30 December 2008

Kuih Cubaan Kali Pertama

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Cuti 3 hari yang menyeronokkan.

Cuti hari pertama - saya menguruskan beberapa hal penting hujung tahun dan seterusnya melepak di rumah kakak saya. Balik saja ke rumah, saya memasak dan makan bersama adik.

Cuti hari kedua - saya mengajar dari awal pagi hingga lebih kurang pada pukul 3 petang, saya bergerak ke sebuah pasaraya untuk membeli tepung naik sendiri, kismis, telur, keju - saya sendiri tidak percaya bahawa saya telah membeli keju seberat 500g dengan harga RM20.30 - melampau betul kadar saya berbelanja, kalaulah emak saya tahu - dan juga seketul mentega sebesar penumbuk saya (pastinya kecil saja saiznya dengan berat lebih kurang 300g) yang berharga RM7.95.

Yuhuu! Sudah lebih kurang lima tahun saya tidak memasak kek/puding/kuih dan yang sewaktu dengannya. Dulu memang saya selalu memasak kek (terutama pada hari raya, yang selalunya sehingga 3 ketul kek kerana seketul kek sudah pasti menjadi habuan abang saya seorang). Memang saya sudah lupa (saya rasa, sebenarnya lebih kepada kerana saya tidak berminat kerana saya lebih sukakan aroma masakan Melayu yang diselaputi kepedasan, ataupun paling-paling kuah tomyam ala Thai yang lebih mudah disediakan - main campak-campak saja) bagaimana mahu memasaknya - zaman muda-muda dulu (aduhai! macamlah sudah tua!) saya diajar oleh emak menyukat dengan menggunakan cawan sahaja apabila mahu membuat kek.

Masakan Melayu memang mudah - asasnya cili, bawang merah dan bawang putih. Tapi jangan terkejut, dalam rancangan Rachael Ray atau Martha Stewart sekarang pun sudah banyak menggunakan cili, bawang merah dan bawang putih - sehinggakan saya sendiri kurang pasti - masakan Melayu ini asasnya apa, kerana masakan berunsur kari sendiri berasal dari India sebetulnya. Hmmm...saya sudah melalut-lalut.

Jadi, saya balik ke rumah dengan mengangkut barang-barang tersebut yang kemudiannya saya campak kesemuanya ke dalam peti sejuk dan ke rak di dapur. Saya letih kerana traffic-jammed di dalam pasaraya yang menyukarkan pergerakan saya (percaya atau tidak, saya nampak beberapa pasangan yang boleh berpeluk-pelukan di celahan botol minyak dan tin susu tanpa membeli apa-apa! Aduhai, kalau mahu bercengkerama pun janganlah di ruang barang-barang dapur!) - kerana itu pergerakan saya jadi lambat dan menjadikan kepenatan saya berganda. Usai mandi dan menguruskan beberapa urusan peribadi, saya segera melenakan diri.

Cuti hari ketiga - saya terasa malas hendak bangun. Apapun, awal Muharram 1430H ini saya sambut dengan kemeriahannya saya simpan rapat-rapat di dalam hati. Sebetulnya, mengikut tahun Hijrah, inilah tarikh kelahiran saya, tapi saya tidak pernah mewar-warkannya kepada kenalan terdekat. Agaknya kerana terlalu letih, saya mula berkira-kira - hendak buat 'Puding Kukus' atau tidak - yang akhirnya saya bangun juga, masuk ke dapur, membuka bancuhan jemput-jemput pisang saya yang sudah disejuk-beku dan mula menggoreng jemput-jemput pisang dahulu untuk breakfast adik saya - adik saya akan mengajar di salah sebuah sekolah tahfiz - dan dikehendaki pergi pada hari ini. Alhamdulillah!

Sambil menunggu gorengan, saya membuka kotak tepung Blukey - tepung naik sendiri. Anggaran dalam 200g - sungguh, saya malas hendak membuat apa-apa sukatan - jadi saya tuang sahaja di dalam bekas tanpa menyukat keseluruhan tepung tersebut yang seberat 1kg - agaknya betullah 800g telah saya tinggalkan. Kemudian saya ambil bekas gula dan mencampak (anggaran 100g) ke dalam tepung tersebut. Kemudian, saya mengambil marjerin dan mencampak juga (dalam anggaran 100g) ke dalam bancuhan. Kemudiannya saya memasak air dan membancuh susu tepung saya sepekat yang boleh sebanyak 1 cawan dan setelah dicampak dua biji telur Omega 3 juga ke dalam bancuhan yang sama, saya mula memukul bancuhan saya dengan senduk! Serius, rumah saya tidak ada apa-apa pemukul telur ataupun pembancuh adunan pun! Usai dipukul dan ditambah beberapa ketul kismis, saya segera menyediakan pengukus dan mengukus 'puding ntah apa-apa' tersebut selama 50 minit - kalau ikut resepi, sepatutnya 1 jam.

Mula-mula saya memikirkan tidak mahu pun membawa 'kuih cubaan kali pertama' ini ke rumah kakak yang saya mahu kunjungi - dia membuat sedikit kenduri doa selamat kerana anak keduanya akan berangkat ke Syria pada malamnya - tetapi memikirkan kadar pengembangannya yang sangat banyak - saya tahu saya dan adik tidak mampu menghabiskannya - lalu saya pun membawanya sambil bertawakkal sesungguh hati - haha, stail saya kalau memasak, saya tidak akan pernah rasa dahulu pun masakan saya. Bayangkan, saya tidak tahu pun apa rasa 'kuih ntah apa-apa' saya ini sehinggalah kuih ini telah dipotong oleh kakak tersebut - uiksss, berdegup-degup sungguh jantung saya sehinggalah dia mengatakan - ok, boleh bawa ke depan ni! - barulah degupan jantung saya kembali normal.


Bila sudah ada yang merasa, barulah saya ambil gambar 'kuih cubaan kali pertama' ini - nampak kesan 'dicungkil' kan. Simple aje kan. Malah, untuk Sabtu ini (ada majlis berkaitan dengan Al-Quran rasanya yang perlu saya hadiri), salah seorang adik yang merupakan anak saudara kepada kakak ini telah meminta saya membawa 'kuih ntah apa-apa' ini lagi. InsyaAllah.

27 December 2008

Masa Senggang

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Tiba-tiba saya rasa sangat lega hari ini. Jadual yang sepatutnya padat, berubah tanpa disangka-sangka. Lalu, banyak aktiviti yang saya berjaya lakukan dengan tenang dan tidak terkejar-kejar dengan masa. Apapun, saya sudah keluar dari rumah awal pagi - agak awal. Menguruskan beberapa urusan termasuklah mengambil buku-buku resepi yang saya telah buat salinan di kedai fotokopi.

Yuhuu! Bestnya! Ini beberapa buah buku resepi yang telah dipinjamkan kepada saya.


Ini pula merupakan buku-buku yang saya telah buat salinan (kalau masih boleh dibeli buku-buku ini, saya akan cari di kedai sahaja - kerana fotokopi yang saya buat tidak berwarna!).


Ini pula merupakan buku yang paling saya sukai - buku berwarna biru, resepinya mudah dan sangat praktikal. Mengikut ibu kepada anak murid saya itu, resepi-resepi di dalam buku ini banyak yang telah dipraktikkannya semasa mereka sekeluarga berada di United Kingdom dahulu.



Usai mengambil buku-buku tersebut, saya segera menuju ke rumah kakak saya. Sudah lama saya mahu pergi ke rumah kakak, namun sering tidak berkesempatan. Baru-baru ini pun (semasa cuti Krismas), elok saya tiba di hadapan rumah kakak, saya menerima panggilan dari seorang sahabat yang mengajak saya melihat 'Bedtime Stories' di KLCC. Walau sibuk, undangan sahabat yang jarang saya temui itu, saya penuhi juga. Lalu, saya dapat melihat kesibukan dan kemeriahan warga kota di KLCC dengan pelbagai gelagat di hari Krismas. Sempat juga saya merakamkan gambar pokok krismas yang tinggi (dari aras bawah) hingga ke tingkat yang keberapa pun saya tidak dapat pastikan. ( Actually, saya berminat kerana saya terfikir, bagaimana pokok krismas tersebut boleh dibawa ke dalam KLCC dan dipasang beserta decoration yang pelbagai - walhal kedudukannya sangat jauh dari ruang legar di setiap tingkat).


Paling pasti, saya seronok melihat 'Bedtime Stories', menghabiskan masa di Sakura pula - bukan di KLCC - (meniikmati makan malam - saya makan Grilled Chicken Chop) walau mata sudah mahu tertutup. Usai makan-makan, saya terus minta diri untuk pulang ke rumah dan hanya tiba di rumah seawal 10.45 malam.

23 December 2008

Cuti oh Cuti

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Yuhuu! Tinggal esok bekerja dan kemudian akan bercuti hari Khamis. Hari Jumaat saya tidak bercuti kerana tuntutan tugas hujung tahun, dan kemudian cuti lagi tiga hari hingga bekerja semula pada hari Selasa. Pun begitu, jadual saya sudah padat untuk hari-hari cuti yang sewajarnya adalah hari berehat.

Khamis itu, saya sudah ada tugasan. Malah, malamnya, saya masih mengajar. Sabtu dan Ahad, pun masih mengajar dan paling pasti, hari Ahad ada kenduri kahwin yang perlu saya hadiri. Kalau sempat, saya mahu menjenguk cara memasak kek keju di sebuah kedai kek, sudah lama teringin untuk melihat sendiri cara membuatnya. Sekadar membaca resepi, kek saya tidak pernah menjadi.

Malah, beberapa hari ini, tempat duduk di dalam kereta saya dipenuhi buku-buku resepi yang saya perolehi dari seorang ibu anak murid saya - cadangnya mahu dihantar ke kedai photostat - pun masih belum berkesempatan. Mahu jadi tukang masak pula - hobi dari kecil yang memang jarang ada masa untuk dipraktikkan. Kalau dipraktikkan pun, tiba saja di rumah seawal 11 malam, masih masuk ke dapur menyediakan bahan-bahan memasak yang akan dimasak seawal 5 pagi.

Oh, saya baru membeli kamera. Sudah lama hidup, tapi hakikatnya inilah kamera pertama saya (usah kira kamera yang dibeli di dalam handphone - itu handphone!). Puncanya hanya menemankan seorang kakak di pejabat yang ingin membaiki laptopnya di Plaza Low Yat. Setelah makan-makan di Sushi King - sedap juga, dan saya ingin mencuba tempura-nya di rumah, sambil membelek-belek katalog kamera yang baru diambil dari pekedai di plaza tersebut. Sudahnya, saya membeli kamera ini.





Nipis, 10.1MP dan paling penting, ringan! (Maaf, hanya manual dan cover-nya sahaja yang diambil dengan menggunakan kamera ini - cantik tak gambarnya?).

Ada juga gambar yang saya ambil - ini pemandangan dari tingkap di pejabat saya. Warna hijau itu memang selalu jadi halwa mata saya - indah kan? Saya memang sukakan yang hijau-hijau.


Malah, tanpa disangka, ada sambutan hari lahir pula untuk saya. Boss yang sudah 3 minggu tidak ada di pejabat kerana outstation, tiba-tiba sahaja mengadakan mesyuarat - yang pastinya saya amat terkejut kerana saya sendiri telah melupakan hari lahir yang telah berlalu. Umur semakin bertambah, dan saya....aduhai....saya terasa masih ada di takuk lama. Lalu, kamera yang sentiasa dibawa ini sudah jadi terlalu berguna pula.


Ini hadiah yang saya terima. Hmm, masih berbungkus lagi hadiah ni dan diletakkan di atas kabinet di pejabat saya.

Nantilah, ada masa-masa lain, saya mahu mengambil gambar 'kebun' saya pula. Selalu sangat terlupa!

14 December 2008

Untung Lagi

Sudah jadi habit saya akan melihat suratkhabar dan membaca berita semasa sekiranya berpeluang untuk membacanya, terutama sekali apabila berada di pejabat di mana suratkhabar The Star dan Utusan Malaysia menjadi langganan utama di pejabat saya.

Fenomena sekarang - cerita paling glamor tentunya tentang runtuhan di Bukit Antarabangsa dan juga harga barang yang tidak pernah diturunkan oleh peniaga - walaupun minyak sudah berulangkali turun harga.

Runtuhan di Bukit Antarabangsa - sudah tentu saya tidak mahu komen apa-apa tentang ini, walaupun tragedi 15 tahun sebelumnya itulah yang telah menerbitkan cita-cita saya untuk menjadi seorang jurutera. Pun, apabila sudah dewasa sebegini, walau gelaran jurutera itu sudah saya sandang, barulah saya tahu 'pahit maung' menjadi orang dewasa dan menjadi seorang pekerja. Memang pada dasarnya apa yang kita mahukan adalah kebaikan, tetapi di zaman serba moden dan maju ini, manusia sering terlupa pada iman, ikhlas, ihsan dan Islam sehinggakan wang dan pangkat menjadi raja di mata. Lalu, pendapat-pendapat yang dikeluarkan terutama sebelum runtuhan berlaku sering diabaikan kerana ia akan 'merugikan' sesetengah pihak yang berkepentingan.

