25 January 2022

Dunia Sementara

Banyak sungguh yang berlaku selepas 11 Januari 2022. Suatu tarikh indah 11.1.22, pun ia memberi pelbagai memori kepada saya. Saya lalui rutin 11.1.22, dibawa ke 13.1.22 dan seterusnya ke 14.1.22. Lelah, lesu dan letih bergumpal sekaligus, kepada minda, jua kepada fizikal. Malah, hati sudah pasti terlebih lagi cuba menjadi kuat, dalam kelelahan yang sangat menyesakkan. Lalu, menunggu pertemuan seterusnya, InsyaAllah pada 11.2.22. Masih di 11hb, tapi di bulan yang berbeza. MasyaAllah.

Alhamdulillah. Apa saja yang dilalui dengan redha kepada ketentuan Allah, maka ia akan menjadi lebih mudah dan sentiasa dalam redhaNya. Apapun, apa saja di dunia ini, ia bukan milik kekal kita selamanya, walaupun batang tubuh kita sendiri juga. Maka, perlu diingatkan berulangkali bahawa dunia ini dan tubuh kita hanyalah pinjaman sementara yang akan diambil Allah pada bila-bila masa sahaja.

Semoga ada redha Allah di sepanjang kehidupan kita, jua redhaNya di akhirat sana. Semoga syurga itu dianugerahkan untuk kita. InsyaAllah.

10 January 2022

Bulan Islam

Sudah Jamadilakhir. Selepas ini bulan Rejab. Selepas itu, Syaaban akan menyusul. Dan akhirnya, Ramadan yang dirindui akan tiba jua. Walaupun terasa seperti....eh sudah 2022, eh sudah nak tiba Ramadan semula, eh dapatkah beraya tanpa PKP tahun ini? Apapun, tetap terasa rindu pada Ramadan itu kekal membuak-buak.

Ramadan, suatu bulan yang mulia. Rasa yang tenang, indah, terutama di kala menghitung malam-malam sunyinya hanya berseorangan, menangis dan meratap sayu kepada Dia, kerana tau...diri yang penuh noda dan dosa. Hanya Allah Yang Maha Pengampun dan akan mengampunkan dosa semua hamba-hambaNya.

Ya Allah...walau Ramadan itu hampir tiba, pun diri ini merasa sungguh masih jauhnya Ramadan tahun ini. Ya Allah, temukan diriku dengan Ramadan tahun ini....dan manfaatkanlah diriku dengan kebaikan di Ramadan ini...dan ampunilah semua dosa-dosaku...

Jalan Terlalu Sesak

Sangat mencabar melalui perjalanan pergi dan balik kerja di tahun 2022. Sebelum covid dulu, perjalanan pergi hanya mengambil masa setengah jam, atau maksimum satu jam sudah dikira agak lama. Perjalanan balik pula biasanya 45 minit hingga satu jam 15 minit. Waktu maksimum hanya akan dilalui jika keluar lambat samada dari rumah atau dari pejabat. Jika keluar awal sekitar 6.30-7pagi, atau balik awal sekitar 4.30-5 ptg, keadaan trafik masih ok.

Namun, di tahun 2022 ini, jika keluar dari rumah pukul 6.30pg pun, hanya akan tiba di pejabat sekitar 8.30pagi. Tempoh perjalanan balik pula lebih memeritkan. Minggu lepas saja, setiap hari merekodkan keluar dari pejabat pada pukul 4.45ptg, akan tiba di rumah hanya seawal 7mlm. Mahu tak mahu, masuk saja waktu Asar, terus solat sebelum bertolak balik. Jika balik 5 petang, pukul 8mlm belum tentu lagi boleh tiba di rumah. Ya, sungguh memberi tekanan.

Hari ini pula sudah bermula sesi persekolahan. Kesesakan lebih berganda-ganda. Jadi, waktu pergi dan balik kerja merupakan momen tekanan luar jangka pula. Sudahlah badan terlalu lesu dengan tugasan pejabat yang sangat melampau, ditambah pula dengan kesesakan jalanraya yang jua melampau, maka hari-hari bekerja merupakan hari-hari yang sangat tertekan.

Ya Allah, mudahkanlah urusan kami di dunia dan di akhirat. Dunia ini banyak menipu kami.

09 January 2022

Tahun Baru 2022

Lama sungguh tidak menulis di sini. Lama sungguh tidak merakam sebarang kenangan dalam bentuk penulisan di sini. Bukan tidak membuka blog ini, buka juga...tapi, kerana sudah terlalu lama agaknya blog ini terbiar sepi, lalu ia hanya diam sahaja, hingga login account pun sudah terus terlupa.

Alhamdulillah. Seiring dengan 2022 yang baru saja bermula, maka saya telah berjaya menemui semula segala maklumat login account blog ini. Takdelah cari beriya sangat pun, tapi bila Allah telah mudahkan, maka ia menjadi mudah. Alhamdulillah.

Lalu, kita tambah satu lagi azam tahun ini. Mahu berblog semula. Mahu aktifkan semula blog ini di 2022. Mahu berkongsi semula sejuta kisah-kisah lama yang mungkin ada tersimpan di dalam memori minda yang semakin tepu ini. InsyaAllah.

