09 December 2011

Utamakan Allah, Kemudian 'Family'


Dulu, saya sering meletakkan diri saya di tempat yang beratus-ratus anak tangga. Keutamaan kepada diri tiada langsung (err....sekarang pun tak tau dah ada atau tak....tapi rasanya dah ada...insyaAllah..). memberi sepenuh komitmen kepada kerjaya serta kerja-kerja sampingan saya yang melibatkan beberapa aktiviti kemasyarakatan yang agak banyak.

Boleh dikira dengan jari, berapa jam saya dapat berehat setiap bulan. Ya, setiap bulan kerana dalam seminggu pun selalunya masa-masa rehat untuk diri benar-benar tidak ada. Boleh dibayangkan semasa bekerja di Kuala Lumpur dan menetap di Bandar Baru Nilai, saya akan keluar dari rumah seawal 6.15 pagi dan hanya akan tiba di rumah semula seawal 12.30 tengah malam. Jadual serupa itu pula merupakan jadual pada hari bekerja (Isnin - Jumaat) manakala bagi Sabtu dan Ahad pula, saya sudah bertolak dari rumah sekitar 6 pagi dan tiba semula di rumah juga sekitar pukul 12 malam. Bekerja 7 hari seminggu dan boleh diibaratkan 24 jam sehari. Tiada masa bersosial, malah kurang juga masa bersama keluarga.

Jika saya ada di rumah pun, selalunya kerana demam yang 'benar-benar tidak boleh bangun dan tidak boleh memandu'. Lalu, pada masa dan ketika itulah, dalam keadaan lemah dan tidak berdaya, barulah saya punya masa untuk bermain bersama-sama anak saudara.

Malah, apabila sudah berpindah dari Nilai pula, saya masih leka dengan 'kehidupan padat' saya. Masih keluar dari rumah seawal 6.30 pagi dan tiba di rumah semula seawal 11 malam. Terkadang bersarapan di Kuantan, boleh pula makan tengahari di Kuala Lumpur, dan ada ketikanya sehari dan sehari selepasnya pun, saya masih berada di luar kawasan di seluruh Malaysia bersama bebanan tugas yang menuntut komitmen dan pemikiran yang mantap.

Masih saya ingat di suatu hari di Ramadhan pada hari 'SABTU' yang entah tahun bila, saya menaiki kapal terbang ke Kota Kinabalu yang bertolak pukul 7.30 pagi dari KLIA dan tiba di KK lebih kurang pada pukul 11 pagi, kemudiannya boleh pula bergerak ke tiga buah lokasi berbeza dan saya perlu melakukan aktiviti memanjat bumbung bangunan - ya....memang bumbung bangunan yang saya panjat di bulan Ramadhan dalam keadaan saya berpuasa, selesai urusan tugas hanya lebih kurang pada pukul 5 petang, sempat berbuka puasa di KK pada pukul 6.27petang sebelum berkejar pula menaiki kapal terbang balik ke Kuala Lumpur pada pukul 6.45petang di hari yang sama. Tiba di rumah seawal 11 malam....saya sudah letiiiiiiihhhhhh. Pun, alhamdulillah....dalam kesibukan dan kepadatan serupa itu pun, saya masih diizinkan Allah dan diberikan kekuatan untuk melaksanakan solat terawih pada malam tersebut.

Puncanya? Apabila boss berulangkali bertanya pada masa bila saya dapat meluangkan masa untuk membuat 'semakan' ke atas bangunan-bangunan tersebut untuk ditakrifkan sebagai 'bangunan yang selamat untuk digunapakai' sedangkan jadual padat saya di pejabat pada hari bekerja yang biasa pun sudah sangat-sangat padat dengan pelbagai agenda dan mesyuarat. Bukan juga kerana arahan boss semata-mata, tapi kerana saya memikirkan 'keselamatan pengguna bangunan-bangunan tersebut'. Okey.....dalam tugas saya, satu nyawa pun sangat penting. Saya tidak mahu buat kesilapan dalam tugasan saya dan membahayakan nyawa orang lain yang tak berdosa.

