28 February 2009

Prihatin Tak Kena Tempat

Very hectic day!

Saya sudah keluar awal pun, tersekat pula di Lebuhraya Utara Selatan yang sudah ada desas-desus mahu naik lagi kadar tol pada 1 Mac ini (huh...selalu juga saya terfikir dengan peningkatan kadar tanpa peningkatan perkhidmatan - saya tidak katakan pihak pengurusan lebuhraya tidak cuba untuk meningkatkan servis - saya agaknya yang tidak nampak apa-apa peningkatan servis mereka...tak tahulah kalau orang lain boleh nampak...) hanya kerana ada sebuah tow truck dan sebuah kereta yang rosak di tepi jalan sebelum Plaza Tol Sungai Besi lebih kurang pada pukul 6.55 pagi menyebabkan kebanyakan kenderaan di tiga laluan tersebut menjadi semakin perlahan.

Ya Allah!

Apabila tiba di pejabat pula dan hendak menuju ke tapak projek (dalam seminggu, saya rasa saya sudah banyak 'round Kuala Lumpur' sejak bertukar 'beg baru' ini), sekali lagi di'terkejut'kan dengan kesesakan jalan raya berhampiran u-turn ke Jalan Chan Sow Lin menghala ke Jalan Istana. Huh! Sangka saya, masih sesak lagi walau sudah hampir pukul 10 pagi? Rupanya hanya kerana terdapat beberapa kenderaan di tepi jalan (bukan kemalangan pun) berhampiran simpang ke TUDM yang menyebabkan kenderaan lain perlahan (saya rasa kasihan pada kenderaan berjujut-jujut di belakang di dalam kesesakan sedangkan puncanya hanyalah kerana 'rasa prihatin yang tidak kena tempat' yang dimiliki oleh sebilangan besar rakyat Malaysia).

Ya Allah!

Saya teruja. Sungguh menakjubkan kerana saya sendiri merasakan produktiviti yang melelahkan hanya kerana sebelum tiba di pejabat, saya sudah dihimpit di dalam kesesakan yang melampau. Puncanya? Saya boleh kategorikan beberapa punca kesesakan yang sebenarnya boleh dihindarkan dan boleh memantapkan kualiti pemanduan di Malaysia amnya, di bandaraya besar khasnya, antaranya :-

1. Kenderaan perlahan yang bermastautin di laluan paling kanan (kebanyakan yang saya lihat keadaan seumpama ini dilakukan oleh pemandu-pemandu wanita - sekarang bukankah ramai pemandu wanita - typical woman - di atas jalan raya? - dan ada sebilangannya juga pemandu lelaki) dengan kelajuan 60km/j sedangkan had laju ditetapkan adalah 80km/j. Paling sedih melihat keadaan ini, laluan di sebelah kiri (untuk kenderaan yang perlahan) adalah laluan kosong - tidak ada kenderaan pun. Hanya kerana takut untuk membuat penukaran lorong, mereka mengekalkan diri berada di lorong kanan sahaja walaupun penukaran lorong mungkin berada 30 km di hadapan. Haha....very weird.

2. Kenderaan yang tidak tetap pendirian (ya...kerana ada kenderaan perlahan di kategori pertama menyebabkan terdapat kenderaan yang sering menukar-nukar lorong - sudah pasti perlu menekan brek - dan menyebabkan kenderaan di sekitarnya semakin perlahan). Kategori ini juga digunapakai untuk kenderaan di laluan kanan yang hendak masuk ke simpang kiri dan hanya menukar lorong di dalam tempoh yang sangat kritikal. Makanya, pemandu lain yang baik hati dan sering bertolak ansur pun akan menekan brek dan memberikan peluang kepada kenderaan jenis ini untuk mencelah ke dalam lorong lain. (Yes! Have to do it because...you kiss, you pay!) Mereka akan mencelah masuk sesuka hati di hadapan kita.