Ya. Saya suka menulis. Cuma masa saja yang seeing tidak memberi keizinan kepada saya. Semoga 2022 ini memberi sinar semula kepada saya untuk mendapat peluang menulis dengan lebih kerap. InsyaAllah.

30 September 2017

Kembara Pun Bermula

Walau hati terasa berdebar-debar kerana serasa sudah lama benar tidak meninggalkan Malaysia dan menjejakkan kaki ke luar negara, pun memikirkan semuanya sudah disiapkan, malah sudah dibayar, lalu apa lagi yang perlu ditunggu? Maka perjalanan kembara pun bermula pada 12 Julai 2017.

Mudah benar di zaman ini apabila tidak perlu menunggu teksi untuk ke mana-mana, atau perlu meminta sesiapa menghantar ke lapangan terbang. Jika dulu, abang saya akan menjadi mangsa yang paling kerap untuk saya pergi ke lapangan terbang. Kini, dengan hanya mengaplikasikan uber atau grab car, ia sudah tersedia di hadapan kita dalam tempoh kurang dari 10 minit untuk kita bertolak ke mana-mana lokasi. Sejujurnya, saya sangat sukakan perkhidmatan ini selagi ia masih dilaksanakan dan bayarannya juga tidaklah mahal.

Tiba saja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, saya dan suami terus menuju ke Balai Berlepas Antarabangsa. Urusan sangat mudah, kerana untuk kali ini, saya dan suami menggunakan Business Class. Dari urusan check-in sehinggalah ke urusan imigresen, ia dapat dilaksanakan dalam tempoh yang sangat singkat kerana penumpang Business Class mempunyai laluan khas untuk hal-hal tersebut. Usai segala urusan pelepasan, saya dan suami menuju ke Malaysia Airlines International Lounge pula di Satellite Building. Maka, melepaklah saya dan suami menunggu waktu penerbangan sambil makan dan minum dengan selesa. Dalam tempoh sama, kami berdua juga menunaikan solat Asar sebelum berlepas dan surau juga turut disediakan di dalam lounge tersebut.

Alhamdulillah. Semoga Allah memudahkan dan melindungi urusan kembara ini.

20 September 2017

Apabila Sudah Lama Tidak Merayau

Sepanjang sakit yang teruk, saya lebih banyak diam di rumah. Samada semasa mendapat cuti sakit, atau sepanjang bekerja dalam keadaan berkerusi roda. Pun, apabila semakin sembuh, hobi berkelana ke pelbagai lokasi tetap tidak boleh dilupakan.

Lalu, misi dimulakan dengan memperbaharui pasport saya. Sudah lebih 5 tahun sakit, maka selama 5 tahun jugalah pasport saya kekal berkubur tidak digunakan. Bezanya, kali ini saya akan bekelana bersama suami. Alhamdulillah, urusan pasport sangat dimudahkan Allah. Tempoh satu jam dari tiba di pejabat imigresen hinggalah menerima pasport di tangan merupakan satu tempoh yang sangat singkat. Sementelah, sudah lama saya tidak ke pejabat imigresen.

Setelah memiliki pasport, seolah-olah satu kaki sudah masuk ke dalam kapal terbang. Tanpa bertangguh, saya mula mencari-cari lokasi yang hendak ditakluk. Haha. Masih tidak ada idea, dan untuk makluman, saya bukanlah suka melancong dengan menggunakan pakej dari agensi pelancongan. Semua saya redah sendiri, samada mahu mencari tempat menginap, tiket kapal tebang, visa, transportation, makan dan minum ataupun tempat-tempat yang mahu dilawat. Paling utama, saya mahukan lawatan yang selesa dan santai serta tidak terkejar-kejar, dapat memerhati keadaan persekitaran di luar negara dari kacamata seorang pengembara, dan tidak terhad kepada tempat-tempat menarik bagi kaki pelancong sahaja.

Setelah puas membelek internet, maka saya pun membeli tiket penerbangan 4 hari selepas saya memperbaharui pasport. Hotel juga dapat diselesaikan pada malam yang sama saya membeli tiket penerbangan. Malah, pada keesokan harinya, saya menyelesaikan pula urusan imigresen ke negara yang ingin saya lawati bersama suami. Urusan dokumen-dokumen seperti itu mampu diselesaikan dalam tempoh 24 jam sahaja, dengan bantuan internet. Cuma, paling penting kena pastikan laman web yang kita gunakan adalah laman web yang sahih, kerana dalam semua urusan akan melibatkan transaksi secara online. Jadi, saya namakan kaedah saya ini, redah berhemah. Redah-redah juga, tapi pastikan semuanya tepat.

Tipsnya, perlu rajin dan pantas membuat pelbagai pembacaan dari pelbagai sumber, serta memastikan semua perkara telah diambilkira dengan baik. Samada sebelum membeli tiket kapal terbang dan hotel, sebelum terbang, semasa terbang, setelah tiba di lokasi, semasa hendak terbang pulang, dan semasa tiba semula di Malaysia. Semua perlu direkodkan dengan sempurna. Seumpama sebuah senarai semak, bagaimanapun untuk mengelak mengambil masa dalam hidup yang banyak, ianya perlu dilakukan dengan pantas. Barulah kita dapat mengembara dengan selesa, dan halal haram jua turut dijaga. InsyaAllah.