Sehinggalah selepas saya diijabkabulkan pun, saya masih leka dengan 'dunia kesibukan' saya. Sebelum 'ujian dari Allah' ini datang dan menduga diri saya.

Ermmm....apa yang saya kejar sebenarnya?

Jika ditanya hal ini di 'zaman padat' saya sebelum ini, hakikatnya saya tidak pernah mengejar apa-apa. Bukan duit, bukan nama, bukan pangkat, bukan harta. Tiada apa-apa. Hati saya memang kosong.

Ini pinjaman Allah, kebolehan dan keupayaan diri saya. Lalu....ini semua kerana mahu mendapatkan redhaNya.

Hinggalah tarikh 4 Mei 2011 tiba dalam hidup saya. Barulah saya faham makna redha. Barulah saya faham makna limit (had). Barulah saya faham makna rehat. Barulah saya faham makna 'keluarga'. Barulah saya faham makna 'ini milik Allah'. Barulah saya faham makna 'dalam ujian Allah memang ada pelbagai hikmah yang sangat-sangat indah'. Barulah saya faham makna 'rasa sayang kepada diri sendiri'.

Ya....utamakan Allah, kemudian diri sendiri, dan kemudian keluarga. Kerjaya, pangkat, harta, nama....hanyalah sekadar satu 'aset kesederhanaan' yang tidak boleh dipaksa-paksa sehingga melebihi had. Dulu, saya tidak kejar pun semua itu....niat saya hanya mahu memenuhkan masa dengan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada semua orang....dan mendapatkan redha Allah semata - mata. Pun, mungkin pelaksanaan aktiviti-aktiviti saya telah melebihi had. Sedangkan Rasulullah SAW juga membahagikan malamnya kepada 3 bahagian, dan satu bahagian diberikan untuk dirinya berehat. 'Had' yang saya lupakan di suatu ketika dulu.

Jika diberi pilihan, pilihlah keutamaan antara Allah, juga keluarga. Hanya itu sahaja.

Keseronokan dunia tidak wujud, jika tidak ada redha Allah. Allah menggalakkan kita bersederhana...maka bersederhanalah, kerana 'wasatiyyah' itu merupakan salah satu dari sunnah Rasulullah SAW.

Semoga ada redha Allah dalam setiap perlakuan kita semua. InsyaAllah.

***Kisah 4 Mei 2011 itu masih ada di dalam diri saya, masih bersama-sama saya bersama hikmah yang amat banyak. ALHAMDULILLAH.

03 December 2011

Belakang Kedai Makan

Semasa membuat 'terjahan' mencari beberapa farmasi untuk membeli 'wheelchair' baru-baru ini, terkadang saya terpaksa meredah laluan belakang deretan kedai.

Di satu laluan, terdapat ramai orang di dalam sebuah kedai makan yang melihat saya di dalam kereta. Apabila saya tiba di bahagian belakang kedai, barulah saya faham. Itu bukan laluan untuk kereta pun. Agak sempit, dan kotor. Tapi, masih boleh dilalui. Boleh diredah dengan sangat berhati-hati.

Paling best, betul-betul di bahagian belakang kedai makan tersebut (hobi saya baru-baru ini, suka melihat bahagian belakang bangunan kedai-kedai makan di Malaysia, terutama kalau pengunjungnya agak ramai - banyak yang saya temui)....saya nampak sebuah 'tent' kecil (errr....khemah kot yang biasanya digunakan untuk penjual2 gerai kecil2an) yang sudah koyak di bahagian bumbungnya. Memang dah kira takde bumbung lah tu. The best part is, bawah khemah tu bersusun periuk-periuk dan pinggan mangkuk 'bersih' - saya kira bersih kerana bersusun elok tanpa sebarang sisa makanan...(saya terpaksa bawa kereta dengan perlahan kerana laluan agak sempit)

