Dunia yang sempurna dengan kebaikan ibarat sebuah ladang yang subur dan dipenuhi tanaman yang bermanfaat dan dapat dituai pada masa yang tepat untuk dibawa pulang sebagai bekal di akhirat yang kekal abadi. Berjihadlah di ladangmu kerana Allah yang Maha Esa.
22 May 2009
Jaga Kesihatan
16 May 2009
Hati Seorang Ibu, dan Guru
Saya rasa saya seorang guru yang kurang bagus;
1. Mengajar tidak ikut silibus (dari segi agama, peribadi, pengetahuan am, cerita semasa, motivasi, hadis - semuanya boleh saya selitkan dalam satu sesi walau sesi tersebut adalah sesi subjek Matematik).
2. Membuat paksaan supaya setiap pelajar saya bukan hanya sekadar belajar untuk peperiksaan tetapi juga belajar kerana ingin menuntut dan mendapatkan ilmu.
3. Membuat paksaan supaya setiap pelajar berfikir sendiri dan jangan hanya mengharapkan kehadiran saya sahaja untuk menjawab semua persoalan yang boleh difikirkan oleh pelajar sendiri.
4. Menerapkan kepentingan dan kualiti masa - jika dua jam belajar dengan saya, pastikan kualiti ilmu yang diperolehi dan boleh disematkan di minda juga adalah dua jam - bukannya guna masa dua jam untuk kualiti ilmu hanya sekadar 15 minit.
5. Memaksa pelajar solat dahulu sebelum belajar dengan saya (jika kena pada masa solat).
6. Mendenda pelajar yang tidak membuat latihan.
7. Memastikan pelajar tidak hanya terus menerima ilmu sahaja tanpa berfikir logik tidaknya ilmu tersebut. Saya sentiasa menyatakan bahawa - cikgu sendiri di hadapan kamu ini, kamu jangan percaya kata-kata saya, cuba kaji kata-kata saya ni betul ataupun tidak.
8. Memastikan pelajar benar-benar faham tentang suatu topik, kemudian barulah berpindah ke topik lain. Biar lama mana masa yang diambil, saya mahu pelajar-pelajar saya dapat faham semuanya dengan tepat dan sempurna.
9. Saya tidak akan datang mengajar sekiranya pelajar saya tidak menunjukkan kesungguhan hendak belajar walaupun sekiranya saya dapat mengajar lebih, pendapatan bulanan saya jua akan meningkat. Bukan duit yang saya raih, tapi kejayaan setiap pelajar saya di dunia dan di akhirat yang saya mahukan.
Huh! Saya memang bukan seorang cikgu yang bagus. Pun, Alhamdulillah.....dari pagi hingga ke malam hari ini, telefon mobil saya tidak putus menerima ucapan Selamat Hari Guru dari beberapa orang pelajar saya. Terima kasih.
Dari 'title' cikgu inilah, saya menyelami hati seorang ibu. Saya nampak kasih ibu di dalam diri seorang guru. Pastilah guru-guru saya dulu juga begini rasanya.
Ibu, yang tidak putus membekalkan ilmu.
Ibu, yang tidak jemu memaksa anak-anak masuk ke syurga dengan solat dan akhlak baik.
Ibu, yang tidak jemu memastikan anak-anak mendapat yang terbaik dalam hidup.
Ibu, yang tidak jemu menzahirkan kasihnya, walau anak-anak tidak sedar.
Ibu, yang tidak jemu berbangga dengan kejayaan anak-anaknya.
Ibu, yang kasihnya tidak putus, sayangnya tidak pernah hilang.
Saya dapat melihat, menyelami, mendalami dan memerhati, kasih seorang ibu kepada anaknya, dari semua ibu kepada pelajar-pelajar saya.
Selamat Hari Ibu, dan Selamat Hari Guru. Semoga Allah meredhai semua ibu-ibu dan semua guru-guru samada yang masih hidup, atau yang sudah meninggal dunia. InsyaAllah.
13 May 2009
Peristiwa 13 Mei
Pertama : Saya 'terpaksa' menggelakkan (gelak belakang dan gelak depan) salah seorang pegawai yang menghubungi saya dan bertanya tentang 'cara ubah procedure' supaya bersesuaian dengan situasi yang dikehendakinya. Nampak benar silap orang kerana saya tidak akan buat 'cara ubah procedure' supaya boleh disesuaikan sesuka hati dengan kehendak mana-mana pihak yang berkepentingan.
Kedua : Saya 'terpaksa' menolak dan membatalkan kerja konkrit yang dilaksanakan dalam hujan lebat. Sangat mudah, batu sudah terkeluar ke permukaan, simen sudah mencair dan air bertakung di merata-rata bahagian struktur yang dikonkrit. Saya saja menjenguk, tidak sangka 'jengukan' saya mengejutkan saya sendiri. Implikasi sekiranya dibiarkan ; kesan buruk pada struktur dan keteguhan bangunan tidak ada. Saya minta dibuang yang memang nyata rosak, mereka berdegil. Jadi, saya berkeras. Mereka bercerita tentang rugi, saya bercerita tentang kualiti.
Sungguh benar hari ini mengundang seribu macam cerita. Saya pun tidak sangka, hari ini 13 Mei. Semoga Allah memudahkan urusan saya, tika ini dan selama-lamanya, insyaAllah.
Maafkan, dan abaikan kerana kita tahu setiap apa yang kita lakukan, walau jadi bualan, biarlah dalam redha Allah dan setiap kesilapan yang kita perlu minta untuk dimaafkan.
10 May 2009
Sahabat Lama Zaman Remaja
Di ruangan Personaliti Guru, saya cukup terkejut melihat paparan di majalah tersebut.
Wajahnya tidak banyak berubah. Hampir sama seperti dahulu, pun menunjukkan kematangan usia yang semakin meningkat.Dahulu, sahabat ini seorang Ketua Murid di sekolah saya yang kesemuanya perempuan. Saya mula rapat dengannya apabila dia mengajak saya ke rumahnya pada cuti hujung minggu. Saya tidak sangka bahawa rupanya titik mula saya mengajar sudah bermula sewaktu saya berada di zaman persekolahan lagi. Sungguh pasti lorong pilihan Allah untuk saya ini memang lorong yang benar-benar tepat. Alhamdulillah.
Saya diajak ke rumahnya untuk mengulangkaji Matematik Tambahan / Additional Mathematics (kali kedua saya bermalam di rumah orang - kali pertama sewaktu saya tidak dapat membeli tiket untuk pulang menyambut Aidil Adha bersama emak saya semasa saya di Tingkatan Tiga - sahabat yang saya menginap di rumahnya untuk cuti Aidil Adha ini sudah meninggal dunia - AlFatihah...).
Baru saya teringat, usai mengajar, emaknya telah memberikan RM 50 kepada saya (sudah tentu waktu itu nilainya amat tinggi kepada saya - bersama 3 pasang stokin baru - kasihan benar agaknya dia melihat stokin saya yang sudah banyak lubang, pastinya...), dan kemudian hubungan saya dan sahabat ini menjadi agak rapat (ya...saya ada rasa rendah diri yang sangat tinggi di zaman kecil, remaja dan semasa di universiti dahulu - sudah tentu kerana kehidupan yang saya lalui semasa kecil hanyalah seadanya sahaja - jauh benar berbeza seperti sekarang... - pun waktu itu, walau tidak mewah, saya amat mensyukurinya...). Alhamdulillah.
Dan, inilah kehidupan sahabat saya ini sekarang. Alhamdulillah. Jika ada kelapangan dan masa, saya teringin bertemu dengannya. Melihat maklumat dirinya, dia sudah ada 2 anak, dan saya, seumur hayat ini, masih 'menyimpan hati' tanpa dapat diambil oleh sesiapa pun. Masih jua, Alhamdulillah. Jika ada izinNya, adalah. Jika tiada pun, Alhamdulillah.
