14 September 2007

Dunia Kecil Kami 3

Kata kawan-kawan, andai rasa rindu, lepaskan biar dirasakan oleh semua orang. Buat pemberitahuan, biar mereka-mereka yang kita rindui akan tahu yang kita sedang merindui mereka. Saya pula, masih di dalam dunia kecil saya. Sekadar duduk-duduk diam, hanya sesekali melepas gelombang rindu di angin lalu.

Bukan saya tidak suka melepaskan rasa rindu yang saya rasakan. Bukan juga saya tidak pernah merasakan kerinduan dan mengingati semua orang. Sejak kecil, semuanya tersimpan di dalam diri saya. Saya tidak pernah meluahkannya. Hinggalah pada umur yang telah melepasi suku abad ini pun, rasa rindu itu masih saya simpan dalam-dalam di dalam diri saya. Sesekali terlepas dari mulut mungkin kerana rasa rindu yang menggunung, hanya kepada ‘kawan jogging’ saya pastinya yang sering saya terlepas cakap tentang kerinduan itu, itupun saya merasakan kerinduan itu sudah jadi bukan sebuah kerinduan. Saya tidak suka melafazkan rindu!

Memang ada rasa rindu. Bukan tidak pernah ada rindu. Pada ibu dan bapa. Pada kakak, abang dan anak-anak mereka. Pada adik-adik. Pada kawan dan sahabat. Pada kenangan lalu. Ya, rasa rindu itu tetap ada di dalam lubuk hati saya. Malah untuk sesiapa sahaja yang pernah berurusan dengan saya sepanjang penghidupan ini, rasa rindu itu tidak pernah surut. Mana mungkin boleh surut andai rindu itu sendiri anugerah dariNya. Rindu kepada sebuah kebaikan. Rindu kepada sebuah ketenangan. Rasa rindu yang memang tidak akan surut dari jiwa saya yang kerdil ini.

Cara saya menganyam rasa rindu pula sangat mudah. Saya tidak akan menghubungi seseorang hanya kerana rasa rindu tersebut. Saya akan duduk diam-diam di dalam dunia kecil saya, walaupun saya sedang merindui. Jika ada rindu, akan ada doa kepada Allah untuk orang yang saya rindui. Usai doa, mungkin sekiranya saya mampu untuk menghantar pesanan ringkas, saat itu saya akan menghantar pesanan ringkas, walau sekadar isinya hanyalah ucapan ‘assalamualaikum’ sahaja. Selebihnya, mungkin saya akan menghubungi mereka melalui telefon. Selalunya, panggilan sebelah pagi sebelum azan Subuh adalah untuk ibu dan ayah saya di kampung sahaja.

Lain dari cara itu, untuk ‘kawan jogging’ saya, pastinya kami akan melepaskan kerinduan dengan berjanji untuk berjumpa selepas kerja. Sekadar bercerita, sambil mengelilingi taman tasik yang besar itu. Bermacam topik akan kami bualkan bersama. Saat ini, saya ada kerinduan untuk ini kerana sudah lama rasanya saya tidak berjumpa sahabat saya itu.

Untuk pertemuan lain walau dipenuhi kerinduan, tidak pernah saya lakukan. Saya lebih selesa bersantai di dalam dunia kecil saya. Walau tidak ada sesiapa, masa yang tidak pernah terluang itu menjadikan saya akur, itulah dunia kecil saya. Di dalamnya ada rindu, ada kegembiraan, ada kelelahan dan ada segala-galanya, yang biarlah saya kongsikan semuanya dengan Yang Maha Esa sahaja. Saya redha dengan masa yang sering mencemburui segala aktiviti saya yang pelbagai.

Itulah rindu saya. Rindu yang tidak pernah terluah. Saya simpan jauh-jauh di dalam lubuk hati saya di dalam dunia kecil saya. Semoga Allah meredhai kehidupan saya, seorang insan yang kerdil dan hina yang bergelandangan di lapangan pengembaraan ini untuk meneguk setitis redhaNya. Alhamdulillah.

13 September 2007

Ramadhan Ini

Assalamualaikum warahmatullah…

Menjelang malam 1 Ramadhan 1428H. Kereta bersimpang siur di sepanjang jalan raya. Saya tidak pasti, mengejar solat Maghrib atau baru pulang dari kerja. Tidak ada suasana yang berbeza.

Melepasi laluan ke Bangi, berhampiran dengan MFI, barulah wujud suasana yang berbeza. Berdedai beberapa anak gadis cuba melintas jalan menuju ke masjid di tepi lebuhraya Utara-Selatan. Saya pula, masih di dalam kereta, bersama badan yang letih dan mata yang hendak tertutup.

Saya terus memandu hingga tiba di sebuah masjid di Bandar Baru Bangi. Alhamdulillah. Masih ada ruang untuk meletak kereta. Jemaah sudah ramai. Saya hanya menyusup di sebalik pintu masuk dan segera duduk berhampiran dinding. Saat-saat menunggu azan Isya’, saya menjadi pemerhati seperti biasa.

Di sisi saya ada dua orang anak kecil. Berusia dalam lingkungan 3 dan 4 tahun agaknya. Si abang berlari di sekitar jemaah, si adik pula baring sambil menghisap botol susu di hadapan saya. Saya hanya tersenyum, segera terbayang anak-anak saudara saya yang tidak sempat saya jumpa pada hari ini.

Di sekitar, nampak wajah-wajah yang ceria menyambut ketibaan Ramadhan. Indahnya Ramadhan. Ruang jemaah wanita juga menjadi semakin penuh, malah ada yang mengambil keputusan untuk bersolat di tingkat atas. Ruang yang penuh itu, mengingatkan saya pada sesuatu.

Ruang di masjid itu. Saya sering ke masjid itu, jika saya tidak pergi berjogging selepas kerja, untuk singgah solat Asar sebelum pulang ke rumah. Ironinya, saya gemar singgah solat di mana-mana masjid. Selain dari menghayati keindahan ruang masjid dan rekabentuknya, masjid sering menjadikan saya ingat. Ingat akan Allah, ingat akan mati. Walau apa pun mesej yang tiba, masjid tetap akan membawa kita untuk mengingati Dia. Walau pun hanya sepicing cuma. Itu salah satu keistimewaan menjadi masjid.

Pun, biasanya, ruang yang penuh itu sentiasa saja kosong, sepanjang tahun. Biasanya, saya berseorangan di dalam masjid itu untuk solat Asar. Kalau nasib sedikit baik, ada dua atau tiga orang jemaah lain yang datang bersolat di situ. Ruang yang sentiasa hening, dan sunyi. Apabila waktu Maghrib menjelang pula, kadang-kadang akan ada lebih kurang setengah saf jemaah wanita yang bersolat di situ. Biasanya, hanya ada lebih kurang tiga, empat, lima orang jemaah wanita sahaja. Jemaah lelaki, tidak pula saya pernah kira.

Alhamdulillah, indahnya Ramadhan dan diberkati olehNya, ruang yang sunyi dan hening itu menjadi sesak pada bulan ini. Bulan puasa. Malah, tingkat atas yang jarang digunakan juga sudah mula digunakan. Walau hanya setahun sekali. Walau hanya di awal Ramadhan. Walau hanya di waktu solat Isya’ di bulan Ramadhan. Walau hanya di 8 rakaat terawal di Solat Terawih. Masjid itu kini berpenghuni. Masjid itu kini sesak, walhal ruang itu selalu saja kosong, sepanjang tahun.

InsyaAllah. Masjid itu akan sesak lagi malam ini. Untuk menghayati dan menilai diri di bulan Ramadhan. Untuk beribadat kepadaNya yang Maha Esa. Untuk bermuhasabah, merenung dan membetulkan diri yang telah menjalani kehidupan di luar bulan Ramadhan.

Ramadhan, mungkinkah bulan-bulan yang lain mencemburuimu?

Selamat Menyambut Ramadhan yang mulia. Semoga kita sentiasa diampunkan olehNya, diredhai olehNya dan dikekalkan dalam iman yang kukuh, walaupun selepas Ramadhan ini.

InsyaAllah.

12 September 2007

Deria rasa

Saya jarang makan yang manis-manis kerana deria rasa saya agak ‘kurang’. Makanan yang saya masak sering terasa ‘tawar’, atau saya akan berangan-angan yang saya ini kuat manis. Kononnya, untuk menyamakan rasa masakan dengan selera orang yang akan makan masakan saya. Walau itu bukan selera saya.

Rasa masin juga kurang dalam hidup saya. Kurang garam, kurang gula.

Tapi, sejak hampir dua minggu ini, deria rasa saya merajuk agaknya. Saya hilang semua rasa. Hanya tinggal rasa pahit dan rasa tawar. Saya makan apa saja samada akan menjadi pahit, atau tawar.

Saya ada juga makan nasi dengan ikan masak kicap, saya boleh rasakan ikan masak kicap tersebut menjadi tawar. Alahai, kicap yang masin juga menjadi tawar. Malah, air suam menjadi rasa pahit. Bila Allah telah mencabut nikmat rasa ini...rasakanlah!

Sudah lama saya tidak menguji deria rasa saya. Saya jadi tidak ada selera makan. Adakah deria rasa saya sudah kembali normal atau tidak, hinggalah ke tengahari semalam.

Tiga sudu milo. Dua sudu susu tepung. Tiga sudu oat. Dua sudu madu. Saya gabungkan kesemuanya dalam satu cawan kecil. Bersama air panas yang menggelegak.

Sudah lama saya tidak makan madu. Sudah lama saya tidak menikmati susu. Kerana itu agaknya deria rasa saya merajuk. Malah, sebatang gigi saya sudah mula hendak bergoyang. Harapnya susu ini nanti akan dapat memberi bekalan kalsium yang mencukupi kepada gigi saya semula. Saya sayangkan gigi-gigi saya.

Saya menghirup bancuhan tersebut dari sudu pertama dengan penuh perasaan. Amat manis. Rasanya manis ini melebihi kemanisan kebanyakan masakan orang Kelate yang sememangnya terkenal amat manis. Saya tidak pernah merasa kemanisan seperti ini di dalam kehidupan saya.

Alhamdulillah. Saya boleh merasa nikmat manisnya madu dan keenakan oat bersama susu tepung dan milo semula. Alhamdulillah.

Hari ini pula, saya sudah boleh merasa nikmat keenakan nasi dagang, dan baru sekejap tadi saya telah makan dua ketul popia dan sepiring bihun goreng.

Deria rasa saya sudah kembali normal. Saya tidak patut meninggalkan amalan susu dan madu saya lagi. Fizikal saya juga perlukan perhatian, seperti rohani saya jua.

Alhamdulillah.

05 September 2007

Bila Mengantuk...

Assalamualaikum warahmatullah...

Saya sedang mengantuk. Bila mengantuk begini, saya akan mula menulis. Idea saya akan sering keluar pada waktu-waktu perasaan saya begini. Perasaan saya yang tidak stabil. Perasaan di alam separa sedar. Dalam Islam sendiri, kita dipastikan tidak solat dalam keadaan mengantuk.

Tapi, inilah saya yang boleh menulis apabila saya sudah mula merasakan yang mengantuk mahu mengganggu-gugat keamanan diri saya yang sedang berada di pejabat. Sebetulnya, saya mahu membuat kerja. Bukan mahu menulis. Tapi saya tidak boleh. Kerja menjadikan minda saya tidak berlari dengan pantas. Kerja hari ini pula sangat remeh. Renyah. Alternatif yang ada untuk menjadikan otak saya berlari supaya badan saya boleh bangun adalah dengan cara ini. Salah satu cara selain dari menyalin pakaian saya sekarang kepada track suit dan t-shirt dan kasut sukan. Tapi itu tidak boleh, kerana ini masa kerja.

Saya bukan suka menulis pun. Tapi saya rasa di dalam ini saja sudah banyak hasil tulisan saya, walau tidak sebanyak orang lain, tapi untuk saya yang jarang menulis, dan jarang ada kesempatan untuk menulis, saya rasa macam sudah banyak. Perasannya saya. Semuanya ditulis dalam keadaan yang tidak stabil, kerana jika saya sedang stabil, saya memang tidak mampu untuk berfikir dan meluahkannya sebagai hasil tulisan. Saya memang begitu.

Saya suka menulis bila saya berasa sedih. Tidak, saya tidak luahkan cerita kesedihan saya, tapi saya akan menulis sesuatu yang membuatkan saya gembira. Tulis tentang Dia membuatkan saya gembira.

Saya suka menulis bila saya terasa hati saya sudah mula hendak marah. Kadang-kadang hal di pejabat terlalu banyak menjadikan kesabaran kadang-kadang tidak terkawal. Tapi, kita tidak boleh marah, apatah lagi menunjukkan rasa marah. Jadi, saya akan duduk dan menulis sambil tersenyum-senyum supaya rasa amarah dapat dikawal. Saya tidak tulis tentang marah juga.

Saya suka menulis bila saya terasa rindu. Apabila saya sedang teringatkan seseorang yang sangat ingin saya hendak jumpa, saya akan mula menulis. Tapi, peliknya, saya tidak akan menulis tentang orang itu. Saya akan bercerita tentang hal-hal di sekitar saya hinggalah rasa rindu itu akhirnya semakin surut dan tidak lagi mengganggu bebola mata saya dari cuba untuk mengeluarkan air.

Tapi, rindu kali ini sangat pelik. Saya tidak tahu kepada siapa yang saya rindu. Saya cuma tahu saya sedang rindu kerana tiba-tiba saja deria rasa di lidah saya tidak berfungsi. Saya jadi tidak ada selera kerana makanan yang saya makan cuma ada dua rasa, tawar dan pahit sahaja. Ada yang menyatakan saya sedang rindukan seseorang, jadi kerana itu saya menyatakan saya sedang rindukan seseorang agaknya. Tapi, kenapa saya tidak merasakan apa-apa. Siapalah yang saya sedang rindukan saat ini agaknya. Saya sedang berfikir, sambil menulis, sambil membuat kerja. Saya masih tidak tahu siapa yang saya sedang rindukan.

Saya suka menulis bila saya berasa sayu. Saya rasa sayu dan sedih bukan dua perkataan yang sama maksudnya. Saya rasa sedih apabila saya terasa yang saya hendak menangis. Saya berasa sayu kerana....saya sering teringat kenangan-kenangan lama bersama kawan-kawan saya, semasa kecil, semasa di sekolah, semasa di universiti, semasa berjumpa kawan-kawan, banyak sangat kenangan apabila saya merindui semula suasana-suasana lama. Kadang-kadang kesayuan ini boleh saya luahkan dalam tulisan saya.

Saya suka menulis bila saya mengantuk. Nah, sekarang saya sudah buktikan yang mata saya sudah menjadi segar semula dan saya perlu menyambung kerja semula. Menulis, menjadikan saya lebih bertenaga dan lebih banyak berfikir. Alhamdulillah.

04 September 2007

Dunia Kecil Kami 2

Jika manusia hanya dinilai melalui pakaiannya, jenis kain yang membuat pakaiannya, mahalkah, murahkah, warnanya, cara pemakaiannya, terdedahkah, bergayakah, menutup auratkah, jika hanya semudah itu manusia dinilai melalui pakaiannya, dan tidak dinilai melalui hal-hal lain.

Jika manusia hanya dinilai melalui perhiasan di tubuh badannya, mahalkah, murahkah, cantikkah, dibeli dari luar negerikah, dari negeri yang glamourkah (hingga sekarang saya tidak tahu kepopularan untuk apa dalam hidup) coraknya, bentuknya, warnanya. Apatah pula orang yang langsung tidak memakai apa-apa perhiasan di tubuh badannya. Jika tidak minat, walau sudah ada bergudang duit dan harta pun, tidak akan dibeli apa jua perhiasan yang memang tidak diminatinya.

Jika manusia dinilai melalui hartanya. Aduhai, saya jadi penat memikirkan kita yang sering menilai orang melalui pandangan kasar. Mata kasar yang tidak jelas dan buta itulah yang sering kita jadikan panduan untuk menarik nafsu dan diri kita supaya menilai dan meletakkan tahap seseorang manusia.

Jika manusia dinilai melalui hatinya. Memang kita tidak akan pernah nampak apa yang ada di dalam hati manusia, habis mahu dinilai dengan apa jika yang di dalam hati itu kita tidak akan pernah tahu. Jadilah lebih jernih supaya akan nampak apa yang ada di sebalik tabir. insyaAllah. Bila sudah jernih, yang di dalam hati itu akan nampak mungkin samar-samar, mungkin jelas, mungkin benar, mungkin tidak benar. Usaha, dan berserahlah.

Saya nanar memikirkan hal diri saya lagi. Kenapa agaknya hanya hal diri saya? Bagaimana mahu bercerita tentang hal yang lain sedangkan hal diri saya sendiri masih banyak yang tidak betul. Hal diri yang sering lalai pada Allah, tapi sedap-sedap sahaja mahu menempelak orang lain. Belum tahu mana satu rahmat Allah yang akan tiba pada kita di akhirat nanti. Belum tahu mana satu rahmat Allah yang melimpah untuk kita di dunia ini.

Kita yang sering tidak nampak. Saya di dalam dunia kecil saya (takut hendak melihat dunia besar yang agam sedangkan di dalamnya ada pelbagai rencah kehidupan yang takut untuk saya terjah). Dunia kecil saya lagi yang di dalamnya tidak ada apa-apa. Dunia yang tidak kosong, tidak pula penuh. Sekadar mencakupi keperluan kehidupan saya yang seperti mayat (aduhai mayat pula yang disebut saya ini). Ingatkan mati yang lebih dekat dari urat leher.

Diam-diam di dalam dunia kecil, saya yang terlalu letih kini sering terlupa untuk memuhasabah diri. Apa yang dibuat, di dalam dunia kecil itulah saya melepas lelah keseorangan. Macam kata dunia luar, senyum tu senyum juga, hati di dalam siapa yang tahu. Walau letih dan lelah, laluan-laluan yang panjang itu harus saya redahi. Untuk apa dilahirkan ke dunia jika hanya mahu bergelandangan tanpa memberi manfaat kepada orang lain di sekitar.

Memang. Dari menyusahkan orang lain, lebih baik duduk diam-diam sahaja. Tapi, dari duduk diam-diam, bukankah lebih baik cuba menyebarkan manfaat dan faedah dari diri kita supaya boleh diberikan kepada orang lain. Terpulang, ikhlas atau tidak ikhlas itu ada di dalam hati. Kalau tidak ikhlas, kita dapat imbalan baik di dunia. Mahsyur, glamour, kaya raya, terkenal dan banyak harta dan kenalan kerana kita dilabel baik. Kalau ikhlas, simpan diam-diam di dalam hati saja. Simpan di dalam dunia kecil kita yang masih kosong dari kisah-kisah yang indah bersama Allah.

Kenangan bersama Allah yang tidak pernah tersimpan di minda kita. Ke hulu dan kehilir, jika saya ini, asyik dihurung dengan kenangan yang membunuh! Aduhai, sebut saja kenangan yang membunuh, teringat saya kepada laluan saya menuju ke sebuah masjid di Gombak beberapa hari lepas. Laluan itu baru saya redahi beberapa bulan lepas semasa menuju ke UIA, tapi itu dengan beberapa teman sepejabat. Keharuannya tidak seperti yang baru-baru ini. Beberapa hari lepas, di saat saya berseorangan, kenangan yang membunuh itu hadir satu demi satu bertamu di layar minda saya. Alahai....semoga Allah memudahkan saya, dan memudahkan semua muslimin wal muslimat di dunia ini. Biarlah kenangan membunuh itu tidak menghantui saya lagi!