Dunia yang sempurna dengan kebaikan ibarat sebuah ladang yang subur dan dipenuhi tanaman yang bermanfaat dan dapat dituai pada masa yang tepat untuk dibawa pulang sebagai bekal di akhirat yang kekal abadi. Berjihadlah di ladangmu kerana Allah yang Maha Esa.
30 September 2017
Kembara Pun Bermula
Mudah benar di zaman ini apabila tidak perlu menunggu teksi untuk ke mana-mana, atau perlu meminta sesiapa menghantar ke lapangan terbang. Jika dulu, abang saya akan menjadi mangsa yang paling kerap untuk saya pergi ke lapangan terbang. Kini, dengan hanya mengaplikasikan uber atau grab car, ia sudah tersedia di hadapan kita dalam tempoh kurang dari 10 minit untuk kita bertolak ke mana-mana lokasi. Sejujurnya, saya sangat sukakan perkhidmatan ini selagi ia masih dilaksanakan dan bayarannya juga tidaklah mahal.
Tiba saja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, saya dan suami terus menuju ke Balai Berlepas Antarabangsa. Urusan sangat mudah, kerana untuk kali ini, saya dan suami menggunakan Business Class. Dari urusan check-in sehinggalah ke urusan imigresen, ia dapat dilaksanakan dalam tempoh yang sangat singkat kerana penumpang Business Class mempunyai laluan khas untuk hal-hal tersebut. Usai segala urusan pelepasan, saya dan suami menuju ke Malaysia Airlines International Lounge pula di Satellite Building. Maka, melepaklah saya dan suami menunggu waktu penerbangan sambil makan dan minum dengan selesa. Dalam tempoh sama, kami berdua juga menunaikan solat Asar sebelum berlepas dan surau juga turut disediakan di dalam lounge tersebut.
Alhamdulillah. Semoga Allah memudahkan dan melindungi urusan kembara ini.
20 September 2017
Apabila Sudah Lama Tidak Merayau
Lalu, misi dimulakan dengan memperbaharui pasport saya. Sudah lebih 5 tahun sakit, maka selama 5 tahun jugalah pasport saya kekal berkubur tidak digunakan. Bezanya, kali ini saya akan bekelana bersama suami. Alhamdulillah, urusan pasport sangat dimudahkan Allah. Tempoh satu jam dari tiba di pejabat imigresen hinggalah menerima pasport di tangan merupakan satu tempoh yang sangat singkat. Sementelah, sudah lama saya tidak ke pejabat imigresen.
Setelah memiliki pasport, seolah-olah satu kaki sudah masuk ke dalam kapal terbang. Tanpa bertangguh, saya mula mencari-cari lokasi yang hendak ditakluk. Haha. Masih tidak ada idea, dan untuk makluman, saya bukanlah suka melancong dengan menggunakan pakej dari agensi pelancongan. Semua saya redah sendiri, samada mahu mencari tempat menginap, tiket kapal tebang, visa, transportation, makan dan minum ataupun tempat-tempat yang mahu dilawat. Paling utama, saya mahukan lawatan yang selesa dan santai serta tidak terkejar-kejar, dapat memerhati keadaan persekitaran di luar negara dari kacamata seorang pengembara, dan tidak terhad kepada tempat-tempat menarik bagi kaki pelancong sahaja.
Setelah puas membelek internet, maka saya pun membeli tiket penerbangan 4 hari selepas saya memperbaharui pasport. Hotel juga dapat diselesaikan pada malam yang sama saya membeli tiket penerbangan. Malah, pada keesokan harinya, saya menyelesaikan pula urusan imigresen ke negara yang ingin saya lawati bersama suami. Urusan dokumen-dokumen seperti itu mampu diselesaikan dalam tempoh 24 jam sahaja, dengan bantuan internet. Cuma, paling penting kena pastikan laman web yang kita gunakan adalah laman web yang sahih, kerana dalam semua urusan akan melibatkan transaksi secara online. Jadi, saya namakan kaedah saya ini, redah berhemah. Redah-redah juga, tapi pastikan semuanya tepat.
Tipsnya, perlu rajin dan pantas membuat pelbagai pembacaan dari pelbagai sumber, serta memastikan semua perkara telah diambilkira dengan baik. Samada sebelum membeli tiket kapal terbang dan hotel, sebelum terbang, semasa terbang, setelah tiba di lokasi, semasa hendak terbang pulang, dan semasa tiba semula di Malaysia. Semua perlu direkodkan dengan sempurna. Seumpama sebuah senarai semak, bagaimanapun untuk mengelak mengambil masa dalam hidup yang banyak, ianya perlu dilakukan dengan pantas. Barulah kita dapat mengembara dengan selesa, dan halal haram jua turut dijaga. InsyaAllah.
