25 January 2022

Dunia Sementara

Banyak sungguh yang berlaku selepas 11 Januari 2022. Suatu tarikh indah 11.1.22, pun ia memberi pelbagai memori kepada saya. Saya lalui rutin 11.1.22, dibawa ke 13.1.22 dan seterusnya ke 14.1.22. Lelah, lesu dan letih bergumpal sekaligus, kepada minda, jua kepada fizikal. Malah, hati sudah pasti terlebih lagi cuba menjadi kuat, dalam kelelahan yang sangat menyesakkan. Lalu, menunggu pertemuan seterusnya, InsyaAllah pada 11.2.22. Masih di 11hb, tapi di bulan yang berbeza. MasyaAllah.

Alhamdulillah. Apa saja yang dilalui dengan redha kepada ketentuan Allah, maka ia akan menjadi lebih mudah dan sentiasa dalam redhaNya. Apapun, apa saja di dunia ini, ia bukan milik kekal kita selamanya, walaupun batang tubuh kita sendiri juga. Maka, perlu diingatkan berulangkali bahawa dunia ini dan tubuh kita hanyalah pinjaman sementara yang akan diambil Allah pada bila-bila masa sahaja.

Semoga ada redha Allah di sepanjang kehidupan kita, jua redhaNya di akhirat sana. Semoga syurga itu dianugerahkan untuk kita. InsyaAllah.

10 January 2022

Bulan Islam

Sudah Jamadilakhir. Selepas ini bulan Rejab. Selepas itu, Syaaban akan menyusul. Dan akhirnya, Ramadan yang dirindui akan tiba jua. Walaupun terasa seperti....eh sudah 2022, eh sudah nak tiba Ramadan semula, eh dapatkah beraya tanpa PKP tahun ini? Apapun, tetap terasa rindu pada Ramadan itu kekal membuak-buak.

Ramadan, suatu bulan yang mulia. Rasa yang tenang, indah, terutama di kala menghitung malam-malam sunyinya hanya berseorangan, menangis dan meratap sayu kepada Dia, kerana tau...diri yang penuh noda dan dosa. Hanya Allah Yang Maha Pengampun dan akan mengampunkan dosa semua hamba-hambaNya.

Ya Allah...walau Ramadan itu hampir tiba, pun diri ini merasa sungguh masih jauhnya Ramadan tahun ini. Ya Allah, temukan diriku dengan Ramadan tahun ini....dan manfaatkanlah diriku dengan kebaikan di Ramadan ini...dan ampunilah semua dosa-dosaku...

Jalan Terlalu Sesak

Sangat mencabar melalui perjalanan pergi dan balik kerja di tahun 2022. Sebelum covid dulu, perjalanan pergi hanya mengambil masa setengah jam, atau maksimum satu jam sudah dikira agak lama. Perjalanan balik pula biasanya 45 minit hingga satu jam 15 minit. Waktu maksimum hanya akan dilalui jika keluar lambat samada dari rumah atau dari pejabat. Jika keluar awal sekitar 6.30-7pagi, atau balik awal sekitar 4.30-5 ptg, keadaan trafik masih ok.

Namun, di tahun 2022 ini, jika keluar dari rumah pukul 6.30pg pun, hanya akan tiba di pejabat sekitar 8.30pagi. Tempoh perjalanan balik pula lebih memeritkan. Minggu lepas saja, setiap hari merekodkan keluar dari pejabat pada pukul 4.45ptg, akan tiba di rumah hanya seawal 7mlm. Mahu tak mahu, masuk saja waktu Asar, terus solat sebelum bertolak balik. Jika balik 5 petang, pukul 8mlm belum tentu lagi boleh tiba di rumah. Ya, sungguh memberi tekanan.

Hari ini pula sudah bermula sesi persekolahan. Kesesakan lebih berganda-ganda. Jadi, waktu pergi dan balik kerja merupakan momen tekanan luar jangka pula. Sudahlah badan terlalu lesu dengan tugasan pejabat yang sangat melampau, ditambah pula dengan kesesakan jalanraya yang jua melampau, maka hari-hari bekerja merupakan hari-hari yang sangat tertekan.

Ya Allah, mudahkanlah urusan kami di dunia dan di akhirat. Dunia ini banyak menipu kami.

09 January 2022

Tahun Baru 2022

Lama sungguh tidak menulis di sini. Lama sungguh tidak merakam sebarang kenangan dalam bentuk penulisan di sini. Bukan tidak membuka blog ini, buka juga...tapi, kerana sudah terlalu lama agaknya blog ini terbiar sepi, lalu ia hanya diam sahaja, hingga login account pun sudah terus terlupa.

Alhamdulillah. Seiring dengan 2022 yang baru saja bermula, maka saya telah berjaya menemui semula segala maklumat login account blog ini. Takdelah cari beriya sangat pun, tapi bila Allah telah mudahkan, maka ia menjadi mudah. Alhamdulillah.

Lalu, kita tambah satu lagi azam tahun ini. Mahu berblog semula. Mahu aktifkan semula blog ini di 2022. Mahu berkongsi semula sejuta kisah-kisah lama yang mungkin ada tersimpan di dalam memori minda yang semakin tepu ini. InsyaAllah.

Ya. Saya suka menulis. Cuma masa saja yang seeing tidak memberi keizinan kepada saya. Semoga 2022 ini memberi sinar semula kepada saya untuk mendapat peluang menulis dengan lebih kerap. InsyaAllah.