Yang mengharukan adalah...semuanya disusun di atas tanah, dengan bumbung ala-ala mahu roboh, dan diletak di bahagian belakang, luar dari kawasan bangunan. Kalau hujan, memang akan kotor....dan untuk periuk-periuk pula akan terdedah kepada karat. Boleh ke kita nampak karat dalam periuk atau kuali sebab yang dihidang pada kita sure dalam pinggan yang agak cantik2 kan....Kiranya pinggan2 mangkuk tu dan periuk2 tu 'tidur berbumbungkan langit dan berbantalkan tanah' la...

Ini entah kali keberapa saya melalui pengalaman ini. Sebelum ini, pernah juga semasa menggunakan ' kaki'. Tiada khemah pun, dan bahagian belakang kedai tanpa bumbung dijadikan tempat membasuh pinggan dan gelas. The best part is, cuma ada satu besen penuh berisi air sabun dan satu besen penuh berisi air bilasan yang dah takde makna 'jernih'. Jelas yang saya nampak bahawa pinggan mangkuk yang kotor direndam di dalam air sabun dan kemudian terus dibilas, dan terus disusun dan kemudian digunakan oleh.................







...........................pembeli / anda semua. Hmmm....

Pada pendapat saya, sebelum anda semua singgah di mana-mana kedai makan untuk makan atau membeli makanan...sila ambil peluang untuk menjenguk ke dapur dan ke belakang dapurnya....lagi bagus kalau dapat berjumpa dengan tukang masak utamanya dan lihat bagaimana dressingnya dan bagaimana cara beliau menjawab pertanyaan anda. Lihat juga bagaimana cara simpanan pinggan mangkuknya, periuk dan kualinya serta keadaan persekitaran dapurnya. Kat depan kedai/ruang makan mungkin cantik....

Kita adalah apa yang kita makan.

Semoga ada redhaNya. InsyaAllah.

***tiada gambar disertakan. boleh find out sendiri.

24 November 2011

Lembu Pun Taknak Makan


"Nak beli kangkung?", tanya saya pada suami, sementelah saya tahu itu merupakan salah satu sayur kesukaan suami.

"Boleh juga...", jawab suami.

Lalu, saya diikuti suami yang menolak troli pasaraya, menghala ke arah bekas-bekas kangkung, bayam, sawi dan kailan, yang nampak dari jauh, sangat elok.

Apabila tiba sahaja di bekas kangkung, tangan saya lambat saja membelek daun-daun kangkung yang sudah kekuning-kuningan dan nampak tidak elok. Belum sempat saya memberitahu suami, seorang lelaki di sisi saya leka mengambil lebih kurang tujuh ikat kangkung tersebut sambil berkata kepada saya, menegur agaknya, "sayur dah macam ni, kalau bagi dekat lembu pun lembu taknak makan....".

Saya tergamam. Menoleh ke troli di sisinya yang sarat dengan pelbagai bahan dalam kuantiti yang banyak. Hampir muntah isi troli dengan bahan-bahan basah dari pasaraya tersebut. Malah, terdapat seorang wanita di sisinya yang menolak troli sarat muatan. Semuanya berisi barang-barang basah. Hati saya terdetik, berniagakah dia? Kalau tidak, masakan kangkung yang 'lembu pun tidak mahu makan' diambil olehnya dalam kuantiti yang sangat banyak.

"Kalau nak elok, kat pasar malam ada juga yang elok rasanya...", saya cuba berbasa-basi.

"Kat pasar malam mahal sikit. kat sini murah...", bersahaja dia menyambung, sambil mencapai beberapa ikat sawi pula.

Saya mendekati suami, sedikit berbisik, kangkungnya tak eloklah bang. Kalau nak beli, boleh tengok yang kat pasar malam kot...sambil saya menarik tangan suami menjauhi bekas sayur-sayuran tersebut.