29 March 2013
Abah
Terima kasih Allah.
***entri ini ditulis pada awal tahun 2010, di saat saya sangat-sangat-sangat-sangat (hingga kini pun masih sangat merindui) merindui arwah abah saya...semoga Allah melindungi abah saya dari siksaan kubur, meluaskan kuburnya, memasukkan abah saya ke dalam syurga-syurganya, menempatkan arwah abah saya di dalam golongan hamba-hambaNya yang beriman dan sentiasa diredhai Allah di dunia dan di akhirat...insyaAllah...semoga Allah mengabulkan doa saya...amiinn...
28 March 2012
Ulang Tahun Pertama : 1st Anniversary
Saya tidak terlupa kepada 1st anniversary kami. Sayangnya...tiada entry di sini kerana kami berdua 'memadu kasih' - wink!!! - ke utara tanahair. As usual, bila buat long journey....memang 'no internet'. I'm busy...hehe....internet cuma guna untuk tengok GPS je....sebabnya....bila jalan-jalan jauh-jauh ni, lebih baik dimanfaatkan untuk berjalan dengan bersungguh-sungguh. Terlebih pula, sudah hampir setahun saya tidak dapat menikmati momen-momen berjalan-jalan seumpama ini...alhamdulillah.
Sungguh, menikmati kehidupan selama setahun (kini setahun seminggu dan dua hari sudah...) bersama seorang suami yang sangat penyayang, sangat romantis, sangat rajin, sangat baik hati....okey! cukup dulu ek...yang lain-lain saya nak rahsiakan sebab banyak keistimewaan suami yang saya tak nak...okey, TAK NAK kongsi dengan orang lain...haha...membuatkan saya sering berfikir yang saya baru je berkahwin semalam (erkk....semalam ek? ya....tapi itulah yang saya fikir setiap hari sepanjang melalui kehidupan perkahwinan saya...tidak terasa masa berlalu...) dan ia sangat-sangat membahagiakan. Thanks a lot my loving inche' suami....
Allah....sudah 9.15....saya kena log out dulu....hehe....tiada entry sambungan ya...
Saya bersyukur. Saya bahagia. Alhamdulillah. Terima kasih kepada Allah kerana mengurniakan keindahan hidup ini kepada saya dan suami. Ya Allah, hambaMu yang lemah ini memohon semoga saya dan suami sentiasa dilindungi, dimudahkan, dikurniakan hidayah, dirahmati dan diredhai di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.
Semoga dikekalkan kasih sayang kami berdua hingga ke syurga. InsyaAllah.
p/s : kami berdua TIDAK PERNAH dating sebelum kahwin. Kali pertama saya berjumpa suami adalah lebih kurang setengah jam sebelum kami dinikahkan...indah kan?
27 April 2011
Semoga Redha Allah Mengiringi Kami
Segalanya dimudahkan dan dilindungi Allah. Jua diredhai Allah. Alhamdulillah.
Setelah lebih sebulan saya tidak mengemaskini blog saya. Ya...kesibukan yang sangat melampau kerana dalam masa yang agak singkat untuk menguruskan proses-proses untuk menjadi seorang isteri dan diijabkabulkan dengan suami tercinta pada 19 Mac 2011 sekitar pukul 9 pagi di sebuah masjid di selatan tanah air.
Perkenalan yang lama memakan masa berbelas-belas tahun, dan kami dipertemukan semula oleh Allah untuk menjadi suami isteri yang dipenuhi rahmat Allah dan kasih sayang Allah. Maha Besar Allah dan luasnya kasih sayang Allah di dalam mengikat hati kami berdua dengan penuh rasa cinta dan rindu yang teramat...walaupun dalam sela masa panjang yang telah berlalu.
Semoga pernikahan ini dan hubungan suami isteri yang telah terbina ini akan sentiasa dilindungi, dimudahkan dan diredhai Allah di dunia dan akhirat. Semoga Allah sentiasa mengurniakan ketenangan, keikhlasan, kesabaran, nur, hidayah, berkat dan rahmat di dalam pengisian jiwa-jiwa kami bagi membolehkan isi pernikahan ini sentiasa dihayati kerana Allah jua. Semoga Allah sentiasa mengampunkan dosa-dosa kami hamba-hamba Allah yang lemah ini di sepanjang penghidupan kami supaya kami berdua akan beroleh keimanan di akhir hayat kami sebelum bertemu denganNya...semoga kami dijauhkan dari azab kubur dan didekatkan ke arah pintu-pintu syurga...semoga Allah mengkabulkan doa-doa kami...insyaAllah...