04 January 2017

3 Subjek Lagi...

Apabila sudah lama tidak menghadapi peperiksaan, maka bilangan peperiksaan sangat 'mengujakan'. Masih ada 3 subjek lagi yang belum habis untuk tempoh ini, dan satu lagi adalah pada esok hari.

Sudah gaya apa menaip di blog jika mahu menghadapi peperiksaan. Makanya, jika anak-anak anda menghadapi peperiksaan, jangan dibebankan sangat dia dengan pelbagai perkara.

Stress lagi dari nak presentation ni...

Hanya Allah yang tahu apa ada di hati ini.
Hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk kita.

Semoga Allah memudahkan urusan kembara ilmu ini dan memberikan kejayaan cemerlang bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat. InsyaAllah.

29 December 2016

Peperiksaan

Hari pertama peperiksaan setelah sekian lama tidak menghadapi peperiksaan bertulis.

Semalam. 28 Disember 2016.

Subjek, Road Material.

Sungguhlah, tiba-tiba pula...setelah 'jot down keyword' di setiap soalan, tiba-tiba terasa 'malas' mahu menulis jawapan.

Malas yang memang sungguh malas. Apalah. Kenapa pula rasa malas tiba?

Entah. Badan saya tiba-tiba jadi lesu, dan rasa macam mahu baring dan berehat saja. Mungkin sebab badan tak cukup rehat. Minda juga. Jadi, rasa penat. Tapi, gagahkan juga diri, kuatkan semangat untuk 'menulis jawapan'.

Alhamdulillah. Mampu jua menulis walau tak bersungguh hati.

Allah. Berilah kejayaan cemerlang kepada saya untuk dunia dan akhirat juga. Kejayaan cemerlang yang Engkau redhai dan rahmati.

InsyaAllah.

30 November 2016

Selagi Skrin Masih Hidup...

Allahu.

Masih mahu mencoretkan sesuatu, walau di kala ini, mata sudah merah dan badan sudah terlalu letih. Cuba mengecas minda, menaip sesuatu di sini, walau sebelumnya sudah puas menaip dengan teknikal phrase yang entah apa-apa.

Ya, lately minda saya lebih laju. Samada menulis dalam bahasa, ataupun english. But, english usually just for technical terms. Sukar untuk saya bermonolog dalam bahasa Inggeris. Pada masa sama, sukar untuk saya menulis terma teknikal dalam bahasa Melayu. Janggal. Sukar untuk mencari perkataan yang sesuai dengan makna.

Selalunya, saya sudah lena waktu ini. Semalam, saya paksa diri tidur pukul 1 pagi. Bangun 6.30 pagi. Lewat, dan letih. Walau masa tidur lebih dari biasa. Badan saya tidak serasi untuk tidur lewat malam dan bangun lewat pagi.

Malam ini, konon mahu tidur awal seperti biasa. Tidak mahu melatih diri bangun di luar waktu tahajjud. Namun, ishikawa diagram membuatkan saya tidur lewat lagi, dan ada satu investigation proposal perlu disiapkan. Perlu di-submit selewatnya esok.

Pada masa sama, saya menunggu skrin laptop dan baterinya habis digunakan.

Okey, belum habis. Mungkin lagi satu jam. Ada masa untuk masuk blog (just to release a little bit) then will continue with my tasks.

Wah. Ini semua keduniaan. Tapi, saya cuba menerapkan fardu kifayah. Mana tahu, ilmu ini boleh digunakan semasa berperang nanti. Bukankah ada manfaatnya?

Allah. Hanya Engkau yang Maha Mengetahui, dan Maha Menolong.

17 November 2016

Sabar...Jangan Tertekan...

Of coz, mudah disebut, sukar dipraktikkan.

"Sabar itu separuh dari iman"

dan

"Malu itu juga separuh dari iman"

Pernah terfikir tentang hal ini...

sabar + malu 
= 1/2 iman + 1/2 iman
= 1 iman (full iman)

Tapi, bukan mudah untuk sabar, dan bukan mudah juga untuk malu.

Malu banyak kategori. Sabar pun banyak kategori.

Mungkin kita malu dengan manusia, tapi adakah kita sudah cukup malu kepada Allah? Kalau sudah cukup malu kepada Allah, sohih....solat awal waktu, istiqamah dalam membaca AlQuran, menjaga aurat, menjaga pergaulan...buat apa yang Allah mau, tinggalkan apa yang Allah larang.

Hanya sedikit mampu saya coretkan sebagai contoh, tapi....sudah cukupkah rasa malu kita kepada Allah?

Itu belum lagi bab kawal marah, sabar dan malu bergaul menjadi padu untuk kawal kemarahan, tetapi...ada tak masa-masa yang kemarahan kita meletup juga...lalu, di mana tahap iman kita? Marah kita juga selalunya bukan kerana Allah, tapi...kerana traffic jem atas jalanraya, kerana tak jumpa parking, kerana lapar....etc etc etc. Yang pastinya, bukanlah marah itu dibuat kerana Allah. Tapi, kita marah kerana kurang boleh mengawal emosi.

Allah. Imanku masih sangat cetek.

Ampunkan hambaMu ini Ya Allah.

06 November 2016

Lajunya Masa Berlalu

Assalamualaikum...

Saya kelelahan!!!
Sungguh. Hanya Allah yang Maha Mengetahui rasa lelah ini.

Seharian di hadapan laptop, hanya bergerak untuk mandi, solat dan makan seketika, kemudian duduk semula di hadapan laptop. Rutin cuti apakah ini?

Amboi...sudah satu minggu 'melepak' di rumah, lalu menyalahkan hari cuti untuk membuat assignment.

Itulah rutin saya kini, lalu...waktu yang terasa terlalu cepat berlalu ini benar menghambat saya. Belum sempat saya merasakan 'manisnya' momen-momen seumpama ini, sudah November rupanya. Serasa baru saja saya tinggalkan kerja-kerja berlambak di pejabat yang agak menyesakkan kepala.

Momen ini, momen ilmu, momen hidup, momen bersama diri.

Saya masih belum puas. Oh masa, jangan berlalu terlalu cepat.

15 October 2016

Indahnya Pagi Yang Hening

Alhamdulillah.

Kadang-kadang kita tak sedar tentang waktu yang kita 'kuat'. Maksudnya, masa yang kita tidak rasa letih, mengantuk, depresi atau terganggu dengan surrounding dan persekitaran (maaflah...bahasa saya...mix up je..).

Untuk saya, masa dari 3pagi hingga ke 7pagi.....atau jika hari Ahad sehingga hampir 9pagi merupakan waktu-waktu yang saya rasa 'kuat'. Kenapa rasa kuat? Sebab di waktu-waktu begini, di saat semua orang sedang lena tidur (atau baru saja tidur), saya sudah bangun tanpa bantuan jam loceng atau 'alarm' dan suasana sekeliling amat sunyi tanpa gangguan.

Waktu yang tenang.
Waktu tanpa gangguan dari sesiapa.
Waktu hanya untuk kita aje.

"I can do anything...".

Malah, pada suatu ketika dulu, di waktu begini saya akan memasukkan beg ke dalam kereta dan akan mula memandu balik ke kampung. Sempat lagi untuk 'breakfast' dengan keluarga di kampung. Kalau dulu-dulu, emak mesti akan tanya, "pukul berapa bertolak ni?" sebaik saja saya tiba di rumah awal pagi.

Dari kecil, inilah habit saya. Akan buat macam-macam di masa 'kuat' ini. Cuma, kurang baiknya...lepas sahaja solat Isya', biasanya mata saya sudah layu. Waima pukul 9.30malam pun pada saya sudah terlalu lewat. Pun, biasanya jika ada apa-apa (terutama jika ada kursus luar pejabat yang menjangkau sehingga 10.30mlm) maka terpaksalah saya tahankan mata.

Kini, masa kuat ini lebih panjang untuk saya sementelah saya tidak perlu mengejar 'punch card' pada tempoh ini. Seronok. Penat rupanya mengejar 'punch card' ni. Penatnya bukan saja di badan, tetapi lebih kepada penat di minda. Mungkin kerana corak kerja yang lebih kepada 24hrs bekerja seperti di pejabat sebelum ini menjadikan pada saya 'punch card' itu tidak perlu.

Masa untuk bekerja, bukan kerana 'punch card', tetapi lebih kerana minat. Kalau tak minat, datang ke pejabat pun hanya untuk punch card saja, tapi masih tidak buat kerja dengan baik. Dan berdasarkan pemerhatian saya, ramai di Malaysia ini hanya datang kerja kerana punch card, bukan kerana minat dengan kerja, bukan niatnya untuk memberikan rezeki halal kepada diri sendiri dan keluarga. Hanya fikirkan untuk mendapat 'duit bulanan' dengan mudah.

Kerja itu, amanah dari Allah.

Jika makan rezeki haram (walaupun gaji bulanan, tapi jika banyak curi tulang semasa kerja dan tidak cuba untuk memberikan hasil terbaik) bukan saja di dunia ini merana, malah di akhirat juga sengsara.

Nak tahu samada kita boleh tahan atau tak dengan api neraka? Kalau dengan api di dunia, hmmm...periuk panas pun kita tak boleh pegang bare hand kan (adoi....my language). Kalau tak tahan dengan api di dunia, apatah lagi api neraka kan?

So, manfaatkan waktu bekerja untuk kumpul 'bekal' bagi perjalanan akhirat yang masih panjang perlu dilalui. Perjalanan menuju Allah. Takkan nak bawa dosa jumpa Allah?

30 September 2016

Sepi Itu Indah

Sudah hampir 3 tahun blog ini menyepi. Jika dihitung, 2014 dan 2015 yang telah berlalu menyaksikan kesibukan saya yang agak 'melampau'. Sungguh melampau? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

2014 merupakan tahun agak merudum, mungkin. Awal tahun saya dimasukkan ke hospital semula kerana terjatuh, dan dalam tempoh selama 6 bulan menyaksikan emosi saya yang agak kurang stabil kerana doktor memberikan cuti sakit yang agak lama kerana bimbangkan situasi kesihatan saya yang boleh dikatakan semakin teruk ketika itu.

Pun, saya 'berkeras' untuk sihat semula. Menabahkan diri dan selepas 6 bulan, saya kembali semula ke pejabat walaupun dengan menaiki kerusi roda elektrik.

Alhamdulillah. Kesibukan yang agak banyak, dan rahmat dari Allah...Alhamdulillah...sukar saya ungkapkan apabila pada bulan Oktober 2015 saya mampu berjalan semula. Suatu tempoh masa yang agak lama pada saya, namun...Allah Maha Mengetahui...dan Allah Maha Berkuasa.

Pun...dengan pelbagai kesibukan, blog ini seakan sudah berkubur. Hinggalah...masa 'senggang' itu muncul semula. Tidak sesibuk dulu, tapi tidak juga selapang dulu. Pun, saya bersyukur. Terima kasih Allah.

Lalu, kerinduan kepada blog kesayangan saya ini saya mulakan semula. InsyaAllah, kekerapan menulis akan cuba lebih ditingkatkan. InsyaAllah.

26 December 2013

Disember Yang Sunyi

Ini post pertama bulan ini.

Dan mungkin post terakhir untuk tahun ini. Tahun 2013.

Tak tahu apa mahu diceritakan. Idea seperti hilang entah ke mana.

Hanya melakukan rutin harian yang sama, dan agak sibuk di hujung tahun untuk 'orang makan gaji' seperti saya. Rutin mencari rezeki, seperti mahu hidup seribu tahun lagi. Rutin beribadat, seperti mahu mati sesaat lagi.

Semoga ada redha Allah, insyaAllah.

p/s : semoga malam tahun baru 2014 tidak diisi dengan maksiat dan dosa...

27 November 2013

Bawa Bekal ke Pejabat 6

Rasanya...lama benar saya tidak update entry jenis ini. Membawa bekal ke pejabat. Bukan sebab tak bawa bekal sebab memang hari-hari saya membawa bekal cuma bekal yang sama caranya, nasi putih, sayur dan ikan atau ayam sahaja. Ada juga terkadang mihun atau spaghetti...tapi itu sudah saya ceritakan cara-caranya sebelum ini.

Beras di rumah saya sudah habis. Memandangkan kami sudah biasa membeli beras siam (beras yang dibeli dari Kelantan), apabila stok beras habis...sukar sungguh untuk membeli beras yang dapat menepati citarasa di tempat yang jauh dari negeri Kelantan ini...hehe. Lalu, saya dan suami mencuba membeli beras perang pula. Elok mahu memasak beras, baru saya perasan yang plastik beras tersebut di-vakum - vacuum packaging. 'Simpan beras di dalam peti sejuk selepas dibuka' juga tercatat di atas plastik beras. Adeh deh deh. Tak jadi mahu membuka beras tersebut kerana peti sejuk saya masih 'penuh'. Haha. Kena dikosongkan dulu barulah boleh mengisi 'wholegrain brown rice' seberat 5kg itu ke dalam peti sejuk.

Lalu, mahu bawa bekal apa ke pejabat? Menu berasas nasi...menu wajib untuk suami yang bercitarasa 'melayu'. Lantas teringat kepada 'instant ketupat nasi' yang masih belum disentuh. Malas betul mahu buat yang jenis homemade, walhal mudah juga yang jenis homemade kan. Pun, bekalan jenis ini memang sangat mudah. Boleh bangun lewat pun pagi ini kerana ia sudah disiapkan malam sebelumnya.

Ketupat tersebut direbus pada malamnya, dan kemudian 'dikeraskan'. Memang tabiat ketupat, kalau baru lepas direbus memang sangat lembik kan. Jadi, rebus dan kemudian dikeraskan saja. Saya menggunakan induction cooker, jadi tempoh merebus ketupat hanya mengambil masa dalam 30-45 minit sahaja.

Sambil merebus ketupat, saya membuat perapan untuk ayam (nak masak rendang??? tidak le....hehe...). Ayam yang diperap dengan arabic spices, lada hitam, lada putih, kunyit dan sedikit garam saya masukkan ke dalam oven dan hanya dibakar 'mild' (adeh...bahasaku....) dengan suhu 180'C dalam tempoh 40minit. Pagi tadi, sebelum mandi, barulah ayam-ayam itu dibakar semula pada suhu 200'C selama 20minit.

Jadi, di pagi harinya, hanya membakar semula ayam, memotong ketupat dan kemudian menyelitkan sedikit serunding daging yang sedia ada di rumah sebagai bekal ke pejabat. Untuk bekalan fiber harian untuk badan saya, saya membawa epal dan oren untuk dimakan sebagai kudapan di pejabat.

Alhamdulillah. Ia lebih bersih, dari air tangan kita sendiri. Semoga ada redha Allah. InsyaAllah.

22 November 2013

Pemandu Zaman Moden

Dahulu...saya merupakan seorang pemandu. Ke mana pun saya mahu pergi, hanya saya yang akan memandu. Hinggakan apabila adik lelaki saya hendak berkahwin, boleh dia singgah di rumah saya meminta saya memandu membawanya dalam perjalanan hampir lima jam ke Perak.

Memang sungguh berdikari. Tetapi, prinsip saya bila memandu, safety first. Fokus 100% hanya untuk memandu. Jika boleh buat tugas lain semasa memandu, itu extra, pun keselamatan sangat-sangat diutamakan. Bukan saja keselamatan diri sendiri, malah lebih penting keselamatan kenderaan lain di sekitar anda. Safety First.

Pun, selepas berkahwin, dan selepas sakit, saya memang kurang memandu. Dalam sebulan, adalah sekali sahaja rasanya saya memandu. Masa yang lain, selalunya saya hanya duduk di sebelah pemandu saja. Eh...pemandu pula....suami saya la.

Kekerapan ini menjadikan saya lebih banyak memerhati situasi sekitar. Lebih banyak yang saya dapat perhatikan. Lalu, ia menyebabkan saya sedikit takut. Bukan takut untuk memandu, tetapi takut dengan gaya hidup pemandu zaman moden.

Kisahnya begini...

Semua orang ada gadget (gajet) di zaman ini. Siapa tak ada gajet, anda kolot (hampir sama dengan saya la yang kurang sedikit bab-bab bergajet ini). Kebanyakan gajet sekarang, tablet pc, handphone...malahan laptop dan desktop sekarang pun sudah di-skrin-sentuh-kan. Kalau anda penumpang, tak kisahlah anda hendak mengguna berapa gajet pun semasa di atas jalanraya, tapi kebanyakan pemandu...ehh...pemandu....ya...kebanyakan pemandu zaman ini, suka benar ber-skrin-sentuh dengan gajet anda 'semasa anda sedang memandu'. Aktif bersosial. Aktif ber-status. Aktif bertwit-twit.

Pengalaman paling ngeri yang saya pernah hadapi bersama suami, sebuah kereta di hadapan saya, di jalan yang lurus, kerap 'terhuyung hayang' tidak tetap di dalam lane yang telah ditetapkan. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Kerap menekan brek, walaupun tiada kenderaan di hadapannya. Apabila tiba di jalan yang sedikit berselekoh, makin kerap brek ditekan. Lalu, suami terus memberi signal untuk memotong. Jalan dua lane, jalan agak besar, tapi kereta tersebut kerap 'makan jalan'. Elok kami berada di lane kanan, kereta tersebut terus menghimpit ke kanan, dalam jarak lima inci sahaja dari kereta kami. Aduhh!!! Suami menekan hon, saya pula sempat melirik ke arah pemandunya, seorang wanita yang hanya berseorangan memandu, bersama gajet saiz 5 inci di tangannya...tunduk melihat ke arah gajet dan tidak melihat ke jalan langsung. Sebelah tangan memegang gajet, sebelah tangan memegang stereng. Tangan yang memegang stereng pula adalah tangan kiri. Tolong!!!!!

Yang lebih bagus, hon suami tidak diendahkan, dan wanita tersebut sempat 'menjeling maut' ke arah kenderaan kami berdua seolah-olah satu kesilapan kerana suami menekan hon untuk mengingatkan dia yang 'dia tidak berseorangan di atas jalan raya', yang mana...saya rasa jika hon tidak ditekan, memang sudah accident lah agaknya...nauzubillah.

Ehh...saya yang tidak memandu pun tidaklah teruja hendak melihat gajet sepanjang masa. Malah, terkadang fbook/whatsapp saya juga jarang ber-on. Lebih banyak masa dihabiskan untuk 'bekalan semasa mati' - yang ini, anda fikirlah sendiri ya. Sebab, saya taknak bawa gajet-gajet saya masuk ke kubur bersama-sama. Malunya nak berjumpa Allah, lalu Allah tanyakan - apakah yang kamu gunakan dengan MASA yang telah diberikan kepada kamu??? Apa saya nak jawab, takkan nak jawab....saya menghadap gajet 24/7. Malu. Malu. Malu. Sangat malu. Apa yang kita peruntukkan untuk Allah vs nikmat yang sangat banyak yang Allah beri kepada kita.

Malah, gajet saya hanya gajet simple yang ada wifi (tapi kalau pergi ke tempat awam yang ada free wifi pun tak pernah on wifi - rumah kami ada wifi, yang jarang juga di-on kan wifinya...hanya bila perlu sahaja...), bolehlah untuk berwhatsapp dan ber-internet...tapi itupun saya tidak buat 24/7. Masih banyak lagi hal bermanfaat yang boleh dibuat selain dari menghadap gajet-gajet tanpa jemu. Hanya 'jika perlu', barulah gajet-gajet-gajet tersebut akan saya gunakan. Perlu, jika - call suami, call ayah ibu, call adik beradik, share something with suami di whatsapp dan fbook, google mencari maklumat, guna map, get latest news....rasanya itu saja yang saya gunakan....pun, ia tidak 24/7 yang menyebabkan 'semasa memandu pun hendak bergajet'. Ia saaaangattttt berbahaya okey. Kalau bahaya kepada anda yang mengguna gajet semasa memandu saja, ia okey...tapi, anda juga membahayakan kenderaan lain di sekitar anda.

