24 August 2011

Persediaan Pra Raya

Kurang dari satu minggu, semua umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Idul Fitri, atau Hari Raya Puasa. Suatu sambutan kegembiraan bagi semua umat Islam, walaupun ada yang puasa tidak cukup sebulan, solat terawihnya cerlam-cerlum...dan yang paling utama mungkin masih belum pergi membayar zakat fitrah (sungguh menarik apabila dapat bersama-sama suami pergi membayar zakat fitrah bagi tahun ini....yang biasanya zakat fitrah untuk diri saya akan dilunaskan oleh emak, setelah arwah abah meninggalkan kami pada 2009...hati terasa sangat-sangat berbunga indah....sudah tahu ada orang yang lebih bertanggungjawab kepada diri ini...)

Sehebat mana atau seteruk mana pun puasa kita, biasanya sambutan dan persediaan untuk Hari Raya lebih hebat lagi. Kain langsir ditukar baru, alas kusyen ditukar baru, ada juga yang bertukar perabot baru, malah ada yang membeli rumah baru, kereta baru, kasut baru, baju baru, tudung baru....hmmm....segala serba serbi baru. Terus terang, jarang benar saya menyambut ketibaan hari raya seperti itu (membeli semua keperluan-keperluan baru) kerana keperluan sediada masih banyak dan boleh digunakan dengan elok. Saya tidak mahu memenuhkan almari saya dengan pakaian-pakaian yang banyak dan tidak digunapakai sepenuhnya. Suatu kiraan mudah yang biasa bagi pembelian pakaian dan keperluan kasut serta beg tangan seorang wanita :-

Kiraan untuk tempoh setahun :----

Sambutan hari raya idul fitri : 4 pasang baju baru
Sambutan hari raya idul adha : 2 pasang baju baru
Menghadiri kenduri kahwin (purata 10 kenduri kahwin setahun) : 10 pasang baju baru
Pakaian mengandung : 10 pasang baju baru
Majlis makan malam (purata 10 majlis makan malam setahun) : 10 pasang baju baru
Blouse untuk berjalan dan shopping dan bersantai : beli ikut suka, purata pembelian sebulan 2 helai...sudah 24 helai setahun
Tudung (ikut kiraan pembelian baju mengikut tema dan warna) : Purata 10 helai sebulan...err...setahu saya macam lebih pula apabila melihat trend kawan-kawan di pejabat membeli tudung...
Pembelian kasut : Selalunya ikut tema baju atau tudung (purata 2 pasang kasut sebulan) - 24 pasang
Pembelian beg tangan : Purata 1 beg tangan sebulan - 12 buah beg tangan

Ini cuma anggaran saya dari segi kuantiti mengikut kebiasaan yang saya lihat pada cara membeli seorang wanita normal zaman ini (saya akui saya memang sedikit tidak normal apabila masuk bab pembelian kasut dan pakaian dan beg tangan - contohnya : kasut ke pejabat saya dan kasut pergi berjalan-jalan saya hanya sepasang, yang seingat saya berharga dalam RM 195, jenama Alain Delon berwarna hitam dan saya beli pada tahun 2004 - sehingga kini masih saya gunakan setiap hari dan saya masih tidak membeli sebarang kasut baru untuk menggantikannya kerana kualitinya masih sangat elok...alah membeli, menang memakai...)

Hanya tentang kasut, saya rasa saya sudah banyak buat penjimatan. Saya tak perlu berbelanja purata RM 60 sebulan untuk membeli sepasang kasut baru setiap bulan, yang jika dikira setahun, saya akan berbelanja RM 720 ringgit hanya untuk kasut sahaja. Paling terbaik, rak kasut di rumah saya kecil sahaja...rak kasut yang dibeli pada tahun 2007 dengan harga RM 5.90...dan saya tidak memerlukan ruang banyak untuk menyimpan kasut-kasut saya. Penggunaan sangat optimum, dan saya merasa puas kerana tidak membazir dari segi keperluan yang boleh diminimumkan penggunaannya.

Sungguh, saya rasa jika ada pereka fesyen dan pereka kasut baca post saya kali ini, sudah tentu mereka akan menunjukkan rasa tidak puas hati dengan cara hidup saya. Tapi, itulah saya. Bukan tidak mampu, tapi saya lebih suka bersederhana.

Masih saya ingat pada hari raya tahun lepas, sewaktu menggosok baju kurung yang biasa saya pakai untuk pergi bekerja...err...almost sudah 2 tahun saya gunakan baju kurung tersebut....makcik saya yang ada di sisi saya ketika itu menegur : cantiknya warna baju raya ni....nampak timbul je...(mudah bukan...bila kita lebih teliti dalam penjagaan pakaian dan barang-barang kita, yang lama pun akan nampak baru dan cantik)

Allah sendiri tidak menggalakkan kita membazir. Paling utama, membazir itu amalan syaitan. Saya suka membeli barang yang berkualiti (bukan berjenama ya...) walau terpaksa membayar lebih sedikit dan dapat digunakan lebih lama. Ruang jimat, masa jimat, duit pun jimat...dan yang paling utama....kita tak ikut amalan syaitan. Sudahlah di bulan puasa, kita sangat 'rajin' memenuhkan meja makan dengan makanan dari bazar-bazar Ramadhan yang kemudiannya lebih banyak yang dibuang dari dimakan...selepas Ramadhan berlalu pun, kita masih tidak kembali kepada fitrah....kepada Al Quran dan sunnah Rasulullah SAW...walau itu yang sepatutnya menjadi produk utama setelah Ramadhan berlalu...

Kembalilah kepada fitrah...dan tinggalkanlah Ramadhan yang akan berlalu bersama sikap-sikap yang lebih baik dan lebih diredhai Allah...semoga kita sentiasa diredhai Allah dan dimasukkan ke dalam syurga-syurgaNya...insyaAllah...

**Tiga perkara yang saya mahu ingatkan kepada pemandu-pemandu jalan raya :-

1. Sila beri signal dalam jarak 50 meter dari simpang yang hendak kita masuki / keluar. Kebanyakan kenderaan di Malaysia sukar memberikan signal/isyarat kepada pemandu-pemandu lain.

2. Sila beri keutamaan kepada kenderaan di sebelah kanan anda, walaupun ia hanya sebuah motosikal kapcai. Undang-undang memandu di Malaysia yang selalu dilupakan, kenderaan di sebelah kanan anda lebih berhak jalan dulu dan anda yang duduk di sebelah kiri adalah perlu menunggu.

3. Kerap saya nampak, kenderaan yang dibawa di laluan kanan highway yang berhad laju 110km/j, atau laluan tengah akan membawa kenderaan dengan kelajuan yang sangat perlahan. Pernah saya jumpa, ada yang bawa 40km/j pun. Dalam kereta, penuh dengan ahli keluarga si pemandu. Tolong faham, jika anda sangat perlahan, sila duduk di laluan paling kiri. Jika tidak, anda boleh menyebabkan traffic jammed di belakang anda.....dan selalunya anda juga akan menjadi penyebab kepada kemalangan dan meragut nyawa orang lain, tanpa anda sedari.


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN

08 August 2011

Ugutan Kanak-Kanak?

"Auntie, temanlah saya....saya takut....", pohon seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun yang naik di dalam lif bersama saya. Kanak-kanak berpakaian hijau PASTI itu pastinya baru pulang dari sekolah bersama seorang sahabat lelakinya yang sudah saya 'paksa' keluar di tingkat 1 tadi.

Ya, kanak-kanak lelaki itu, saya terpaksa memaksanya keluar di tingkat 1 (rumahnya) walaupun semasa mula-mula masuk ke dalam lif, kanak-kanak perempuan itu menutup button nombor 1 dengan tapak tangannya dari ditekan oleh kanak-kanak lelaki tersebut, yang kemudiannya saya yang menekan button nombor 1 itu.

Sejujurnya, ia suatu keberanian seorang kanak-kanak 'mempengaruhi' kanak-kanak seusianya. Saya mendengarnya pun hanya sepintas lalu, namun tanpa saya sangka ia mempunyai impak besar kepada saya. Rasa mahu melindungi, rasa mahu membetulkan, rasa mahu mendidik, rasa mahu berdoa....semuanya bersatu dalam diri saya. Termasuk juga rasa sedih. Dia, mereka, kanak-kanak zaman ini merupakan generasi selepas saya. Pelapis Islam.


Tiba sahaja di hadapan lif, saya segera menekan butang 'naik' dan menunggu, kerana lif masih berada di tingkat 7. Mulanya saya tidak menghiraukan bualan 2 orang kanak-kanak di sisi saya yang sama-sama menunggu lif, tapi kemudiannya saya mula tertarik...

Kanak-kanak lelaki : Nanti emak aku marah, ayah aku pun marah....emak aku tak bagi...

Kanak-kanak perempuan : Alahhh.....emak kau bukannya tahu. Jangan bagitau dia....

Kanak-kanak lelaki : Mana boleh macam tu...tak bolehlah macam tu...

Kanak-kanak perempuan : Kalau engkau taknak, nanti aku bagitau cikgu....

Kanak-kanak lelaki : Bagitau apa?

Kanak-kanak perempuan : Errmmm...jangan bagi engkau jajan lagi....coklat....gula-gula....kalau cikgu bagi pun, semuanya aku nak....

Kanak-kanak lelaki terdiam dan berjalan hingga ke balik dinding. Kanak-kanak perempuan mengikutnya dengan 'wajah penuh yakin'.

Pintu lif pun terbuka.

Saya segera memanggil mereka berdua : Jom....dah....dah....masuk....

Setelah kedua-duanya masuk, selepas isnsiden 'button lift' yang saya ceritakan di atas, kepada kedua-duanya saya tanyakan, samada emak mereka ada di rumah atau tidak. Alhamdulillah, emak mereka berdua tidak bekerja. Lalu saya bertanyakan umur, dan puasa mereka.

Kanak-kanak perempuan : (angguk) saya puasa penuh

Kanak-kanak lelaki : tipu...semalam dia tak puasa....dia ada makan semalam...

Saya : Jadi, adik puasa penuh tak?

Kanak-kanak lelaki : (angguk) mak cakap puasa sampai petang....semua penuh...

Kanak-kanak perempuan. Tidak ada riak di wajah bersalahnya. Tidak ada perubahan air muka walau sekelumit. Dimanakah rasa malunya? Sedangkan setahu saya, anak-anak 6 tahun zaman kini sudah boleh merasa dan memikir dengan baik.

Button yang ditekannya 'nombor 7'. Sebelum keluar dari lif, saya berpesan : Puasa tau lepas ni. Kena puasa penuh. Bukan sebab raya, tapi sebab taknak Allah marah.

Cukuplah untuk hari ini...

02 August 2011

Puasa 100%

Assalamualaikum warahmatullah...

Teruja saya, menyambut tahun keempat tinggal di rumah saya pada 1 Ramadhan 1432H yang telah berlalu, yang selama 3 tahun ini saya hanya menyambutnya berseorangan...dan kini sudah ada orang yang menjaga saya dan menemani kehidupan saya di rumah ini. Alhamdulillah.

Sudah melepasi 1 Ramadhan. Selamat berpuasa dan semoga dapat melakukan semua amalan ikhlas penuh khusyuk dan terbaik yang diredhai Allah di bulan yang mulia ini. Semoga dapat bertemu lagi Ramadhan yang selepasnya dan selepasnya dan selepasnya....dan seterusnya....insyaAllah...jangan hanya fokus pada sambutan 1 Syawal setelah melepasi 10 hari di bulan Ramadhan.....jangan.....jangan....jangan....


Pagi ini, seperti biasa saya mendengar celoteh DJ di radio IKIM. Hal yang menarik minat saya adalah lelucon biasanya saja yang menyebut lebih kurang begini - pastikan sehingga petang, sehingga waktu berbuka puasa....nilai puasa kita masih gred A...masih 100% dan tidak berkurang kualitinya...


Saya terkesan hanya dengan satu perkara...walau jika dihitung dan difikir-fikirkan, masih banyak lagi perkara lain yang boleh dibincangkan. Tapi, saya hanya mahu cerita satu perkara saja...

Petang semalam, saya keluar dari pejabat pada pukul 4.40 petang. Ya, seperti biasa petang di bulan puasa, memang sangat sibuk, sesak dan mencemaskan. Ramai yang balik awal (ya, bagi kakitangan kerajaan yang boleh memilih waktu anjal, di saat bulan begini memang ramai yang akan memilih untuk balik pada 4.30 petang dan tiba di pejabat sebelum 7.30 pagi...).

Saya tidak hirau kesesakan atau traffic jammed - itu memang normal.
Saya tidak hirau ramainya orang yang memikirkan makanan dan minuman dan persediaan berbuka serta bersibuk-sibuk dengannya - itu memang normal.
Saya tidak hirau orang di sekeliling saya yang mahu cepat - itu memang normal.

Tapi...saya sangat-sangat menghiraukan keselamatan. Bukan saja keselamatan saya, tetapi juga keselamatan orang lain, terlebih para pemandu-pemandu dan pengguna jalan raya.

Pada petang semalam, banyak kenderaan dibawa dengan sangat laju. Masing-masing berkejar, tapi hanya memikirkan hal sendiri. Tidak hirau undang-undang jalan raya, tidak hirau pengguna jalan raya yang lain. Mungkin bimbang jualan makanan di bazar Ramadhan akan habis, atau ada yang mahu mengambil anak-anak, atau ada yang mahu menjemput isteri.

Masing-masing nampak tidak sabar.

Langsung, bila sudah tidak sabar...walau ditahan-tahan dari pagi hari, di mana sebenarnya kualiti puasa kita setelah habis waktu pejabat? Bertempiaran pahala-pahala puasa kita di jalan raya - membahayakan orang lain, mementingkan diri sendiri, tidak sabar dll lagi. Apabila tiba di rumah, adakah yang 100% nilaiannya tadi masih 100%, atau sudah jadi 2% sahaja?

Fikir-fikirkan....di mana kualiti puasa kita? Adakah pada makanan yang kita makan semasa berbuka, atau pada pantasnya kita dapat tiba di rumah pada bulan puasa....atau bagaimanakah?

Allah Maha Adil. Jangan risau dan jangan bimbang. Kalau kita mahu cepat dan ada niat yang baik, Allah akan bantu kerana Allah Maha Menolong. Pelbagai keajaiban akan muncul. Tidak perlu gelabah, tidak perlu panik, tidak perlu risau, tidak perlu gelisah. Usahakan bersama sabar, ikhlas dan senyum....selebihnya biar Allah yang uruskan...

Pastikan...puasa kita masih 100% di saat azan Maghrib berkumandang. InsyaAllah.