28 February 2009

Prihatin Tak Kena Tempat

Very hectic day!

Saya sudah keluar awal pun, tersekat pula di Lebuhraya Utara Selatan yang sudah ada desas-desus mahu naik lagi kadar tol pada 1 Mac ini (huh...selalu juga saya terfikir dengan peningkatan kadar tanpa peningkatan perkhidmatan - saya tidak katakan pihak pengurusan lebuhraya tidak cuba untuk meningkatkan servis - saya agaknya yang tidak nampak apa-apa peningkatan servis mereka...tak tahulah kalau orang lain boleh nampak...) hanya kerana ada sebuah tow truck dan sebuah kereta yang rosak di tepi jalan sebelum Plaza Tol Sungai Besi lebih kurang pada pukul 6.55 pagi menyebabkan kebanyakan kenderaan di tiga laluan tersebut menjadi semakin perlahan.

Ya Allah!

Apabila tiba di pejabat pula dan hendak menuju ke tapak projek (dalam seminggu, saya rasa saya sudah banyak 'round Kuala Lumpur' sejak bertukar 'beg baru' ini), sekali lagi di'terkejut'kan dengan kesesakan jalan raya berhampiran u-turn ke Jalan Chan Sow Lin menghala ke Jalan Istana. Huh! Sangka saya, masih sesak lagi walau sudah hampir pukul 10 pagi? Rupanya hanya kerana terdapat beberapa kenderaan di tepi jalan (bukan kemalangan pun) berhampiran simpang ke TUDM yang menyebabkan kenderaan lain perlahan (saya rasa kasihan pada kenderaan berjujut-jujut di belakang di dalam kesesakan sedangkan puncanya hanyalah kerana 'rasa prihatin yang tidak kena tempat' yang dimiliki oleh sebilangan besar rakyat Malaysia).

Ya Allah!

Saya teruja. Sungguh menakjubkan kerana saya sendiri merasakan produktiviti yang melelahkan hanya kerana sebelum tiba di pejabat, saya sudah dihimpit di dalam kesesakan yang melampau. Puncanya? Saya boleh kategorikan beberapa punca kesesakan yang sebenarnya boleh dihindarkan dan boleh memantapkan kualiti pemanduan di Malaysia amnya, di bandaraya besar khasnya, antaranya :-

1. Kenderaan perlahan yang bermastautin di laluan paling kanan (kebanyakan yang saya lihat keadaan seumpama ini dilakukan oleh pemandu-pemandu wanita - sekarang bukankah ramai pemandu wanita - typical woman - di atas jalan raya? - dan ada sebilangannya juga pemandu lelaki) dengan kelajuan 60km/j sedangkan had laju ditetapkan adalah 80km/j. Paling sedih melihat keadaan ini, laluan di sebelah kiri (untuk kenderaan yang perlahan) adalah laluan kosong - tidak ada kenderaan pun. Hanya kerana takut untuk membuat penukaran lorong, mereka mengekalkan diri berada di lorong kanan sahaja walaupun penukaran lorong mungkin berada 30 km di hadapan. Haha....very weird.

2. Kenderaan yang tidak tetap pendirian (ya...kerana ada kenderaan perlahan di kategori pertama menyebabkan terdapat kenderaan yang sering menukar-nukar lorong - sudah pasti perlu menekan brek - dan menyebabkan kenderaan di sekitarnya semakin perlahan). Kategori ini juga digunapakai untuk kenderaan di laluan kanan yang hendak masuk ke simpang kiri dan hanya menukar lorong di dalam tempoh yang sangat kritikal. Makanya, pemandu lain yang baik hati dan sering bertolak ansur pun akan menekan brek dan memberikan peluang kepada kenderaan jenis ini untuk mencelah ke dalam lorong lain. (Yes! Have to do it because...you kiss, you pay!) Mereka akan mencelah masuk sesuka hati di hadapan kita.

3. Kenderaan yang prihatin tak kena tempat (ini, sangat banyak di jalan raya di Malaysia!). Pemandu kenderaan jenis ini pantang melihat apa-apa saja kelainan di jalan raya, mereka akan cuba memperlahankan kenderaan dan hanya menjengukkan kepala dan kemudian barulah memecut meninggalkan tempat kejadian - haha...paling menakutkan saya adalah kadang-kadang apa yang dilihat hanyalah orang menukar tayar di tepi jalan. Memanglah tidak akan ada kesan apa-apa sekiranya hanya seorang atau dua orang saja yang berbuat demikian. Tapi, sangat menyedihkan apabila nisbah yang boleh ditetapkan adalah lebih kurang 95 peratus pemandu di atas jalan raya di Malaysia ini mempunyai habit yang sama - prihatin tak kena tempat!

4. Kenderaan 'selfish'. Kategori ini sangat menjengkelkan. Mereka merasakan hanya mereka seorang yang membayar road-tax dan menjadikan jalan raya sebagai milik mereka seorang. Tidak patuh kepada apa-apa peraturan, tidak memikirkan pemandu-pemandu lain, hanya patuh kepada kepentingan diri mereka sendiri sahaja. Sebab itulah dipanggil 'selfish'.

5. Kenderaan yang tidak tahu berfikir. Hmm....kategori ini saya sering nampak di kawasan jalan yang ada susur masuk atau susur keluar. Apa itu susur masuk dan susur keluar? Susur-susur ini digunakan untuk masuk atau untuk keluar dari jalan-jalan utama dan biasanya sangat panjang (muat hingga 10 buah kereta) walau ada sebilangan besarnya agak pendek up to 3 vehicles only. Kedudukan susur ini boleh diperhatikan dengan melihat garisan putih di atas jalan raya. Terdapat yang tidak faham agaknya (tidak berfikirlah...) dan tidak diberitahu semasa sesi belajar memandu bahawa kenderaan boleh berada di hujung susur sehinggalah berpeluang masuk atau keluar dari jalan utama. Sedih juga apabila melihat hanya 3 buah kenderaan berada di atas susur sedangkan susur tersebut boleh memuatkan 10 kenderaan (dan yang menjadikan sesaknya adalah kerana banyak lagi kenderaan lain di belakang mereka yang terpaksa berhenti dan akur pada situasi dan menyebabkan jalan utama menjadi sesak).

Saya rasa, cukuplah lima kategori dahulu kerana mata saya sudah tertutup-tutup.

Semoga ada perubahan pada keadaan jalan raya kita dan tidaklah mewujudkan suatu keadaan di mana kita semua yang menggunakan jalan raya akan tiba di pejabat dalam keadaan badan yang lemah - so, produktiviti kita pun akan menurun! - hanya kerana berada di dalam kesesakan dalam jangkamasa lama.

Sungguh menyedihkan! Sungguh menyebalkan!

Bilakah kita semua hendak membuat perubahan minda dan memperbaiki minda kita supaya kita boleh berfikir dengan lebih baik untuk kejayaan agama, bangsa dan negara kita sendiri?

Sekiranya ada keinginan, lakukanlah sekarang kerana 'kerja yang ditangguh-tangguh selalunya tidak menjadi'.

InsyaAllah, semoga Allah membantu dan memudahkan urusan kita semua. InsyaAllah.

No comments: