Showing posts with label maut. Show all posts
Showing posts with label maut. Show all posts

28 May 2012

Macam-macam...dan masih bermacam-macam...

Sungguh bermacam-macam kehidupan ini.

Macam taknak update blog!

Okey...hari ni dah 28 Mei 2012. Dah nak masuk ke bulan Jun. Dah hampir setengah tahun di 2012. Dan...di setengah tahun inilah...kerja saya hanyalah mengadap internet, facebook, usik-usik suami (saya memang kaki mengusik pun...ahaks!) dan pi balik pi balik kampung (kira maaakaaaaaannnn anginnnn la ni...cover semula taun lepas yang kurang maaaakaaannn angin...). Boleh gitu? Ya...macam orang takde kerja kan. Uishhh! Macam best je kalau ambil cuti (tapi nak laaa ada gaaaaji.......hahahahaha). Okey! Saya sudah bosan. Walau takde apa-apa...tak kira...tak kiraaaaa....saya berharap 'ikhtiar' saya positif....membuahkan hasil yang positif....dan saya nak mula bekerja. Sungguh! Minda saya serasa beku.....(alahai...ini luahan hati atau apakah??)

Macam dalam filem.

Sungguh.

Menerima panggilan telefon menyatakan nenek suami saya sakit tenat, lalu kami pun bergerak balik kampung dengan segera (lalu membatalkan kehadiran ke dua kenduri perkahwinan yang memang dah diset-kan nak pi...uhuk!!! Boleh tak kalau saya katakan yang saya teringin sangaaaattt nak makan nasi minyak kenduri kahwin....uwaaaa...dah lebih setahun setengah keinginan ini saya hanya mampu pendamkan kerana 'sakit' saya...uhuk!!!) dan sebaik saja kami tiba di depan pintu rumah...nampak...ramainya orang-orang kampung membaca Surah Yaasin...dan hati saya terus berdegup laju. Ya...walau nenek itu hanya pernah saya temui sekali saja...tapi hati saya benar-benar tersentuh...

Alhamdulillah. Ketika itu, nenek masih ada. Masih mampu berbicara. Walau tidak seperti biasa.

Lalu kami balik semula ke Lembah Kelang.

Lalu, selang dua hari kemudian, kami bergerak lagi ke kampung. Perkhabaran 'kematian' itu benar sungguh menimbulkan rasa sedih di hati. Mujurlah...alhamdulillah....kami sempat menemuinya dua hari sebelumnya. Al-Fatihah dan doa sebanyak-banyaknya kepada arwah nenek suami saya, semoga roh beliau ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan sentiasa dalam redha dan rahmat Allah...insyaAllah...

Macam penat. Letih.

Hari ini ke hospital lagi. Dapat 'sijil cuti sakit' lagi. Boleh gitu?

Rasa macam sihat. Tapi doktor bagitau "Oh...masih lemah ya?"

Sungguhlah. Rasa 'positif' yang sentiasa merajai diri saya perlu kuat lagi. Supaya badan saya lebih sihat. Saya lebih sihat. Saya lebih kuat. Walau fizikalnya...saya masih lemah.

Semoga ada redhaNya. Semoga ada rahmatNya. InsyaAllah.

29 November 2009

Saya Rasa Saya Kurang Tazkirah

Kenapa?

- Sudah seminggu tafsir Al-Quran saya tersadai di atas buku-buku di tepi laptop dan tidak dibuka. Walhal, tafsir itu peneman saya setiap Subuh dan Maghrib, malah sesekali Isya' (kerana Zuhur dan Asar saya di pejabat...lalu usai Zuhur dan Asar, biasanya hanya diisi dengan Ayat 1, 5 dan 7 sahaja...)

- Saya ada rasa malas untuk ambil wudhu' bila waktu sepertiga malam tiba, walhal saya sudah membuka mata. Kukuh betul buhul-buhul ikatan syaithon yang merantai kaki dan tangan saya, menekan-nekan alis mata saya supaya tertutup rapat. Terlupa bahawa buhul-buhul ikatan itu bukannya boleh terurai dengan bahasa lembut dan hati yang lemah. Perlu paksa diri untuk tunjuk kasih pada Allah.

