24 January 2011

Masa, Keinginan dan Impian

Oh. Tiba-tiba ada keinginan mahu tulis blog 'at least 1 post per day'. Sekadar sebuah keinginan. Belum menjadi target/matlamat. Belum menjadi kewajipan dan tanggungjawab. Hanya baru sebuah 'keinginan'.

Tapi, kalau tidak ada 'keinginan yang sangat-sangat kuat', sudah tentu tidak akan menjadi target, dan sudah tentu tidak akan menjadi kebiasaan dan tanggungjawab rutin kita bukan?

Ya. Kalau boleh, hari ini saya mahu senaraikan keinginan-keinginan saya supaya mempunyai target dan boleh dipraktikkan ke alam realiti.

Keinginan dan impian, semuanya saya mahu merealisasikannya...insyaAllah...kerana jika bukan diri saya sendiri, siapa pula yang akan menjadikan impian-impian saya menjadi kenyataan.

Sekadar gambar hiasan.
Masa, sangat penting untuk merancang impian menjadi kenyataan.

05 January 2011

Azam 2011 : Hapuskan Pembuangan Bayi

Tahun baru 2011 sudah tiba.

Pagi tadi, semasa hendak ke pejabat, saya mendengar berita kisah buang bayi lagi. Alhamdulillah, bayi tidak cukup bulan itu dapat bertahan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil - dilaporkan oleh berita yang didengari melalui radio pagi tadi. Kasihan kepada bayi itu. Apa yang akan dirasainya apabila dia berumur 5 tahun, 15 tahun, 25 tahun, 35 tahun....bukankah dia akan menjadi dewasa dan akan menjadi seorang manusia yang memiliki perasaan, sama seperti kita semua?

Azam tahun baru?

Pada saya, semua rakyat Malaysia kena ada azam supaya TIDAK MENGGALAKKAN kes-kes pembuangan bayi berleluasa lagi. Mulai dari sekarang, hingga ke masa-masa seterusnya sehingga dunia ini kiamat.


Pun, bukan saja azam. Lebih elok begini : azam + kesungguhan + praktikaliti + fikir = hasil yang lebih baik dan lebih kekal dan lebih menyentuh nurani dan lebih mengekang keadaan sekarang yang tidak stabil.

Apa keadaan sekarang? Kenapa tidak stabil? Apa yang tidak stabil?

Buang bayi bukan salah satu 'hasil biasa-biasa'. Buang bayi merupakan satu 'hasil luar biasa'. Memang sungguh luar biasa kerana kucing pun tahu sayangkan anak, burung pun tahu mengasihi anak tetapi manusia yang lebih dimuliakan kerana dianugerahkan akal dan hati tiba-tiba saja jadi tidak tahu menyayangi, atau lebih tepat lagi 'terlupa' kepada rasa sayang, walhal sudah tentu sewajarnya (jika dipatuhi betul-betul hukum agama) setiap bayi yang dilahirkan terhasil dari rasa kasih dan sayang serta cinta antara dua jantina yang berbeza.

'Hasil luar biasa', yang saya maksudkan, lebih kepada bagaimana terhasilnya kes pembuangan bayi yang semakin banyak sekarang ini. Sebab-sebab kepada terhasilnya hal ini sangat banyak. Pun, walau apapun, saya hanya mahu menggariskan beberapa sebab, dan beberapa kesan sahaja.

Sebab :-

1. Terpengaruh oleh nafsu.

2. Jahil bab agama (atau lebih kepada tidak mempraktikkan agama).

3. Dibuai keseronokan dunia.

4. Rasa hebat memiliki teman lelaki/wanita sehingga dilupakan bahawa teman yang dimiliki tanpa redha Allah, pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa redha Allah, salah satu laluan ke arah zina.

5. Tiada halangan dari ahli keluarga terdekat (kebanyakan ibu dan bapa lebih bimbang sekiranya seseorang anak gadisnya 'jual mahal' dan tidak didekati mana-mana lelaki akan menjatuhkan maruah dan air muka keluarga - bimbang tidak akan disunting sesiapa sehingga tua, tetapi tidak bimbang anak-anak gadis lepas bebas sesuka hati dan menjatuhkan air muka ibu dan bapa di hadapan Allah)

6. Ibu dan bapa yang terlalu sibuk sehingga terlupa kehadiran anak-anak yang masih mentah.

7. Penggunaan medium komunikasi yang salah - eksploitasi tubuh wanita/lelaki yang berleluasa di media massa, terutama internet.

Kesan :-

1. Generasi kini, remaja zaman ini yang berusia dalam lingkungan 15 - 25 tahun merupakan pembentuk generasi akan datang. Jika diri sendiri sudah tidak boleh dibentuk, bagaimana dan apa yang akan berlaku pada generasi akan datang yang semakin jauh dari ciri-ciri kebaikan.

2. Anak-anak tidak sah taraf (saya rasa 'term' ini lebih nampak sopan) yang lahir di zaman ini, apakah masa depan mereka, pembentukan sikap mereka, perasaan mereka 20 atau 30 tahun lagi. Tidakkah mereka akan mengalami simptom 'kurang kasih sayang dan perhatian' dan akan membentuk suatu generasi lain yang sangat berbeza. Walhal, bilangan mereka menjadi semakin ramai dari sehari ke sehari.

3. Kesan kepada pembentukan negara Malaysia dalam 20 atau 30 tahun lagi? Sikap rakyat Malaysia?

4. Ada redha Allah? (Ini paling mengerikan...kerana kepanasan api neraka tidak ada siapa pun yang mampu bertahan dengannya...kalau rasa mampu bertahan dengan kepanasan api neraka, boleh cuba dekatkan hujung jari kepada sebarang api di dunia ini, atau paling-paling pun cuba pegang periuk yang sangat panas di atas dapur...)

Paling mengerikan, sahabat-sahabat saya sering bercerita apabila malam Tahun Baru menjelang tiba. Salah seorang pernah menyatakan bahawa kes-kes buang bayi paling banyak sekitar Ogos, September, Oktober, November, Disember dan Januari setiap tahun. Mengapa?

Kerana pergaulan sangat bebas lelaki dan perempuan, terutama remaja sering berleluasa dan tidak dikekang dan tidak dikawal pada malam Tahun Baru pada 1 Januari setiap tahun, malam Valentine yang berlaku pada 14 Februari, dan beberapa hubungan 'intim yang tidak sah' selepas dari perkenalan pada malam-malam tersebut.

Ceteknya pemikiran kita. Salah siapa sebenarnya? Paling utama, apa tindakan setiap dari kita untuk mengurangkan dan terus menghindari masalah-masalah sosial yang semakin berleluasa sekarang ini?

Sampai bila kita mahu bersekongkol dan sama-sama bersubahat membuang bayi-bayi yang tidak berdosa?

Apa yang akan kita jawab apabila ditanyakan Allah di Padang Mahsyar nanti?

Apa tindakan kita? Hanya berpeluk tubuh dan menjaga diri sendiri sahaja?

Redha Allah boleh dicari dengan cara apabila kita melihat sesuatu kejahatan, cubalah dielakkan kejahatan itu dengan tangan, jika tidak mampu, gunakanlah perkataan, dan jika masih tidak mampu dan memiliki sebarang kekuatan, maka berdoalah kepada Allah supaya kejahatan seumpama itu dapat dibendung dan dihapuskan.

Semoga Allah sentiasa melindungi dan meredhai setiap bayi-bayi yang akan dibuang, yang telah dibuang, yang telah meninggal dunia, yang telah ditinggalkan, yang tidak dikasihi, yang sering dikasari...insyaAllah...