05 January 2010
Lawatan ke Taman Tema
Saya rasa hujung tahun 2009 dan awal tahun 2010 kali ini benar-benar pecah rekod saya. Sesuatu yang tidak pernah saya lakukan pada tahun-tahun sebelum ini. Benar-benar menjadikan rumah saya seperti sebuah hotel yang menjadi tempat singgah sahaja. Huhu...
Hujung Tahun 2009.
28 Dis 2009 - saya ke Kuantan. Tiba ofis 7.30 malam.
29 Dis 2009 - saya ke Gua Musang, Kelantan.
30 Dis 2009 - masih di Gua Musang, Kelantan.
31 Dis 2009 - bertolak dari Gua Musang. Tiba Lembah Kelang 6 petang.
Awal Tahun 2010.
1 Jan 2010 - bertolak ke Genting Highlands.
2 Jan 2010 - di Taman Tema Genting.
Tiba rumah pukul 6 petang.
01 January 2010
Tahun Baru 2010
Dari 29 hingga 31 Disember 2009, saya berada di Gua Musang, Kelantan. Membuat pemeriksaan di tapak. Sebuah bandar yang menenangkan, penuh dengan kehijauan dan tidak sibuk.
Usai pemeriksaan tapak pukul 5 petang, kami bersembilan (ramai...tapi hanya 2 orang perempuan termasuk saya...) menuju ke Sungai Galas. Hampir sejam saya dan sahabat-sahabat sepejabat me-release-kan tension (siapa kata tidak ada tekanan....sedikit sebanyak keadaan di tapak dalam satu suasana yang baru dan situasi yang benar-benar berbeza membuatkan saya sangat banyak berfikir sekarang ini - belum lagi ditambah dengan hal-hal di ofis yang sudah ditinggalkan...sungguh saya tidak stabil di minda...) dan saya yang lebih banyak me-release-kan tekanan di dalam diri saya sendiri (rasanya la....walau nampak wajah saya masih dengan senyum dan tidak ada sedikit pun kerutan...kerana saya yang paling baru...kerana bebanan tanggungjawab sepenuhnya ada di bahu saya....kerana saya yang perlu lead mereka semua....).
21 December 2009
Cuti Yang Best!
Sepanjang tahun yang saya sentiasa sibuk bersama tugas-tugas saya - bekerja, mengajar, aktiviti di masjid, usrah, halaqah Al-Quran, kelas-kelas bahasa Arab, kelas tafsir dan mengaji - jadi, bila bulan Disember tahun ini saya dapat meluangkan hampir sepenuh masa bersama keluarga, ianya benar-benar menyeronokkan. Sementelah, keluarga saya menambah seorang ahli baru tahun ini - adik ipar saya yang pertama.
Abang menempah 2 chalet - setiap satu chalet ada 2 bilik - di Holiday Desaru Chalet (kata abang, tempahan dibuat sejak bulan September lagi - memang pun, semua chalet penuh kerana kedudukan chalet-chalet ini benar-benar di tepi laut). Ombak tidak kuat, tetapi saya nampak langit yang sangat gelap. Puas bermain bersama anak-anak saudara dan mengambil gambar, saya terus balik ke chalet dan mandi (saya memang tidak main air laut pun - sudah disetkan di dalam diri yang saya tidak akan mandi di tempat awam...).
Alhamdulillah. Allah memudahkan urusan kami sekeluarga.
05 October 2009
Bual Hari-hari
1.
- Cikgu, sapa tu? (menegur saya yang baru menghabiskan perbualan telefon...)
+ Buah hati cikgu... (dalam hati terfikir, kalaulah orang yang saya call tu tahu...)
2.
- Tulah, awak nak sangat saya pergi dengan awak (merujuk kepada baju yang tak sesuai...)
+ Takpe, dah hensem dah... (sungguh saya tak kisah pun...sebab memang nampak dia ok je dengan jeans dan shirt warna merah serta bertopi walau orang lain pakai baju melayu dan siap bersamping dan bersongkok...dan bersyukur sebab dia temankan saya...mana ntah staff2 saya yang lain...)
3.
+ Bismillah...wah, first time saya naik Vios ni. Sapa yang pernah naik kereta awak ni? Ayah awak dah naik la kan? (kereta baru keluar 16 Sept 2009, plastik di seat belakang pun masih ada...)
- Dah...ada juga orang lain dah naik.
+ Orang perempuan, dah ada yang naik? (sudah hampir 3 tahun saya mengenali dia...sebab tu berani tanya...)
- Ada...tapi yang muhrim saya la... (eh, tiba-tiba keluar muhrim dan bukan muhrim pulak...)
+ Yang bukan muhrim? Awek awak dah naik? (ia-ia je saya tanya kan?)
- Awak je la.....
+ Ye ye....bestnya saya jadi perasmi.... (huhu....ada maksud ke pernyataan dia, tapi saya terus bersandar je dalam kereta tersebut tanpa perasaan...menikmati naik Vios konon-kononnya...)
