12 August 2012

Persediaan Menyambut Raya

Rindu. Oh sungguh rindu ingin menaip di sini. Tapi, tempoh masa di depan laptop yang sangat-sangat perlu dikurangkan (terutama untuk menaip) due to my sickness menyebabkan apa yang dibuat hanyalah menyambungkan kabel HDMI dari laptop ke televisyen, sambil memegang wireless mouse, membuka laman web youtube dan bersandar di 'rocking chair'...sambil dengan rasa selesa yang amat di bahagian leher, hanya bersandar sambil jari jemari hanya menekan butang mouse untuk melihat 'isi' di dalam youtube di skrin besar.

Haha. My new hobby. Nampak sangat pelbagai DVDs yang dibeli itu sudah merencatkan minda saya, menjadikan saya bosan untuk menonton movies.

Apa yang dibuat di youtube? Saya tengok pelbagai dokumentari. Macam-macam ada. Klik sahaja. Secara tak langsung, ia menambah ilmu dan menjana minda saya yang serasa beku. Okey. Saya sangat tidak suka minda saya beku. Jadi, walau dalam peluang 'cuti sakit yang panjang', saya bukan jenis yang hanya duduk diam dan hanya membiarkan minda saya sepi tidak bergerak. Saya sangat sayangkan anugerah Allah kepada saya.

Sudah hari ke-23 Ramadhan. Ramadhan tahun ini sangat pantas. Walau saya sangaaaattt banyak duduk di rumah saja pun di Ramadhan ini...tetapi terasa benar pantasnya masa berlalu.

Hujung minggu terakhir sebelum semua umat Islam akan menyambut Idul Fitri pada minggu hadapan. Hujung minggu yang sesak (mungkin mana-mana pusat membeli-belah pun sesak agaknya...saya memang tidak keluar membeli-belah pun...tidak ada keperluan apa pun untuk dibeli rasanya...walau suami berulangkali - sangat tidak jemu - mengajak saya membeli baju raya saya....haha...sungguhlah saya ini, suami saban hari mengajak saya membeli 'baju raya saya' pun, saya tidak ada keinginan mahu keluar membeli-belah...), sangat terasa terutama apabila melihat lebuhraya di hadapan rumah saya yang tidak sunyi dengan bunyi kenderaan yang sangat banyak.

Biskut raya? Sudah ada 3 jenis di rumah saya...ditambah dengan sebalang kuih raya lagi (pemberian boss suami saya), jadi sudah ada 4 jenis kuih raya di rumah saya. Biskut samperit dahlia, biskut kelapa, biskut cip coklat a.k.a 'chipsmore' (kata suami rasanya lebih sedap dari chipsmore pun) hasil air tangan saya sendiri. Dibuat semasa suami mengambil cuti dua hari di bulan Ramadhan, lalu peluang itu saya gunakan sepenuhnya mengajak suami membantu membuat biskut raya. Kos lebih rendah, kuantiti lebih banyak, malah penggunaan minyak pula bukan menggunakan minyak biasa, sebaliknya minyak carotino yang dibeli dengan harga lebih kurang RM10 untuk kuantiti sebanyak 1 liter. Biskut rendah lemak, kurang gula, bahan-bahan terbaik yang dipilih, dan sihat. InsyaAllah. Dan paling penting, ia mengukuhkan kasih sayang antara suami isteri. Sila cuba kalau tak percaya...;)

Langsir rumah, masih belum koyak. Langsir sejak tahun 2007, semasa kali pertama saya menetap di rumah ini. Masih nampak cantik. Masih elok mata memandang. Jadi, tidak perlu ditukar.

Perabot juga masih kelihatan baru. Rak buku yang patah (entri sebelum sebelum ini) sudah selamat diletakkan dan dikukuhkan (malah masih digunakan pun) di dalam bilik membaca a.k.a stor besar saya. Jadi, hanya perlu mengelap perabot dengan 'pengilat perabot', selebihnya hanya mengemop lantai dan membersihkan rumah - sudah dilaksanakan oleh suami saya kesemuanya. Terima kasih my loving inche' suami yang sangat baik hati dan rajin dan sangat menjaga saya semasa saya sakit.

Apa lagi ya? Duit raya untuk anak-anak saudara juga sudah tersedia. Baju raya suami sudah ada. Biskut raya sudah ada. Lagi? Lagi? Lagi? Rasa macam sudah tidak ada apa-apa untuk dibeli. Kalau ada pun, mungkin sehari sebelum kami bertolak balik ke kampung, barulah saya akan keluar bersama suami untuk membeli 'hadiah' untuk emak dan ayah kami. Itu saja. Jangan ditanya tentang 'baju baru' saya. Selain persediaan perkahwinan - baju untuk akad nikah dan majlis kahwin - seingat saya, sudah hampir lima tahun saya tidak membeli baju baru.

Walau tiada baju baru, pilihlah pakaian paling cantik, paling elok, tidak 'menonjolkan' aurat walaupun nampak seperti 'tertutup', di pagi Syawal nanti, serta memakai wangi-wangian, tetapi jangan terlalu banyak sehingga bauannya boleh dihidu terutama oleh lelaki yang bukan mahram bagi kamu (khusus untuk wanita). Salah satu sunnah Rasulullah S.A.W. Sangat rugi jika berbaju baru, cantik, mahal, tetapi 'aurat' tertonjol di sana sini, hingga hilanglah 'gemilang'nya kejayaan menamatkan Ramadhan untuk kembali kepada fitrah.

Paling penting, semoga kita dikeluarkan dari Ramadhan ini dalam keadaan bersih untuk kembali kepada fitrah - hamba kepada Allah, Tuhan sekelian alam - dan sentiasa berada dalam keadaan fitrah, hinggalah ditemukan semula di Ramadhan tahun akan datang. InsyaAllah.

Semoga kita semua dilindungi Allah dalam perjalanan, dalam kehidupan, dalam pertuturan, dalam perbuatan. Semoga sentiasa ada redha Allah untuk kita semua di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

p/s : Manfaatkan di penghujung Ramadhan ini untuk lebih meningkatkan amalan yang baik dan lebih meng-istiqamah-kan ibadat kita. Hidup ini hanya untuk Allah, dan di hujung usia kita nanti (kematian), kita hanya akan membawa amalan dan perlakuan kita untuk dihisab di hadapan Allah...dikembalikan kepada Allah...