solat, sekitar 3 petang, kami bertiga terus bergerak ke kedai : abang, kakak, emak dan anak-anak saudara saya sudah ada di Desaru. Membeli beberapa barang keperluan yang dipesan abang dan terus bergerak menghala ke Desaru.





Lama saya tidak melalui jalan ke Kota Tinggi. Jalannya masih lengang seperti dahulu, pun rupa-rupanya Desaru lebih kurang 57km dari bandar Kota Tinggi (saya tidak tahu pun...sangka saya pantai Desaru sangat hampir dengan Kota Tinggi). Kami tiba sekitar pukul 5 petang. Saya salam tangan emak, abang dan kakak dan terus mencapai kamera serta tangan di sebelah mendukung anak saudara yang berumur 2 tahun, terus menghala ke pantai yang hanya dalam jarak 50m dari chalet yang kami duduki.



Abang menempah 2 chalet - setiap satu chalet ada 2 bilik - di Holiday Desaru Chalet (kata abang, tempahan dibuat sejak bulan September lagi - memang pun, semua chalet penuh kerana kedudukan chalet-chalet ini benar-benar di tepi laut). Ombak tidak kuat, tetapi saya nampak langit yang sangat gelap. Puas bermain bersama anak-anak saudara dan mengambil gambar, saya terus balik ke chalet dan mandi (saya memang tidak main air laut pun - sudah disetkan di dalam diri yang saya tidak akan mandi di tempat awam...).



Lalu, 3 hari ini, kami sekeluarga (juga bersama pengantin baru), kami punya pelbagai aktiviti. Membakar ikan, udang, ayam dan daging, bermain layang-layang dan bermain air laut (anak saudara saya dan adik-adik serta abang saya - saya, kakak ipar dan emak hanya berkongsi keseronokan melihat kegembiraan mereka bermain...). Ya, saya seronok kerana jarang punya aktiviti bersama sekeluarga. Benar-benar menenangkan. Benar-benar menyeronokkan.







Kami bertolak balik (saya dan adik-adik menghala ke KL semula) pada 20 Dis 2009, pukul 11.30 tengahari. Selesai makan-makan bersama adik-adik saya di Nilai, saya tiba di rumah sekitar pukul 6 petang.

Alhamdulillah. Allah memudahkan urusan kami sekeluarga.

01 December 2009

Suatu Hari

Pagi 30 November.

Saya memandu terus menuju ke tapak. Oh, pagi masih sangat awal. Perlu pasang lampu kereta semasa berada di atas jalanraya. Ya, pagi ini ada pemeriksaan di tapak untuk kerja-kerja saya. Lalu, awal pagi lagi saya sudah berada di tapak. Walau berbaju kurung, saya masih memakai 'safety shoes' saya yang saya suka kerana nampak sangat comel (kaki saya tak comel pun...kasut yang nampak comel...) walaupun body kasut tersebut sebahagiannya disaluti besi.

Usai di tapak, terus menuju ke pejabat. Nampak boss saya, terus minta beliau (wah...lama sudah saya tidak menggunakan bahasa melayu kata ganti nama kedua yang mantap...) menyertai mesyuarat pemeriksaan kerja-kerja saya di tapak nanti.

Saya masuk ke bilik saya dan mula membuat beberapa kerja - mencari driver, memeriksa beberapa surat dan memastikan perjalanan urusan untuk pagi ini lancar. Hmm, kerja-kerja renyah, tapi masih perlu dilaksanakan.

Usai semuanya, terima panggilan dari ibu pejabat, bergerak ke tapak semula, mesyuarat, pemeriksaan di tapak, usai mesyuarat penutup pada pukul 12.45 tengahari.

Tengahari 30 November.

Balik ke pejabat (oh...sudah ada kakak arkitek di pejabat yang menunggu saya untuk makan tengahari bersamanya...sudah beberapa hari dia call saya mahu ajak makan dan saya masih dengan kesibukan saya...) dan makan tengahari, solat dan kemudian ke pejabat pentadbiran (mengambil surat pertukaran - esok mahu lapor diri di pejabat baru, hari ini baru saya lihat surat untuk tukar - dan saya amat terkejut apabila melihat permohonan penangguhan saya - pengarah minta saya ditangguhkan sehingga 15 Jan 2010 - lamanya! biasanya paling lama pun sebulan je...).

Petang 30 November.

Buat kerja, jumpa boss dan beritahu esok tiada di ofis kerana lapor diri di pejabat baru dan kemudian terus memandu dengan laju ke Cheras. Set tarikh dengan dua anak murid saya yang akan masuk ke Tingkatan 5 tahun depan (rajin diorang ni, nak belajar di masa cuti sekolah..campur tolak darab bahagi, ada 5 orang pelajar saya bulan 12 ni...) dan kemudian kawan saya sudah menelefon saya. Oh...dia sudah ada di masjid berhampiran rumah saya. Pukul 6.30 petang, saya sudah ada di hadapan rumah saya menunggu ketibaan kawan saya pula.

Senja 30 November.

Menaiki kereta kawan saya dan saya ditunjukkan jalan ke pejabat baru saya esok pagi. Dua kali dia berpusing di bulatan supaya esok pagi saya tidak sesat. Kemudian, entah jalan mana yang dimasukinya (sungguh saya tidak faham jalan simpang siur dengan bangunan yang pelbagai itu) katanya menuju ke Masjid Besi. Saya sesat dalam masjid...haha...alhamdulillah akhirnya saya solat di Tingkat 3 masjid tersebut. Masjid yang besar, tetapi jemaah langsung tidak ramai.

Malam 30 November.

Singgah di Dominoe's Pizza bersama kawan saya. Dia belanja saya, dan bila saya lihat tarikh pada bil yang terlekat di kotak pizza, baru saya tersedar, hari ini 30 November. Usai makan sekeping pizza comel dan dua cawan Apple Aloe Vera (ini air kegemaran saya), dia hantar saya pulang ke rumah. Baru saja hendak keluar dari kereta, dia hulurkan satu kotak dan sebungkus plastik di tengah deru hujan lebat. (Sungguh....saya rasa hadiah hari lahir yang saya terima tahun ini pada pukul 8.50 malam itu sangat saya hargai kerana sepanjang hari ini saya terlupa yang hari ini adalah hari lahir saya - ingat dan lupa semula - dan dia, kawan saya, walau tidak sms apa-apa dan sebut apa-apa untuk ucapkan apa-apa, tapi masih meraikan hari lahir saya dengan caranya yang tersendiri...saya masih ingat kata-katanya sewaktu di dalam perjalanan : kalau saya jadi calon, tentu ramai orang yang akan warning awak...dan saya hanya tergelak...malas mahu komen apa-apa...).

2 jam melepasi 30 November.

Saya bangun dari tidur dan lihat dalam facebook yang beberapa kawan-kawan juga mengucapkan selamat hari lahir untuk saya. Terima kasih pada semua.

NOTA : Serius. Saya jarang ingat tarikh lahir saya. tapi kawan saya itu, dia boleh hafal nombor ic saya pun padahal saya langsung tidak pernah ingat tarikh lahirnya...entah bila...hoho...mungkin sebab saya dan dia bukan rapat sangat pun. Kami kawan sepejabat yang hanya berjumpa sesekali apabila ada hal penting - katanya mahu tunjukkan saya jalan ke pejabat baru saya saja.

27 October 2009

Sabtu Ahad dan Haru Biru

Hari Sabtu lepas yang sangat sibuk. Sangat mengujakan. Sangat memberangsangkan. Sangat mengharubirukan.

Saya keluar awal pagi untuk ke kenduri kahwin ini yang dijadualkan bermula pada pukul 12.30 tengahari. Majlis kahwin anak bos saya. Majlis kahwin mula lambat lagi, jadi saya merayau dahulu di dalam bandaraya Kuala Lumpur.

Kalau saya jadi pengantin, saya rasa saya akan simpan banner ini sampai ke anak cucu.

Suasana biasa majlis kahwin yang dibuat di dalam sebuah dewan.

Tema warna merah rasanya. Berbaju merah itu ayah si pengantin perempuan merangkap boss saya.


Ini apa yang ada di dalam pinggan saya untuk saya makan. Seperti biasa, kuantiti tidak boleh lebih untuk mengelakkan perut saya menjadi tepu. Makan buah dulu untuk menjaga kesihatan. Dah makan sepotong oren, baru teringat mahu ambil gambar.
Usai di kenduri kahwin, saya merayau lagi di dalam bandaraya Kuala Lumpur. Lihat-lihat tugas saya di tapak, intai-intai bersama beberapa orang staff saya.
Kemudian, saya ke satu majlis jamuan ibu bapa kepada salah seorang anak murid saya yang akan menunaikan haji tahun ini. Di sini, saya dapat tugas memangku seorang bayi berusia hampir 5 bulan sambil dikelilingi beberapa orang makcik-makcik yang sudah berusia 50 ke 60 tahun. Kini, baru saya menyedari yang kebanyakan kawan-kawan saya mempunyai usia dua tiga kali ganda berbanding saya. Patutlah dalam banyak aspek, saya jadi terlebih manja. Hahaha.
Usai makan-makan dan salam-salam, saya pun mengajar seorang anak murid saya yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini. Ajar Add Math. Huhu!
Saya tiba di rumah selepas solat Maghrib. Letih.
Pada pagi Ahad, saya keluar lambat untuk mengajar. Ada satu sms awal pagi yang saya abaikan. Tidak saya jawab, tidak saya buang. Tidak ada sebarang respond dari saya selain saya-baca-sms-itu-sahaja-tanpa-perasaan.
Lalu, usai mengajar dalam pukul 3 petang saya pun tiba di rumah saya kemudiannya pada pukul 4.20 petang dan menerima satu sms di telefon yang membuatkan saya terkedu. Sms yang tiba pada pukul 4.30 petang itu membuatkan saya bersiap dengan sangat lambat dan hanya muncul di hadapan salah seorang sahabat saya di dunia ini di dalam sebuah kedai pizza pada pukul 6.15 petang. (Attention, 4.30 petang itu semasa sms tersebut tiba, sahabat saya sudah siap solat di masjid yang jaraknya 2 minit dari rumah saya. Dia mahu terus ke kedai pizza tersebut. Waktu itu saya sedang mengadap facebook. Baru balik dari mengajar. Saya kata saya mahu solat Asar dulu. Saya solat Asar pada 4.45 petang. Kedai pizza itu pun cuma perlu ambil masa 7 minit dari rumah saya. Tapi, kalau kira jumlah semua masa dengan lebih tepat, pasti boleh rasa musykil kenapa saya cuma tiba di kedai pizza itu pada pukul 6.15 petang. Fikir. Ya, saya pun berfikir, kenapa saya tiba lambat di kedai pizza tersebut? Kenapa saya sengaja melambatkan masa untuk berjumpa sahabat saya itu?). Sudahlah tiba lambat. Pukul 7 petang, saya sudah keluar dari kedai pizza tersebut dan balik ke rumah.
p/s : Selalunya anda akan sengaja melambat-lambatkan masa jika anda tidak selesa (perhatian : amat tidak selesa!) kerana saya merupakan seorang manusia yang sangat menitikberatkan tentang masa kerana masa yang telah berlalu tidak boleh dibeli di mana-mana kedai basikal. Rusuh hati saya tika ini (perhatian : ini entri 3 pagi saya!).

