08 August 2011

Ugutan Kanak-Kanak?

"Auntie, temanlah saya....saya takut....", pohon seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun yang naik di dalam lif bersama saya. Kanak-kanak berpakaian hijau PASTI itu pastinya baru pulang dari sekolah bersama seorang sahabat lelakinya yang sudah saya 'paksa' keluar di tingkat 1 tadi.

Ya, kanak-kanak lelaki itu, saya terpaksa memaksanya keluar di tingkat 1 (rumahnya) walaupun semasa mula-mula masuk ke dalam lif, kanak-kanak perempuan itu menutup button nombor 1 dengan tapak tangannya dari ditekan oleh kanak-kanak lelaki tersebut, yang kemudiannya saya yang menekan button nombor 1 itu.

Sejujurnya, ia suatu keberanian seorang kanak-kanak 'mempengaruhi' kanak-kanak seusianya. Saya mendengarnya pun hanya sepintas lalu, namun tanpa saya sangka ia mempunyai impak besar kepada saya. Rasa mahu melindungi, rasa mahu membetulkan, rasa mahu mendidik, rasa mahu berdoa....semuanya bersatu dalam diri saya. Termasuk juga rasa sedih. Dia, mereka, kanak-kanak zaman ini merupakan generasi selepas saya. Pelapis Islam.


Tiba sahaja di hadapan lif, saya segera menekan butang 'naik' dan menunggu, kerana lif masih berada di tingkat 7. Mulanya saya tidak menghiraukan bualan 2 orang kanak-kanak di sisi saya yang sama-sama menunggu lif, tapi kemudiannya saya mula tertarik...

Kanak-kanak lelaki : Nanti emak aku marah, ayah aku pun marah....emak aku tak bagi...

Kanak-kanak perempuan : Alahhh.....emak kau bukannya tahu. Jangan bagitau dia....

Kanak-kanak lelaki : Mana boleh macam tu...tak bolehlah macam tu...

Kanak-kanak perempuan : Kalau engkau taknak, nanti aku bagitau cikgu....

Kanak-kanak lelaki : Bagitau apa?

Kanak-kanak perempuan : Errmmm...jangan bagi engkau jajan lagi....coklat....gula-gula....kalau cikgu bagi pun, semuanya aku nak....

Kanak-kanak lelaki terdiam dan berjalan hingga ke balik dinding. Kanak-kanak perempuan mengikutnya dengan 'wajah penuh yakin'.

Pintu lif pun terbuka.

Saya segera memanggil mereka berdua : Jom....dah....dah....masuk....

Setelah kedua-duanya masuk, selepas isnsiden 'button lift' yang saya ceritakan di atas, kepada kedua-duanya saya tanyakan, samada emak mereka ada di rumah atau tidak. Alhamdulillah, emak mereka berdua tidak bekerja. Lalu saya bertanyakan umur, dan puasa mereka.

Kanak-kanak perempuan : (angguk) saya puasa penuh

Kanak-kanak lelaki : tipu...semalam dia tak puasa....dia ada makan semalam...

Saya : Jadi, adik puasa penuh tak?

Kanak-kanak lelaki : (angguk) mak cakap puasa sampai petang....semua penuh...

Kanak-kanak perempuan. Tidak ada riak di wajah bersalahnya. Tidak ada perubahan air muka walau sekelumit. Dimanakah rasa malunya? Sedangkan setahu saya, anak-anak 6 tahun zaman kini sudah boleh merasa dan memikir dengan baik.

Button yang ditekannya 'nombor 7'. Sebelum keluar dari lif, saya berpesan : Puasa tau lepas ni. Kena puasa penuh. Bukan sebab raya, tapi sebab taknak Allah marah.

Cukuplah untuk hari ini...

No comments: