18 July 2006

Yang itu dunia, yang ini akhirat.

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Pagi semalam (17 Julai 2006) - baru saya sedar, entri saya asyik tidak menepati tarikh. Hari ini, saya ungkapkan yang semalam. Yang semalam, saya ungkapkan untuk minggu lepas. Agaknya saya ini tidak pandai mengurus masa - ayat negatif lagi! (dan saya tersenyum sendiri)

Buru-buru juga saya ke pejabat kerana sedikit terlewat. Kerana mesyuarat yang perlu dihadiri, dan kerana saya sendiri yang mengkoordinasi mesyuarat tersebut, saya perlu akur untuk hadir - rasa dahi dan terasa panas, aduh...saya demam lagi! Itu dunia, dan yang itu untuk tinggal di dunia, dan dengan iman, ikhlas dan ihsan, insyaAllah 'yang dunia' itu akan jadi ibadat. Ibadat itu untukNya, dan bukan untuk saya, kerana saya tinggal 'percuma' di sini - memetik sedikit ucapan Ustaz Zawawi pagi tadi.

Yang 'percuma' itu yang sering kita tidak sedar.

Mungkin agaknya kalau begini, sekali 'dosa kecil' kita buat, Dia ambil satu jari kelingking kita. Sekali 'dosa besar' pula, Dia ambil satu tangan kita. Dan setiap kali 'dosa kecil' dan 'besar' berulang-ulang kita lakukan, akhirnya kita tidak tinggal apa-apa pada badan. Mata sudah tiada, tangan, kaki, telinga, mulut, hidung, organ dalaman badan, semuanya tiada. Baru kita tahu betapa selama ini rahmat Allah amat besar.

Tak sedar, mana dunia, mana akhirat. Tak sedar, yang dunia itu untuk akhirat. Tak sedar, yang untuk akhirat, ada jua imbuhannya dari Allah semasa di dunia. Tak sedar, kalau nyawa sudah sampai di rengkungan, tiada taubat yang mampu dipanjatkan padaNya.

Sering kita tidak sedar, di penghujung dunia, tiada apa-apa, tapi di penghujung kehidupan, kain kapan putih itu sajalah yang kita akan bawa. Tiada selainnya. Jika dunia kita hanya dunia, dan akhirat...kita alpa.

Untung-untung hanya di dunia.

17 July 2006

Dedah, perlukah?

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Saya keletihan. Dua hari saya mengusung buku pengajaran. Di mana ada singgahan, di situ saya lena, walau sekejapan. Hingga ke kemuncaknya, petang semalam (16 Julai 2006). Saya longlai, akhirnya. Pun saya gagahkan, menabur ilmu sesempurna yang dipinjamkan Allah kepada saya, insyaAllah. Alhamdulillah.

Pun, di saat 'anak sulung' saya menelefon meminta saya balik ke rumah abang - bulan ini saja baru dua kali saya berjumpa dia sebenarnya kerana dia dan adik-adiknya duduk di kampung hampir dua minggu bersama uminya - malam tadi, saya terus membatalkan satu kelas. Syarat pertama saya membatalkan kelas, saya sudah longlai - demam dan mengantuk - bila saat memandu pun tidak mampu membuka mata, mahu buat apa lagi? Syarat kedua, saya sendiri rindukan bantal dan katil di rumah. Rindukan buku-buku saya, dan yang paling utama, saya rindukan ketukan keyboard laptop saya yang sengaja saya tinggalkan di rumah kerana kesibukan saya. Syarat ketiga, pastinya kerana saya rindukan 'anak-anak'. Lihat 'anak-anak', saya tahu, dan saya boleh rasakan, tercampak jauh segala keletihan yang tertanggung.

Jadi, saya balik malam tadi. Sebelum bertolak balik, adik kepada anak murid saya - si kecil berusia dua tahun lebih - rapat duduknya di atas riba saya. Walau mama-nya dan dua orang kakaknya cuba mengambil dia kerana saya hendak balik, dia tidak mahu. Yang lebih comel, dia melambai tangan kepada mama dan dua orang kakaknya seolah-olah dia memang mahu mengikut saya. Suka benar dia dengan saya, walau berulang jua mamanya menyebut yang si kecil Adam itu bukan suka dengan orang lain walaupun ibu atau bapa saudaranya sendiri, tapi kalau jumpa saya, pelbagai ragamnya. Hendak ikut balik pun sudah berulangkali!

Tiba di rumah, 'anak-anak' sudah melompat di hadapan pintu : Ye ye....mak ngah balik....
dan saya hanya tersenyum, mencium dan memeluk seorang demi seorang dan berbual dengan kakak. Abang, pastinya bekerja. Lebih kurang pukul 11 malam, saya segera minta diri untuk tidur. Letih amat. Kerinduan pada bantal dan bilik pun terluah. Malah pada laptop jua. Ada saja oceh saya walau dalam letih. Sedikit saja, memadai untuk meluah rindu.

Pagi tadi, saya bangun agak awal. Di dalam perjalanan, sambil-sambil mendengar radio IKIM, saya terkesima. Sudah terDEDAH? sudah diPUTUS? jadi, saya perhati lagi dan perhatikan, mungkin dari pelbagai aspek, kerana saya juga orang awam dan ada tugas-tugas yang telah diamanahkan oleh Allah kepada saya.

Oklah. Ini saya. Rahsia perlu disimpan, sebenarnya. Memang rakyat mahukan maklumat, kerana dalam dunia ini, maklumat itulah nadi kepada sesuatu perkara. Tanpa maklumat, pincanglah sesuatu perkara itu. Tapi, dalam sesetengah keadaan, memang rahsia-rahsia yang memang rahsia itu perlu disimpan. Itu sudah namanya rahsia, kalau sudah didedah kepada satu dunia, apakah sehingga ke tahap ini satu-satu pentadbiran harus didedahkan? Apakah langkah-langkah dan segala dasar-dasar atau peraturan perlu dibuka semuanya? Biar seantero dunia tahu, agaknya. Sudahnya, kita tidak kebal. Kita jadi malap, dan lama kelamaan, semua kita akan padam bersama terpadamnya sebuah kekukuhan.

Mulanya, saya perlu maklumkan dulu, memang saya tidak terlibat langsung dengan mana-mana cerita pincang yang sedang 'popular' sekarang. Saya hanya orang biasa, masih hijau dan mentah. Semangat pada diri saya hanya semangat jihad yang saya diberi pinjam olehNya. Selain itu, saya tidak ada apa-apa. Saya orang miskin yang terlalu miskin, menumpang di dunia ini hanya untuk berjihad dan mencari redhaNya.

Saya sering mengibaratkan saya seperti pengembara sementara yang menumpang di sini, di dunia ini. Ada pohon rendang untuk saya berteduh dari terik suria, alhamdulillah. Ada sebiji buah di atas pokok rendang tersebut untuk saya jamah sedikit, alhamdulillah. Ada seteguk air dari hujan yang turun sesekali, alhamdulillah. Tiada apa yang mahu saya kutip dan jadikan harta di pohon itu. Nanti berjalan lagi, jumpa pohon lagi, jua...alhamdulillah. Dapat menghirup oksigen, jua alhamdulillah. Banyak yang Allah telah berikan, dari perjalanan awal saya hinggalah nanti bila saya sudah tiba ke penghujung jalan. Semuanya....alhamdulillah.

Jadi, saya sendiri rasa, usahlah dasar dibuka-buka. Rahsia dihebah-hebah. Itu semua tidak perlu kerana kita semua bukannya nak tahu sangat pun, yang penting pelakunya. Amanahkah dia? Jujurkah dia? Teluskah dia? Berlandaskan hukum yang hak-kah setiap tindakannya? Itu yang dikatakan bahawa pemimpin yang adil itu, jika sentiasa adil, walau tanpa bukti pun, rakyat tidak akan mencela. Rakyat tidak menghina, rakyat tidak menduga. Kerana hadirnya seperti permata, mengalirnya seperti air, kebaikannya tertabur seperti apa yang dikehendaki olehNya. Semuanya berlandas padaNya.

Pincang? Banyak perkara memang pincang, tapi berapa ramai yang sedar? Jika dihitung yang pincang itu, memang tidak terhitung. Saat ini, cukuplah. Tolehlah kanan dan kiri pun, kita memang sudah nampak banyak kepincangan di sekeliling kita. Sedarkah kita akan setiap kepincangan itu? Apakah dengan membuka rahsia dan pentadbiran, kita akan lebih kukuh di masa hadapan.

Usahlah terlalu memomokkan diri dengan angan-angan andai diri kita masih tidak mampu bertunjangkan peninggalan Rasulullah itu. Pusatkan diri, tanamkan di dalam diri kita, bukan diri orang sekeliling kita, yang kita ini selaras dengan semuanya - kehendak Yang Maha Esa, kehendak masyarakat dan kehendak diri. Belek-beleklah diri, kita bukan sempurna, jadi..fikirlah. Sebagai pemimpin, apa imbuhan kita kepada rakyat dan negara?

13 July 2006

Pengembara 5

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Semalam, hari apa agaknya (tertanya-tanya tentang hari lagi...nampak yang saya masih tidak fokus dalam minggu ini). Hari Rabu. 12 Julai 2006. Mulanya, saya rasa saya bangun agak lewat. Jam di paparan telefon saya sudah menunjukkan 6.05 pagi (walau waktu sebenar masih belum pukul 6 pagi pun) di saat saya mula membuka mata. Letih agaknya, tidak sedar alarm yang berbunyi pada pukul 5.15 pagi, waktu saya biasa bangun dan mandi di hari yang lain. 5.15 pagi (paparan di telefon sahaja) sedangkan waktu sebenar baru pukul 5.00 pagi sebenarnya.

Usai mandi dan solat Subuh, saya menarik buku Kemuliaan Para Wali yang terletak di hujung sujud. Selalu tertangguh membacanya, hinggakan walau diusung ke hulu dan ke hilir, mundar mandir, saya masih tidak upaya menghabiskan satu bab seluruhnya. Dapat baca satu atau dua hadis, saya sudah tutup buku tersebut dan berkemas hendak menuju ke tempat kerja. InsyaAllah, bacaan yang sedikit itu yang saya mahu fikirkan, lagipun kalau baca saja banyak, isi yang masuk tidak dapat dijadikan pengajaran, apa gunanya - ayat ini sekadar menyedapkan hati yang rusuh kerana terkadang agak tertekan dengan masa pembacaan yang singkat sedangkan hobi saya memang membaca!!

Masuk saja ke kereta, saya mula meraih tenang seperti yang tercatit dalam hadis tadi - latihkan diri walau selalu cuba meraih tenang, yang ini lebih mudah agaknya kerana disandarkan pada Rasulullah SAW - insyaAllah. Alhamdulillah. Tersekat dalam kesesakan jalan raya di hadapan padang TUDM pun, saya masih boleh tersenyum. Mungkin jua kerana paparan jam tangan menunjukkan jam baru pukul 6.55 pagi. Saya terasa masih 'lega' walau saya tahu saya tidak perlu 'punch card' untuk hari ini. Bukan tergesa-gesa, cuma saya tidak mahu ada yang perlu menanti saya sedangkan saya lebih suka menjadi orang yang menanti...

Tiba sahaja di pejabat utama, saya terus ke tempat meletak kereta. Hati saya makin resah.

"Apa yang nak dicakapkan agaknya? Mahukah terima alasan saya berjumpanya?"

"Perlukah saya jelaskan saja apa yang saya nak hasilkan dari perbincangan ini?"

"Adakah dia akan menjadi negatif atau positif? Setahu saya, orangnya positif.."

Bermacam ulasan dan pertanyaan berpusing-pusing di dalam kepala saya. Almaklum, orang yang saya hendak jumpa bukan kenalan lama, bukan pula kawan sepejabat, malah bukan kenalan seangkatan dengan saya pun. Kalau saya masih 'hijau' dan masih mentah, ibarat anak ikan yang baru lahir semalam dan mula hendak meredah lautan luas, dia agaknya sudah jadi ikan paus tua, sudah banyak perjalanan jauh dan lautan yang diredahnya. Cetek benar pengalaman saya dalam bidang yang hendak saya bincangkan dengan dia ini.

Pun, perjumpaan itu berlangsung jua. Melihat roman wajahnya, saya tahu, dia masih sama seperti kali pertama saya berjumpa dengannya di dalam satu mesyuarat. Kali kedua pula saya bertemu dengannya di dalam satu seminar yang saya hadiri di mana dia menjadi perasminya. Dia jua menegur saya pada waktu itu. Kali ini, kali ketiga dalam tempoh awal saya bekerja di sini, dan saya berjumpa lagi dengannya.

Kawan di sebelah saya (staff dia sendiri) terus bertanya pada dia,

"Tuan Haji kenal kawan saya ni?"

