06 November 2016

Lajunya Masa Berlalu

Assalamualaikum...

Saya kelelahan!!!
Sungguh. Hanya Allah yang Maha Mengetahui rasa lelah ini.

Seharian di hadapan laptop, hanya bergerak untuk mandi, solat dan makan seketika, kemudian duduk semula di hadapan laptop. Rutin cuti apakah ini?

Amboi...sudah satu minggu 'melepak' di rumah, lalu menyalahkan hari cuti untuk membuat assignment.

Itulah rutin saya kini, lalu...waktu yang terasa terlalu cepat berlalu ini benar menghambat saya. Belum sempat saya merasakan 'manisnya' momen-momen seumpama ini, sudah November rupanya. Serasa baru saja saya tinggalkan kerja-kerja berlambak di pejabat yang agak menyesakkan kepala.

Momen ini, momen ilmu, momen hidup, momen bersama diri.

Saya masih belum puas. Oh masa, jangan berlalu terlalu cepat.

15 October 2016

Indahnya Pagi Yang Hening

Alhamdulillah.

Kadang-kadang kita tak sedar tentang waktu yang kita 'kuat'. Maksudnya, masa yang kita tidak rasa letih, mengantuk, depresi atau terganggu dengan surrounding dan persekitaran (maaflah...bahasa saya...mix up je..).

Untuk saya, masa dari 3pagi hingga ke 7pagi.....atau jika hari Ahad sehingga hampir 9pagi merupakan waktu-waktu yang saya rasa 'kuat'. Kenapa rasa kuat? Sebab di waktu-waktu begini, di saat semua orang sedang lena tidur (atau baru saja tidur), saya sudah bangun tanpa bantuan jam loceng atau 'alarm' dan suasana sekeliling amat sunyi tanpa gangguan.

Waktu yang tenang.
Waktu tanpa gangguan dari sesiapa.
Waktu hanya untuk kita aje.

"I can do anything...".

Malah, pada suatu ketika dulu, di waktu begini saya akan memasukkan beg ke dalam kereta dan akan mula memandu balik ke kampung. Sempat lagi untuk 'breakfast' dengan keluarga di kampung. Kalau dulu-dulu, emak mesti akan tanya, "pukul berapa bertolak ni?" sebaik saja saya tiba di rumah awal pagi.

Dari kecil, inilah habit saya. Akan buat macam-macam di masa 'kuat' ini. Cuma, kurang baiknya...lepas sahaja solat Isya', biasanya mata saya sudah layu. Waima pukul 9.30malam pun pada saya sudah terlalu lewat. Pun, biasanya jika ada apa-apa (terutama jika ada kursus luar pejabat yang menjangkau sehingga 10.30mlm) maka terpaksalah saya tahankan mata.

Kini, masa kuat ini lebih panjang untuk saya sementelah saya tidak perlu mengejar 'punch card' pada tempoh ini. Seronok. Penat rupanya mengejar 'punch card' ni. Penatnya bukan saja di badan, tetapi lebih kepada penat di minda. Mungkin kerana corak kerja yang lebih kepada 24hrs bekerja seperti di pejabat sebelum ini menjadikan pada saya 'punch card' itu tidak perlu.

Masa untuk bekerja, bukan kerana 'punch card', tetapi lebih kerana minat. Kalau tak minat, datang ke pejabat pun hanya untuk punch card saja, tapi masih tidak buat kerja dengan baik. Dan berdasarkan pemerhatian saya, ramai di Malaysia ini hanya datang kerja kerana punch card, bukan kerana minat dengan kerja, bukan niatnya untuk memberikan rezeki halal kepada diri sendiri dan keluarga. Hanya fikirkan untuk mendapat 'duit bulanan' dengan mudah.

Kerja itu, amanah dari Allah.

Jika makan rezeki haram (walaupun gaji bulanan, tapi jika banyak curi tulang semasa kerja dan tidak cuba untuk memberikan hasil terbaik) bukan saja di dunia ini merana, malah di akhirat juga sengsara.

Nak tahu samada kita boleh tahan atau tak dengan api neraka? Kalau dengan api di dunia, hmmm...periuk panas pun kita tak boleh pegang bare hand kan (adoi....my language). Kalau tak tahan dengan api di dunia, apatah lagi api neraka kan?

So, manfaatkan waktu bekerja untuk kumpul 'bekal' bagi perjalanan akhirat yang masih panjang perlu dilalui. Perjalanan menuju Allah. Takkan nak bawa dosa jumpa Allah?

30 September 2016

Sepi Itu Indah

Sudah hampir 3 tahun blog ini menyepi. Jika dihitung, 2014 dan 2015 yang telah berlalu menyaksikan kesibukan saya yang agak 'melampau'. Sungguh melampau? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

2014 merupakan tahun agak merudum, mungkin. Awal tahun saya dimasukkan ke hospital semula kerana terjatuh, dan dalam tempoh selama 6 bulan menyaksikan emosi saya yang agak kurang stabil kerana doktor memberikan cuti sakit yang agak lama kerana bimbangkan situasi kesihatan saya yang boleh dikatakan semakin teruk ketika itu.

Pun, saya 'berkeras' untuk sihat semula. Menabahkan diri dan selepas 6 bulan, saya kembali semula ke pejabat walaupun dengan menaiki kerusi roda elektrik.

Alhamdulillah. Kesibukan yang agak banyak, dan rahmat dari Allah...Alhamdulillah...sukar saya ungkapkan apabila pada bulan Oktober 2015 saya mampu berjalan semula. Suatu tempoh masa yang agak lama pada saya, namun...Allah Maha Mengetahui...dan Allah Maha Berkuasa.

Pun...dengan pelbagai kesibukan, blog ini seakan sudah berkubur. Hinggalah...masa 'senggang' itu muncul semula. Tidak sesibuk dulu, tapi tidak juga selapang dulu. Pun, saya bersyukur. Terima kasih Allah.

Lalu, kerinduan kepada blog kesayangan saya ini saya mulakan semula. InsyaAllah, kekerapan menulis akan cuba lebih ditingkatkan. InsyaAllah.

26 December 2013

Disember Yang Sunyi

Ini post pertama bulan ini.

Dan mungkin post terakhir untuk tahun ini. Tahun 2013.

Tak tahu apa mahu diceritakan. Idea seperti hilang entah ke mana.

Hanya melakukan rutin harian yang sama, dan agak sibuk di hujung tahun untuk 'orang makan gaji' seperti saya. Rutin mencari rezeki, seperti mahu hidup seribu tahun lagi. Rutin beribadat, seperti mahu mati sesaat lagi.

Semoga ada redha Allah, insyaAllah.

p/s : semoga malam tahun baru 2014 tidak diisi dengan maksiat dan dosa...

27 November 2013

Bawa Bekal ke Pejabat 6

Rasanya...lama benar saya tidak update entry jenis ini. Membawa bekal ke pejabat. Bukan sebab tak bawa bekal sebab memang hari-hari saya membawa bekal cuma bekal yang sama caranya, nasi putih, sayur dan ikan atau ayam sahaja. Ada juga terkadang mihun atau spaghetti...tapi itu sudah saya ceritakan cara-caranya sebelum ini.

Beras di rumah saya sudah habis. Memandangkan kami sudah biasa membeli beras siam (beras yang dibeli dari Kelantan), apabila stok beras habis...sukar sungguh untuk membeli beras yang dapat menepati citarasa di tempat yang jauh dari negeri Kelantan ini...hehe. Lalu, saya dan suami mencuba membeli beras perang pula. Elok mahu memasak beras, baru saya perasan yang plastik beras tersebut di-vakum - vacuum packaging. 'Simpan beras di dalam peti sejuk selepas dibuka' juga tercatat di atas plastik beras. Adeh deh deh. Tak jadi mahu membuka beras tersebut kerana peti sejuk saya masih 'penuh'. Haha. Kena dikosongkan dulu barulah boleh mengisi 'wholegrain brown rice' seberat 5kg itu ke dalam peti sejuk.

Lalu, mahu bawa bekal apa ke pejabat? Menu berasas nasi...menu wajib untuk suami yang bercitarasa 'melayu'. Lantas teringat kepada 'instant ketupat nasi' yang masih belum disentuh. Malas betul mahu buat yang jenis homemade, walhal mudah juga yang jenis homemade kan. Pun, bekalan jenis ini memang sangat mudah. Boleh bangun lewat pun pagi ini kerana ia sudah disiapkan malam sebelumnya.

Ketupat tersebut direbus pada malamnya, dan kemudian 'dikeraskan'. Memang tabiat ketupat, kalau baru lepas direbus memang sangat lembik kan. Jadi, rebus dan kemudian dikeraskan saja. Saya menggunakan induction cooker, jadi tempoh merebus ketupat hanya mengambil masa dalam 30-45 minit sahaja.

Sambil merebus ketupat, saya membuat perapan untuk ayam (nak masak rendang??? tidak le....hehe...). Ayam yang diperap dengan arabic spices, lada hitam, lada putih, kunyit dan sedikit garam saya masukkan ke dalam oven dan hanya dibakar 'mild' (adeh...bahasaku....) dengan suhu 180'C dalam tempoh 40minit. Pagi tadi, sebelum mandi, barulah ayam-ayam itu dibakar semula pada suhu 200'C selama 20minit.

Jadi, di pagi harinya, hanya membakar semula ayam, memotong ketupat dan kemudian menyelitkan sedikit serunding daging yang sedia ada di rumah sebagai bekal ke pejabat. Untuk bekalan fiber harian untuk badan saya, saya membawa epal dan oren untuk dimakan sebagai kudapan di pejabat.

Alhamdulillah. Ia lebih bersih, dari air tangan kita sendiri. Semoga ada redha Allah. InsyaAllah.