- Solat di waktu bekerja menjadi sangat lambat. Terlalu sangat dengan urusan kerja dan keduniaan. Walhal panggilan Allah lebih utama dari panggilan boss.

- Makan bila lapar. Bila sudah kenyang, sambung kerja semula. Seolah terlupa makan kerana Allah, minum kerana Allah. Hidup kerana Allah. Kurang benar bersyukur.

- Saya tidak berusaha keluar awal dari rumah setiap pagi supaya dapat dengar tazkirah Ustaz Zahazan di Radio IKIM dari Isnin hingga Khamis.

- Asyik berbicara hal orang lain, walhal sudah sering diingatkan pada diri bahawa diam itu lebih baik dari berbicara perkara-perkara yang melalaikan.

- Rasa kurang sabar, kurang ikhlas, kurang tenang dan kurang bersyukur. Hati yang kurang tenang, alpa pada maksud ayat 28, Surah Ar-Raadu.

Lalu, paling terasa bila baca beberapa laman blog Islamik yang menerbitkan rasa insaf di hati. Ya Allah, saya terasa seperti jauh benar saya dari Dia. Saya rasa saya semakin jauh, dan semakin jauh.

Alhamdulillah. Dia tidak pernah melupakan saya. Walau saya berkali-kali terlupakan Dia.

Wajarkah, kita hanya ingatkan Dia semasa kita bersolat sahaja? Semasa kita sedih dan putus asa sahaja? Semasa kita dalam kesusahan sahaja? Semasa kita sedang sakit sahaja?

Bukankah, Dia paling penting dalam hidup kita dan perlu diingati setiap saat dalam kehidupan kita.

26 August 2009

Rindu Seorang Anak

Sejak bulan Februari 2009 (kejadian yang mana mungkin saya mampu untuk lupakan), saya tidak lagi menangis. Saya rasa amat tenang.

Tapi, di Ramadhan ini...malam-malamnya saya akan lalui bersama tangisan. Tangisan rindu seorang anak, rasanya. Saya amat rindu, pun saya cuba menjadi lebih sabar dan tabah.

Semoga Allah SWT akan sentiasa membantu saya, insyaAllah. Dalam ingatan dan tangisan saya ini, saya tahu ada hikmah yang tersembunyi. Ingatan ini menjadikan saya tidak alpa bahawa saya jua akan pergi dari sini di satu masa yang masih belum diketahui.

Ya Allah, matikan kami di dalam keadaan beriman kepadaMu dan jauhkan kami dari siksaan kubur dan bakaran api neraka. Amiin.

15 August 2009

H1N1 Kebal Tamiflu?

Petikan dari Kosmo, Sabtu 15 Ogos 2009.



HONG KONG - Pihak berkuasa Hong Kong semalam melaporkan kes kedua selesema babi atau inluenza A H1N1 yang kebal rawatan ubat antivirus Tamiflu.

Pesakit wanita itu sebelum ini diberikan ubat berkenaan sebagai langkah pencegahan.

Pengawal Pusat Perlindungan Kesihatan, Thomas Tsang berkata, wanita berumur 40 tahun itu mengambil Tamiflu sebulan lalu bersama rakan-rakanya yang jatuh sakit akibat virus sama.

Kes berkenaan merupakan kejadian ketujuh membabitkan virus influenza A yang kebal terhadap Tamiflu sejak ia mula dikesan di Mexico pada April lalu.

Selain Hong Kong, Denmark, Kanada dan Jepun melaporkan kes sama.

Di UK pun sama. Banyak kes yang walau sudah mengambil Tamiflu, maut masih tidak dapat dielakkan. Mungkinkah kajian terhadap antivirus ini masih belum menyeluruh dan dibuat dalam keadaan tergesa-gesa? Bagaimana pula di Malaysia?

13 August 2009

Hanya Allah Yang Tahu

Elok saja saya meletakkan kereta di hadapan rumah saya dalam pukul 11 malam semalam (hari pertama yang sesungguh hati saya dapat mengajar sepulangnya dari kembara saya pada 22 Julai lalu), telefon saya terus berbunyi. Saya terus mengangkatnya walau nombor yang tertera hanya di skrin telefon saya hanya 0301. Huh! Panggilan dari luar negara ni, getus hati saya. Sangka saya, kawan saya di Surrey, United Kingdom yang menelefon saya.

Terdengar suara lelaki...."sekejap ya kak...". Eh! Ini bukan dari UK. Ini dari Arab Saudi. Ini panggilan dari Kota Suci Mekah. MasyaAllah...

Kemudian, terdengar suara perempuan pula..."akak dah sihat ke? akak lama tak YM....saya risau..."

Ya Allah! Sungguh pasangan suami isteri dari Mekah ini merisaukan kesihatan diri saya. Perkenalan singkat semasa saya mengerjakan umrah ( suaminya merupakan ustaz yang memberikan penerangan semasa sesi ziarah di Mekah dan Madinah ) rupanya membuahkan kasih yang tak terhingga kepada diri saya.

Lalu saya pun..."jangan risau. akak dah agak ok. InsyaAllah dalam setengah jam lagi akak online ya...". "Takpe kak...akak ambil masa akak. Akak mandi dulu...lega dah dengar akak ok.." (yang kemudiannya tidak dapat saya online kerana saya terus tertidur sepanjang menunggu laptop saya memulakan operasi - sungguhlah badan saya masih kurang sihat lagi...)

Lalu saya teringat cerita salah seorang anak murid saya semasa saya mengajar semalam.

Murid - Cikgu..kat sekolah saya ada sorang pelajar mati sebab H1N1.

Saya - Masuk dalam laporan suratkhabar tak?

Murid - Tak masuk pun. Kat sekolah saya pun dah ada 36 orang kena H1N1.

Saya - uishhh...bahayanya. Tak masuk dalam suratkhabar juga?

Anak murid saya hanya menggelengkan kepalanya. Kepala saya semakin sakit. Anak murid saya pula batuk dan bersin di hadapan saya. Saya segera mengeluarkan topeng mulut saya yang memang sentiasa ada di dalam beg.

Tapi, pagi tadi saya dengar pula di radio.

"Topeng mulut tu saiznya 0.3 sedangkan virus H1N1 tu 0.2" (dalam unit apa saya tak tahu la...). Tapi yang penting, virus tu boleh masuk juga la walaupun kita memakai topeng? Huh!

Saya semakin risau.

Semoga Allah melindungi saya dan semua muslimin dan muslimat di dunia ini dari sebarang sakit berjangkit yang boleh membawa maut, insyaAllah.

30 July 2009

Kuarantin Jujur dan Telus


Keratan gambar dari http://www.kosmo.com.my/ bertarikh 30 Julai 2009.
Sahlah semakin bahaya. Sudah 4 kematian di Malaysia. Malah, saya sendiri menerima nasib dikuarantin selama seminggu di rumah (dari 30 Julai hingga 5 Ogos - sekiranya sakit saya berlanjutan semula selepas 3 hari mulai hari ini, saya perlu segera berjumpa doktor semula). Kata Dr. Saadiah yang merawat saya dan memeriksa pemeriksaan darah, X-ray dan pemeriksaan laporan kesihatan saya, kuarantin di rumah ini memerlukan ketelusan dan kejujuran yang tinggi (sebenarnya tekanan darah, suhu badan dan X-ray gambar dada saya sangat ok...tapi saya suka langkah berjaga-jaga yang dibuat untuk saya walau saya tahu saya akan bosan duduk di rumah tanpa membuat apa-apa - saya sedang berfikir tentang aktiviti berfaedah yang boleh saya lakukan di rumah dalam tempoh 7 hari ini...).
Sungguh! Tidak ada siapa yang mengawal, saya tahu saya bebas ke mana-mana dalam 7 hari ini. Untuk menghilangkan bosan, saya boleh keluar tanpa topeng muka (Dr. Saadiah membekalkan 7 keping topeng muka untuk dipakai jika benar-benar perlu saya keluar dari rumah) dan boleh melepak di mana-mana yang saya mahu. Tapi, saya tahu. Saya perlu jujur. Walau bukan positif H1N1 pun (InsyaAllah saya memang bukan positif H1N1), saya akan menanti hingga tamat tempoh 7 hari ini sebelum meneruskan kehidupan normal semula.
Saya pasti benar, kepada sesiapa yang benar-benar dikuarantin di rumah dan tidak keluar membuta tuli tanpa topeng muka serta tidak sesuka hati melaksanakan aktiviti di luar rumah, sudah pasti H1N1 ini sukar merebak. Malah, amat saya sarankan semua lapangan terbang mewajibkan pemakaian topeng muka. Saya bebas H1N1 di Arab Saudi. Saya pasti, jika benar saya positif H1N1 (InsyaAllah, Allah menjauhkan saya dari penyakit berjangkit yang merbahaya), virus di dalam badan saya pasti berasal dari lapangan terbang di Malaysia.