Terus terang, di zaman saya menjadi pemandu tegar satu masa dulu, jika ada call/panggilan masuk pun....saya tidak akan menjawab panggilan tersebut semasa memandu. Apa yang saya buat adalah, jika ada tempat untuk berhenti, saya akan berhenti...pun jika saya sedang mengejar masa (terutama semasa dalam perjalanan ke pejabat), saya akan mengubungi semula si pemanggil apabila sudah tiba di pejabat. Ia lebih selamat.

Saya tertanya-tanya, jika perlakuan seperti ini boleh membahayakan nyawa orang lain, apakah hukumnya? Haram? Harus? Sunat? Wajib? Makruh?

Jadilah pemandu berhemah. Untuk anda, keluarga anda, masyarakat di sekitar anda. Hanya redha Allah yang kita harapkan di dunia dan di akhirat. Semoga ada redha Allah. InsyaAllah.

20 October 2013

Istimewa 20 Oktober

Hari ini, mood memasak mendadak naik. Sudah lama mood memasak merudum jatuh. Bukan tidak memasak langsung, hanya memasak yang saaaaangaaat simple, malah di saat musim 'keracunan makanan' ini, memang saya dan suami tidak pernah lagi membeli makanan siap dimasak.

Awal pagi seawal 7 pagi, sebelum keluar dari rumah untuk membeli barangan dapur, saya sudah mengeluarkan seketul daging lembu sebesar tapak tangan, sebekas udang dan beberapa ekor sotong dari freezer.

Usai membeli barangan dapur lebih kurang pada pukul 9 pagi, terus suami menyiang ikan, dan kemudian memasak nasi. Ikan yang dibeli mula digoreng (hanya dua ekor sahaja, selebihnya untuk simpanan), dan kemudian menyiang sayur bayam pula. Usai menyelesaikan bayam, sementelah 'chicken wing' dan daging lembu sudah siap diperap, udang, sotong, lobak, serai, kobis, tomato pula diurus untuk menyiapkan seafood tomyam.

Tomyam, tidak dimasak dengan menggunakan perencah tomyam. Sangat simple : tomato + cili api ditumbuk kasar, dimasukkan ke dalam periuk, dituangkan sedikit air dan baru dihidupkan dapur, kemudian baru memasukkan bahan-bahan lain, yang terakhir sudah tentulah udang dan sotong.

Usai memasak, tomyam masih panas, hanya dibiarkan di atas periuk. Hanya makan ikan goreng, cencaluk+perahan limau+cili api serta sayur bayam dan nasi.

Daging yang diperap pula, dimasukkan semula ke dalam freezer, dan chicken wing dimasukkan ke dalam oven untuk dibakar.

Sungguh, menu hari ini sangat banyak. Tanpa sedar, rupanya...hari ini hari istimewa untuk saya dan suami. Alhamdulillah. Instinct dari Allah tidak pernah salah.

Walau nampak berjenis-jenis, kuantiti tidaklah sebanyak mana. Jadi, ikan goreng dan sayur bayam sudah habis. Hanya tomyam dan chicken wing yang menanti.

Alhamdulillah.

* Tak ada photo lagi. Saya memang malas bab upload photo. Hehe.

17 September 2013

Ujub dan Riya'

Ujub = berbangga dengan diri sendiri (contoh apabila membelek diri, merasa diri cantik, bijak, sempurna)

Riya' = menunjuk-nunjuk (contoh menyatakan saya kaya, saya cantik, saya disukai ramai, saya sentiasa banyak beribadat)

Kedua-duanya dikategorikan syirik kecil.

Allah yang Maha Hebat. Kita hanya hamba yang meminjam segalanya dari Allah, termasuk diri dan hati kita sendiri.

Firman Allah, maksudnya :

"Dan di antara manusia ada yang pembicaraannya tentang kehidupan dunia mengagumkan engkau (Muhammad), dan dia bersaksi kepada Allah mengenai isi hatinya, padahal dia adalah penentang yang paling keras.

Dan apabila dia berpaling (dari engkau), dia berusaha untuk berbuat kerosakan di bumi, serta merosak tanam-tanaman dan ternak, sedang Allah tidak menyukai kerosakan.

Dan apabila dikatakan kepadanya, 'bertakwalah kepada Allah', bangkitlah kesombongannya untuk berbuat dosa. Maka pantaslah baginya neraka Jahanam, dan sungguh (Jahanam itu) tempat tinggal yang terburuk."

Surah Al- Baqarah : 204-206

Semoga Allah sentiasa melindungi kita dari riya' dan ujub. InsyaAllah.

08 September 2013

24 Jam Sehari (Bekerja)

Tanpa sedar, penggunaan masa yang jarang kita ambil kisah, yang jarang kita ambil endah. Hari ini, saya mahu muhasabah diri saya. Membelek diri saya dari segi 'penggunaan masa'.

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian..." : Al Asr

Penggunaan masa saya di hari bekerja :

Solat + Wudhu' : 20x5 = 1 jam 40 minit (ini je masa untuk Allah??!)