-"Kenal" - dan dia tersenyum sedikit...sahih...dia masih mengingati saya, walau air mukanya agak serius juga. Melihat anggukannya yang berulang-ulang, timbul satu rasa 'selamat' di hati saya.

Perbincangan itu berjalan jua, dan maklumat yang diberinya, sama jua seperti apa yang pernah disebutnya di dalam mesyuarat di mana saya berjumpa dia buat kali pertama. Alhamdulillah. Asam garam 'kerja' itu saya maklumi jua. Kehidupan seperti roda itu, saya jua turut faham tentangnya. Biasalah, sudah alah dengan pelbagai masalah, saya hanya mahu belajar dan belajar dan terus belajar. Selama ini pun, hanya padaNya masalah itu saya adukan. Dan, usai perbincangan itu, saya jadi lebih yakin. Amanatnya kepada saya : Tukarkan beg lama itu dengan beg baru dan simpan dahulu beg lama itu. Penuhkan dahulu beg yang baru untuk kegunaan sekarang....jangan dipermainkan lagi...pastikan ada basis....dan proof.... - dan saya belajar lagi. Alhamdulillah. PadaNya saya panjatkan rasa syukur yang tidak terhingga.

Usai perbincangan, saya menghala ke pejabat saya. Kalau pagi tadi saya di dalam perjalanan, saya dihidangkan dengan lampu hijau yang asyik menyala di setiap persimpangan yang saya lalui, perjalanan yang kurang sesak jika dibandingkan hari biasa dan kereta-kereta yang tidak banyak, cahaya matahari terbit yang sangat indah dan menusuk jauh ke dalam diri saya, sama jua dengan perjalanan ke pejabat selepas perbincangan. Jalannya amat lengang, dan saya seperti tidak terasa yang saya sedang memandu di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur!

Ketua saya asyik bertanya dan mengkaji gerak cerita yang saya paparkan kepadanya di sepanjang perbincangan tadi. Saya hanya bercerita seadanya dan mula mengambil pilihan untuk bertindak seperti yang telah dinyatakan kepada saya. Saya jadi diam, tenang dan lebih tabah, walau jauh di sudut hati saya sendiri tahu, bukan mudah untuk menegakkan kebenaran, dan inilah yang mahu saya lakukan. Saya mahu perjuangkan yang benar itu walau pahitnya saya telan dalam-dalam. Saya tidak ada kuasa apa-apa, tapi saya hanya mahu meminta dariNya yang Maha Berkuasa. Adakah Yang Maha Kuasa akan menghampakan saya andai saya jujur dan ikhlas? Memang sukar, kerana siapalah saya, tapi insyaAllah...sabar dan istiqamah yang disuruh pupuk olehNya, dan saya perlu menunggu....cuma....jangan 'jatuh merudum' hanya kerana tidak sabar dan lelah mencuba mencari benar!

Petangnya, saya mengajar seperti biasa. Sama jua malamnya. Jihad ini, andai saya mahu teruskan, hanya Dia saksinya...kerana tiada persaksian yang lebih besar dari persaksianNya....dan saya hanyalah hambaNya yang amat lemah.

Ya Allah...bantulah hambaMu ini mencari benar dan menegakkan yang benar...hanya padaMu hambaMu ini berserah...kerana miskinnya hambaMu ini, setitik air pun tidak dimiliki di dunia ini...yang telah Kau pinjamkan, itu sajalah yang ada....Kau Yang Maha Berkuasa...

11 July 2006

Pengembara 4

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Kembara lagi...

Lama benar rasanya tidak menulis di sini. Masalah dengan komputer dan networking dan kesibukan yang tidak terungkap membuatkan saya lebih suka memilih untuk 'mendiamkan diri' sahaja.

Macam minggu lepas, Isnin dan Selasa saya berada di Kuantan. Rabu pula, saya diarahkan bertugas di Parlimen. Isu apa Rabu lepas semasa di Parlimen, saya disogokkan dengan pendedahan tentang pelbagai isu yang membuatkan saya 'mencelikkan mata' bahawa bukan semua yang saya sangka elok dan baik itu indah dan sempurna dan bukan semua yang buruk dan hodoh itu langsung tidak sempurna.

Khamis pula, saya diarahkan pula ke Tanjung Malim. Satu lagi projek yang perlu disiapkan - ditambah masuk ke dalam akaun saya - terfikir lagi, mampukah saya tunaikan amanah ini? Hanya Allah yang Maha Memahami dan hanya Dia yang Maha Membantu. Semoga saya dipermudahkanNya...insyaAllah.

