29 March 2013

Abah

Saya masih tersedu.

Dalam kelam malam, saya mengingati seorang abah. Dalam sendu rindu, saya terbayang wajah tuanya yang sering tersenyum. Dalam esak tangis, saya terngiang suaranya yang lembut dalam bicara. Dalam alun bicara ayat-ayat suci, saya tersedu sesekali mengingati dirinya. Dalam tadah tangan memohon padaNya, saya mengharapkan dia bahagia di alam sana - ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman. InsyaAllah.

Sungguh! Hargailah apabila dia ada. Jangan tunggu hingga dia sudah tiada.

Kenangan yang datang bertamu di tubir mata merobek-robek hati saya dan memaksa akal supaya dapat menawan dan mengepung empang air supaya tidak tumpah - walau itu yang sering hadir sejak beberapa hari ini.

Ya, dalam pekat malam saya mengingati seorang abah yang telah pergi pada 6.55 pagi, 11 Februari 2009 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Pada masa yang sama, saya sedang menghidupkan enjin kereta untuk bertolak ke pejabat. Dalam beberapa ketika, saya sudah menghala ke Lebuhraya Utara Selatan (keluar dari tol dan terus menuju ke selatan). Saya kurang sedar pada odometer kereta saya - berapa kelajuannya. Paling pasti, saya sudah berada di kampung pada pukul 10 pagi. Kampung saya, yang hanya lebih kurang setengah jam dari bandaraya Johor Bahru. Sungguh, saya tidak pernah memandu selaju itu. Selalunya, saya sering patuh undang-undang - 110 km/j itu jarang saya abaikan.

Ya Allah! Sekiranya masa boleh diputar semula (tapi itulah yang perlu saya redha!)

Ya Allah! Andai semua ini tidak berlaku (tapi itulah yang saya perlu redha!)

Ya Allah! Sungguh saya cuba redha! (dalam esak tangis, saya tahu kesedihan ini perlu dibendung - sedih dan sedih dan sedih yang ada had seperti Rasulullah SAW yang kematian Ibrahim anaknya)

Ya Allah! Sungguh saya redha pada kasih sayangMu...saya redha!

Ya Allah! Saya redha!

Terima kasih Allah.

***entri ini ditulis pada awal tahun 2010, di saat saya sangat-sangat-sangat-sangat (hingga kini pun masih sangat merindui) merindui arwah abah saya...semoga Allah melindungi abah saya dari siksaan kubur, meluaskan kuburnya, memasukkan abah saya ke dalam syurga-syurganya, menempatkan arwah abah saya di dalam golongan hamba-hambaNya yang beriman dan sentiasa diredhai Allah di dunia dan di akhirat...insyaAllah...semoga Allah mengabulkan doa saya...amiinn...

28 March 2013

Eh! Hujan laaa....

Dari tingkap bilik di pejabat, saya memandang keluar. Nampak titis-titis hujan semakin lebat. Jam baru menunjukkan pukul 2.50ptg. Oh...hari ini memang sangat sejuk di pejabat. Sangat sejuk, hinggakan bilik saya yang dikategorikan sebagai 'bilik tiada air-cond' kerana pada waktu biasa ia tidak terlalu sejuk seperti di ruang lain di pejabat ini (yang mana ia sangat membantu kerana keadaan badan dan saraf saya sekarang ini agak alah dengan cuaca sejuk...jika terlalu sejuk, ia memberikan saya suatu 'rasa' untuk lebih mengingati Allah...suatu rasa nyeri yang amat menyakitkan....pun...alhamdulillah...) juga merasa sangat-sangat-sangat-sangat sejuk.

Saya berselimut dengan shawl sepanjang hari, memakai kot dan juga berstokin...namun ia masih tidak membantu (wah...tiba-tiba teringat London...suhu baru 12 darjah celcius pun saya sudah memakai baju sehingga lima lapis dan stokin dua lapis...).

Malah hujan di luar semakin lebat.

