09 May 2013

Hati Yang Pilu

Secara tiba-tiba, terusik minda saya.
Saya tahu Rejab sudah tiba. Usai Rejab, Syaaban pula akan menyapa. Selepas Syaaban, sudah tentu Ramadhan pula akan menjelma. Oh, sudah hampir tiba ke bulan puasa. Hanya puasa?
Bukan mengganti puasa. Itu sudah usai. Pada Syawal di Hijrah yang sebelum ini.
Saya yang sering terlupa.
Tidak dihitung masa yang berlalu dengan sangat pantas.
Tidak mengira waktu. Tidak mengira saat.
Tahu-tahu, Subuh sudah hilang, Maghrib pula sudah menjelang.
Hari-hari semakin kelam.
Kelam dengan iman.
Kelam dengan ihsan.
Kelam dengan islam.
Syukurnya, saya tidak jahil.
Malangnya, saya kurang istiqamah. Kurang amal. Kurang ibadat. Kurang mengingat.
Kurang mengingati Allah.
Hati saya lemah. Jiwa saya bernanah. Rohani saya alpa.
Sungguh saya tidak mahu begini.
Tapi, yang selalu kalah itu tetaplah saya.
Pelik pula, nafsu selalu menang, syahwat selalu berpeluang, hasutan syaitan pula makin tinggi menjulang.
Namun, saya masih merudum, menangis teresak, memandang dunia tinggi-tinggi.
Terlupa akhirat yang menanti. Terlupa pertemuan dengan Allah yang Maha Mengasihani.
Peliknya, saya sedar. Hakikatnya, saya leka. Malas. Alpa. Lupa.
Ambil lewa.

Allah. Allah. Allah.
Ampuni saya yang lemah ini.
HambaMu ini sangat malas, ya Allah.

Rejab sudah tiba. Saya masih leka.

Ini bukan sajak. Ini bukan sendaloka. Ini bukan puisi.
Ia rintihan hati. Ingatan untuk diri. Semoga ada redha Allah.

03 May 2013

Pilihan Pilihanraya

Pilihan kita, pilihan dari Allah. Buatlah pilihan mengikut gerak hati dari Allah. InsyaAllah.

Pilihan untuk memandu dengan berhemah di jalanraya untuk balik mengundi juga pilihan yang baik dan membuat undian yang baik juga adalah pilihan yang baik.

Semoga ada redha Allah. Semoga ada ampunan Allah. InsyaAllah.

Kita, hanya sekadar hamba. Tidak memiliki apa-apa di dunia ini.

***Mari 'mengundi untuk Allah'.

29 April 2013

Panggilan Telefon di Korea

Mesti ramai yang suka menonton drama/cerita Korea kan? Sejak dari Winter Sonata...hinggalah kini. Pun begitu, saya tidak terlalu 'ketagih' dalam menonton cerita/drama Korea, kecuali jika ia berkisar tentang 'memasak'....seperti Pasta, My Lovely Sam Soon yang berkaitan dengan mem-baking, cerita tentang Kim Tak Gu dan rotinya, cerita tentang Lee Sung Chan bersama masakan koreanya yang unik, dan beberapa cerita lagi berkaitan masakan yang ada dalam koleksi saya.

Pun, ada juga cerita/drama Korea yang saya suka, tidak berkaitan dengan masakan, (walau tidak ada dalam koleksi) tetapi berpeluang menonton di televisyen (saluran 8) untuk kesemua episod yang telah dialih bahasa ke bahasa Mandarin, iaitu cerita Queen & I yang berkisar tentang cinta antara seorang pegawai bangsawan, Gim Bung Do yang bercinta dengan seorang pelakon wanita yang muda lebih kurang 300 tahun berbanding usianya. Sebuah cerita 'tidak masuk akal' yang sangat menarik dan mengujakan.

Pun, pernahkah anda semua sedar tentang panggilan telefon yang ada di dalam drama/cerita Korea yang anda pernah tonton? Ia sering menjengkelkan saya kerana kita tidak pernah berpeluang menikmati 'servis' sebegitu di Malaysia. Perasan tak, di dalam cerita/drama Korea, apabila seseorang cuba menghubungi seorang yang lain, dan panggilan telefon tersebut masuk ke 'voicemail'...ia seakan-akan begini....

"nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi, anda boleh meninggalkan pesanan untuk nombor ini, panggilan anda akan mula dikenakan bayaran selepas bunyi ini..."

Then...biasanya takkan sempat pun 'bunyi tuuut' tu keluar...si pemanggil boleh menamatkan call tersebut tanpa dikenakan sebarang bayaran. Ia sangat berbeza di Malaysia. Jika di Malaysia, si pemanggil akan terus dikenakan bayaran jika si penerima panggilan tidak dapat dihubungi/ off telefon/ di luar kawasan. Setiap satu panggilan ringkas pula, paling rendah pun bayarannya adalah 8 sen. Bayangkanlah jika setiap hari (okey...untuk 1 hari je dulu...belum kira untuk minggu dan bulan dan tahun lagi pun...) di seluruh Malaysia kes seumpama ini berlaku melibatkan lebih kurang 5 juta penduduk Malaysia (ini cuma anggaran untuk sehari), berapakah keuntungan syarikat telekomunikasi negara ini 'setiap hari' hanya untuk panggilan yang 'tidak bercakap' ini?

Ohhh....bilakah servis seperti di Korea ini akan kita nikmati? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Semoga ada redha Allah kepada rezeki yang kita peroleh dan kita makan setiap hari. Semoga ada redha Allah untuk semua perlakuan kita. InsyaAllah.

25 April 2013

Bawa Bekal Ke Pejabat 5

Menu bekal hari ini ; nasi mandy dan daging kambing bakar dalam oven bersama sos salata.

Haha. Menu macam marvelllous, walhal pagi tadi bangun tidur seawal 5.50 pagi. Sungguhlah. Dah dengar alarm berbunyi berulang-ulang-ulang, tapi suasana hujan membuatkan 'oh...bestnya dapat tutup mata lagi seminit dua' (yang akhirnya jadi berpuluh-puluh minit).

Bangun je, terus uruskan nasi dulu. Oh lupa nak beritahu. Terdapat 3 ketul kambing yang telah direbus pada hari sebelumnya 'accidentally' (asalnya nak masak nasi ini semalam...) bersama jintan, 7 spices, seinci halia, garam, lada hitam dan air yang bertapis. Sos salata (timun+tomato+cili+buah zaitun+perahan lemon) sebanyak satu tupperware saiz sederhana juga telah dibuat semalam. Cara jimat masa yang suntuk dan singkat di waktu pagi ya. So, pagi ni cuma uruskan nasi dan membakar kambing sahaja.

Beras arab (beli sekilo je dengan harga RM16, tapi dapat masak selama 3 kali...so ni last batch...memang masak pagi ini untuk habiskan stok beras mewah-mahal-panjang-harum-sedap ini...) terus dicuci dengan bacaan Surah Al-Kautsar berlagu di mulut. Rendam seketika dengan air bertapis, dan kemudian uruskan daging kambing dahulu.

Daging kambing yang direbus+lada hitam+7 spices+serbuk ketumbar+garam dan sedikit minyak zaitun dibalut dengan aluminium foil. Biarkan seketika, sambil tu boleh mencapai sebiji bawang merah, dikopek, dibasuh dan dihiris halus. Terus ambil daging kambing, masukkan dalam oven, bakar dengan suhu 200 C dalam tempoh 20 minit. Ambil marjerin dalam setengah sudu sahaja (ehhh...marjerin? kenapa bukan minyak sapi? - ohhh...saya hanya gunakan marjerin - bukan minyak sapi - untuk memberikan aroma kepada bawang dan rempah yang akan ditumis sahaja...dan mengawal penggunaan lemak tepu di dalam masakan saya...), masukkan ke dalam periuk yang akan digunakan untuk memasak nasi, tumis bawang merah, campakkan sedikit buah pelaga, bunga cengkih, bunga lawang dan kulit kayu manis. Masukkan secubit garam. Tumis seketika, kemudian masukkan air rebusan kambing mengikut kuantiti beras. Tos beras yang direndam seketika tadi, masukkan ke dalam periuk. Pastikan beras terendam, kawal kuantiti air dan suhu (oh...saya guna dapur induksi ya...tak guna periuk nasi pun untuk memasak nasi ini...), hanya seketika saja (okey...dalam 7 minit saja...) air pun semakin kering, masukkan sedikit saffron, kacau seketika dengan menggunakan garfu untuk mengelakkan nasi hancur. Tadaa...siap memasak nasi mandy simple-mimple dalam tempoh 10 minit.

