22 June 2009

Remeh Renyah Resah

Sukar sekali untuk saya ungkapkan ; paling pasti, manusia semakin tidak adil.

Yang kritikal dikatakan remeh.
Yang sukar dikatakan renyah.
Yang tenang dikatakan resah.

Kalau boleh, saya tidak mahu mengiyakan bahawa tugas yang saya galas sekarang amat sarat dengan tekanan dan ketidakadilan.

Sungguh, bukan mudah mahu mengajar sekawan lembu yang sudah biasa makan rumput berpuluh-puluh tahun untuk belajar pula makan daun bunga kertas. Ikut sahaja ketuanya si lembu jantan yang belum pasti bijak dan benar sepenuhnya.

Tugas saya, sangat renyah. Saya perlu lebih berfikir. Saya perlu lebih tenang, untuk menghilangkan tekanan.

13 June 2009

Macam-macam

1. Keluarga anak murid saya kemalangan pada hari Rabu lalu. Neneknya meninggal dunia. Al-Fatihah untuk Allahyarhamah neneknya.

2. Saya mula bertegas dan jadi lebih tegas. Keadaan di pejabat saya agak kritikal. Saya tidak mahu bertanggungjawab kepada kerja yang tidak mematuhi prosedur.

3. Bicara Faisal Tehrani di radio IKIM pada Jumaat, 6.30 - 7 petang. Saya sedang mengajar waktu itu, tapi telinga saya tidak putus mendengar radio. Salah satu yang saya masih ingat : membaca, membaca, membaca, membaca dan menulis.

10 June 2009

Erti SPM

Sudah lama tidak menulis. Saya lelah dengan tugas banyak hingga tidak cukup masa di hadapan komputer. Sungguh. Makan sudah sering lupa, malah masa senggang hanya diperuntukkan untuk solat sahaja. Sungguh sibuk, dan saya pula jenis yang tidak aman di hati jika kerja tidak selesai dengan segera.

Hanya boleh ambil 10 subjek dalam SPM? (baru-baru ini jadi 12 pula?) Saya terkaku. Adik Nik Madihah yang dapat 18A nampak di depan mata saya. Malah, termasuk juga adik Azlan yang dapat 21A. Tahun sebelumnya, ada juga pelajar Melayu yang dapat berbelas-belas A dan tidak diakui sebagai pelajar terbaik SPM. Mana silapnya?

Pada saya tidak ada salah untuk ambil lebih 10 subjek kerana pelajar mampu untuk bawa subjek-subjek tersebut. Jika mereka dapat semuanya 'A', sudah tentu title Pelajar Terbaik Malaysia memang layak milik mereka, kerana bukan mereka seorang sahaja yang ambil banyak subjek pada tahun tersebut. Tapi hanya seorang saja yang akan dapat straight 'A', dan mereka layak jadi pelajar terbaik.

Salahkah menyepadukan antara subjek Islamik dan subjek Sains? Bukankah lebih bagus ada tampuk negara dalam generasi akan datang yang bukan sahaja bijak, tapi juga memiliki kekukuhan dan pemahaman dalam bidang agama yang bagus. Tidaklah membuta-tuli membuat keputusan yang bukan sahaja bercanggah dengan kepentingan rakyat, malah bercanggah dengan hukum Allah SWT juga.

Malah, gagal Bahasa Inggeris pula bermakna gagal SPM? Huh...kalau perkara ini berlaku pada zaman saya, saya rasa ramai rakan-rakan saya di zaman sekolah yang kini memegang pelbagai jawatan tinggi tidak akan pernah mampu menjawat jawatan tersebut. Ini kerana ramai rakan-rakan saya dulu yang gagal Bahasa Inggeris. Tapi, tidak nampak pula kepincangan pemikiran mereka di tempat kerja pada masa ini. Malah, komunikasi dengan Bahasa Inggeris mereka sangat bagus sesudah mereka bekerja. Salahkah? Belum habis isu PPSMI, sudah timbul pula isu lain. Saya rasa, pendidikan di Malaysia bukannya perlu dijatuhkan, tetapi perlu lebih ditingkatkan ke tahap lebih tinggi.

Semoga ramai yang akan menyedari bahawa pendidikan bukan satu tempat untuk membuat ujian. Mana tahu, di dalam satu-satu kes ujian yang gagal, terdapat ramai bakal-bakal pemimpin negara generasi akan datang yang lebih bijak dan lebih berfikiran waras. InsyaAllah.