17 July 2011

Solar Apple

Pernah nampak 'solar apple' yang sering diletakkan dalam kereta dan selalunya dihiasi dengan bunga atau rama-rama....cantik kan?

Bestnya kalau boleh jadi macam apple tersebut....duduk diam sunyi sepi tapi bila orang tengok boleh terhibur....

Hmmm......tapi tak ramai orang macam tu dalam dunia sekarang kan?

13 July 2011

Kita Selalu Lupa dan Lalai

Assalamualaikum warahmatullah...

Terdetik di minda hari ini.
Melihat dunia dan isinya.
Masing-masing menunjukkan belang...
Masing-masing menunjukkan kuasa.

Masing-masing telah terlupa...
siapa yang paling berkuasa...

terlupa kepada Yang Maha Kuasa.

Ya....tanpa kita sedar, setiap detik...setiap saat...sebenarnya kita berada di bawah kawalan dan kekuasaan Allah Taala...

Kita dapat berjalan kerana Allah Yang Maha Berkuasa memberikan kita kaki. Ada juga yang tiada kaki, namun masih diberikan peluang...menggunakan idea dari Allah jua untuk memiliki kaki palsu....atau kerusi roda...

Kita dapat makan kerana Allah Yang Maha Kuasa memberikan kita mulut, lidah dan gigi. Ada juga yang tiada gigi...pun Allah memberikan idea kepada manusia untuk mencipta gigi palsu...

Kita dapat memegang kerana Allah Yang Maha Kuasa memberikan kita tangan...

Kita dapat berfikir kerana Allah Yang Maha Kuasa memberikan kita akal...

Kita dapat bernafas kerana Allah Yang Maha Kuasa memberikan kita oksigen dan hidung...

Dan tidak sekali-kali Allah menarik kesemua pemberian itu dalam sekelip mata walaupun hati kita sudah hitam berselaput dosa-dosa yang banyak....

Kerana Allah Yang Maha Kuasa jua Maha Pengampun....Dia memberikan kita peluang untuk bertaubat pula...sebelum kematian menjemput kita....

Tapi kita jarang sedar. Kita selalu fikir kita akan hidup lama, tapi kita tidak ingat yang kematian sangat hampir kepada kita...siapa boleh tahu yang pada tarikh 1 Januari 2012 kita masih hidup lagi? Masih bernyawa lagi? Duduk di dalam kubah besi bersimenkan konkrit pun, jika Allah Yang Maha Kuasa telah memutuskan kematian seorang hambaNya pada masa yang tertentu....maka hambaNya itu tetap akan mati...

Kita sering lalai....

Kita sering lupa...

Kita sering alpa...

Bila kita mahu sedar? Mati nanti aset kita cuma kain kapan dan papan lahat sahaja....kalau mahu bawa amalan yang baik dan diredhai Allah, kenapa masih tidak berubah...ikut Al Quran dan sunnah?

Kita saja suka-suka meletakkan diri kita dalam kelalaian...kan?

08 July 2011

Bahagia dan Sempurna

Jarang saya menulis di blog ini sekarang, walhal masa senggang di rumah agak banyak. Mungkin jua kerana saya tidak boleh duduk tetap di satu tempat dalam masa yang lama, jadi laptop ini sekadar jadi tempat saya pandang-pandang seketika, baca akhbar dan kemudian terus ditutup sahaja.

Masa terus berlalu. Sedar tak sedar, hampir dua bulan saya begini. Semoga Allah melindungi saya, suami saya, ibu saya dan semua ahli keluarga saya serta semua kaum Muslimin dan Muslimat di dunia ini samada yang belum dilahirkan, yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia dari kejahatan dunia dan keburukan akhirat dan sentiasa memudahkan urusan dunia dan akhirat saya dan semuanya...insyaAllah...amiinnn.

Duduk-duduk di rumah, saya terkesan pada satu ceramah motivasi yang saya dengar di radio IkIm.fm beberapa hari yang lalu. Saya terlupa nama penceramahnya, namun kisah yang dinyatakan di dalam ceramah itu mencuit hati saya. Sangat-sangat mencuit hati saya, dan saya mahu berkongsi kisah itu di sini. Begini kisahnya, dan saya ringkaskan sedikit ceritanya.....

Terdapat seorang wanita yang sentiasa berfikir untuk menjadi seorang yang sempurna. Serba serbi sempurna dan elok di pandangan matanya. Apa saja dalam kehidupannya, akan dilaksanakan dengan sesempurna dan paling baik yang boleh dilakukannya. Sehinggalah dia berkahwin dengan seorang lelaki, dalam suatu majlis perkahwinan yang benar-benar sempurna dan dirancang dengan sangat teliti. Mereka pun tinggal di sebuah rumah yang mendapat sentuhan terbaik wanita ini. Semua isi rumahnya kemas dan nampak sentiasa sempurna. Tiada habuk, tiada sebarang cacat cela. Dia memang sangat rajin menyempurnakan keindahan dan kebersihan rumahnya.

Setelah beberapa lama berkahwin, wanita itu pun disahkan mengandung. Pasangan suami isteri tersebut berasa sangat gembira. Lalu, wanita ini pun menyediakan sebuah bilik di dalam rumahnya untuk bayi tersebut. Susunan pakaian kanak-kanak di dalam bilik itu sungguh hebat. Pakaian sudah dibeli hingga bayi tersebut berusia 6 bulan. Segala kelengkapan permainan juga sudah tersedia dari usia bayi hanya belajar memegang, hinggalah kepada sudah boleh mengenal huruf. Semuanya sempurna, walaupun bayi tersebut masih belum lahir lagi.

Selepas beberapa bulan, bayi tersebut pun dilahirkan. Seorang bayi lelaki. Alhamdulillah, sempurna sifat dan segalanya. Wanita dan suaminya merasa sangat gembira.

Selepas dua tahun, barulah terserlah sifat kanak-kanak lelaki tersebut. Sifat yang sangat-sangat berbeza dari ibunya. Apabila dia nampak suratkhabar atau kertas, dia akan segera mengoyak-ngoyakkan suratkhabar tersebut menjadi ceraian kecil-kecil. Langsir akan ditarik, kain akan direnyuk-renyuk dan disepah-sepahkan, dan semuanya akan dibuat pada setiap masa. Hanya apabila dia tidur sahaja, barulah hal-hal tersebut tidak akan berlaku. Ini memang sangat-sangat membuatkan ibunya merasa marah kepadanya. Lalu, kanak-kanak kecil ini selalu sahaja dipukul dan dicubit oleh ibunya. Walaupun begitu, naluri kanak-kanak mungkin, selepas dimarah dan dipukul serta dicubit pun, kesukaan itu masih jua dilakukannya.

Hinggalah pada suatu hari, terdapat seorang sahabat lama wanita itu menelefon dan mahu singgah menziarahi wanita itu dan keluarganya. Oleh kerana lama tidak berjumpa dengan sahabatnya, lalu wanita itu pun berhempas pulas membersihkan keseluruhan rumahnya dengan sesempurnanya. Kemudian, dia pun masuk ke dapur dan memasak makanan untuk sahabatnya itu. Siap sahaja memasak, dia pun mula mengangkat hidangan yang dimasak ke ruang tamu rumahnya. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat anaknya yang berusia 2 tahun itu sedang mengoyak-ngoyakkan kertas suratkhabar. Bantal-bantal berjatuhan, dan langsir-langsir telah tertarik serta terjatuh. Ruang tamu rumahnya menjadi porak peranda.

Sebaik saja melihat keadaan tersebut, wanita itu segera menjerit. Anak kecil itu yang sudah tahu apa yang akan dibuat oleh ibunya segera berlari dan dikejar oleh ibunya dengan selaju-lajunya. Dalam sedar tak sedar, wanita itu terdengar satu dentuman yang kuat dan terasa wajahnya sangat basah. Apabila dia menyapu wajahnya, didapati tangannya penuh dengan darah. Apa yang dia nampak selepas itu adalah anaknya yang sudah tergolek di tengah jalan dengan darah yang penuh bercucuran.

Pada ketika itu....ya....pada ketika itu, hilang rasa marahnya. Terus dirangkul anaknya, dimasukkan ke dalam kereta dan terus dibawa anaknya itu ke hospital. Saat itu, tiada apa yang ada di hatinya...cuma doa...Ya Allah...aku bukan ibu yang terbaik, tapi Kau selamatkanlah anakku...jangan ambil nyawanya Ya Allah....selepas ini aku akan menjadi ibu yang terbaik untuk anakku ini...ya....hanya itu saja yang ada di dalam hatinya ketika itu. Dia berdoa berulangkali sehinggalah apabila dia ternampak doktor yang merawat anaknya keluar dari bilik rawatan. Doktor itu cuba tersenyum dengan tenang, menenangkan hati wanita itu.

Bagaimanapun....Puan, maafkan kami. Anak puan telah meninggal dunia....dan pada ketika itu, seolah-olah dunia sudah tiada di dalam pandangannya.

Pada waktu malamnya, wanita itu terjaga dari tidurnya. Dia pun menyelongkar tong sampah di rumahnya dan mengeluarkan cebisan-cebisan kertas suratkhabar yang dikoyakkan oleh anaknya, dikumpulnya sebanyak-banyaknnya dan dibawa ke dalam rumahnya. Sambil air matanya mengalir, cebisan-cebisan kertas itu ditabur di dalam ruang tamu rumahnya.

Barulah dia terasa...itulah sebenarnya kebahagiaan hidup yang selama ini dilihatnya sebagai suatu keburukan....


***Kisah yang sangat-sangat mencuit hati saya. Semoga saya akan sentiasa mengingati kisah ini di sepanjang perjalanan hidup saya. Anak adalah amanah Allah. Bahagia bukannya dengan memiliki kehidupan yang sempurna, tetapi perasaan bahagia akan datang dan akan mewujudkan rasa kesempurnaan...insyaAllah...

Kisah ini hampir sama dengan kisah yang pernah saya baca beberapa tahun dahulu...seorang lelaki yang baru membeli kereta baru dan membawa keretanya balik ke rumah. Semasa dia sedang berehat, anak gadis kecilnya mengejutkannya dan menunjukkan lukisannya sambil bertanya....cantik kan ayah? dengan wajah comelnya. Pun, lukisan itu rupanya hanyalah contengan-contengan kasar oleh sebatang paku karat di badan kereta baru ayahnya. Ya, si ayah mengamuk dan menikam-nikam tangan si anak dengan paku karat tersebut. Meraung-raung si anak kecil tersebut, tapi ayahnya tidak meghiraukan raungan dan tangisan anaknya.

Selepas beberapa hari, luka di tangan anaknya semakin merebak kerana paku karat tersebut. Apabila dibawa berjumpa doktor, didapati tangan anaknya terpaksa dipotong untuk mengelakkan jangkitan semakin teruk. Meraunglah pula si ayah...tangan si anak mana ada galang gantinya sedangkan jika cat kereta yang tercalar masih boleh dicat baru....

Kita sering terlupa dan terlalai...dan setelah kita tersedar...hanya ada rasa sesal dan masa yang sudah tidak boleh diputar balik....

Semoga Allah sentiasa melindungi kita semua...insyaAllah...