4.
- Dia ok orangnya....hensem...baik hati... (sungguh best duduk sembang-sembang bawah pokok mangga yang ada buah besar-besar...)
+ Saya macam tu la kak....kalau dia serius, saya tak kisah...saya tau dia baik orangnya...
- Kalau macam tu teruskan je la... (alamak! hati saya terus terbahagi lapan....hehe....)
5.
- Bila awak sms suruh hati-hati, saya makin risau...masa saya nak balik kampung tu...
+ Hati-hati je la bila memandu... (alkisahnya saya pun terlupa isi sms saya kepada dia...huhu!)
6.
- Sikitnya ambil nasi. Tu ada plastik besar lagi. (Qariah masjid atau mungkin kawan abang saya agaknya menegur kuantiti nasi yang saya ambil...abang saya yang menyuruh saya membungkus makanan baki dari jamuan yang dibuatnya tadi sudah balik ke rumah membawa anak-anaknya...)
+ Takpe...soghe... (huhu...tiba-tiba keluar loghat kelantan saya...tapi saya bukan kelantanese ya...)
- Oh...soghe... (hakikatnya saya jarang buat kes tapau sebab saya tau saya bukan makan banyak, tapi kerana cara anak saudara saya bercerita tentang lembu yang baru disembelih semalam di belakang masjid dan apabila menikmati daging lembu segar yang best, memang saya tak lepaskan peluang...saya cuma ambil nasi dan masakan daging lembu itu saja walau kakak ipar saya pun ada offer ayam dan acar...)
Ada satu lagi yang saya nak simpan sebagai memori...
7.
+ (biarlah saya simpan di memori saya saja kerana ia bersifat peribadi untuk dikongsikan...)
*** Sekadar beberapa perbualan yang saya ingat dan mahu dirakamkan di sini, kerana saya telah pecah rekod lagi hari ini. Tapi itulah, saya dapat rasakan yang Allah sudah kukuhkan hati saya ini. Ini hanya bual-bual biasa sahaja dalam kehidupan saya.
23 September 2009
Cuti Raya Saya
Sebab ada 4 budak kecik yang sering mengalih perhatian saya dari bermanja dengan mak dan 4 budak kecik tu hanya balik ke kampung nenek Pahang-nya pada hari ke-3 raya (sudah tentu 4 budak kecik tu balik ke kampung saya satu kereta bersama saya - memang setiap tahun pun begitu...bukannya nak balik bersama abi dan uminya...). Hari ini pula (raya ke-4) saya sudah balik ke rumah saya semula (hoho...yang ni lepas ni saya cerita macamana saya boleh 'ter-balik' awal la pulak dari jadual asal....)
Mahu makan, cari saya (best juga sebab masa hari Jumaat dan Sabtu yang masih berpuasa, saya dapat 'paksa' 2 budak kecik yang tak puasa tu makan sampai habis sebab saya bagitau dia, semua orang puasa dan takde sapa nak habiskan nasi dia...yang saya sedang suapkan waktu tu - manja betul, sanggup tunggu saya bangun dari tertidur dan kemudian duduk atas riba saya dan berkata dengan manjanya - nyanyah...nak aci...huhu!)
Lalu, cuti raya saya kali ini benar-benar penuh. Itu belum kira selepas balik beraya (4 si kecil itu pun sama beraya bersama kami - tapi diorang je la dapat duit raya yang banyak!) yang mereka sangat kepenatan dan kemudian buat hal menangis tengah malam yang kemudian membangunkan saya dan 'memaksa' saya memujuk mereka dan kemudian menidurkan mereka (tak tahan jugak rasa hati tengok anak-anak sedara menangis ni....rasa macam luluh jantung....). Sudahlah tak nak diam kalau orang lain pujuk, yang paling kecil (2 tahun) itupun hanya mahu dengan 'nyanyah'-nya saja...
Sedar tak sedar, saya sudah ada di rumah saya sekarang setelah bertolak balik pagi tadi dari kampung. Adik saya pula ada 'hal bicara hati' yang membuatkan saya dan keluarga perlu membuat perjalanan ke Kuala Kangsar, Perak pada esok hari. Itulah sebabnya kenapa saya balik awal. Esok pagi mahu ke Perak pula. Alang-alang, cuti kecemasan yang sudah saya plan pada hari Jumaat terpaksa dikuburkan dan saya tahu saya akan mula bekerja pada hari Jumaat. Huhu!
Cuti raya saya tahun ini sangatlah laju habisnya. Saya tak puas!
26 August 2009
Rindu Seorang Anak
Tapi, di Ramadhan ini...malam-malamnya saya akan lalui bersama tangisan. Tangisan rindu seorang anak, rasanya. Saya amat rindu, pun saya cuba menjadi lebih sabar dan tabah.
