20 May 2008

Selamat Hari Guru


Assalamualaikum warahmatullah...

Pagi hari Jumaat yang indah. Huluran tangan kecil itu saya sambut, “Selamat Hari Guru…”. Saya teruja, senyum dan segera mencium kedua-dua pipinya. Salah seorang anak murid saya, yang saya ajar malam tadi, dengan pakaian sekolah dan tudung labuhnya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada saya.

Di sepanjang perjalanan menyusuri Lebuhraya Persekutuan menuju ke pejabat, saya mula teringat kepada zaman persekolahan saya.

Di zaman sekolah rendah, ada seorang guru yang amat saya ingati sehingga hari ini. Cikgu Ibnu Hajar bin Mohd. Taha. Seorang guru Matematik yang sangat sabar. Setiap kali saya dapat menjawab soalan yang diberikan, dia akan menepuk-nepuk bahu saya.

Sebenarnya, saya bukanlah seorang pelajar yang agak agresif semasa di zaman persekolahan. Semasa di sekolah rendah, saya merupakan seorang pelajar yang sangat pendiam. Agak banyak bercakap, hanya untuk topik yang saya tahu sahaja. Apabila tersilap sesekali, saya jadi panik dan terus tidak mahu mencuba. Saya rasa, semasa di zaman sekolah rendah ini, pemikiran saya sangat negatif. Walaupun mendapat peluang untuk naik ke pentas bagi mengambil hadiah semasa Darjah 1 lagi, saya jadi tidak yakin samada benar-benarkah saya akan diberikan hadiah, sedangkan hakikatnya hadiah itu memang untuk saya. Saya tidak ada keyakinan kepada diri sendiri yang melampau. Hinggalah apabila mendapat keputusan peperiksaan UPSR, barulah keyakinan diri saya mula wujud sedikit demi sedikit.

Subjek Matematik menjadi subjek kegemaran saya sejak di sekolah rendah lagi. Saya sukakan nombor-nombor, dan mulai dari Darjah 2, saya sudah mula mengenali perpustakaan sekolah sehinggakan keputusan peperiksaan saya mulai merosot pada Darjah 3 kerana asyik membaca buku-buku yang dipinjam dari perpustakaan. Selalunya, kedudukan nombor di dalam kelas yang menjadi milik saya hanyalah nombor 1 hingga 3 sahaja, tetapi saya telah memperolehi nombor 7 semasa Darjah 3, kedudukan paling teruk semasa di sekolah rendah. Rupanya, ini menjadi penyuntik semangat saya sehingga kini bahawa sikap suka main-main semasa belajar memang tidak boleh diamalkan sama sekali.

Subjek Bahasa Inggeris pula menjadi subjek yang paling saya tidak suka. Saya amat lemah di dalam Bahasa Inggeris sehinggakan saya tidak pernah faham penggunaan ‘his’ dan ‘her’ ataupun ‘a’ dan ‘the’, sedangkan saya sudah menginjak ke Darjah 5. Keputusan Bahasa Inggeris sangat teruk, tapi Allah sayangkan saya dengan memberikan keputusan yang agak baik di dalam UPSR. Alhamdulillah. Dengan keputusan itu, saya berpeluang ‘keluar’ dari kampung dan tinggal di asrama pula.

Semasa di sekolah menengah, saya menjadi lebih pendiam. Terlalu rendah diri yang melampau. Pun, Allah membantu saya lagi dengan memberikan keputusan peperiksaan terbaik, Alhamdulillah. Keyakinan yang dipinjamkan Allah membawa saya mendapat keputusan peperiksaan yang agak baik semasa peperiksaan SPM.

Semasa di sekolah menengah juga, saya masih mengingati seorang guru yang amat saya kagumi sehingga hari ini. Cikgu Matematik Tambahan saya, Puan Phua Bee Yong. Saya belajar dengan Puan Phua semasa di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Malah, saya masih ingat semasa mengambil keputusan peperiksaan SPM di sekolah, dia melihat keputusan subjek Matematik Tambahan saya dan dia tersenyum. Semasa saya mengambil sijil SPM saya pula, hampir satu tahun setengah selepas itu, saya bertemunya sekali lagi. Apabila saya menyatakan yang saya sudah berada di universiti di dalam bidang kejuruteraan, dia menepuk-nepuk bahu saya dan berkata : cikgu juga yang masih menjadi seorang guru, anak-anak murid sudah ada masa depan yang lebih baik.