09 May 2009
Penyamun dan Perompak Yang Jahat
Cerita pelajar saya, orang sangat ramai, tetapi tidak boleh menjerit kerana diacukan pisau ke badan. Aduhai! Sama saja kes ini dengan kes beberapa tahun lepas di mana seorang sahabat saya juga telah disamun (saya rasa perkataan ini lebih tepat) di kawasan yang sama. Sudah patut ada polis yang meronda di kawasan antara Sogo dan Bank Negara ini.
Tekniknya mudah. Penyamun moden ini berkumpulan. Nampak seorang mangsa, masing-masing akan berkumpul di sekeliling kita dan menghalang laluan kita. Kemudian, terus dihunus pisau dan diarahkan kita mengeluarkan semua barang berharga. Malah, kalau keluarkan duit di ATM di Sogo tu, berhati-hatilah sebab pada pendapat saya, penyamun dan perompak lebih ramai dari orang yang hendak membeli-belah. Kita saja yang tak kenal kerana penyamun dan perompak sekarang pun sudah pandai pakai kot.
Sungguh tidak berhemah! Sungguh tidak ada adab dan sopan. Sungguh tidak ada sivik. Rugi saja jadi rakyat Malaysia, tapi suka mengambil hak orang lain tanpa izin. Kerja malas, hanya tahu menunjuk hebat dengan merampas hak orang lain. Sungguh banyak benar dosa orang serupa ini. Malah, pada saya, untuk satu kes ragut di Kelantan yang melibatkan seorang wanita hamil yang maut dan di dalam dompetnya cuma ada RM2, lagilah menyedihkan dan menyebalkan. Kenapa ada sikap yang teruk ini di dalam diri rakyat Malaysia?
Saya rasa, peragut ini boleh dilabel sebagai pembunuh kerana memang para peragut dan penyamun ni bukannya ambil kira tentang nyawa orang lain pun. Mereka ni jenis mementingkan nyawa sendiri saja. Macamlah nak hidup lama dan menongkat dunia, tak sedar yang kehidupan dunia ini hanya sementara. Jadi, pada saya, untuk hukum peragut, penyamun dan perompak ni, sepatutnya dihukum di bawah Akta Membunuh Dengan Sengaja. Kalau setakat denda sahaja, itu yang jadi penyebab kes-kes sebegini berleluasa.
Tak ada kesedaran beragama (kalau bawa title penganut agama Islam, lagilah malu...malu pada Allah, malu pada Rasulullah, malu pada para ulama dan malu pada orang bukan Islam...), tak ada kesedaran bermasyarakat, tak ada rasa perikemanusiaan. Kasihan, nampaknya haiwan pun lebih tinggi taraf nak dibandingkan dengan orang serupa ini sebab orang serupa ini seolah-olah sudah tidak boleh berfikir tentang baik buruk tindakan mereka. Bukankah beza antara manusia dan haiwan itu adalah kerana manusia boleh berfikir tetapi haiwan tidak boleh berfikir?
Wahai penyamun dan perompak sekelian, duit yang kamu semua ambil tu tak diberkati Allah! Rugi dunia, rugi akhirat. Cuba kalau emak, isteri, adik dan kakak atau anak-anak kamu yang kena ragut dan mati, barulah nak sedarkan diri agaknya.
03 May 2009
Typical Malaysian?
kata seorang arkitek kepada saya di mana saya mengajar anaknya. Pernah bekerja bersama saya untuk suatu tapak kolej beberapa tahun lepas, katanya saya bukan 'typical Malaysian' kerana sering memanjat 'elevated water tank' dari jenis 'mushroom', walaupun pada dasarnya, tidak ramai yang akan berbuat demikian, walaupun oleh seorang jurutera lelaki. Dia sendiri tahu, 'elevated water tank' jenis 'mushroom' setinggi bangunan 5 tingkat dengan tangga jenis 'cat ladder' itu bukan mudah untuk dipanjat. Tangganya kadangkala basah apabila terdapat percikan air, licin dan merbahaya.