3. Kenderaan yang prihatin tak kena tempat (ini, sangat banyak di jalan raya di Malaysia!). Pemandu kenderaan jenis ini pantang melihat apa-apa saja kelainan di jalan raya, mereka akan cuba memperlahankan kenderaan dan hanya menjengukkan kepala dan kemudian barulah memecut meninggalkan tempat kejadian - haha...paling menakutkan saya adalah kadang-kadang apa yang dilihat hanyalah orang menukar tayar di tepi jalan. Memanglah tidak akan ada kesan apa-apa sekiranya hanya seorang atau dua orang saja yang berbuat demikian. Tapi, sangat menyedihkan apabila nisbah yang boleh ditetapkan adalah lebih kurang 95 peratus pemandu di atas jalan raya di Malaysia ini mempunyai habit yang sama - prihatin tak kena tempat!

4. Kenderaan 'selfish'. Kategori ini sangat menjengkelkan. Mereka merasakan hanya mereka seorang yang membayar road-tax dan menjadikan jalan raya sebagai milik mereka seorang. Tidak patuh kepada apa-apa peraturan, tidak memikirkan pemandu-pemandu lain, hanya patuh kepada kepentingan diri mereka sendiri sahaja. Sebab itulah dipanggil 'selfish'.

5. Kenderaan yang tidak tahu berfikir. Hmm....kategori ini saya sering nampak di kawasan jalan yang ada susur masuk atau susur keluar. Apa itu susur masuk dan susur keluar? Susur-susur ini digunakan untuk masuk atau untuk keluar dari jalan-jalan utama dan biasanya sangat panjang (muat hingga 10 buah kereta) walau ada sebilangan besarnya agak pendek up to 3 vehicles only. Kedudukan susur ini boleh diperhatikan dengan melihat garisan putih di atas jalan raya. Terdapat yang tidak faham agaknya (tidak berfikirlah...) dan tidak diberitahu semasa sesi belajar memandu bahawa kenderaan boleh berada di hujung susur sehinggalah berpeluang masuk atau keluar dari jalan utama. Sedih juga apabila melihat hanya 3 buah kenderaan berada di atas susur sedangkan susur tersebut boleh memuatkan 10 kenderaan (dan yang menjadikan sesaknya adalah kerana banyak lagi kenderaan lain di belakang mereka yang terpaksa berhenti dan akur pada situasi dan menyebabkan jalan utama menjadi sesak).

Saya rasa, cukuplah lima kategori dahulu kerana mata saya sudah tertutup-tutup.

Semoga ada perubahan pada keadaan jalan raya kita dan tidaklah mewujudkan suatu keadaan di mana kita semua yang menggunakan jalan raya akan tiba di pejabat dalam keadaan badan yang lemah - so, produktiviti kita pun akan menurun! - hanya kerana berada di dalam kesesakan dalam jangkamasa lama.

Sungguh menyedihkan! Sungguh menyebalkan!

Bilakah kita semua hendak membuat perubahan minda dan memperbaiki minda kita supaya kita boleh berfikir dengan lebih baik untuk kejayaan agama, bangsa dan negara kita sendiri?

Sekiranya ada keinginan, lakukanlah sekarang kerana 'kerja yang ditangguh-tangguh selalunya tidak menjadi'.

InsyaAllah, semoga Allah membantu dan memudahkan urusan kita semua. InsyaAllah.

21 February 2009

Sebalnya Melihat Jalanraya

Usai solat Zuhur, saya keluar dari rumah menuju ke Shah Alam. Saja-saja lalu di TPM (Technology Park Malaysia) dan melepasi simpang ke Taman Puncak Jalil - untuk menuju ke Puchong - menggunakan LDP untuk sampai ke Shah Alam.

Tiba di kawasan Kinrara (kalau tidak silap saya - kerana saya ini selalu gagal tentang nama jalan dan tempat - laluannya saja yang saya ingat) jalan tiba-tiba sesak. Saya segera melihat jam tangan saya. Sah! Saya sudah lewat. Janji dengan student saya pukul 2.30 petang, jam di tangan saya sudah menunjukkan pukul 2.20 petang. Kereta bergerak lebih lambat dari kura-kura (membuatkan saya tertanya-tanya kerana laluan itu tidak pernah sesesak ini sebelum ini) yang akhirnya menemukan saya dengan 'resurface road' berhampiran stesen minyak Shell di simpang ke Kinrara. Jalan ditutup dan hanya dibuka satu laluan sahaja. Memanglah akan jammed!

Saya terkesima.

Ya Allah! Bukankah kerja-kerja seumpama itu biasanya dilakukan pada waktu malam? Kaedah yang digunapakai memerlukan suhu optimum yang tepat (untuk premix), jika tidak jalan akan mudah rosak semula. Jika dibuat pada siang hari - memanglah hasilnya nampak sempurna - tapi belum tentu cukup baik - malah menambahkan sesak jalanraya sahaja (although it is weekend, i think they must consider the location of the road also). Sudahlah jalan cepat rosak dan tidak dapat digunakan dalam tempoh yang lama - kereta pengguna juga cepat rosak - peruntukan yang digunapakai pula adalah dari duit rakyat pembayar cukai. (The repetition of the job at the same location with the same scopes will waste the budget which we can use for different kind of development)

Saya pun tidak faham sedangkan setahu saya (based from my experiences), any job that the contractor / supplier have to do is based on schedule - and they have to follow the schedule so that it'll not burden anybody - during construction or after construction - whether it is simple job or not. Don't take simple job as simple things because there is no simple thinking when it is related to the benefit for the country.

Tak apalah - ini kata hati saya setelah saya melepasi kawasan penurapan semula jalan itu setelah perjalanan saya terganggu lebih kurang 45 minit untuk tempoh perjalanan 5 minit. Walau hati saya berketul-ketul, saya cuba menjadi lebih sabar. Saya tiba di Shah Alam seawal 3.25 petang.

Pun, saya diuji semula. Melalui jalan yang sama usai kelas saya di Shah Alam hendak menuju ke Puncak Jalil (laluan yang bertentangan pula). Kali ini, ujiannya berbeza. Berhampiran stesen minyak Petronas di persimpangan lampu isyarat menuju ke Bukit Jalil, ada pula kemalangan. Saya tiba 6.30 petang di Puncak Jalil - walau hakikatnya saya boleh tiba pada 5.55 petang.

Ya, memang normal. Sebahagian besar rakyat Malaysia memang sangat prihatin. Sebarang kemalangan (atau sekadar sedikit kecederaan) akan menjadi topik bualan berhari-hari. Seronok dan teruja benar mereka melihat kemalangan sehinggakan semua kenderaan akan menjadi perlahan walaupun kemalangan tersebut bukan berada di laluan mereka. Peliknya, yang membantu tidak ramai. Ramai pun hanyalah sekadar memperlahankan kenderaan untuk menjadi penganalisis kemalangan tidak berbayar.

Sayangnya, kebanyakan rakyat Malaysia memang tidak tahu menghargai masa (saya kata kebanyakan - bukannya semua). Bagi yang Islam, terlupa agaknya tentang Surah Al-Asr. Mereka banyak masa lepak-lepak dan berbual kosong tanpa tujuan. Tanpa sedar, bukan setakat masa yang dibazirkan sedangkan berbicara kosong itu saja sudah tergolong dalam perlakuan sia-sia. Tidak ilmiah. Tidak bermanfaat. Apabila masa tidak dihargai, itu yang menjadi asbab untuk mereka sesuka hati memperlahankan kereta menjadi rakyat prihatin pada semua kemalangan di jalan raya. Hasilnya - kosong. Langsung tidak berfaedah. Sekadar jadi bualan kosong - malah entah nampak atau tidak pengajaran dari kemalangan tersebut - iaitu perlu lebih berhati-hati apabila memandu di jalan raya.

Masa amat berharga pada saya. Sesaat adalah ilmu. Seminit adalah ilmu. Sejam jua ilmu. Hargailah masa kerana sesungguhnya masa telah menghambat setiap inci hidup kita menjadi lebih kompleks dan indah.