11 October 2009

Ala-ala Open House


Aktiviti melepak petang Sabtu di Taman Bunga Raya, Gombak. Ia ke Gombak? Saya pun tak tau. Agaknya la...Tapi memang best sebab mak dan abah kawan saya ni sporting habis. Saya boleh bertepuk tampar pulak dengan mak dia walau baru pertama kali jumpa, dapat makan masakan mak dia yang best (rasa macam dapat makan mak saya masak la pulak...), malah siap dapat seplastik kecil cili api dan sebiji mangga yang ditanam di belakang rumah dia untuk dibawa balik.

Tak ramai pun yang datang. Kami hanya bertiga (yang mana salah seorang dari kami bertiga perlu balik awal untuk ke kelas) jadi tinggal hanya berdua dan bersama kawan saya selaku tuan rumah jadilah kami bertiga ditambah dengan mak dan abah kawan saya, jadilah kami berlima. Itupun, nasib baiklah aura nakal saya tidak keluar kerana masih ada rasa malu sebab ada di rumah orang kan...kalau tidak agaknya mak kawan saya itu sudah saya peluk cium (eh...memang ada peluk cium pun dengan mak kawan saya sebelum saya nak balik...) sebab saya dapat rasa masakan macam mak saya masak walau berada jauh dari mak saya. Best! Huhu! Rindu la pulak kat mak saya.

05 October 2009

Bual Hari-hari

Perbualan dalam kehidupan saya pada 4 Oktober 2009. Saya mengajar sebelah pagi. Dua kelas. Kemudian bergerak ke Wardieburn. Kemudian balik ke rumah saya. Kemudian ke Taman Batu Tiga, Shah Alam. Kemudian ke Masjid Al-Hasanah untuk solat Asar. Kemudian ke Masjid As-Solihin untuk makan Jamuan Hari Raya dan aqiqah oleh abang saya. Kemudian ke rumah abang dan kakak ipar saya. Kemudian baru balik ke rumah saya.

1.
- Cikgu, sapa tu? (menegur saya yang baru menghabiskan perbualan telefon...)
+ Buah hati cikgu... (dalam hati terfikir, kalaulah orang yang saya call tu tahu...)

2.
- Tulah, awak nak sangat saya pergi dengan awak (merujuk kepada baju yang tak sesuai...)
+ Takpe, dah hensem dah... (sungguh saya tak kisah pun...sebab memang nampak dia ok je dengan jeans dan shirt warna merah serta bertopi walau orang lain pakai baju melayu dan siap bersamping dan bersongkok...dan bersyukur sebab dia temankan saya...mana ntah staff2 saya yang lain...)

3.
+ Bismillah...wah, first time saya naik Vios ni. Sapa yang pernah naik kereta awak ni? Ayah awak dah naik la kan? (kereta baru keluar 16 Sept 2009, plastik di seat belakang pun masih ada...)
- Dah...ada juga orang lain dah naik.
+ Orang perempuan, dah ada yang naik? (sudah hampir 3 tahun saya mengenali dia...sebab tu berani tanya...)
- Ada...tapi yang muhrim saya la... (eh, tiba-tiba keluar muhrim dan bukan muhrim pulak...)
+ Yang bukan muhrim? Awek awak dah naik? (ia-ia je saya tanya kan?)
- Awak je la.....
+ Ye ye....bestnya saya jadi perasmi.... (huhu....ada maksud ke pernyataan dia, tapi saya terus bersandar je dalam kereta tersebut tanpa perasaan...menikmati naik Vios konon-kononnya...)

4.
- Dia ok orangnya....hensem...baik hati... (sungguh best duduk sembang-sembang bawah pokok mangga yang ada buah besar-besar...)
+ Saya macam tu la kak....kalau dia serius, saya tak kisah...saya tau dia baik orangnya...
- Kalau macam tu teruskan je la... (alamak! hati saya terus terbahagi lapan....hehe....)

