05 February 2009

Tazkirah Ustaz Zahazan

Saya sudah jarang keluar awal dari rumah pada waktu pagi. Biasanya, saya hanya mampu mendengar sepatah dua bicara Ustaz Zahazan pada waktu pagi di Radio IKIM, dan kemudiannya bicara itupun tamat menginjak ke pukul tujuh pagi.

Pun, setiap Khamis, pada pukul 8 malam, biasanya saya akan berada di dalam kereta sedang menghala ke Kajang untuk sesi mengajar sebelah malam.

Tadi, saya berpeluang mendengar ulang bicara Ustaz Zahazan di Radio IKIM yang biasanya disiarkan pada pukul 8 malam (masa ulang bicara ini biasanya berubah-ubah bergantung kepada waktu solat Maghrib dan solat Isya').

Ada 4 kategori manusia di dunia ini :-

- orang yang ingat pada dunia, akhirat terabai.
- orang yang ingat pada akhirat, dunia terabai.
- orang yang tidak ingat pada dunia dan akhirat.
- orang yang ingat pada dunia, dan dunianya dijadikan landasan untuknya ke akhirat.

Saya jadi terfikir. Kategori manakah saya ini?

Semoga Allah meletakkan diri saya di dalam kategori yang paling diredhaiNya. Saya amat takut sekiranya Allah murka kepada saya. Di manakah akan saya letakkan wajah saya tika berhadapan denganNya nanti?

**Saya teringat ujian hari ini. Tadi tengahari, saya perlu hadir program dengan 'orang besar-besar' sekitar pukul 1.30 tengahari yang mana janjinya saja belum pasti mampu ditepati. Saya tidak mengendahkan waktu dan hanya pergi ke program tersebut selepas solat Zuhur. Mana lebih penting, 'panggilan orang besar-besar pangkatnya' atau 'panggilan Allah yang Maha Besar dari segala orang besar-besar'?

No comments: