08 November 2012

Kisah Anak Yatim

Firman Allah :-

"Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang sudah dewasa) harta mereka, janganlah kamu menukar yang baik dengan yang buruk, dan janganlah kamu makan harta mereka bersama hartamu. Sungguh (tindakan menukar dan memakan) itu adalah dosa yang besar." - An-Nisa', ayat 2.

Dahulu, selalunya, apabila berjumpa dengan anak-anak yatim meminta sedekah, saya jadi kasihan. Malah, walau tidak mahu membeli barang-barang jualan mereka, atau memberikan derma kepada mana-mana badan yang meminta derma (sering mereka membawa resit-resit/surat-surat), sering benar saya memberi sedikit wang untuk membolehkan mereka menyimpan/digunakan untuk membeli makanan atau minuman.

Sungguh. Saya kasihan, membayangkan kehidupan mereka tanpa ibu, tanpa ayah. Sesetengahnya memang sebatang kara di dunia ini. Tidak mempunyai saudara-mara pun. Memang sangat-sangat kasihan.

Malah, sering juga saya ke sebuah rumah anak-anak yatim, memberikan mereka kelas tuisyen percuma untuk membolehkan mereka bertanya tentang kemusykilan di sekolah serta memberi semangat untuk mereka bangkit menjadi generasi yang lebih berjaya di masa akan datang, bukan saja di dunia, malah untuk akhirat juga.

Ya. Banyak. Tapi, sedikit saja yang saya berikan untuk dijadikan contoh. Hanya sekadar contoh betapa saya sangat-sangat sayangkan anak-anak yatim yang biasanya bukan saja punya masalah kewangan, yang lebih utama adalah kurang kasih sayang sejati.

Itu kisah sebelum saya ditimpa ujian dari Allah seperti yang saya ceritakan dalam entri-entri sebelum ini.

Selepas ditimpa ujian Allah, kaedah saya membantu anak-anak yatim sangat-sangat berbeza. Malah, sejak saya rajin mengunjungi blog wartawan TV3 semasa cuti sakit yang agak panjang, mazidulakmal yang banyak menceritakan tentang kaedah-kaedah yang digunapakai untuk sebilangan individu untuk meminta derma/sedekah (antara kisah yang dicatatkan oleh mazidulakmal, terdapat individu bukan Islam pun yang memakai tudung labuh dan jubah serta boleh meraih pendapatan dari sedekah orang ramai sehingga 200 hingga 500 ringgit dalam tempoh 3 jam meminta sedekah untuk setiap hari - jika dikira dalam tempoh sebulan, dengan bekerja hanya 3 jam sehari, gaji mereka lebih banyak pun dari gaji saya yang punya kerjaya yang agak stabil...), saya mula menukar kaedah saya. Saya pergi sendiri ke mana-mana tempat/pejabat/badan/lokasi untuk menyalurkan bantuan, atau membeli mana-mana produk di kedai/bangunan yang memang saya tahu bahawa duit/bantuan yang saya beri memang akan digunakan oleh anak-anak yatim itu dengan sebenar-benarnya. InsyaAllah.

Lalu, jika terjumpa mana-mana individu samada di stesen minyak (kerap benar...walhal tudung fareeda atau ariani yang tersangkut di kepala serta gaya pemakaian langsung tidak menunjukkan bahawa mereka ini punya masalah kewangan) atau di kedai-kedai makan atau di pasaraya-pasaraya atau di hadapan-hadapan bank atau di pasar-pasar, biasanya saya hanya akan menjawab salam (apabila ditegur), senyum tetapi tidak memberikan sebarang wang.

Lalu, semalam, saya bercuti. Sewaktu keluar dari sebuah kedai makan di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi bersama suami saya, saya diajukan salam oleh seorang anak kecil sekitar umur tujuh tahun. Di tangannya ada resit-resit yang agak tebal. Saya jawab salamnya, senyum, menggelengkan kepala sambil berkata, "takpe...taknak ya...".

Dalam rasa separuh sedar, saya seperti terdengar dia seperti menjerit ke arah saya, PEKAKNYA!!! Eh...salamnya sudah saya jawab. Saya pun sudah memaklumkan bahawa saya tidak mahu memberi apa-apa kepadanya. Adakah dia yang tidak mendengar?

Sebelum sempat berbuat apa-apa, dia sudah meluru masuk ke dalam kedai makan tersebut. Suami pula yang sudah berjalan ke arah kereta, menoleh dan bertanya kepada saya. Saya bercerita kepada suami tentang hal itu, dan di saat itu, anak kecil peminta sedekah itu sudah berada di belakang kami berdua. Hanya sekadar lalu, melihat suami saya, dan terus buru-buru melarikan diri ke kedai selang tiga buah dari hadapan kedai di mana kami meletakkan kereta. Terus hilang dari pandangan. Suami jua terkedu. Hendak mengejar / menampar, saya hanya menegah. Itu bukan gaya kami berdua. Biar Allah saja yang membalasnya.

Oh! Saya amat terkejut. Insiden hanya lebih kurang 45 saat itu benar-benar menyuntik rasa dalam diri saya.

Hebat sungguh gaya peminta sedekah zaman ini. Malah, anak kecil seumur tujuh tahun pun sudah boleh menjerit kepada saya yang sudah punya umur menjangkau suku abad ini.

Mungkin dia tidak tahu, dunia ini sangat luas di hadapannya. Usianya masih kerdil, masih banyak yang dia perlu lalui, masih banyak yang dia belum tahu, terlalu sedikit pengalaman hidup yang baru dilaluinya, terlalu sedikit orang yang baru ditemuinya.

Dalam hati, saya hanya beristigfar sebanyak-banyaknya. Semoga Allah mengampunkan saya, semoga Allah mengurniakan hidayah kepada dia.

Hanya redha Allah yang amat-amat saya harapkan di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

No comments: