22 March 2007

Selamat Hari Lahir 1

Assalamualaikum warahmatullah,

Alhamdulillah. Genap 5 tahun sudah dia lahir ke dunia, kalau ikut tahun Masehi pada hari ini, 22 Mac 2007. Dia dilahirkan pada 22 Mac 2002. Kalau ikut bulan Islam, dia dilahirkan pada 8 Muharram. 1423H. Memang saya sering mengingati dia, kerana dia kanak-kanak pertama di dunia ini yang memanggil saya 'mak ngah'. Saya terlalu sayangkan dia, dan seketika tadi baru saja menelefon dia...

+ Assalamualaikum..
- Waalaikumussalam..
+ Hari ni sekolah tak? (Dia bersekolah di PASTI)
- Sekolah...
+ Hari ni abang dah cukup umur 5 tahun. (Saya tidak mahu terlalu memberi kefahaman kepada dia tentang hari lahirnya dalam tahun Masehi ini). Hari ni makan apa?
- Hari ni makan nasi dengan sup ayam...
+ Sedapnya. Mak Ngah punya ada?
- Ada. Nanti abang tinggalkan. Mak Ngah balik ke hari ni?
+ Hari ni tak balik. Nak ke Shah Alam. Esok ada lagi tak sup tu?
- Esok dah tak ada. Kalau simpan dah basi. Kena makan hari ni juga...

Alahai. Saya tahu, dengan kesibukan saya, saya jarang bertemu permata hati saya yang tiga orang itu. Jarang amat, hinggakan mereka sering 'menggomoli' saya setiap kali saya pulang ke rumah. Walau letih, walau penat, mereka bertiga adalah permata hati saya. Dan saya akan melayan mereka semampunya.

Semoga mereka akan menjadi anak yang soleh dan solehah, insyaAllah. Mereka akan menjadi generasi bertaqwa, yang patuh pada perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Dalam apa jua keadaan. InsyaAllah. Semoga seluruh kehidupan mereka dilimpahi dengan rahmat dan hidayah dariNya. Semoga iman di dalam diri mereka akan dikukuhkan, dengan bantuanNya. InsyaAllah. Merekalah peneraju generasi akan datang, dan kita perlu mencoraknya hari ini. Ketika mereka masih 'putih'.
- Mak Ngah, Allah kat mana?+ Allah ada di mana-mana..- Macam mana rupa Allah?+ Allah sangat indah, tapi tak boleh digambarkan. Kita kena jadi orang beriman, baru boleh lihat Allah.
- Macamana Allah boleh ada?
+ Tengok mata, hidung dan telinga abang. Abang boleh buat tak dengan tangan, kalau nak buat mata, telinga dan hidung?
- Tak boleh...
+ Haaa...itu bukti Allah ada. Tak ada sesiapa yang boleh menjadikan hidung, mata dan telinga kita secantik ini....

Dan, dia memegang hidung, mata dan telinganya. Dipenyek-penyekkan dan dileper-leperkan. Pun, hakikatnya masih sama. Dia mengakui itu semua kejadian Allah.

Alhamdulillah. Walau soalan itu sering diasak kepada saya sejak usianya dua tahun, dia tidak pernah lagi tersalah tafsir maksud kata-kata saya.

Semoga, dia dilindungi dan dirahmati oleh Allah.

InsyaAllah.



Alhamdulillah.

20 March 2007

Pengembara 12

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Hmm....Rabi'ul Awal menjengah lagi. Rindu saya jua tambah menebal. Entah rindu yang bagaimana, saya terasa amat sayu. Saya jarang mengingati dia. Terlalu sibuk dengan hal sendiri, dengan tugas di pejabat, pelbagai hal peribadi...saya akui saya jarang amat mengingati dia. Setiap kali namanya disebut sahaja, hati sudah terasa sayu yang amat. Bila agaknya rindu ini akan terubat, sedangkan saya tahu saya ini bukanlah terlalu baik untuk bertemu dia.

Dia, kekasih Allah.

Saya ini tidak ada kelayakan dan title apa-apa untuk mendapat jelingannya pun! Orang lain di dunia ini mungkin banyak title dan kelayakan, tapi saya ini hanya seorang pengembara yang tiada harta. Bagaimana mahu bertemu dia? Bagaimana mahu meleraikan rindu yang tidak putus ini.

Bismillahi tawakkaltu a'lallah....

Semoga saya dapat bertemu dia jua pada satu masa yang senggang nanti, insyaAllah. Sesaat melihat wajahnya pun seperti sudah mencukupi. InsyaAllah.

Rindu, rindu jua.

Semoga Allah ampunkan saya dan semua muslimin dan muslimat sekeliannya. InsyaAllah.

Ya Allah, ampuni kami semua. Kami hanya hamba-hambaMu yang lemah yang tidak lepas dari melakukan pelbagai kesilapan. Sinarilah kehidupan kami dengan nur dan hidayahMu, Ya Allah.

Doa, itu pengharapan.
Al-Quran, itu kalam.

Alhamdulillah, masih ada udara yang masuk ke rengkungan saya pagi ini.

16 March 2007

Jumaat yang indah 16 Mac 2007

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Alhamdulillah. Saya masih bersua dengan Jumaat ini, penghulu segala hari. Jumaat yang benar-benar indah.

Hanya sekejapan cuma melarik bicara. Tiada masa yang benar-benar sesuai untuk saya, kerana tiada masa yang benar-benar terluang untuk saya menulis dan terus menulis. Permudahkan setiap urusan dalam setiap saat kehidupanku....

