14 June 2008

Pro & Kontra Hidup

Assalamualaikum warahmatullah..

Saya terjeda pagi ini di sisi sebuah pam di stesen minyak. Pagi masih awal benar. Burung pun belum buka mata agaknya - ayat ini dalam inti perbualan saya dan ibu saya seketika tadi, sewaktu dia bertanya pukul berapa saya keluar dari rumah.

Saya tidak tahu samada tangki minyak kereta saya tiba-tiba berubah saiz, ataupun angka digital di pam minyak tersebut yang rosak. Memang meragukan, dan saya tidak pasti saya dapat bertahan untuk tidak bercerita di sini. Krisis ini sudah meloyakan minda saya dari berfikir. Jika saya yang 'seorang' ini merasakan keperitan ini, bagaimanakah agaknya orang lain, contohnya seorang buruh kasar dengan anak seramai tujuh orang, dan isteri pula tidak bekerja. Sudahlah harga beras melambung-lambung, kini ditambah pula dengan kenaikan harga bahan keperluan lain, yang pastinya memang telah ketara mencanak-canak naik, seiring dengan kenaikan harga bahan api yang juga melampau-lampau.

Untuk bertindak zuhud di celah kehidupan masyarakat, memang banyak ujiannya. Namun, untuk mengangguk dan tidak pernah menggelengkan kepala, juga ada risiko yang perlu ditanggung. Dua minggu lepas, di saat pengumuman itu dibuat, saya sudah tidak mahu komen apa-apa. Saat teruar-uar cerita di media bahawa para pemimpin 'bermurah hati' mengurangkan sepuluh persen dari elaun keraian, saya juga masih mendiamkan diri. Saat melihat barang keperluan yang mencanak naik dan terpampang di media-media, di anak mata saya ini hanya terbayang-bayang seorang wanita India yang mengayuh basikal setiap pagi, keluar seiring dengan saya, berbaju lusuh, entah menuju ke mana, berapa pendapatannya, bagaimana dia menyara anak-anaknya, dan saya hanya berdoa supaya dia dimurahkan rezeki dan dipermudahkan Allah di dalam mengharungi kemelut kehidupan yang semakin mencabar minda, hati dan fizikal ini - walau dia bukan sebangsa atau seagama dengan saya - kerana Allah telah beri saya hati untuk merasa derita melihat keperitan orang lain.

Sebenarnya, saya masih tidak komen apa-apa. Paling pasti, di dalam hati kita semua, hanya Allah yang tahu apa isi-isinya. Baikkah, burukkah, dan paling pasti, setiap sen pun tidak akan 'laku' di hadapan Allah di padang Masyar nanti. Boleh difikirkan, alangkah indahnya jika setiap sen dibelanjakan dengan ikhlas dan tidak memeras golongan lemah yang sering tertindas.

Benarlah, wahai dunia. Usiamu sudah semakin lanjut, hanya menanti masa yang ditunggu-tunggu sahaja. Di saat gunung dibolak-balikkan, pada masa mentari merah terbit di ufuk barat, di saat taubat yang tidak akan diterima lagi, dan hanya rahmat Allah sahaja yang akan menanti hamba-hamba pilihanNya.

Manusia masih alpa. Dunia ini hanya sementara. Allah saja yang Maha Berkuasa. InsyaAllah.

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan. Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh, sesungguhnya akan Kami tempatkan mereka pada tempat-tempat yang tinggi di dalam syurga, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, mereka kekal di dalamnya. Itulah sebaik-baik pembalasan bagi orang-orang yang beramal, (yaitu) yang bersabar dan bertawakkal kepada Tuhannya." (QS. Al-Ankabuut, 29: 57-59)

30 May 2008

Kawan Lama

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Semasa saya sedang memandu dan berhenti di lampu isyarat, semalam, tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi hon kereta di sebelah saya. Tangan kanan saya masih memegang stereng, dan di tangan kiri pula ada handphone yang masih 'on' speakernya. Saya sedang bercakap dengan seorang kawan pada waktu itu. Itulah, saya tidak menggunakan 'headset' kerana sejak 'bluetooth headset' saya hilang di sebuah hotel semasa sedang menghadiri seminar di Ayer Keroh, Melaka pada Disember tahun lepas, saya tidak pernah membeli 'headset' yang baru.