Pun, Khamis malam saya sudah berada di rumah atas urusan keluarga. Saya cuba selesaikan sebaiknya dengan hati yang penuh iltizam. Saya tahu saya tidak mampu, tapi saya cuba juga berusaha. Sikap tidak putus asa yang ada dalam diri saya ini agaknya yang menjadikan saya cukup 'kukuh'. Ermm..terima kasih padaNya yang telah meminjamkan dan melebihkan sifat tidak mengalah ini di dalam diri saya. Tidak berputus asa walau pelbagai dugaan yang menimpa...InsyaAllah.

Pagi Jumaat lepas, saya terlewat bangun. Mungkin kerana fikiran yang langsung tidak 'rehat', saya jadi penat walau dalam tidur. Janji dengan sahabat di pejabat, saya tangguhkan. Sudahnya, saya tiba di pejabat seawal 8.35 pagi. Buru-buru saya masuk ke kereta dan bergerak semula ke Pahang. Outstation lagi. Minggu ini saja, sekali pun saya tidak masuk ke ofis lagi. Semua urusan dibuat dalam 'panggilan telefon'. Mujur sahaja bahan berteknologi itu sudah diaplikasikan dengan agak meluas pada masa ini, kalau tidak, cuba bayangkan kalau saya berada di zaman 100 tahun dahulu agaknya...tentu saja saya tidak dapat menulis seperti ini, pastinya.

Pulang dari Pahang, saya terus mengajar. Petangnya, dan juga malamnya. Kalau boleh tidak mahu terlepas lagi kerana anak-anak murid sudah hampir benar dengan waktu peperiksaan. Saya tahu saya lemah, tapi selagi kaki boleh melangkah dan tulang belakang boleh tegak, ada amanahNya yang perlu saya lunaskan di sini....sebelum saya berhijrah ke sana pula....inilah amanahNya, dan semoga ada redha dan rahmat anugerahNya untuk saya.

Saya buntu, tapi saya cuba lakukan yang terbaik asal saja ia mampu membahagiakan sekurang-kurang 100 peratus manusia di sekeliling saya. Walaupun mungkin tidak pernah mencapai target yang saya mahukan, sekurang-kurangnya saya telah berusaha, dan semoga usaha saya diredhaiNya.

Ya Allah, bantulah hambaMu yang buntu ini.

13 June 2006

Pengembara 3

Assalamu'alaikum warahmatullah...

7 Jun 2006. Saya ke Setapak pula. Pelbagai timbunan tugasan yang harus saya lunaskan. Pun, saya jadi kuat. Bangkit bersama sebuah semangat, senyuman, ketabahan, walau hakikatnya apa yang ada di dalam hati, apa yang tidak saya luahkan dalam kata-kata saya, dalam air mata yang tidak nyata dizahirkan, kesedihan yang tidak terungkap, saya simpan semuanya sendiri. Hanya kerana Dia, hanya kerana Dia masih ada di sisi saya, sentiasa ada tidak berganjak, hanya kerana Dia yang Maha Kuasa, saya jadi setabah ini. Setelah derita yang hebat ini saya tempuhi. Saya tahu, saya amat tersiksa. Saya tahu, saya amat derita. Tapi, saya kena sabar. Kerana dunia ini hanya sementara. Saya kena tabah, kerana Dia sentiasa ada. Tempat saya mengadu harap.

Saya tahu, dan saya dapat rasakan, saya diingatkan berulangkali, ada rahmat, ada hikmah, yang saya tak akan pernah tahu waktu ini hinggalah saya melaluinya kelak. InsyaAllah. Dia, dan janjiNya pada manusia-manusia yang sabar, pada hambaNya yang lemah dan hina seperti saya. Dia yang Maha Tepat, dan kerana itu saya bertahan. Kuatkah saya? Tidak juga, kerana kekuatan ini adalah pinjamanNya, anugerahNya. Saya minta, dan Dia berikan. Alhamdulillah. Jika tidak diberikan pun, alhamdulillah. Selagi saya masih bernafas, nikmat oksigen yang masuk ke dalam setiap rengkung nafas saya itu saja sudah cukup menyatakan betapa Maha Pengasih dan Penyayangnya Dia. Dia yang tidak pernah melupakan saya, tapi saya yang sering melupakan Dia.