Semoga Allah SWT akan sentiasa membantu saya, insyaAllah. Dalam ingatan dan tangisan saya ini, saya tahu ada hikmah yang tersembunyi. Ingatan ini menjadikan saya tidak alpa bahawa saya jua akan pergi dari sini di satu masa yang masih belum diketahui.
Ya Allah, matikan kami di dalam keadaan beriman kepadaMu dan jauhkan kami dari siksaan kubur dan bakaran api neraka. Amiin.
22 August 2009
1 Ramadhan 1430H

1 Ramadhan 1428H. Malam pertama saya di rumah ini. Kini, sudah 'anniversary' yang ke-2. Alhamdulillah. Masih bertemu Ramadhan. Semoga bertemu lagi Ramadhan di tahun-tahun akan datang. InsyaAllah. Masih ingat kisah malam pertama.....
Saya menghampar tilam di atas lantai kosong bilik tidur utama yang sudah dibersihkan walau ruang lain di dalam rumah masih berdebu dan kotor. Sengaja memilih 1 Ramadhan untuk memulakan kehidupan di rumah ini. Menikmati malam pertama bulan Ramadhan yang indah, berseorangan bersama Dia.
Kini, 1 Ramadhan 1430H. Saya masih di sini. Masih seorang. Masih bersama Dia.
Selamat menyambut Ramadhan yang mulia. Semoga amalan, perlakuan dan ibadat kita dirahmati dan diredhai olehNya. InsyaAllah.
24 July 2009
Kembali
Bermulanya kawasan Tanah Haram.
Jumaat 10 Julai 2009, pukul 2.45 petang waktu Malaysia saya mula meninggalkan bumi Malaysia. Bersama dengan emak saya, kapalterbang yang dinaiki terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Oman kerana terdapat kakitangan kapal terbang yang tidak sihat dan memerlukan rawatan segera. Saat tiba di Jeddah, jam di tangan saya sudah menunjukkan ke angka 9.30 malam waktu Arab Saudi (+5 jam untuk waktu Malaysia ~ 2.30 pagi) - sepatutnya boleh tiba pada pukul 6.30 petang waktu Arab Saudi. Dalam ihram, selepas hampir 3 jam dengan urusan imigresen di Jeddah, terus bertolak ke Makkah dan tiba di Makkah seawal pukul 2.00 pagi waktu Arab Saudi (waktu Malaysia tentu saja sudah pukul 7 pagi). Dalam lemah lesu dan longlai, perlahan saya tarik tangan emak menuju ke Masjidil Haram.
Hamba-hamba Allah seangkatan. Nampak saya?
Belum pun usai saie, azan Subuh sudah berkumandang. Waktu Subuh masuk pada pukul 4.15 pagi. Memang kelaziman suasana di Masjidil Haram, waktu malamnya lebih meriah dari waktu siang. Usai solat Subuh dan tahallul, barulah saya bawa emak balik ke hotel untuk bersarapan dan berehat. Ya, perjalanan yang sangat panjang. 24 jam tanpa rehat. Pun, alhamdulillah. Allah memudahkan urusan-urusan hamba-hambaNya, alhamdulillah.
Kedai buku yang sering saya kunjungi di Makkah.
Pernah minum susu unta?
13 May 2009
Peristiwa 13 Mei
Pertama : Saya 'terpaksa' menggelakkan (gelak belakang dan gelak depan) salah seorang pegawai yang menghubungi saya dan bertanya tentang 'cara ubah procedure' supaya bersesuaian dengan situasi yang dikehendakinya. Nampak benar silap orang kerana saya tidak akan buat 'cara ubah procedure' supaya boleh disesuaikan sesuka hati dengan kehendak mana-mana pihak yang berkepentingan.
Kedua : Saya 'terpaksa' menolak dan membatalkan kerja konkrit yang dilaksanakan dalam hujan lebat. Sangat mudah, batu sudah terkeluar ke permukaan, simen sudah mencair dan air bertakung di merata-rata bahagian struktur yang dikonkrit. Saya saja menjenguk, tidak sangka 'jengukan' saya mengejutkan saya sendiri. Implikasi sekiranya dibiarkan ; kesan buruk pada struktur dan keteguhan bangunan tidak ada. Saya minta dibuang yang memang nyata rosak, mereka berdegil. Jadi, saya berkeras. Mereka bercerita tentang rugi, saya bercerita tentang kualiti.
Sungguh benar hari ini mengundang seribu macam cerita. Saya pun tidak sangka, hari ini 13 Mei. Semoga Allah memudahkan urusan saya, tika ini dan selama-lamanya, insyaAllah.