Bukannya saya tidak mahu, tetapi saya mahu mengingatkan diri saya bahawa 'meninggalkan barang-barang berharga di dalam bilik hotel dan pergi bersuka ria adalah sangat berbahaya' dan tidak akan saya lakukan lagi di masa-masa akan datang. Peliknya, 'headset' dan sebuah 'pen drive' sahaja yang hilang, walhal ada laptop, PDA, handphone dan beg duit saya di dalam beg semasa saya tinggalkan di dalam bilik hotel untuk bermain ping-pong bersama kawan-kawan di tepi swimming pool pada waktu petang setelah usai seminar. Itulah satu-satunya kes kehilangan di hotel yang pernah saya alami sendiri walaupun pelbagai hotel telah saya pergi di sekitar Malaysia. Paling bagus, kehilangan itu cuma saya sedari setelah saya berada di Kuala Lumpur. Malah, lebih hebat lagi apabila seorang rakan sekerja juga mengalami kehilangan 'pen drive' di hotel yang sama, pada masa yang sama. Aduhai...pelbagai cara orang hendak mendapatkan duit. Itulah, kerana 'bluetooth headset' yang original dan mencapai harga sehingga enam ratus ringgit Malaysia itu, saya tidak mahu menggantikannya dengan yang baru. Jadi satu kenangan, untuk saya pelajari - perlu lebih berhati-hati apabila pergi menginap di hotel - hmm, hari ini pun kena tidur di hotel lagi....

Jadi, saya pandang kereta di sebelah saya. Seorang wanita. Eh, macam kenal! Terus saya buka tingkap kereta di sebelah kiri dan, wanita itu sudah tersenyum lebar melihat saya. Dalam hati terdetik, berapa tahun saya tidak berjumpa kawan saya ini, di mana kali terakhir berjumpa, dan paling pasti, apa namanya. Aduhai...saya ini memang gagal dengan memori untuk mengingati nama orang...pada saya nombor panjang-panjang lebih mudah untuk diingati berbanding nama. Mujurlah rupa saya mudah diingati, tidak ada perubahan ketara dari dulu sampai sekarang, kerana kebanyakan kawan-kawan saya sudah menjadi semakin anggun sekarang ini (smile!). Dia terus bertanyakan nombor telefon saya, sebelum lampu isyarat menjadi hijau semula. Selepas itu, barulah dia menghubungi saya, sebaik sahaja saya telah tiba di rumah. Masa itu, baru saya berjaya mengingatinya. Kawan di universiti rupanya, jurusannya berbeza dengan saya. Dia dalam kejuruteraan mekanikal, dahulu. Memang ramai kawan-kawan di universiti yang lama benar saya tidak berjumpa. Sementelah, masing-masing sudah ada dunia sendiri dengan pelbagai rencah dan manisan.

Rasa nak melompat sebenarnya apabila melihat kawan lama saya berada di dalam kereta sebelah. Mujurlah dia hendak menghala ke Seremban dan ada urusan penting, kalau tidak saya akan paksa dia singgah di rumah saya. Kawan, bertahun tidak berjumpa, apabila berjumpa semula, serasa dunia menjadi sekecil tapak tangan. Saya amat merindukan kawan-kawan saya. Semoga Allah merahmati dan meredhai semua orang-orang di sekitar saya, dianugerahkan bahagia dan kesihatan serta kemudahan berpanjangan, insyaAllah.

*********

Tahniah juga kepada seorang sahabat saya kerana keputusan pinjaman untuk melanjutkan pelajaran untuknya telah diluluskan. Saya tumpang gembira, dan semoga ada juga rezeki di tahun-tahun akan datang, insyaAllah.

Paling pasti, Allah punya perancangan tersendiri yang kita tidak tahu. Pasti ada hikmah dariNya untuk sebuah 'kehilangan' yang baru berlaku. Semoga ketabahan akan sentiasa mengiringi sahabat saya ini. Salah seorang sahabat yang amat rapat dengan saya, semoga Allah sentiasa meredhai, merahmati dan memudahkan urusannya, insyaAllah.

26 May 2008

Syukur


Assalamu'alaikum warahmatullah....

Seingat saya, saya tidak pernah menyambut hari lahir saya dengan sesungguh hati. Hari lahir dalam tahun Masehi itu, jarang saya ingat pun. Walaupun pernah menerima hadiah yang pelbagai di hari lahir saya, saya tetap sukar untuk mengingatinya. Saya lebih selesa dengan hari kelahiran saya yang saya sambut setiap 1 Muharram, dalam tahun Hijrah. Itupun, hanya sekadar ingat. Sekurang-kurangnya juga, saya masih ingat tentang ‘penambahbaikan penghijrahan’ yang perlu saya laksanakan saban tahun.

Semalam, tiba-tiba saya mengingati hari kelahiran blog ini. 25 Mei 2006, dua tahun yang lalu. Saya seperti terlupa bahawa blog saya ini sudah menjangkau usia yang sangat tua. Dua tahun, bukan satu jangkamasa pendek. Jika seorang bayi, kini sudah boleh berlari dan makan sendiri.

Blog saya ini sudah ‘tua’ rupanya. Tanpa saya sedar juga, usia saya sudah bertambah sebanyak dua tahun lagi. Apalah agaknya sumbangan saya kepada dunia dan agama dalam tempoh masa ini. Saya sangat malu, kerana Allah sangat menyayangi saya, walhal saya selalu alpa dengan nikmat pemberianNya yang sangat banyak.

"Tidakkah kamu melihat bahawasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. Dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat. Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun." (QS. Faathir, 35: 27-28).

Dan saya sangat berminat dengan kata-kata ini :-

…orang yang beriman kepada Allah berpikir tentang segala sesuatu yang dijumpainya sepanjang hari dan mendapatkan pelajaran dari peristiwa-peristiwa yang ia saksikan; bagaimana ia seharusnya bersyukur dan menjadi semakin dekat kepada Allah setelah menyaksikan keindahan dan ilmu Allah di segala sesuatu.

"… Mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (QS. Al-A'raaf, 7: 179)


"Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri ni'mat Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau ridhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh" (QS. An-Naml, 27 : 19)

22 May 2008

Cinta Kuntuman Tulip


Kuntuman tulip
Meninggalkan jejak paling manis
Dalam episod pengembaraan
Tanpa penghujung.

Dalam nyaman udara beku
Tangan gigil-gigil menahan dingin
Dan tulip-tulip itu
Masih kukuh tegak
Warna yang ceria
Mengulit sayu
Jauh di sudut hati
Dalam debar
Sebuah kembara perjalanan.

Dalam resah
Bersama keliru
Tanpa sedar
Hati yang tertinggal
Di tengah rumpun-rumpun tulip
Untuk kali pertama
Dalam perjalanan hidup
Beradu bersama sebuah cerita
Kisah kehidupan
Yang tidak pernah wujud
Sebelum ini.

Hatikah itu, yang tertinggal,
Atau kenangan?


~Rajawali, 280408~

21 May 2008

Duniaku Buku

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Saya sudah kembali normal, sejak balik dari percutian panjang yang melegakan minda. Saya tahu, saya sudah kembali normal kerana ‘kegilaan’ saya membeli dan membaca buku telah kembali semula ke dalam diri saya.

Pada minggu lepas, saya sempat pergi ke dua buah kedai buku. Kedai buku pertama, saya pergi pada hari Sabtu. Saya membeli 3 buah buku berkaitan agama dan sebuah CD bacaan Al-Quran.

Pada hari Isnin, saya membeli 4 buah buku pula di sebuah kedai buku yang lain. Sebuah karya penerbitan Jemari Seni, sebuah karya penerbitan Alaf 21, sebuah buku berkaitan pemikiran bangsa Cina dan sebuah buku lain berkaitan dengan perlembagaan dan pemikiran rakyat Malaysia.

Dua tiga kali saya membelek-belek dan memegang buku-buku tersebut. Lantas, tanpa berfikir apa-apa lagi, saya terus menuju ke kaunter dan membayar harga-harga buku tersebut. Kalau diukur dan disukat, dalam masa sebulan, paling kurang saya akan menghabiskan lebih kurang sebanyak lima ratus ringgit Malaysia hanya untuk membeli buku-buku. Itu ‘kegilaan’ saya pada buku-buku. Pada saya, buku adalah ‘sahabat paling baik yang tidak akan pernah meninggalkan kita, walau apapun yang terjadi’.

Malam tadi, saya sempat membelek buku pemikiran bangsa Cina dahulu. Itupun, setelah saya membasuh baju, memasak, melipat baju, menggosok baju, dan setelah saya membalut buku-buku ini.


Buku-buku ini telah lama saya beli, rasanya sejak 3 bulan yang lalu, dan telah saya baca pun. Kesibukan menjadikan saya tidak sempat membalut kesemuanya, walhal sebelum ini, setiap kali membeli buku-buku, saya akan balut kesemuanya terlebih dahulu, kemudian barulah saya akan membacanya. Oleh kerana buku-buku saya yang kesemuanya berbalut, apabila anak jiran di sebelah rumah datang untuk meminjam buku-buku saya, dia sering bertanya bilakah saya membeli buku-buku tersebut, kerana buku-buku tersebut masih nampak sangat baru, walhal buku-buku itu ada yang usianya sudah masuk tahun ke-6 pun (selain dari buku-buku pelajaran, ‘kegilaan’ saya membeli buku- buku selain pelajaran hanya bermula setelah saya mempunyai pendapatan sendiri).

Saya sangat sayangkan buku-buku saya. Buku-buku tersebut telah saya kelaskan mengikut kategori : buku-buku agama, novel Melayu, novel Inggeris, buku-buku motivasi, kamus-kamus dan buku-buku kanak-kanak, serta bacaan pelbagai - rumah saya sudah jadi ala-ala perpustakaan. Malah, untuk buku-buku yang saya pinjam dari kawan-kawan, juga ada ruang untuk itu di rak-rak buku saya. Usai saya membacanya, saya akan memulangkan pada kawan-kawan yang telah saya pinjam apabila berjumpa dengan mereka.

Buku, ibarat peneman saya di waktu lapang. Walau sekadar 10 minit, saya akan segera menarik mana-mana buku di dalam beg (selalunya, saya akan bawa dua buah buku di dalam beg sandang saya ke mana-mana saya pergi), dan pada waktu terluang itu akan saya isi dengan membaca. Malah, sekiranya tidak ada buku-buku pun, lebih kurang 45 buah fail e-book di dalam PDA saya amat membantu (karya-karya Harun Yahya terutamanya).

Sekadar membaca, memang amat mudah. Namun, selalunya saya akan menjadi ‘penganalisa tanpa gaji’ di setiap kali saya melakukan proses pembacaan. Kerana itu, terkadang proses membaca satu buku ilmiah akan mengambil masa lebih kurang 1 minggu, 2 minggu atau sehingga 1 bulan. Namun, otak anugerah Allah ini amat saya hargai, kerana pemikiran yang baik dan pelbagai akan menjadikan minda lebih matang dan faham tentang pelbagai konsep hidup – konsep seorang khalifah.

Hidup, tidak selalunya indah. Pun, yang tidak indah itu pun, sebenarnya sangat indah dengan kasih sayang Allah. Allah sudah punya perancanganNya sendiri untuk segala kejadian yang berlaku. Ingatlah, ada hikmah yang tersembunyi di sebalik semua kejadian. Usaha + doa (tawaqal) dan redha padaNya, insyaAllah Dia akan meredhai kita. InsyaAllah.