Dulu, saya tidak tahu makna kata-katanya. Tetapi kini, apabila saya sudah mempunyai anak-anak murid sendiri, saya mula faham dengan apa yang dituturkannya. Selama hampir 8 tahun saya mengajar dengan bilangan anak-anak murid yang menghampiri ke angka 90 orang, dan banyak yang sudah berjaya di dalam bidang yang pelbagai, saya mula faham erti kata-katanya sebelum ini.

Guru, tempatnya tetap di hati. Tanpa guru-guru, saya tidak akan tiba ke tahap ini. Alhamdulillah, kerana Allah telah menganugerahkan insan-insan yang baik di sekitar kehidupan saya.

# Entri ini telah saya siapkan pada 16 Mei 2008. Selamat Hari Guru kepada semua pendidik. Semoga melahirkan anak didik-anak didik sebagai penyambung generasi yang diredhaiNya, insyaAllah.

15 May 2008

How To Love

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Saya sedang ditemani lagu-lagu Rossa di dalam album Kembali, lagu-lagu yang sering menjadi halwa telinga saya – 24/7 sejak saya menjejakkan kaki ke bumi Malaysia pada 25 April yang lalu. Lagu-lagu yang saya tidak pernah dengar pun sebelum 11 April. Paling saya suka, lagu Bicara Pada Bintang. Hakikatnya, apabila dihayati lirik lagu-lagu tersebut, saya tidak ada kaitan langsung kepada cerita yang ada di dalam lagu-lagu tersebut. Entah kenapa, saya amat sukakan lagu-lagu itu, sekarang.


Dua buah buku ini diberikan oleh seorang adik yang berada di bumi London – saya mula mengenalinya pada 20 April 2008 – saya ambil buku-buku ini di KLIA pada 11 Mei 2008 dari seorang adik juga – terima kasih, dalam keadaan yang agak terkejar-kejar kerana jadual saya yang memang selalunya padat pada hari Ahad. Saya teruja dengan tajuk buku tersebut – sekilas semasa saya meliriknya di hadapan International Arrival di KLIA - saya tidak pernah jatuh cinta pada sesiapa di sepanjang hayat kehidupan saya (sedihnya menjadi saya yang tidak berperasaan – pun alhamdulillah), walau saya tahu saya pernah dicintai sebelum ini.

“Do you want to love someone? And do you want someone to love you too? Of course you do. That’s what most people want. Then why do so many people have trouble getting along with each other? What can you do to overcome these problems? And how can you establish and continue loving relationship?

This book will give you answers, and it can give you a better life. Here you can find about the reciprocity theory of love, the business theory of marriage, and the love disorders that cause so much trouble. You can learn the three rules for achieving co-operation, respect, and love and the four options available to you when you encounter frustration. You will also become acquainted with the thoughts that confuse your relationship – the twelve irrational ideas that you can overcome. You can even learn how to take the drastic steps that may be necessary as a last resort. Most important, you will learn how to love and be loved.”


Saya baru membacanya sedikit demi sedikit. Sekarang saya juga sedang membaca sebuah buku bertajuk “Shadow”, dan sebuah buku lain bertajuk “Time Management”, dan sebuah buku lain juga bertajuk “Solat Nabi SAW”. Hakikatnya, saya boleh membaca sehingga 5 buah buku dalam satu-satu masa dan tidak tertakluk kepada konsep, bahasa ataupun isi buku-buku tersebut. Dunia saya yang memang sukakan buku-buku.

“That is why it is incorrect to ask people to give you love. What you really are asking for is certain behaviours which please you enormously and that cause you to love the giver. You don’t get love, you create it inside yourself after your deep desires and needs are meet. It is the action that they give us, and it is the feeling that we experience. The person receiving gratification of desires and need creates his or her own feeling of love over your kindness.”