Mandi : 15x2 = 30 minit (pagi dan petang)

Makan : 30x2 = 1jam (pagi dan petang...memang makan 2x sehari saja)

Penyediaan makanan + masak : 1 jam 30 minit (untuk 2x makan)

Perjalanan pergi balik ke tempat kerja : 45x2 = 1 jam 30 minit

Tempoh berada di tempat kerja : 9 jam

Tempoh tidur : 6 jam

Melayari internet, wasap, fbook dll : 2 jam

Jumlah keseluruhan : 1j40min + 30min + 1j + 1j30min + 1j30min + 9j + 6j + 2j = 23 jam 10 minit

***Wah...mana berbaki 50 minit saya ni? Confirm saya 'berselesa-selesaan' selama 2 jam 50 minit untuk internet???!!! Waktu melayari internet, membaca blog, membuka facebook, berchatting di wassap...memang sungguh kita alpa pada masa kan? Wah...lamanya, 2 jam dan 50 minit untuk internet, hanya 1 jam 40 minit sahaja untuk Allah??? Walhal...solat Zuhur dan Asar (jika masuk waktu Asar awal) sudah tertunai di pejabat, sudah termasuk dalam 9 jam waktu bekerja (ada 1 jam untuk waktu rehat), jadi...hanya 20x3 = 60 minit saja waktu untuk solat....hilang lagi 40 minit, mesti sudah digunapakai oleh masa berinternet dan berselesaan juga...banyaknya 'leisure time' saya....malah, dalam 8 jam bekerja itu...ada juga termasuk 'masa-masa membelek handphone' di tangan...oh, memang perlu muhasabah diri!! wajib!!

***Ini belum kira penggunaan masa di hari cuti yang sangat lapang. Sungguh. Muhasabah diri. Banyaknya saya leka. Lalai. Alpa.

***Semoga saya dapat mempertingkatkan diri ke arah yang lebih diredhai Allah. Allah...berilah kekuatan kepada hati hamba-Mu yang lemah ini. Allah...hanya keampunan dan redha-Mu yang kuharapkan. InsyaAllah.

01 September 2013

Jalan Jalan Makan Luar (JJML) 1 : Austin Steakhouse

Sabtu. Hari Merdeka ke-56. Paling best, suami bercuti. Yayyyy!!!

Takde niat nak makan di luar. Niat di hati, melunaskan jemputan tiga kenduri kahwin yang perlu dihadiri. Seremban, Bandar Tun Razak Cheras dan Shah Alam. Pun, usai membeli belah, keinginan untuk menikmati 'western food' membuak-buak. Ini nafsu (memang nafsu pun...teringin nak nampak kentang goreng tergolek-golek di sebelah daging yang dilambakkan sos....oh sedapnya!!! memang nafsu pun...).

Restoran Austin Steakhouse di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi (agak berdekatan dengan Red Wok), sudah 3 kali kami jengah. Pun, masa yang tidak sesuai, biasanya selewat 9 malam, menyebabkan keadaan restoran tersebut agak padat. Oh...sungguh padat. 3 kali itu, kami 'hanya lalu' di hadapan kedai sahaja. Tidak pernah mencuba. Tidak pernah membeli. Tidak pernah memarkir kereta. Hanya sekadar lalu saja.

gambar pinjam dari blog lain 

Lalu, Sabtu yang merdeka, kami 'lalu' di hadapan restoran tersebut seawal 5 petang. Kosong!!! Sungguh 'merdeka'. Tapi, restoran tersebut sudah dibuka. Namun, ia masih kosong. Pengalaman mengajar kami. Suami segera bertanya samada restoran sudah mula beroperasi atau tidak. Alhamdulillah. Ia rezeki kami.

gambar pinjam dari blog lain 

Melihat menu yang dipaparkan (saya memang malas nak upload photo dari hp saya...pinjam gambar dari blog lain je....mohon pinjam photo ya tuanpunya blog catzscafe1...), saya segera memesan Lamb Legs dan air Apple+Asam Boi untuk suami...dan Chicken Chop (tradisi saya...1st western food yang saya akan test di mana-mana restoran makanan barat yang saya tidak pernah rasa lagi, ianya semestinya adalah chicken chop...hehe) dan air Dragon Fruit. (maaf le...gambar ada dalam hp...tapi, malasnya...sungguhlah...)

Oleh kerana hanya kami berdua pelanggan ketika itu, pesanan kami tiba dengan agak cepat. Air gelas besar (adess...biasanya kami berkongsi air....kali ini gelas saiz besar pula....tapi ada 2 gelas....tapi...habis ya...sungguh....airnya memang sedap..) dengan harga yang berpatutan, dan sos cendawan yang best di atas chicken chop saya. Lamb Legs suami juga cukup kesedapannya. Okey, harga sangat berpatutan. Sungguh.

Keseluruhan :-

Lamb Legs RM12.90
Chicken Chop RM 8.90
Apple+Asam Boi RM3.50
Dragon Fruit RM4.00

Jumlah : RM 29.30 (takde tax ya...)

Kesimpulan :

Harga : *********
Rasa  : ********
Suasana : *********
Servis : ********
Total : ********

Alhamdulillah. Nanti kami datang lagi, jika masanya bersesuaian. InsyaAllah.