Jangan membuang masa - dan tolong fikirkan tentang orang di sekitar kita juga (bukan hanya setakat pandai menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain sendiri tidak berkelim dan susunnya pun lari bercempera) - terutama bagi pemandu kenderaan perlahan yang gemar memandu di laluan kanan. Ini jua salah satu sikap kegemaran kebanyakan rakyat Malaysia. Mereka perlahan, tetapi beraja di laluan kanan tanpa memikirkan orang lain di belakang mereka.

Kalaupun mahu memandu seumpama kura-kura, bermastautinlah di laluan kiri supaya tidak menyukarkan pemandu-pemandu lain di jalan raya. Apabila dihon, marah pula kepada pemandu kenderaan yang menghon (malah lebih hebat lagi, mereka yang perlahan merasakan mereka berada di pihak yang benar walaupun memandu di laluan kanan pada kelajuan 50km/j di jalan yang boleh berkelajuan sehingga 90km/j).

Ya Allah. Semoga dimudahkan urusan-urusan kami di sini dan di sana. InsyaAllah.

Antara Prinsip dan Keadaan

Saya tidak mahu menjatuhkan air muka sesiapa.

Saya tahu dia orang besar-besar di dalam kawasan jajahannya, dan bila dia menghulur tangan hendak bersalam dengan saya, saya terus berkata : Tak apa (sambil menggawang-gawangkan tangan saya). Dia bertanya : Tak boleh salam? Saya hanya menganggukkan kepala.

Maaf! Bukan niat saya hendak menjatuhkan air mukanya sebagai orang besar-besar. Saya menghormati dia, pun saya ada prinsip.

Hari ini prinsip saya terlindung. Saya berjaket, menutup tudung saya yang memang dilabuhkan mengikut tuntutan Allah dan Rasulullah. Bukan saiz biasa : saiz tudung biasa bidang 48 (pun tudung saya sentiasa bidang 60). Saya duduk senyap mendengar bicara, kerana ini kali pertama saya bertemu dia.

Maaf! Antara tuntutan Allah dan kehendak dia, biarlah saya patuh pada redhaNya. Saya tidak mahu bersalam dengan lelaki bukan muhrim kerana saya tidak mahu ditanyakan di akhirat nanti tentang perlakuan saya. Alangkah malunya, di buka luas setiap kesalahan di hadapan Dia. Alangkah malunya, tidak bersyukur dan sanggup patuh pada kehendak manusia yang sama saja seperti saya. Alangkah malunya...

Jadi, biarlah saya cuba mencipta diri, tidak terleka dengan dunia. Dalam-dalam, saya teringatkan Presiden Ahmadinejad.

19 February 2009

Penuh!

Saya sarat tugas.

Hari ini, tiba di pejabat, saya segera membuka komputer. Melayan minit mesyuarat yang asyik tertangguh kerana tepu tugasan lain. Memanggil pembantu saya dan menyelesaikan beberapa tugasan. Seawal 9.15 pagi, saya sudah menuju ke mesyuarat - paling pasti, saya berdebar. Saya sudah tidak berada dalam situasi biasa sejak bertukar skop kerja yang diarahkan.

Pukul 10 pagi. Saya sudah mengadap seorang Panglima sambil mencicip rasa dua ketul roti jala. Perut saya sudah lama tidak lapar. Sejak kejadian itu. Ya, kejadian itu. Walau roti jala itu - salah satu kegemaran saya. Usai mesyuarat, saya segera menuju ke tapak projek pula. Melihat kawasan yang perlu saya bangunkan bangunan baru.

Balik semula ke pejabat dan hanya sempat meneguk air kosong dan solat. Kemudian, saya keluar semula. Kali ini, saya lepak-lepak di bawah beberapa buah kapal terbang lama yang tersadai menjadi pameran. Saya teruja! Andai saja saya meneruskan cita-cita saya di zaman remaja ingin menjadi seorang aeronautical engineer. Agaknya, dimanakah saya sekarang?