“The next implication from the reciprocity theory is that love means different things to different people.”

Dan, saya tidak menjangka bahawa saya akan menemukan ayat-ayat ini di dalam buku ini, kerana saya tahu saya tidak pernah sukakan bunga-bunga yang perlu dibeli dengan harga yang mahal, walau dari segi praktisnya – bunga-bunga itu boleh dijadikan hiasan sebagai bunga-bunga kering dan diletakkan wangian.

“Men often rebel at the practice of giving women flowers to show their love. And from my point of view, being a man, I can understand completely their rational, brilliant, correct and practical thinking. Wanting flowers to prove one’s love is ridiculous because the flowers die in a few days, they are rather expensive, and they require no effort on the part of the person aside from spending money to acquire them. The man who is faithful to his wife, works hard to support her and the family, and permits her the same freedoms that he enjoys, is showing her a hundred times more affectionate and loving behaviour than three dozen long stem roses could ever show. At least that is the male argument.”

Saya perlu habiskan membaca buku yang agak menarik ini, walau saya memang tidak akan pernah tahu bilakah masanya saya akan mula berminat kepada seseorang. Ayat yang diatur dan pengolahan bahasa oleh Dr Paul Hauck ini juga mengingatkan saya kepada Dr HM Tuah Iskandar Al-Haj. Hampir sama, dengan keistimewaan yang tersendiri.

07 May 2008

Indahnya Perjalanan


Assalamualaikum warahmatullah,

Timbunan tugas-tugas apabila balik ke tanahair benar-benar menghambat masa-masa saya, cuma bezanya kali ini, saya masih boleh tersenyum dan tidak terasa bebanan yang sangat-sangat menghimpit.

Ya, kerana Malaysia ini tanahair saya yang tercinta, dan saya benar-benar bersyukur dilahirkan di bumi Malaysia.

Hambatan masa ini membuatkan saya sedikit lesu, namun ingatan dariNya dan kekuatan yang dipinjamkan olehNya membuatkan saya mampu tersenyum, bukan sahaja di wajah, tetapi jua di hati. Saya tahu, jarang saya begini, sebelum ini. Pun, paling ketara, selera makan saya sama sekali hilang. Ini agak menyebalkan, tapi, siapa tahu Allah punya perancangan tersendiri berkaitan hal ini. Alhamdulillah.

Selama di bumi Walthamstow, walau selera makan saya biasanya agak normal, tetapi saya boleh makan dengan sempurna. Makanannya amat menyelerakan (kelakar rasanya kerana saya masih teringin untuk merasa makanan di sana - bukan makanan barat - sama saja dengan makanan ruji di Malaysia - cuma dimasak dengan cara yang sedikit berbeza - saya tidak makan hanya keju dan roti - saya rasa saya tidak makan langsung keju dan roti di sana, tapi nasi jadi alas perut saya hari-hari - terima kasih kepada kawan-kawan di sana - saya amat merindui mereka).

Apabila balik ke sini, saya kurang makan makanan ruji itu, tetapi saya jadi berminat kepada buah-buahan pula (di sana, setiap awal pagi saya akan makan sebiji peach, epal ataupun segugus anggur) - walaupun tidak sesegar buah-buahan di sana, saya rasa deria rasa saya sudah berminat kepada buah-buahan. Pelik betul deria rasa saya ini apabila balik ke Malaysia pada kali ini. Padahal, bukannya saya tidak pernah membuat 'perpisahan jangka masa panjang' dengan Tanah Melayu sebelum ini.

Saya kena ubah semula minda saya. Nutrisi yang tidak cukup memudahkan penyakit hinggap ke badan saya yang lemah antibodi ini. Saya tahu, saya kena ubah semula minda saya. Hanya Dia yang Maha Membantu, insyaAllah.