Ya, bilik pejabat saya ini boleh melihat sebahagian kecil keluasan salah satu wilayah persekutuan di Malaysia ini. Lalu, jika ada bunyi siren menandakan 'menteri lalu', saya boleh mendengar dan melihatnya dari tingkap bilik saya. Setiap hari, jika mata saya serasa letih, di hadapan tingkap bilik saya ini jua terhidang kehijauan hutan seolah-olah seluas saujana memandang (eh...kenapa seolah-olah? haha....dari bilik saya 'macam' nampak hutan....tapi saya tau ia cuma sebahagian kecil sahaja di mana selebihnya adalah bangunan-bangunan besar agam di belakang pokok-pokok tersebut...). Ia seperti satu 'halusinasi'. Apakah. Haha.

Pun, walau hujan, walau panas, ia adalah rahmat. Anugerah Allah. Rezeki dari Allah. Jika tidak hujan langsung, risau juga. Jika tidak panas langsung, risau juga. Mahu merasakan salji, sanggup pula kita meredah beribu kilometer mencari salji. Kita ini tidak bersyukurkah? (eh...ini marahkan diri sendiri dulu ya...)

Jadi, apapun, apapun, hadapilah dengan senyum. Walau badan rasa nyeri sakit-menahan-denyut-sakit-badan...sabarlah ya, kerana apa yang diberi Allah itu, sangat banyak hikmahnya, sangat banyak fadhilatnya. Hadapilah dengan tabah, menghadapi ujian sebagai seorang Islam yang sentiasa bergantung kepada Allah setiap saat.

Hujan. Masih belum berhenti. Pun. Hati sudah menjadi tenang. Terima kasih Allah. Semoga ada redha Allah. Alhamdulillah.

26 March 2013

Kasih Seorang Suami

Sedang saya leka mengemaskini blog saya, tiba-tiba telefon saya disapa mesej dari suami.

'Dah sampai'.

Saya melihat jam. 10.26 pagi. Eh, biasanya mesej ini hanya dihantar ketika suami sudah tiba di tempat kerja atau ketika suami sudah hampir tiba di pintu rumah. Lalu, 'sampai' ke manakah? Cepat-cepat saya menelefon suami.

"Pergi mana?". Tanya saya di telefon.

Sekonyong-konyong pintu bilik saya ditolak. Alahai. Suami sudah 'sampai' di pejabat saya rupanya, membawa sebekas lagi kuah kari bersama bihun. Bihun kari. Bihun yang suami sendiri mencelurnya di rumah.

"Nak makan dengan isteri...". Itu saja katanya. Alasan mengapa dia datang ke pejabat saya secara tiba-tiba.

Alhamdulillah. Terima kasih Allah.

Bawa Bekal Ke Pejabat 3

Assalamualaikum...

Jarang benar mahu update blog sekarang ini. Mungkin tuntutan 'menaip' itu masih belum sebati dengan jari jemari saya yang masih 'letih' dan 'kaku' sekiranya menaip dengan agak banyak, walau sudah banyak berkurang rasa sakitnya. Alhamdulillah. Segala puji hanya untuk Allah. Apapun, hari ini, tiba-tiba ada gerak hati mahu menaip lagi di sini.

Pagi ini, saya bangun sangat awal. Lebih kurang sekitar 4 pagi. Terdengar guruh berdentum-dentam di luar rumah. Bunyi hujan tidak terlalu lebat, tapi mata yang terasa segar memang tidak membolehkan saya menyambung tidur semula. Lalu, rutin 'sepertiga malam yang di penghujung' itu terasa 'sayang' pula untuk tidak dilunaskan. Alhamdulillah. Ya Allah, esok minta 'digerakkan' lagi pada waktu yang sama ya.

