Showing posts with label bicara-hati. Show all posts
Showing posts with label bicara-hati. Show all posts

30 September 2017

Kembara Pun Bermula

Walau hati terasa berdebar-debar kerana serasa sudah lama benar tidak meninggalkan Malaysia dan menjejakkan kaki ke luar negara, pun memikirkan semuanya sudah disiapkan, malah sudah dibayar, lalu apa lagi yang perlu ditunggu? Maka perjalanan kembara pun bermula pada 12 Julai 2017.

Mudah benar di zaman ini apabila tidak perlu menunggu teksi untuk ke mana-mana, atau perlu meminta sesiapa menghantar ke lapangan terbang. Jika dulu, abang saya akan menjadi mangsa yang paling kerap untuk saya pergi ke lapangan terbang. Kini, dengan hanya mengaplikasikan uber atau grab car, ia sudah tersedia di hadapan kita dalam tempoh kurang dari 10 minit untuk kita bertolak ke mana-mana lokasi. Sejujurnya, saya sangat sukakan perkhidmatan ini selagi ia masih dilaksanakan dan bayarannya juga tidaklah mahal.

Tiba saja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, saya dan suami terus menuju ke Balai Berlepas Antarabangsa. Urusan sangat mudah, kerana untuk kali ini, saya dan suami menggunakan Business Class. Dari urusan check-in sehinggalah ke urusan imigresen, ia dapat dilaksanakan dalam tempoh yang sangat singkat kerana penumpang Business Class mempunyai laluan khas untuk hal-hal tersebut. Usai segala urusan pelepasan, saya dan suami menuju ke Malaysia Airlines International Lounge pula di Satellite Building. Maka, melepaklah saya dan suami menunggu waktu penerbangan sambil makan dan minum dengan selesa. Dalam tempoh sama, kami berdua juga menunaikan solat Asar sebelum berlepas dan surau juga turut disediakan di dalam lounge tersebut.

Alhamdulillah. Semoga Allah memudahkan dan melindungi urusan kembara ini.

17 November 2016

Sabar...Jangan Tertekan...

Of coz, mudah disebut, sukar dipraktikkan.

"Sabar itu separuh dari iman"

dan

"Malu itu juga separuh dari iman"

Pernah terfikir tentang hal ini...

sabar + malu 
= 1/2 iman + 1/2 iman
= 1 iman (full iman)

Tapi, bukan mudah untuk sabar, dan bukan mudah juga untuk malu.

Malu banyak kategori. Sabar pun banyak kategori.

Mungkin kita malu dengan manusia, tapi adakah kita sudah cukup malu kepada Allah? Kalau sudah cukup malu kepada Allah, sohih....solat awal waktu, istiqamah dalam membaca AlQuran, menjaga aurat, menjaga pergaulan...buat apa yang Allah mau, tinggalkan apa yang Allah larang.

Hanya sedikit mampu saya coretkan sebagai contoh, tapi....sudah cukupkah rasa malu kita kepada Allah?

Itu belum lagi bab kawal marah, sabar dan malu bergaul menjadi padu untuk kawal kemarahan, tetapi...ada tak masa-masa yang kemarahan kita meletup juga...lalu, di mana tahap iman kita? Marah kita juga selalunya bukan kerana Allah, tapi...kerana traffic jem atas jalanraya, kerana tak jumpa parking, kerana lapar....etc etc etc. Yang pastinya, bukanlah marah itu dibuat kerana Allah. Tapi, kita marah kerana kurang boleh mengawal emosi.

Allah. Imanku masih sangat cetek.

Ampunkan hambaMu ini Ya Allah.

08 September 2013

24 Jam Sehari (Bekerja)

Tanpa sedar, penggunaan masa yang jarang kita ambil kisah, yang jarang kita ambil endah. Hari ini, saya mahu muhasabah diri saya. Membelek diri saya dari segi 'penggunaan masa'.

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian..." : Al Asr

Penggunaan masa saya di hari bekerja :

Solat + Wudhu' : 20x5 = 1 jam 40 minit (ini je masa untuk Allah??!)

Mandi : 15x2 = 30 minit (pagi dan petang)

Makan : 30x2 = 1jam (pagi dan petang...memang makan 2x sehari saja)

Penyediaan makanan + masak : 1 jam 30 minit (untuk 2x makan)

Perjalanan pergi balik ke tempat kerja : 45x2 = 1 jam 30 minit

Tempoh berada di tempat kerja : 9 jam

Tempoh tidur : 6 jam

Melayari internet, wasap, fbook dll : 2 jam

Jumlah keseluruhan : 1j40min + 30min + 1j + 1j30min + 1j30min + 9j + 6j + 2j = 23 jam 10 minit

***Wah...mana berbaki 50 minit saya ni? Confirm saya 'berselesa-selesaan' selama 2 jam 50 minit untuk internet???!!! Waktu melayari internet, membaca blog, membuka facebook, berchatting di wassap...memang sungguh kita alpa pada masa kan? Wah...lamanya, 2 jam dan 50 minit untuk internet, hanya 1 jam 40 minit sahaja untuk Allah??? Walhal...solat Zuhur dan Asar (jika masuk waktu Asar awal) sudah tertunai di pejabat, sudah termasuk dalam 9 jam waktu bekerja (ada 1 jam untuk waktu rehat), jadi...hanya 20x3 = 60 minit saja waktu untuk solat....hilang lagi 40 minit, mesti sudah digunapakai oleh masa berinternet dan berselesaan juga...banyaknya 'leisure time' saya....malah, dalam 8 jam bekerja itu...ada juga termasuk 'masa-masa membelek handphone' di tangan...oh, memang perlu muhasabah diri!! wajib!!

***Ini belum kira penggunaan masa di hari cuti yang sangat lapang. Sungguh. Muhasabah diri. Banyaknya saya leka. Lalai. Alpa.

***Semoga saya dapat mempertingkatkan diri ke arah yang lebih diredhai Allah. Allah...berilah kekuatan kepada hati hamba-Mu yang lemah ini. Allah...hanya keampunan dan redha-Mu yang kuharapkan. InsyaAllah.

25 August 2013

Idul Fitri Tahun Ini

Idul Fitri semakin berlalu. Kemeriahannya sudah semakin pudar, apatah lagi 'kemeriahan Ramadhan' yang sudah semakin dilupakan.

Setiap di penghujung Ramadhan, hati pasti berdetik : akan adakah Ramadhan di tahun hadapan untukku? Izinkan aku kembali kepada fitrah, menjadi hambaMu, Ya Allah. (itu tekad - itu azam - itu hasrat - itu cita cita - itu 'doa')

Usai saja Ramadhan, di Syawal ini pun...hati seperti sudah terlupa : hasrat kembali kepada fitrah.

Oh. Ini bukan untuk membincangkan 'isu semasa' ya. Bukan isu global. Bukan isu anda di luar-luar-luar sana.

Ini kisah hal diri saya sendiri. Ia 'isu' di dalam hati saya sendiri. Kegusaran saya. Kerisauan saya. Kelemahan saya. Cerlum-cerlam ibadat sudah menjadi 'amalan' semula. Apalah yang mahu dinanti lagi untuk berubah? Jika saya tiada di dunia ini esok hari, masihkah ada ruang untuk mendapat keampunan Allah agaknya? Allah. Kupohon rahmat kasih sayang Mu.

Hati, selalu berdetik.

Oh IdulFitri, mengapakah kehadiranmu sama saja di hatiku sama seperti tahun-tahun-tahun sebelumnya?

Allah. Redhai aku yang lemah ini - yang sangaaaaaaat lemah ini. Allah. Ampuni hambaMu ini. Allah. Aku inginkan manisnya amal, manisnya iman, manisnya ikhlas dan manisnya mengingatiMu dalam setiap saat. Allah. Aku rindu. Rindu saat-saat aku masih belum dilahirkan ke dunia ini. Ampuni aku, Ya Allah.

02 August 2013

Ramadhan Masih Berbaki

Julai yang berlalu saya tinggalkan tanpa sebarang entri. Minda beku. Jiwa kaku. Saya duduk diam-diam di dalam dunia saya sendiri. Menjadi seorang perenung, mencari diri, menghadapi Ramadhan yang bakal tiba.

Di pertengahan Ramadan, saya masih begini, membolak-balik diri. Oh dunia! Oh akhirat! Kedua-duanya bercelaru di dalam minda saya. Sungguh! Dalam hati ada akhirat, tetapi mengapa perlakuan tidak selari dengan hati yang berbisik. Saban hari mencari diri, mencari jiwa yang teguh dan kukuh, teringin sentiasa beribadat hanya kepadaNya di setiap 'saat' kehidupan ini.

Sungguh! Sungguh saya masih mencari...di Ramadhan yang masih berbaki. Kehidupan ini, hanyalah satu permainan, sayalah 'boneka' itu...tetapi intinya....iman yang suci (insyaAllah). Allah, hanya padaMu kupohon kehidupan yang sentiasa diredhai, untuk duniaku, untuk akhiratku. Hanya padaMu, ku meminta dan ku berserah diri.

Saya kaku. Tapi, saya tidak beku. Ramadhan ini, masih berbaki. Hati ini sentiasa pasti. Allah akan membantu. InsyaAllah.

02 June 2013

Disiplin Diri

Selalu begini.

Tidak ada disiplin.

- satu bulan, hanya satu atau dua entri di blog ini. ok lagi...

- satu minggu, makan nasi 4x, makan telur 2x, makan daging 2x...oh dietku ke mana agaknya...ok lagi...

- satu hari...adoiii...ini paling tak larat...berapa banyak solat yang awal waktu dalam sehari? berapa banyak muka surat Al-Quran baca dalam sehari? berapa banyak solat sunat buat dalam sehari. ini memang tak ok. sangat tak ok. sangat...sangat...sangat tak ok....

#muhasabah diri yang makin jauh dari Allah.

09 May 2013

Hati Yang Pilu

Secara tiba-tiba, terusik minda saya.
Saya tahu Rejab sudah tiba. Usai Rejab, Syaaban pula akan menyapa. Selepas Syaaban, sudah tentu Ramadhan pula akan menjelma. Oh, sudah hampir tiba ke bulan puasa. Hanya puasa?
Bukan mengganti puasa. Itu sudah usai. Pada Syawal di Hijrah yang sebelum ini.
Saya yang sering terlupa.
Tidak dihitung masa yang berlalu dengan sangat pantas.
Tidak mengira waktu. Tidak mengira saat.
Tahu-tahu, Subuh sudah hilang, Maghrib pula sudah menjelang.
Hari-hari semakin kelam.
Kelam dengan iman.
Kelam dengan ihsan.
Kelam dengan islam.
Syukurnya, saya tidak jahil.
Malangnya, saya kurang istiqamah. Kurang amal. Kurang ibadat. Kurang mengingat.
Kurang mengingati Allah.
Hati saya lemah. Jiwa saya bernanah. Rohani saya alpa.
Sungguh saya tidak mahu begini.
Tapi, yang selalu kalah itu tetaplah saya.
Pelik pula, nafsu selalu menang, syahwat selalu berpeluang, hasutan syaitan pula makin tinggi menjulang.
Namun, saya masih merudum, menangis teresak, memandang dunia tinggi-tinggi.
Terlupa akhirat yang menanti. Terlupa pertemuan dengan Allah yang Maha Mengasihani.
Peliknya, saya sedar. Hakikatnya, saya leka. Malas. Alpa. Lupa.
Ambil lewa.

Allah. Allah. Allah.
Ampuni saya yang lemah ini.
HambaMu ini sangat malas, ya Allah.

Rejab sudah tiba. Saya masih leka.

Ini bukan sajak. Ini bukan sendaloka. Ini bukan puisi.
Ia rintihan hati. Ingatan untuk diri. Semoga ada redha Allah.

29 April 2013

Panggilan Telefon di Korea

Mesti ramai yang suka menonton drama/cerita Korea kan? Sejak dari Winter Sonata...hinggalah kini. Pun begitu, saya tidak terlalu 'ketagih' dalam menonton cerita/drama Korea, kecuali jika ia berkisar tentang 'memasak'....seperti Pasta, My Lovely Sam Soon yang berkaitan dengan mem-baking, cerita tentang Kim Tak Gu dan rotinya, cerita tentang Lee Sung Chan bersama masakan koreanya yang unik, dan beberapa cerita lagi berkaitan masakan yang ada dalam koleksi saya.

Pun, ada juga cerita/drama Korea yang saya suka, tidak berkaitan dengan masakan, (walau tidak ada dalam koleksi) tetapi berpeluang menonton di televisyen (saluran 8) untuk kesemua episod yang telah dialih bahasa ke bahasa Mandarin, iaitu cerita Queen & I yang berkisar tentang cinta antara seorang pegawai bangsawan, Gim Bung Do yang bercinta dengan seorang pelakon wanita yang muda lebih kurang 300 tahun berbanding usianya. Sebuah cerita 'tidak masuk akal' yang sangat menarik dan mengujakan.

Pun, pernahkah anda semua sedar tentang panggilan telefon yang ada di dalam drama/cerita Korea yang anda pernah tonton? Ia sering menjengkelkan saya kerana kita tidak pernah berpeluang menikmati 'servis' sebegitu di Malaysia. Perasan tak, di dalam cerita/drama Korea, apabila seseorang cuba menghubungi seorang yang lain, dan panggilan telefon tersebut masuk ke 'voicemail'...ia seakan-akan begini....

"nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi, anda boleh meninggalkan pesanan untuk nombor ini, panggilan anda akan mula dikenakan bayaran selepas bunyi ini..."

Then...biasanya takkan sempat pun 'bunyi tuuut' tu keluar...si pemanggil boleh menamatkan call tersebut tanpa dikenakan sebarang bayaran. Ia sangat berbeza di Malaysia. Jika di Malaysia, si pemanggil akan terus dikenakan bayaran jika si penerima panggilan tidak dapat dihubungi/ off telefon/ di luar kawasan. Setiap satu panggilan ringkas pula, paling rendah pun bayarannya adalah 8 sen. Bayangkanlah jika setiap hari (okey...untuk 1 hari je dulu...belum kira untuk minggu dan bulan dan tahun lagi pun...) di seluruh Malaysia kes seumpama ini berlaku melibatkan lebih kurang 5 juta penduduk Malaysia (ini cuma anggaran untuk sehari), berapakah keuntungan syarikat telekomunikasi negara ini 'setiap hari' hanya untuk panggilan yang 'tidak bercakap' ini?

Ohhh....bilakah servis seperti di Korea ini akan kita nikmati? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Semoga ada redha Allah kepada rezeki yang kita peroleh dan kita makan setiap hari. Semoga ada redha Allah untuk semua perlakuan kita. InsyaAllah.

12 April 2013

Secebis Kisah Hamba Allah

Hari ini, saya berada di dalam lif bersama dua orang wanita, penjawat awam, dan saya kira pastinya antara ibu-ibu yang perlu bekerja untuk menambah pendapatan keluarga.

++ "Dia bagitau...nak kena beli baju sukan lagi. Yang lengan panjang 18 ringgit, lengan pendek 12 ringgit...ada dua orang pulak tu..."

--"Bagitau kat cikgu dia...mana le ada duit dah...asyik beli baju sukan je..."

++"Tulah...awal tahun hari tu baru je beli...dah bagitau cikgu dia, cikgu dia cakap...eh, bukan ke penjawat awam akan dapat kenaikan nanti...tentu takde masalah nak membayar..."

Hanya itu yang saya dapat dengar, sebelum mereka berdua keluar terlebih dulu di paras yang berlainan dari pejabat saya. Tapi, perbualan itu mengusik minda saya sehingga kini.

Ya, terkadang 'kenaikan gaji penjawat awam' terlalu diambilkira dalam menaikkan harga barang - segala barang, tidak hanya tertakluk kepada barang di dalam kisah di atas. Walhal, bagi majoriti penjawat awam yang kebanyakannya bukan di kalangan kumpulan pengurusan dan profesional, maka kenaikan gaji itu hanyalah sekelumit kecil yang tidak memberi apa-apa impak kepada kekukuhan kewangan keluarga.

Ya, bersyukur, itu memang sudah kewajipan dan tanggungjawab kepada Allah. Tetapi, jika 'kenaikan gaji' yang sedikit dijadikan punca kepada 'kenaikan harga barang yang banyak', di manakah rasionalnya tindakan tersebut. Kasihan kepada sesiapa yang berpendapatan rendah. Mereka pun mahu makan nasi juga. Mereka juga manusia. Mereka juga punya perasaan.

Hanya Allah yang Maha Memahami, dan hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Kita, hamba yang lemah, sifar, tidak memiliki apa-apa. Hanya Allah yang Maha Kuasa.

Semoga ada redha Allah, insyaAllah.

28 March 2013

Eh! Hujan laaa....

Dari tingkap bilik di pejabat, saya memandang keluar. Nampak titis-titis hujan semakin lebat. Jam baru menunjukkan pukul 2.50ptg. Oh...hari ini memang sangat sejuk di pejabat. Sangat sejuk, hinggakan bilik saya yang dikategorikan sebagai 'bilik tiada air-cond' kerana pada waktu biasa ia tidak terlalu sejuk seperti di ruang lain di pejabat ini (yang mana ia sangat membantu kerana keadaan badan dan saraf saya sekarang ini agak alah dengan cuaca sejuk...jika terlalu sejuk, ia memberikan saya suatu 'rasa' untuk lebih mengingati Allah...suatu rasa nyeri yang amat menyakitkan....pun...alhamdulillah...) juga merasa sangat-sangat-sangat-sangat sejuk.

Saya berselimut dengan shawl sepanjang hari, memakai kot dan juga berstokin...namun ia masih tidak membantu (wah...tiba-tiba teringat London...suhu baru 12 darjah celcius pun saya sudah memakai baju sehingga lima lapis dan stokin dua lapis...).

Malah hujan di luar semakin lebat.

Ya, bilik pejabat saya ini boleh melihat sebahagian kecil keluasan salah satu wilayah persekutuan di Malaysia ini. Lalu, jika ada bunyi siren menandakan 'menteri lalu', saya boleh mendengar dan melihatnya dari tingkap bilik saya. Setiap hari, jika mata saya serasa letih, di hadapan tingkap bilik saya ini jua terhidang kehijauan hutan seolah-olah seluas saujana memandang (eh...kenapa seolah-olah? haha....dari bilik saya 'macam' nampak hutan....tapi saya tau ia cuma sebahagian kecil sahaja di mana selebihnya adalah bangunan-bangunan besar agam di belakang pokok-pokok tersebut...). Ia seperti satu 'halusinasi'. Apakah. Haha.

Pun, walau hujan, walau panas, ia adalah rahmat. Anugerah Allah. Rezeki dari Allah. Jika tidak hujan langsung, risau juga. Jika tidak panas langsung, risau juga. Mahu merasakan salji, sanggup pula kita meredah beribu kilometer mencari salji. Kita ini tidak bersyukurkah? (eh...ini marahkan diri sendiri dulu ya...)

Jadi, apapun, apapun, hadapilah dengan senyum. Walau badan rasa nyeri sakit-menahan-denyut-sakit-badan...sabarlah ya, kerana apa yang diberi Allah itu, sangat banyak hikmahnya, sangat banyak fadhilatnya. Hadapilah dengan tabah, menghadapi ujian sebagai seorang Islam yang sentiasa bergantung kepada Allah setiap saat.

Hujan. Masih belum berhenti. Pun. Hati sudah menjadi tenang. Terima kasih Allah. Semoga ada redha Allah. Alhamdulillah.

29 January 2013

If You're Slow.....or You're Verrrryyyyy Slowwww...

Lama juga tidak memandu, malah sekarang memang saya sudah jarang benar memandu. Jika ke pejabat, biasanya suami yang akan menghantar dan menjemput saya. Jika keluar membeli belah atau membuat perjalanan jauh, sudah tentu saya memang tidak akan dapat peluang memandu. Lantas, toyota kesayangan saya sudah jarang benar digunakan.

Pun, bila suami menghantar dan menjemput, masa bersama lebih banyak dihabiskan di dalam perjalanan. Tidak cukup masa pula untuk makan bersama suami. Sementelah masa rehat suami pula bukannya banyak. Hanya satu jam (suami saya bekerja di luar waktu 8am-5pm...jadi masa rehat satu jam sudah diperuntukkan untuk menjemput saya balik dari pejabat...)

Lalu, saya mula memandu bersendirian hari ini (hari ini je pun..esok dah tentu suami akan hantar dan ambil semula...sebab esok suami cuti...) dan membawa toyota kesayangan saya berjalan-jalan setelah lama duduk 'melepak' saja (patut dah tiba masa untuk dihantar servis pun, tapi sebab jumlah perbatuan-mileage-masih belum cukup...sebab kurang 'bergerak' encik toy ini sekarang...tu yang saya mula nak bawa encik toy ini kerap berjalan-jalan...nanti baru boleh pi servis...). Sungguh berbeza. Bila suami memandu, tidak terasa bahangnya. Eh...bahang apa ya?

Ermm...kenderaan sangat perlahan tetapi perasan adalah laju....hoho...

Adoi!! Taknak cakap banyak-banyak. Tapi jika anda rasa anda adalah pemandu yang memandu dengan kadar sangat perlahan, sila jangan duduk di laluan tengah (jalan di lembah kelang ini banyak 3-lane bukan?) atau di laluan paling kanan. Ia amat mendera saya...bahangnya sungguh terasa pada kaki saya (okey....jika terlalu slow, lamalah masa saya perlu menekan pedal minyak, dan lamalah masa saya berada di atas jalan raya, dan lamalah masa saya menggunakan kaki kanan saya, maka lamalah juga saya merasakan sakit di seluruh badan saya di sebabkan kaki saya yang sangat sakit!) sedangkan anda memandu dengan kadar yang sangat perlahan tetapi mahu duduk di laluan tengah atau laluan paling kanan. Bukan saja mendera saya sebenarnya, tetapi juga mendera pemandu-pemandu lain yang boleh memandu dalam kelajuan normal. Oghe hok nok pi kije pagi2...tak dok bawok slow2 doh...

Bagaimana mahu tahu samada anda ni jenis 'pemandu perlahan' atau tidak?

Jika anda dengar di iKiM.fm satu ketika dulu, ada iklan yang menyatakan lebih kurang begini : jika anda berada di laluan tengah atau laluan paling kanan, sila lihat cermin pandang sisi kiri dan kanan dan juga cermin pandang belakang (cermin ni ada di depan mata anda dalam kereta anda) dan lihat jika sungguhhhhhhh banyakkkkk kereta di belakang anda, sedangkan di bahagian hadapan anda pula, jalan adalah kosong, tidak berkenderaan, atau jika ada kenderaan pun dalam jarak 50meter atau 100meter di hadapan...maka anda adalah termasuk dalam kategori 'pemandu perlahan'. Jadi, apa yang anda perlu buat adalah....sila beri signal untuk 'pindah' ke laluan paling kiri. Then, pindahlah ke laluan kiri....hehe...

Sila toloooooonggg jangan menjadi penghalang kepada laluan orang lain. Semangat 1 Malaysia.

Semoga ada redha Allah, insyaAllah. Ia bukan hanya untuk anda semua, tapi ingatan (entry di atas) ini juga untuk saya. Kita tidak sempurna. Kita tidak selalunya betul. Tapi kita digalakkan untuk nasihat menasihati untuk perkara-perkara yang boleh membawa ke arah kebaikan dunia dan akhirat. InsyaAllah.

01 December 2012

Sakit Itu Nikmat Allah...

Mengharap 'ujian yang mudah' dari Allah berupa kekayaan, kemewahan, kemudahan, kebahagiaan dan keselesaan hidup merupakan impian semua orang. Itulah 'ujian mudah' berupa 'nikmat' yang jarang kita ingat sebagai 'ujian dari Allah'. Lalu kita jadi lupakan Allah, kita jadi kurang bersyukur kepada Allah, kerana menyangka 'nikmat-nikmat' itu hadir hanya kerana usaha titik peluh kita. Bukan dari Allah.

'Nikmat kesukaran hadiah dari Allah' pula kita sangkakan sebagai ujian atau bala dalam hidup. Kita harapkan 'nikmat' itu pergi secepat-cepatnya, walhal dalam tempoh 'nikmat berupa ujian' itu hadir, ia...

1. Menambah rasa keimanan kepada Allah.
2. Menginsafi diri sebagai hamba Allah yang lemah.
3. Dapat merasakan kesusahan dan kesakitan orang lain.
4. Mempositifkan diri kita.
5. Sering mengingatkan kita kepada Allah dalam setiap saat dan ketika (lebih ingat dari masa-masa sihat).

dan bermacam-macam lagi rasa sebagai 'orang sakit'.

Sungguhlah. Saya pernah menjadi pengguna tegar kerusi roda, sudah pernah menjadi pengguna setia tongkat yang tidak pernah dilupakan (dah nampak macam orang sangat berusia pun), pernah rasa denyutan-denyutan maksimum yang sering membawa kepada tidak tidur malam, hilang selera makan, sukar mahu bergerak, ada had untuk bergerak bebas, memandu, berjalan, membuat sebarang kerja dan sebagainya.

Alhamdulillah. Ia sudah berkurangan. Walau kini 'perlu PAKSA diri' pakai 'soft-collar' dengan lebih kerap pula. Terima kasih Allah. Ia hadir sebagai 'satu nikmat yang sangat indah'.

Alhamdulillah.

22 November 2012

Makan Nasi Arab

Sungguhlah hari ini saya kelaparan. Rasa sangat lapar. Walhal awal pagi lagi sudah makan 'fish nugget' bersama kentang bakar yang diadun bersama garam, oregano, lada hitam dan lada putih. Kemudian, pada pukul 10.30 pagi, semasa berada di pertengahan kursus, saya sudah makan nasi lemak pula.

Peliknya, selalunya saya tidak rasa lapar seperti ini.

Mulanya, saya cuba tahankan. Namun, menjelang 3.45 petang, perut saya sudah tidak dapat ditahan tahap kelaparannya. Antara sunnah Rasulullah SAW, makanlah semasa kamu merasa lapar. Lalu, apabila suami menjemput saya pada 4.30 petang, saya terus mengajak suami mencari kedai makan (saya pergi juga makan di kedai-kedai di luar, walau tidak kerap). Walhal, suami sudah mengeluarkan satu bekas berisi udang saiz XL dari peti sejuk di rumah...konon-kononnya mahu makan bihun tomyam - tomyam udang - petang ini.

Sambil berfikir-fikir, akhirnya kami berdua mengambil keputusan makan nasi arab. Sudah terbayang-bayang rasa nasi arab (sebelum ini, beberapa bulan lepas, ada sebuah kedai makanan arab Al-Abraj yang sedap di bandar baru bangi tapi kini sudah ditutup - kami pergi beberapa kali juga ke sini) yang sedap yang sudah lama tidak dinikmati, tapi biasanya memang di sekitar bangi sajalah yang akan kami cari. Mudah. Tak banyak masalah parking. Jimat masa juga.

Lalu, saya dan suami mencuba sebuah kedai makanan arab yang tidak pernah kami pergi. Lokasinya sangat dekat. Pintunya bertutup dari luar - ada penghawa dingin. Masuk sahaja, saya tidak terasa aura yang boleh merangsang minda saya. Namun saya abaikan. Alangkah bagusnya jika saya mengikut instinct saya. Instinct yang baik itu pasti benarlah dari Allah.

Duduk saja di meja, saya sudah dapat merasa permukaan meja yang agak kesat dan sedikit berhabuk. Saya menyapu sedikit permukaan meja, suami pula memanggil waiter. Dari pertuturan waiter, pasti benar saya yang dia bukan orang Malaysia. Mungkin dari Indonesia. Hati sudah terdetik, tapi apabila melihat menu yang dipaparkan, saya abaikan lagi.

Menunya tidak banyak. Sedikit, jika dibanding dengan kebanyakan restoran-restoran Arab yang saya pernah pergi. Hanya sekeping kertas, di bahagian hadapan diletakkan senarai makanan, dan di ruang belakang diletakkan senarai minuman.

Saya memesan 'royal arabic' yang dipaparkan berharga RM14 di dalam menu, manakala suami memesan 'chicken kabsah' yang berharga RM13 di dalam menu tersebut serta satu jus lobak susu berharga RM3.50 (selalunya kami memang berkongsi air, sebab biasanya selepas makan, air yang saya minum tidak banyak sangat).


Jus lobak susu dihantar dahulu, saya terus membaca ayat ke-81 di dalam Surah Yunus (sila amalkan jika anda kerap makan di luar, atau makan makanan yang bukan anda yang memasaknya, sila baca sebelum makan) rasanya sedikit masam. Saya mencicip lagi - oh, bukan lobaknya yang lama dan mungkin buruk, tetapi lebih kepada susunya. Susunya agak masam. Suami melihat wajah saya, dan saya hanya meminta suami merasa sedikit. Wajah suami juga agak berubah.

Apabila 'royal arabic' dan 'chicken kabsah' tiba pula, saya terus merasa daging kambing yang terdapat dalam menu saya. Kering. Tidak berasa. Seperti bukan kambing (di rumah saya tidak pernah miss stok daging kambing samada untuk dibakar atau untuk dimasak beriyani atau nasi kabsah - jadi, ini tidak seperti rasa kambing). Nasinya juga kering. Ayam di dalam menu suami pula bukan seperti nasi kabsah yang saya selalu masak (eh...ya....nasi kabsah itu kerap juga saya memasaknya semasa saya agak sihat, tapi rasa ayam di dalam kabsah di kedai itu tidak ubah seperti rasa ayam kukus yang dituang sedikit santan bersama sedikit garam...walhal memasak kabsah tidak menggunakan santan langsung...)

Dalam diam, saya dan suami cuba menghabiskan makanan kami. Sungguh tidak enjoy, tapi kami hanya senyap sahaja, walau di dalam hati saya berdetik - this is our first and the last to eat at this place.

Usai makan, kami dimaklumkan jumlah semua makanan kami berharga RM34.50. Menu yang tadi menunjukkan 'royal arabic' berharga RM14 tidak ditunjukkan, sebaliknya satu menu lain yang menunjukkan 'royal arabic' berharga RM16 dipaparkan dihadapan kami, dan dimaklumkan pula set royal arabic berharga RM16 itu untuk ayam, manakala kerana saya meminta untuk set kambing, lalu harganya dikatakan berharga RM18.

Suami sudah mula mahu bersuara, tapi saya hanya menegah - bayar je la, kata saya (di dalam hati saya terdetik, suka benar mereka-mereka ini menipu di dalam perniagaan - sungguh benar menikmati rasa memakan duit haram) kerana, jika ia memang benar dan dipaparkan berharga RM18, memang saya tidak akan memesannya.

Keluar dari kedai tersebut, saya mengajak suami membeli nasi beriani kambing berharga RM10 di sebuah kedai yang agak berdekatan, Mattop Beriani (kalau berjalan kaki mungkin ambil masa 6-7 minit juga dari kedai makanan Arab yang tidak best itu). Nasi beriani kambing yang sudah saya nikmati sebanyak tiga kali itu juga yang memenuhi selera saya. Alhamdulillah.

Ini hanya satu kisah yang saya alami sendiri. Entri yang tersimpan di dalam folder saya yang baru siap ditaip pada hari ini. Semoga menjadi panduan untuk rakan-rakan yang membaca.

Semoga ada redha Allah, di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

08 November 2012

Kisah Anak Yatim

Firman Allah :-

"Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang sudah dewasa) harta mereka, janganlah kamu menukar yang baik dengan yang buruk, dan janganlah kamu makan harta mereka bersama hartamu. Sungguh (tindakan menukar dan memakan) itu adalah dosa yang besar." - An-Nisa', ayat 2.

Dahulu, selalunya, apabila berjumpa dengan anak-anak yatim meminta sedekah, saya jadi kasihan. Malah, walau tidak mahu membeli barang-barang jualan mereka, atau memberikan derma kepada mana-mana badan yang meminta derma (sering mereka membawa resit-resit/surat-surat), sering benar saya memberi sedikit wang untuk membolehkan mereka menyimpan/digunakan untuk membeli makanan atau minuman.

Sungguh. Saya kasihan, membayangkan kehidupan mereka tanpa ibu, tanpa ayah. Sesetengahnya memang sebatang kara di dunia ini. Tidak mempunyai saudara-mara pun. Memang sangat-sangat kasihan.

Malah, sering juga saya ke sebuah rumah anak-anak yatim, memberikan mereka kelas tuisyen percuma untuk membolehkan mereka bertanya tentang kemusykilan di sekolah serta memberi semangat untuk mereka bangkit menjadi generasi yang lebih berjaya di masa akan datang, bukan saja di dunia, malah untuk akhirat juga.

Ya. Banyak. Tapi, sedikit saja yang saya berikan untuk dijadikan contoh. Hanya sekadar contoh betapa saya sangat-sangat sayangkan anak-anak yatim yang biasanya bukan saja punya masalah kewangan, yang lebih utama adalah kurang kasih sayang sejati.

Itu kisah sebelum saya ditimpa ujian dari Allah seperti yang saya ceritakan dalam entri-entri sebelum ini.

Selepas ditimpa ujian Allah, kaedah saya membantu anak-anak yatim sangat-sangat berbeza. Malah, sejak saya rajin mengunjungi blog wartawan TV3 semasa cuti sakit yang agak panjang, mazidulakmal yang banyak menceritakan tentang kaedah-kaedah yang digunapakai untuk sebilangan individu untuk meminta derma/sedekah (antara kisah yang dicatatkan oleh mazidulakmal, terdapat individu bukan Islam pun yang memakai tudung labuh dan jubah serta boleh meraih pendapatan dari sedekah orang ramai sehingga 200 hingga 500 ringgit dalam tempoh 3 jam meminta sedekah untuk setiap hari - jika dikira dalam tempoh sebulan, dengan bekerja hanya 3 jam sehari, gaji mereka lebih banyak pun dari gaji saya yang punya kerjaya yang agak stabil...), saya mula menukar kaedah saya. Saya pergi sendiri ke mana-mana tempat/pejabat/badan/lokasi untuk menyalurkan bantuan, atau membeli mana-mana produk di kedai/bangunan yang memang saya tahu bahawa duit/bantuan yang saya beri memang akan digunakan oleh anak-anak yatim itu dengan sebenar-benarnya. InsyaAllah.

Lalu, jika terjumpa mana-mana individu samada di stesen minyak (kerap benar...walhal tudung fareeda atau ariani yang tersangkut di kepala serta gaya pemakaian langsung tidak menunjukkan bahawa mereka ini punya masalah kewangan) atau di kedai-kedai makan atau di pasaraya-pasaraya atau di hadapan-hadapan bank atau di pasar-pasar, biasanya saya hanya akan menjawab salam (apabila ditegur), senyum tetapi tidak memberikan sebarang wang.

Lalu, semalam, saya bercuti. Sewaktu keluar dari sebuah kedai makan di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi bersama suami saya, saya diajukan salam oleh seorang anak kecil sekitar umur tujuh tahun. Di tangannya ada resit-resit yang agak tebal. Saya jawab salamnya, senyum, menggelengkan kepala sambil berkata, "takpe...taknak ya...".

Dalam rasa separuh sedar, saya seperti terdengar dia seperti menjerit ke arah saya, PEKAKNYA!!! Eh...salamnya sudah saya jawab. Saya pun sudah memaklumkan bahawa saya tidak mahu memberi apa-apa kepadanya. Adakah dia yang tidak mendengar?

Sebelum sempat berbuat apa-apa, dia sudah meluru masuk ke dalam kedai makan tersebut. Suami pula yang sudah berjalan ke arah kereta, menoleh dan bertanya kepada saya. Saya bercerita kepada suami tentang hal itu, dan di saat itu, anak kecil peminta sedekah itu sudah berada di belakang kami berdua. Hanya sekadar lalu, melihat suami saya, dan terus buru-buru melarikan diri ke kedai selang tiga buah dari hadapan kedai di mana kami meletakkan kereta. Terus hilang dari pandangan. Suami jua terkedu. Hendak mengejar / menampar, saya hanya menegah. Itu bukan gaya kami berdua. Biar Allah saja yang membalasnya.

Oh! Saya amat terkejut. Insiden hanya lebih kurang 45 saat itu benar-benar menyuntik rasa dalam diri saya.

Hebat sungguh gaya peminta sedekah zaman ini. Malah, anak kecil seumur tujuh tahun pun sudah boleh menjerit kepada saya yang sudah punya umur menjangkau suku abad ini.

Mungkin dia tidak tahu, dunia ini sangat luas di hadapannya. Usianya masih kerdil, masih banyak yang dia perlu lalui, masih banyak yang dia belum tahu, terlalu sedikit pengalaman hidup yang baru dilaluinya, terlalu sedikit orang yang baru ditemuinya.

Dalam hati, saya hanya beristigfar sebanyak-banyaknya. Semoga Allah mengampunkan saya, semoga Allah mengurniakan hidayah kepada dia.

