10 August 2006

Itu Cuma Mimpi

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Langkah yang saya redah,
Bersama mereka,
Di hujung laluan resah,
Di sebuah meja bulat,
Tepinya keretapi lalu,
Yang tanpa bunyi dan gegar,
Hanya nyata tika menajam fikir,
Dengan mata hati,
Terkadang kabur tanpa undang,
Resah yang tertutup,
Tanpa iman.

Ulit meja bulat,
Bukan ulah tanpa tuju,
Banyak pincang yang lolos,
Yang mata hati seiring,
Kelabu, suram dan kelam,
Kosong tiada isi,
Tanpa syukur.

Enam semua,
Tapi satu yang derita,
Pergi - jangan kembali,
Keputusan ini pasti,
Sepuluh biji memandang,
Ke arah yang kelam,
Dengan air mata,
Tiada - ada tenang dan tabah,
Lalu ditinggalkan,
Tanpa penjelasan.

Kasihan,
Lalu satu itu yang memandang - menghulur
milo ais pembasah tekak,
Kenapa ada tiga ais sahaja?
Tiada jawapan,
Cangkir yang hampir tumbang,
Tepi meja bulat yang pipih,
Digapai pantas,
Walau diusir,
Hati masih keras,
Tindakan masih kukuh,
Dan yang satu itu masih ada,
Padu meraih sokong,
Tanpa kuasa.

Hakikat ini,
Yang sering terlupa,
Kerana padaNya-sering
Alpa.
Tempat kembali - hanya satu,
Tanpa dua.


(catatan mimpi : 7 Ogos 2006 - 4.45 pagi)

09 August 2006

Miskin di SINI

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Tadi, semasa baru datang, saya 'dikejutkan' dengan senikata ini :

Mereka miskin di dunia
Tidak meminta-minta
Hanya Tuhan segala...

Senikata dari sebuah lagu yang sering saya dengar sebelum ini, tetapi mungkin 'nur' itu tidak dapat saya perolehi di masa-masa yang lain sebelum ini.

Dalam konteks lagu tersebut (maksudnya mungkin amat luas berbanding anggapan yang akan saya paparkan nanti agaknya) mungkin lebih merujuk kepada benda dan harta - mungkin dari segi duit, rumah, kereta, kekayaan, kesenangan dan lain-lain perkara yang melibatkan kepada konsep sebilangan kita sekarang ini - tak ada duit, tak boleh hidup.

Tapi, tadinya, saya terkejut kerana saya 'diingatkan' tentang perkara lain. Bukan setakat harta dan benda, tapi juga tentang cinta dan kasih sayang, tentang tenang dan sabar, tentang redha dan restu, tentang kehendak dan maksud, dan pelbagai lagi. Amat luas konteks senikata itu - saya tidak pernah fikirkan sebelum ini!

Melihat dari segi ruang lingkup yang agak tertutup, apa yang akan kita pandang dari senikata itu adalah orang-orang miskin yang melarat, pengemis-pengemis yang banyak berjejeran di kaki lima-kaki lima, yang masih tinggal di bawah jambatan, di 'dalam kotak' dan sebagainya yang sama-sama kita fahami kedudukan mereka.

Tapi, kita terlupa pada golongan-golongan yang lain, contohnya; orang-orang 'berada' yang tandus cinta dan kasih sayang, yang tandus tenang dan redha, tandus kehendak dan maksud, malah mungkin juga tandus qanaah dan syukur. Kita sering terlupa, kerana yang 'material' itu telah mengaburkan kita. Kita terlupa, walau kita mungkin nampak 'berada' dan 'mewah' tapi hakikatnya kita bukan sahaja 'miskin perasaan' sahaja 'di sini', tapi kita juga akan merasa makna 'miskin' apabila di sana nanti, kerana perasaan itu yang jarang-jarang sangat kita ambil kira dan tekankan. Bukan hanya perasaan kita pastinya (ini orang-orang selfish), tapi juga perasaan makhluk satu dunia (waima benda bercakap mahupun benda tidak bercakap)!

Merujuk kepada perasaan itu sendiri, carilah di mana-mana di dunia ini, tidak ada kedai yang menjual rasa tenang, tidak ada pasaraya yang menawarkan jualan murah rasa syukur, tidak ada juga mana-mana gedung membeli belah yang akan cuba-cuba meletakkan tawadhu' di celah-celah barangan jualan mereka. Kalau ada, pasti saja saya akan segera menjadi pembeli yang pertama, kerana saya sendiri 'miskin', tidak ada apa-apa di dunia ini.