8 Jun 2006. Saya lelah lagi. Kepenatan. Harus tersenyum, hanya kerana senyuman saja yang menyebabkan saya jadi selesa. Jadi tidak merasa amarah beraja di hati saya. Walau setiap kali menginjak ke dalam kereta, ada air mata yang tidak tertahan. Saya akui, saya menangis dengan hebatnya. Setiap kali masuk ke kereta saya. Berulang-ulang jua saya sebut namaNya. Saya tidak tertahan, dan saya cuma ada Dia. Tiada yang lain, kini. Memang saya kembara, keseorangan di sini.

9 Jun 2006. Rupanya, ketabahan itu terlepas jua. Maafkan saya, hanya sekali, dan saya tidak mahu rasa bersalah ini mengorek setiap inci tidur saya dan meragut lena saya yang bersulam kepenatan. Cukuplah saya luahkan, walau hanya pada dinding batu yang kaku dan sepi setiap kali mata saya hampir tertutup. Saya cuba tabahkan hati sebaiknya, walau sesekali saya kalah. Ya Allah, dalam kepiluan ini, hanya kasihMu dan ampunanMu kuharapkan. HambaMu ini amat lemah, dan telah berdosa kepadaMu. Ampunilah hambaMu yang hina ini.

10 Jun 2006. Saya meredah semula laluan biasa saya. Mencurahkan ilmu sebanyak mungkin. Nyata, kesihatan tidak mengizinkan saya. Setiap kelas yang habis, masuk saja ke kereta, pada kereta saya yang masih kukuh, saya luahkan rasa sedih, penat, sakit, sayu dan rindu saya. Di dalam kereta jua, saya mengalirkan air mata berjuraian. Nyata, saya amat rindu. Hendak meluah rasa penat dan sakit yang tidak tertahan. Tidak tertahan, rasa sayang membuak-buak yang saya bajai dengan nama Allah yang Maha Esa. Hanya Dia yang Maha Mengetahui rindu saya ini. Hakikatnya, inilah rindu saya. Saya terasa amat rindu. Rindu amat. Rindu saya yang tidak terluah.

11 Jun 2006. Saya batalkan semua 'kelas pengajaran' saya. Emak, abah dan adik sudah tiba di rumah malam tadi. Lebih kurang pukul 8 pagi, saya sudah 'terpacak' di hadapan rumah di Negeri Sembilan. Rasa letih teramat sangat, saya terasa kesihatan yang semakin merudum jatuh. Pun, bila perlu menghantar emak dan abah, saya gagahkan juga diri. Pukul 10 pagi, saya sudah keluar semula. Mulanya, saya menjenguk kedai ubat mencari air Musoffa dahulu. Buat ubat untuk abah. Kasihan abah. Kakinya sakit. Dan saya melayan abah sebaiknya. Emak jua. Dan,bukan setakat air Musoffa, abah dan emak saya bekalkan sepasang pakaian lengkap. Sepasang kasut juga. Baju baru, kata emak, dan abah hanya tersenyum. Terima kasih, kata abah pula.

Tidak pernah lagi saya rasa sebahagia ini. Ibarat duit yang mengalir keluar dari dompet saya tidak terasa. Saya amat selesa kerana mampu menambah rasa bahagia di jiwa mereka. Walau saya bukanlah anak yang baik, tapi inilah rasa hati saya. Saya bahagia kerana mampu membahagiakan mereka berdua.

Dan, setelah menghantar emak dan abah ke stesen bas (kalau tidak kerana kerja pada esok hari dan ada mesyuarat yang perlu dihadiri, pagi itu juga saya sudah memandu pulang ke kampung untuk menghantar mereka berdua), barulah saya balik ke rumah. Hilang jua sedikit letih sebelum petangnya saya menghantar pula adik saya balik ke asrama. Setelah melayan 'anak-anak', barulah saya merebahkan diri untuk berehat. Rasa sakit, penat dan letih bersulam menjadi satu di dalam lena saya yang tidak tetap. Saya asyik terjaga, terlalu penat dan rasa sakit silih berganti. Dan, namaNya saya sebut berulangkali. Kini, Dialah segalanya. Telah saya serahkan diri, hanya padaNya. Tentukanlah hambaMu ini ya Allah, dengan ketentuan yang baik, dan jauhkanlah hambaMu ini ya Allah, dari ketentuan yang tidak baik. Ampunilah hambaMu yang berdosa ini.

Alhamdulillah.