Hanya redha Allah yang amat-amat saya harapkan di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

22 October 2012

Panggilan Telefon Tidak Dikenali

Assalamualaikumwarahmatullah...

Nak perihalkan satu kisah di petang Sabtu ni. Pernah tak ada orang telefon anda (nombor adalah tidak dikenali dan tidak tercatat di dalam memori telefon anda) dan bertanya begini :

"Ni kat mana ni?" (dengar nada suara macam dibuat-buat seperti tergesa-gesa...errr...seorang lelaki ya...)

Then saya jawab dengan elok, lemah lembut dan sopan santun : Boleh saya tau encik nak bercakap dengan siapa? (selalunya saya memang tidak mahu memberitahu lokasi saya yang tepat, untuk 'menipu' lokasi pula bukan habit saya...errr....menipu pula bukan habit saya...)

Nak tau apa dia jawab : Dengan siapa saya nak bercakap tu saya taulah...tapi saya nak tau ni dekat mana. Kot tersilap nombor... (nada suara dah tinggi sikit...eh! kenapa tiba-tiba nak marah pula ni?)

Ah-ha!! 'Kot tersilap nombor'. Tapi taknak sebut nama orang yang nak dipanggilnya. Kalau tau nak bercakap dengan siapa, sila je la bagitau yang awak tu nak bercakap dengan siapa. Senang dan mudah saya nak bagitau yang memang awak tu tersilap nombor. Kenapa perlu tanya lokasi pula. Then, nak aje saya jawab : saya kat atas dunia lagi ni...belum masuk alam kubur lagi.

Sudahlah nombor telefon yang didail merupakan nombor peribadi saya. Nombor telefon ini cuma suami, emak dan adik beradik saya saja yang ada. Ipar-duai pun tiada nombor peribadi saya ini. Apatah lagi bank, pejabat atau apa-apa saja, jadi bagaimana pula orang yang didailnya (jika disebut nama) boleh saya kenali? Mudah untuk saya jawab : 'maaf anda tersilap nombor'. Tak perlulah beria-ia nak tau lokasi orang yang di-call pula. Banyak kali juga terkena begini. Nombor yang meng-call pula bermacam-macam jenis nombor.

Nombor handphone bukan macam nombor talian tetap yang boleh menentukan lokasi. Kalau talian tetap bolehlah dilihat sebagai 'lokasi berhampiran', contoh kalau di Putrajaya, biasanya nombor talian tetap bermula dengan 03-888xxxxx, tapi jika nombor handphone, tidaklah sama. Sebagai contoh 012-3456789 mungkin dibeli oleh orang yang menetap di Negeri Sembilan, manakala nombor 012-3456788 pula mungkin dibeli oleh orang yang menetap di Kuala Selangor. Ini sekadar contoh sahaja. Jadi, bagaimana timbulnya 'soalan tentang lokasi' agaknya?

Lebih mudah kan, bila membuat panggilan telefon kepada seseorang yang anda tidak tahu betul atau tidak nombornya : Assalamualaikum, boleh saya bercakap dengan xxxxxxxxx? Mudah pula saya jawab : Maaf, encik silap nombor ni.

Tak perlulah jawab pula : saya taulah saya nak bercakap dengan siapa.

Manusia. Manusia. Banyak benar ulah-nya.

Sesungguhnya Allah Maha Besar, Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Hanya kepada-Nya saya berharap dan berserah diri. Semoga ada redha-Nya. InsyaAllah.

19 October 2012

Ingatlah SABAR

Anda hendak mengeluarkan kereta dari kotak parking anda. Laluan anda terhalang oleh sebuah kereta yang meletakkan kereta bukan di tempat yang sepatutnya. Bukanlah terhalang sangat, cuma sukar sedikit mahu mengeluarkan kereta. Sambil memutar-mutar stereng...

1. Apalah parking kat sini. Menyusahkan orang betul. Takkan tak nampak situ takde kotak parking. Mata letak dekat mana agaknya. Kerjanya asyik menyusahkan orang saja. Kalau takde tempat nak parking, pergilah letak tepi jalan sana. Jangan menyusahkan orang...bla...bla...bla...

(bila terserempak pula dengan tuan punya kereta...dengan muka masam mencuka...menghambur kata-kata kesat kepada tuan punya kereta)

atau

2. Alhamdulillah. Ujian hati ni. Allah nak tengok sabar atau tak. Mungkin orang tu parking sekejap je. Mungkin dia berkejar nak ke tandas agaknya, atau mungkin ada barang-barang berat yang nak diangkat. Kalau letak kereta jauh, susahlah dia nak angkat barang. Takpelah. Alhamdulillah.

Mana satu pilihan anda? Pada ketika ini, saya pasti...ramai akan memilih pilihan yang ke-2, namun hakikatnya apabila situasi itu dialami sendiri, tanpa kita sedar, pilihan pertama yang akan menjadi pilihan kita.

Apabila sudah membuat pilihan yang ke-2 pula (sambil di dalam hati memuji-muji diri sendiri kerana kebaikan diri sendiri - sebenarnya segala pujian hanya untuk Allah...), kemudiannya di lokasi yang berbeza dalam situasi yang berbeza, kita juga ada desakan-desakan tertentu yang membuatkan kita 'terpaksa'....ya, kita TERPAKSA menghalang sedikit laluan kenderaan orang lain. Orang tidak akan faham situasi orang lain melainkan diberitahu...tetapi takkanlah setiap perkara mahu memberitahu orang lain...lalu, apabila ada orang menegur anda tentang perlakuan anda menghalang kenderaan orang lain...

1. Saya bukan halang pun kereta awak. Boleh keluar tu kan. Lagipun urusan saya kat sini sekejap je. Susahlah nak parking jauh-jauh. Lagipun mana saya tahu awak nak keluar-masuk masa ni. Lain kali letak la pemberitahuan masa awak nak keluar dan masuk. Awak yang menyusahkan saya tau tak...

atau

2. Saya minta maaf. Anak saya sakit tadi. Nak cepat, tu yang parking kat sini. Minta maaf banyak-banyak sebab saya susahkan awak...minta maaf ya... (sambil senyum sebanyak-banyaknya)

Mana satu pilihan kita?

Hakikatnya, dalam setiap apa pun tindakan kita, kita kena ada SABAR. Samada kita menghalang kenderaan orang lain, atau orang lain menghalang kenderaan kita (ini sebagai contoh situasi-situasi dalam kehidupan kita sahaja...banyak lagi contoh lain seperti potong queue, mengambil dan menggunapakai hak orang lain tanpa izin, memotong di jalanraya tanpa memberikan lampu signal dll), tidak ada pihak yang betul dan tidak ada pihak yang salah.

Setiap orang ada kesulitannya yang kita tidak tahu. Oleh sebab itu, belajar untuk menerima apa saja, kerana apa saja kejadian Allah, ada hikmah di sebaliknya yang di luar pengetahuan kita. Kita hanya hamba-Nya yang lemah. Hanya kepada Allah kita berharap dan berserah diri.

Semoga ada redha Allah untuk kita semua. InsyaAllah.


12 October 2012

Muslimin di hari Jumaat

Seorang lelaki keluar dari tempat kerjanya pada pukul 1.15 tengahari di hari Jumaat, memasuki keretanya dan mula bergerak menuju ke masjid yang lebih kurang 4km dari tempat kerjanya. Azan Zuhur sudah berkumandang agak lama, lalu lelaki ini bergegas bagi memastikan beliau mampu untuk menikmati khutbah Jumaat yang akan disampaikan oleh imam bertugas nanti. Malah, bukan sengaja mahu pergi ke masjid lewat, hanya masa itu yang diperuntukkan oleh tempat dia bertugas.

Perjalanan agak lancar (kereta yang dinaiki berada di lorong kiri di jalan dua lorong) sehinggalah bertemu dengan sebuah lori kontena di hadapannya (di lorong kiri) yang agak perlahan. Beliau mahu masuk ke lorong kanan, bagaimanapun terdapat sebuah kereta Kancil pula yang juga dipandu dengan sangat perlahan (kelihatan seperti seorang wanita yang nampaknya tidak fokus pada pemanduan) yang tidak mengambil kisah situasi di sekitarnya, masih kekal di lorong kanan dengan perlahan walaupun tiada sebarang kenderaan di laluan dihadapannya lebih kurang sepanjang 1km.

Okey...kisah di hari Jumaat. Di tengahari hari Jumaat.

Jika anda wanita, apa yang anda rasa?
Jika anda lelaki, apa yang anda rasa?

Dulu, sebelum saya menjadi seorang isteri, setiap kali hari Jumaat tiba, tempat saya adalah di pejabat. Memanfaatkan masa rehat yang agak panjang untuk menghabiskan kerja yang agak bertimbun, rehat sebentar, dan untuk bersolat. Jarang keluar, kerana mahu memberi 'laluan luas' kepada para muslimin yang mahu mengerjakan solat Jumaat, makan sebelum solat Jumaat dan juga untuk mereka mendengar khutbah. Selebihnya, saya lebih suka dapat menunaikan solat Zuhur tanpa gangguan di pejabat. Sebabnya, pejabat sangaaaattt sunyi. Boleh muhasabah diri lagi. Alhamdulillah.

Bila sudah bergelar isteri pula, tempat saya di waktu solat Jumaat berlangsung, adalah di rumah. Menyiapkan bekalan suami, bersolat Zuhur, dan kemudian bergerak semula ke pejabat. Bergerak semula ke pejabat pun berlaku sekitar 2.15pm ke atas...jadi, solat Jumaat biasanya sudah usai, sudah tidak memberi gangguan kepada muslimin mahu bersolat Jumaat dengan tenang.

Ulasan saya :-

1. Solat Jumaat adalah satu ibadah wajib untuk semua muslimin. Rasa hormat kepada hari Jumaat, dan menghormati orang yang mahu menghadiri solat Jumaat, jua adalah satu kewajipan semua muslimat. Boleh untuk keluar dari pejabat pada masa yang sama dengan muslimin keluar, tetapi sila mengutamakan laluan kepada muslimin yang mahu menghadiri solat Jumaat, yang mahu mendengar khutbah Jumaat.

2. Ini pula bab pemanduan. Jika anda memandu dengan kadar yang saaaangaaaattt perlahan, tidak kiralah di hari Jumaat ataupun tidak, sila JANGAN memandu di laluan kanan. Sila masuk ke lorong kiri supaya anda tidak menyebabkan rasa amarah orang lain. Jika mahu menggunakan handphone atau bermake-up, sila berhentikan kenderaan anda. Ia sangat bahaya bukan saja kepada anda, tetapi juga kepada kenderaan-kenderaan berhampiran anda.

3. Jadilah muslimat yang sentiasa diredhai Allah. Memudahkan diri sendiri, keluarga, juga masyarakat di sekitarnya untuk perkara-perkara berkaitan Islam dan kehidupan yang diredhai Allah. Sila jangan mendabik dada untuk sesuatu yang tidak pernah dimiliki oleh diri anda. Sesungguhnya, diri kita ini pun hakmilik Allah, apalah agaknya yang kita miliki di dunia ini untuk dibanggakan?

Semoga ada redha Allah. InsyaAllah.

07 September 2012

Sesudah Ramadhan 1433H

Ramadhan sudah berlalu. Syawal juga sudah hampir tamat. Puasa sunat 6 hari di bulan Syawal saya saja yang masih belum tamat. Sudah terbiasa, menyelesaikan puasa qadha' yang termasuk dalam kategori 'wajib' dahulu, bila sudah diselesaikan, barulah hati terasa 'lega' mahu berpuasa sunat semula. Selagi tidak dilunas, malam pun sukar untuk lena. Sungguh! Bimbang tidak sempat 'dibayar kepada Allah' dalam keadaan saya masih berleka-leka, dan tanpa dijangka, tetiba maut pula sudah menjemput.

Amal sudahlah tidak banyak, akhlak pula bukanlah baik sangat, ikhlas kepada Allah juga masih belum sempurna, jadi jika 'hutang' masih ada...dimanalah agaknya kedudukan saya di sisi Allah? Oh! Sungguh terasa sangat-sangat kerdil mahu meneruskan hidup di dalam dunia ini...jadi, bila sudah diselesaikan (semoga Allah meredhai saya...sentiasa...insyaAllah...) barulah hati terasa lega. Minda terasa lapang. Jiwa sungguh merasa sangat tenang. Kalau tidak sempurna, semoga Allah sempurnakan. InsyaAllah.

Kita kan tak tahu pada waktu bilakah kita akan dikembalikan kepadaNya? Kalau malam ini...kalau saat ini...bagaimana? Jika ada hutang yang masih belum dibayar lagi...dimanakah kita akan diletakkan oleh Allah?

Idul Fitri yang baru berlalu, tahun pertama saya tidak berhari raya di negeri kelahiran saya. Tidak berhari raya bersama emak saya. Tidak berhari raya di rumah yang saya telah membesar bersama-samanya. Tidak duduk di dapur bersama emak di malam raya.

Tahun pertama saya berhari raya di rumah keluarga suami. Ia memang pengalaman yang berbeza. Namun, satu pengalaman indah yang menyeronokkan. Suasana yang berbeza, udara yang berbeza, ruang yang berbeza, juadah yang sedikit berbeza - pun saya seronok melihat suami berselera menikmatinya. Sungguh terasa kelainannya, dan tanpa sedar...ada rasa rindu yang tidak terbendung. Sungguhlah...Idul Fitri memang benar-benar menyuntik rasa hati.

Patutlah rezeki saya semasa membuat ijazah pertama, walau menerima tawaran ke United Kingdom dan Jepun, ia tidak tertunai...kerana Allah tahu lemahnya 'hati' saya yang sering sarat rasa rindu kepada kampung halaman. Bukan sewenangnya boleh pulang ke Malaysia jika sudah ada di luar negara. Alhamdulillah. Terkadang hikmah solat istikharah itu bukan boleh 'ditemui' dalam masa yang singkat, ada yang akan mengambil masa hampir 15 tahun! Allahuakbar!

Perasaan selepas Ramadhan?

Ia suatu rasa 'kosong' yang tidak dapat saya ungkapkan.

Hanya yang didoakan - Ya Allah, temukan saya kepada Ramadhan 1434H. InsyaAllah.

Sungguh....saya sudah mula merindui Ramadhan...walau ia baru beberapa detik berlalu. Masihkah ada Ramadhan untuk saya? Masihkah ada Ramadhan untuk anda semua?

Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Semoga saya, suami, emak, ayah, dan anda semua sentiasa diredhai Allah di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

24 July 2012

Cepatnya Ramadhan Berlalu


Masih belum sempat saya menitip ucapan 'Selamat Berpuasa' di blog ini, Ramadhan sudah masuk hari ke-4. Subhanallah. Cepat sungguh Ramadhan berlalu. Malah, saya masih cuba mengejar-ngejar, berusaha untuk mengkhatamkan al-Quran...kalau boleh mahu banyaaaak-banyaaaak kali...di Ramadhan ini...tapi baru saja tiba juzuk yang ketiga. Paling sedih, Surah Al-Baqarah pun ada satu muka surat lagi berbaki. Sungguhlah. Iman tidak tepu. Sangat kurang!!!

