05 July 2009

Rezeki Ulat Tupai Burung


"Banyak buah kat kebun. Berlambak-lambak. Tak sempat nak pungut kat tanah. Yang kat rumah ni pun dah tak termakan. Ada juga mak beri pada jiran..."
Cerita emak saya tentang buah-buah di kebun yang benar-benar menjadi. Manggis, durian dan ciku. Ada juga duku langsat dan rambutan. Dulu, masa ada Allahyarham abah saya, ada saja yang dibuatnya dengan buah-buahan pelbagai jenis itu. Yalah, masa yang macam tu dah berlalu. Rasa kehilangan yang saya rasa tidak akan saya lupakan.
"Takpelah mak. Rezeki ulat. Kalau tak, kasihan pulak kat ulat sebab tak ada makanan. Paling penting, semoga pahala memberi makan ulat-ulat itu untuk arwah abah..."

"Yalah..rezeki ulat, tupai dan burung. Semoga semuanya mendoakan arwah abah...insyaAllah."

"Sedekah yang bersambung....yang hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui...."

03 July 2009

Mengapa Solat Awal?

Saya menerima email ini dari seorang sahabat...

Subject: Kajian Mengapa Perlu Solat Awal Waktu

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak aid ?


Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .

22 June 2009

Remeh Renyah Resah

Sukar sekali untuk saya ungkapkan ; paling pasti, manusia semakin tidak adil.

Yang kritikal dikatakan remeh.
Yang sukar dikatakan renyah.
Yang tenang dikatakan resah.

Kalau boleh, saya tidak mahu mengiyakan bahawa tugas yang saya galas sekarang amat sarat dengan tekanan dan ketidakadilan.

Sungguh, bukan mudah mahu mengajar sekawan lembu yang sudah biasa makan rumput berpuluh-puluh tahun untuk belajar pula makan daun bunga kertas. Ikut sahaja ketuanya si lembu jantan yang belum pasti bijak dan benar sepenuhnya.

Tugas saya, sangat renyah. Saya perlu lebih berfikir. Saya perlu lebih tenang, untuk menghilangkan tekanan.

13 June 2009

Macam-macam

1. Keluarga anak murid saya kemalangan pada hari Rabu lalu. Neneknya meninggal dunia. Al-Fatihah untuk Allahyarhamah neneknya.

2. Saya mula bertegas dan jadi lebih tegas. Keadaan di pejabat saya agak kritikal. Saya tidak mahu bertanggungjawab kepada kerja yang tidak mematuhi prosedur.

3. Bicara Faisal Tehrani di radio IKIM pada Jumaat, 6.30 - 7 petang. Saya sedang mengajar waktu itu, tapi telinga saya tidak putus mendengar radio. Salah satu yang saya masih ingat : membaca, membaca, membaca, membaca dan menulis.

10 June 2009

Erti SPM

Sudah lama tidak menulis. Saya lelah dengan tugas banyak hingga tidak cukup masa di hadapan komputer. Sungguh. Makan sudah sering lupa, malah masa senggang hanya diperuntukkan untuk solat sahaja. Sungguh sibuk, dan saya pula jenis yang tidak aman di hati jika kerja tidak selesai dengan segera.

Hanya boleh ambil 10 subjek dalam SPM? (baru-baru ini jadi 12 pula?) Saya terkaku. Adik Nik Madihah yang dapat 18A nampak di depan mata saya. Malah, termasuk juga adik Azlan yang dapat 21A. Tahun sebelumnya, ada juga pelajar Melayu yang dapat berbelas-belas A dan tidak diakui sebagai pelajar terbaik SPM. Mana silapnya?

Pada saya tidak ada salah untuk ambil lebih 10 subjek kerana pelajar mampu untuk bawa subjek-subjek tersebut. Jika mereka dapat semuanya 'A', sudah tentu title Pelajar Terbaik Malaysia memang layak milik mereka, kerana bukan mereka seorang sahaja yang ambil banyak subjek pada tahun tersebut. Tapi hanya seorang saja yang akan dapat straight 'A', dan mereka layak jadi pelajar terbaik.

Salahkah menyepadukan antara subjek Islamik dan subjek Sains? Bukankah lebih bagus ada tampuk negara dalam generasi akan datang yang bukan sahaja bijak, tapi juga memiliki kekukuhan dan pemahaman dalam bidang agama yang bagus. Tidaklah membuta-tuli membuat keputusan yang bukan sahaja bercanggah dengan kepentingan rakyat, malah bercanggah dengan hukum Allah SWT juga.

Malah, gagal Bahasa Inggeris pula bermakna gagal SPM? Huh...kalau perkara ini berlaku pada zaman saya, saya rasa ramai rakan-rakan saya di zaman sekolah yang kini memegang pelbagai jawatan tinggi tidak akan pernah mampu menjawat jawatan tersebut. Ini kerana ramai rakan-rakan saya dulu yang gagal Bahasa Inggeris. Tapi, tidak nampak pula kepincangan pemikiran mereka di tempat kerja pada masa ini. Malah, komunikasi dengan Bahasa Inggeris mereka sangat bagus sesudah mereka bekerja. Salahkah? Belum habis isu PPSMI, sudah timbul pula isu lain. Saya rasa, pendidikan di Malaysia bukannya perlu dijatuhkan, tetapi perlu lebih ditingkatkan ke tahap lebih tinggi.

Semoga ramai yang akan menyedari bahawa pendidikan bukan satu tempat untuk membuat ujian. Mana tahu, di dalam satu-satu kes ujian yang gagal, terdapat ramai bakal-bakal pemimpin negara generasi akan datang yang lebih bijak dan lebih berfikiran waras. InsyaAllah.