11 April 2013

Sangat Tak Best Rasa Negatif Ini...

Semalam, selepas balik dari pejabat, bersama inche' suami yang bercuti, tiba-tiba keinginan hati saya disapa untuk makan 'soft shell crab'. Fikir punya fikir, akhirnya saya dan suami mengambil keputusan untuk makan di Restoran Sharin Low (Muslim Chinese Restaurant) di Bangi (lokasinya agak tersorok, memang kena guna GPS - err....actually GPS tunjukkan pun lokasi yang salah walaupun agak berdekatan....aduhai....).

Sekitar pukul 5 petang, jadi...memang tidak ada (eh..tidak ada? ya...tidak ada sesiapa..) pelanggan lain di kedai tersebut kecuali saya dan suami. Kami memesan 'butter soft shell crab', sepiring wa tan hor dan semangkuk mihun sup bersama isi ikan yang dihiris.


contoh 'butter prawn' dari blog 'sinaranmenu.blogspot.com' (tak rupa macam jemput-jemput pun...)

Sebenarnya, 'butter soft shell crab' itu agak meragukan saya. Adakah rupa 'butter prawn' atau 'butter soft shell crab' sama seperti rupa 'jemput-jemput' atau cekodok?? Atau sama dengan udang goreng tepung?  Atau sotong goreng tepung? Sungguh. Saya keliru. Jadi, untuk sepiring 'butter soft shell crab' berharga RM25 (saiz 'kecil') yang seperti rupa jemput-jemput (ehh..tidak sama langsung rupanya dengan butter soft shell crab yang saya makan di HOMST Recipe - juga restoran cina muslim - di Kompleks diamond/Warta, Bandar Baru Bangi), langsung tidak mempunyai rasa 'ketam kulit lembut' dan hanya mempunyai rasa tepung goreng/jemput-jemput goreng...jadi, saya dan suami memutuskan....inilah kali terakhir kami makan di sini.

Jika benar pun 'butter soft shell crab' version Sharin Low memang rupanya seperti itu, sungguh...ia langsung tidak menepati selera saya. Jadi, suami membayar kesemua harga makanan tanpa banyak soal.

Apapun, mungkin ada hikmahnya kejadian semalam. Ya...apapun yang berlaku, tetap ada hikmahnya. Buruk atau baik. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Semoga Allah meredhai. InsyaAllah. :)

***Maaf. Tidak ada gambar untuk 'butter soft shell crab' itu. Rasa tidak puas hati menjadikan fikiran seumpama 'hilang' (sungguhlah tidak bagus mempunyai rasa negatif merajai diri...shuhhh....shuhhhh....pi jauh-jauh....RM25 je pun...)

***Sebab tu la saya suka masak sendiri....kalaulah 'soft shell crab' mudah didapati di mana-mana pasar/pasaraya...

08 April 2013

Anda Suka Warna Apa?





#saya pilih warna hijau dan coklat..green and brown...:)

03 April 2013

Bawa Bekal ke Pejabat 4

Bagaimanakah jika bangun lewat dan tidak sempat memasak tetapi masih mahu membawa bekal ke pejabat? Okey. Masih mahu bawa bekal ya. Sebab 'membeli makanan yang siap dimasak' di luar itu memang jarang saya buat. Terutama untuk 'breakfast'. Sungguh.

Jadi, pagi tadi terbangun 6.15 pagi. Ahaks. Kira lewat ya, sebab selalunya mata sudah terbuka seawal 4.30 atau 5 pagi. Jadi masih sempat masak nasi, godek dapur siap juga ayam masak lemak cili padi dan paling-paling pun, dapat menghiris timun. Tapi, pagi ini, memang tidak sempat. Paling lewat perlu keluar dari rumah untuk mendapat parking 'yang tidak sengsara' di pejabat adalah pada pukul 6.50 pagi.

Hanya sempat mandi, solat...dan kemudian kelam kabut menerjah dapur : buka peti sejuk, ambil oren dua biji, basuh, belah 4, masuk dalam plastik bekal dan kemudian mencapai telur rebus sebiji (memang kebetulan ada stok dalam peti sejuk...jika tidak ada, mungkin bawa oren 3 biji saja...).

Terus buka pintu rumah, dan berjaya menggerakkan kereta dari rumah pada pukul 6.46 pagi.

Cukup ke oren dua biji dan telur rebus sebiji untuk tahan sehingga 5 petang?

Okey. Cukup. InsyaAllah. Paling penting sudah ada 'stok Vita C dan stok protein' untuk hari ini. Ditambah dengan air kosong sebanyak 1.5 liter...ia sudah lebih dari mencukupi. Alhamdulillah.

Setiap hari makan nasi goreng, mee goreng, spaghetti goreng, mihun goreng, donut, nasi lemak, roti canai...apa salahnya kalau sesekali bangun lambat begini, kita buat 'detoks badan'. Jadi, hari ini...tenaga badan akan diambil dari lemak-lemak yang banyak 'menggeleber' dalam badan. InsyaAllah.

Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.

Semoga ada redha Allah untuk kita semua di dunia dan di akhirat, insyaAllah.

02 April 2013

Temujanji a.k.a Appointment

Pemeriksaan di hospital selalunya melibatkan temujanji. Temujanji dengan pihak hospital. Biasanya, jika temujanji dibuat untuk pukul 10 pagi, pastinya saya sudah berada di perkarangan hospital seawal 7 pagi. Jika temujanji dibuat untuk pukul 11 pagi (masa dan tarikh ditentukan oleh pihak hospital ya...), saya tetap sudah berada di perkarangan hospital seawal 7 pagi. Untuk temujanji pukul 10 pagi, jika saya sudah tiba seawal 7 pagi, biasanya saya akan dapat bertemu doktor seawal 10.45 atau 11 pagi. Namun, jika saya tiba di hospital pukul 9.30 pagi untuk temujanji 10 pagi, maka saya hanya akan berjaya bertemu doktor hanya seawal 2 petang. Lalu, 'masa' temujanji itu tidak penting. Lebih penting jika tiba awal pagi di hospital, maka jika masa temujanji pada pukul 2 petang pun, anda tetap akan dapat bertemu awal dengan doktor.

Itu hanya pemerhatian saya. Mungkin banyak pengalaman yang berbeza.

Jika mahu menservis kereta pun, jika membuat temujanji (terutama di pusat servis pengeluar kereta tempatan ya...kerana bila saya mahu servis Toyota saya...jarang benar lambat/lewat jika saya datang awal - eh, tidak awal juga, bukanlah tunggu di depan kedai belum buka pun...tetapi bila kita bertanya pada pukul berapa kereta dapat disiapkan, hingga setakat ini, kesemua servis yang saya buat, boleh menjawab dengan memuaskan hati - maksudnya takdela perlu tunggu 4-5 jam untuk servis kereta yang sangat sedikit...paling major pun seingat saya hanyalah dua jam setengah saja..) untuk pukul 8.30 pagi, pernah kereta saya hanya berjaya disiapkan seawal 2 petang. Lagi bagus, sekitar 1 tengahari, pekerja pusat servis sudah kelam kabut mahu keluar makan tengahari. Ramai pelanggan hanya memerhati, dan saya perasan terdapat beberapa pelanggan pula yang membelek jam di tangan dengan muka masam mencuka. Sungguhlah...perkhidmatan yang diberikan sangat berbeza. Walhal ini baru kategori 'produk tempatan' dan 'bukan produk tempatan', belum lagi kategori lain.

Lalu, untuk apa meletakkan 'masa' temujanji? Hingga kini...saya masih memerhati. Ruginya, banyak masa terbuang begitu saja. M.A.S.A...pada saya, suatu 'benda' yang lebih mahal daripada apa pun di dunia ini, terbazir hanya kerana 'orang lain yang tidak tahu menghargai masa...', namun kita 'terpaksa menurut' saja kerana kita orang-orang marhaen, yang bila memberikan komen, hanya akan diterjah dan ditebak sebagai 'orang yang salah.' Kita tidak akan pernah dilabel 'betul'. Sampai bila-bila. Dan hanya Allah yang Maha Memahami.

Mungkin itu salah satu sebab 'golongan kecil' menjadi semakin kecil, walaupun 'betul', sementelah 'golongan besar' menjadi semakin besar, walaupun 'masih banyak yang perlu diperbaiki'.

Semoga Allah mengurniakan hidayah, setiap saat, setiap masa, untuk kita semua lebih memperbaiki diri.
Semoga ada redha Allah di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

29 March 2013

Abah

Saya masih tersedu.

Dalam kelam malam, saya mengingati seorang abah. Dalam sendu rindu, saya terbayang wajah tuanya yang sering tersenyum. Dalam esak tangis, saya terngiang suaranya yang lembut dalam bicara. Dalam alun bicara ayat-ayat suci, saya tersedu sesekali mengingati dirinya. Dalam tadah tangan memohon padaNya, saya mengharapkan dia bahagia di alam sana - ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman. InsyaAllah.

Sungguh! Hargailah apabila dia ada. Jangan tunggu hingga dia sudah tiada.

Kenangan yang datang bertamu di tubir mata merobek-robek hati saya dan memaksa akal supaya dapat menawan dan mengepung empang air supaya tidak tumpah - walau itu yang sering hadir sejak beberapa hari ini.

Ya, dalam pekat malam saya mengingati seorang abah yang telah pergi pada 6.55 pagi, 11 Februari 2009 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Pada masa yang sama, saya sedang menghidupkan enjin kereta untuk bertolak ke pejabat. Dalam beberapa ketika, saya sudah menghala ke Lebuhraya Utara Selatan (keluar dari tol dan terus menuju ke selatan). Saya kurang sedar pada odometer kereta saya - berapa kelajuannya. Paling pasti, saya sudah berada di kampung pada pukul 10 pagi. Kampung saya, yang hanya lebih kurang setengah jam dari bandaraya Johor Bahru. Sungguh, saya tidak pernah memandu selaju itu. Selalunya, saya sering patuh undang-undang - 110 km/j itu jarang saya abaikan.

Ya Allah! Sekiranya masa boleh diputar semula (tapi itulah yang perlu saya redha!)

Ya Allah! Andai semua ini tidak berlaku (tapi itulah yang saya perlu redha!)

Ya Allah! Sungguh saya cuba redha! (dalam esak tangis, saya tahu kesedihan ini perlu dibendung - sedih dan sedih dan sedih yang ada had seperti Rasulullah SAW yang kematian Ibrahim anaknya)

Ya Allah! Sungguh saya redha pada kasih sayangMu...saya redha!

Ya Allah! Saya redha!

Terima kasih Allah.

***entri ini ditulis pada awal tahun 2010, di saat saya sangat-sangat-sangat-sangat (hingga kini pun masih sangat merindui) merindui arwah abah saya...semoga Allah melindungi abah saya dari siksaan kubur, meluaskan kuburnya, memasukkan abah saya ke dalam syurga-syurganya, menempatkan arwah abah saya di dalam golongan hamba-hambaNya yang beriman dan sentiasa diredhai Allah di dunia dan di akhirat...insyaAllah...semoga Allah mengabulkan doa saya...amiinn...