02 January 2008

Tahun Baru 2008

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Saya tidak pernah menyambut tahun baru Masehi. Hakikatnya.

Saya sering mengira tahun-tahun Hijrah supaya saya tidak terlupa malam-malam Nabi Muhammad SAW keluar dari rumah baginda bersama Saidina Abu Bakar, bersembunyi di dalam gua dan meneruskan perjalanan hijrah di tengah terik mentari sejauh lebih kurang 400km menuju ke Madinah. Tidak ada kereta, bas, lori.

Lebih kurang 5 jam di dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah di dalam bas yang berhawa dingin dengan suhu di dalam bas 24 darjah celcius dan suhu di luar bas 40 darjah celcius. Pun merasa penatnya. Merasa lesunya.

Aduhai. Di masjid Hudaibiyah lagi hati saya sudah tidak keruan. Saya jadi sayu. Di mana diri saya saat ini jika Rasulullah SAW tidak berjuang untuk Islam. Di mana hati kita saat ini jika para sahabat tidak berjuang bersama-sama Rasulullah SAW di dalam pelbagai peperangan berjuang menentang kafirin.

Saya masih teringat wanita Jordan semasa di Masjid Nabi. Duduk di sisi kiri saya saat solat Asar akan bermula. Dia menepuk-nepuk bahu saya, memeluk saya dan mengingatkan saya tentang solat sunat 4 rakaat sebelum Asar (dua salam) yang pelbagai fadhilat. MasyaAllah. Bukan sunat muakkad, tetapi alangkah bagus penerangannya di dalam bahasa Arab Jordan dengan fasih. Penerangan singkat selama 5 minit. Hidayah lagi, dan saya perlu belajar dengan lebih kuat untuk membentuk diri dan menyiapkan bekal untuk ke tempat yang ibu dan ayah pun akan terlupa tentang anak-anaknya, masing-masing hanya memikirkan pelepasan untuk diri sendiri.

Saya perlu bersiap. Lebih kukuh. Untuk 'hijrah' kali ini. InsyaAllah.

Semoga Allah membantu saya dan memberikan saya kekuatan. Hanya Dia yang Maha Kekal.