Maafkan, dan abaikan kerana kita tahu setiap apa yang kita lakukan, walau jadi bualan, biarlah dalam redha Allah dan setiap kesilapan yang kita perlu minta untuk dimaafkan.
10 May 2009
Sahabat Lama Zaman Remaja
Di ruangan Personaliti Guru, saya cukup terkejut melihat paparan di majalah tersebut.
Dahulu, sahabat ini seorang Ketua Murid di sekolah saya yang kesemuanya perempuan. Saya mula rapat dengannya apabila dia mengajak saya ke rumahnya pada cuti hujung minggu. Saya tidak sangka bahawa rupanya titik mula saya mengajar sudah bermula sewaktu saya berada di zaman persekolahan lagi. Sungguh pasti lorong pilihan Allah untuk saya ini memang lorong yang benar-benar tepat. Alhamdulillah.
Saya diajak ke rumahnya untuk mengulangkaji Matematik Tambahan / Additional Mathematics (kali kedua saya bermalam di rumah orang - kali pertama sewaktu saya tidak dapat membeli tiket untuk pulang menyambut Aidil Adha bersama emak saya semasa saya di Tingkatan Tiga - sahabat yang saya menginap di rumahnya untuk cuti Aidil Adha ini sudah meninggal dunia - AlFatihah...).
Baru saya teringat, usai mengajar, emaknya telah memberikan RM 50 kepada saya (sudah tentu waktu itu nilainya amat tinggi kepada saya - bersama 3 pasang stokin baru - kasihan benar agaknya dia melihat stokin saya yang sudah banyak lubang, pastinya...), dan kemudian hubungan saya dan sahabat ini menjadi agak rapat (ya...saya ada rasa rendah diri yang sangat tinggi di zaman kecil, remaja dan semasa di universiti dahulu - sudah tentu kerana kehidupan yang saya lalui semasa kecil hanyalah seadanya sahaja - jauh benar berbeza seperti sekarang... - pun waktu itu, walau tidak mewah, saya amat mensyukurinya...). Alhamdulillah.
Dan, inilah kehidupan sahabat saya ini sekarang. Alhamdulillah. Jika ada kelapangan dan masa, saya teringin bertemu dengannya. Melihat maklumat dirinya, dia sudah ada 2 anak, dan saya, seumur hayat ini, masih 'menyimpan hati' tanpa dapat diambil oleh sesiapa pun. Masih jua, Alhamdulillah. Jika ada izinNya, adalah. Jika tiada pun, Alhamdulillah.
14 April 2009
Hujan dan Katak
Dahulu semasa saya menanam brokoli, saya letakkan di belakang rumah. Kerana kurang cahaya matahari dan air yang optimum agaknya, brokoli saya mati kekeringan. Batangnya pula tinggi dan lembut. Mudah bengkok, akhirnya patah dan jatuh ke bumi. Harap-harap pokok salad saya dapat membesar walaupun bekasnya telah dipenuhi air. InsyaAllah.
Pokok serai saya pula telah bercambah-cambah. Serai dari tangan Allahyarham ayah saya yang asalnya hanya satu batang, kini sudah menjadi rumpun yang ada enam batang serai. Alhamdulillah.
*********
Dari rumah hendak menuju ke tempat saya meletakkan kereta, saya perlu melangkah meredah satu laluan dipenuhi rumput dan air bertakung. Jika hari cerah, saya tidak kisah. Namun, seawal 6.35 pagi, saya tidak nampak apa yang ada di kawasan rumput tersebut. Harap-harap tidak ada katak semasa musim hujan begini.
Saya teringat semasa zaman sekolah menengah di mana saya telah terpijak tiga ekor katak semasa berlari-lari anak di laluan berumput. Katak-katak tersebut telah membantutkan hasrat saya untuk menjadi seorang pakar sakit puan. Malah, sewaktu di zaman matrikulasi bersama pelajar sains hayat di mana mereka akan melakukan pembedahan ke atas katak, katak-katak tersebut terpaksa disimpan di dalam bilik tidur. Apabila salah seekor katak-katak tersebut hilang, saya tidak masuk pun ke bilik tidur. Saya hanya kembali ke bilik apabila katak yang hilang tersebut ditemui.
Huh. Kisah katak sangat banyak dalam hidup saya. Semasa saya tinggal bersama abang dan kakak saya di Banting dahulu, katak akan masuk ke dalam bilik saya apabila malam menjelma. Tiga bulan saya tidur bersama katak yang menjalar di betis saya sewaktu tidur (yang sudah tentunya katak tersebut menerima tendangan saya). Peliknya, katak itu hanya masuk ke bilik saya dan tidak masuk ke bilik tidur lain. Tambah pelik, walau lubang di bawah pintu sudah ditutup, dan kakak saya sudah beberapa kali menghambat katak itu keluar dari rumah, katak itu tetap muncul. Selepas 3 bulan, katak tersebut hilang begitu saja.