5.
- Bila awak sms suruh hati-hati, saya makin risau...masa saya nak balik kampung tu...
+ Hati-hati je la bila memandu... (alkisahnya saya pun terlupa isi sms saya kepada dia...huhu!)

6.
- Sikitnya ambil nasi. Tu ada plastik besar lagi. (Qariah masjid atau mungkin kawan abang saya agaknya menegur kuantiti nasi yang saya ambil...abang saya yang menyuruh saya membungkus makanan baki dari jamuan yang dibuatnya tadi sudah balik ke rumah membawa anak-anaknya...)
+ Takpe...soghe... (huhu...tiba-tiba keluar loghat kelantan saya...tapi saya bukan kelantanese ya...)
- Oh...soghe... (hakikatnya saya jarang buat kes tapau sebab saya tau saya bukan makan banyak, tapi kerana cara anak saudara saya bercerita tentang lembu yang baru disembelih semalam di belakang masjid dan apabila menikmati daging lembu segar yang best, memang saya tak lepaskan peluang...saya cuma ambil nasi dan masakan daging lembu itu saja walau kakak ipar saya pun ada offer ayam dan acar...)

Ada satu lagi yang saya nak simpan sebagai memori...

7.
+ (biarlah saya simpan di memori saya saja kerana ia bersifat peribadi untuk dikongsikan...)

*** Sekadar beberapa perbualan yang saya ingat dan mahu dirakamkan di sini, kerana saya telah pecah rekod lagi hari ini. Tapi itulah, saya dapat rasakan yang Allah sudah kukuhkan hati saya ini. Ini hanya bual-bual biasa sahaja dalam kehidupan saya.

04 October 2009

Bangi - Kuala Kangsar - Gerik - Bangi

Saya rasa entri ini paling banyak gambar. Perjalanan ke Kuala Kangsar dan Gerik pada 24 Sept 2009 bersamaan 5 Syawal 1430H. Bertolak dari Bangi pada pukul 7.25 pagi.


Nampak kopiah kat cermin tu. Itulah abang saya yang asyik bertukar kopiah je sepanjang memandu. Ada dua kopiah yang dibawanya. Ha...nak tahu, sampai Pak Imam yang jadi wakil pihak perempuan panggil abang saya ustaz...tapi memang ramai pun panggil abang saya sebagai 'ustaz' sebab dia merupakan seorang jurutera mekanikal yang seimbang dari segi dunia dan akhirat. Saya banyak belajar dari abang dan kakak ipar saya. Alhamdulillah.

Kami bawa sirih junjung dalam kereta dan bertemu tepak sirih ini di bandar Kuala Kangsar. Apa simboliknya tepak sirih dan Kuala Kangsar ya? Atau hanya sebagai replika? Sekadar ingin tahu.

Saya telah menarik minat anak-anak saudara untuk melihat papan tanda ini. Bersama nenek (emak saya), tok andak (pak andak saya) dan nenek andak (mak andak saya) mereka berempat.

Ini bangunan hospital pertama Kuala Kangsar. Kecil je...macam rupa mahkamah lama pulak ya.

Gambar kiut-miut dua puteri kesayangan saya yang sedang berposing. Comel kan? Pantang jumpa saya, sahih tak boleh berpisah dengan 'nyanyah'-nya. Asyik pakai anak tudung yang baru saya beli kerana saya rimas melihat rambut mereka terkeluar dari tudung kerana saiz tudung yang besar. Sedikit pun tak panas dan tidak cuba membuka tudung mereka berdua walau cuaca agak panas. Nak tau, si adik baru umur 2 tahun manakala si kakak baru masuk 4 tahun.

Saya suka design ni. Kalau boleh, saya mahu design serupa ini juga, insyaAllah. Tapi, bila ya? Huhu...calonnya masih belum ditemui...

Hantaran dari pihak perempuan pula. Warna emas (waktu ni saya sedang meriba si adik - anak saudara saya yang 2 tahun - dan dia sedang tidur, jadi...gambar yang dapat pun hanya sekadar-sekadar saja....)


Terpaksa cari balai polis di Pekan Gerik apabila seluruh panggilan telefon dari talian Celcom tidak dapat digunakan. Dari Kuala Kangsar ke Gerik (banyak jumpa nama tempat pelik-pelik seperti Kampung Belum Baru - yang abang saya kata lebih mudah panggil Kampung Buruk je...), kami ambil masa lebih kurang 1 jam. Hanya tiba di Pekan Gerik pada pukul 5 petang. Makan-makan dan berhari raya di rumah kakak sepupu saya (oh....kakak sepupu ini yang menjaga saya semasa saya kecil dan masa itu saya masih bayi...) dan kemudian keluar dari Gerik menuju ke Bangi pada pukul 6.45 petang. Alhamdulillah, berjaya tiba di Bangi pada pukul 12.15 malam. Tiba di rumah abang saya, dan saya berjaya membawa balik sepotong kek (special request pada adik saya yang saya mahukan sepotong kek pertunangannya yang ada sekuntum bunga...adik saya memang baik hati) dan saya tiba di rumah saya pada pukul 12.35 tengah malam. Huhu...mengantuk!


Inilah kek yang saya terima. Sungguh menarik sehinggakan saya terpaksa menerima tambahan 1 kg dalam badan saya selepas makan kek ini. Huhu! Then, saya terpaksa jogs setiap pagi sebanyak 2km semula to reduce the increased in weight. Hoho! Bahana kek coklat...

23 September 2009

Cuti Raya Saya

Belum puas duduk kampung. Sungguh. Walau sudah 6 hari di kampung.

Sebab ada 4 budak kecik yang sering mengalih perhatian saya dari bermanja dengan mak dan 4 budak kecik tu hanya balik ke kampung nenek Pahang-nya pada hari ke-3 raya (sudah tentu 4 budak kecik tu balik ke kampung saya satu kereta bersama saya - memang setiap tahun pun begitu...bukannya nak balik bersama abi dan uminya...). Hari ini pula (raya ke-4) saya sudah balik ke rumah saya semula (hoho...yang ni lepas ni saya cerita macamana saya boleh 'ter-balik' awal la pulak dari jadual asal....)

Mahu makan, cari saya (best juga sebab masa hari Jumaat dan Sabtu yang masih berpuasa, saya dapat 'paksa' 2 budak kecik yang tak puasa tu makan sampai habis sebab saya bagitau dia, semua orang puasa dan takde sapa nak habiskan nasi dia...yang saya sedang suapkan waktu tu - manja betul, sanggup tunggu saya bangun dari tertidur dan kemudian duduk atas riba saya dan berkata dengan manjanya - nyanyah...nak aci...huhu!)

Habis dua si adik punya karenah, datang pula dua si abang. Ajak main monopoly. Kemudian mahu belajar main catur. Mulanya si abang sulung tak nak mengaku kehebatan saya bermain catur (ececece...macam hebat sangat la...), tapi bila melihat si pakcik catur di komputer (err..tak taula jantina apa game tu!) kalah sebanyak 13 kali dengan saya dalam 13 games, nampak si abang mengangguk perlahan mahu ber'guru' dengan saya.

Lalu, cuti raya saya kali ini benar-benar penuh. Itu belum kira selepas balik beraya (4 si kecil itu pun sama beraya bersama kami - tapi diorang je la dapat duit raya yang banyak!) yang mereka sangat kepenatan dan kemudian buat hal menangis tengah malam yang kemudian membangunkan saya dan 'memaksa' saya memujuk mereka dan kemudian menidurkan mereka (tak tahan jugak rasa hati tengok anak-anak sedara menangis ni....rasa macam luluh jantung....). Sudahlah tak nak diam kalau orang lain pujuk, yang paling kecil (2 tahun) itupun hanya mahu dengan 'nyanyah'-nya saja...

Sedar tak sedar, saya sudah ada di rumah saya sekarang setelah bertolak balik pagi tadi dari kampung. Adik saya pula ada 'hal bicara hati' yang membuatkan saya dan keluarga perlu membuat perjalanan ke Kuala Kangsar, Perak pada esok hari. Itulah sebabnya kenapa saya balik awal. Esok pagi mahu ke Perak pula. Alang-alang, cuti kecemasan yang sudah saya plan pada hari Jumaat terpaksa dikuburkan dan saya tahu saya akan mula bekerja pada hari Jumaat. Huhu!

Cuti raya saya tahun ini sangatlah laju habisnya. Saya tak puas!
...tapi gembira juga la balik awal sebab dah bosan melayan GPRS yang slow gileee kat kampung...(buat-buat gembira....lalalala....)
KAMUS SAYA : nyanyah - mak ngah

21 September 2009

1 Syawal 1430H

Kita terlupa pada Ramadhan,
Bila tibanya 1 Syawal,
Ramadhan yang indah,
Adakah akan bertemu lagi,
Walau tahun hadapan pasti tiba,
Adakah lagi Lailatul Qadr,
Andai maut sudah menjemput - sebelum tiba waktunya...

Pun, kembalilah kepada fitrah,
Sekolah kita di Ramadhan,
Banyak yang dipelajari,
Tentang hakikat hidup, dan iman...kukuhkanlah,
Walau Ramadhan, sudah berlalu...

Jangan biarkan ia hancur,
Iman yang kita bina,
Akidah yang kita jaga,
Nafsu yang kita kawal,
Bersama tibanya 1 Syawal...

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

* Untuk anda semua, juga untuk saya yang sering terlupa...

17 September 2009

Buka Puasa Ke-3 Paling Best

Saya memang sangat sibuk semalam. Dari pagi sudah berada di HQ, dan kemudian pergi memeriksa besi (ramai orang takut saya terjatuh sewaktu saya meniti di atas beam yang masih belum dikonkrit kerana ia bukan beam tingkat bawah, tapi kerana bidang ini yang saya ambil, maka ia adalah tanggungjawab saya memeriksa rangka bangunan yang masih belum siap - maybe sebab size beam kecil 125 x 300 sahaja).

Balik semula ke pejabat dalam keadaan lesu dan mula menguruskan hal-hal lain pula yang menyesakkan kepala, sambil-sambil tangan laju menekan sms di telefon dan YM di komputer. Akhirnya, dapatlah keputusan untuk berbuka di Mid Valley bersama seorang sahabat (selalunya kami pergi berempat - walau hakikatnya kami sebenarnya bertiga - dan kemudian semalam kami hanya berdua sahaja - seorang lagi sudah pergi 'dating' - hoho!).

Pun, keputusan mendadak pukul 5.45 petang itu rupanya mendera diri saya. Jalan Istana jammed teruk. Saya sempat menghantar sms kepada sahabat saya sambil memandu (hantar sms guna Dopod 838 touch screen, tentu boleh dibayangkan jammed tersebut seteruk mana kan...).

Lalu, kami tukar lokasi. Di sini. (Mulanya saya sudah bercadang hendak balik sahaja, tapi kerana jalan hendak balik pun jammed teruk, lalu saya terus sahaja bersetuju dengan saranan sahabat saya itu...lagipun, saya hendak merealisasikan buka puasa terakhirnya di KL sebelum dia balik ke Kedah...). Sungguhlah saya ini naif benar, hampir 7 tahun bekerja di Kuala Lumpur, inilah kali pertama saya memandu sendiri ke dalam The Mall ini. Pecah rekod ni.


Kami pun mengambil keputusan berbuka di sini.

Seperti biasa juga, memang sangat bagus saya berbuka puasa dan makan bersama sahabat saya ini. Untungnya kerana dia akan menolong menghabiskan bahagian saya yang memang selalunya tidak berjaya dihabiskan. Makan apa? (saya terlupa ambil gambar makanan lagi, tapi kata sahabat saya - lepas ni order spaghetti je dengan cara makan macam ni...) sebab side dishes saya memang dia yang tolong habiskan. Thanks!

Tapi inilah berbuka puasa paling best. Nak tahu kenapa? Hmm. Saya dah pecah rekod banyak kali untuk buka puasa ini. Apa yang saya pecah rekod? Biarlah rahsia...

09 September 2009

Buka Puasa Best Lagi

Hari ini, saya buka puasa dengan best lagi.

1. Saya buka puasa di Mid Valley bersama 3 orang sahabat saya (oh...dah tentu bukan sahabat yang saya berbuka puasa bersama-sama semalam)

2. Kami berempat tiba agak lewat. Semua kedai makan sudah penuh. Lalu, kami mencari bun dan saya dapat menikmati tart telur (sungguh sudah lama saya mengidam - teringin la....tapi rasanya tidak sama dengan tart telur yang saya selalu makan sekiranya saya ke Putrajaya - sebuah kedai kek di Presint 8 bersebelahan dengan Dominoes Pizza dan bank RHB..saya rasa saya kena ke sana lagi...walau tart telurnya selalu cepat habis...) di hadapan surau Jaya Jusco. Saya mula teringat kenangan makan di Makkah sewaktu berseorangan begitu. Saya sayu. Sudah masuk hari ke 20. Ramadhan hampir tamat, dan saya rasa late-night-party saya masih ada banyak kekurangan.

3. Surau di Mid Valley lebih besar dari surau yang saya pergi semalam. Saya solat dengan lebih selesa walaupun bilangan jemaah wanita agak ramai. Mungkin juga kerana masa masih awal dan ramai yang sedang berbuka di restoran-restoran sekitar Mid Valley. Alhamdulillah.

4. Saya terlupa lagi hendak mengambil gambar makanan. Semuanya sudah licin, barulah saya teringat untuk mengambil gambar. Gara-gara lapar agaknya, ataupun saya kasihan melihat orang lain yang lapar. Lalu, seperti saranan shahril, ambil ajelah gambar pinggan mangkuk yang dah kosong (saya follow je saranan shahril....).

Alhamdulillah...

5. Seperti biasa, ada yang akan tolong menghabiskan nasi saya yang memang selalu susah sangat nak dihabiskan (terima kasih kepada dua sahabat saya yang baik hati menolong dan membantu saya supaya saya tidak membuat aktiviti pembaziran yang disukai syai-thon...).

6. Saya telah dibelanja dessert strawberry + vanilla aiskrim (sungguh mengujakan kerana saya telah mendapat aiskrim free....bestnya! terima kasih kepada salah seorang sahabat saya....nak tahu namanya kena tanya dengan tuannya sendiri kerana dia suka duduk di belakang tabir...) dan yang paling penting, saya memang teringin dan sukakan aiskrim.

Inilah orangnya...thanks!


7. Ada rumah-rumah kayu yang comel-comel (seperti biasa berjalan selepas makan sebelum balik...saya terfikir hendak upload gambar yang ada orang tapi saya terfikir untuk tidak mahu mengglemerkan kawan-kawan saya...hoho!)

8. Saya berjaya memasukkan siaran IKIM.fm kepada radio kereta shahril (selambanya saya, shahril nak setkan di no.6, saya mahu IKIM disetkan di no.1...huhu! aura nakal saya telah keluar....)

9. Terima kasih kepada sahabat-sahabat saya yang baik hati. Saya tiba rumah awal lagi malam ini. Tidak seperti biasa, menghampiri 11 malam. Selamat berlate-night-party!

PANDUAN PENTING : Panggilan telefon dari seorang ibu kepada anak murid saya pada pukul 4 petang menjadikan saya mempunyai masa lapang untuk berbuka bersama sahabat saya. Kasihan, anak murid saya sakit kepala dan tidak sihat.

Senyum, Troli, Kertas dan Buka Puasa

2 hari lepas (saya ni jarang online ke? mungkin tidak sempat update sahaja kerana tepu masa) saya nampak seorang lelaki tua yang saya sering nampak sewaktu saya hendak balik dari pejabat (jika saya lalu jalan menuju ke Besraya - yang pastinya dalam 5 hari kerja, hanya 2 hari sahaja saya melalui jalan ini) dengan rutinnya.

Ya, rutinnya. Menolak troli berisi susunan-susunan kotak dan kertas-kertas melintasi traffic light dengan badan yang terbongkok-bongkok. Sudah tua amat. Saya tahu dia menolak dari perjalanan yang sangat jauh. Saya pernah nampak dia menolak troli berat itu (jika kotak-kotak itu ringan pun, bila sudah ditimbun begitu pasti berat) dari sebelah bangunan CIMB bank yang jaraknya anggaran 2km dari situ.

Apa yang menariknya?

Dia menolak troli tersebut sambil tersenyum kepada orang di sekitarnya. Sungguh pasti senyumannya menyejukkan kerana penat bekerja seharian seolah terubat melihat lelaki tua berpakaian lusuh itu dengan senyumannya sambil terus menolak trolinya. Sering, saya cuba memastikan kamera saya dapat dioperasikan pada waktu saya ternampak dia, tapi saya sering terlupa....(oh, habit saya bila memandu kereta, saya akan mencampakkan handbag saya jauh ke bahagian bawah tempat duduk kerana safety first!).

Walaupun begitu, saya jua merasa amat sayu. Melihat dia, saya sering teringat kepada kehilangan yang telah saya alami di awal tahun ini. Mana mungkin saya mampu melupakan keringat seorang lelaki, jua dengan pakaian lusuhnya, menyambut saya setiap kali balik dari asrama (sewaktu saya bersekolah menengah) atau universiti, di bawah pohonan kelapa sawit bersama sebuah motosikal yang sudah tua. Kini, dia sudah tiada. Al-fatihah untuknya.

-------------------------------------

Sesi berbuka puasa yang sangat best semalam.

1. Sudah 18 hari berpuasa, semalam merupakan hari pertama saya berjaya memilih menu buka puasa saya mengikut selera saya. Selalunya, apa yang dihidang, itu yang saya makan (oh....saya memang jarang demand dengan makanan...saya makan apa saja....terutama di bulan puasa).

2. Sayangnya tidak ada gambar makanan kerana apabila semua bekas makanan sudah licin, baru kami berempat teringat yang kami belum mengambil gambar makanan tersebut. So, kita kehilangan part paling best kerana tidak ada gambar makanan untuk ditunjukkan.

3. Lokasi makan yang selesa (pilihan adik-adik yang pandai memilih tempat makan...) dengan harga yang berpatutan. Sudah hampir tiga tahun saya menjejakkan kaki ke tempat tersebut, saya tidak tahu pun bahawa ada tempat yang ada makanan yang sedap begitu.

Kata Nas...kak, gambar ni boleh masuk blog...hehe...apa-apaan sih...

4. Pun, kata nas, saya tidak boleh join grup makannya (agaknya la...) sebab perut saya sudah tepu dengan kuantiti makanan dan menu yang sama sebijik macam dia (sebab pada masa tersebut makanan dia dah habis pun dan makanan saya masih banyak....oh...terlupa nak bagitau yang habit makan saya kunyah 40 kali baru saya telan.....hoho! tapi memang kenyang sungguh semalam....mungkin juga kerana saya telah menelan 2 ketul sushi sebelum makan nasi....)

5. Saya dapat beli apa yang saya nak beli sejak dua tahun lepas (oh...salah satu habit saya juga, kalau saya teringin membeli sesuatu, saya akan berfikir kadang-kadang hingga 3 - 4 tahun juga kerana saya selalu memikirkan tentang pembaziran sekiranya barang yang saya beli tidak digunakan dengan semaksimumnya....)

6. Saya tiba rumah awal semalam. Selalunya saya hanya berjaya tiba di rumah menghampiri 11 malam.

22 August 2009

1 Ramadhan 1430H


1 Ramadhan 1428H. Malam pertama saya di rumah ini. Kini, sudah 'anniversary' yang ke-2. Alhamdulillah. Masih bertemu Ramadhan. Semoga bertemu lagi Ramadhan di tahun-tahun akan datang. InsyaAllah. Masih ingat kisah malam pertama.....

Saya menghampar tilam di atas lantai kosong bilik tidur utama yang sudah dibersihkan walau ruang lain di dalam rumah masih berdebu dan kotor. Sengaja memilih 1 Ramadhan untuk memulakan kehidupan di rumah ini. Menikmati malam pertama bulan Ramadhan yang indah, berseorangan bersama Dia.

Kini, 1 Ramadhan 1430H. Saya masih di sini. Masih seorang. Masih bersama Dia.

Selamat menyambut Ramadhan yang mulia. Semoga amalan, perlakuan dan ibadat kita dirahmati dan diredhai olehNya. InsyaAllah.