Sudah hari ke-2 mendapat sijil cuti sakit. Masih berbaki lagi 31 hari. Sekian lama ke hospital dan sudah terbiasa dengan bilangan sijil cuti sakit sebanyak dua atau tiga hari semenjak dua menjak ini, semalam...berjumpa doktor...saya jadi teruja..."nak MC berapa lama?", tanya doktor kepada saya. Okey. Dah lama rasanya tak dengar soalan macam tu dari doktor...tanpa sedar, ia satu petanda...sakit saya berulang semula.

Apabila doktor pakar 'menjentik' hujung jari saya...dan dari diagnosis yang dibuatnya lalu beliau meminta saya melalui satu lagi prosedur MRI (wah...saya pun tak tau samada saya dapat bertahan atau tidak dengan kadar radiasi 600kali ganda berbanding prosedur X-ray yang telah saya lalui sebanyak sekali tahun lepas...kalau X-ray, saya rasa sudah buat almost 10 kali juga dalam tempoh setahun ini...adehhh! Semoga Allah melindungi saya!) yang dijangkakan pada pertengahan Ogos nanti...dan ingin mendapatkan decision saya seminggu selepas raya...okey...saya agak 'panik' sebenarnya...

Apapun. Melalui hari-hari MC di bulan Ramadhan, ternyata ia agak menenangkan. Memujuk hati membaca Al-Quran selepas solat Subuh (yang jarang sangat dapat dilakukan kecuali pada hujung minggu sahaja, itupun jika tidak ke masjid - jika ke masjid, boleh dengar kuliah Subuh pula...), duduk-duduk mengadap DVD kartun atau cerita Korea (atau rancangan memasak di televisyen), membelek internet (bab menulis blog dan melawat facebook itu saja yang kurang...hahaha), tidur sebelum solat Zuhur, dan menghayati malam-malam Ramadhan yang sangat menyelesakan.

Sungguh. Ia agak menenangkan. Walau di kala 'cuti panjang' begini, ingatan kepada kampung halaman terus menerpa datang. Rasa mahu berpuasa dengan emak di kampung, berbuka puasa dengan emak di kampung, terasa mahu duduk-duduk di depan pintu dapur, menghirup udara kampung. Alangkah seronoknya!!!

Ya. Andai ini Ramadhan yang terakhir...apakah agaknya yang akan saya dan anda semua fikirkan? Mungkinkah saya akan berfikir yang muluk-muluk begini? Mencipta mimpi dan angan-angan, walhal jika ada masa senggang, bukankah lebih baik digunakan untuk Allah? Semoga Allah melindungi dan meredhai kita semua. InsyaAllah.

Sungguhlah.

Jika ini Ramadhan kita yang terakhir.....

p/s:jom tengok Ketuk-ketuk Ramadhan bersama Sheila Rusly dan Shamsul ghau-ghau...di TV1..

20 June 2012

Surirumah Berijazah

Saya jarang menulis blog. Walau ada seribu juta macam cerita di dalam minda saya setiap saat, setiap hari, ia akan berlalu begitu saja. Paling-paling, saya akan mencatatkan di dalam sebuah buku kecil yang selalu saya bawa ke mana-mana (buku tiga 5 saja pun) jika berkesempatan, atau terkadang di dalam telefon tangan saya. Okey...saya kurang suka mencatat di dalam telefon tangan sebenarnya, walau telefon yang saya miliki agak canggih (haha...handphone saya ada connection untuk kabel HDMI juga...) sebab saya lebih suka menulis dengan menggunakan pen. Kelakar bukan? Kalau dulu, jika tanpa pen dan buku kecil, paling-paling pun saya akan mencatat dalam Draft Message...sungguhlah! Punya banyak ruang notes bersama kapasiti 16GB pun...saya lebih suka menulis di atas buku kecil saya...kalau handphone habis bateri, saya masih boleh membaca nota tulisan saya di dalam buku kan? (Okey...isi cerita perenggan pertama ini tidak ada kaitan pun dengan cerita perenggan seterusnya...boleh gitu?)

gambar ihsan Yahoo-search (N8)

Hari ini, untuk pertama kalinya...saya terkesan dengan satu segmen di TV3...iaitu Wanita Hari Ini. Saya memang tidak ingat waktu bermula siaran ini, tetapi segmen hari ini benar-benar menyuntik minda saya.

Surirumah Berijazah.

Hanya sedikit yang saya ingat tentang segmen ini, kerana saya tidak mencatit isi perbincangan segmen ini secara terperinci (asyik memerhati perbincangan, sehingga terlupakan pen dan buku tiga 5 saya...haha...). Surirumah berilmu, punya pendidikan tahap tinggi, namun rela melepaskan tekanan kerja di pejabat dan bergerak aktif di samping tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri. Anak dijaga dan dididik sendiri, malah salah seorang 'surirumah berijazah' yang ditemuramah dalam segmen ini bukan saja memiliki Ijazah Sarjanamuda, malah memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kejuruteraan dari sebuah universiti di United Kingdom. Seingat saya, namanya Dr.Aznizah. Hebat bukan?

Antara kata-katanya yang saya ingat dan saya olah semula ; "saya sering balik lewat, bila sudah pulang ke rumah pula, badan rasa sangat penat dan seolah-olah tiada masa untuk keluarga dan diri sendiri, bila saya fikir-fikirkan, apa yang saya kejar sebenarnya dalam hidup ni kalau saya ada gaya hidup yang sebegini, jadi selepas kahwin dan dapat anak, saya terus ambil keputusan untuk berhenti kerja...sekarang ni saya masih bekerja...dari rumah...review certain research...tetapi saya dapat lebih fokus kepada anak dan keluarga saya..."

Okey. It is normal. Sebagai pekerja yang menggunakan otak dalam kerja (hampir sama corak kerja seperti beliau), saya pun sering penat. Sungguh. Bila tiba di rumah, walau seawal 5 petang, kepala serasa sudah tepu. Betul-betul 'memeras' isi kepala sepanjang 8 jam bekerja. Kalau ada rehat pun untuk otak, memang hanya pada Sabtu dan Ahad. Itupun, kalau dapat rehatkan otak. Tumpuan pada keluarga di hari bekerja memang serasa kurang. Jadi, boleh faham apa yang Dr.Aznizah rasa.

Ughhh! Bila pula saya mahu buat tindakan berani? Melepaskan sebulan gaji yang lumayan (oh! hanya itu tujuannya pergi bekerja?) - apa sebenarnya yang saya kejar dalam hidup ni? Kalau mati, bawa duit masuk ke kubur-kah?! (ini kes marah pada diri sendiri - pun masih ada rasa ragu-ragu...arghh!!)

Fikir. Saya masih berfikir. Ia benar-benar menyuntik minda saya. Badan saya lesu. Saya mahu rehat, beribadat, jadi surirumah, sentiasa ada masa untuk Allah, ada masa untuk keluarga...Allah! Sungguhlah. Saya perlu lebih tabah. Perlu lebih memiliki hati yang kuat. Perlu lebih berani. Perlu lebih yakin dengan Allah.

Allah. Bantulah hamba-Mu yang lemah ini. Semoga ada redha-Mu dalam setiap perlakuan dan fikiranku. InsyaAllah.