Agaknya, inilah yang sering kita lupakan, 'perasaan' yang menjadikan kita 'miskin' itu, bukan saja berdasarkan harta, tapi yang pastinya yang lainnya itu 'lebih tidak boleh dijual beli', kerana rasa itu ada di dalam diri kita sendiri, yang telah Allah anugerahi - kalau tiada, cepat-cepat pohon dari Allah kerana Allah lebih suka kepada hamba-hambaNya yang meminta padaNya - ini amat jelas. Lebih sensitif kita, maka kita akan menjadi manusia yang lembut tutur dan sabar, berperilaku dalam hidup, tidak mencari amarah orang lain, hidup bertunjangkan hanya Al Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Belek-belek diri - saya juga amat kurang - semoga 'nur' ini tersebar ke seluruh alam dan memberi hikmah kepada semua yang berfikir - berfikir lagi, juga ada di dalam Al Quran. InsyaAllah.

Ya Allah, lembutkan hati kami agar nurMu menyinari seluruh kehidupan kami, dan jua kehidupan semua hamba-hambaMu.

07 August 2006

Pengembara 8

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Alhamdulillah. Masih panjang usia saya untuk menulis di sini lagi. Menaip, sebenarnya.

Minggu lepas, 4 Ogos 2006 - Juma'at. Usai mesyuarat pada pukul 5.15 petang, saya masih ada di pejabat. Amat lega apabila tempoh masa selama seminggu telah saya lalui di pejabat ini. (Dahulu, saya tidak ada perasaan seperti ini. Perasaan ini, sejak akhir-akhir ini saja..)

Petangnya, saya masih mengajar seperti biasa. Di hujung kelas pengajaran saya, adik saya menelefon saya. Pelbagai perkara - ada beberapa perkara yang kami bualkan di dalam sepuluh minit itu. Pastinya, saya dan keluarga mendoakan semoga dia akan segera dapat menamatkan pengajiannya dengan cemerlang dan dapat segera kembali ke sisi kami, insyaAllah. (Andai ada rezeki, nanti di sini akan saya sisipkan beberapa keping foto untuk tatapannya..insyaAllah)

Usai kelas mengajar dan solat Maghrib, saya segera bergerak 'pulang'. Perjalanan di tengah bandaraya Kuala Lumpur, di hari Juma'at, di kala jam sudah menginjak ke pukul 8.30 mlm. Malam masih muda, agaknya untuk sebilangan orang, terutama untuk yang seperti saya, yang sering lewat untuk tidur. Walau terdetik jua di hati, ini ketentuanNya untuk saya, dan saya redha, kerana di tengah keriuhan dan traffic-jam yang masih wujud, saya hanya 'berseorangan' sahaja. Meredah dunia ini, dengan segala daya yang telah Dia pinjamkan kepada saya.

Tiba di sebuah stesen minyak, saya mengisi minyak, membeli dua botol air bateri dan sebungkus biskut - biskut itu buat bekal untuk 'anak-anak' supaya nanti mereka tidak merasa hampa melihat saya yang sudah lama tidak pulang ke rumah tapi dengan tangan yang hanya kosong. Lalu, perjalanan pulang saya teruskan.

Hampir menginjak ke 9.30 malam, barulah saya tiba di rumah. 'Anak-anak', amat girang. hampir seminggu saya tidak balik ke rumah, sebenarnya. Seorang demi seorang saya cium dan saya peluk, meluah rindu yang saya tahan berhari-hari juga, sekiranya tidak balik ke rumah. Usai semuanya, saya sambung berbual dengan kakak saya pula. Seminggu, pelbagai hal yang amat menyesakkan itu, sedikit sebanyak sampai jua untuk pengetahuannya. Dia, walau tiada darah serupanya di tubuh saya, kasih sayang saya padanya amat banyak. Dan saya hanya nyatakan kasih sayang itu, pada 'anak-anak' yang di dalamnya mengalir bersama darah serupa saya, dan darah serupa dia, di tubuh mereka.