Ya, itu realitinya. Manusia sering terlupa tentang wang dan pangkat yang tentunya hanya akan ditinggalkan setelah kematian memiliki kita di satu masa nanti.

Sama juga konteks ini dengan harga barang 'yang tidak pernah turun-turun'. Semuanya kerana keuntungan berdasarkan materi yang hakikatnya memang tidak akan kekal - tapi kini seolah-olah menjadi 'raja' kepada semua manusia di zaman ini. Mahu untung cepat dan hanya mementingkan diri mereka sendiri hingga tidak pernah memikirkan untuk berkongsi rasa susah dan mengagih rasa senang sesama 'jiran' - ya, saya katakan jiran kerana di mana pun kita berada, kita adalah jiran di antara satu sama lain, walaupun berasingan negara dan jauh di mata, kita masih 'satu jiran' yang perlu memikirkan tentang 'jiran' yang satu lagi.

Mahu untung cepat? Mahu diapakan wang yang banyak kalau niat di hati tidak ikhlas dan tidak berniat melakukannya hanya kerana Allah? Fikirlah, berjuta pun wang menjadi milik kita, jika Allah sudah menyatakan kita akan mati pada esok hari, 'untung dunia' itu akan ditinggal begitu sahaja.

04 December 2008

Aidil Adha

Minggu yang benar-benar meletihkan!

Saya rasa saya sudah tidak ada masa rehat langsung dalam minggu ini. Bebanan tugas di pejabat dan pertambahan kelas mengajar yang mendadak menjadikan saya berada dalam kesibukan yang melampau. Kelas Add Math, Physics and Chemistry, ditambah dengan Calculus (special case di mana saya perlu mengajar seorang student university) - menjadikan kepala saya seolah-olah sudah menjadi merry-go-round. Malah, boss yang sudah beberapa hari outstation menjadikan keadaan bertambah kritikal. Tambah lagi, sejak kami menukar pucuk pimpinan (new Director), rutin harian juga seolah-olah berubah apabila meeting akan diadakan pada setiap Isnin dan menjadikan saya sangat sibuk dengan pelbagai laporan yang perlu disiapkan menjelang mesyuarat berkala.

Yuhuu! Saya seperti terlupa pada hari lahir yang sudah berlalu. Benar, saya sudah semakin tua! Pun, kehadiran hari lahir ini seolah-olah suatu perubahan yang tidak ketara pun (hakikatnya saya memang tidak pernah menyambut hari lahir saya ini), saya tidak terasa ada apa-apa yang berubah ataupun anjakan paradigma yang perlu saya lakukan. Saya masih sama seperti biasa, seolah tidak tersentuh dengan pertambahan usia - selalunya yang saya rasa pun, usia semakin bertambah dan kubur semakin dekat! Amal masih berkurang dan ilmu masih di takuk lama. Penghayatan masih lemah dan penambahbaikan kepada diri seolah-olah tidak ada langsung. Aduhai, teruknya saya mengkategorikan diri saya ini.

Malam ini pun, saya baru habis mengajar di Shah Alam. Sudah hendak tidur, tetapi mengenangkan hendak mengemaskini blog ini, saya gagahkan juga diri membuka laptop. Sayangnya, beberapa gambar yang saya sudah ambil dan dimasukkan ke dalam kad memori tidak dapat diupload ke dalam blog ini. Puncanya, saya tertinggal card reader saya di rumah....hehehe. So, kena tunggu lambat lagi la untuk saya update blog ini dengan beberapa gambar terkini.

Esok, seolah sudah ada perancangan. Awal pagi di pejabat, dan tengaharinya saya akan 'merayau' ke Plaza Low Yat - menerima ajakan seorang kakak di pejabat saya. Harap-harap saya masih mampu menyedut nafas segar untuk persediaan balik ke kampung pagi Sabtu untuk menyambut Aidil Adha di negeri kelahiran saya bersama keluarga. Rindunya pada kampung halaman.... (teringat pada sahabat di Guildford - tentu lebih-lebih lagi rindunya....).

Selamat Menyambut Aidil Adha kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Semoga Allah sentiasa meredhai kita semua, insyaAllah.