28 March 2009
Pemuda & Wanita
*********
Pernah digigit nyamuk? Jika duduk di rumah saya, memang saya tidak pernah berjumpa dengan seekor nyamuk atau seekor lalat pun. Tapi, apabila balik ke kampung, nyamuk seolah-olah 'geram' melihat saya. Maka, saya pun sering melancarkan pemburuan nyamuk sehinggakan tidak ada seekor pun yang boleh menggigit saya. Saya akan hancur-lumatkan nyamuk yang dapat saya tampar kerana sejak kecil saya telah mempunyai perasaan yang nyamuk akan membuat pembedahan plastik dan mengumpulkan anggota badan yang tidak hancur untuk membaikpulih nyamuk-nyamuk yang lain. Entah apalah yang saya fikir semasa kecil-kecil dulu. Itulah, saya sering terfikir, jika manusia ada doktor dan kepakaran perubatan sendiri, nyampuk, semut, lebah, ayam, itik dan semua haiwan pun mempunyai kaedah perubatan yang unik. Jika tidak, bagaimana haiwan-haiwan ini boleh baik setelah melahirkan atau bertelur?
*********
Saya suka bercakap dengan ayam dan semut. Malah, jika saya jumpa kucing dan kambing pun sama. Saya rasa haiwan-haiwan ini boleh memahami kata-kata saya kerana haiwan-haiwan ini boleh mendengar suara dari alam lain. Kalau di alam lain pun boleh didengari, apatah lagi suara manusia yang ada di depan mata kita.
Tapi, apabila duduk di sini, saya hanya dapat pergi bekerja dan melakukan aktiviti yang sepatutnya sahaja. Di rumah saya tidak ada ayam dan kucing. Kambing juga tidak ada, dan sesekali berjumpa semut, saya rasa sangat gembira.
*********
Wajarkah formwork dibuka kurang dari 24 jam untuk struktur sesebuah bangunan? Huh. Saya pun tidak tahu engineer manakah yang akan bersetuju dengan pernyataan ini. Saya sendiri berpendapat, formwork bagi beam atau column perlu dibuka - bukan bahagian bawah beam, tapi bahagian tepi - hanya boleh dibuka sekurang-kurangnya selepas 3 hari. Bahagian bawah pula? Oh...sudah tentu lebih dari 21 hari. Kenapalah benda semudah ini selalunya sukar difahami oleh para pembina bangunan? Buat kerja sesuka hati tapi apabila tiba bab duit...boleh marah pula walaupun kualiti kerja yang dihasilkan tidak sempurna.
30 January 2009
Pesona Udara Utara
Saya tiba di rumah kakak ipar saya seawal 5 petang. Perancangan awal membuatkan perjalanan saya selalunya agak lancar. Alhamdulillah. Walau berkali-kali saya diajak supaya mengambil flight pukul 9.45 malam ini supaya boleh pergi ke Padang Besar, saya akur bahawa kesihatan tidak mengizinkan saya. Sudah tiga hari saya demam, pun saya masih 'nakal' dan menggagahkan diri untuk 'outstation'.
Semalam saya bertolak ke Perlis. Menaiki penerbangan 0745 dengan pesawat MH1202. Tiba sahaja, terus menjamu nasi lemak 4 kupang di Sanglang dan kemudian terus masuk ke bilik mesyuarat untuk meneruskan tugas. Seharian bermesyuarat yang kemudiannya membawa saya dan dua orang rakan sekerja ke Padang Besar pada sebelah petangnya selepas waktu pejabat.
Padang Besar masih tidak berubah. Sama seperti enam tahun lepas.
Sayangnya, saya terlupakan bateri kamera yang sudah lemah dan charger yang tertinggal di pejabat. Jadi, memori itu cuma dikemaskan di dalam ingatan saya sahaja. Loghat Thailand mengisi suasana dengan pelbagai barangan yang dijual yang pastinya akan menarik minat pembeli-pembeli di Malaysia. Seawal 6 petang, kedai-kedai mula ditutup dan kami juga bertolak ke hotel. Masih belum check-in! Ini juga pengalaman pertama hampir seluruh negeri Perlis dapat dijejaki - Ladang Tebu di Chuping, Padang Besar, Arau, Kangar dan Kuala Perlis.
Usai check-in di Hotel Putra Brasmana di Kuala Perlis pada pukul 8 malam (sebetulnya ini kali pertama saya bermalam di negeri Perlis - sebelum ini hanya menjadi tempat singgah sebelum ke Langkawi sahaja), kami keluar semula untuk makan malam.