Jam sudah menunjukkan ke pukul 6.20 pagi, saya terus mandi dan solat Subuh. Usai solat, kambing pula sudah siap dipanggang, saya terus menyiapkan bekal untuk diisi di dalam bekas. Kudapan buah hari ini, buah tin. Err...wattini wazzaitun... :)

Saya berjaya keluar dari rumah pada pukul 6.55 pagi, dihantar oleh suami ke pejabat dan berjaya tiba di pejabat pada pukul 7.25 pagi untuk masuk ke pejabat sebelum 7.30 pagi.

Alhamdulillah. Semoga ada bantuan dan redha Allah untuk semua perlakuan kita. InsyaAllah.

***beza sungguh apabila menggunakan air rebusan bersama serbuk '7 spices' untuk memasak nasi. sungguh. nasi mandy hasil air tangan saya punya rasa yang lebih menarik hari ini. ohhh...kena beli beras lagi ni...

14 April 2013

Misi 1 : Kicap Kipas Udang

Di rumah saya, yang jarang makan kicap, biasanya hanya ada Kicap Kipas Udang (manis) saja. Bagaimanapun, jarangnya menggunakan kicap, biasanya kicap tersebut sangat panjaaangg jangka hayatnya. Terkadang sehingga 4-5 bulan juga untuk sebotol kicap saiz besar.

Ya, makan pun jarang menggunakan kicap. Sambal, lebih selesa.

Lalu, bila kicap habis, dan stok 'mee soba' di rumah agak banyak, lalu...saya dan suami berhasrat untuk mencari sebotol kicap. Seeloknya mee soba dimasak menggunakan kicap jepun/kikkoman....tetapi, saya lebih selesa dengan kicap kipas udang yang dipasarkan oleh Zara Food.

Beberapa hari lepas, saya mengajak suami ke Pasaraya Giant yang sangat berdekatan dengan rumah. Okey, tak jadi mahu membeli apabila melihat kicap berkapasiti 645ml itu berharga RM9.99. Sebenarnya, memang sangat jarang pun terjah ke Pasaraya Giant walaupun sangat dekat dengan rumah kerana faktor 'harga'. Biasanya, saya akan ke sini hanya apabila stok minyak gamat sudah habis. Haha.

Lalu, semalam, sambil menunggu suami menghadiri 'training', saya merayau pula di Pasaraya Aeon. Melihat harga kicap berkapasiti 645ml itu sekali lagi amat mengejutkan saya, RM10.00.

Oh...di manakah saya membeli kicap ini sebelum ini agaknya? Seingat saya, saya pernah membeli dengan harga sekitar RM8/++ saja. Pun, saya masih bersabar. Masih tidak mahu membeli kicap tersebut. Keinginan makan 'mee soba' juga ditahan-tahan. Sabar....hehe.

Pagi tadi, barulah berkesempatan ke Alamanda. Sungguh teruja melihat bersusun-susun botol kicap berpelekat merah dan berkapasiti 645ml itu (botol besar ya...) yang hanya berharga RM6.90. Wah!!! Apa lagi...terus capai dua botol (stok baru agaknya...tarikh expired 16 Mac 2016...hehehe...).


Selepas saja membayar barang-barang yang dibeli, saya segera memeriksa resit. Oh, harga asalnya adalah RM 9.89 (masih murah berbanding pasaraya lain yang saya pernah terjah...) dan harga RM 6.90 itu pastilah harga ketika promosi.

Alhamdulillah.

Begitulah cara saya membeli barang-barang, samada keperluan dapur, atau barang-barang elektrik, atau perabot rumah. Saya akan survey, berjalan, oppss....tidaklah berniat survey semata-mata...selalunya hanya ambil kesempatan 'survey' apabila pergi ke sesuatu tempat saja. Kalau tidak, rugi juga minyak kereta, malah yang lebih utama, masa dan tenaga juga terbazir begitu saja.

Alhamdulillah.

Semoga ada redha Allah untuk kita semua. InsyaAllah.