09 August 2009

Majlis Penutup Sukan 2009

Sambutan bulan sukan di pejabat saya bagi tahun 2009. Tahun ini, agak banyak permainan yang saya sertai berbanding tahun sebelumnya. Jadi, tadi 8 Ogos 2009 diadakan perlawanan bola sepak di antara 4 pasukan (Perdana - Kuning, Waja - Merah, Exora - Biru dan Persona - Hijau) dan majlis penutup bulan sukan yang telah berlangsung selama dua bulan.

Aktiviti ini tidak dapat saya sertai kerana baru saya berdiri di dalam barisan poco-poco ini, kepala saya sudah berpusing dan menuntut saya segera duduk. Saya tahu, saya belum sihat sepenuhnya tapi saya degil hendak hadir juga ke majlis ini. Alhamdulillah tidak ada apa-apa yang berlaku kepada saya di sepanjang majlis berlangsung.


Sudah tentu saya perlu mengambil langkah berjaga-jaga kerana dikelilingi ramai orang di dalam suasana penyebaran virus yang berleluasa, ditambah dengan badan saya yang masih tidak sihat, saya harus memastikan tidak ada virus yang akan disebarkan kepada saya.

Perlawanan bola sepak. Sudah tentu saya menyokong pasukan Kuning dan pasukan Perdana ini telah mendapat tempat pertama dalam perlawanan bola sepak dan juga Juara Keseluruhan Sukan 2009. Yahuuuu!!!
Alhamdulillah.....

16 May 2009

Hati Seorang Ibu, dan Guru

Saya belum pernah menjadi ibu, tapi saya pasti benar saya dapat menyelami hati seorang ibu. Semuanya kerana, saya pernah menjadi seorang guru.

Saya rasa saya seorang guru yang kurang bagus;

1. Mengajar tidak ikut silibus (dari segi agama, peribadi, pengetahuan am, cerita semasa, motivasi, hadis - semuanya boleh saya selitkan dalam satu sesi walau sesi tersebut adalah sesi subjek Matematik).

2. Membuat paksaan supaya setiap pelajar saya bukan hanya sekadar belajar untuk peperiksaan tetapi juga belajar kerana ingin menuntut dan mendapatkan ilmu.

3. Membuat paksaan supaya setiap pelajar berfikir sendiri dan jangan hanya mengharapkan kehadiran saya sahaja untuk menjawab semua persoalan yang boleh difikirkan oleh pelajar sendiri.

4. Menerapkan kepentingan dan kualiti masa - jika dua jam belajar dengan saya, pastikan kualiti ilmu yang diperolehi dan boleh disematkan di minda juga adalah dua jam - bukannya guna masa dua jam untuk kualiti ilmu hanya sekadar 15 minit.

5. Memaksa pelajar solat dahulu sebelum belajar dengan saya (jika kena pada masa solat).

6. Mendenda pelajar yang tidak membuat latihan.

7. Memastikan pelajar tidak hanya terus menerima ilmu sahaja tanpa berfikir logik tidaknya ilmu tersebut. Saya sentiasa menyatakan bahawa - cikgu sendiri di hadapan kamu ini, kamu jangan percaya kata-kata saya, cuba kaji kata-kata saya ni betul ataupun tidak.

8. Memastikan pelajar benar-benar faham tentang suatu topik, kemudian barulah berpindah ke topik lain. Biar lama mana masa yang diambil, saya mahu pelajar-pelajar saya dapat faham semuanya dengan tepat dan sempurna.

9. Saya tidak akan datang mengajar sekiranya pelajar saya tidak menunjukkan kesungguhan hendak belajar walaupun sekiranya saya dapat mengajar lebih, pendapatan bulanan saya jua akan meningkat. Bukan duit yang saya raih, tapi kejayaan setiap pelajar saya di dunia dan di akhirat yang saya mahukan.

Huh! Saya memang bukan seorang cikgu yang bagus. Pun, Alhamdulillah.....dari pagi hingga ke malam hari ini, telefon mobil saya tidak putus menerima ucapan Selamat Hari Guru dari beberapa orang pelajar saya. Terima kasih.

Dari 'title' cikgu inilah, saya menyelami hati seorang ibu. Saya nampak kasih ibu di dalam diri seorang guru. Pastilah guru-guru saya dulu juga begini rasanya.

Ibu, yang tidak putus membekalkan ilmu.
Ibu, yang tidak jemu memaksa anak-anak masuk ke syurga dengan solat dan akhlak baik.
Ibu, yang tidak jemu memastikan anak-anak mendapat yang terbaik dalam hidup.
Ibu, yang tidak jemu menzahirkan kasihnya, walau anak-anak tidak sedar.
Ibu, yang tidak jemu berbangga dengan kejayaan anak-anaknya.
Ibu, yang kasihnya tidak putus, sayangnya tidak pernah hilang.

Saya dapat melihat, menyelami, mendalami dan memerhati, kasih seorang ibu kepada anaknya, dari semua ibu kepada pelajar-pelajar saya.

Selamat Hari Ibu, dan Selamat Hari Guru. Semoga Allah meredhai semua ibu-ibu dan semua guru-guru samada yang masih hidup, atau yang sudah meninggal dunia. InsyaAllah.