Lewat juga saya tidur, malamnya. Lebih kurang pukul 1.00 pagi. Dan, apabila terjaga dalam pukul 4.00 pagi, saya terus tidak lena. Sempat juga saya menghantar satu demi satu SMS - saya tangguhkan lagi kelas pengajaran saya kerana kesihatan saya yang tidak mengizinkan. Janji saya, esok (Ahad), saya akan datang seperti biasa.

Jadi, Sabtu itu, kakak, 'anak-anak' dan saya, kami berehat sahaja di rumah. Hampir tengahari barulah kami ke pasaraya. Badan yang agak panas, saya gagahkan jua memandu kerana ada beberapa keperluan yang perlu dibeli. Kalau tidak penting, jarang kakak ikut sama. Itupun, kakak ambil kira ayat saya - mahu balik sebelum pukul 2 petang (ada rezeki saya agaknya untuk melihat tayangan tersebut, walau sebelumnya saya amat pasti, kelas pengajaran saya yang amat banyak tidak memungkinkan saya untuk melihat cerita tersebut di televisyen - saya memang amat jarang melihat TV, sebenarnya). Alhamdulillah, tiba jua di rumah seawal 2.10 petang. Duduk di hadapan televisyen dalam pukul 2.40 petang. Memang 'terlambat' sedikit, tapi yang pastinya, jalan cerita itu masih saya boleh ikuti - sempat lagi mencari-cari siaran kerana siaran RTM 1 amat tidak jelas.

03 August 2006

Warna

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Saya, yang 'kosong'. Bukan sepi, tapi masih keliru. Sedang cuba untuk 'menegakkan' diri, di mana kaki hendak berpijak. Dunia, dan warna saya, sudah berubah agaknya (dalam-dalam saya tarik nafas, saya sebut namaNya berulang kali - bukan 'ini' yang saya cari di sini!!)

Dahulu, semasa zaman anak-anak, saya amat sukakan warna merah. Bukan sebarang merah, warna merah jambu. Walau tidak ada koleksi barang-barang atau pakaian berwarna merah jambu, saya amat sukakan warna tersebut.

Apabila menginjak ke sekolah rendah, saya mula bermain dengan pensil warna dan water colour. Mula melukis. Saat itu, warna yang paling saya suka adalah warna oren. Ceria! Oren yang agak terang, warna matahari. Malah, saya suka jua melukis pokok-pokok dengan daun berwarna oren, macam musim luruh agaknya.

Sama jua semasa naik ke sekolah menengah. Saya masih dengan kesukaan saya, sukakan warna oren ataupun kuning yang agak terang. Mungkin masing-masing akan berfikir, pastinya saya seorang yang benar-benar ceria di zaman persekolahan kerana saya sukakan warna-warna yang ceria. Hakikatnya, saya seorang 'budak pendiam' yang hanya akan menjawab apabila ditanya, dan kadang-kadang tidak menjawab langsung pun!! (smile!)

Apabila melepasi sekolah menengah, barulah saya sukakan warna yang amat saya gemari sekarang. Hijau. Pelbagai hijau, tidak juga. Saya sukakan warna hijau yang agak cair, tidak mahu terlalu pekat (macam blog saya ni, latarnya agaknya hijau, tapi kalau boleh 'cair' sedikit, lebih saya suka agaknya), tapi bukan juga yang terlalu terang. Saya sukakan yang suram, yang kelabu. Hijau, dan kelabu. Agaknyalah begitu jika ia boleh didefinisikan. Hijau yang suram!

Selain hijau, saya juga sukakan putih. Acapkali, rakan-rakan di sekeliling saya, dan orang-orang yang baru mengenali saya sering menyebut perkataan 'budak sekolah' - kerana melihat tudung putih saya agaknya. Sering memakai tudung putih yang agak labuh seperti tudung budak sekolah, walhal di pasaran ada banyak tudung pelbagai warna dan corak yang sewajarnya boleh saya gayakan.

Tapi, saya ini agaknya. Tidak mahu bergaya. Si kolot yang hanya sukakan warna hijau dan putih sahaja! Si kolot ketinggalan zaman yang masih kekal dengan gaya begitu sahaja.

Pastinya, saya amat bersyukur kerana Allah menjadikan saya begini!
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Terima kasih padaMu.

Dari Surah Asy-Syu'araa' (ayat 221-227)

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Dari Surah Asy-Syu'araa' (ayat 221-227) :-

[221] Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun?

[222] Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa,

[223] Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.

[224] Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat tidak berketentuan hala.

[225] Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)?

[226] Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya?

[227] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu) dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.