Masih sempat pula ke ibu pejabat selepas balik dari bermain-main kapal terbang. Singgah seketika menyelesaikan laporan yang perlu dihantar - ya, setiap minggu. Dalam kalut hari keempat saya bertukar, saya rasa tugasan yang saya lakukan sudah seribu satu macam. Ya, buka beg baru semula. Yang lama itu, saya sudah tinggalkan di dalam kabinet untuk dibuka pada masa yang lain. Beg baru saya yang ini sangat sibuk. Berbeza amat dengan beg lama saya.

Balik semula ke pejabat, saya sudah menuju ke bilik boss. Hmm. Melapor tugas seharian yang kemudiannya bertanyakan pendapatnya untuk sebatang longkang besar - salah satu projek yang perlu diselesaikan. Buru-buru saya berkejar pula untuk mengajar - aduhai! Andai saja saya dibenarkan memilih, apakah pilihan saya kali ini agaknya?

Syukurlah. Alhamdulillah. Ini pilihan saya. Ini redha Allah. Saya tidak perlu memilih. Walau mata sudah layu, saya tahu, jalan hidup sebegini, andai ada redhaNya, pasrahlah saya. Saya penuh dengan amanah - saya tepu dengan rela.

Alhamdulillah.

09 February 2009

Kerja dan Amal

Saya terfikir sesuatu semasa memandu dari Bukit Jalil senja tadi. Banyak benar kereta di atas jalanraya menuju ke Putrajaya walaupun azan Maghrib sudah berkumandang.

Saya pun sama, masih berada di atas jalanraya pada ketika itu!

Lalu saya mula membayangkan seandainya saya mati di saat itu (Alhamdulillah Allah masih benarkan saya menulis entri ini....), apakah maksud tujuan saya yang tidak mahu berhenti solat di mana-mana itu akan dimurkai Allah, walhal di sepanjang jalan itu memang tidak ada masjid. Kalau ada pun, nun jauh di tengah Wilayah Putrajaya, atau masjid di Uniten, atau masjid di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Masjid-masjid terdekat pada pengetahuan saya untuk laluan yang saya lalui itu.

Lalu saya teringat ungkapan ini : Beramallah kamu seolah-olah kamu akan mati pada esok hari, dan bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup 1000 tahun lagi.

Saya sering terlupa, dan Allah sentiasa mengingatkan. Antara amalan dan kerja, sebenarnya ada kaitan. Kerja adalah amalan, pun amalan bukan kerja. Dalam Islam itu, tidak ada pemisah antara tugas dan tanggungjawab, antara amalan dan kerja, antara tikar sembahyang dan tempat bekerja.

Samada faham atau tidak, itulah agama syumul yang didalamnya ada keindahan yang tidak terungkap.

Jadikanlah, setiap saat dalam kehidupan kita adalah ibadat, walaupun kita tidak melakukakannya di atas tikar sembahyang.

05 February 2009

Tazkirah Ustaz Zahazan

Saya sudah jarang keluar awal dari rumah pada waktu pagi. Biasanya, saya hanya mampu mendengar sepatah dua bicara Ustaz Zahazan pada waktu pagi di Radio IKIM, dan kemudiannya bicara itupun tamat menginjak ke pukul tujuh pagi.

Pun, setiap Khamis, pada pukul 8 malam, biasanya saya akan berada di dalam kereta sedang menghala ke Kajang untuk sesi mengajar sebelah malam.

Tadi, saya berpeluang mendengar ulang bicara Ustaz Zahazan di Radio IKIM yang biasanya disiarkan pada pukul 8 malam (masa ulang bicara ini biasanya berubah-ubah bergantung kepada waktu solat Maghrib dan solat Isya').

Ada 4 kategori manusia di dunia ini :-

- orang yang ingat pada dunia, akhirat terabai.
- orang yang ingat pada akhirat, dunia terabai.
- orang yang tidak ingat pada dunia dan akhirat.
- orang yang ingat pada dunia, dan dunianya dijadikan landasan untuknya ke akhirat.

Saya jadi terfikir. Kategori manakah saya ini?

Semoga Allah meletakkan diri saya di dalam kategori yang paling diredhaiNya. Saya amat takut sekiranya Allah murka kepada saya. Di manakah akan saya letakkan wajah saya tika berhadapan denganNya nanti?

**Saya teringat ujian hari ini. Tadi tengahari, saya perlu hadir program dengan 'orang besar-besar' sekitar pukul 1.30 tengahari yang mana janjinya saja belum pasti mampu ditepati. Saya tidak mengendahkan waktu dan hanya pergi ke program tersebut selepas solat Zuhur. Mana lebih penting, 'panggilan orang besar-besar pangkatnya' atau 'panggilan Allah yang Maha Besar dari segala orang besar-besar'?

What Gender Is Your Brain?

Saya petik test ni dari sebuah blog yang saya lawati.
Apapun, ini test untuk diri saya. Hmmm...




Your Brain is 53% Female, 47% Male



Your brain is a healthy mix of male and female

You are both sensitive and savvy

Rational and reasonable, you tend to keep level headed

But you also tend to wear your heart on your sleeve

Ole Ole Negeri Perlis

Sewaktu balik dari Perlis, saya memang tidak membawa apa-apa. Sekadar sebuah beg sandang kecil berisi sepasang baju kurung, sehelai baju tidur, sehelai tudung, sepersalinan telekung, toiletries, dokumen-dokumen mesyuarat, sebuah buku doa dan beberapa barangan peribadi lain yang memang tidak boleh ditinggalkan - tidak pernah ditinggalkan.

Saya mendapat ole-ole dari Negeri Perlis, yang kemudiannya salah seorang rakan sepejabat (kebetulan pula di dalam kumpulan kami seramai 7 orang itu, salah seorang darinya merupakan boss di pejabat saya) membawa kereta kerana kampungnya juga di utara. Jadi, ole-ole itu dititipkan padanya dan saya hanya mengambilnya semalam di pejabatnya. Ole-ole yang agak menarik.

Gambar di kotak tidak sama dengan isi di dalam! Kalau ada ikan pekasam, memanglah bagus - salah satu favourite saya, tapi rasanya tidak sesuai diletakkan di dalam kotak ini dan kemudian dipekkan untuk diberikan kepada para tetamu.



Di dalam pek ini adalah barangan keluaran FAMA yang dibuat oleh rakyat Malaysia dan HALAL. Rasanya, dah tiba masanya barangan keluaran Malaysia dipasarkan dengan cara yang lebih meluas untuk menjadi kegunaan seluruh dunia.


Saya rasa begitulah, saya lebih selesa dengan barangan keluaran Malaysia - paling wajib mestilah berasaskan barangan HALAL dan tidak terjejas pembuatan, penghasilan, penyimpanan dan segala perkara yang berkaitan dengannya dengan perkara-perkara syubhat.

InsyaAllah. Saya tahu, Allah akan mengabulkan doa hamba-hambaNya, asalkan saja usaha tidak pernah putus dan tawakkal tidak pernah hilang.

01 February 2009

Cara Baru

Sebelum saya keluar dari rumah salah seorang anak murid saya pada 7.55 malam tadi.

+Akak tak tau la macam mana dia belajar...tak boleh kena paksa.
-Saya tengah guna 'reverse psychology' ni. InsyaAllah.
+Apa tu?
-Berlepas tangan dan berlapang dada. Hakikatnya pegangan saya lebih erat dari sebelumnya.

Wajah kakak itu memandang saya dengan pandangan yang sangat menggusarkan. Saya tidak tahu dia faham ataupun tidak kata-kata saya, tapi ini cara saya mendidik pelajar-pelajar saya. 'Tolak' bukan bermakna benci, 'ambil' bukan bermakna suka, 'faham' bukan bermakna mengerti dan 'banyak bercakap' bukan bermaksud ada manfaat.

Saya sedang mencuba kaedah baru, kerana kaedah pengajaran saya berbeza untuk individu yang berbeza. InsyaAllah, kali ini saya dapat mengubahnya.