Menjelang pukul 5.15 pagi, saya sudah mula masuk ke dapur. Mencapai sebiji bawang merah saiz sederhana, saya mula mengopek kulitnya, membasuh dan kemudian menghiris bawang tersebut dalam hirisan agak kasar. Bekas berisi daun kari 'kering' (oh...memang kurang kick...tapi ini saja yang jadi penyelamat kalau terasa mahu makan kari - bukan selalu ada rasa mahu makan kari pun...) saya capai, mengeluarkan lebih kurang setangkai daun kari (dilurut terlebih dahulu), membasuh di bawah air bersama Surah Al-Kausar dan selawat kepada Rasulullah SAW di bibir (sila tos seketika) dan terus dimasukkan ke dalam periuk berisi setengah sudu minyak bunga matahari (walau menggunapakai minyak bunga matahari, saya jarang guna minyak yang banyak dalam masakan) yang sudah mula panas. Usai 'menggoreng daun kari', saya segera memasukkan hirisan bawang merah tadi ke dalam periuk. Apabila terbit baunya, saya segera memasukkan serbuk buah pelaga, kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang ke dalam periuk. Saya memasukkan sedikit serbuk cili (stok cili kisar habis pula di rumah ini...) dan segera dimasukkan pes kari (tiga sudu serbuk kari dicampur sedikit air dan dikacau), dikacau seketika sebelum dimasukkan sedikit air untuk mengelakkan berkerak (saya menggunakan dapur induksi, jadi masakan lebih cepat masak dan jika tidak dikawal 'ketangkasan memasak' dan suhu dapur, masakan akan mudah berkerak...tetapi ia sangat membantu untuk memasak dalam masa yang singkat..).

Kemudian, saya mula memasukkan asam keping dan sedikit perahan lemon. Selepas seketika, saya memasukkan tauhu pok, tauhu keras, fish ball dan fish cake serta hirisan kobis. Hmmm...sawi tidak ada di rumah ini...jadi memadai dengan apa yang ada saja untuk dijadikan sayur di dalam kuah untuk mi kari saya ini. Malah, kerang juga tidak ada...ermmm...sebenarnya sengaja tidak dibeli kerana mahu mengurangkan jumlah kolesterol dalam badan.

Bekas garam dicapai, saya memasukkan dua sudu kecil garam dan kemudian saya memasukkan bancuhan lima sudu susu Anlene dan air sebagai pengganti santan. Haha. Stail saya memasak. Terlebih memasak secara sihat atau apakah...walhal ada dua kotak santan segera (eh...low fat lagi...) yang sentiasa menjadi stok tetapi sengaja tidak mahu digunakan dalam kuah kari kali ini. Lebih mudah 'menggunting' kotak santan dari membancuh susu kan? Haha.

Saya mengacau seketika (sengaja buat cair sedikit...tidak mahu terlalu pekat kerana kuahnya mahu dihirup penuh nikmat nanti...), mematikan suis dan jam sudah menunjukkan pukul 6 pagi. Wah...di tengah cuaca lembab-lembab di awal pagi, bau kuah kari saya benar-benar menusuk hidung. Alhamdulillah.

Hari ini saya memandu sendiri ke pejabat dan berjaya tiba di pejabat pada pukul 6.55 pagi bersama semangkuk kari (eh...kari je....mana mi nya?). Kes mahu diet la konon-kononnya....lalu mahu mengurangkan kuantiti 'carb' dalam menu harian...mi itu di rumah, hanya untuk suami saya nikmati bersama kuah kari.

Alhamdulillah. Semoga ada redha Allah dalam setiap saat urusan hidup kita di bumi Allah ini. InsyaAllah.

14 March 2013

Urusan Cukai Tahunan

Alhamdulillah. Selesai urusan cukai tahun 2012 bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri. Potongan dibuat setiap bulan, pun masih ada yang 'terlebih bayar kepada LHDN' kerana ia diimbangi dengan kadar zakat yang telah dibayar sebelum 31 Disember 2012. InsyaAllah, LHDN biasanya akan 'mengembalikan' lebihan tersebut.

Pun, masih ada rasa terkilan. Tahun hadapan, insyaAllah, memang akan melunaskan nilai zakat lebih lagi dari kadar yang sepatutnya. Ya, saya lebih suka membayar zakat berbanding cukai pendapatan. Urusan bersama LHDN saban tahun hanyalah sebagai syarat menyatakan saya seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, tidak culas dalam menyelesaikan urusan cukai pendapatan.

Urusan untuk cukai-cukai taksiran juga telah diselesaikan....alhamdulillah.
Urusan untuk hutang-hutang tertunggak 'wajib dibayar' juga telah selesai....alhamdulillah.

Segala puji hanya untuk Allah yang Maha Besar dan Maha Berkuasa kerana telah memudahkan urusan hambamu insan kerdil ini di dalam menyelesaikan urusan-urusan dunianya. Terima kasih Allah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.