Ya, saya memanjatnya, kerana mahu memastikan kualiti beberapa buah tangki air tersebut. Kuantiti air yang disimpan bukannya sedikit, terkadang mencapai sehingga 200,000 gallon, takkanlah saya tidak mahu memeriksa kualiti kerja terutama dari segi struktur tangki air tersebut. Malah, pernah terserempak dengan kerja yang tidak ada kualiti pun. Lalu, saya meminta kontraktor segera membaikinya. Perlu panjat pula beberapa kali bagi sesebuah tangki air bagi memastikan kerosakan tersebut dibaiki dengan benar-benar sempurna. Semuanya untuk kemudahan dan keselesaan pengguna.
Malah, tudung yang menyaluti kepala saya adalah tudung bidang 60' tanpa fesyen (labuh terus ke bawah dan dipin di tiga bahagian supaya tidak sedikit pun terselak) dengan baju yang agak labuh dan seluar yang sedikit longgar. Pakaian yang saya rasa sesuai untuk aktiviti panjat-memanjat, sesuai dengan tugas saya. Tujuan saya hanya satu, tugas yang diamanahkan akan saya galas sebaiknya kerana bukan hanya rakyat, pengguna atau boss yang akan bertanya, malah saya sentiasa menyematkan bahawa di hadapan Allah nanti juga saya akan ditanya tentang amanah yang saya galas dan apa tindakan yang telah saya ambil untuk melunaskan amanah tersebut dengan sebaiknya.
Bukan untuk pujian. Bukan untuk anugerah. Bukan untuk dibanggakan.
Saya hanya menggalas amanah di atas pundak saya sebagai seorang khalifah di muka bumi milik Allah yang Maha Besar dan Maha Berkuasa ini.
"Typical Malaysian" itu pula ditimbulkan kerana dia mahu bercerita tentang saya kepada anak-anaknya, iaitu pelajar-pelajar saya.
Katanya kepada anak-anaknya, " "Cikgu ini bukan 'typical Malaysian'. Dia boleh menghabiskan cuti 3 harinya dengan mengajar sahaja tanpa menggunakan masa cutinya untuk berehat sedangkan kamu berdua ni, nak di'pampered' saja tanpa pernah berfikir untuk berusaha sendiri dan berdikari. Tak ada inisiatif untuk berubah, hanya menjadi pak turut dan melihat apa yang orang lain buat dan ikut tanpa berfikir baik-buruk tindakan orang lain..."
Mendengar kata-katanya, saya mula berfikir : sungguh benar majoriti rakyat Malaysia begitukah perangainya? Bila agaknya 'typical Malaysian' akan berubah dan meningkatkan taraf berfikir? Fikirlah, dan berubahlah sekarang. Jangan jadi 'typical Malaysian'...
02 May 2009
Sambutan Hari Pekerja Yang Bekerja
Ada telur penyu (saya pernah merasanya sekali sebelum ini - hendak kata suka sangat pun tidak, tapi untuk merasanya lagi, tidak ada masalah...insyaAllah...lagipun, apabila orang menghulur, jangan ditolak) dan sebungkus ikan bilis dari Shah Alam (dari rumah pelajar saya di Shah Alam, yang pasti tidak ada penyu di Shah Alam) dan ada 4 biji mangga dari Puncak Jalil (juga pokoknya bukan di Puncak Jalil, tetapi di tengah Kuala Lumpur). Alhamdulillah.
Ditambah dengan bateri kereta saya yang tamat jangka hayatnya semalam - memang sudah patut habis tugas bateri tersebut kerana saya menukarnya pada bulan 4 tahun 2007. 'Orang solo' seperti saya, bila tamat riwayat bateri, sudah pernah mengalaminya dua kali sebelum ini. Jadi, sudah hilang panik. Semuanya....banyak benar yang dimudahkan Allah. Alhamdulillah.