30 April 2008

Benar Kembali


Assalamualaikum…

Walaupun telah menjejakkan kaki di pintu C26, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7.25 pagi hari Jumaat, 25 April 2008 dengan menaiki penerbangan MH003 yang bertolak dari Terminal 3, Heathrow pada 12 tengahari (waktu London) pada 24 April 2008, namun masih tak sempat lagi untuk mengemaskini catatan kembara perjalanan yang telah dibuat sewaktu 16 hari di tengah musafir.

Hanya Alhamdulillah yang mampu lahir di hati dan kemudian diluahkan perlahan apabila dapat menghidu udara Malaysia yang sangat menyelesakan. Perjalanan ini, sangat berbeza dengan perjalanan-perjalanan yang pernah dibuat sebelum ini. Tempoh masa hampir 13 jam di dalam penerbangan menjadikan saya merasa sangat lega apabila dapat melepaskan diri dari perut pesawat. Pagi hari Jumaat di bumi Malaysia sangat cerah dengan matahari yang memancar, seolah-olah menyambut kepulangan saya.

Selepas menyelesaikan urusan imigresen dan mengambil beg, saya disambut dengan huluran bunga ros berwarna merah (7 kuntum) oleh seorang kanak-kanak berusia 10 tahun. Ada kad bertulis, welcome back di celahan kuntuman ros merah tersebut. (sebenarnya, saya bukanlah seorang wanita yang sukakan bunga dan ini adalah kali pertama saya menerima kuntuman-kuntuman ros seperti ini – saya gemar melihat bunga-bunga di taman bunga, atau di kedai bunga, tetapi menerima kuntuman bunga adalah perkara yang saya tidak suka – apapun, saya amat berterima kasih kepada orang yang telah memberikan kuntuman-kuntuman ros merah itu buat kali pertama kepada saya dan saya masih menyimpannya sehingga hari ini).


Bunga tulip berwarna ungu.

Hari Sabtu dan Ahad, saya diuntai jet-lag yang menyebalkan. Bangun lewat tengahari dan kemudian pergi ke rumah kakak dan abang. Hari Isnin, Selasa dan Rabu pula, saya dipenuhi dengan urusan pejabat yang pelbagai. Memang banyak yang perlu diselesaikan, sementelah hampir 3 minggu saya tidak ada di pejabat.

Sudahnya, urusan berkaitan gambar-gambar dan catatan perjalanan yang hendak dikemaskini hanya ditinggalkan sebagai satu tugasan yang masih tidak mampu dilunaskan. Dengan jet-lag yang masih mengganggu minda saya, hingga sakit-sakit kepala kerana saya memaksa kepala saya menerima bahawa saya kini sudah berada di bumi Malaysia, perlu pergi ke pejabat, membuat pelbagai urusan dan melaksanakan pelbagai tugasan. Paling perit, apabila memandu dan rasa kantuk melampau yang tiba-tiba menyerang.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Semoga Allah membantu saya di dalam menghadapi ujian kepulangan ini, insyaAllah.

24 April 2008

Kembali ke Tanah Melayu

Assalamualaikum warahmatullah...

Hari terakhir saya di sini, di Walthamstow...jauh dari Tanah Melayu dengan jarak berpuluh ribu kilometer.
Antara kenangan terindah selama hampir 16 hari di sini, menghentikan minda dari berfikir tentang kerja dan pelbagai beban tugas dan tanggungjawab yang meletihkan.

Namun, keletihan itu, saya amat merindukannya pada saat ini. Masa yang berlalu dan kenangan yang pelbagai di Tanah Melayu menjadikan saya merindui semuanya...pun, kenangan di sini tidak akan dilupakan. Kenangan di 2008 yang sangat manis untuk diingati, insyaAllah.

Kereta, rumah, pejabat, udara yang menyelesakan (saya berbalut baju 5 lapis setiap hari di sini walaupun musim sudah hendak bertukar ke musim bunga) hanya ada di Tanah Melayu.

InsyaAllah, saya akan kembali lagi ke bumi ini. Mengembara di bumi Allah yang Maha Kaya...hanya dengan satu tujuan - menelusuri sebuah kehidupan bersama Allah.

Alhamdulillah.