07 March 2009

BIcara Sunyi Sepi Sayu Seorang Diri

Normalnya, bila sedih datang bertamu, saya akan segera menghubungi emak di kampung. Sejak 11 Februari - sebetulnya sejak 16 Februari apabila saya sudah balik semula ke Kuala Lumpur, paling kurang pun saya menghubungi emak dalam sehari sebanyak dua kali. Walau saya tidak menangis semasa bercakap dengan emak - sebetulnya saya tidak pernah menangis di hadapan sesiapa pun.

Sudah terbiasa bercakap dan berbual dengan emak - awal pagi apabila tiba di pejabat, tengahari apabila usai mesyuarat yang menyebalkan, malam apabila usai mengajar dan hendak bertolak balik ke rumah - atau awal sedikit, selepas solat Maghrib - jarang saya menghubungi emak selepas solat Maghrib kerana munajatnya lebih lama - ya, selepas 11 Februari 2009 itulah rutin saya, dan saya akur pada rutin emak yang kini lebih lama di tikar sembahyang.

Hari ini saya masih belum menghubungi emak. Mungkin kerana keluarga abang saya ada di kampung bersama adik perempuan dan tiga orang yang lelaki. Ramai. Saya tidak mahu mengganggu konsentrasi emak (atau sejujurnya saya agak cemburu - tugasan saya tidak kira hari - 24/7 - menyebabkan masa saya untuk menjenguk emak agak terbatas - walau hati saya meronta - walau bicara emak dan saya saban hari) dan ditambah dengan diri saya yang masih belum kuat - rumah di kampung itu ada kenangan yang sangat banyak antara saya dan Allahyarham abah.

Lalu, saat ini saya sedang merindukan bicara saya dan emak, yang sering jua, pada masa yang sama, saya sedang merindukan Allahyarham abah saya. Benar-benar saya rindu! Semoga rohnya ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman, insyaAllah.


Ayam ini, ayam yang dibela oleh emak dan Allahyarham abah saya. Suasana rumah saya di kampung yang sering saya rindukan. Kuatkah saya untuk balik, sedangkan dalam tempoh yang lalu, saya sering termenung dan tidak ada selera untuk makan pun.


Ini lukah hasil tangan Allahyarham abah saya. Dulu, berhampiran lukah ini merupakan tempat Allahyarham abah saya selalu berdiri setiap kali saya mula mengundurkan kereta untuk bertolak balik ke Kuala Lumpur. Senyumannya, bagaimanatah mampu dilupakan? Sungguh saya benar-benar rindu!

Luahan ini hanyalah luahan kerinduan seorang anak kepada Allahyarham abah yang sudah meninggalkan dunia ini. Selalunya saya melepaskan rasa rindu ini dengan berbual-bual bersama emak. Ya Allah, bantulah saya untuk menjadi kuat semula, InsyaAllah.