*****

Sehingga kini, kisah awal November yang lalu, di sebuah pasaraya masih jelas di ingatan saya. Terfikir di benak saya, jika sayur sebegitu yang dimasak dan dijual kepada pembeli dengan harga RM 0.80 untuk beberapa sudu pun, keuntungannya masih banyak. Ini pula sayur yang sudah kekuningan, lantas dijual untuk dimakan oleh orang yang membeli, apakah kesannya kepada pembeli agaknya?

Saya jadi takut. Itu baru kangkung. Itu satu kisah yang jelas di depan mata saya. Bagaimana dengan ikan, ayam, udang, sotong, daging dan lain-lain bahan masakan lain pula. Yang tidak berlaku di depan mata saya.

Keinginan untuk masak sendiri makanan yang akan dimakan seharian semakin kuat. Saya tidak mahu makan makanan yang 'lembu pun tidak mahu makan'.

Semoga sentiasa dilindungi Allah di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

18 November 2011

Kerusi Roda


Baru tiba di rumah. Keluar mencari kerusi roda (wheelchair a.k.a 'wilcha' dalam cerita Mak Limah). Bukan kerusi roda biasa. Mahu mencari kerusi roda elektrik.

Selama ini tidak pernah ambil tahu pun tentang harga sebuah kerusi roda. Tadi, baru tahu.

Kerusi roda biasa-biasa - harga dalam RM 600++
Kerusi roda biasa yang canggih sedikit - harga dalam RM 1000++ (saya cuba menggunakan kerusi roda jenis ini tadi..mempunyai pemegang untuk memusing roda....tapi...nampaknya agak sukar untuk digunakan...)

Ready-stock pula cuma ada kerusi roda biasa-biasa saja. Bukan motorized/electric wheelchair.

Lalu keinginan membeli kerusi roda elektrik terus mantap di hati saya. Julat harga, kata pharmacist tadi - semua kerusi roda elektrik berharga RM 4000++ (gayanya macam orang seperti saya tidak mampu untuk membayar harga seperti itu - err....saya memakai jubah lusuh, longgar dan besar berwarna hitam dan sehelai tudung labuh bidang 60" yang berwarna kelabu...serta sebuah sling bag yang agak lusuh...- haha....memang gaya macam orang takde duit pun agaknya....)

Jadi, jika ada sesiapa di antara anda yang ternampak kedai/outlet/farmasi yang menjual kerusi roda elektrik, terutama seperti gambar di atas - features paling penting untuk saya adalah : seat/tempat duduknya mesti sangat-sangat lembut....err...sila maklumkan kepada saya ya....pertolongan anda sangat dihargai...

Semoga Allah memudahkan saya dan anda semua dalam kehidupan dunia dan akhirat. InsyaAllah.

******

update : Saya sudah membeli sebuah kerusi roda di sebuah farmasi. Alhamdulillah.

14 November 2011

Pembuka Minda

Baru menghabiskan karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Secangkir Teh Pengubat Letih, salah satu pemberian suami kepada saya untuk hantaran perkahwinan kami.

Alhamdulillah. Ia membuka minda saya kepada negara itu.

pertama - teliti dan halus dalam perbuatan berkaitan agama, walau dalam hal remeh temeh.
kedua - kekuatan Islam yang ditunjangi mereka.
ketiga - cara dan praktikaliti mereka membina ukhuwah sesama Muslim.

...dan lain-lain lagi.

Malah, perjuangan belia muda-mudi negara tersebut dalam mengorak perjuangan kepada Islam yang syumul cukup indah. Saya terus berharap, penulis yang saya kenali melalui coretan beliau di Majalah i suatu ketika dahulu, dan sehingga kini masih terus meminati olahan idea beliau, akan terus berkarya dengan karya-karya sebegini.

Ia, hanya diperolehi melalui pengalaman, yang diolah menjadi bahan pembacaan.

Semoga Allah sentiasa meredhai dan memberkati kita semua, insyaAllah.