Ya Allah, padaMu kuserahkan diri.

Rindu ini, dengan kalamMu ku teguk keindahan ilmu. Sayu ini, dengan doa menjadi pengharapan padaMu, ku teguk keindahan iman.

Ampuni hambaMu ini, dan semua muslimin dan muslimat seluruhnya.

InsyaAllah.

Amiin.

30 January 2007

Pengembara 11

Assalamualaikum warahmatullah,

Lama saya tidak mengusik catatan pengembaraan saya di sini. Walau apapun, hanya sesekali yang saya ada kelapangan, saya menjenguk jua catatan yang tidak dapat saya tuliskan. Masa yang amat menuntut saya, dan suasana yang membuatkan saya tidak dapat berkongsi hasil catatan saya di sini.

September 2006, saya mula menjejakkan kaki di daerah ini. Mulanya, saya terasa amat asing. Walau tidak terlalu jauh dari tempat sebelumnya, saya mula merasakan kelainan. Wajah-wajah yang berlainan mula menari-nari di hadapan mata saya, seorang demi seorang mula saya kenali. Pun, sikap dan peribadi yang berbeza menjadikan saya sedikit kaku. Kekasaran, tengkingan dan herdikan menjadikan saya kesasar seketika. Saya tidak betah, pastinya. Pun, memikirkan yang positif, saya menganggap itu semua sebagai satu cabaran. Sementelah, bulan Ramadhan yang menjelma menjadikan saya lebih lega.

Oktober 2006, hari raya yang menjelma seperti tiada makna apa-apa kepada saya, sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Kegembiraan suasana itu hanya semasa kecil agaknya. Apabila sudah dewasa sebegini, kedewasaan itu lebih menjadikan saya pemikir dan tidak betah melalui saat-saat penuh kegembiraan seperti dahulu agaknya. Pun, saya balik ke kampung lebih kurang seminggu juga, walau cuti yang sepatutnya lebih panjang telah dikurangkan dengan alasan ada tugas yang lebih penting menanti saya di pejabat.

November 2006, saya lalui di dalam kesibukan yang teramat. Ditambah dengan beban tugas di pejabat yang agak mendesak, dan rupa-rupanya saya masih cuba menyesuaikan diri di tempat baru! Suasana itu masih sama seperti di September yang lalu. Saya masih terasa asing di daerah ini. Penyesuaian itu terlalu lama mungkin kerana keserasian dan sayangkan suasana lama yang sentiasa terpahat di ingatan saya. Entah bila mode ini akan berubah, dan saya hanya mampu berdoa semoga Allah SWT akan memudahkan segala urusan saya di daerah ini. Daerah yang masih asing pada saya.

Disember 2006, hujung tahun yang membawa saya mengingati umur yang kian meningkat. Pelbagai pertanyaan yang mendesak hanya saya abaikan begitu sahaja. Bagaimana mahu memberikan komitmen sedangkan saya tidak terdorong ke arah itu? Bukan saya menolak fitrah semulajadi kehendak manusia itu, tetapi saya sendiri masih mencari pendorong dan pembela kebenaran yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Walau ramai di luar sana, yang mana agaknya dikhaskan untuk saya, dan jawapan ini sebenarnya hanya ada padaNya. Hanya doa yang mampu saya panjatkan semoga segala kesukaran ini tidak akan mengubah rasa taat dan keimanan saya padaNya. Saya hanya ada Dia. Tiada yang lain. Hanya Dia yang Maha Esa.

Awal 2007, saya menunggu-nunggu 20 Januari 2007. Bukan kerana saya tidak meyakini diri dengan tarikh lain, tetapi tarikh itu lebih penting pada saya, kerana pada ketika itulah saya akan terbayang-bayang Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar meredah gelap pekat malam dari Mekah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah. Bagaimanakah kita hendak menjadikan Islam itu kuat sedangkan di ketika ini, diuji sedikit sahaja, kita sudah rebah. Entah apalah nasib manusia seperti saya terutamanya kalau berada di zaman itu? Mahu dengar seruan Islam, atau saya sendiri akan duduk bersama-sama Abu Jahal merancang untuk menghalang seruan yang murni itu?

Entahlah. Apa yang pasti, semoga Allah menggolongkan saya dan semua umat Muslimin dan Muslimat di dunia ini di dalam kelompok orang-orang yang beriman, InsyaAllah.

Ya Allah, permudahkan sakaratul-maut bagi kami yang lemah ini.
Ya Allah, bantulah kami untuk menjaga iman-iman kami.
Ya Allah, lindungilah kami dari gejala negatif dan lorongkan kami di jalan yang Engkau redhai.
Ya Allah, ampunkan kami, hamba-hambaMu yang lemah lagi hina ini.

Amin.

Wahai dunia 2

Assalamualaikum warahmatullah,

Wahai abah
Ku sambung tulis lamunan ini
Kenangan silam yang sudah pergi
Tiada aku kecapi
Kini dan di saat ini
Walau kau masih
Ada di sisi.

Wahai abah
Duniaku tiada indah
Terus terpanjat syukur
Walau diterpa kelam
Walau sering kealpaan
Kerana aku yang malang
Hanya mahu menumpang
Kasih seorang usang
Yang jauh tiada batasan.

Wahai abah
Hati ini kian rapuh
Ingatan itu tetap jua utuh
Tiada yang jatuh
Dalam kalam ini
Aku masih menanti
Kasih dan janji
Yang tidak pasti.

Wahai abah
Lamunan ini masih tidak putus
Kerana banyak kenangan
Antara abah
Dan aku yang masih mentah.