04 March 2009

Lena Saya Diusik

Pukul 1.05 pagi, 4 Mac 2009.

Saat inilah. Ya, saat ini saya terjaga. Entah kenapa, air mata saya tiba-tiba mengalir. Saya jarang menangis (di hadapan sesiapa jua) pun saya sering melemparkan senyuman sehinggakan tidak ada sesiapa yang nampak kesedihan yang bertamu jauh di sudut hati.

Saya sedih kini. Saya teringat. Saya rindu. Dalam sebak dan sendu, saya teringat sedutan sedikit kata-kata di radio IKIM - Nabi Muhammad SAW juga menangisi pemergian anaknya, iaitu Ibrahim. Ya Allah, memang saya tidak pernah mempunyai anak. Tapi hubungan darah ini.....

Ya. 11 Februari 2009. 6.55 pagi. Cukuplah sekadar mengingatkan. Ciptaan kenangan yang seolah-olah sudah terhenti. Dalam tempoh yang belum cukup satu bulan, bagaimana saya mampu melupakan? Walau hakikatnya, kehidupan itu saya teruskan - dalam senyuman. Namun sesekali terasa air mata yang mahu terburai di khalayak, cepat-cepat saya tahan.

Ya Allah. Cukuplah tempoh pinjamanMu. HambaMu yang lemah ini amat redha pada ketentuanMu. Cuma hati yang sayu dan sendu berbisik - rindunya!

Walau di tengah ramai, rasa keseorangan itu tidak pernah hilang. Alhamdulillah. Semoga Allah sentiasa mencucurkan rahmat ke atas rohnya, dan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. InsyaAllah.

** Saya masih tidak kuat, Allah yang banyak membantu saya menghadapi situasi ini. Alhamdulillah.

12 August 2008

Kepada-Nya Kita Kembali

Assalamualaikum warahmatullah...

Dia sudah meninggal dunia. Semalam, di Hospital Kajang. Saya diberitahu melalui telefon oleh salah seorang cucunya. Saya masih ingat pada kali pertama saya bertemu arwah. Lebih kurang empat tahun yang lepas. Saat itu, arwah masih sihat. Dia membuatkan air untuk saya, dan mengajak saya makan dan minum. Setiap kali saya tiba di rumah anaknya, saya akan bersalam dan mencium tangannya yang dipenuhi garis-garis kedut. Waktu itu, usianya sudah menginjak ke angka 86. Arwah banyak bercerita kepada saya dalam dialek Kelantan lama (ini membuatkan cucu-cucunya agak terkejut kerana saya boleh memahami dialek tersebut sedangkan mereka seringkali tidak faham apa yang dikatakan arwah, sementelah saya bukan berasal dari pantai timur).

Seringkali juga dia bercerita tentang kerinduannya kepada kampung halaman dan rumahnya di Kelantan. Dalam kesibukan saya, saya masih juga cuba memenuhi keinginan seorang wanita yang sudah berusia sepertinya dan kerinduannya kepada kampung yang sering ditinggalkan. Pun, saya faham kerana dia keseorangan di sana kerana anak-anaknya semuanya sudah menetap di sini. Mereka semua risau kerana arwah sering sakit-sakit pada masa itu.

Sejak setahun lepas, badannya sering tidak sihat. Dia hanya terlantar, dan ingatannya sudah semakin kurang. Jika dia tidak tidur semasa saya datang, saya akan bersalam dan mencium dua tangannya. Selalunya, dia masih tersenyum kepada saya. Malah, arwah gemar makan roti jala, paling saya ingat apabila arwah meminta cucunya membelikan roti jala, diberikannya duit pada sebelah petang walhal roti jala tersebut hanya boleh dibeli pada keesokan harinya. Saya banyak belajar tentang kehidupan seorang wanita berusia darinya. Kasih sayang cucu-cucu, menantu-menantu dan anak-anaknya sangat banyak untuk dirinya.

Semoga Allah melimpahi rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan rohnya di kalangan roh-roh orang-orang yang beriman, insyaAllah.