Angin laut itu hanya jadi santapan sesekali saja. Saya tidur malam tanpa air-cond (sebetulnya air-cond rosak di dalam bilik saya - dan amat saya syukuri - saya ini, kalau air-cond terpasang pun, tentu saja suhunya 30 darjah Celcius - saya pun tidak tahu bagaimana saya boleh bertahan di Kota London selama 16 hari dengan suhu 12 darjah Celcius sebelum ini -tambahan pula demam saya masih belum kebah) - dan saya cuma dapat tidur seawal 1.30 pagi di hotel tersebut.
Awal pagi tadi saya bangun dan menghirup udara Selat Melaka yang mendamaikan. Terus berpakaian dan bersarapan. Menyambung mesyuarat pada 8.30 pagi dan hanya tamat pada 12.30 tengahari. Usai mesyuarat, terus saya bertolak ke Lapangan Terbang Alor Star - lapangan terbang sepi - dan hanya duduk-duduk menanti untuk check-in sambil menghubungi dan berbual-bual dengan ibu saya di kampung.
Perjalanan saya kali ini hanya dengan sebuah beg sandang kecil dan sehelai kot hitam sahaja. Saya tidak akan menambah beban beg sandang saya dengan membeli pelbagai barangan di Padang Besar.
Pun, indahnya menghirup udara utara. Saya selalu gemarkan udara utara yang menyelimuti sawah-sawah padi yang menghijau, keramahan penduduk utara dan keindahan alam sekitarnya yang mendamaikan.
Bila lagi saya akan dapat merasakannya...
31 October 2008
Kenangan 'Kopi' di Selat Inggeris
Angin bertiup kuat diselangi hujan yang turun semakin lebat. Saiz feri yang agak besar menjadikan suasana berada di dalam keadaan tenang walaupun terasa gegaran lembut olengan feri. Kami bertiga mula menuju ke bahagian dalam feri. Aroma kopi mula mengisi ruang. Kelihatan beberapa keluarga berbangsa Inggeris memerhati pergerakan kami. Saya tahu, di dalam ruang yang luas itu, kepala saya yang dilitupi tudung mudah benar menarik perhatian.
Perlahan, saya menarik beg sandang di bahu. PDA segera saya keluarkan semula. Saya tidak menghiraukan pandangan yang diterima. Kakak, dan sahabat Mesir itu sudah mula menuju ke kaunter menjual minuman dan makanan ringan. Tanpa saya sedar, secawan kopi disogokkan di hadapan saya. Sahabat dari Mesir itu sudah tersenyum, sambil duduk.

"Your drink....".
Saya terkesima. Kopi, sukar benar menjadi pilihan saya. Bukan tidak boleh diminum, tetapi kuantitinya sangat banyak. Saya lebih suka milo, atau teh. Malah, minuman bergas juga tidak saya minati. Paling-paling, saya akan minum 100 plus, sprite atau 7up sahaja. Tetapi, yang sering saya lakukan, minum air kosong sahaja.
"Actually I don't drink coffee. I like to drink sprite or 100 plus."
Sahabat dari Mesir itu segera bangun dan menuju ke kaunter semula. Saya cuba menegah, tetapi tidak berjaya. Sejurus, dia kembali semula ke meja bersama sebotol Sprite. Saya terkesima. Saya terdiam, membelek PDA saya dan kemudian saya segera menghirup perlahan kopi panas yang sangat banyak itu. Lebih kurang setengah jam, saya berjaya menghabiskan kopi tersebut walaupun saya tidak menggemarinya.
Sewaktu hendak keluar dari feri apabila sudah hampir tiba di Dover, botol Sprite tersebut segera saya capai. Saya tahu, di masa lain saya perlu lebih berhati-hati. Botol Sprite tersebut banyak mengingatkan saya.
Sewaktu mengemas barang-barang untuk dibawa pulang ke Malaysia, botol Sprite tersebut saya selitkan di celahan beberapa buah buku saya.
02 August 2008
Konvokesyen
Saya berhenti di lampu isyarat di hadapan pintu pagar Universiti Kebangsaan Malaysia, pagi tadi. Nampak beberapa mahasiswa yang berjubah mengambil gambar berlatarkan pintu masuk yang terpampang nama universiti. Tanpa sedar, saya tersenyum sambil memegang stereng. Kenangan lapan tahun lepas di universiti yang sama mula mengusik minda. Sayangnya, saya hanya simpan sekeping gambar dengan jubah berwarna kecoklatan itu. Itupun hanya gambar bersama abang saya di hadapan pagar rumah sewa, di hari saya naik ke pentas menerima ijazah. Saya tidak ada gambar berlatarkan pemandangan universiti bersama jubah saya. Paling pasti, di zaman itu, saya tidak suka gambar saya diambil. Hmm, kenangan di zaman belajar. Indahnya untuk diungkap.




